Wednesday, March 31, 2021

[4] Cinta Sofea

Karya Pendek 

Cinta Sofea
Oleh Rnysa

4


Mungkin perjalanan hari yang indah
Pabila rasa ada kupu-kupu yang bebas berterbangan

Musim dingin, 2004


Sinaran matahari pagi menyilau pandangan. Panas terik. Adi membuka mata perlahan-lahan lalu mengerling jam di tangan. Rupa-rupanya sudah lebih satu jam dia terlena. Sejak kereta api bertolak dari stesen Moji seawal jam enam pagi tadi. Oh, ditambah lapan jam di dalam kereta api Moonlight Kyusyu semalam. Cukup tidurnya tanpa banyak gangguan.

Adi mengeliat ke kiri dan kanan sambil memerhati panorama yang indah. Lautan biru yang luas terbentang di hadapannya.

"Subhanallah, cantiknya." Bisiknya perlahan.

"Ohayou." Husna memberikan ucapan selamat pagi.

"Ohayou." Adi tersenyum sambil membalas ucapan Husna itu.

Husna menyuakan air kopi dalam tin tetapi Adi menolak dengan baik.

Pandangan Adi menembusi jendela kaca. Landasan dari stesen Moji ke stesen Kitsuki di pulau Kyusyu ini dibina sepanjang pinggiran laut. Jadi, Adi dapat menikmati keindahan alam ciptaan Tuhan ini sepuas-puasnya. Saat ini sang matahari sedang menunjukkan dirinya dari ufuk timur. Menyimbah cahaya yang terang lagi gemilang ke seluruh alam. Nampak seperti permulaan hari yang indah!

Lega betul Adi dan Husna setelah dapat bertemu semula dengan rombongan mereka. Perjalanan yang panjang -  bermula dari stesen kereta api Tokyo sehingga ke stesen kereta api destinasi terakhir, stesen Kitsuki di Oita - itu berakhir dengan selamat. Walaupun sudah tertinggal kereta api, tetapi masih sempat mengejar rombongan perjalanan untuk tiba ke destinasi. Terima kasih kepada Mukhriz yang membantu dalam mengatur semula jadual perjalanan kereta api mereka bertiga dengan baik. Syukur alhamdulillah!

Begitulah Adi selalu cuba bersangka baik yang Allah akan memberi jalan keluar dari kesulitan dalam hidupnya. Dan kini beg dan tiket perjalanan sudah berada di tangan Adi semula. Tadi dia juga minta tiket yang sudah dicop oleh pegawai stesen. Saja nak simpan buat kenang-kenangan.

"Akhirnya!" Kata Adi sebaik sahaja berjaya menjejakkan kaki di tempat yang dituju.

Namun perasaan senang itu hanya untuk sementara sahaja. Adi rasa mahu pulang sekarang juga. Bagaimana semua ini boleh terjadi? Mana mungkin! Adi sangkakan hari ini merupakan permulaan suatu hari yang indah.

Oh tidak, sekarang dia panik.

Malah kerisauan itu kian bertambah-tambah sebaik sahaja melihat wajah pemandu kereta sport hitam yang sedang melangkah ke arah mereka. Wajah Adi terasa sudah pucat tidak berdarah.

Kenapa mesti dia pula yang datang menjemput mereka di stesen Kitsuki ini? Tanya Adi dalam hatinya.

Adi tahu bahawa pemandu kereta yang bakal dinaikinya itu merupakan pelajar Universiti Kyusyu, di mana kedudukan universiti tersebut sangat hampir dengan tempat program kali ini.

Tiba-tiba sahaja hari ini si dia muncul sedangkan si dia tidak pernah kelihatan dalam mana-mana program yang dianjurkan oleh persatuan pelajar Islam Malaysia sebelum ini.

Dia nampak sedikit lain berbanding dulu.
Dia...

"Adi dan Husna boleh naik kereta Haiqal dengan Kak Fida." Putus Kak Fida.

Kak Fida atau nama sebenarnya Rufaidah binti Saad itu ketua HELWI (Hal Ehwal Wanita) persatuan mereka. Namanya persis nama jururawat pertama dalam sejarah Islam. Tokoh srikandi Islam yang banyak terlibat dalam misi peperangan itu berasal dari suku Khazraj dalam keluarga Bani Aslam. Lahirnya di Yathrib sebelum hijrah Nabi.

Adi, sekarang bukan masanya hendak buat ulangkaji sirah kerana Mukhriz pun juga naik kereta mereka dan sudah duduk sedia di sebelah bangku si pemandu.

"Kita dah boleh gerak?" Tanya Haiqal kepada Mukhriz.

Mukhriz pandang ke belakang sekilas. "Boleh. Jom!" Katanya sebaik sahaja Adi menjadi orang yang terakhir masuk ke dalam kereta.

Sepanjang perjalanan hanya Mukhriz dan Haiqal sahaja berbual, saling bertanya khabar masing-masing.

Adi leka menatap pantai dan laut di sepanjang menuju ke tempat perhimpunan musim sejuk mereka kali ini. Sesekali dia meniup tangannya yang terasa sejuk. Sejuk sebab cuaca di luar yang dingin. Mungkin juga dicampur perasaan 'seram sejuk' memikirkan lelaki di bangku pemandu itu.

"Andai kata suatu hari nanti saya berubah, waktu itu awak boleh terima saya?"

Kata-kata Haiqal beberapa tahun lalu itu kembali mengasak-asak fikiran Adi. Ketenangannya terganggu sekali lagi. Dia berharap, janganlah Haiqal ungkit semula perkara lama itu lagi. Walaupun ada teman mengatakan, lelaki itu sudah berubah menjadi lelaki baik-baik. 

"Semuanya disebabkan oleh kau, Adi."

Renungan lelaki itu sebaik sahaja ternampak Adi tadi seperti punya makna yang mendalam. Seakan cuba memberitahu, dirinya masih setia menanti dan mengingati Adi seperti mana dalam warkah terakhirnya.

Hingga ke saat ini, saya tidak bisa melupai Khadijah. Ingatan itu bertambah kuat sejak kemunculan seorang gadis manis berpakaian serba putih dalam mimpi saya. Anehnya gadis itu persis wajahmu, Khadijah. Dia tersenyum manis pada saya. Petunjuk daripada Allah barangkali. Nur Khadijah telah dijanjikan untuk Muhammad Haiqal.

Tiba-tiba Adi terasa suhu dalam kereta sudah tidak sesejuk tadi lagi. Memang tadi Adi ada terdengar bunyi seperti tuan punya kereta sedang melaraskan sesuatu; mungkin menaikkan suhu pemanas.

Terima kasih kerana prihatin, ucap Adi dalam hatinya seperti selalu.

Suhu yang panas itu sedikit sebanyak memberi keselesaan dan mententeramkan Adi. Ibarat kepompong yang sedang melindungi bakal sang rama-rama yang memiliki sepasang sayap yang indah.

(bersambung...)

#CintaSofea

📷: Pinterest

Monday, March 22, 2021

[3] Cinta Sofea

Karya Pendek

Cinta Sofea
Oleh Rnysa

3


Demi masa
Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian

Musim sejuk, 2004


Masa dan waktu merupakan nikmat dan kelebihan Allah kurniakan untuk manusia. Dia bersumpah dengan nama-nama makhluk ciptaan-Nya, seperti Dia bersumpah dengan nama-nama hari, adalah bertujuan untuk menerangkan kepada manusia betapa bernilainya masa dan kesan-kesan dari peredaran masa.

Akan tetapi, saat ini Adi tidak berapa jelas tentang kepentingan masa itu. Kenapa dia perlu terperangkap di dalam kereta api pada waktu salji turun dari langit, bersama dengan Mukhriz.

Dia di hujung sana, Adi pula di hujung sini. Bunyinya macam romantik saja, bukan?

Sudahlah tertinggal keretapi, terpisah dari kumpulan dan kini terperangkap pula dalam salji dengan Husna dan si dia. Macam plot dalam sebuah novel. Tetapi hakikatnya inilah yang telah terjadi. Bukannya kisah dongeng, hikayat penglipur lara atau 'fairytale'. Ini adalah sebuah kisah benar.

Rasanya mungkin benar juga yang Adi sudah ada kegemaran baru - missing in action?

Tidak mahu terus memikirkan perkara sudah berlaku itu lagi, Adi kembali menatap buku yang baru dikeluarkan dari dalam beg sandang. Judulnya "Detik-Detik Masa" tulisan ulama terkenal, Dr. Yusuf Qardawi. Buku ini telah dibeli kira-kira setahun yang lepas. Selama itu jugalah ia menjadi perhiasan yang tersusun indah di rak buku. Begitulah nasib buku agama di biliknya. Kalau novel cinta tidak perlu tunggu sampai sehari semalam sudah berjaya dikhatam.

"Bismillah..." Muka surat pertama dibaca.

***

Mukhriz menggelengkan kepalanya sekali lagi.

"Astaghfirullah hal 'azim." Istighfar Mukhriz entah kali ke berapa. Matanya asyik nak memandang ke arah si dia yang sedang tekun membaca di hujung gerabak sana.

Ada sedikit rasa tersilap langkah menawarkan diri untuk mencari Khadijah dan Husna yang hilang. Sebenarnya bukan 'hilang' sangat pun, cuma terlewat gara-gara pergi ke bilik air di saat-saat akhir tanpa memaklumkan kepada sesiapa.

"Maaf senpai..." Kata Husna berulang kali tadi.
"Maaf Mukhriz. Tak sangka pula ramai orang beratur." Sambung Khadijah pula.

Melihat Khadijah dan Husna meminta maaf kepadanya berkali-kali, Mukhriz pun tak sampai hati hendak marah atau tegur secara berlebih-lebihan. Itupun dia sudah beri nasihat serba sedikit tentang adab musafir beramai-ramai. Dan kedua-duanya hanya diam dan asyik mengangguk sahaja dengan riak wajah bersalah.

Malah tadi pun dia tak berniat pun nak mengungkit-ungkit kisah lalu dengan Khadijah. Cuma dia sedikit rasa kurang senang Khadijah mengulangi kesilapan yang hampir sama sekali lagi - semasa program musim panas yang lepas, boleh pula Khadijah bermusafir sendirian dari Tokyo dan tiba agak lewat malam di stesen kereta api yang berhampiran dengan tapak program perkhemahan mereka.

Lalu penceramah jemputan dari Malaysia yang juga seorang ustaz graduan lepasan dari Mesir telah selitkan hal itu dalam pengisiannya. Ustaz galak memberi komen, mengeluarkan pelbagai dalil dan hujah. Sampaikan ada yang memberitahu Mukhriz bahawa Khadijah hampir tak angkat muka sepanjang ceramah ustaz tersebut.

"Ana perasan dia banyak tunduk sahaja. Nampak macam tak selesa sebab dijadikan contoh pengajaran untuk orang lain." Beritahu seorang peserta itu lagi, yang sesekali mengerling ke arah Khadijah.

Nah sekarang, Mukhriz sedar yang Allah sedang mengujinya juga. Ditakdirkan dia tak dapat mengawal mata dan hatinya dalam menilai Khadijah dan Husna. Lebih-lebih lagi tentang Khadijah.

Sebagai lelaki muslim yang beriman, dia tak sepatutnya ralit memandang si dia yang sememangnya telah menambat hati lelakinya sejak sekian lama. Seraut wajah manis itu membuatkan dia tekad untuk melamar Khadijah. Syukur hasrat itu dipersetujui oleh kedua orang tuanya yang sememangnya memiliki hubungan yang sangat akrab dengan keluarga Khadijah. Sebelum cuti musim sejuk tempoh hari, Mukhriz memulakan langkah dengan menghulurkan 'salam perkenalan' melalui surat atas restu papa Khadijah sendiri. Namun sehingga ke saat ini, dia masih belum menerima sebarang balasan.

Mukhriz menoleh ke arah Khadijah sekali lagi dan pandangan mereka berlaga untuk beberapa detik sebelum gadis itu segera memandang ke arah lain.

Serentak itu lampu cabin menyala semula. Kedengaran pengumuman dari pemandu memberitahu bekalan elektrik sudah pulih seperti sediakala. Kemudian berkali-kali ucapan memohon maaf atas kelewatan yang berlaku. Begitulah budaya orang Jepun yang cukup sensitif soal masa.

Mukhriz tersenyum senang apabila mendapati kereta api sudah mula bergerak.

***

Mereka tidak perlu menanti lama di Oogaki eki sebelum kembali masuk ke dalam perut kereta api. Dengan menaiki kaisoku densya atau rapid train, perjalanan menjadi semakin lancar. Dalam masa tidak sampai setengah jam mereka akan tiba di destinasi stesen seterusnya - Maibara eki.

Salwa awal-awal lagi sudah terlena sebaik sahaja kereta api ini bertolak dari Maibara. Agaknya kepenatan kerana perlu bertukar-tukar kereta api di stesen tertentu dengan tiket Seishun Juhachi Kippu yang mereka beli ini. Tiket yang 'unlimited' sama ada untuk boleh digunakan lima hari untuk satu orang atau lima orang untuk sehari.

Waktu musim cuti begini memang kereta api akan sentiasa penuh dengan penumpang yang bertali arus. Masyarakat Jepun mengambil peluang ini untuk pulang ke kampung menyambut Tahun Baru bersama kaum keluarga, ataupun pergi melancong.

Kegelapan malam perlahan-lahan melabuhkan tirainya. Sempat juga Adi mengerling ke arah Mukhriz yang sedang membaca buku entah apa di hujung gerabak sana. Mungkin buku sirah. Sebab dengar ceritanya, Mukhriz rajin mengulit buku-buku sirah, sedangkan Adi tidak begitu.

Setiap kali tiba giliran memberi pengisian dalam usrah barulah Adi terkecoh-kecoh membaca. Kebetulan Adi diminta memberikan pengisian di bawah tajuk "Hijrah dan implikasinya". Jadi barulah Adi tahu dari mana datangnya kisah Suraqah Bin Malik yang dijanjikan Rasulullah gelang raja Parsi, yang Mukhriz pernah ceritakan sedikit masa dahulu dalam salah satu pengisian yang diberikannya.

Mukhriz menerangkan bagaimana keanehan yang berlaku semasa Suraqah cuba mengejar Rasulullah dan Abu Bakar. Salah satunya, kaki hadapan kuda Suraqah terbenam di dalam pasir sehingga paras lutut setiap kali dia cuba menghampiri nabi. Lancar lidah Mukhriz menyebut nama para sahabat (yang Adi tidak pernah dengar), nama tempat berserta tarikh sesuatu peristiwa. Seolah-olah telah dihafalnya seluruh buku tersebut.

Dalam soal itu, Adi ketinggalan terlalu jauh di belakang. Namun Adi teringat kata-kata Mukhriz yang agak panjang sebelum menutup kisah Suraqah pada waktu itu, yang dipetik daripada buku Fiqh al-Haraqah.

"Saidatina Khadijah binti Khuwailid adalah manusia pertama yang menyahut seruan iman dan islam, saidatina Aisyah menjadi gedung ilmu dan pusat sumber maklumat, Nusaibah binti Ka'ab bermatian-matian di medan Uhud dan Sumaiyah Ali Yaasir pula orang pertama mendapat gelaran syahid.

Mereka semua ini adalah muslimah dan wanita. Menjadi bukti yang jelas bahawa peranan wanita adalah jauh lebih luas dari hanya sekadar menguruskan rumahtangga. Sejarah telah menyaksikan penglibatan muslimat dalam gerakan dakwah dan ia memang tak dapat dinafikan lagi.

Maknanya Islam tidak sama sekali membezakan antara lelaki dan perempuan dari segi tanggungjawab di atas muka bumi. 

Jadi, setelah kita berusaha membentuk diri kita dengan sesempurna mungkin untuk memikul tanggungjawab ini, setiap individu mestilah berusaha untuk menyeru ke arah pelaksanaan cita-cita iman dan islam ke dalam realiti. Keindahan dan kesempurnaan Islam tidak akan terbukti kalau hanya setakat teori dan cita yang tidak dicernakan ke dalam realiti.

Tugas mencernakan ajaran Islam dan mengajak manusia bersama untuk beriman inilah yang dikenali sebagai dakwah.

Dakwah dimulai dari lahirnya sekelompok orang yang sedar dan insaf, serta yakin akan tugas mereka, disamping iman yang tebal kepada Allah SWT.

Sedar ataupun tidak, semua muslimah yang duduk di belakang sana sebenarnya berada dalam kelompok itu. Semuanya sudah punya kesedaran dan keinsafan. Yang telah dilatih di bawah sistem tarbiyah supaya bersedia menjadi seorang da'ieah atau pendakwah wanita. Cuma dari segi keyakinan, mungkin ada di antaranya nampak masih kurang lagi."

Ya, Adi merasakan bahawa dia masih kurang yakin dan kurang bersedia. Banyak yang masih perlu dipelajarinya.

Adi kembali menatap buku" Detik-Detik Masa" di tangannya. Dalam banyak-banyak, dia amat tertarik dengan kata-kata yang berbunyi:

Seseorang muslim hidup di antara dua solat, iaitu solat subuh dan isyak. Maknanya seorang muslim memulakan setiap hari di dalam hidupnya dengan solat dan diakhiri dengan solat. Dengan silih bergantinya masa, seorang muslim juga berulang kali dapat berada di samping Allah.

Adi jadi malu dan insaf sungguh mengenangkan sikapnya awal-awal tadi. Kesyukuran dipanjat ke hadrat Ilahi. Kini Adi benar-benar yakin bahawa Allah tidak mencipta masa dan peristiwa yang dialaminya ini dengan sia-sia.

(bersambung...)

#CintaSofea

Rujukan:
1. Detik-Detik Masa
2. Fiqh al-Haraqah

📷: Pinterest





Thursday, March 18, 2021

[Special Entry 1] Gelap

Karya Pendek

Gelap
Oleh Rnysa

Special Entry 1 
Edisi Istimewa 18 Mac Anniversary

18 Mac 2021
#MCO365Days
#SpecialEntry #21stAnniversary

"Ingat tak tarikh hari ini?"
"Huh? Ada anniversary apa-apa?"

"Adalah..."

Allahu, tarikh anniversary apa pula ni? Kaduk cuba bawa bertenang. Dia buka planner, tak tulis apa. Dia semak dalam telefon bimbit, tak ada reminder apa pun. Macam tak ada sambutan istimewa apa-apa. Hari lahir anak-anak pun bukan.

"Sayang, tarikh apa ni?" Janganlah nak suruh dia teka pula. "Oh, tarikh anniversary setahun PKP tahun lepas?" Tapi, takkan tarikh mula lockdown pun Syah nak sambut? "Happy MCO anniversary, sayang." Tak apa, wish sajalah.

"Eh, hari ini? Tak ingat..." Syah tergelak. Lupa dah PKP 18 Mac tahun lepas sebab ada PKP2.0 pada 13 Januari 2021 yang lalu. 

PKP. PKPB. PKPD. PKPP...
Syah sudah lost track.

"Oh, bukan sebab MCO anniversary? Maaf, abang tak ingatlah. Hari apa ya?" Baik terus tanya daripada main tembak macam tadi.

"Hari kali pertama abang telefon ke rumah Syah. Hari inilah... 18 Mac 2000."

Kaduk tergelak.

"Eh, betul ke?"
"Iya."

Dua-dua diam lama.

"Jadi, telefon abang ni... sebab nak hadiah... iPhone terbaharu ke? Selalunya buat suara manja-manja kalau nak minta apa-apa atau ada buat salah." Kaduk gelak kecil.

"Eh, tak adalah." Terus Syah buat suara macam biasa balik. "Manja sangat, eh?"

Tadi masa ambil anak-anak sekolah baru teringat tarikh hari ini. Itu yang sampai rumah, cepat-cepat dia mesej Kaduk tanya suaminya itu tengah sibuk atau tak. Kemudian, terus dia telefon bila Kaduk kata OK.

"Iya. Kenapa? Ada apa?" Kaduk senyum pada skrin komputer ribanya sambil bersandar pada kerusi. Dari dulu memang jarang Syah telefon dia masa waktu kerja, melainkan ada hal penting. Selalu Syah tunggu lepas habis waktu pejabat ataupun waktu rehat.

"Oh, hujan lebat dekat luar. Teringat dekat abang." Banyak benda buat Syah ingat pada lelaki yang menjadi suaminya itu.

Hujan? Kaduk terus pandang ke tingkap kaca besar seluas alam dari tingkatnya di Menara Berkembar Petronas. Langit dekat luar memang gelap sangat.

"Dan, sebab pada 18 Mac 2000... 21 tahun lepas abang telefon sayang dekat rumah, kan?" Kaduk ulang balik.

"Iya. Terima kasih sebab sudi telefon. Dah lepas 21 tahun, baru nak sambut tarikh ini dengan abang."

"Alahai, romantiknya isteri abang. Tarikh abang telefon pun ingat lagi. Abang telefon waktu malam, kan?" Kaduk cuba nak ingat balik. Sambil itu Kaduk catat dalam planner dan set reminder dalam telefon bimbitnya supaya dia tak terlupa.

"Iya. Antara waktu maghrib dan isyak." Sampai sekarang Syah masih tak lupa. Sebab pada mulanya dia fikir Pijan yang telefon, tapi rupa-rupanya... Kaduk.

***

18 Mac 2000

"Eh, mana dapat nombor telefon rumah kita?" Memang dia rapat dengan Kaduk, tapi rasanya tak sampai beri nombor telefon.

"Dari majalah sekolah."
"Okey. Kenapa call kita?"
"Oh, sebab aku tahu fasal semua orang kecuali kau."

"Eh?" Rajinnya Kaduk call satu batch. Biar betul?

"Yalah, dalam ramai-ramai kawan... aku tak dengar apa-apa berita daripada kau. Kau pun tak telefon aku."

"Tak ada hal nak telefon. Tak ada sebab."

"Ada sebab, ada hal... baru kau akan telefon aku?"

"Yalah, kau kan lelaki. Takkan kita nak suka hati telefon sampai ke rumah."

"Oh, jadi tak pernah telefon kawan lelaki kau yang lain? Pijan, Ed, Tok Wan..." Kaduk sebut semua nama rakan sekolah yang dia tahu rapat dengan Syah.

"Pijan. Dia ada telefon kita. Sama macam kau. Dapat nombor dari majalah sekolah juga." 

Selain Kaduk, Syah paling banyak belajar dengan Pijan. Pijan atau nama betulnya, Mohd Faizal Chanmekun itu kawan satu kelas masa Tingkatan 4. Merupakan pelajar terbaik Tingkatan 4 dan kemudiannya jadi rakan sekelas dengan Kaduk semasa di Tingkatan 5.

"Ammar?"
"Eh, mana ada rapat sangat dengan dia."

"Izzy?" 
"Tak."

"Pinto?"
"Eh, buat apa Pinto nak telefon kita?"

"Ed?"
"Tak. Khalid pun tak."

Apa Kaduk ni? Siap semak nama seorang demi seorang.

Di rumah Kaduk... 
Adeilah pandang abangnya dari jauh. Achik asyik tersenyum-senyum sambil bercakap dengan siapa entah.

"Kak Ain ke?" Tanya dia waktu lalu sebelah abangnya tadi yang tengah bergayut dengan telefon.

"Tak. Orang lain."
"Orang lain? Siapa?"

"Ish, sibuklah budak kecil ni."
"Cakap sajalah siapa. Nanti Adik report dekat mama."

"Kawan sekolah. Kak Syah."
"Haaaa, kan senang cakap saja."

"Eh, tak. Adik aku ni tanya..." Kaduk sambung cakap dengan orang di hujung talian. "Betullah. Yang nama Sofea Adeilah. Adeilah."

"Eleh, girlfriend ya. Nanti Adik cakap dekat mama yang Achik dah ada girlfriend."

"Eh, pergilah duduk sana." Kaduk halau adik dia jauh-jauh. Adik ni kan...suka sakat dia.

Adeilah buat muncung sedepa. Nak rahsialah konon. 'Sakit mata' tengok muka Achik yang tersengih tak henti. Kak Syah ni...kawan abang yang budak form four baharu dulu agaknya? Macam pernah dengar Achik sebut nama itu.

Malam itu Adeilah minta tengok gambar Kak Syah dekat abangnya. Dia selak majalah sekolah Achik.

"Yang ini..." Kaduk tunjuk pada sekeping gambar yang lengkap dengan alamat dan nombor telefon.

"Nurul Akasyah binti Othman. Kampar, Perak. Nombor telefon 05-464..."

"Eh, tak payahlah baca kuat-kuat. Nak beri satu rumah dengar ke?" 

"Achik takut mama dengar?" Adeilah tersenyum nakal.

"Bukan ada apa-apa pun."

"Tak ada apa-apa. Tapi senyum beria-ia macam tengah bersembang dengan girlfriend."

"Ish, mana ada. Tuduhan tak berasas."

***

18 Mac 2005

"Kaduk..."

"Syah?"
"Ya."

"Sekejap..."

Kaduk terus bangkit dari atas katil. Ulang tarik dan lepas nafas beberapa saat. Sejak kemalangan di Jepun tempoh hari, macam berdebar jantung setiap kali dengar suara Syah. Padahal bukan tak biasa mereka berbual sebelum ini.

Telefon.

KL-Perak.
London-Tokyo.

Panggilan melalui Yahoo Messenger pun ada.

Tapi, sekarang benda biasa sudah jadi tak biasa.

***

18 Mac 2007

Syah hantar mesej pada Kaduk tapi tidak berbalas. Telefon pun talian Kaduk sibuk. Ada orang lain telefon dia.

"Ahmad, tolong doakan aku. Doakan supaya dia dapat terima aku."
"Amin, semoga dipermudahkan segala urusan kau orang berdua. Nak makan nasi minyak nanti kau roger aku, okey?"
"Insya-Allah."

Dan, Kaduk aminkan doa bekas kawan serumahnya waktu belajar di London itu dalam hati. Dalam masa yang sama, dia melabuhkan pandang pada ferries wheel yang jadi antara landmark terkenal di pelabuhan Yokohama dari mejanya di Petronas Sakuragichou.

***

18 Mac 2008

Syah pandang tarikh dalam kalendar di telefon bimbitnya. Berdebar nak jadi isteri Kaduk.

Kaduk pandang langit malam. Bulan depan dah nak jadi suami Syah. Alhamdulillah.

***

18 Mac 2009

Alhamdulillah.
Tak payah telefon, tak perlu mesej.
Kaduk sudah berada di depan mata.

Syah senyum.

***

18 Mac 2020

PKP hari pertama.
Covid-19. Lockdown satu Malaysia.

Tak ingat sangat anniversary tahun itu sebab kelam-kabut hari sebelumnya dekat pejabat.

WFH hari pertama.

Nak tengok anak-anak lagi.
Nak siapkan... makan tengah hari?

Syah tengok jam dinding. 
Eh, bukankah tadi baru bersarapan?

Terus Syah bergerak ke dapur dan sarung apron. 
"Bismillah..."

Kaduk cuit Syah dari belakang.
"Sayang nak abang tolong?"

***

Kembali ke tahun 2021...

Syah usap kandungan yang kian membesar. Alhamdulillah, anak mereka sihat wal'afiat. Ultrasound apa semua pun okey.

Dia sendiri makin sihat sebab tak perlu fikir banyak benda. Hal kerja memang sudah tolak ke tepi. Fokus pada diri sendiri, Kaduk dan anak-anak. Yang lain-lain, apa yang termampu saja.

Doa yang baik-baik saja.

Untuk seluruh keluarga mereka.
Untuk Malaysia.
Untuk semua.

(Alhamdulillah. Tamatlah special entry... harapnya 😅) 

#RADHA #sampaisyurga

📷: Pinterest

Cerita RADHA ini...
Istimewa untuk saya... sampai bila-bila ☺️

Monday, March 15, 2021

[2] Cinta Sofea

Karya Pendek

Cinta Sofea
Oleh Rnysa

2


Ibarat tertinggal kereta api
Yang terlepas ke destinasi

Musim dingin, 2004


"Awak suka sangat hilang. Dah masuk kali kedua saya terpaksa selamatkan awak begini." Katanya sebaik sahaja menjumpai Khadijah di noriba 6 sebentar tadi.

Khadijah menjeling lelaki di hadapannya sekilas dari atas ke bawah sebelum memandang ke arah lain.

Macamlah Khadijah suka sangat dia datang 'selamatkan' Khadijah. Macamlah kalau dia tak datang, Khadijah akan hilang arah. Jika sudah rasa 'terpaksa' begitu, kenapa tidak disuruh saja orang lain yang menunggu Khadijah di sini. Apa perlu menawarkan diri sendiri kalau sudah merasa... sakit hati? Lepas itu mahu perli-perli orang pula. Sepatutnya sesiapa sahaja dalam kumpulan tadi beritahu sahaja densya atau kereta api mana yang perlu dinaiki. Arah mana, noriba atau platform nombor berapa. Supaya tidak perlu bersusah-payah menyeksa hidup sesiapa pun.

Demikianlah dengan panjang lebarnya Khadijah 'memarahi' lelaki itu di dalam hati.

Tetapi, mujur sedari awal lagi Khadijah telah kunci mulutnya rapat-rapat. Takut juga terlepas kata. Perempuan diasuh supaya berbudi bahasa dan bertutur lemah-lembut. Bukannya diajar menjawab sesedap rasa. Sudahlah menyusahkan orang tetapi masih lagi mahu berlagak. Budak sombong!

"Sudah solat? Sudah makan?" Lelaki itu menyoal pula.

Khadijah dan seorang lagi 'mangsa hilang', Salwa menggeleng serentak.

"Saya dah sudah tadi." Beritahu dia dengan suara mendatar.

Tak tanya pun, laju hati Khadijah membalas.

Hati, oh hati!

Bukankah Cik Yasmine selalu berpesan: "Kita kena berlapang dada apabila ditegur. Jangan mudah sangat naik angin. Setiap teguran adalah untuk kebaikan diri juga, bukan niat untuk memusnahkan dan menghancurkan apalagi membunuh, Khadijah."

Tapi Yasmine, bagaimana hendak berlapang hati dengan orang yang cuba mengganggu emosi kita, misalnya? Bulan depan nak peperiksaan akhir tapi lelaki yang 'menyelamatkan' Khadijah sekarang ini tiba-tiba mahu berutus surat pula? Soal Khadijah kepada dirinya sendiri.

"Beginilah, awak berdua pergi makan dulu. Kemudian solat jama' zohor asar. Nanti saya akan carikan tempat yang sesuai." Lelaki itu menerangkan rancangan selanjutnya.

Khadijah tersenyum sendiri. Terasa macam adik junior yang baru tiba di Narita dan ada abang senior sangat baik hati membantunya. Mungkin perasan dirinya diperhatikan, lelaki itu membalas dengan senyuman juga. Dalam sekelip mata, wajahnya yang nampak garang dan sinis di mata Khadijah tadi bertukar menjadi semanis gula.

Syed Ahmad Mukhriz bin Syed Ahmad Mukhtar. Siapakah lelaki berketurunan syed itu pada kaca mata Khadijah?

Pertama:
Mukhriz yang merupakan bekas pelajar dari Sekolah Alam Shah itu sedang menyambung pelajaran dalam bidang Kankyou Busshitsu Kougakka atau terjemahannya dalam bahasa Inggeris 'Material-prosess Engineering and Applied Chemistry For Environments. Tapi biasanya waktu memperkenalkan diri, Mukhriz akan menyebut 'direct translation'nya saja - Environments (and) Material Engineering.

Kedua:
Dia juga merupakan anak kepada kawan papa dan mama Khadijah. Walid Mukhriz, Dato' Tuan Haji Syed Ahmad Mukhtar itu peguam kepercayaan papa. Firma guamannya banyak membantu dalam menguruskan hal ehwal guaman syarikat hartanah papa. Umi Mukhriz, Datin Hajjah Syarifah Jamilah pula merupakan teman rapat mama sejak zaman belajar di Kolej Tunku Kursiah lagi. 

Ketiga:
Anak bongsu dari tiga adik-beradik lelaki itu tidak pernah pun berbual dengan Khadijah sebelum ini. Sama ada di mana-mana majlis rasmi atau majlis peribadi keluarga yang keluarga Mukhriz dijemput sama; atau sepanjang mereka berdua melanjutkan pelajaran di tempat persediaan yang sama sehingga mengikuti persatuan pelajar Islam Malaysia ini.

Tiba-tiba Khadijah rasa lengannya dicuit. Kelihatan Salwa dan Mukhriz sedang ralit memandangnya.

"Kalau suka berkhayal macam ini awak akan hilang lagi, Khadijah." Tegas Mukhriz sebelum menghilang diri ke dalam kedai soba atau mi jepun.

Suka berkhayal?

Khadijah sekadar menjeling tajam. Agaknya Mukhriz fikir Khadijah punya kegemaran yang aneh dan 'missing in action' ini merupakan salah satu hobinya di masa lapang?

"Kak Adi tak nak makan?" Tanya Salwa apabila melihat Khadijah masih tercegat sahaja.

Di kalangan pelajar perempuan, yang rakan sebaya dan kakak senior memanggilnya dengan nama Adi. Jadi adik-adik junior pun ikut memanggilnya Kak Adi.

Cepat-cepat Adi melangkah ke dalam kedai itu. Mukhriz sudah menanti mereka di hadapan kaunter. Adi dan Salwa mendekatinya. Dalam pada itu, Adi sedaya upaya memaniskan wajah yang sudah terasa kelat.

"Nak makan apa? Saya belanja." Kata Mukhriz lalu menyerahkan menu pada Adi.

"Tak payahlah susah-susah." Balas Adi, acuh tak acuh sambil matanya ralit memerhati menu makanan yang tersenarai.

"Awak dan Husna pesanlah. Nanti saya bayarkan. Ikhlas lillahi ta'ala." Katanya lagi dengan suara perlahan, seakan sedang berbisik pula. Mukhriz perasan wajah Khadijah sedikit berubah dengan kata-katanya tadi.

"Kaki age soba."

Adi memesan mi jepun berkuah yang berlaukkan tiram goreng itu, manakala Salwa pula memilih udon yang dimakan bersama telur separuh masak. Air teh hijau dapat percuma dan boleh 'refill'. Mukhriz mengeluarkan not seribu yen dari dompetnya lalu diserahkan pada juruwang.

"Baiknya Abang Mukhriz. Jarang jumpa orang yang bertanggungjawab macam dia." Komen Salwa sebaik sahaja Mukhriz segera beredar mencari tempat solat untuk mereka.

Adi mengangguk. Walaupun sedikit terasa hati dengan lelaki itu tetapi Adi mengakui sifat bertanggungjawab yang dimiliki oleh Mukhriz.

"Dia bukan jenis orang yang lepas tangan. Mesti dia yang tawarkan diri menemankan kita yang hilang tadi. Dia takkan biarkan kita bergerak terus sampai ke Oita tanpa ada lelaki yang temankan." Kata Adi dengan penuh yakin.

"Bimbang jadi apa-apa nanti," kata Mukhriz semasa pertama kali 'menyelamatkannya' suatu ketika dahulu.

Sebab itu tadi, Adi rasa malu dan segan yang teramat sangat apabila mengetahui yang Mukhriz menolongnya sekali lagi.

"Memang dia menepati ciri seorang pemimpin yang baik, sentiasa mengambil berat tentang orang di sekelilingnya." Puji Adi lagi.

Usai makan dan solat jamak, mereka bergegas menaiki densya atau kereta api seterusnya.

Adi melemparkan pandangan ke luar tingkap. Kereta api terus meluncur laju meninggalkan stesen Gifu. Di tengah perjalanan, salji turun dengan lebatnya secara tiba-tiba. Adi jadi cemas. Ada satu kebarangkalian yang akan berlaku - kereta api akan berhenti jika salji terlalu tebal. Sebagai orang Tokyo, dia sudah boleh menjangkakannya. Memang benar telahannya kerana tidak lama selepas itu kereta api yang mereka naiki berhenti di salah satu stesen yang berhampiran.

"Nampaknya kita terperangkap dalam densya ini." Kata Adi pada Salwa.

Tidak semena-mena lampu dan pemanas terhenti pula. Bekalan elektrik terputus agaknya. Adi melirik ke kiri dan ke kanan. Tidak semena-mena hati Adi dilanda perasaan yang bersalah yang amat sangat.

Dari jauh, Adi dapat lihat Mukhriz mengeluarkan telefon bimbit. Barangkali ingin memaklumkan kepada ketua rombongan yang mereka mungkin terlewat lebih daripada yang sepatutnya.

"Yuki di Tokyo tentu tak selebat ini, kan?" Husna bertanya dengan ramah sambil melihat yuki atau salji yang tebal di luar sana.

Adi mengangguk. Dia memandang salji yang turun dari langit seperti titik-titik hujan. Cantik. Adi cukup suka salji. Sayangnya Tokyo bukanlah kaya dengan salji. Jadi, setiap kali melihat salji yang begitu banyak sebegini hatinya akan melonjak keriangan. Kalaulah pintu kereta api boleh dibuka, sudah lama Adi berlari-lari di luar sana. Paling kurang membuat bebola salji atau snowball.

"Di Sapporo pemandangan begini biasa saja buat kami." Beritahu Salwa yang belajar di pulau yang letaknya paling utara itu.

"Salwa, boleh tolong ambilkan gambar Kak Adi?" Adi menyerahkan kamera digital kepada gadis itu sebelum bersandar pada tingkap besar yang belakangnya dihiasi dengan pemandangan salji yang indah memutih.

Adi menoleh ke kiri sebentar dan mendapati Mukhriz sedang memerhatikan dirinya. Kalau tidak, masakan tiba-tiba sahaja dengan wajah lelaki yang sedang tersenyum ala malu-malu kucing itu segera melarikan pandangan ke arah lain pula.

Selepas bergambar, Adi menyudahkan analisisnya tentang Mukhriz.

Keempat:
Sejak bila pula ketua bahagian Lujnah Dakwah dan Tarbiyah pandai curi tenung orang?  Tapi, normallah kalau si anak teruna yang mengutus surat tenung si gadis penerima suratnya, kan? Budak usrah pun berkahwin juga. Dan mungkin... mendirikan rumah tangga lebih awal, kan?

Adi berpusing ke belakang semula, menatap hamparan salji yang memutih.

Tertinggal kereta api sudah, terperangkap dalam salji pun sudah. Kenapa rasanya macam ada perkara yang lebih besar nak jadi lagi selepas ini? 

(bersambung...)

#CintaSofea

📷: Pinterest

Sunday, March 14, 2021

[1] Cinta Sofea

Karya Pendek

Cinta Sofea
Oleh Rnysa

1


Seperti kapas putih
Yang turun dari langit

Musim sejuk, 2004


Khadijah menguak sedikit pintu gelangsar yang menghadap kawasan lapang di belakang bilik sewanya. Dia tinggal di tingkat bawah, bilik tengah nombor 102. Rumah dua tingkat itu terbahagi kepada 3 unit kecil setiap tingkat.

Kecil sahaja ruang bilik sewanya. Ada satu bilik tidur, satu ruang dapur, satu bilik mandi yang lengkap dengan tub Jepun yang dipanggil ofuro dan di sebelahnya pula bilik air. Oh, ada genkan yang merupakan ruang masuk yang dijadikannya tempat letak kasut.

Khadijah merenung langit malam kota Tokyo yang cerah ditimpa sinaran cahaya bulan. Namun, sesekali angin dingin menghembus lalu menyedarkannya bahawa musim sejuk telah pun tiba. Segera ditutupnya pintu gelangsar daripada besi itu semula. Kemudian, dia menarik pintu jaring sebelum menutup pintu kaca. Tiga lapis pintu kesemuanya.

Lalu, pelajar jurusan ekonomi di Universiti Tokyo itu kembali melabuhkan duduk di meja belajar seperti biasa. Namun, malam itu konsentrasinya sedikit terganggu dengan kehadiran sepucuk surat yang dikutip dari lantai genkan, sebaik sahaja pulang dari kuliah lewat petang tadi.

Nama dan alamat pengirim yang tertulis di belakang sampul surat itu dibacanya sekali lagi.

Akita-ken, Akita-shi, Tegata gakuen-machi 1-1
Syed Ahmad Mukhriz bin Syed Ahmad Mukhtar

Khadijah masih berkira-kira mahu membuka dan membacanya. Dia agak sedikit ragu-ragu isi surat itu nanti akan mengganggu fokusnya untuk menghadapi peperiksaan akhir tahun. Sebaik sahaja naik cuti musim sejuk nanti ujian akan bermula. Jadi, tumpuannya harus 100% diberikan kepada persediaan terakhir untuk menghadapi peperiksaan tersebut. Tiada yang lain.

Tok, tok, tok!

Bunyi ketukan pintu dan suara perempuan yang memanggil namanya menarik perhatian. Dan apabila dibukakan pintu, Yasmine yang duduk di bilik sebelah 101 datang membawa makan malam seperti yang dijanjikannya.

"Penghantaran roti pita istimewa untuk Khadijah." Katanya dengan suara ceria dalam Bahasa Inggeris.

"Masuklah. Wow, sedapnya!" Ujar Khadijah. Bekas makanan sudah beralih tangan.

Keluarga Yasmine berasal dari Morocco tapi sudah sekian lama berhijrah dan menetap di Belgium. Seperti Khadijah, Yasmine juga merupakan pelajar Universiti Tokyo tapi dia mengikuti kuliah dalam bidang kejuruteraan.

"Kamu buat apa tadi?" Tanya Yasmine sambil memandang bilik Khadijah yang sangat kemas.

"Nak mula buat ulangkaji. Sebentar ya, saya siapkan pinggan untuk kita makan bersama. Terima kasih kerana masakkan makan malam kita hari ini, Yasmine."

"Oh, tak ada masalah. Mari saya bantu." Tanpa berbual panjang lagi Yasmine mencapai pinggan dan gelas.

Dan sebaik sahaja segala-galanya sudah tersedia, kedua-dua pelajar muslim yang berada di bumi sakura itu menikmati malam bersama. Sambil itu, mereka berbual panjang sehingga sampai kepada topik berkenaan pelan cuti musim sejuk nanti.

"Saya akan mengikuti program perhimpunan pelajar Islam Malaysia. Dan kamu pula bagaimana?" Beritahu Khadijah sambil menghirup teh panas.

"Saya tak pergi jauh ke mana-mana. Mungkin berjalan-jalan di sekitar Tokyo saja." Ujar Yasmine sebelum bangun dan pergi ke meja belajar di bilik Khadijah. Tanpa sengaja, gadis kelahiran Belgium itu terpandang surat dengan logo Universiti Akita di atas meja tersebut. Nama pengirimnya nampak seperti nama seorang lelaki.

"Surat daripada siapa? Siapa yang kamu kenal sedang belajar di Akita? Pelajar Malaysia juga?" Soal Yasmine bertubi-tubi.

"Iya." Jawab Khadijah, pendek.

"Zaman sekarang masih berutus surat. Pasti si dia sangat menyukai kamu, Khadijah. Betul, kan?" Teka Yasmine.

Persoalan Yasmine dibiarkan berlalu tanpa jawapan.

Dan di luar sana, salji putih mulai turun dari langit. Salji pertama untuk tahun itu.

(bersambung...)

#CintaSofea



Cinta Sofea

Karya Pendek

Cinta Sofea
Oleh Rnysa



📷: Pinterest / Henry Rivers


PENGENALAN

Sinopsis:
Kisah perjalanan hidup Nur Khadijah yang merupakan seorang pelajar jurusan ekonomi di Universiti Tokyo, menerima amanah untuk mentadbir syarikat milik keluarga sehingga menjadi CEO wanita yang berjaya dan dihormati.

Tema:
Cinta, kekeluargaan dll.

Latar tempat:
- Jepun, Malaysia dll.

Watak utama:
- Nur Khadijah binti Khuwailid (Adi)

Watak sampingan:
- Syed Ahmad Mukhriz bin Syed Ahmad Mukhtar (Mukhriz)
- Dan lain-lain (Sedang dalam pertimbangan)

Bahagian:
- Musim Sejuk
- Musim Bunga
- Musim Panas
- Musim Luruh

Target entry:
Max. 25

***

DEDIKASI

Untuk kenangan bermusim yang lalu.
Yang mengajar pahit dan manis sebuah kehidupan.
Yang menemukan diri dengan insan yang baik dan memberi inspirasi.

Untuk mereka yang menanti sejak sekian lama.
Semoga apa yang dikongsi memberi manfaat bersama, tentunya dengan izin Dia.

***

PRAKATA

Assalamua’laikum,

Setiap kali saya menulis sesuatu pasti ada yang menyebut tentang cerita yang satu ini. Insya-Allah, atas permintaan ramai itu saya akan cuba menulis cerita "Cinta Sofea" ini.

Cerita sezaman *RADHA, yang pernah ditulis dalam blog sekitar 2004/2005 dan pernah disambung pada 2009. Dan sekali-sekala saya pernah tulis di Facebook, seperti mana *RADHA juga. Sesekali saya pasti merindukan watak-watak dalam cerita saya. Dan mungkin ada yang ingin diluahkan melalui mereka.

Sebenarnya saya sendiri tidak yakin mahu menulis cerita ini kerana ada sesetengah perkara saya kurang berpengalaman. Dan itu mungkin akan menyebabkan saya tidak dapat menyampaikan watak dan cerita seperti yang saya impikan.

Dan tentulah, ramai orang seperti Kaksu, Kak Yah dll termasuklah (arwah) Abang Rosdi dengan baik hatinya sentiasa memberi semangat kepada saya supaya terus menulis juga. Mari saya kongsikan di sini kata-kata oleh Abang Rosdi @ Imaen suatu masa dahulu.

---
From: imaen muhammad
Sent: ‎Thursday‎, ‎6‎ ‎March‎ ‎2008‎ ‎23‎:‎15‎:‎00‎ ‎+08
Subject: Menulis

Salam,
 
Cerita Rnysa tentang Cinta Sofea, pada saya, kita menulis tidak terhad hanya kepada pengalaman sendiri. Mungkin boleh berdasarkan pembacaan, pengalaman kawan-kawan atau imaginasi. Jadi rasanya tak perlu menunggu sampai harus melalui pengalaman itu sendiri. Tulis saja. Kadang-kadang orang yang tidak berpengalaman itu juga punya idea atau tanggapan yang baik tentang sesuatu isu.
 
Okey. Semoga berhubung lagi dan teruskan menulis!
 
Imaen

---

Alhamdulillah, setelah berjaya menulis sekuel *RADHA yang bertajuk "Gelap" itu membuatkan saya ingin mencuba untuk menulis semula "Cinta Sofea" versi online. Dengan jumlah target entry yang ingin ditulis, mungkin saya cuba fokuskan kepada bahagian cerita yang penting sahaja.

Dan sama seperti Gelap, buat masa ini masih tiada perancangan untuk versi novel cetak. Sebenarnya saya masih cuba mengasah kembali kebolehan menulis yang telah lama ditinggalkan dengan menulis di dalam blog ini.

Akhir kata, terima kasih kepada semua yang tidak pernah jemu memberikan kata-kata semangat. Segala komen untuk tujuan penambahbaikan amatlah dialu-alukan.

Semoga Allah memberikan ilham yang baik dan kesempatan masa untuk menyiapkannya cerita ini dalam versi online.

Wallahu 'alam.


Rnysa

(bersambung...)

#CintaSofea

*RADHA = Relevankah Aku Di Hatimu?
Berasal dari e-novel yang kemudiannya diterbitkan di bawah Jemari Seni Publishing pada Disember 2006. Pada 8 April 2020, sekuelnya yang bertajuk "Gelap" ditulis di dalam blog ini dan berjaya ditamatkan pada 26 Februari 2021.

Monday, March 01, 2021

[Behind The Scenes] Gelap

Karya pendek

Gelap
Oleh Rnysa

#behindthescenes
#watakyangterlibat
Di sebalik tabir... 

Watak utama
- Prof. Ir. Dr. Nurul Akasyah (Syah @ Kak Chik @ Kak Ngah)
- Ir. Dr. Carl Duke Adam (Adam @ Kaduk @ Achik)

Anak-anak mereka
- Carl Duke Abdullah*
- Carl Duke Arham (Along)
- Nurul Aisyah (Angah)
- Carl Duke Akram (Cho)
- Carl Duke Ahmad*
- Nurul Alisyah*
- Carl Duke Azlan
- Nurul Azlinsyah 
*meninggal dunia @ keguguran

Rakan-rakan mereka
- Ir. Dr. Mohd Ammar Iskandar (Ammar)
- Dr. Nur Jannatul Ma'wa (Wawa @ Nur)
- Khalid Ahmad (Ed)
- Dr. Nur Jannatul Adnain (Ain)
- Pinto & Dira

Keluarga sebelah Nurul Akasyah
- Hj. Othman (ayah)
- Hjh. Ummu Kalthom (mak, meninggal dunia)
- 10 adik-beradik termasuk Akasyah (Cikgu Azam dll)

Keluarga sebelah Carl Duke Adam
- Grandpa Muhammad Al-Fateh (meninggal dunia)
- Grandma Aisyah
- Ir. Carl Duke Akbar (papa)
- Dr. Sufiah (mama)
- 4 adik-beradik termasuk Adam (Sofea Aqeilah, Dr. Sofea Ameirah & Sofea Adeilah)

Rakan-rakan Sofea Adeilah
- Izlin Nur Maisarah
- Raja Norashikeen
- Amy Hanafi
- Darlina Deris
- Alia Hayati 
- Nana
- Freddy Ebrahim Lee (bekas tunang Adeilah, suami Nana)

Lain-lain
- Aunty May Lin (mama Freddy)
- Dr. Tun Zainal Ashraf
- Dr. Vanessa

Terima kasih kepada Time To Ponder yang sudi memberikan cadangan. Saya cuba senaraikan watak yang terlibat dalam Gelap. Tapi ada yang tak disebut sebab watak kenalan/keluarga mereka yang sekali muncul sahaja dan yang dari entry #throwback @ flashback