Friday, August 21, 2020

[28] Gelap

Karya pendek

Gelap
Oleh Rnysa

28

Tengah hari
#MCODay131 #PKPP
#stayathome #SundayDate

Di luar kian terang.
Dengan sorotan cahaya yang menyinar dek nyalaan lampu minyak tanah.

"Kasihan, walid nak sambut dapat baby baharu dekat luar tapi tiba-tiba walid kena masak pula di rumah. Dah keluar nanti kena sayang walid ya." Pesan Wawa pada anak yang masih dalam kandungan. Dia pandang muka suaminya sedang tenang memasak, sambil usap perutnya berkali-kali. Harap anak mereka yang kali ini dapat membesar dan dilahirkan dengan selamat. Amin!

Tadi mereka cadang nak keluar, tapi tak jadi sebab tak semena-mena dia muntah-muntah. Terus Ammar cadang duduk dan makan tengah hari di rumah sahaja. Dan Ammar pilih nak masak sendiri, masak untuk Nurnya.

Sekarang dok berbunyi keletang-kelutung dekat dapur. Minggu depan orang dah nak sambut raya haji dalam norma baharu ini. Mereka pun tak beli sangat barang basah sebab sudah nak balik beraya. Kali ini rasanya nak beraya di Shah Alam sahaja dengan umi dan walid. Sejak pandemik Covid-19 ini melanda seluruh dunia, semua orang sangat berhati-hati nak ke mana-mana. Wawa tanya juga sama ada Ammar nak pulang beraya di kampungnya atau tidak.

"Kita beraya dekat sini saja, boleh? Ayang kan baru mengandung. Rasa tak sesuai nak bergerak merentas negeri dalam suasana yang tak menentu ni. Tak tahu siapa yang pembawa Covid-19 tapi tak tunjuk simptom. Elok kita berjaga-jaga." Cadang Ammar tadi. Dan Wawa ikut saja mana yang elok.

Wawa menyapu minyak angin pada pangkal dahinya. Dia mengalami morning sickness buat sekian laginya. Nak dapat menimang cahaya mata, beginilah dugaan yang perlu dilalui pula.

Dan hidup manusia tak pernah sunyi dengan ujian, kan. Satu demi satu. Adakala datang serentak, bertubi-tubi banyaknya. Ujian pun banyak tahapnya. Ada yang mudah, ada yang sukar.

Bak Syah kata minggu lepas waktu memerhatikan suami dan rakan sekolah mereka yang main PS game. Tahap kesukaran makin bertambah apabila naik ke tahap seterusnya.

"Dan ada ketikanya kita rasa terlalu lelah dengan ujian yang datang tanpa henti. Dan rasa putus asa pun hadir."

"Syah pernah rasa macam tu tak?"

"Ada. Wawa?"

Wawa menghela nafas panjang. "Mestilah ada. Ujian terbesar dalam sepanjang hidup Wawa hal anak inilah. Sampai satu ketika rasa malas nak balik kampung waktu raya. Nak pergi majlis kenduri apa-apa pun tak semangat. Kalau balik kampung atau pergi kenduri pun, cepat-cepat nak balik. Pergi lambat, balik cepat. Orang yang mengalaminya saja yang faham." Luah Wawa. Dia dapat rasakan Syah menggenggam erat jari-jemarinya.

Wawa pandang Ammar sekali lagi yang senyap memasak. Kadang-kadang dia harap juga Ammar jenis suka berbual dengannya. Tak adalah rasa sunyi sangat. Wawa rasa dia sudah kehilangan topik berbual selepas 13 tahun berkahwin.

Melihat Adam dan Syah yang sentiasa ceria dan berbual mesra bersama kadangkala menimbulkan rasa cemburu di hati Wawa. Bertuahnya Syah yang menjadi pilihan hati kenalannya sejak dari kecil itu.

*Entah mengapa mataku ini
Halaman orang nampak berseri
Laman sendiri berwarna warni
Tak bererti

Wawa mengusap perutnya sekali lagi. Hmm, insya-Allah selepas ini pun dia akan jadi macam Syah. Semoga kehidupan dia dan Ammar lengkap dengan anak. Dapat seorang pun tak apa. Wawa sudah cukup bersyukur.

Ammar nampak gembira selepas berita kehamilan kali ini. Cuma dia kata, dia tak nak terlalu gembira. Apa saja kemungkinan boleh terjadi. Mungkin setelah sudah banyak kali mengalami 'kegagalan' yang lalu buat dia rasa begitu. Suaminya itu juga minta Wawa merahsiakan kehamilan kali ini daripada keluarga masing-masing.

Kasihan Ammar! Banyak duit yang dibelanjakan untuk segala macam rawatan kehamilan termasuklah rawatan IVF. Bukannya baru sekali dua, sudah banyak kali juga mereka mencuba selepas 5, 6 tahun tiada anak lagi. Hmmm, sepatutnya Wawa tak komen pasal suaminya yang pendiam itu dan membandingkan pula dengan Adam. Ammar sudah terlalu banyak berkorban untuknya.

*Terlalu asyik memandang bintang
Merenung bulan tinggi di awan
Bumi dipijak
Rumput yang hijau kulupakan

Ammar pandang Nur yang sedang duduk berehat di ruang tamu. Tak ada apa yang lebih membahagiakan selain melihat isterinya sedang tersenyum gembira. Alhamdulillah!

***

#throwback

Zulhijjah 2010
Makkah Al-Mukarramah

Dia khusyuk mendengar bacaan suaminya yang sedang mengalun surah Al-Kahfi. Rutin pagi Jumaat itu dimulakan qiamulail di sepertiga malam. Seperti hari-hari sebelumnya, mereka sempat melaksanakan solat tahajud bersama. Cuma kali ini lokasinya bukan di bumi Malaysia tanahair tercinta. Sekarang mereka berada di tempat kelahiran seorang manusia agung. Nabi Muhammad SAW.

Ayat terakhir dilafaz sebelum si suami mengecup kitab suci itu. Wajah tenang isteri ditatap penuh rasa kasih. “Insya-Allah, kita tangguh setakat ini dulu. Jom bersiap-siap ke masjid.” Katanya sambil tersenyum.

Nun di luar sana, hamparan langit Masjidil Haram masih gelap. Jam tiga pagi waktu tempatan. Namun jemaah dari pelbagai negera tanpa mengira latar bangsa dan warna kulit sudah mula membanjiri perkarangan masjid yang menjadi tempat bersatunya kiblat umat Islam. Limpahan jemaah ini merupakan pemandangan biasa di Mekah. Mungkin sangat luar biasa dengan tempat sendiri, melainkan solat sunat hari raya. Syah dan suaminya turut menyertai kumpulan manusia yang ramai itu.

Tanah Haram. 
Tanah suci.

Adam dan Hawa.
Adam dan Akasyah.

Talbiah.
Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu, ya Allah.

Setiap langkah yang diatur seiring dengan bacaan tasbih di dalam hati. Diri mereka pada hari ini bermula dari sebuah perjalanan yang panjang. Langkah pertama mencari makna diri dan kehidupan. Dalam mendekatkan diri pada Yang Maha Esa. Bagi Syah, langkah kecilnya bermula beberapa tahun ke belakang.

***

Dan dia masih terus gigih melangkah beberapa tahun ke hadapan. Cuma ada kala langkahnya juga terhenti. Pernah tersadung dan jatuh.

"Ya Allah..."

Lantai bilik air licin. Dia terjatuh. Tak lama lepas itu darah pekat mengalir. Dia pegang bahagian perutnya. Anak?

"Abang!!!"

Tergopah-gapah Kaduk menerjah masuk dalam bilik air. "Ya Allah, sayang..." Terpaku dia seketika melihat bahagian kaki Syah yang berlumuran darah.

Wawa, Syah faham. Syah pun pernah merasai kehilangan anak dalam kandungan. Dan bukannya sekali dua. Cuma hanya dia suami isteri dan keluarga terdekat sahaja yang tahu.

"Kita patut banyak bersyukur dengan apa yang kita ada, Wawa. Ramai lagi lelaki dan perempuan yang seusia kita di luar sana masih lagi sendirian tanpa suami atau isteri. Masih ramai lagi menanti rezeki jodoh mereka. Entah apa perasaan mereka apabila tengok orang lain dah ada pasangan dan keluarga sendiri?" kata Syah petang Sabtu itu lagi sambil memerhatikan Khalid Ahmad yang ralit memetik piano dengan Akram di atas pangkuan ribanya.

*Entah mengapa sering terlupa
Rahmat yang tiba berbeza-beza
Untuk semua kurniaan-Nya tak terhingga

(bersambung...)

#RADHA #rezeki #jodoh #anak

Petikan #throwback di atas daripada versi asal prolog RADHA Sweet 17 versi cetak yang pernah dihantar kepada JS Adiwarna pada 1 Februari 2011.

*Kredit lirik lagu:
Merenung Bulan - Aishah

https://youtu.be/6HVmvVhKD94

Thursday, August 06, 2020

[27] Gelap

Karya pendek

Gelap
Oleh Rnysa

27

Petang
#MCODay123 #PKPP
#stayathome #stayinmemory #stayinbrotherhood

Di luar separuh terang.
Kala mentari petang meminjam separuh cahaya menerangi ruang hati yang paling dalam.

Dah rasa macam 'reunion' mesyuarat Majlis Perwakilan Pelajar @ MPP. Syah terasa dejavu. Matanya ditala pada setiap wajah lelaki di ruang tamunya saat itu.

Kaduk. Ketua Pelajar @ Headboy MPP.
Ayai. Penolong Ketua Pelajar MPP.
Pinto. Setiausaha Agong MPP.
Ammar. Ketua Biro Sukan & Rekreasi MPP.
Khalid Ahmad. Ketua Biro Seni & Kebudayaan MPP.
Sudin. Ketua Biro Badan Dakwah & Rohani @ BADAR MPP.
Soufi. Ketua Biro Akademik MPP.

Boleh nak datang lepak dan berjemaah main PlayStation 4 dekat rumah mereka, dengan Arham dan Akram pun sekali kena angkut sama. Syah hanya mampu menggeleng. Bertih jagung diletak di sisi suaminya yang khusyuk main game bola FIFA apa entah namanya. Dah rasa macam orang jual bertih jagung dan hot dog dalam stadium tapi penonton sekilas pun tak pandang pada si tukang penjual.

"Gollllllll!" jerit lelaki-lelaki serentak.

Boys.Will.Be.Boys.

Dan...

"Gol!" Lepas beberapa saat selepas itu Arham dan Akram pun jerit pula.

Oh, ada time delay 2 saat di situ.

Syah menggelengkan kepala. Anak-anak lelaki dia pun terjebak sama!

Boys.Will.Be.Boys.

Dia pandang sekali lagi para tetamu yang berkunjung ke rumahnya. Petang Sabtu itu jadi meriah dengan kehadiran bekas rakan sekolah menengah mereka. Tapi lain kali jemputlah isteri masing-masing datang sekali, ini masing-masing nak jadi bujang. Opppssss maaf, kecuali Khalid Ahmad yang memang masih solo sampai sekarang.

Hmmm, kekok jugalah Wawa dan Syah berdua nak menjamu. Mujurlah Kaduk dan Ammar jenis suami yang ringan tulang membantu.

"Weh Syah, sambal tempoyak yang kau masak hari tu sedap betul." Puji Pinto waktu Syah tambah sebekas lagi bertih jagung untuk Pinto, tuan punya kondo @ rumah sewa yang mereka duduki sekarang di Cyberjaya sementara menanti rumah yang sebenar siap diubahsuai (renovate). "Kalau ada stok tempoyak lagi, kau masakkan untuk aku lagi boleh tak?"

"Pergh, berani gila minta isteri Kaduk masakkan untuk kau." Ayai geleng kepala.

"Aku teringat-ingat kesedapan sambal tempoyak Syah..."

"Kau nak kena 'bunuh' dengan Kaduk sebab dok teringat-ingat masakan isteri dia." Soufi sudah tepuk bahu Pinto.

Syah pergi jenguk bahagian sejuk beku dalam peti ais. Oh, ada lagi stok tempoyak yang opah beri semasa dia balik kampung selepas balik bercuti di Kuala Terengganu, awal tahun ini dan sebelum pengumuman PKP bulan Mac hari itu.

"Ada lagi tempoyak ni. Rezeki kau, Pinto." Syah main cakap dari dapur saja dengan orang di ruang tamu. Dekat saja pun. Open kitchen.

"Ni yang aku sayang kau, Syah!" balas Pinto secara spontan. Laju.

Syah terus melopong. Sayang?

"WOHOOOO!!!" jerit semua bekas ahli MPP yang lain serentak dan terus pandang muka Pinto.

Automatik tangan Kaduk rasa nak hempuk kepala Pinto dengan Sony PlayStation 4 DualShock 4 Controller Magma Red di tangannya. "Yang kau nak cakap sayang-sayang dekat isteri aku tu dah kenapa?" Kaduk terus naik suara, buat-buat muka serius sekali. Dia tahu Pinto sekadar bergurau.

"Huhu, berani gila 'kacau' isteri bos." Ayai berbalas kenyit mata dengan Kaduk.

"Memang 'menempah maut'." Khalid Ahmad buat isyarat dengan tangan dekat leher - kena potong kepala.

"You are dead, man." Ammar senyum pada Pinto. Tapi awal-awal dia sudah pekup telinga Akram supaya tak dengar bahasa berwarna-warni yang dilontarkan oleh geng pakcik-pakcik.

"Ada yang kena benam lagi dalam tasik malam ni..." Sudin tunjuk tasik nun di luar sana.

"Dan jangan lupa kena tazkirah non-stop dengan Ammar." Laju Soufi menambah sebelum tergelak kuat.

"Damn! Tasik-tasik jangan sebut..." Suara Pinto bergetar, terus rasa fobia satu badan.

"Pinto, mind your language bro. Anak-anak aku ada dekat sini." Kaduk pun sama macam Ammar, tutup telinga Arham sejak dari tadi.

"Oppsss, sorry boss!" Pinto telan air liur.

Air muka Kaduk yang serius dan kerlingan mata bekas ketua pelajarnya itu sukar ditafsirkan.

I.AM.DEAD.
Ayat itu terpacul dalam kepala Pinto.

"Kau jadi imam solat maghrib nanti." Tenang Kaduk terus beri 'hukuman' pada Pinto. Kata muktamad.

Ayai, Ammar, Khalid Ahmad, Sudin dan Soufi pecah gelak besar!

"Dan kalau nak pilih baca surah tu, jangan buat malu dekat anak-anak aku." Kaduk bersuara rendah. Matanya sudah menghadap kembali FIFA 20 pada skrin Sony TV 4K Android.

Damn! Pinto dah rasa tekaknya berpasir. Tak ada air liur nak telan dah. Memang scary kalau Kaduk buat nada suara ala Darth Vader dia.

"Anak-anak kau tu budak tahfiz kot..." Gumam Pinto perlahan antara dengar dan tidak sambil menggaru kepala. Baru cadang nak baca 4 Qul saja. Oh la la!

***

#throwback

Carl Duke Adam.
Itulah nama yang berikan kepada dia sejak lahir.
Di sekolah ini orang dia dipanggil dengan nama Kaduk saja.
Nama yang diberikan oleh abang-abang senior waktu dia mula-mula masuk SERATAS.

"Mulai hari ni... nama kau... Kaduk." Mereka ketawa beramai-ramai. 

Dia pun tak faham. "Kaduk?"

"Singkatan untuk Carl Duke," sambung mereka. Masih ketawa.

Dan nama itu melekat pada dia sampai bila-bila.

Beberapa tahun kemudian...
Januari 1998

"Kaduk, minggu orentasi nanti kau bertugas?"

Kaduk sekadar mengangguk. Pensel mekanikal dipusingkan di hujung jari macam helikopter.

"Aku tak sabar nak tunggu budak form baharu masuk. Boleh 'usya' awek." Pinto mula buat muka angau.

"Kalau Ammar dengar ayat kau ni, sampai subuh esok pun belum tentu habis kena 'basuh'." Kaduk sekadar geleng kepala. "Kau MPP, kena jadi contoh teladan. Bukan kerja kacau awek-awek dan adik-adik." Bukan dia tak kenal perangai kawannya yang seorang itu.

"Aku bukan macam kau, Kaduk. Yalah, orang yang bakal jadi headboy kena skema macam pembaris." Pinto ketawa mengejek.

"Banyak la kau punya skema." Kaduk tuju Pinto dengan getah pemadam. Disebabkan Pinto merupakan pemain rugbi sekolah, cekap sahaja dia menangkap. Kalau tak sudah selamat kena tepat ke dahi.

"Huh, kau main kasar ni..."

"Syuhhh.... diam boleh tak? Apa kes MPP buat perangai kanak-kanak ribena ni..." Dira, pengawas pusat sumber yang bertugas malam itu, mendekati meja mereka.

"Rakan sekelas kau ni kacau aku buat latihan Kimia." Kaduk angkat tangan pada Dira.

Mata Dira membulat pada Pinto. "Tolonglah buat perangai matang sikit."

"Oh, yang Kaduk main tuju-tuju pemadam dekat muka aku tu kira matang lah?" Anak dari Sabak Bernam sebelah ayahnya itu mencebik.

"Dua-dua pun sama. Minggu depan pelajar baharu nak masuk masih buat perangai budak-budak." Dira kalih mata pada Kaduk yang sedang tumpu pada buku latihan Kimia.

"Lepak la Dira." Pinto bersuara lagi.

"Sekali lagi kau orang bising, aku suruh kau orang keluar." Dira mengugut sebelum berlalu.

"Amboi, garangnya!"
"Garang macam mana pun... awek kau juga kan..." Kaduk sengih.

"Belum declare lagi la. Ada harapan akan kena reject." Pinto geleng kepala. Dari Tingkatan Satu sampai Tingkatan Empat, cuba mengurat Dira tak dapat-dapat. Eh, dah macam berpantun pula!

"Kau suka kacau perempuan sana sini depan dia..." Selamba Kaduk beri komen. "Perempuan mana suka lelaki macam tu..."

"Ahaha... mana kau tahu fasal perempuan ni?"

"Kau lupa... adik-beradik aku yang lain semuanya perempuan. Dua orang kakak, seorang adik." Mata Kaduk masih melekat pada buku.

"Fair enough, Master Yoda." Pinto tarik pen dari case. "Cuma kau tak ada girlfriend saja..."

Kaduk berhenti menulis.

"Memang tak ada..." Dia berbisik perlahan. Dan saat itu, wajah manis Nur Jannatul Adnain melintas di fikiran. Yang itu pun susah betul hendak dipikat.

***

Tak pernah Pinto rasa segugup ini. Cepat saja dia beri salam. Selamat!

"Waktu PKP ni kau tak praktis jadi imam kat rumah ke?" Sudin rasa nak libas sejadah dekat Pinto lepas beri salam tadi.

"Aku bukannya Work From Home macam korang semua la."

"Alasan. Bukannya 24/7 kau kena standby dalam RAPID Pengerang tu." Jeling Kaduk tajam. Dia pun pernah kerja dekat situ. Elok saja balik rumah apa semua.

"Serius aku rasa kau akan kena benam dengan Kaduk dalam tasik depan tu," ujar Ayai yang pernah ikut arahan Kaduk suruh Pinto pumping dalam kolam air yang mereka panggil 'tasik' di belakang aspura sebab kantoi fly beli rokok dengan junior.

"Kan aku dah cakap, kalau kau kantoi dengan aku memang cari nahas." Kaduk mengadap Pinto dan dua orang pelajar Tingkatan 4 yang berjaya ditangkap fly dari aspura. Ketiga-tiga mereka disuruh terjun masuk dalam tasik pada awal pagi kejadian.

"Errrr... Sorrylah Kaduk..." Dah menggigil Pinto kena rendam sejam dalam air. Dia pandang wajah Kaduk dan Ayai sekilas. Mati dia pagi ini kena dera dengan dua 'ekor' budak Persatuan Kadet Bersatu Malaysia!

"Nasib kau tak berapa baik hari ini," tambah Kaduk lagi. Terus dia berpaling ke belakang dan angkat kening pada Ayai.

Ayai mara ke hadapan, nak ambil alih tugas Kaduk. Dah sampai giliran dia pula. Kaduk terus tepuk bahu Ayai dua kali sebelum nak pulang ke aspura semula dan nak sambung tidur. Ayai angguk tanda faham.

"Sorry Pinto. Aku ikut arahan bos saja." Ayai meramas-ramas tangan, berketup-ketup bunyi keluar.

Pinto telan air liur. Hari yang tidak mungkin dilupakan itu dia kena pumping 50 kali dalam air, yang lain kena 25 kali sahaja.

"Gila kau, Carl Duke Adam. Aku kena double kot!" maki Pinto tak henti dalam hati.

"Kalau budak MPP kena tangkap dengan aku buat perkara terlarang, semua hukuman akan jadi double atau triple daripada pelajar biasa. Ingat tu..."

'Ugutan' Kaduk masa lepas angkat sumpah jadi ketua pelajar melintas dalam fikiran Pinto di saat kesejukan mula mencengkam. Kaduk memang betul-betul kotakan kata-katanya itu. Damn you, man!

"Satuuu!!!" Suara Ayai memecah hening pagi. Dan kemudian... 

"Bismillah..."

Damn! Sambil 'turun 50 dalam air' tambah kena dengar tazkirah dengan Ammar pula. Kaduk memang sengaja nak beri mereka 'berdarah telinga'. Inilah yang dinamakan 'Rejim pemerintahan versi Carl Duke Adam'.

***

Kepulan asap nipis naik dari teko berisi kopi yang baru diletak.

"Terima kasih, sayang..." ucap Kaduk sambil senyum pada Syah.

"Terima kasih, Ssss..." Pinto nak cakap juga sambil sengih. Tak puas hati kena jadi imam tadi.

"Kau jangan nak sayang-sayang isteri aku lagi. Karang ada yang jadi imam solat isya' pula." Pintas Kaduk sambil tuang kopi dalam cawan depan Pinto. Silap tuang ada juga mandi kopi nanti.

"Terima kasih, SYAH," ulang Pinto dan tekankan nama SYAH masa nak sebut. "Kau ni Kaduk... taubat aku nak datang ziarah rumah kau lagi lepas ni." Dia sambung buat-buat suara merajuk. Dan-dan waktu itu juga telefon bimbitnya berbunyi, ada mesej masuk. Pantas dia seluk keluar telefon pintar dari dalam poket seluar.

"Dira dah suruh kau balik ke?" tanya Kaduk lepas nampak Pinto senyum meleret.

"Errrr... tak." Pinto sibuk menaip nak balas mesej.

"Siapa yang mesej sampai kau senyum macam tu?"

"Errmm... budak office. Intern. Lawa." Pinto tunjuk gambar yang dia dapat dalam WhatsApp pada Kaduk dan Ammar. Lawa kot kalau perempuan pakai baju kebaya. Warah merah pula, warna kesukaan dia!

"Astaghfirullah hal azim. Dah ada isteri tengah mengandung dekat rumah. Anak pun dah lima. Fikirlah bro." Kaduk terus istighfar panjang.

"Alah, aku main-main saja pun. Boring..."

"Kalau boring, banyak lagi aktiviti berfaedah. Contohnya, improve bacaan Quran kau tadi?" Ammar akhirnya turut bersuara.

Damn! Ammar kot yang dah mula 'cakap'. Akan bernanah telinga. Pinto tarik nafas panjang sebab dua pasang mata tengah tenung dia macam gaya nak humban dia masuk dalam tasik.

"Rileks la..." Tapi suara Pinto sudah bergetar, namun cuba ditahan tak berjaya. Rasa cuak itu tetap ada.

"Tasik depan tu dekat je." Kaduk tenung Pinto macam singa nak baham mangsa.

"Wei Kaduk, tasik-tasik kau jangan sebut lagi. Aku fobia kot lepas kena dera dengan kau." Dia pula tambah lagi kopi dalam cawan. Memang Syah ni jenis pandai masak ke apa? Sambal tempoyak sedap. Air kopi pun sedap! Bertuah Kaduk dapat isteri pandai masak dan buat air. Yang Dira isteri dia sampai sekarang masih belajar.

"Dan... lepas tu kau dah tak fly, kan? Dah kurang hisap rokok, kan? Aku 'dera' kau untuk kebaikan kau juga. Sama dengan apa aku dan Ammar tegur kau sekarang. Dah-dah la buat perangai suka 'test market' kau tu. Macam Ammar cakap, banyak lagi aktiviti yang bermanfaat boleh buat waktu kau bosan.

Anak kau semua perempuan, kan? Fikir panjang apa yang kau buat sekarang. Kalau benda yang sama jadi pada isteri dan anak-anak kau, kau suka tak? Kalau Dira main mesej dengan lelaki lain, kau suka tak?"

Pinto tunduk.

"Kalau kau tak suka ada lelaki kacau mereka, jadi faham-faham sendirilah ye." Kaduk hirup air kopi yang pekat tanpa gula.

"Dah besar dan jadi bapa orang, patut dah boleh fikir buruk baik hari kemudian. At least please respect your wife, bro. Penat kot kau nak tackle dia dulu, kan? Gigih gila kot kau nak dapatkan Dira dulu, kan? Sebab dia tak percaya perangai kau yang terlebih mesra alam dengan ramai perempuan. Lagipun Dira tengah mengandung anak kau sekarang. Tolong ada sedikit rasa belas kasihan dekat Dira," sambungnya lagi kemudian.

"Aku tengah stress dowh pasal nak anak lelaki. Orang keliling cakap macam-macam..."

"Stress bukannya alasan nak buat perangai macam-macam," celah Ammar dengan suara rendah tak ada perasaan. Seorang lagi dengan aura Darth Vader.

Kaduk pandang Ammar. Muka Ammar serius-ketat jangan cakaplah. Macam tengah tahan marah.

"Ammar belum ada anak dah dekat 13 tahun kahwin. Patut dia lagi stress daripada kau, Pinto. Tapi tak pernah aku tengok dan dengar yang Ammar buat perangai pelik-pelik macam kau ni. Simpanlah alasan kau tu dekat dalam TASIK depan rumah kau ni," ujar Kaduk.

Pinto terus kena tembak lagi dengan Kaduk. Memang tak beri peluang langsung bekas Pendebat Bahasa Inggeris Terbaik Negeri Perak itu dekat dia. Dan Pinto tak tahu mana nak letak muka depan Ammar. 13 tahun tak ada zuriat pun boleh tahan sabar tak cari perempuan lain. Dia?

Seperti embun di hujung rumput.
Jikalau kasihkan padi, buanglah rumput.

"Insaflah, bro. For your own good." Dan Kaduk hirup kopi sekali teguk.

Bicarakan rumput di halaman orang, di halaman sendiri rumput sampai ke kaki tangga.

(bersambung...)

#RADHA

Petikan #throwback di atas daripada versi asal online Facebook Note RADHA: Sweet 17 yang ditulis pada 16 Oktober 2011.

Kredit peribahasa/kata-kata tentang rumput:
Dewan Bahasa Dan Pustaka



Monday, August 03, 2020

[26] Gelap

Karya pendek

Gelap
Oleh Rnysa

26

Lewat petang
#MCODay120 #PKPP
#stayathome #trust #goodtimesandbad

Di luar tidak terlalu gelap.
Mengimbau kenangan limpahan lampu chandelier yang tergantung pada siling rumah agam di tepi Den Haag Kota Diraja.

Den Haag, 3 tahun lepas...

"Apakah haiwan kesukaan...?" Soal Grandma Aisyah.

Mereka. The big cat & the small cat.
The Lion King. Kaduk & Arham.
Meow @ Kucing. Aisyah.
Black panther. Akram.
Leopard. Grandma Aisyah.

Dan, dia...
Dolphin & whale. Syah.

Mengapakah aku seorang yang tersesat di sini...?
Syah terkebil-kebil lalu termangu sendiri.

Dan, beralih pula pada...

Ammar. "Burung helang."
Wawa. "Kucing."

"Biar betul? Takkan Syah seorang suka spesis ikan?" Akhirnya Syah bersuara sebab rasa tak puas hati, rasa majoriti orang lain berpakat beramai-ramai. Ammar dan dia sahaja yang lain daripada orang lain.

Semua orang menjungkit bahu, tanda tak tahu. Yalah, pilihan masing-masing kan.

"Syah kan memang suka ikan lumba-lumba." Kata Wawa dengan suara lembut seperti selalu. Wawa teringat waktu dia ikut sama pergi ke Sea Paradise dulu yang Syah nampak seronok betul dapat melihat ikan lumba-lumba dalam akuarium.

Oh, Ammar suka burung helang ya? Baru hari itu Wawa tahu. Patutlah mata Ammar suka merenung tajam macam burung helang juga.

Waktu yang sama di Sea Paradise itu jugalah dia jumpa sekali lagi dengan Ammar. Dan waktu perjalanan pulang dengan ditemani oleh Adam, sekali lagi lelaki yang pernah mencuri hatinya itu melobi tentang Ammar, kawan baiknya sendiri.

"Wawa, Ammar tu baik. Tak nak cuba kenal-kenal dulu?" Tiba-tiba Adam bersuara tidak lama selepas keluar dari perut kereta api dalam stesyen mereka berhenti, berdekatan dengan hostel Wawa duduki.

"Adam tahu Wawa suka siapa, kan?" Tanpa berselindung, Wawa segera membalas.

"Adam dah ada seseorang, Wawa." Tenang Adam memberitahu isi hatinya saat itu. Dia tahu siapa orangnya yang Wawa suka itu. Tapi dia pernah cakap sebelum ini yang dia sukar nak menerima Wawa dalam hidupnya seperti yang gadis itu harapkan.

"Siapa? Nurul Akasyah ke?" Laju Wawa meneka. Dia tak nampak ada nama orang lain yang meniti bibir lelaki yang dikenalinya sejak lahir itu.

Adam mengangguk perlahan.

"Oh, jadi betullah yang Ain pernah cakap sebelum ni... Adam memang dengan dia..." Terus nada suara Wawa jadi lain. Dia sedikit bersimpati dengan kakak kembarnya. Disebabkan orang ketiga, Ain tak yakin dengan perasaan Adam terhadap dirinya.

Hmmm... Apa yang istimewa gadis bernama Nurul Akasyah di mata Adam agaknya? Memang jauh berbeza dengan kakak kembar Wawa yang satu itu, kan? Tapi nak komen lebih Wawa pun tak kenal sangat Syah itu orangnya bagaimana. Yang dia dengar selama ini, Syah itu kawan baik Adam. Tapi, bolehkah lelaki dan perempuan jujur berkawan baik tanpa menyimpan sebarang perasaan? Wawa pun baru sahaja kenal Syah sebulan dua sejak menyambung sarjananya di Jepun ini. Dan buat masa setakat ini, Syah sangat membantu Wawa dalam menyesuaikan diri dengan suasana baharu, terutamanya membantunya dalam pertuturan dalam Bahasa Jepun dengan orang sekeliling.

"Adam suka dia... lama selepas Ain pilih orang lain dan kahwin. Demi Allah, memang tak terfikir pun nak suka kawan sendiri. Cuma...dah makin lama kenal, baru hati rasa makin suka. Syah pun tak tahu lagi yang Adam sekarang ada perasaan dekat dia."

"Kenapa Adam beritahu Wawa semua ni?" Di sebalik niqab hitamnya, Wawa angkat kening. Dia kurang pasti apa arah tuju perbualan mereka, selain daripada Adam telah secara terus-terang menolak perasaan Wawa ke tepi.

"Wawa tahu kan pasal perancangan mama Adam..." Adam berhenti seketika, menarik nafas panjang dan kemudian dilepaskan perlahan-lahan. "Perasaan Adam tak boleh dipaksa-paksa, Wawa. Lagipun lepas kes Ain dulu, Adam dah anggap Wawa dan Ain macam ahli keluarga sendiri. Saudara sendiri. Tak ubah macam kakak-kakak dan adik Adam juga. Dan rasanya ini bukan kali pertama Adam cakap tentang ini pada Wawa, kan? Dan Wawa bukannya baru kenal Adam hari ini. Harap Wawa boleh tolong faham perasaan Adam juga."

Pedihnya rasa hati Wawa waktu itu. Sudah lama dia sukakan Adam, tapi Adam tak pernah sukakan dia pun. Adam boleh sahaja suka pada kakak kembar seirasnya dulu, kenapa tak boleh suka Wawa juga? Mungkin Adam sengaja buat-buat lupa yang semasa Adam sedang menjalani terapi di Malaysia dulu, Wawa pun ada bertanya khabar. Sanggup dia menelefon dari Australia semata-mata nak mengetahui perkembangan diri Adam. Bukannya Syah seorang sahaja yang ambil berat tentang Adam, Wawa pun sama juga. Namun, Adam masih buat tak nampak dan tak pernah menghargai segala usaha yang Wawa cuba lakukan untuk memenangi hati Adam. Boleh pula asyik nak tersasul sebut nama Syah apabila Wawa yang menelefon. Manalah tak Wawa jadi kecil hati, tau!

Perasaan seseorang itu tak boleh dipaksa, Wawa! Hati Wawa yang rasional mengulang semula kata-kata Adam itu berkali-kali, cuba memujuk perasaan yang sudah tercalar. Hati lelaki yang baik di hadapan matanya itu telah dimiliki oleh seseorang.

Lama mereka saling berbalas diam.

"Ammar tu kawan Adam. Adam kenal orangnya macam mana. Adam rasa dia sesuai untuk Wawa. Lagipun abang-abang Wawa minta Adam tolong recommend kalau ada calon yang sesuai. Mana tahu kan lepas ta'aruf Wawa suka pula..."

Wawa terus tarik keluar earphone dari beg sandang belakangnya, lalu menyumbatnya ke dalam telinga. Tak sanggup nak dengar lagi kata-kata Adam. Oh, inilah tujuan dia tawarkan diri mahu temankan Wawa tadi. Ada udang di sebalik mee, rupa-rupanya.

Tak perlulah pandai-pandai nak jadi pencari jodoh untuk kawan Adam pula. Lepas itu nak cakap abang-abang Wawa minta tolong carikan calon suami untuk Wawa pula. Hmm, sampai hati Adam nak 'pass' Wawa pada kawannya yang Wawa pun tak kenal tara mana sangat pun. Oh, Adam tak suka pada Wawa, senang-senang boleh nak beri dekat orang lain pula. Adam fikir Wawa tak ada hati dan perasaankah? Marah Wawa dalam hatinya. Lalu Wawa terus melangkah cepat-cepat meninggalkan Adam di belakang.

Melihat Wawa yang diam seribu bahasa dan berlalu pergi, Adam segera menjauhkan diri sedikit daripada Wawa. Dia berjalan tiga meter di belakang Wawa tanpa perlu bersuara lagi. Pada pendapatnya, biarlah Wawa fikirkan dahulu apa yang dia usulkan tadi.

***

#throwback

"Comelnya dolphin putih tu. Rasa nak bela satu." Kataku sambil menepuk Wawa yang duduk di sisiku. Mataku tidak lepas daripada memerhatikan dua ekor mamalia putih itu beraksi bersama pelatih mereka. Walaupun ini sudah masuk kali keempat aku menonton "Aqua Stadium Marine Animal Show". Pertunjukan haiwan laut dari sekecil pengiun sehinggalah ikan paus seperti dalam filem 'Free Willy'. Setiap kali melihat ikan-ikan dengan aksi yang mengkagumkan, aku pula berasa ingin berenang-renang bersama-sama mereka.

"Kau kena beli akuarium yang besar kalau nak bela ikan yang comel macam tu." Bisik Kaduk yang duduk di belakang kami. Selamba.

Aku menghadiahkan jelingan tajam pada Kaduk Si Pengacau. Mataku beralih pada Ammar yang nampaknya begitu khusyuk memerhatikan pertunjukan.

"Carl Duke Adam, boleh tak kau senyap untuk setengah jam ni je. Mulut tak boleh diam. Kadang-kadang mengalahkan makcik-makcik bergosip tepi pagar." Mulut sudah becok berleter. "Cuba tengok Ammar. Macam tu baru bagus. Senyap. Cakap bila perlu saja. Berbudi bahasa. Contoh lelaki melayu terakhir. Bukan macam kau." Sambungku lagi.

Ammar yang duduk selang dua tempat dari Kaduk memandang kami berdua apabila terdengar namanya disebut. Aku menghadiahkan senyuman paling manis untuk dia.

"Ammar lelaki melayu terakhir? Erk... tolonglah..." Katanya sambil senyum mengejek.

"Jealous!" Aku segera memandang hadapan semula.

"I am not!"

Aku tidak mempedulikan Kaduk Si Pengacau lagi. Tumpuan diberikan pada aksi tiga ekor singa laut yang sedang memainkan alat musik. Lagak mereka seperti kumpulan okestra pula. Akhirnya aku boleh melihat ikan-ikan kesukaan aku dengan aman damai. Tiada lagi gangguan daripada Kaduk Si Pengacau.

"Betul aku tak ada ciri lelaki melayu terakhir?" Tanya Kaduk.  Dia mengekori aku dan Wawa sebaik sahaja selesai pertunjukan sebentar tadi.

"Ermm..." Aku mengerutkan dahiku. Pura-pura berfikir. "Adalah sikit. Tapi bukan yang terakhir. Mungkin kedua terakhir. Atau... yang kesepuluh, dua puluh, seratus lima puluh enam..." Jawabku selamba.

"Seratus lima puluh enam? That's a lot of numbers."

"Comelnya ikan tu senyum..." Aku masih taksub dengan dolphin putihku yang dikurung di dalam sangkar bersama-sama ikan lumba-lumba yang lain.

Kasihan memikirkan nasib ikan-ikan ini. Andainya mereka bisa bersuara. Pasti mereka akan menjerit minta dibebaskan. Mereka ingin hidup bebas di laut. Bukannya di dalam kolam dan bekas kaca.

"Ikan boleh senyum?" Soal Kaduk sambil tersenyum kelucuan.

"Sibuk. Rasanya kau tak boleh jadi lelaki melayu terakhir. Tak sesuai. Tak layak." Kataku lalu meninggalkan dia terpinga-pinga.

Aku sibuk menunjukkan pada Wawa kawasan Sea Paradise yang dikelilingi oleh perairan air masin. Kedudukan tempat ini sangat unik. Ia terletak di Hakkeijima atau dalam bahasa Melayunya Pulau Hakkei. Selain jalan raya, ia juga dihubungkan dengan landasan keretapi elektrik, Seaside Line. Dari sini boleh nampak bot-bot dan perahu layar yang membelah lautan.

"Kenapa?" Tanya Kaduk. Suaranya datang entah dari mana.

"Kaduk... perlu ke kau tanya semua ni? Sebab pertama, muka kau tak ada ciri lelaki melayu langsung. Betul tak Wawa?" Aku memandang Wawa, cuba meminta pendapatnya.

Wawa hanya diam. Mungkin dia segan untuk mencampuri urusan kami berdua.

Kenapalah Kaduk begitu bersungguh-sungguh hari ini? Bisik hatiku kehairanan.

"Tapi Ammar pun tak ada muka melayu." Pintas Kaduk.

"Tapi dia orang jawa. Dan paling penting, dalam diri dia penuh sifat... kesopanan dan kesusilaan." Kataku dengan penuh yakin.

"Mama aku orang banjar. Maknanya aku half melayu. Kesopanan dan kesusilaan? Itu rukun negaralah, Syah!" Balas Kaduk. Dia sudah menyeringai ingin ketawa.

"Apa-apa ajalah. Kau.... mungkin boleh jadi lelaki belanda terakhir."

"Belanda? Pandailah kau bercanda. Belajar dari aku ya." Katanya sambil ketawa kecil.

"Kau kan memang guru pakar dalam subjek canda-bercanda ni." Jawabku sambil mengenyitkan mataku padanya.

***

"Value the relationships that you have and don’t take them for granted. Trust often results from consistency. We tend to have the most trust in people who are there for us consistently through good times and bad. Regularly showing someone that you’re there for them is an effective way to build trust."

Begitulah antara nasihat Grandma Aisyah semasa menerangkan cara-cara untuk membina rasa percaya dalam sesebuah perhubungan.

Wawa tekun mendengar kata-kata bekas pensyarah psikologi itu sambil mencicip teh panas tanpa gula untuk minum petang. Den Haag semakin dingin, maklumlah sudah masuk musim sejuk. Dan lima hari lagi hari Krimas bakal tiba pula, harap-harap adalah salji turun nanti. Tentu anak-anak Adam dan Syah seronok dapat main salji.

Pandangan Wawa berlabuh pada wajah Aisyah yang comel macam anak patung. Matanya besar dan bulat macam mata ibunya. Makin meningkat usia wajah kawannya itu kian nampak ada campuran darah India-Arab. Semalam waktu Syah pakai jubah dan selendang hitam, nampak dah macam iras muka orang Arab pun ada dengan keningnya yang tersusun cantik hitam lebat itu.

Gelak tawa Syah dan anak-anak yang  sedang bermain kejar-kejar di halaman rumah nenek mereka yang luas menyapa halwa telinga. Sesekali kedengaran bertingkah dengan suara Adam yang turut sama menyertai 'permainan' mereka.

"Sekejap...nak kena jadi 'cheetah' kejar 'black panther'." Kata Syah sebentar tadi. Semua orang pakat tergelak mendengarnya, terutamanya Adam dan grandma. Ammar pun tersenyum simpul sahaja. Yalah, Syah yang suka ikan lumba-lumba terpaksa 'bertukar' jadi harimau kumbang sebab nak mengejar Akram yang lincah mengajaknya bermain.

"Bahagianya jadi Syah, dah ada keluarga yang lengkap dengan anak-anak." Ucap Wawa perlahan. Sedangkan Ammar dan dia sudah berusaha bertahun-tahun tapi masih gagal lagi. Terbaharu, percubaan IVF tahun ini juga tidak berjaya. Janin yang dikandungnya membesar dengan tidak normal dan terpaksa digugurkan beberapa bulan yang lepas. Apakan daya belum tertulis rezeki dapat menimang cahaya mata untuk mereka suami isteri lagi saat itu. Dalam hati Wawa, hanya Tuhan sahaja yang tahu perasaannya - kesedihan yang tidak terucap.

"Insya-Allah, suatu hari nanti kamu juga akan memiliki anak-anak. Masanya pasti tiba setelah Tuhan mengizinkan. Setiap kita diuji dengan sesuatu. Kamu berdua diduga dengan menantikan kehadiran cahaya mata... " Tutur Grandma Aisyah.

"Orang lain diuji dengan kesihatan dan juga kata-kata negatif daripada orang sekeliling..." sambung Grandma Aisyah sambil melemparkan sekilas pandangannya pada Akasyah yang sejak sebelum berkahwin dengan Adam lagi sudah ada bermacam-macam penyakit. Selain itu, pernah Grandma Aisyah menyaksikan dengan matanya dan telinganya sendiri bagaimana dengan kurang sopannya beberapa orang sanggup melemparkan kata-kata bahawa Akasyah tidak layak untuk menjadi isteri Adam; sewaktu dia melawat keluarga anaknya di Malaysia menyambut hari lebaran.

"Dan orang macam grandma pula sudah semakin menghampiri penghujung usia. Makin ramai orang yang grandma kenal sudah pergi, termasuklah suami sendiri. Kini hidup bersendirian dalam rumah sebesar ini dengan ditemani oleh pembantu rumah sahaja." Sambung Grandma Aisyah sambil tersenyum pahit.

Bukannya tak pernah papa Adam mengajaknya tinggal di Malaysia, ataupun anak perempuannya mempelawa dia datang ke Belgium. Namun, terlalu banyak kenangan dia dan suami tersimpan di rumah warisan ini. Dia juga setia meniti hari-hari tuanya dalam ruang yang penuh dengan memori keluarganya sejak sekian lama dahulu.

Kini kegembiraan cucu-cucu dan cicit-cicitnya menggamit kenangan waktu mudanya. Rumah agam ini kembali ceria dengan kehadiran Adam sekeluarga yang datang bercuti bersama-sama pasangan suami isteri yang juga teman baik mereka, Ammar dan Wawa.

"Kebahagiaan seseorang di dunia ini juga banyak berkait rapat dengan hubungan sesama manusia selain daripada hubungan baik dengan Tuhan. Semakin kita bahagia dengan kehidupan yang dimiliki, bersangka baik dengan takdir dan tenang dengan orang di sekeliling kita, dunia ini akan terasa indahnya."

Indah seperti kuntuman bunga...

"Seindah bunga sakura mekar dalam musim bunga," bak kata Akasyah. Isteri cucunya itu suka benar dengan bunga yang sinonim dengan negara di mana tempatnya menuntut ilmu.

"Ya, juga seindah barisan bunga tulip yang berwarna-warni, memenuhi kebun bunga di Noordoostpolder, Flevoland." Tambah Adam pula, yang mengagumi bunga kebanggaan negara kelahiran papanya. Mestilah sama seperti grandma Aisyah juga.

"Tak lupa juga bunga raya di Malaysia!" Sampuk Aisyah yang berjiwa patriotik walaupun cucu comel itu tidak lahir di tanah air ibu ayahnya, namun masih mengingati bunga kebangsaan itu.

Arham dan Akram. "Bunga matahari!"
Wawa. "Bunga ros."
Ammar. "Bunga kemboja."

Apabila ditanya tentang bunga yang paling cantik dan terasa indah apabila dipandang mata, begitulah jawapan yang diterima.

Saat itu salji putih turun dari langit. Dan anak-anak kecil Adam dan Akasyah menyambutnya dengan menjerit keriangan.

(bersambung...)

#RADHA

Petikan #throwback di atas daripada versi asal online e-novel Relevankah Aku Di Hatimu? yang ditulis pada 23 Julai 2004.

Kredit nasihat Grandma Aisyah:
https://positivepsychology.com/build-trust/