Sunday, January 31, 2021

[43] Gelap

Karya pendek

Gelap
Oleh Rnysa

43

Awal pagi hari persekolahan
#MCODayXXX #PKPB
#stayathome #workathome
#teacherathome #studentathome

Di luar makin cerah.
Dengan lampu menyuluh muka sambil berGoogle Classroom bersama anak murid yang meriah.

Cikgu Azam termenung seketika sebaik sahaja menerima Jadual Pengajian dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) semasa PKBP untuk kelas Darjah 1 sehingga Darjah 6. Jadual mingguan itu diguna pakai untuk satu sekolah.

***
Hari:
Isnin

Masa:
8:00 - 10:30 Bahasa Melayu
11:00 - 1:00 Bahasa Inggeris

***
Hari:
Selasa

Masa:
8:00 - 10:30 Matematik
11:00 - 1:00 Sains

***
Hari:
Rabu

Masa:
8:00 - 10:30 Pendidikan Islam/Moral
11:00 - 1:00 Bahasa Arab

***
Hari:
Khamis

Masa:
8:00 - 10:30 Bahasa Melayu
11:00 - 1:00 Bahasa Inggeris

***

Hari:
Jumaat

Masa:
8:00 - 10:30 Matematik
11:00 - 1:00 Sains

***

Cikgu Azam berhenti mengadap komputer ribanya. Matanya menala ke arah jam dinding yang tergantung di biliknya.

Ada masa lagi nak makan sarapan, fikirnya.

Cepat-cepat dia turun ke tingkat bawah rumahnya. Rumah 'tinggalan' mak ayah yang hanya kini dihuni oleh dia tiga beradik bersama dengan kakak dan abang.

Cikgu Azam merupakan anak paling bongsu dalam sepuluh beradik. Yang abang-abang dan kakak-kakak di atasnya, ada yang sudah berkeluarga dan ada masih bujang.

Dia tidak terus ke dapur tapi pergi ke ruang tamu dan menjenguk ke luar rumah sebelum pandang ke meja makan. Eh, dah ada orang belikan sarapan? Tersengih panjang dia pagi itu sebab tak perlu memasak.

"Azam, ayah dah beli sarapan. Makanlah." Suara ayah menyapa dari bilik depan.

"Oh, bila ayah sampai?" Azam terus bersalaman dengan ayah. Lama tak jumpa ayah sendiri. Mata Azam mengintai-intai ke dalam bilik ayah. 

"Baru sekejap tadi," kata ayah lalu terus duduk di kerusi rotan di ruang tamu. "Ayah datang seorang saja ni." Sambung ayah, seperti memahami apa yang dicari oleh lirikan mata anak lelakinya itu.

Oh, isteri ayah tak ada datang sekali? Hmmm, baguslah! Balas Azam dalam hati.

Malas nak bertanya lebih-lebih, Azam terus ke dapur pergi bancuh air milo dan ambil pinggan nak jamah nasi lemak yang ayah bawa.

Lama ayah diam sebelum bersuara kembali, "Kakak kamu ada telefon? Dia sihatkah?"

Azam garu kepala. Kakak yang mana satu? Yang tak ada dalam rumah ini ada tiga orang kakak.

"Ayah tanya fasal kakak yang mana satu ni?"
"Kak ngah kamu. Kakak kamu yang baru balik dari Jepun."

Oh, ayah nak tanya fasal anak kedua dia - Nurul Akasyah binti Othman. Baru tak baru jugalah Kak ngah balik dari Jepunnya.

"Tak ada pula, ayah, " jawab Azam pendek. "Ayah telefonlah dia." Usul bakal guru lepasan IPG itu kemudiannya.

Ayah selalu macam itu. Nak tahu fasal anak yang lain, pergi bertanya kepada anak yang lain. Kenapa tak bertanya terus kepada orang yang berkenaan? Pelik.

"Kak ngah tak telefon ayahkah?"

"Idak...." Tak ada pula Syah menelefon dia. Sibuk agaknya, fikir Hj. Othman. 

Dah nombor telefon Kak ngah pun pernah isteri ayah 'block' dalam telefon ayah. Jadi manalah Kak ngah nak menelefon lagi, kata Azam dalam hatinya lagi.

Nasi lemak disuap ke dalam mulut sambil mata Azam ralit memerhati riak wajah ayah yang sudah semakin tua dimamah usia. Rambut ayah pun sudah makin banyak putih dengan uban.

Entahlah, mereka adik-beradik bukannya nak bolot ayah pun. Mereka faham yang ayah mungkin kesunyian selepas mak meninggal dunia dan perlu kehadiran seorang isteri untuk menemaninya. Cuma kalau nampak sangat sudah tersalah pilih isteri, patut bolehlah buat sesuatu. Bukannya membiarkan sahaja isteri ayah terus menjarakkan lagi hubungan ayah dengan anak kandung ayah.

Sekolah kehidupan.
Tak pernah tutup.

Sekolah kehidupan. 
Tak pernah tamat.

Yang tutup mungkin mata, hati dan telinga.
Yang tamat mungkin...masa?

Azam terpandang jam dinding di ruang tamu. Lantas dia segera mempercepatkan suapannya. Sekejap lagi kelas sudah nak bermula. Dia pun tak banyak masa nak berbual panjang dengan ayah.

Tanggungjawab perlu digalas dalam memastikan pembelajaran dengan anak muridnya dapat dijalankan dengan sebaik yang mungkin. Sesi persekolahan perlu diteruskan walaupun banyak cabaran yang dihadapi dalam keadaan norma baharu sekarang. 

Dan, Hj. Othman termenung jauh sendirian. Dia teringat sesuatu yang pernah diperkatakan oleh anak keduanya, Nurul Akasyah lewat perbualan telefon terakhir mereka beberapa bulan yang lalu.

"Tak apalah, ayah. Mulai dari hari ini Kak ngah takkan telefon ayah lagi. Kak ngah takkan mesej ayah lagi. Kak ngah takkan kacau hidup ayah dan isteri ayah lagi. Kak ngah faham yang ayah dah kahwin...."

(bersambung...)

#RADHA #backtoschool #kausekolahketak

Entry tribute untuk semua warga pendidik dan anak didik di segenap peringkat di mana jua anda berada ☺️

📷: Google Classroom apps



Tuesday, January 26, 2021

[42] Gelap

Karya pendek

Gelap
Oleh Rnysa

42

Pagi keesokan harinya
#MCODayXX #PKPB
#stayathome #takdirilahi

Di luar sudah semakin terang.
Ditambah kicauan burung yang terbang bebas dengan hati yang girang.

"Kenapa muka sembab macam tu, Adik? Tak sihatkah?" Mama sedikit risau melihat si anak melangkah lemah longlai.

"Pagi ini mama buatkan sarapan istimewa untuk Adik - Korean Street Toast. Semalam resepinya lalu dekat Facebook mama." Penuh ceria mama bercerita.

Tak lama lagi Adeilah sudah nak berkeluarga. Dan lepas ini tak duduk sebumbung lagi dengan Akbar dan dia. Jadi dengan kesempatan yang ada, dia cuba mahu memanfaatkan sebaiknya dengan Adeilah. Fikir mama.

Namun, Adeilah hanya diam dan menarik kerusi meja makan sebelum melabuhkan duduk di sebelah mamanya.

Mata mama cekap menangkap riak wajah mendung Adeilah. Segera dia meletakkan telapak tangan di dahi anak bongsunya itu.

"Macam panas sikit ni. Pergi jalan mana semalam... sampai nak terdemam-demam ni?" 

Spontan mama bangkit untuk mengambil termometer dalam kotak pertolongan cemas dari dalam kabinet dapurnya. Lalu mama 'menembak' termometer dekat dahi Adeilah. Mujur tak tinggi mana, tak demam apa. Mungkin setakat dedar sahaja, berasa panas badan seperti rasa hendak demam. Mama ulang rasa dahi Adeilah dengan telapak tangannya.

"Kan mama dah pesan, waktu ni tak sesuai nak berjalan sangat. Achik tu pun satu... nak bawa juga anak-anak ke luar rumah. Kalau tak ada keperluan, duduk saja di rumah." Mulut mama tak dapat menahan diri daripada nak memarahi tindakan anak lelakinya itu.

"Dah lama budak-budak tu tak keluar, mama. Tu yang Achik dan Kak Syah bawa juga berjalan-jalan. Kasihan dah berapa bulan asyik terperuk dalam rumah." Adeilah cuba mempertahankan. Kasihan Achik dan Kak Syah kena marah nanti.

"Kak Syah nak pergi beli selimut. Lagipun sekarang kan cuaca sejuk macam dekat Jepun." Sambung Adeilah lagi. Dia ulang balik apa Kak Syah cakap.

"Sekarang kan dah mudah boleh beli online."
"Kaison tak jual online, mama."
"Kedai lain pun banyak jual selimut, kan?"

"Kak Syah suka yang selimut jual dekat Kaison. Kan biasa kalau dah berkenan dan suka sesuatu, Kak Syah nak yang itu juga." Adeilah faham sangat perangai Kak Syah, mama pun sepatutnya tahu juga.

Hmm, macam Syah sukakan Adam jugalah. Dah suka berkenan dekat si Adam, nakkan anak lelakinya itu juga. Laju ulasan selari oleh Dr. Sufiah, dalam hatinya tanpa dirancang.

Astaghfirullah hal 'azim, ucapnya kemudian dalam hati cepat-cepat sebelum terbabas fikir jauh yang bukan-bukan.

"Tak apa. Kejap lagi mama telefon Achik. Mama dah pesan banyak kali sebelum ni."

"Mama, anak-anak Achik tu kan lama duduk di Jepun. Pandai jaga SOP."

Mama tidak menghiraukan kata-kata Adeilah, terus pandang papa. "Nanti abang tolong pesan pada Adam dan Syah sekali, ya?"

Mama melepaskan nafas berat.

Mak kepada anak menantunya itu sudah tiada, ayahnya pula menyepikan diri selepas kahwin baharu buat kali kedua. Jadi, macam tak ada siapa orang tua yang nak menegur dan mengambil berat. Ada sedikit rasa simpati buat isteri Adam itu. Memandangkan Akbar lebih rapat dengan Syah, biarlah suaminya itu yang menasihati.

Carl Duke Akbar mengangguk tanda faham. Teh dibawanya ke bibir dan dihirupnya perlahan. Dalam masa yang sama, dia tak lepas memerhatikan wajah anak perempuannya yang nampak suram.

***

Adeilah jenuh tergolek-golek di atas katil. Serba tak kena. Tapi ada rasa nak tidur selepas mama beri makan panadol tadi. Risau betul mama kalau dia demam betul-betul.

Tok, tok, tok!

Pintu kamarnya dikuak.

"Adik, mama Freddy telefon tadi. Dia kata, adik nak poskan kad jemputan kahwin. Betulkah?" Tanya mama sambil tercegat di tengah muka pintu.

"Eh, Aunty May Lin telefon mama?" Adeilah kalih teddy bear dari atas mukanya.

"Yalah." Mama terus duduk di tepi katil Adeilah sambil picit-picit dahi Adeilah. Tadi Adeilah beritahu yang dia pening kepala juga.

"Semalam Adik terjumpa Freddy, ya? Tu yang pagi ni bangun dengan mata sembab macam orang menangis dan tak cukup tidur. Betul tak?" teka mama.

Adeilah pejamkan mata dan lepaskan keluhan berat. Macam nak lepaskan seluruh beban perasaan dalam dada waktu itu. Siling ditenungnya dengan pandangan kosong.

"Adik tak boleh la... kalau tengok muka dia...dengar suara dia..." Lalu Adeilah tutup balik muka dia dengan teddy bear.

Malu kalau mama atau sesiapa ternampak dia menangis tiba-tiba sebab Freddy. Dia selalu cakap yang dia sudah lupakan Freddy. Tapi rasa macam tak dapat lupakan sepenuhnya lagi. Belum 100% lagi.

Mama tepuk-tepuk bahu dan usap rambut Adeilah tanpa sepatah kata. Dia tahu yang anaknya itu terlalu sayangkan Freddy suatu waktu dulu. Jadi, untuk melupakan seseorang yang sangat dekat di hati pastinya sukar dan payah.

"Adik tidurlah dulu. Pejamkan mata. Tidurlah, sayang."

***

Bulan Mei, London
Hampir sepuluh tahun yang lalu...

Freddy menyeluk sebelah tangan ke dalam poket jaket hitamnya. Dia baru sahaja tiba dari Paris bersama dengan Adeilah dan Nana. Datang temankan tunangnya itu nak meraikan majlis graduasi abangnya yang berjaya menamatkan ijazah doktor falsafahnya.

"Bae, tolong jaga beg I sekejap. I nak pergi ladies." Adeilah terus letakkan beg luggage tariknya di hujung kaki Freddy.

"Nana, nak ikut tak?" Tanya Adeilah.

"Tak. You pergilah. I tunggu sini dengan Freddy."

"Okey, tunggu ya." Tanpa bertangguh Adeilah bergegas mencari tandas wanita di stesen kereta api utama kota London itu.

Freddy dan Nana berpandangan antara satu sama lain seketika.

"Nana nak apa-apa tak?"
"Kenapa?"

"Sejuk. Ingat nak beli kopi." Kata Freddy sambil tuding jari pada kafe yang tidak jauh daripada tempat mereka berdiri.

"Boleh juga. Belikan untuk Del sekali."
"Okey."

Nana sudah seluk beg tangan nak beri duit pada Freddy.

"Eh, tak payah. I belanja." Freddy ketawa. "Sekejap ya. Tunggu sini sekejap."

Nana memerhatikan Freddy melangkah menuju ke kafe yang dimaksudkan.

Bertuahnya Del sebab dapat tunang yang elok dan baik macam Freddy, puji Nana dalam hati.

Nana tak perasan sangat Freddy sebelum ini. Dia kenal Freddy pun lepas habis SPM. Itupun sebab 'kantoi' ternampak Adeilah dating dengan Freddy (tapi terpaksa bawa abang Adamnya sekali) dekat Berjaya Times Square. Pada mulanya Nana ingatkan Freddy Ebrahim Lee itu kenalan Achik @ abang Adam, rupa-rupanya lelaki itu adalah teman lelaki Adeilah. 

"Pandai sungguh Del sorok rahsianya daripada semua orang." Usik Nana pada Adeilah yang sudah tunduk tersipu-sipu malu, waktu itu.

Dan keesokan harinya, majlis graduasi Achik berlangsung di Royal Albert Hall, London. Memang secara tradisi kebiasaannya majlis akan diadakan di situ.

Adeilah tampil cantik menawan dengan kebaya nyonya melaka warna merah jambu muda, sedondon dengan Freddy yang pakai kemeja warna merah bata. Nana pun menyarung kebaya moden, ikut tema warna merah jambu sama dengan sahabat baiknya itu. Begitu juga grandma Aisyah, mama dan papa Adeilah, Achik sekeluarga serta Kak Long dan Kak Ngah sekeluarga. Semua sepakat pakai baju tona warna merah.

Saat ini Adeilah dan Freddy berdiri sebelah-menyebelah. Sedang cuba ambil gambar kenangan Achik, Kak Syah dan Arham. Waktu itu Kak Syah baru lepas melahirkan Arham beberapa bulan sebelumnya.

"Tak nak gambar tadi. Nampak dagu berlapis." 

Semua orang cuba nak simpan ketawa apabila dengar Kak Syah cakap macam itu.

"Biasalah tu, kan baru lepas bersalin dan sedang menyusukan Arham." Sebagai seorang suami, Achik faham perubahan fizikal yang berlaku. Dia main kenyit mata dengan Kak Syah, tak nak beri Kak Syah fikir sangat.

Terus Kak Syah buat muka sepuluh sen, malas nak layan abang tapi pergi serius berbincang dengan Freddy.

"Dah cantik dah, sayang." Kata Achik yang dah tak larat nak bergambar lagi. Pipi Arham yang sedikit kemerahan dikecupnya. "Kasihan anak ayah. Sejuk kan, sayang."

"Please... sekali lagi. Tak nak yang nampak double chin." Kak Syah asyik merayu dari tadi tapi Achik pula sudah penat nak tarik senyum depan kamera. 

"Okey saja gambar ni, Kak Syah." Kata Freddy sambil ketawa. Disuanya skrin kamera DSLR digital pada Kak Syah. Hari ini dia jadi jurugambar rasmi professional untuk abang Adam sekeluarga.

"Tak cantik..." Kak Syah sudah buat muka sedih. Semua gambarnya nampak dagu berlapis yang tak dapat nak diselindungkan lagi.

"Mari sini adik tolong betulkan tudung Kak Syah." Adeilah sangkut tas tangannya ke bahu. Pantas tangannya menata rias dan buat styling apa yang patut. Dia ada juga ambil job secara sambilan jadi model tudung muslimah. Tahulah juga bagaimana nak menggayakan tudung jenis shawl yang Kak Syah pakai.

Nana pun turut sinsing lengan nak menolong sama.

Freddy tangkap gambar candid dua teman baik itu membantu kakak ipar Adeilah yang comel. Dan Freddy tersenyum panjang tengok gambar yang diambilnya. Sangat natural.

Adeilah, Nana dan Kak Syah... sedang tersenyum manis.

***

"Del, boleh I duduk sini?"
"Freddy?" 

Tanpa diberi izin, Freddy sudah tarik kerusi di hadapan Adeilah dan melabuhkan duduk.

"Mana tahu I ada dekat sini?" Tanya Adeilah, separuh berbisik.

"I call mama you. Dia cakap you pergi keluar. Jadi, I dah agak mesti you datang sini." Ucap Freddy.

Mereka berdua pandang McDonald's Bukit Bintang yang hampir kosong tak berpelanggan. Di sinilah tempat pertama kali mereka pernah bertemu dulu.

Waktu itu Freddy dan kawan-kawannya beratur di hadapannya. Sekali pandang belakang terus nampak dia dan Nana. Masa makan pun Freddy duduk setentang meja sambil dok ralit usya Adeilah tengah makan. Sebelum Adeilah nak balik, Freddy cuba minta nombor telefon tapi tak dapat. Sejak dari itu, Freddy datang ke sini hampir setiap hari dengan harapan dapat bertembung dengan Adeilah semula. Lepas beberapa minggu, mereka bertemu kembali dan dek kerana kesungguhan Freddy akhirnya berjaya pikat hati Adeilah.

Lama mereka saling diam, membiarkan masa berlalu. Membiarkan kebisuan mengisi ruang dan waktu.

"Baliklah rumah. Nana tunggu you. Anak-anak tunggu you." Luah Adeilah, akhirnya.

"Baby..." Freddy cuba nak meraih jemari Adeilah tapi Adeilah cepat-cepat sorok tangannya ke bawah meja.

Dari dulu memang Adeilah tak beri Freddy sentuh tangan dia atau apa. Dia masih pegang janji itu dengan Achik - takkan membiarkan lelaki yang bukan suami pegang dia tak tentu arah. Cuma, sekali itu saja dia pernah sua tangan untuk Freddy nak sarung cincin pada malam Valentine Freddy melamarnya.

Agaknya sebab itu Freddy pilih Nana. Sampai nak jalan berpimpin tangan waktu Adeilah tak berada di Malaysia. Jadi, teruskanlah pimpin tangan Nana sampai ke syurga.

"Baliklah..." Pujuk Adeilah lagi.

Untuk Nana.
Untuk anak-anak Freddy dan Nana.
Untuk Khalid dan dia.

"Sayang..." Lembut Freddy menutur. Dia seru nama panggilan pada Adeilah macam waktu dulu.

Takdir. 
Yang tertulis.

Suratan.
Yang tertunda. 

"Baliklah...kalau you betul-betul sayang pada I." Adeilah genggam jari-jemarinya erat-erat. Mata sudah terasa berat. Bila-bila masa sahaja empangan air mata boleh pecah. Bertahan, Adeilah!

"Kalau betul-betul you sayangkan I, you takkan sanggup dengar orang mengata macam-macam dekat I. I bukan pengganggu rumah tangga orang."

"Ah, pedulikan mulut orang. Yang penting... you dengan I. I tahu yang you masih sayangkan I lagi, Del." Kata Freddy dengan penuh yakin.

Adeilah pandang ke depan. Di luar sana, Khalid sudah muncul dan sedang menunggunya di sebalik cermin kaca. Khalid tersenyum nipis, Adeilah balas senyum balik.

"Baliklah pada Nana. Dekat sini... bukan tempat kita lagi. Sekarang... bukan masanya lagi kita nak kenang masa lalu lagi. You dah ada tanggungjawab dan amanah besar. Isteri dan anak-anak you itu amanah daripada Allah. Tolonglah jangan sia-siakan."

Hari ini Adeilah pilih nak jadi 'ustazah'; beri nasihat macam abangnya. Adalah dapat berkat setelah beberapa kali ikut solat berjemaah dengan Achik sekeluarga dan Khalid waktu pertemuan di rumah abang 'landlord' Pinto dulu. Ditambah dengan sambil-sambil mendengar tazkirah daripada abang 'ustaz'nya. Dia pun mahu memiliki rumah tangga yang sejuk lagi aman damai macam Achik dan Kak Syah.

"Del..."

"Tempat di hati I... dah ada orang lain yang isi." Adeilah tersenyum manis tatkala terpandang jambangan bunga ros merah jambu yang terselit mini teddy bear di tangan Khalid.

Habis hilang macho 'seniman jalanan' Kak Syah. 'Seniman jalanan' yang ada Gred berapa entah ABRSM piano dan teori. 

"Jalananlah sangat, Kak Syah". Katanya pada Kak Syah dulu. Adeilah pun pernah belajar main piano juga tapi tak habis khatam macam Khalid.

"Baliklah, Freddy." Ulang Adeilah sekali lagi, sebelum matanya bertembung dengan mata Achik. Yang berdiri di sebelah Khalid sambil seluk kocek seluarnya.

Freddy menoleh ke belakang. Dua susuk lelaki yang dikenalinya itu menyapa mata. Dia tarik nafas sedalam-dalamnya.

Jikalau takdir tertunda tiada bertangguh. 
Jikalau suratan tertulis tiada bernoktah.

(bersambung...)

#RADHA #suratanhidup

Oh, dalam entry ini saya selitkan nama MaY_LiN, pembaca yang rajin beri komen dalam blog. Kalau sudi, boleh tak mesej saya di Facebook atau Messenger? Nak kenal pembaca lama dari rnysa.blogdrives.com ☺️

📷: Pinterest

Saturday, January 23, 2021

[41] Gelap

Karya pendek

Gelap
Oleh Rnysa

41

Malam
#MCODayX #PKPB
#stayathome #Paris #FreddyxAdeilah

Di luar sudah semakin gelap.
Hanya berteman di hati secebis kenangan yang masih terhinggap.

Adeilah tersenyum melihat gambar pulut kuning dan rendang tok dalam telefon bimbitnya. Masa kiriman itu diterima dia sudah tahu kerja siapa. Mesti abangnya yang menghantar. Sudah agak bakal dapat pulut kuning selepas abang tahu dia sudah berhijab sepenuhnya. Kak Long dan Kak Ngah pun pernah menerima hadiah yang sama juga sebelum ini.

Pada kiriman tersebut abang titipkan nota ucapan yang berbunyi:

Assalamu'alaikum, 

Achik dan Kak Syah sangat gembira untuk Adik.
Semoga sentiasa istiqamah dan dalam lindungan kasih sayang Allah SWT.

Terima kasih, Adik.

Daripada,
Achik & Kak Syah sekeluarga

Adeilah menarik selimut hampir menutupi seluruh badan. Sejuk pula cuaca di Malaysia sekarang. Macam sedang berada di Eropah pula.

Kak Syah pun mengakui perkara yang sama tadi semasa membeli-belah di Kaison. Kakak iparnya sudah terpesona dengan kedai yang cantik dan comel. Kebetulan cuaca pula sejuk macam di Jepun saja, kata Kak Syah. Jadi habis diborongnya beberapa helai throw dan quilt ke dalam troli.

Dan tengah waktu dia temankan Kak Syah memilih selimut, Freddy datang menegurnya. Tentulah Adeilah sedikit terkejut dengan pertemuan yang tidak disangka itu.

Sudah berbulan-bulan Freddy cuba mendapatkan Adeilah supaya kembali ke sisinya. Lelaki itu cuba menelefon, selain daripada menghantar mesej, hadiah dan jambangan bunga ros merah jambu kegemarannya. Freddy ingin menjalinkan semula hubungan mereka yang pernah terputus di tengah jalan.

Baby, I miss you.

Mesej Freddy berkali-kali.

Berkali-kali juga Adeilah sudah 'block' nombor Freddy, namun bekas tunangnya itu akan guna nombor yang lain pula.

Mata Adeilah terpaku pada sekeping gambar lama. Gambar Freddy dan dia berhampiran dengan Menara Eiffel.

Malam hari Valentine. Malam di mana Freddy meluahkan hasrat hati mahu melamarnya menjadi isteri, dengan melutut mengikut gaya chivalry dalam budaya barat. Yang pada saat dan detik itu, Adeilah cukup merasakan terharu dan tersentuh rasa.

Menara Eiffel.
Jadi saksi.

Kota Paris.
Jadi bukti.

Bila hati berpaksi.
Bila cinta terpateri.

Pastinya Adeilah menerima lamaran yang sangat dinanti-nantikannya itu. Mereka sudah berkenalan sejak dia berada di Tingkatan Satu dan Freddy pula hanya tua setahun daripadanya. Kemudian jadi pasangan 'couple' selepas Adeilah tamat peperiksaan PMR. Sehinggalah Adeilah ikut terbang belajar di Paris supaya dekat dengan Freddy yang pada ketika itu sedang menyambung pengajian dalam bidang kejuruteraan di sebuah universiti tempatan di kota fesyen itu.

"Del sayang, sudi tak jadi isteri I? Sudi tak nak sehidup semati dengan I?" Tanya Freddy dalam Bahasa Perancis.

"Oui." Jawab Adeilah 'Ya' dalam Bahasa Perancis

Dan saat itu, Freddy sarungkan cincin ke jari manisnya. Waktu cuti musim Krismas tahun tersebut mereka pulang ke Malaysia dan melangsungkan majlis pertunangan. Janjinya dalam masa dua, tiga tahun mereka akan bernikah pula. Namun, apa yang terjadi sebaliknya.

Dia terserempak dengan Freddy dan Nana sedang jalan berpegangan tangan di dalam sebuah butik di KLCC. Waktu itu mungkin mereka berdua tidak menyangka yang Adeilah sudah kembali ke Kuala Lumpur dari out station di luar negara. Adeilah ingat nak buat kejutan untuk Freddy, tapi akhirnya dia pula yang menerima kejutan.

Maka, terus Adeilah ambil keputusan untuk memutuskan pertunangannya. Dia tak dapat menerima hakikat bahawa tunang dan sahabat baiknya itu menjalinkan hubungan di belakangnya secara diam-diam bersembunyi begitu.

"Tak ada jodoh," jawab Adeilah setiap kali orang bertanya tentang hal Freddy dan dia.

"Salam Adik, okey tak?" Tiba-tiba mesej Achik masuk.

Terus Adeilah rasa nak menangis. Sebak sebenarnya lepas jumpa Freddy siang tadi. Adeilah tak menafikan masih ada secebis rasa sayang tersimpan untuk lelaki itu. Lelaki yang pernah bertakhta di hatinya bertahun-tahun lamanya. Dan nak membuang rasa itu juga mengambil masa sehingga ke saat ini pun.

"Kalau nak cerita apa-apa boleh telefon Achik atau Kak Syah. Kalau nak bercakap dengan Khalid pun okey juga." Satu lagi mesej daripada Achik diterimanya.

Adeilah menarik nafas panjang.

Mungkin tadi Achik perasaan ada perubahan di wajahnya waktu bertemu dengan Freddy. Begitu juga dengan Khalid.

"I nak memperkenalkan tunang I. Bakal suami I, Khalid Ahmad." Bergetar suara Adeilah waktu itu.

"Bakal suami? You dah nak kahwin, Del?" Freddy tersenyum pahit. Wajah Adeilah dipandangnya dalam-dalam.

Adeilah mengangguk perlahan.

I kena kahwin, Freddy. Kalau tak, you akan terus datang ganggu I dan musnahkan rumah tangga yang you dah bina dengan Nana. Sambung Adeilah dalam hatinya.

"Kadnya I dah pos ke rumah you."

"Oh? I dah tak duduk serumah dengan Nana. I dah pindah balik duduk dengan papa dan mama."

Freddy mengusap belakang lehernya. Patutlah Adeilah selalu mengelak, rupa-rupanya dia sudah jumpa orang lain. Freddy pandang Khalid dari hujung rambut ke hujung kaki.

"Oh, nanti I pos ke rumah keluarga you juga. Jemputlah datang, okey?"

"Insya-Allah. Tahniah, Del... dan Khalid." Freddy letak tangannya ke dada. Salam gaya norma baharu.

"Freddy?"

Adeilah berpaling ke belakang. OMG, abang dah perasan!

"Achik..." Freddy melemparkan senyum kepada satu-satunya abang Adeilah itu.

Namun, Adeilah dapat merasakan mata Khalid yang memerhatikannya dan bibirnya bertanya dengan nada rendah, "Are you okey?"

Adeilah segera mengundur beberapa tapak ke belakang tanpa menjawab. Pantas matanya tercari-cari bayang wajah Kak Syahnya.

Kak Syah dekat mana? Tolong adik. Adik tak boleh dengar suara Freddy. Adik tak kuat...

Dan bagaikan memahami, Kak Syah muncul bak fairy godmother yang menyelamatkan Adeilah dari situasi itu.

Telefon berbunyi lagi, tanda ada mesej baharu masuk.

"Assalamualaikum Adeilah, saya ada dekat sini kalau awak nak bercerita apa-apa. - Khalid."

Laju Adeilah tarik selimut sampai menutup seluruh wajahnya. Lalu air mata pun jatuh berlinangan tanpa diundang.

Di hujung talian, Khalid hanya memandang sepi mesej yang tidak berbalas. Tidak seperti kebiasaannya. Kenapa diam membisu sahaja, sayang?

(bersambung...)

#RADHA #Bangsar #KhalidxAdeilah

📷: Pinterest



Tuesday, January 19, 2021

[40] Gelap

Karya pendek

Gelap
Oleh Rnysa

40

12 Disember 2020
#MCODay270 #PKPB
#stayathome  #stayathotel #HappyBirthdaySyah

Di luar sudah gelap.
Hanya limpahan cahaya dari bulan dan bintang yang terang ditatapnya dengan penuh perasaan.


12 Disember 2020 bersamaan dengan 26 Rabi'ul akhir 1442H.
Rabi'ul akhir, pengakhiran musim bunga.

Tapi kalau ikut kalendar Islam atau Takwim Hijriah, sebenarnya tarikh Syah lahir jatuh pada 25 Safar.

*Takwim Hijriah mula diperkenalkan pada tahun ke-17 selepas peristiwa Hijrah iaitu semasa pemerintahan Khalifah Islam kedua, Khalifah Umar Ibn al-Khattab dalam tahun 638 Miladiah.

Takwim Hijriah merupakan takwim rasmi umat Islam dalam pelbagai urusan terutama dalam aspek ibadat. Ia adalah suatu sistem qamariah tulen berpandukan peredaran bulan mengelilingi bumi.

Seperti firman Allah SWT dalam Surah Yunus ayat ke-5:

“Dialah yang menjadikan matahari bersinar-sinar (terang-benderang) dan bulan bercahaya, dan Dialah yang menentukan perjalanan tiap-tiap satu itu (berpindah-randah) pada tempat-tempat peredarannya (masing-masing) supaya kamu dapat mengetahui bilangan tahun dan kiraan masa. Allah tidak menjadikan semuanya itu melainkan dengan adanya faedah dan gunanya yang sebenar. Allah menjelaskan ayat-ayat-Nya (tanda-tanda kebesaran-Nya) satu persatu bagi kaum yang mahu mengetahui (hikmat sesuatu yang dijadikan-Nya).”

Syah melontarkan semula pandangannya ke dada langit. Bintang yang paling cerah dicari. Ah, jumpa! Kalau ada nagareboshi lagi cun.

Nagareboshi.
Shooting star.

Nagareboshi.
Falling star.

Syah merenung lagi ke luar. Pandangan ditebar, memerhati bangunan tinggi pencakar lagi. Tak jauh dari kedudukannya juga boleh nampak dengan jelas gemerlapan cahaya lampu pada Menara Berkembar Petronas dan bangunan-bangunan lain yang sejauh mata memandang.

Tappp!

"Buat apa beramai-ramai dalam gelap ni?" Serentak itu juga lampu bilik hotel dinyalakan.

Alah, Kaduk ni pergi pasang lampu pula. Orang baru nak 'feeling'...

Lima pasang mata menoleh serentak ke arah tuan punya suara.

"Ayah..." Arham, Aisyah dan Akram toleh tengok Kaduk yang tercegat di depan muka pintu.

"Achik..." Adeilah yang tadinya rancak menaip dengan telefon bimbitnya terhenti.

"Sayang..." Syah yang duduk bersandar pada katil angkat tangan macam murid angkat tangan waktu cikgu sebut nama nak catat kehadiran.

Terdengar bunyi Kaduk melangkah masuk.

"Sayang?"
"Hmm."
"Jawab suami dengan 'hmm' saja?"

Kaduk angkat kening pada Syah, Syah balas dengan senyuman.

"Tolong padamkan lampu, sayang. Please..."
"Hmm."
"Eh, dia tiru kita la."

Kaduk tersenyum dan menapak kembali ke dinding suis bilik. Comellah Syah ni, katanya dalam hati.

Tappp!

Lampu sudah dipadamkan. Bilik tidur utama jadi gelap semula.

Syah membuang pandang ke arah Menara Petronas semula. Di tengah tasik di hadapan bangunan Suria KLCC air pancut berirama tengah giat 'menari' dengan simbahan lampu berwarna-warni.

Terima kasih kepada Encik Suami yang sudi bawa mereka semua pergi ber'staycation' di hujung minggu. Mulanya bercadang nak pergi Langkawi masa hujung tahun nanti. Tapi memikirkan kes Covid-19 yang tak nampak bayang nak menurun dan campur dengan majlis kenduri pernikahan Adeilah yang bakal tiba pada minggu depan, Kaduk gantikan dengan percutian pendek ini.
 
"Buat apa 'babysitter' duduk dalam bilik abang ni? Nak main telefon, pergilah duduk bilik sendiri." Si abang bersuara dalam gelap.

Dan Syah dengar bunyi pintu almari dibuka.

"Bye Bae. Abang 'ustaz' dah balik." Bisik Adeilah cepat-cepat lalu hantar mesej suara itu melalui WhatsApp group "Ta'aruf Khalid & Adeilah". Dan tentunya mesej itu Achik dan Kak Syah terima juga sebab mereka berdua menjadi pemerhati.

Telefon bimbit dalam poket seluar slack Kaduk bergegar. Dia seluk seluar dan baca nama yang tertera.

"Adik, kan minggu depan dah nak menikah. Bae, bae..." Kaduk sambung bercakap lagi sambil mengerling ke arah anak-anaknya sekilas.

Dari tadi dia asyik terima mesej Adeilah kepada Khalid. Masuk tak henti-henti dalam telefonnya. Tak senang duduk dia hendak berbual dengan kawannya yang sama belajar di London dulu.

Nak dijadikan cerita terserempak waktu Kaduk sekeluarga, Adeilah dan Khalid dalam perjalanan balik dari Aquaria nak makan malam di KLCC. Terus kawan dia itu ajak minum kopi sebab lama sangat tak jumpa. Jadi lepas makan malam, dia turun sekejap ke KLCC semula.

"Kan tadi dah jumpa Khalid hari ini, siap dengan sambut hari lahir Kak Chik sekali?"

"Rindu." Jawab Adeilah dengan suara perlahan sambil curi-curi pandang pada Kak Syahnya dengan hujung matanya; seakan merayu minta Kak Syah tolong selamatkan dia daripada kena ceramah dengan abangnya. Namun seperti biasa, Kak Syah mana berani nak masuk campur dalam urusan antara Achik dan dia.

"Hmm, nama group WhatsApp ni patut tukar. Siapa admin? Achik, kan?" Terus Adeilah tukar topik 360 darjah.

Syah hanya pandang dua beradik itu berlawan cakap.

Yang seorang si abang bekas pendebat sekolah. Dan yang seorang lagi si adik bongsu manja tak nak kalah. Eloklah dua beradik ni, komen Syah dalam hatinya.

Syah kalih pandang ke kirinya. Yang tiga beradik - Arham, Aisyah dan Akram - ralit sambung tengok lampu LED bintang lip lap lip lap yang dibawa dari rumah. 

"Lampu 'Selamat Hari Raya'..." bak kata Akram tadi, siap diikuti sambung menyanyikan lagu raya nyanyian Saloma sekali.

"Minta mak kuih sepotong. Saya mahu makan kerna perut kosong..." Sambung si anak bongsu Syah sambil buat gaya menari berjoget riang ria di hari raya.

Syah senyum terhibur sambil tarik nafas lega. Sepatutnya nak pergi tengok acara Light and Motion Putrajaya atau nama singkatannya LAMPU yang selalu diadakan di Putrajaya itu. Malangnya semua aktiviti melibatkan orang ramai telah dibatalkan berikutan penularan pandemik Covid-19.

Mujurlah boleh distract sekejap anak-anak dengan lampu lip lap lip lap sementara menunggu si ayah nak mengopi pula. Kaduk jenis seorang yang bercakap dan suka jumpa orang. Dapat peluang jumpa kawan lama dia tadi terus senang nak diajak bersembang.

"Ya rabbi, 20 haribulan nanti dah boleh borak puas-puas. Tak ada siapa nak larang dah. Tak lama saja lagi, kan?" Kata si abang sebelum hilang ke dalam bilik air, nak membersihkan diri sebelum menyertai Syah, anak-anak dan adiknya. Masih menjaga SOP setiap kali masuk rumah.

Seperti biasa, si adik tarik muka dan buat muncung panjang. Masih mengekalkan SOP setiap kali dia merajuk.

"Kak Syah, tengoklah Achik tu..."

Seperti biasa, Syah tak tahu nak balas apa. Sekadar tepuk bahu adik iparnya dan Adeilah terus letak kepalanya di atas bahu Syah. Manja macam anak kucing parsi si Aisyah.

Semoga bertabah, Ed!

Hanya itu Syah mampu ungkap (buat bakal suami Adeilah) dalam hatinya sebelum sambung balik karang kata-kata dalam kepalanya.

Oh, kebetulan Syah jumpa penjelasan tentang apa yang dilakukannya ini melalui Facebook Prof. Datuk Dr. Mohamed Hatta Shaharom, seorang doktor pakar psikiatri dan juga mantan Pengerusi Pengelola di Dewan Bahasa & Pustaka.

Terapi Ekspresif.

Ada dua jenis iaitu terapi membaca dan terapi penulisan.

**Terapi membaca atau biblioterapi merupakan rawatan menerusi pembacaan prosa dan puisi untuk menghilangkan stres atau penyakit yang dihadapi. Manakala terapi penulisan pula adalah rawatan menerusi ekspresi perasaan dan fikiran melalui cara menulis yang menghilangkan stres.

Sememangnya terapi ekspresif jenis terapi penulisan ini banyak membantunya dalan menghadapi tekanan.

Syah selalu praktik cara begini. Selaku orang dalam lebih ke arah bidang sains, dia sentiasa cuba mencari penjelasan ilmiah dan saintifik untuk memahami sesuatu perkara. Alhamdulillah, dia sangat bersyukur kerana Allah selalu tunjukkan jalan pencerahan dalam pencariannya itu. Dan apabila dia mula faham, barulah kurang sedikit emosinya cuba menguasai diri.

Syah sambung pandang langit yang gelap, bintang yang cerah. Terus dapat ilham lagi.

Dark upon dark.
Light upon light.

Namun terhenti ideanya dek silau cahaya dari telefon bimbit adik iparnya. Dia nampak Adeilah yang tersenyum manis sedang menaip sesuatu. Yang pastinya dalam Bahasa Perancis.

20 Décembre. Jour J.

Adeilah yang terasa dirinya diperhatikan terus pandang muka Kak Syahnya.

Syah angkat kening, Adeilah balas dengan reaksi yang sama.

"Jour J tu apa?"
"D-Day."
"D-Day tu apa?"

Adeilah tergelak. Faham sangat perangai Kak Syah yang suka bertanya dan nak belajar sesuatu yang baharu.

"D-Day tu..."

Baru Adeilah nak menerangkan, hidungnya terhidu bau minyak wangi yang harum semerbak satu bilik. Dia merenung tajam abangnya yang sudah bersiap dan sedang menyembur minyak wangi satu badan.

"Apa tengok-tengok?" Si abang sudah berada di depan cermin, dengan botol minyak wangi kegemaran di tangannya.

Dari Adeilah elok ketawa tadi, dia buat muka dengan muncung panjang sedepa balik.

"Kak Syah, tengoklah Achik tu..." Adeilah sudah merengek balik.

Kaduk ni pun...

"La la la..." Dan Kaduk menyanyi senang hati sebab berjaya sakat adik manja dia.

(bersambung...)

#RADHA
#staysweetwithwife
#stayrespectwithhusband
#stayhappywithkids
#stayclosewithinlaws

*Dipetik daripada:
https://muftiwp.gov.my/en/falak/bayan-al-falak/2573-bayan-al-falak-siri-ke-3-kepentingan-takwim-hijri-dalam-penentuan-hukum-hakam-dan-pentadbiran-hal-ehwal-islam-di-malaysia

**Daripada perkongsian Facebook Prof. Datuk Dr. Mohamed Hatta Shaharom: https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=3503292706374814&id=100000823572029

📷: Pinterest



Friday, January 15, 2021

[#throwback54] Gelap

Karya pendek

Gelap
Oleh Rnysa

#throwback54
#SofeaAdeilah #NurulAkasyah

"Ya Allah, berilah rahmat ke atas penghulu kami, nabi Muhammad S.A.W. yang dengan berkat baginda, engkau menyembuhkan hati-hati, menjadi penawar dan menyihatkan tubuh badan juga memberi kesembuhan penyakit serta mengurniakan cahaya penglihatan dan kurniakanlah juga rahmat keberkatan dan kesejahteraan keatas keluarga dan sahabat baginda." Ulang Achik berkali-kali.

Oh, Kak Ain yang beritahu pada aku tentang selawat syifa' atau selawat penyembuh itu. Aku termalu sekejap dengan Kak Ain sewaktu aku bertanya pada dia sebentar tadi: Ayat apa yang abang hembus pada Kak Syah?

Memang ilmu agama aku cetek sangat. Maklum sajalah selama ini lebih banyak belajar untuk exam sahaja. Kadangkala tak perasan (dan mungkin tak tahu) pun yang diajar oleh ustazah waktu Pendidikan Islam boleh diaplikasikan dalam kehidupan seharian.

Aku tak masuk sekolah asrama atau MRSM macam kakak-kakak dan abangku. Anak manjalah katakan. Kononnya nak duduk dekat mama dan papa, tak boleh berenggang dengan keluarga. Mama dan papa memang ikut saja kehendak aku. Tapi kakak-kakak dan abang semua bising. Mereka suka usik dan kata yang aku budak manja. Suka hatilah orang nak sekolah mana pun. Orang lain sekolah biasa pun result SPM boleh gempak.

Alhamdulillah, keputusan SPM dapat straight A's... tapi bukan semua A1. Fizik dapat A2, itu pun kira sudah bersyukur sangat. Sampai tahap buat sujud syukur terus. Mana pernah seumur hidup subjek Fizik dapat A.  

Sebaik sahaja berada di pintu masuk bilik bujang abangku, pandangan aku bersapa dengan Achik yang sedang menebarkan selimut untuk Kak Syah. Berkat selawat syifa' tadi Kak Syah pun boleh bangun dan bercakap semula. Semua orang  jadi lega sangat tadi bila Kak Syah sudah sihat semula. Dan majlis pun diteruskan seperti yang dirancang.

"Abang nak buat susu untuk Kak Chik...." Beritahu Achik sewaktu kami berselisih di muka pintu. 
"Okey..." balasku pendek.

"Kak Syah dah okey?" Aku sudah terbiasa dengan memanggil Kak Syah sebagai 'Kak Syah'. Harap Kak Syah tak kisah aku jarang-jarang panggil dia dengan gelaran 'Kak Chik'.

"Alhamdulillah, okey je..." Balas Kak Syah sambil tersenyum seperti selalu.

Aku melirik ke kiri dan kanan. Yes, dah nampak!
"Kak Syah, pinjam laptop boleh? Nak online kejap?"
"Okey..."

Aku segera membuka laptop Kak Syah yang siap dengan broadbandnya. Rumah ini pun dulu ada line internet. Tapi papa sudah potong awal tahun ini sebab dia marah aku dok mengadap komputer 24/7. Aku segera login YAHOO! Messenger dan nampak nama yang dicari.

Yey, dia dah online!

***

Mata aku sudah tertutup separuh. Sebaik sahaja minum air susu bercampur madu lebah yang disediakan oleh suamiku tadi, rasa mengantuk ini terus datang bertandang. Kaduk keluar masuk bilik beberapa kali. Katanya, ada 'perbincangan penting' dengan mama dan papa.

"Good luck! Ganbatte, Adam chan!"

Kami sama-sama ketawa. Sekali-sekali suara kami bertingkah dengan Adeilah yang sedang ketawa juga. Sekejap-sekejap dia mengeluh pula. Entah dengan siapa teman chatting yang sedang melayannya. Aku dan Kaduk sekadar memerhati dari jauh sambil menarik senyum panjang.

"Kita dulu pun macam tu, kan?" Kaduk mengangkat keningnya.

"Abanglah macam tu. Syah maintain ayu depan laptop, okey..."

"Hahaha.... ya lah sangat." Katanya sebelum meminta diri keluar dari bilik.

***

"Kak Syah, adik tolong tukar wallpaper ni. Okey? Yang ni dah lama sangat pakai tak tukar-tukar baru..." Ujar Adeilah tiba-tiba.

Aku yang baru menyudahkan bacaan Al-Fatihah, ayat kursi, 3 Qul, doa masuk tidur dan bismillah 21 kali jadi terkejut beberapa saat.

Sabar sajalah dengan adik ipar aku ini. Orang dah nak terlelap...

"Wallpaper tu ada nilai sentimental..." Kataku, dengan harapan cik kak itu faham yang aku tak mahu wallpaper itu diganti dengan yang baru.

"Jiwang tak ingat!"

Aku ketawa kecil sebelum membalas, "Yang dia tu dok baca novel jiwang tak sedar pula. Mengata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih. At least Kak Syah dah kahwin, okey."

Amboi Puan Akasyah, manisnya bahasa. Dengan budak kecil pun kau nak 'berlawan' ya. Siap dengan pantun-pantunnya sekali.

Adeilah sudah memuncung panjang. Cik adik yang seorang ini memang pantang ditegur. Siap yang makan ais krim, dia yang terasa manis!

"Nanti adik ada laptop sendiri tukarlah wallpaper. Kata dulu bila dapat masuk IB nak minta Achik sponsor..." Tambahku kemudian. Cuba menjadi kakak ipar yang manis!

"Entahlah... Achik cakap nak simpan duit beli laptop tu untuk baby dia. Orang nak jadi papa lah katakan. Mana nak ingat adik tersayang dia ni lagi..." Adeilah buat nada sedih pula.

Aku tersengih. "Dia buat lawak tu. Percayalah sangat..."

Aku faham sangat dengan perangai Kaduk. Sebenarnya dia tidak mahu memanjakan sangat adik bongsunya dengan kemewahan. Adeilah sudah biasa hidup senang. Semua benda dia mahu, papa dan mama akan cuba tunaikan. Kak Long dan Kak Ngah pun 'belai' dia dengan wang ringgit.

"Achik risau baby dia tak dapat scholarship macam dia. Kak Syah dengan Achik kan pandai, mesti anak pun pandai. Ikut DNA lah kan..." Balas Adeilah.

Dan gelak tawa pun meletus di dalam bilik Kaduk.

Adeilah menarik Mr. Teddynya rapat ke dalam pelukannya.

Dan tangan aku pula menarik selimut sambil anak mata sibuk mencari-cari Mr. Teddy Bear di dalam bilik bujang Kaduk. Mana tahu si abang ada menyimpan patung beruang seperti adiknya. Hmm... model mini kereta sport, bola sepak, jersey adalah...

Tak apalah, tak ada teddy bear.
Janji ada... Kaduk!

Hati terpujuk sejurus sahaja terlihat designer wallpaper Mr. White Teddy Bear keluar dari persembunyiannya di balik pintu.

(bersambung...)

#RADHA #adik #kaksyah

Petikan #throwback di atas daripada versi asal online e-novel RADHA: 1 Phase 3 Phase yang ditulis pada 26 Mei 2009.

Wednesday, January 13, 2021

[#throwback53] Gelap

Karya pendek

Gelap
Oleh Rnysa

#throwback53
#keluargadoktor #DrAin #DrFirdaus #DrSalaam


Nur Jannatul Adnain.

Dia tidak sepatutnya berada di sini. Di dalam bilik bujang aku suatu masa dahulu. Dan bilik ini masih kekal sebagai bilik aku (dan sekarang berkongsi dengan Akasyah) meskipun sudah bergelar seorang suami. Aku tahu Ain seorang yang sangat mengambil berat tentang orang lain. Tetapi Akasyah bukanlah 'orang lain' yang tersenarai dalam daftar nama tersebut.

Rasanya aku perlu berbicara setulusnya dengan Ain. Keakrabannya dengan mama memang tidak dapat dinafikan lagi. Aku bukannya membenci Ain. Tetapi aku tidak suka mewujudkan suasana yang tidak menyenangkan buat Akasyah. Hati isteriku perlu dijaga. Seperti mana Ain juga perlu menjaga hati suaminya, Doktor Kamarul Hanif.

Corotan mata Akasyah ke arah Ain membuat hati lelakiku dibuai kerisauan. Janganlah sekeping hatinya comot dimamah sifat mazmumah. Rasa cemburu dan iri hati.

Wahai isteri, ketahuilah bahawa hanya kau pilihan hatiku. Tuhan telah menetapkan jodoh pertemuan kita. Dan tidak mungkin kerana seorang Nur Jannatul Adnain ataupun Nur Jannatul Ma'wa, perasaan lelaki aku akan terus goyah.

Tak mungkin.

***

Melihat Akasyah yang terbaring kaku mengingatkan aku kepada pesanan daripada Imam Al-Ghazali lewat kuliah maghrib yang aku hadiri baru-baru ini. Pesanannya berbunyi begini: Yang dekat itu mati, yang jauh itu masa, yang besar itu nafsu, yang berat itu amanah, yang indah itu solat.

Aku dan yang lain sekadar memerhati Abang Salaam melakukan pemeriksaan ke atas Akasyah. Setiap sendinya cuba digerakkan. Jauh di sudut hati aku menaruh rasa simpati dengan pasangan Akasyah-Adam yang selalu menerima ujian yang berat dalam hidup mereka. Apalagi kalau bukan musibah kesakitan. Dulu Adam, sekarang Akasyah pula.

Benarlah dunia ini hanya sebuah persinggahan sebelum beralih ke alam akhirat yang kekal abadi. Disebabkan itu perlu diperbanyakkan bekalan untuk meneruskan perjalanan hidup di dunia ini. Kerana kita hanya ada satu persinggahan sahaja.

Aku menepuk dahi, teringatkan sesuatu. Adam pernah meminta aku supaya memperingatkan dia tentang pemeriksaan kesihatan untuk Akasyah. Ya Allah, bagaimana aku boleh terlupa! Sebagai seorang doktor dan sahabat kepada Adam-Akasyah, seharusnya aku tidak melupakan amanah tersebut. Rasa bersalah menghimpit. Dahulu aku sibuk belajar dan klinikal, sehingga aku sendiri pun tidak tahu yang aku sedang berutus surat dan bercerita seenaknya kepada kawan baik (buah hati) Adam. Manalah aku tahu si Akasyah betul-betul jatuh suka pada Adam.

Sekarang pun masih sibuk setelah disahkan jawatan di Hospital Selayang, sehinggakan aku terlupa amanat Adam. Sepatutnya kami saling ingat-mengingati tentang kesihatan Akasyah. Maklum sajalah aku dan Adam memang sama-sama 'gila kerja', lalu kebajikan Akasyah pun terabai. Lagipun Adam-Akasyah sibuk betul sejak baru pulang dari Jepun akhir Mac yang lalu, tung-tang-tung-tang... sudah masuk bulan September dan Puan Akasyah kita bakal menjadi seorang ibu.

Alhamdulillah, rezeki menjadi ibu pun Tuhan yang berikan. Baru kahwin beberapa bulan Akasyah sudah mengandung. Bertuahnya mereka berdua. Rezeki orang baru balik dari umrah, agaknya. Aku pun pernah nasihat adikku, Nur Jannatul Adnain,  pergi menunaikan umrah dan berdoa di sana; mengambil keberkatan bumi para nabi itu. Moga-moga Ain pun dapat menimang cahaya mata setelah lebih empat tahun berkahwin.

Bercakap tentang menjadi ibu, bukan main mesranya Ain dengan Auntie Sufiah. Eh, apa hal pula si Ain buat di bilik Adam ini? Inikan dikira sebagai 'kawasan larangan' buat Ain. Tak manislah dia berada di sini sebab Ain pun sudah bersuami. Memanglah Hanif tidak dapat hadir pada malam ini kerana dia bertugas di sebelah malam, tetapi masih tidak sopan sang isteri berlegar-legar dalam bilik bujang Adam ini.

Jelingan sekilas dari Adam baru sahaja diterima. Aku membalasnya dengan senyuman, tanda mengerti akan maksudnya.

Bagaimana caranya aku hendak mengusir adikku itu dengan cara yang paling sopan?

***

Ramainya datang hendak merawat aku. Ada Doktor Salaam, Doktor Firdaus, Doktor Ain dan sudah tentu Doktor Sufiah. Tiba-tiba sahaja aku seperti berada dalam drama bersiri ER pula. Lantas bibir cuba membentuk senyuman, tanda menyukai angan-angan lucu yang sedang bermain di fikiran saat ini.

+ Hai Akasyah, sakit-sakit pun mahu buat lawak lagikah?
- Wahai hati, saya sedang menghiburkan diri sendiri. Tak bolehkah?

"Akasyah, boleh tak awak cuba bercakap? Senyum pun tak apa..." Ujar Doktor Salaam dengan penuh intonasi. Kelihatan adiknya, Doktor Firdaus, turut mengangguk dan melemparkan senyuman. Memberi semangat mungkin.

Lamanya tak jumpa Firdaus, hatiku berkata-kata lagi.

Mohd Salaam, Mohd Firdaus, Nur Jannatul Adnain, Nur Jannatul Ma'wa, Mohd Khuldi, Nur Jannatul Naim dan Mohd Muqqamul Amin.

Begitulah nama adik beradik Firdaus. Semuanya nama-nama syurga. Pandai sekali ibubapa dia memilih nama yang baik untuk anak-anaknya. Dan menjadi satu bonus apabila anak-anak itu diberikan didikan agama dan akademik sebaik-baiknya, lantas membesar sebagai seorang yang berguna kepada agama, bangsa dan negara.

Tiga daripada mereka sudah menjadi doktor - Doktor Salaam, Doktor Firdaus dan Doktor Ain. Wawa pula dalam bidang biomedik dan berkerja di hospital juga. Khuldi pula sedang bertungkus-lumus menyudahkan ijazah sarjana muda doktor pergigiannya. Dan dengar cerita dari mama pula, Naim dan Amin pun bakal mengikut jejak langkah ibubapa dan kakak-abang mereka dengan memilih bidang kedoktoran juga.

Keluarga doktor!

Patutlah mama suka Ain. Sebab mama pun seorang doktor.
Mereka semacam sehati sejiwa.
Yalah, mama dan umi Ain pun kawan sewaktu muda-muda lagi.

Takkan kerana aku sekadar seorang jurutera... mama tidak suka aku. Sedangkan papa dan Adam juga menjadi jurutera... mama suka saja mereka.

Sebenarnya aku tahu mama sedih sebab Ain tak jadi menantu dia. Tak ada kena-mengena langsung dengan kerja aku pun. Seperti biasa, aku sekadar ingin menyedapkan hati lagi... entah untuk kali keberapa.

Tapi tak apakan, selagi rezeki yang diperoleh itu dengan jalan yang halal.
Jadi doktor ke... jurutera ke... kerja sapu sampah ke...

Ingat senangkah kerja hendak menjaga satelit dan parabola?
Ingat senangkah kerja sapu dan kutip sampah untuk orang yang tak tahu kedudukan tong sampah?

Bukan senang mahu jadi khalifah di bumi. Bukan kerja mudah...

Tuhan, jadikanlah aku seorang yang tahu bersyukur.

Nabi Muhammad s.a.w dalam satu sabdanya ada memberikan peringatan kepada kita semua yang bermaksud: "Barangsiapa yang tidak mensyukuri pemberian yang sedikit, maka dia tidak akan dapat mensyukuri pemberian yang banyak, dan barangsiapa tidak bersyukur pada manusia, maka dia tidak akan pernah mensyukuri pada Allah." (Hadis)

(bersambung...)

#RADHA #juruteracomot

Petikan #throwback di atas daripada versi asal online e-novel RADHA: 1 Phase 3 Phase yang ditulis pada 24 & 25 May 2009.

[#throwback52] Gelap

Karya pendek

Gelap
Oleh Rnysa

#throwback52
#mimpi

Kerja menjahit bukanlah sesuatu tugas yang sulit sebenarnya. Hanya berbekalkan sedikit kerajinan dan minat yang mendalam semuanya akan pasti berhasil. Malangnya aku tidak memiliki kedua-duanya hingga menyebabkan kemahiran itu dibiarkan begitu sahaja.

Aku 'dipaksa' belajar menjahit oleh mak sementara menanti keputusan SPM keluar suatu masa dahulu. Kadangkala aku merasakan jadi seorang perempuan itu adalah sukar. Kita perlu mahir serba-serbi termasuklah asas kerja menjahit. Sebagai persediaan menghadapi sebuah perkahwinan, lantas kita perlu jadi seorang yang serba-serbi tahu dalam hal mengatur rumahtangga.

Manalah tahu baju atau seluar suami terkoyak nanti, tak perlu sampai kena hantar ke kedai atau dihumban ke dalam tong sampah. Aku boleh jadi seorang isteri mithali, membaiki pakaian suami. Atau si suami boleh jadi lebih mithali lagi dengan menampal pakaian koyaknya sendiri, seperti yang dilakukan oleh nabi junjungan kita.

Tiba-tiba aku terasa hendak buka kelas menjahit khas buat suamiku pula, yang akan diberi nama: Kursus jahitan intensif buat Encik Kaduk. Tapi rasanya dia sendiri pandai menukang pakaiannya sendiri. Duduk di luar negara pasti buat dia lebih pandai berdikari.

Hmmm, yalah sangat...

"Syah, tolong..." Kaduk buat muka comel sambil menyuakan kemejanya yang tercabut butang.

Aku singgah di kedai menjual barang jahitan untuk membeli segala keperluan yang berkaitan dalam perjalanan pulang dari tempat kerja. Benang yang sepadan warna kain baju kurung mama, butang baju dan brown paper untuk membuat dasar baju. Aku juga beli dua, tiga jarum mesin jahit yang baru untuk menggantikan jarum telah patah dulu dan bakal patah nanti (sebagai persediaan kalau mesin jahit buat hal).

Nyonya kedai melakukan tugasan dengan baik sekali. Suakan saja kain, dia pandai carikan apa yang sepadan seperti yang diminta. Aku cepat-cepat membayar kerana hari sudah semakin gelap. Lagipun langit sudah kian gelap menunjukkan tanda-tanda hujan lebat akan turun. Bunyi guruh mula mengisi halwa telinga.

Dalam kadar segera, aku membuka langkah ke kereta tika hujan renyai-renyai mulai jatuh membasahi bumi. Bosannya memandu seorang diri ke tempat kerja setiap hari begini. Hendak menggunakan pengangkutan awan ke Pusat Angkasa Negara perlu bertukar-tukar pelbagai jenis pengangkutan awan apa semua pula.

Kaduk sudah bercadang kami patut pindah dari Kuala Lumpur dan tinggal di bandar yang berdekatan supaya mudah aku berulang-alik.

Alternatif kedua: aku perlu cari kerja kosong di sekitar Kuala Lumpur sahaja. Namun, cadangan itu yang aku rasakan kurang sesuai memandangkan major aku di universiti dahulu lebih kepada bidang sains angkasa lepas berbanding dengan industri lain.

Lagipun aku sudah cukup seronok dan selesa dengan kerja sekarang: menjadi jurutera sistem kawalan. Tugas utamaku adalah memantau dan menyelia dua buah sistem antena yang digunakan di Pusat Angkasa Negara iaitu receiving antena dan trakking, telemetry & command antena. Bertugas di Pusat Misi Kawalan sungguh mengujakan.

Pada mereka yang belum tahu, Pusat Kawalan Misi itu berfungsi untuk menampung aktiviti-aktiviti pengoperasian satelit dan pusat ini dilengkapi dengan peralatan komunikasi yang berupaya membuat hubungan dengan satelit-satelit yang dilancarkan ke orbit rendah dan orbit sederhana (LEO & MEO).

Peranan utama Pusat Kawalan Misi (MOC) adalah untuk Penjejakan, Telemateri dan Pengawalan (TT&C) satelit. MOC terdiri daripada Stesen Kawalan Misi (MSC) dan Stesen Penerimaan dan Pengprosesan Imej (IRPS). MOC bertanggungjawab untuk: pengeluaran satelit orbit-pendalaman, pengeoperasian satelit orbit-pendalaman negara, menyokong keperluan komunikasi bumi-ke-angkasa dan angkasa- ke-bumi and menyokong kerjasama antarabangsa dalam komunikasi angkasa.

Aku boleh cakap berjam-jam tentang kerja dan minat aku yang satu ini. Tidak semua orang punya impian untuk menerokai angkasa lepas. Sejak seorang angkasawan negara menjejakkan kaki di ISS, makin ramai anak muda di luar sana berminat dengan bidang ini. Bukan mudah hendak menarik minat orang terhadap sesuatu yang baru, namun aku percaya sesetengah orang mampu melakukan di atas kelebihan yang diberikan Tuhan.

Dan aku pula? Berkerja di Pusat Angkasa Negara adalah impianku. Hari ini bos besar memberitahu, aku mendapat tawaran berhijrah ke Remote Sensing Malaysia Headquarters di Jalan Tun Ismail, Kuala Lumpur. Ianya masih lagi dalam pertimbangan. Memang tempat kerjanya di sekitar Kuala Lumpur saja, tetapi...

Telefon bimbit berbunyi. Panggilan dari Kaduk.
"Syah dah sampai mana tu?" Suara Kaduk bernada risau menerjah telinga.

"Dah masuk KL ni."

"Lambatnya. Tadi ada singgah di mana-mana?"

"Kan Syah dah cakap nak pergi beli barang jahit. Lupa ya? Lagipun hujan lebat sangat ni, takut nak bawa laju-laju." Beritahu aku.

"Okey, hati-hati. Abang tengah tunggu di rumah. Malam ni abang masak untuk Syah, okey?"

"Terima kasih..." Aku jadi terharu dan sedih. Sudah dua minggu berturut-turut dia masakkan makan malam kami kerana aku pulang agak lewat ekoran cuaca yang tidak menentu sejak akhir-akhir ini.

"Syah, nanti kita cari rumah dekat-dekat tempat kerja Syah. Kita survey di Bandar Baru Salak Tinggi atau Bandar Baru Bangi, ya?"

"Sungguhkah nak pindah?"

"Abang kasihan dan risau tengok Syah pandu kereta jauh... dan balik lewat malam macam ni. Kalau abang tak apalah, sebab abang lelaki..."

"Ikutlah mana yang terbaik." Aku menurut sahaja.

Fungsi hands-free dimatikan. Aku memandang langit yang penuh dengan awan hitam. Gelap. Matahari juga kian beransur-ansur menyembunyikan sinarnya.

Tangan segera membuka siaran radio tempatan dan DJ sedang berbual dengan pemanggil tentang mimpi.

"Saya dapat melihat masa depan melalui mimpi..." cerita pemanggil.

Eh, boleh lihat masa depan melalui mimpi? Dah macam pelik sangat bunyinya. Dah macam cerita dalam tv.

"Hmm... kalau mimpi dapat jumpa nabi syoklah juga. Ni mimpi entah apa-apa, merapu-rapu. Macam tak logik saja!" Aku membebel seorang diri. Walaupun agak 'nakal-nakal' dan tidak sealim orang lain, namun aku tetap mengimpikan pertemuan dengan Rasulullah s.a.w. Bertuahnya orang dapat jumpa baginda... dalam mimpi!

Hmmm... Lagi seronok kalau dapat jumpa baginda... secara live. Mesti seronok jadi sahabat baginda... waktu itu, zaman itu. Ya, untung-untung dapat jadi macam Saidina Umar. Entah kenapa dalam ramai-ramai sahabat baginda, aku paling suka Saidina Umar. Sifat Umar mungkin ada kena sipi-sipi dengan aku yang agak 'brutal' ni.

Kaduk pula suka Saidina Abu Bakar. Ya, Kaduk memang sahabat yang baik. Seorang sahabat dalam diri seorang suami.

Dan untuk... Carl Duke Junior pula...
Ya, anak ibu yang comel a.k.a Carl Duke Junior pula.... perlu contohi sifat Saidina Ali, okey!

Wah, seronoknya jadi macam ni! Ada tiga sahabat - Abu Bakar, Umar dan Ali! Ermm.. macam pelik pula... kenapa ketiga-tiganya lelaki...?

Okey, mungkin aku boleh tukar jadi perempuan sekejap... Khadijah... atau Aisyah... atau Fatimah?

+Tapi bukankah aku memang seorang perempuan sejak dari azali lagi?
- Tapi Umar sangat best!
+ Tapi.... yang sibuk berangan-angan ni...

Betulkah sudah ada...anak ibu? Soalku dalam hati, di saat tangan mengusap perut yang masih kempis.

Carl Duke Junior a.k.a Kaduk Junior?
Mungkinkah?

Jauhnya aku berangan-angan seorang diri. Astaghfirullah hal 'azim. Terus tukar siaran dengar ikim dot fm.

(bersambung...)

#RADHA #KadukJunior

Petikan #throwback di atas daripada versi asal online e-novel RADHA 3: Dari Pagar Ruyung Ke Den Haag yang ditulis pada 13 November 2008 dengan sedikit edit di sana sini.

[#throwback51] Gelap

Karya pendek

Gelap
Oleh Rnysa

#throwback51
#hadiahharilahirKaduk

Sebagai seorang isteri, tentulah tarikh penting seperti tarikh lahir dan hari ulang tahun perkahwinan disimpan kemas dalam ingatan. Oh, tahun ini Kaduk bakal menyambut hari lahirnya yang masuk 30-an. Tak sangka sudah hampir 5 tahun jadi suami isteri dan menyambut hari lahir bersama-sama. Harap tahun ini baik-baik sahaja. Tidak seperti kali pertama yang dulu. Musibah yang menimpa diri Syah sampai menyusahkan Kaduk pula kemudiannya.

"Jadi suami kena banyak sabar." Itu kata Kaduk waktu Syah dengan tidak sengaja me'rosak'kan seluar kesayangannya. Syah terlupa tutup seterika dan habis berlubang kepala lutut seluar slack Kaduk pakai untuk ke pejabat.

Oh, sekarang ini mereka sekeluarga sudah berada di Jepun semula. Ya, setelah Arham lahir Syah mendapat tawaran menyambung pelajaran di peringkat doktor falsafah. Kaduk terus minta setuju sahaja. Nanti boleh jadi pensyarah dan banyak masa dengan keluarga, katanya.

"Jadi pendidik sesuai dengan sifat perempuan yang pelembut dan penyayang. Sesuai dengan fitrah seorang wanita."

Amboi, Kaduk siap puji-puji lagi isterinya yang sedikit 'kasar' ini. Perlikah?

"Berdosa buruk sangka dengan suami..." Tambahnya kemudian, sebelum tergelak.
Uwaaa... tak sukanya orang boleh tahu isi fikiran kita!

Angin sejuk musim luruh menyapa pipi. Bagus juga duduk di Jepun. Terasa tenang sedikit. Kurang jenayah secara terang-terang, setakat ada gempa bumi dan tsunami sahaja. Tahun lepas gempa bumi yang kuat telah menyebabkan reaktor nuklear meletup. Alhamdulillah, mereka sekeluarga baik-baik sahaja.

Oh, panjangnya Puan Akasyah bercerita.
Baiklah, apakah hadiah yang sesuai untuk Encik Kaduk tahun ini?

Syah lekat sekeping gambar di buku skrap.

"Ibu, ini gambar apa?" Arham penuh sopan bertanya. Hmm, anaknya yang satu ini memang sangat santun orangnya. Mestilah, tengoklah siapa ibunya kan!

"Oh, kejutan untuk semua. Gambar bakal adik..." Syah menyusap perutnya yang sudah berisi.

"Adik?"
"Arham suka dapat adik tak?"

Dia mengangguk sambil tersenyum.

"Harap kali ini dapat adik perempuan. Boleh teman ibu..."

Wajah Arham tiba-tiba berubah sedikit. "Arham pun teman ibu juga."

"Itu sudah semestinya!" Syah mencuit pipi Arham yang sedikit kemerahan. Kasihan, sejuk anak ibu. Cepat-cepat dia carikan baju panas di dalam almari dan sarungkan ke badan Arham. Sejak duduk di Jepun, cepat sahaja anaknya itu membesar. Baju-baju yang lama sudah tidak muat lagi.

"Nampaknya selepas ini kita perlu pergi membeli-belah..." Kata Syah pada diri sendiri.

Wah, ini petanda baik!
Suka shopping = Anak perempuan?
Teori apakah itu, wahai Puan Akasyah?

(bersambung...)

#RADHA  #anakperempuan #shopping

Petikan #throwback di atas daripada versi asal online Facebook Notes RADHA Versi Eid (2) 1433H yang ditulis pada 10 September 2012.

[#throwback50] Gelap

Karya pendek

Gelap
oleh Rnysa

#throwback50
#salammaulidurrasul

"Di mana ada cinta, di situ adanya persahabatan. Dan di mana ada persahabatan, di situ juga ada cinta. Betul tak Akasyah?" Kata Nenek Aisyah tiba-tiba.

Aku memandangnya tidak berkelip-kelip. Sekadar menjungkitkan bahu tanda tidak mengerti.

"Persahabatan dan cinta adalah teman baik yang tidak dapat dipisahkan. Kalau kamu cuba pisahkan cinta dari persahabatan, akan hilang indahnya ikatan itu nanti. Kesedihan dan kekecewaan yang akan menyelubungi diri. Sama seperti yang kamu rasakan sekarang, bukan?" Katanya lagi.

Aku tersentak seketika. Tetapi cepat-cepat berlagak seperti biasa. Mataku memerhati dedaun yang berterbangan ditiup angin. Memang benar kata Nenek Aisyah. Aku merasai kesedihan itu apabila cuba memusnahkan rasa cinta yang bersemi di hati. Rasa kehilangan dan kekurangan.

"Kenapa menghukum diri sendiri? Menyalahkan diri sendiri? Jangan selalu letakkan kesalahan di bahu kamu. Dalam soal hubungan kamu dengan Adam, grandma tak nampak kesilapan kamu. Kalau kamu terus begini, kamu bukan sahaja menghukum diri sendiri malah kamu juga menghukum Adam. Kamu tahu dia cukup sayangkan kamu. Kamu sahabat dia!"

"Macam mana grandma tahu?" Soalku perlahan. Kehairanan. Mustahil dia boleh membaca isi hatiku. Fikiran aku. Macam mana Nenek Aisyah boleh tahu? Adakah cucunya menceritakan keakraban kami berdua? Mustahil! Kaduk sendiri masih ingat-ingat lupa tentang aku. Masakan dia yang memberitahu sesuatu yang aku tidak pernah luahkan pada sesiapa pun.

"Adam tak pernah beritahu yang grandma ajar psikologi di universiti dulu?"

Mulutku melopong. Bulat mataku mendengarnya.

"Persahabatan merupakan hubungan indah antara manusia, di mana cinta hadir memberi senyuman dan mewarnai kehidupan. Ibarat bunga-bunga yang harum mewangi turun dari langit, lalu warna-warna dunia bertukar kepada jaluran-jaluran indah. Tanpa cinta, persahabatan mungkin akan diisi dengan rasa kecewa, marah, benci dan lain-lain yang membuat persahabatan itu tidak indah lagi." Kata Nenek Aisyah.

"Cinta dalam persahabatan?" Soalku sambil memandang tepat wajah Nenek Aisyah. Tidak keterlaluan jika aku katakan dia nampak jauh lebih muda dari usia sebenarnya. Mungkin senyuman yang sentiasa meniti bibirnya yang merah membuatkan dia lambat dijamah peredaran masa.

"Apa yang anehnya? Cinta itu bukan hanya untuk pasangan kekasih." Dia mencuit hidungku. Nenek Aisyah seperti tahu apa yang bermain di fikiran ini. "Atau memang kamu sudah jatuh cinta pada sahabat sendiri?" Sekali lagi dia memasang umpan.

Kali ini aku lebih bersedia. Aku sudah boleh mengagak yang dia akan berkata begitu. Aku memilih untuk diam. Mengangguk tidak, menggeleng pun tidak.

"Cinta itu perlu ada dalam segala hal. Cinta pada yang maha pencipta, cinta yang kekal abadi. Cinta pada para Rasul yang membawa risalah tauhid kepada Ilahi. Cinta pada keluarga dan teman-teman, mereka yang paling dekat pada kamu. Dan cinta kepada makhluk Allah yang lain, haiwan dan alam sekitar kerana kita sama-sama bernaung di bawah satu langit." Dia melemparkan pandangan pada sekawan burung merpati yang mencari makan tidak jauh dari kami.

Aku kagum dengan tutur bicaranya. Walaupun usia keislamannya mungkin tidak selama mana, namun keyakinannya cukup tinggi. Benarlah kata orang, mereka yang baru mengenali Islam lebih kecintaannya daripada kita yang agama tradisi. Kerana sukarnya mendapat hidayah Allah yang buat mereka cukup menghargai nikmat Islam yang menyinari jiwa mereka. Berbeza dengan kita yang merasakan Islam hanya pada nama tanpa cuba memahami lebih mendalam dan menyelami makna hakikat keimanan itu sendiri. Cukup dengan solat lebih kurang. Puasa sekadar menahan lapar dan dahaga tanpa melihat keindahan di sebaliknya. Rasa diri terlalu kerdil!

Sebab itu, sewaktu Rasulullah saw memulakan dakwah Islam pada masyarakat arab ketika itu dengan penekanan perkara yang paling dasar iaitu pembangunan aqidah tauhid Uluhiyatillah. Baginda tidak mulakan dengan persoalan bidang politik, ekonomi, kemasyarakatan ataupun undang-undang. Sebaliknya baginda memilih untuk memperbetulkan kembali jiwa manusia yang sememangnya cukup rumit. Hanya dengan mukadimmah aqidah, yakni kepercayaan yang terikat erat dan tersimpul kuat sehingga tidak mungkin akan tercerai atau terurai, cahaya Islam perlahan-lahan bersinar dan berjaya menyirna kegelapan zaman jahiliyyah.

Baginda berjaya melahirkan jiwa-jiwa yang kecintaannya hanya semata-mata mentauhidkan Allah dari segi ubudiyyah, iaitu ibadah dan sembahan. Jiwa yang beriman kepada Uluhiyyah Allah dalam bererti kata beri'tiqad bahawa hanya Allah berhak disembah, dicintai, dipatuhi dan ditumpui untuk meminta sesuatu. Dan, beriman pada tauhid Uluhiyyah yakni menolak segala selain Allah dan mengakui serta menghayati kalimah la ilaha illallah.

Seandainya para da'ie mengikut jejak Rasulullah saw dalam usaha memperbetulkan keadaan manusia yang sudah tunggang-langgang tika ini, aku yakin Islam akan kembali dijulang. Ummat Islam akan kembali cemerlang, gemilang dan terbilang. Saat itu pasti akan kunjung tiba. Aku memohon dalam hati.

"Cinta bukan sekadar ucapan 'I love you'. Cinta juga terungkap dengan perlakuan. Kadang-kadang tidak perlu ungkapan kata-kata untuk menunjukkan rasa cinta. Perlakuan boleh jadi tanda yang cukup besar betapa sayangnya kita pada mereka. Grandma tahu kamu sayang Adam dan Adam juga sayang kamu. Kerana hadirnya cinta dalam persahabatan buat kamu saling menyayangi antara satu sama lain. Sebab itu juga telah membawa kamu ke sini.

Kamu boleh memilih untuk berehat sahaja di rumah. Ataupun pergi melancong bersama teman lain. Grandma tahu kamu kepenatan berkejar ke sana ke mari dengan internship dan part time job kamu. Tuntutan kerja melebihi masa yang ada. Tetapi kamu masih memilih untuk datang ke mari. Betul kan?"

"Grandma boleh jadi kaunselor yang baik. Kata-kata grandma buat saya tersenyum."

Nenek Aisyah ketawa kecil. Agaknya terhibur dengan ucapanku.

"Kamu memang pandai ambil hati. Patutlah Adam suka berkawan dengan kamu." Kata Nenek Aisyah sesudah reda tawanya.

"Tak adalah. Dia yang pandai ambil hati saya." Ucapku jujur.

Sememangnya cucu Nenek Aisyah itu yang mewarnai setiap detik hidupku. Menyulami persahabatan kami selama enam tahun ini dengan senyumannya nan indah. Lantaran itu, aku sentiasa dilingkari kebahagiaan tika bersamanya.

Nenek Aisyah bangkit. Dia menghulurkan tangannya padaku. Aku menyambut. Kami melangkah seiringan kembali ke hospital.

"Harap kamu berdua terus berkawan baik. Rasanya grandma pun mula menyukai kamu. Nanti kita boleh jumpa lagi. Datanglah ke rumah grandma di Netherlands. Pasti kamu akan suka pemandangan ala country. Nanti Adam boleh ajar kamu tunggang kuda."

Aku harap kakinya akan sembuh secepat mungkin. Bolehlah kami sama-sama menikmati keindahan pedalaman negara Eropah itu. Aku tidak rela melihat dia menghabiskan sisa hidupnya di atas kerusi roda. Kerana aku sendiri sudah mula merasai kesakitan yang dialaminya. Itukah tanda aku cinta padanya? Cinta pada persahabatan kami? Ya! Aku amat yakin. Sesungguhnya aku teramat cinta pada persahabatan ini. Kerna aku sayang kamu, Carl Duke Adam!

"Moga hari mendatang, kamu tidak lagi membataskan antara cinta dan persahabatan. Biarkan keduanya tetap menjadi teman baik, simpulan rapi yang mengikat hati-hati kamu. Apa yang grandma cuba tegaskan di sini, cinta bukanlah perosak persahabatan. Sebaliknya cinta yang memperindahkan persahabatan kamu berdua. Ingat tu..."

Aku memaut pinggang Nenek Aisyah. Dalam hati aku berharap, moga hari esok menjanjikan seribu satu kemanisan yang paling indah. Carl Duke Adam, cepatlah kau sembuh!

(bersambung...)

#RADHA #qudwahhasanah

Petikan #throwback di atas daripada versi asal online e-novel Relevankah Aku di Hatimu? yang ditulis pada 22 & 24 Jun 2004.

💚💚💚

Salam maulidur rasul 1442H.

Semoga semua yang hidup di dunia ini baik-baik sahaja dan diberi ketenangan, sementara menunggu saat bahagia buat selama-lamanya di syurga sana.
Insya-Allah.

Sayang selalu,
Rnysa

[#throwback49] Gelap

Karya pendek

Gelap
oleh Rnysa

#throwback49
#verilywithhardshipcomesease

"Kaduk..."
"Syah..."

Kata kami serentak. Langsung aku tersipu-sipu malu.

"Kau cakaplah dulu. Ladies first..."

Aku mencuri nafas dalam sesaat dua.

"Tahniah..."
"Untuk apa?"

Tahniah di atas pertunangan kau dengan Nur Jannatul Ma'wa, bisik hati kecilku. Jari-jemari runcing yang merah diinai dan cincin yang tersarung pada jari manis gadis itu kembali menghantui fikiranku saat ini.

"Syah?"

"Tahniah sebab dapat offer kerja di Jepun ni. Kata Wawa, kau kerja dengan Petronas ya. Di Sakuragichou, Yokohama. Tahniah dari aku."

Wawa yang bercerita semalam. Katanya, dia sambung belajar di Tokyo Institute. Manakala Kaduk pula kerja di Sakuragichou. Pasti Kaduk minta dihantar ke Jepun semata-mata ingin menemankan 'tunang'nya yang cantik jelita itu.

"Ohh... ingatkan apa tadi. Terima kasih..."

"Haa... kecewalah tu. Mesti kau fikir aku nak ucapkan tahniah atas pertunangan kau dan Wawa, kan? Jangan mimpilah. Oleh kerana kau tak jemput aku, jadi kau takkan dapat ucapan dari aku. Aku kecil hati tau." Kataku, pura-pura merajuk.

Saat ini aku sudah mula memasang soalan perangkap.

"Tunang? Bila pula aku bertunang ni? Dengan Wawa pula tu. Siapa yang buat cerita yang tak berasas ni?" Soalnya bertubi-tubi. Jelas dia agak terkejut.

"Jangan nak sorok dengan aku, Kaduk. Kau datang berdua dengan dia semalam. Pakai baju warna sedondon. Dua-dua serba hitam, macam berjanji pula. Dan bukti yang paling penting, aku lihat jari si Wawa tu merah diinai. Kalau kau tak mahu jemput aku sekalipun, sekurang-kurangnya tak perlulah berbohong dengan aku." Kataku lagi.

"Sungguh aku tak bohong. Aku masih single lagilah. Wawa pun macam tu. Pandai-pandai aja kau buat konklusi sendiri." Tegasnya. "Ohhh... Patutlah ada orang tu balik ternonong aja semalam. Langsung kita tak ditegur. Rupa-rupanya ada yang cemburu, makan hati berulam jantung." Sambungnya lagi sambil ketawa.

Aku mengetap bibir. Malu! Penat sahaja aku membazirkan stok air mata malam tadi. Semua ini kerana Wawa. Semalam aku sudah berkias-kias dengan Wawa apabila melihat jarinya yang merah dihiasi inai itu. Mahu sahaja aku menangis waktu itu di situ juga.

"Amboi... cantiknya inai di jari. Siapa lelaki yang bertuah tu?" Tegurku semalam sewaktu kami bersalaman.

"Tak adalah." Balasnya lembut.

Aku tidak bisa menganalisis jawapan 'tak adalah' Wawa itu dengan ekspresi mukanya. Aku tidak pasti sama ada dia sedang menjawab sambil tersenyum malu atau apa. Aku sendiri segan hendak bertanya lagi. Takut difikirnya aku ini seperti paparazzi tidak bertauliah. Sanggup berbuat apa sahaja semata-mata untuk mendapat gosip sensasi sebegini. Jadi aku terus membuat kesimpulan yang dia sudah bertunang dengan temanku ini. Titik. Bukankah mereka datang bersama berdua dan memakai pula baju warna yang serupa? Lagak mereka pun tidak ubah seperti orang yang sudah punya ikatan 'itu'.

Nyata jawapan Kaduk tadi buat aku sedikit lega. Kebetulan pula dia menelefon. Sebab itu aku mahukan kepastian dari mulut Kaduk sendiri waktu ini. Memang sejak dari awal lagi aku seboleh-bolehnya tidak mahu menerima bulat-bulat sahaja apa yang telah aku lihat semalam.

"Sebenarnya abang long si Wawa, Doktor Salaam baru bernikah cuti sekolah yang lepas. Agaknya Wawa pun tumpang berinai sama. Nasib baiklah aku tak pakai inai kan. Kalau tak, mahu ada yang gigit jari." Katanya lagi lalu ketawa berderai.

Amboi! Gembira sakannya dia mentertawakan aku. Geram sungguh! Aku sudah tarik muncung panjang sejengkal. Padahal hati ini berbunga keriangan.

"Kau cemburu ya, Syah?" Soalnya buat kali kedua. "Tu lah... sejak berdua-duaan dengan Ammar di Jepun ni, dah pandai cemburu buta." Giatnya lagi.

"Mana ada... Jangan kau nak perasanlah, Kaduk. Aku cuma tanya tau aja. Manalah tahu, diam-diam ubi berisi!"

"Patutnya aku yang bertanya pada kau. Dengar cerita, bukan main rapat dengan Ammar sekarang. Entah-entah kau dan Ammar yang bertunang dulu, bukannya aku. Bagaimana andai suatu hari nanti dia datang meminang kau? Sudikah kau terima dia sebagai suami?"

"Sanggupkah dia jilat kembali kata-kata yang dia pernah ludah ke muka aku?" Balasku sinis.

"Syah, jaga bahasa kau tu. Takkan masih nak berdendam lagi." Katanya, kembali serius.

"Lukanya sudah sembuh tetapi parutnya masih dan tetap akan ada sampai bila-bila. Kalau hal tu benar-benar terjadi, aku akan katakan pada dia bukannya aku tak sudi. Cuma aku takkan terima pinangan lelaki yang pernah memperlekehkan aku tanpa berusaha melihat potensi yang ada dalam diri aku. Pandang rendah pada aku.

Sepatutnya Ammar contohi sikap abangnya. Akhi Ammir, awal-awal lagi dia tak mendiskrimasikan aku hanya kerana aku berpakaian seperti gadis-gadis zaman sekarang. Dia berusaha ajak aku berjuang bersama-sama di atas 'jalan ini' tanpa menilai peribadi luaranku yang kasar ni. Saidina Umar juga seorang yang kasar, sedangkan Abu Bakar pula lemah lembut. Kenapa mereka berdua boleh bersatu di atas nama Islam?

Kenapa tak Umar tu juga dijadikan lemah-lembut sifatnya seperti Abu Bakar? Mesti ada hikmah di sebaliknya, kan. Setiap sesuatu tu Allah swt dah tentukan kelebihan masing-masing. Begitu juga dengan aku. Dengan lelaki dan pada mata orang yang tidak mengenali diri aku, tentu saja akan nampak kekasaran aku tu. Dan, taklah dua puluh empat jam aku gitu, kan.

Siapa tahu perempuan yang kasar pada zahir mata yang memandang, sebenarnya hatinya jauh lebih lembut daripada perempuan yang zahirnya lemah lembut. Siapa tahu perempuan yang nampak kasar tu, jauh lebih sanggup berkorban untuk kebahagiaan orang lain. Tanpa memikirkan dirinya sendiri. Yang apabila dia sakit, ditanggungnya kesakitan itu sendiri. Berbaring di bawah tangga, berlantaikan simen sejuk, menahan kesengsaraan yang melumpuhkan seluruh kudratnya daripada bergerak walaupun seinci. Lepas tenaganya pulih, dia kembali melihat orang tersayang yang terlantar di atas katil. Dan, digembirakannya hati orang itu tanpa dikhabarkan walau sedikitpun tentang kesakitan yang dialaminya tadi. Kesakitannya itu seolah-olah hilang bersama-sama senyum tawa insan tersayang." Kataku sambil tersenyum pahit.

Kenangan bermusim yang lalu mengetuk pintu hati. Dada menjadi sebak. Betapa selama ini aku cuba sedaya upaya menyembunyikan kesedihan dan kepayahan yang aku alami daripada diketahui orang. Yang hanya aku mahu, insan yang berada di sekelilingku merasa gembira dan bahagia di sampingku. Kerana kegembiraan mereka adalah kegembiraan aku jua.

"Ketahuilah Allah swt dah anugerahkan dalam diri setiap perempuan sifat rahmah... sifat penyayang. Walau bagaimana kasarnya dia pada mata orang, tapi masih tertanam di dalam dadanya sifat penyayang. Bukankah perempuan dicipta dari tulang rusuk yang bengkok. Dan bengkoknya itu bukan bermakna satu kekurangan tetapi sebenarnya satu penyempurnaan. Tulang rusuk yang bengkok tadi sifatnya sebagai pelindung. Melindungi organ-organ penting di dalam tubuh manusia seperti jantung dan paru-paru.

Dalam erti kata lain, terciptanya seorang perempuan itu secara semulajadinya dua sifat tadi juga ada dalam dirinya, iaitu penyayang dan pelindung. Oleh sebab tulah perasaan perempuan ni halus. Kerana adanya dua sifat itu jugalah, maka seorang perempuan sanggup bersabar dalam menjaga dan melayan kerenah anak-anak. Bersabar apabila hatinya diguris atau dikecewakan oleh mereka. Yang mana tidak mampu dilakukan oleh seorang lelaki.

Sebenarnya bengkok atau tidaknya seorang lelaki atau perempuan bergantung kepada iman dan akhlaknya. Orang lelaki kalau tidak berusaha untuk membuang sifat-sifat yang terkeji di dalam dirinya pun akan jadi bengkok juga, malah lebih bengkok dari orang perempuan yang ada usaha membaiki dirinya.

Ironinya, perempuan kasar tingkah lakunya dan pernah juga dikatakan tidak layak untuk lelaki yang faham agama lantas berusaha memperbaiki dirinya. Dia sedar yang dia bukannya lahir dalam keluarga yang kuat latarbelakang agamanya seperti Nur Jannatul Adnain, Nur Jannatul Ma'wa ataupun Kak Zinnirah. Sebab tu, dia perlu berusaha keras untuk jadi muslimah yang baik... dan pastinya dengan caranya yang tersendiri. Dalam diam berharap satu hari nanti dia juga akan menjadi bidadari syurga untuk lelaki yang bisa melihatnya sebagai bidadari. Bidadari dengan cara dan gayanya yang tersendiri." Ucapanku yang panjang lebar berakhir situ.

Masing-masing diam membisu seperti sudah kehilangan kata.

"I'm speechless..."

"Semua itu sekadar pandangan aku sahaja..." Balasku perlahan.

"I'm very impressed. Sepatutnya aku rakam kata-kata kau ni. Boleh Ammar dengar sama. Aku pasti dia juga akan terkedu dan terkejut, sepertimana yang aku alami sekarang." Katanya lagi.

Aku di sini sekadar tersenyum.

"Bukankah setiap yang berlaku, ada hikmah di sebaliknya. Dengan kata-kata Ammar sebagai cabaran dan pastinya dengan izin Allah, akhirnya kau berubah menjadi seorang bidadari. I'm feel honored talking to you... Ainul Mardhiah."

Ainul Mardhiah... Akukah bidadari itu? Bisik hatiku.

Tanpa disedari, hujung mataku sudah basah. Hatiku tersentuh dek panggilannya pada aku sebentar tadi. Dalam masa yang sama juga aku cukup terhibur dengan kata-katanya itu. Dia memang bijak mengambil hatiku. Sentiasa buat aku berasa senang berada di sampingnya.

"Kata-kata kau tadi sangat sweet. Aku akan catat dalam diari. Berapa tarikh hari ni?" Kataku sambil ketawa kecil, cuba menyelindungi kesayuan yang mula bersarang di sudut hati.

"Tapi aku tak se'sweet' Ammar kan. Lagipun dia selalu beri kau coklat. Sedangkan aku tidak. Aku hanya menanam tebu di pinggir bibir aja, tu sebabnya mulutku selalu manis. Cakap pun yang manis-manis aja. Supaya bisa buat hati kau cair!"

"Yalah tu. Perasan sungguh! Orang puji sejengkal, ditokok-tambahnya jadi panjang sedepa. Nilah susahnya kalau bercakap dengan debater pencen!"

Kata-kataku disambut ketawa besar.

"Oh ya, mana kau dapat tahu ni? Takkanlah Ammar sendiri yang beritahu."

"Adalah..." Katanya, ingin berahsia.

Keadaan sepi seketika.

"Jadi, siapakah insan istimewa yang bertakhta di hatimu sekarang, Ainul Mardhiahku? Yang kau tunggu untuk menyunting hati bidadari kecil yang satu ini?" Soalnya tiba-tiba dengan nada serius.

"Jangan panggil aku macam tu, Kaduk. Aku tak layak langsung..." Pipiku sudah merona merah kerana menerima penganugerahan pangkat 'bidadari' pagi-pagi buta begini.

"Panggilan aku tadi bukan untuk main-main, Nurul Akasyah Othman." Tegasnya.

Dia menyebut nama penuh aku. Dalam erti kata lain, dia sememangnya memaksudkan aku Ainul Mardhiah, ketua bidadari syurga itu, bisik hati kecil ini.

Denyutan nadiku bagai terhenti seketika. Hati aku seperti telah terkena panahan cinta seorang lelaki yang tulus ikhlas menyayangi aku yang serba kekurangan ini. (Bukankah Kaduk sememangnya mempunyai kemahiran memanah. Tidak syak lagi!)

Oh Tuhan, anugerah apakah yang Kau berikan ini? Kesedihan semalam serta-merta kau gantikan dengan kegembiraan yang tiada tandingan ini.

Dadaku sudah sebak. Rasa mahu tumpah lagi empangan air mataku pagi ini.

"Kau tak kerja ke hari ni?" Tanya aku, cuba melarikan diri daripada menjawab soalan dia tadi.

"Kerjalah cik adik. Sekejap lagi kena pulang semula ke apartment aku. Tepat jam lapan nanti dah kena terpacak di office. Ada sesi taklimat dan penerangan."

"Ohhh..."

"Kau tak jawab lagi soalan aku tadi."

"Soalan yang mana satu?" Tanyaku, pura-pura tidak mengerti.

"Setelah kau sanggup menolak lamaran tidak rasmi dari lelaki sebaik Mohd Ammar Iskandar, siapakah jejaka yang kau tunggu wahai bidadariku yang manis?"

Lidahku kelu untuk berkata-kata. Carl Duke Adam, lelaki ini memang cukup arif bagaimana hendak buat daku tersenyum, ketawa dan berdebar. Seperti apa yang sedang dilakukannya saat ini.

"Siapa yang kau tunggu, Nurul Akasyah?" Ulangnya sekali lagi dan kali ini lebih lembut dan menyentuh perasaan kewanitaanku.

Hatiku sudah berdebar tidak terkata. Malah makin lama makin kuat. Bagai jantung ini mahu tercabut dari tempatnya! Nafasku jadi sesak. Suaranya itu bisa buat jantungku luruh!

Tiba-tiba aku dikejutkan oleh bunyi nyaring dari dapur.

"Kaduk, air aku dah masak. Kita sembang sampai sini dulu ya. Bye!" Kataku pantas.

"Hei... jangan nak lari! Jawab dulu soalan aku..." Jeritnya dari hujung talian.

Aku cepat-cepat mematikan telefon dan memandangnya tidak berkelip. Bermimpikah aku?

Teringat satu firman Allah yang berbunyi, "Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan, (Sekali lagi ditegaskan): Bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan." (As-Syarh: ayat 5-6)

Mungkinkah ini kemudahan dan kegembiraan yang Kau maksudkan, wahai Tuhanku?

(bersambung....)

#RADHA #tiaptiapkesukarandisertaikemudahan

Petikan #throwback di atas daripada versi asal online e-novel Relevankah Aku di Hatimu? yang ditulis pada 16 Julai 2004.

[#throwback48] Gelap

Karya pendek

Gelap
oleh Rnysa

#throwback48
#bungabungacinta

Saat itu perasaan aku semakin kuat menyatakan mama tidak berapa gemar aktiviti padan-memadan antara aku dan kawanku itu yang diketuai oleh grandma itu. Terbayangkan perbualan antara papa dan mama beberapa hari yang lalu. Sedihnya hati mengenangkan mama bagaikan tidak merestui hubungan baik yang sedang terjalin. Sebelum ini, mama tidak menunjukkan sebarang tanda tidak menyukai Akasyah. Malah gadis itu dilayan dengan baik.

"Sayang bukannya tak suka budak perempuan tu, abang. Dia memang baik. Tapi macam mana dengan Wawa, anak kawan sayang tu?"

"Biarlah Adam yang buat keputusan."

"Sayang tahu. Tapi..."

"Abang tak pernah janji dengan Zah nak kahwinkan Adam dengan mana-mana anak perempuan dia. Kak Long dan Kak Ngah kahwin atas pilihan mereka sendiri dan mereka bahagia. Tak adil bagi Adam kalau kita tetapkan siapa calon isteri dia." Papa memotong dengan nada tegas.

"Habis tu... abang sukalah si Adam dengan Akasyah? Adam sepatutnya dapat yang lebih baik dari itu." Mama masih tidak berpuas hati. Hatiku terguris hebat. Kasihan Akasyahku. Sampai hati mama kata begitu.

"Sufiah sayang..." Papa mengusap pipi mama berkali-kali. "Ingat lagi tak... waktu keluarga sayang kata sayang sepatutnya terima lamaran lelaki yang lebih baik dari abang, Syed Ahmad Mokhtar... tapi sayang tolak dan masih memilih abang. Kenapa?"

Mama tidak menjawab. Dia membuang pandangan jauh ke luar jendela. Dia tidak lagi nampak marah-marah seperti tadi. Wajahnya sudah mengendur.

"Sayang nak tahu satu perkara... abang perhatikan cara Adam pandang Akasyah di hospital Jepun dulu, sama macam cara abang pandang sayang buat pertama kali. Ada sinar cinta dan kasih sayang di situ.

Selama ni pun mungkin Adam tak perasan, Akasyah dibelai dan dibajainya ibarat sekuntum bunga. Bunga yang mekar berkembang seiring dengan kasih sayang Adam. Walaupun atas dasar sahabat. Tapi entah kenapa... abang dapat rasakan suatu ikatan yang kuat wujud antara mereka. Tak mustahil satu hari nanti mereka berdua akan jadi macam kita."

"Abang pun dah pandai bermadah macam mama ya.." Balas mama acuh tak acuh.

Papa mencuit hidung mama. "Abang ni kan papanya dan... kami sama-sama lelaki. Tentulah abang faham. Lagipun, sayang juga selalu kata, Adam banyak mengikut perangai abang."

Mama melentokkan kepalanya di bahu papa. "Sebagai seorang ibu, sayang boleh berikan pandangan dan cadangan, tapi jangan sekali-kali desak dia menerimanya. Dan, jangan berkecil hati seandainya dia menolak. Janji?" Kata papa, tidak mahu mengecilkan hati mama.

Mama mengangguk lemah. Jauh di sudut di hatinya, dia mahu aku menerima Nur Jannatul Ma'wa. Gadis itu tidak ubah seperti Ain sekarang ini. Bagi aku, cukuplah seorang Ain dalam hidupku. Noktah!

"Malam esok, ada kenduri di rumah Auntie Zah." Kata-kata mama itu mengejutkan dari lamunan. "Kenduri kesyukuran untuk Naim yang akan masuk SBP minggu depan dan Wawa yang baru graduate. Adam ikut sekali ya, sayang." Ajak mama, penuh harap.

Sebenarnya Wawa sudah memaklumkan tentang majlis itu semasa dia menelefon aku tempoh hari. Dikhabarkan juga berita gembira yang dia berjaya menamatkan pengajiannya di Universiti Melbourne. Kami berbual hari itu tidak sampai satu minit, terus Wawa menyerahkan gagang telefon pada abangnya, Firdaus. Memang aku kurang selesa berbual dengan anak-anak perempuan Auntie Zah.

Dengan Ain dulu pun, selepas tamat SPM barulah aku berani meluahkan perasaan aku padanya. Malu sungguh mengenangkan waktu itu. Seperti yang aku dapat jangkakan, Ain tidak cepat melatah dan membuat keputusan melulu. Katanya, elok tumpukan pada pelajaran dulu sebelum berbicara soal hati dan perasaan. Aku jadi senang dengan permintaannya itu. Memang dia menepati ciri-ciri pilihanku. Calon isteri solehah! Cuma sayangnya, jodoh kami tidak kesampaian.

Aku terima dengan hati yang redha. Dia bukannya tercipta untuk aku. Lama selepas itu, baru aku tersedar, ada senyuman manis seorang gadis yang menemani hari-hariku. Kemesraan membaluti persahabatan kami. Penuh tulus ikhlas. Sepatutnya aku membataskan diriku dengan perempuan yang bukan mahramku itu sebagaimana yang aku lakukan pada yang lain.

Tetapi aku ambil ringin tentang Akasyah kerana dia bukanlah memenuhi ciri gadis idaman. Memang dia tidak sealim dan sewarak Ain. Malah dirinya tidaklah secantik Ain dan Wawa yang kacukan Melayu-Pattani-Arab. Dia gadis biasa, serba sederhana. Dia ikhlas menjalinkan persahabatan ini. Bukan dengan niat mahu menarik perhatian aku. Bagaimana dia hendak buat begitu dengan perangainya yang kadangkala kasar dan selamba itu? Setakat dijadikan kawan bolehlah. Termasuk dalam senarai pendek calon isteri? Aku perlu berfikir seribu kali.

Namun kini, aku mengakui dialah mentari hatiku. Menyinari hidupku dengan senyumannya yang manis seperti terlebih gula itu. Aku jadi resah gelisah bila mama mencadangkan mahu jodohkan aku dengan Wawa. Terbayangkan Akasyah yang manis sedang menanti aku. Dia tidak mengharapkan lebih-lebih. Katanya, aku akan tunggu kau sebagai kawan. Yang penting baginya aku mesti cepat sembuh!

"Adam, kita pergi ya?" Mama masih memujuk.

Aku menggeleng pun tidak, mengangguk pun tidak. "Adam tak selesalah kalau nak pergi majlis macam tu. Mama pun tahu kan keadaan Adam sekarang ni. Sampaikan aja salam Adam pada mereka sekeluarga."

"Betul kata Adam tu. Lagipun dia bukannya boleh duduk lama-lama sangat. Cepat sengal-sengal. Majlis begitu makan masa lama. Kan Doktor Zainur dah pesan Adam mesti banyak berehat di rumah." Tambah papa.

Mama sudah kehilangan kata. Masakan dia berani membantah kata-kata papa. Aku lega. Setidak-tidaknya aku dapat berehat hari ini setelah penat melayan tetamu beberapa hari kebelakangan ini.

Aku membuang pandangan ke luar jendela. Bunga-bunga mawar yang ditanam oleh mama kelihatan bersinar-sinar dari jauh. Aku tersenyum sendiri. Kata papa, Akasyah itu bunga indah yang menghiasi kamar hatiku. Mungkin! Kenangan semalam kembali menggamit diri. Hampir sahaja bibir ini lancar mahu bertanya padanya, "Syah, kenapa kau yang aku rindu? Kenapa kau yang berada di hatiku?"

Sebenarnya aku tidak perlu bertanya lagi. Jawapannya sudah terbentang di atas hamparan hatiku. Benarkah begitu?

Ya Allah, Tuhan yang amat mengetahui perkara-perkara ghaib. Jika Engkau mengetahui bahawa pilihan ini baik bagiku, buat agamaku, penghidupanku dan hari kemudianku, maka berikanlah ia kepadaku, dan mudahkanlah ia bagiku, kemudian berkatilah ia kepadaku. Amin ya rabb...

(bersambung...)

#RADHA

Petikan #throwback di atas daripada versi asal online e-novel Relevankah Aku di Hatimu 2 yang ditulis pada 24 Disember 2004.