Friday, November 27, 2020

[35] Gelap

 Karya pendek 

Gelap
Oleh Rnysa

35

Malam 12 Rabi'ul Awal
#MCODay225 #PKPB
#stayathome #thingsdonotchange

Di dalam sudah gelap.
Hanya biasan sinar cahaya kelihatan terkejap-kejap.

Lagu Kasih Padamu dendangan Hafiz Hamidun memecah keheningan malam. Namun, sekali lagi dunia dikejutkan dengan berita yang membawa agama Islam dan penganutnya berdepan dengan persepsi negatif dan Islamofobia. Kini sedang trending di laman sosial selepas tragedi yang berlaku di negara Perancis.

Ammar sekadar mampu menggelengkan kepala. Dalam kesibukan menghadapi pandemik Covid-19, tambah lagi satu ujian yang lain pula. Dugaan datang bertimpa-timpa. Sambil itu, lirik lagu Kasih Padamu terus jadi peneman halwa telinga.

*Rasulullah
Dengan hikmahmu
Terpancar syiar agama
Mengubah gelap menjadi terang
Menghapus jahilliah

Rasulullah
Engkau tinggalkan
Semangat juang tertinggi
Membina satu aqidah
Membangun iman
Bertahun di lapangan mujahadah

Ammar membaca lagi perkongsian pendapat di Twitter dalam sekali lalu. Rasa sesak dada memikirkan tindakan yang diambil oleh seseorang boleh mencetuskan suasana tegang di sana sini. Semudah itu menjadi punca kepada api perbalahan antara yang Islam dan bukan Islam pada hari sambutan kelahiran baginda Rasulullah SAW.

Mengapa tidak cuba mengambil iktibar daripada perjalanan dakwah Nabi Muhammad SAW itu sendiri? Fikir Ammar.

**Peristiwa yang paling menyedihkan Nabi Muhammad SAW sewaktu berdakwah di Thaif kerana dakwah baginda ditolak dan ditentang oleh masyarakat setempat. Baginda dihalau sambil dilempar dengan batu sehingga berdarah kakinya. Lalu Malaikat Jibril datang sambil menawarkan kepada Rasulullah sebagaimana yang disebut dalam hadis Al-Bukhari yang bermaksud:

“Malaikat Jibrail berkata, “Wahai Muhammad,terpulang kepada kehendak kamu jika kamu mahu aku akan menimpakan ke atas mereka dua gunung ini.”

Lalu Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam menjawab, “Aku mengharapkan semoga Allah melahirkan daripada keturunan mereka orang yang
menyembah Allah yang Esa dan tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu.”

Ammar hanya mampu berdoa semoga umat Islam hari ini dapat mencontohi sunnah Rasulullah itu. Pada fikirannya, tindakan yang berdasarkan emosi dan melampaui batas terhadap sesuatu provokasi hanya memburukkan lagi keadaan. Saat ini Ammar sangat menyukai cara pendekatan penuh berhikmah dan diplomasi yang diambil Menteri Agama terhadap Kedutaan Perancis di Malaysia dalam meredakan isu yang telah berlaku itu.

"Abang, jomlah makan. Nasi dah masak," tegur Wawa pada suaminya yang ralit menatap telefon. Sudah beberapa kali dia memanggil, Ammar tidak menyahut pun.

"Maaf, jomlah." Segera Ammar bangkit dari sofa panjang di ruang tamu menuju ke dapur.

"Terima kasih sebab masakkan untuk abang hari ini." Ammar tersenyum melihat juadah kampung yang isterinya sediakan. Dia menawarkan diri mahu membantu tadi, tapi ditolak.

"Tak apa, ayang nak masak istimewa untuk abang. Rahsia!" ujar Wawa sambil ketawa kecil.

"Masya-Allah, sedapnya. Macam umi masak dekat kampung. Terubat rasa rindu pada umi abang," puji Ammar seikhlasnya. Dengan PKPB dan keadaan isterinya sekarang, dia tak dapat balik jumpa uminya. Sekadar berbual melalui telefon sahaja.

"Iyakah? Alhamdulillah, tambah lagi nasinya, abang." Wawa ceduk sesenduk nasi putih yang masih panas masuk dalam pinggan Ammar. Seronok dia tengok suami berselera makan. Lauk ikan kembung goreng cicah sambal belacan Ammar ratah penuh khusyuk sekali.

"Iyalah, bertuah abang dapat isteri yang pandai memasak. Terima kasih untuk lauk-pauk yang sedap malam ini..." ujar Ammar setelah menambah setengah senduk nasi lagi. Air sirap selasih diteguknya sebelum menutup dengan bacaan doa sesudah makan.

"Amin, alhamdulillah..." Wawa meraup muka, mengaminkan doa. Tersenyum panjang dia melihat pinggan dan mangkuk lauk yang kosong. Dan lebih bersyukur lagi melihat Ammar menatang pinggan mangkuk semua ke singki. 

"Nur berehatlah. Biar abang yang uruskan..." Ammar senyum pada Wawa yang memerhatikannya.

"Alhandulillah, terima kasih Allah kerana memberikan seorang suami yang sebaik Ammar," kata Wawa dengan suara lembut, namun tetap sampai ke pendengaran suaminya. Wawa juga memanjatkan rasa syukur yang sama di dalam hati. Alhamdulillah!

***

#throwback

"Things do not change; we change...."

Demikian kata-kata Henry David Thoreau di dalam buku tulisannya, Walden yang diterbitkan pada tahun 1854. Kata-kata itu hampir sama dengan ayat Quran (ar-Ra'd : 11) yang menyebut: Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan suatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri.

Kata-kata Henry David Thoreau itu aku lontarkan pada mama. Mama perlu berubah. Cukup-cukuplah mama memandang terlalu tinggi pada Ain. Pujian melambung-lambung akan kebaikannya. Sudah-sudahlah bercerita mengenai perkara yang sudah lepas.

"Bukannya dia yang jadi menantu mama. Bukannya dia yang jadi isteri Adam." Kataku dengan nada tegas.

Kenapalah mama suka mengungkit-ungkit sepotong cerita semalam? Kalau ada sesuatu yang tidak kena dengan Syah (sama ada kekurangan atau kelemahan Syah), sudah pasti hal Ain akan dibangkitkan semula. Kalau tidak pun, nama Wawa pun naik. Tak habis-habis lagi rupa-rupanya marah mama pada aku kerana menolak pilihan hatinya.

"Dulu mama juga yang cakap mama terima saja pilihan Adam. Syah tu okey." Kataku perlahan.

Papa hanya diam di bangku panjangnya. Membiarkan saja 'perbincangan' kami berlangsung. Lampu bilik tidur mama dan papa yang suram ini bagaikan memahami diri aku yang sedang rawan.

"Sebab Adam tak pernah cerita pada mama yang Syah ada penyakit macam tu..."

"Adam tak cerita sebab Syah dah sihat."
"Sihat? Yang dah sampai tak boleh bercakap tadi tu Adam kata dah sihat? Macam tu Adam boleh kata Syah dah sihat?"

"Manalah Adam tahu nak jadi macam tadi. Dah sakitnya nak datang. Nak buat macam mana." Aku sendiri buntu.

Mataku bersatu dengan mata papa bagaikan bertanya: Could you please say something, papa?

"Adam mengaku Adam yang bersalah dalam hal ni. Sebagai suami, Adam patut ambil berat tentang isteri Adam..." Kata aku, akhirnya.

"Adam sepatutnya berterus-terang dengan mama..." Tekan mama. "Nanti orang ingat mama tak ambil tahu hal ehwal kesihatan menantu mama..."

Mama, Syah tahu yang mama lebih sayangkan Ain daripada dia. Tadi waktu tengah makan kenduri, mama terlebih mesra sangat dengan Ain sehinggakan menantu mama terasa hati. Dan hati anak mama ini pun turut 'tercedera' sama. Kataku dalam hati sendiri.

"Mama memang sukakan Ain. Betul kan, Kaduk?" Kata Syah perlahan.

Tanganku terhenti seketika menggaul nasi beryani. Aku lihat mata Syah memerhati gerak-geri mama dan Ain dari jauh.

"Mama dah kenal Ain sejak Ain baru lahir lagi." Aku tidak tahu sama ada jawapan itu memenuhi skema jawapan Syah atau tidak. "Jangan panggil abang dengan nama 'Kaduk' lagi. Kita kan dah jadi suami isteri."

Dia terdiam.

"Sayang, tengok mata abang." Aku memaut dagunya supaya memandang wajahku. "Jangan fikir sangat pasal mereka. Ingat apa Abang Salaam pesan tadi? Jaga kesihatan, jaga emosi. Depression teruk pun boleh jadi punca catatonia tadi, tahu kan?" Sebelah lagi tanganku memicit bahu Syah yang masih terasa keras dan tegang.

Nasi beryani disuakan semula ke mulut Syah.

"Tak nak makan. Tak ada selera." Balasnya perlahan, sedikit lemah.

"Pesakit kena makan. Lagipun inikan kenduri kita berdua. Takkan nak mogok lapar masa kenduri? Tak baik merajuk depan rezeki."

Di hadapan mak ayah Syah, Haji Othman dan Hajjah Ummu Kalthom, dalam sesi sebelumnya aku sudah memohon maaf bagi pihak Syah dan diri sendiri kerana menyembunyikan hal ehwal kesihatan anak perempuan mereka itu. Waktu itu mama dan papa hanya menjadi pendengar sahaja.

Sebaik sahaja orang tua Syah tiada, aku dipanggil masuk ke bilik mama pula. 
Usai entah berapa kali pusingan 'debat ala parlimen', aku pun keluar dari kamar mama dan papa.

Sekarang aku betul-betul memerlukan rehat mental dan fizikal. Mendengar celoteh Syah dan Adeilah buat aku boleh tersenyum semula.

"Macam mana?" Soal Syah sejurus selepas Adeilah menutup pintu. Dan tanpa berkata apa-apa, aku terus merebahkan tubuh di sisinya.

"Abang?"

"Selamat tidur kekasih hatiku..." Ucapku dengan nada lagu SO7, Sephia. Cuba menghiburkan Syah dan diri sendiri.

"Eh? Ni dah sampai nyanyi lagu Sheila On 7 ni mesti kes teruk, kan?"

Aku tergelak. "Tak teruk sangatlah. Saja-saja saya nak nyanyi lagu kesukaan awak dulu."

"Hmmm, dah 'saya-awak' pula ni. Mesti tahap masuk ICU dah ni?"

Dia ketawa.

"Ada hati yang patah ke?"

"Ya. Doktor Nurul Akasyah saja yang boleh merawatnya." Lampu meja sisi pun dipadamkan.

Ayat-ayat Tuhan sudah dihembus dan diusap ke seluruh badan. Namun aku masih terkebil-kebil lagi dalam kegelapan malam. Perlahan-perlahan aku bangkit dari katil. Telefon bimbit dari meja sisi. Langkah diatur ke arah balkoni. Pintu cermin ditarik. Cepat-cepat aku keluar sebelum Akasyah tersedar.

Tangan segera mencari nama seseorang dalam senarai kenalan dalam telefon bimbit.

Ammar.

Butang dail ditekan. Telefon dibawa ke telinga. Harap Ammar tak tidur lagi, doaku dalam hati.

"Ya Allah, lupa pula Ammar pergi offshore!" Baru teringat sahabatnya itu sekarang berada di Bintulu, Sarawak.

Apabila hati tak tenang begini baik solat sunat atau baca Quran sahaja. Baca surah Ad-Dhuha dan Al-Insyirah. Dapat tenangkan fikiran, ilmu pun bertambah.

***

Planning
Understanding the nature of war is of vital importance to the State. War is the place where life and death meet; it is the road to destruction or survival. It demands study. War has five decisive factors, which you must take into account in your planning; you must fully understand their relevance. First is a Moral Compass; second is Heaven; third is Earth; fourth is the Commander; fifth is Regulation.

Ammar baru beli buku The Art of War karya Sun Tzu yang ada terjemahan dalam bahasa Inggeris di kedai Popular masa awal PKP dulu. Input dan pandangan berbeza lagi segar daripada apa yang dia biasa baca sebelum ini.

Perang melawan Covid-19 ini masih diteruskan. Ammar kagum dengan kecekalan dan ketabahan semua orang terutamanya para petugas barisan hadapan yang cuba mengawal wabak ini daripada tersebar luas dan dalam masa yang sama memastikan kesihatan, keselamatan dan kebajikan terjaga. Semoga Allah membalas dengan pahala kebaikan dan syurga firdaus yang paling tinggi darjatnya. 

Betullah, sebab itu dalam Al-Quran Allah berfirman yang bahawasanya Dia mencipta manusia pelbagai bangsa keturunan, fizikal, status dll supaya dapat saling kenal dan belajar daripada satu sama lain. Masing-masing memainkan peranan yang penting dan tersendiri; dari Yang di-Pertuan Agong & kerajaan sehingga orang awam dan warga asing perlu mematuhi SOP sebaik yang mungkin. Bukan di Malaysia sahaja, malah satu dunia sedang mengalami situasi yang sama.

Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan suatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. Dan, sambungan daripada ayat itu Allah juga berfirman yang maksudnya:

“Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkan-Nya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripada-Nya.” (Surah al-Ra’d: 11)

Jadi, kesimpulannya segala sesuatu yang berlaku sehingga pada hari ini tentunya dalam perhitungan qada' dan qadar takdir yang sudah tertulis daripada Allah SWT. Petanda yang Dia yang Maha Berkuasa di atas segala sesuatu yang berada di langit dan bumi. Allahu akbar, betapa terasa kecil dan kerdilnya diri ini!

Ya Allah.
Dengan hikmah-Mu.

Mengubah terang menjadi gelap.
Membangun anti jahilliah.

(bersambung...)

#RADHA #wechange #maulidurrasul

Entry istimewa bersempena sambutan maulidur rasul 1442H dan dedikasi buat semua petugas barisan hadapan.

Petikan #throwback di atas daripada versi asal online e-novel RADHA: 1 Phase 3 Phase yang ditulis pada 27 Mei 2009. Yang merupakan sambungan kepada entry #throwback22

*Kredit lirik lagu:

**Petikan daripada:

Tuesday, November 17, 2020

[9] Home Sweet Home

Home Sweet Home
Oleh Rnysa
 

9
Mount Kiara, Kiara Court
 

"Encik Azmi, kawan saya berminat dengan apartment dekat Mount Kiara tu..." Akhirnya Kak Rnysa 'terjebak' sama dalam idea Home Sweet Home aku. "Eh, ya... ya.... Kiara Court..." Kak Rnysa tersengih memandang aku. Entah berapa kali dia asyik tersasul sebut 'Mount Kiara' hari ini dengan sales consultant dari Sime Darby di Galeri Nilai Impian itu. Tahulah bos Jepun dia duduk di kawasan elit dalam kota Kuala Lumpur itu.

"Insya-Allah, minggu ni saya cadang datang ke showroom. Saya pun berminat dengan apartment tu. Dan minggu depannya, masa jualan khas untuk Prime member pun saya datang lagi..." Katanya lagi kemudian.

Aku sekadar mampu menggelengkan kepala. Kak Rnysa ni... orang suruh tolong jual rumah, dia sendiri pula nak membeli!

Home Sweet Home.
Begitulah nama yang aku dan Kak Rnysa berikan kepada 'perniagaan' baharu kami ini. Barang sesiapa yang ingin memilik kediaman sendiri atau menjadikannya sumber pelaburan (seperti Homestay dll), kami sedia menjadi orang tengahnya. Sambil menanti kunjungan pelanggan Homemade Sweet dan Rnysa Book Cafe, aku dan Kak Rnysa galak buat perbincangan tentang strategi hendak menarik hati pembeli rumah jualan kami bagi pihak pemaju rumah masing-masing sekarang.

Cepat sahaja Kak Rnysa sudah dapat dua orang pelanggan yang berminat. Katanya, seorang kawannya semasa di universiti dan seorang lagi kawan tempat kerjanya nun kilang TV di Bandar Baru Bangi sana. Kak Rnysa pun sudah letak promosi di dinding Facebooknya. Aku pun tak mahu ketinggalan sama turut mengatur strategi. Harap bisnes kami ini dapat mencuri perhatian di kalangan keluarga dan rakan-rakan kami di media sosial.

"Oh, yang apartment dekat Mount Kiara...."
 
Alahai, Kak Rnysa ni.... Kiara Court la...

(bersambung...)

Entry di atas daripada versi asal online Facebook Posting yang ditulis pada 8 Mac 2017. 

[8] Home Sweet Home

Home Sweet Home
Oleh Rnysa
 

8
Homemade Sweet & Rnysa Book Cafe
 

Pelanggan Homemade Sweet tidak begitu ramai hari ini. Biasalah… tengah bulan! Ditambah dengan pengumuman kenaikan harga petrol Ron95 awal bulan tempoh hari. Semakin lama semakin kurang orang berkunjung ke Homemade Sweet. Ditambah pula dengan kehadiran kafe-kafe hipster di sana sini bagaikan cendawan selepas hujan, persaingan kini semakin sengit. Harap janganlah bulan depan harga minyak naik lagi. Susahlah aku hendak kawal harga kek cawannya selepas ini kerana barang mentah akan turut meningkat sama. Untung tara mana nanti...

“Fikir apa tu, Erissa? Sampaikan Kak Rnysa beri salam banyak kali tak berjawab.” Telingaku menangkap suara ceria Kak Rnysa yang melabuhkan punggung di bangku bulat merah di hadapanku sambil membelek-belek menu di atas meja.

Salam dijawab perlahan. “Fikir pasal harga minyak yang baru naik hari tu, kak. Dan apa kesannya pada peniaga kecil-kecilan macam saya ni.”Aku beralih dari kaunter juruwang, menyertai Kak Rnysa duduk bersama.

“Samalah nasib kita, Erissa. Rnysa Book Cafe pun terkesan sama. Makin lama orang makin berkira hendak membeli.” Kak Rnysa melepaskan keluhan kecil.

Aku tersenyum pahit. Mujur aku tidak terus berhenti kerja dengan Yayasan An-Nur selepas nekad hendak membuka kedai Homemade Sweet ini dulu. Adalah juga bekalan menghadapi masa yang suram dan malap.

“Betul kak. Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu sekarang, kuasa membeli sudah semakin berkurangan. Nasib baik trend kafe hipster masih menyelamatkan keadaan. Tapi sampai bila trend ini akan bertahan, itu kita tidak pasti. Setiap perniagaan ada pasang surutnya.” Setiap bulan jualan kek cawan Homemade Sweet semakin berkurang. Aku kena rajin buat promosi lagi.

"Oh, sebab itu Erissa sekarang jual rumah pula?" candik Kak Rnysa. Dia membetulkan letak kaca matanya yang sudah melurut ke hidung.

"Baru nak mencuba, kak. Harga rumah sekarang pun makin lama masuk kategori 'mampu tengok sahaja'. Mahalnya bukan calang-calang. Banding dengan gaji orang kebanyakan, mana nak mampu milik..." Harga minyak naik, harga barang pun naik. Tapi tangga gaji minimun? Hmmm...masing-masing sila jawablah sendiri dalam hati sendiri. Aku sendiri sudah buat sampai tiga kerja sekarang.

(bersambung...)

Entry di atas daripada versi asal online Facebook Posting yang ditulis pada 7 Februari 2017. 

[7] Home Sweet Home

Home Sweet Home 
Oleh Rnysa 
 

7
Malaikat yang patuh
 

Suasana KLIA petang itu agak tenang.
 
"Perlukah saya tukar nama saya bila saya memeluk Islam?" Tanya Gabriel secara tiba-tiba. Matanya terpaku pada wajahku. Naskah Al-Quran dengan terjemahan dalam Bahasa Inggeris itu masih dipangkuannya. Ada kesedihan dan harapan tersembunyi di sebalik redup pandangan matanya itu.

Aku menggeleng perlahan. "Tak perlu. Nama awak sudah baik maksudnya. Gabriel...nama malaikat dalam Islam. Kami panggil dia - Jibril. Wala pula...hmm...ada maksudnya juga dalam Bahasa Arab. Maksudnya patuh. Gabriel Wala... malaikat yang patuh. Kan elok maknanya itu..." Aku senyum meleret.

Gabriel yang sudah berhijrah menjadi seorang 'vegan', sudah pasti tidak ada masalah pasal makan dan minuman yang dilarang oleh Islam. Dia hanya makan 'plant base food' sahaja. Minuman kegemaran dia pula air kelapa muda dan air mineral. Dia juga tidak suka makanan bergula.

*Ada malaikat menyulam jaring laba-laba belang di tembok keraton putih
kenapa tak goyangkan saja loncengnya
biar terdera..
atau aku harus lari ke hutan, belok ke pantai?
 
"Erissa, awak ingat kan ayat Al-Quran yang pernah saya kongsikan dengan awak dulu..." Kata-kata itu memintas kenangan bersama Gabriel pada bulan Februari yang lalu. Lantas terus sahaja aku pergi ke surau pejabat.

Erissa rasa tak teratur bernafas bila semak ayat yang Puan Khadijah maksudkan itu. Ayat itu memang kena dengan situasi dia sekarang. Rasa nak terluah balik limau mandarin yang dia makan sebentar tadi terpandang sebaris ayat yang menyebut:

"... Dan janganlah kamu kahwinkan perempuan Islam dengan lelaki musyrik sebelum mereka beriman..."

Oh, Gabriel...

Aku sekadar mahu berusaha menjadi seorang hamba yang patuh pada perintah Tuhan-Nya.

Seperti mana...juga para malaikat-Nya yang patuh, yang sentiasa menjagaku selain yang memerhatikan setiap gerak langkahku. Malaikat yang mencatat segala-galanya amal perbuatan dan kata-kata. Malaikat yang tidak pernah tidur dan cuai dalam melaksanakan tugas untuk-Nya.

(bersambung...)

Entry di atas daripada versi asal online Facebook Posting yang ditulis pada 6 Februari 2017.

*Petikan puisi dari AADC 

[6] Home Sweet Home

Home Sweet Home 
Oleh Rnysa
 

6
Ceritanya berbeza 
 
 
"Oh, ingat kerja jual kek cawan saja sekarang..." Melopong saudara mara dengar aku jual rumah pula. Lepas jumpa Helen tempoh hari, aku terus bertanya pada kawan-kawan di An-Nur Property. Rupa-rupanya mereka baru sahaja melancarkan keistimewaan untuk pembeli rumah mereka. Aku boleh jadi introducer macam yang Helen cakap hari itu.

Rezeki yang Allah lorongkan aku dalam bidang yang tidak disangka-sangka. 

"Baguslah awak berminat, Erissa!" Puan Khadijah yang sentiasa mengikuti perkembangan kerjayaku memberikan kata-kata semangat.

Aku senyum meleret. "Puan kan idola saya. Saya pun nak jadi berjaya macam puan."

Puan Khadijah hanya menggelengkan kepala. "Macam-macamlah awak ni..." Wajahnya yang putih bersih jadi kemerah-merahan. Malulah tu aku puji dia. Sangatlah merendah diri bos besar aku yang seorang ini. Tak ada siapa dalam Malaysia boleh lawan!

"Bilalah saya boleh jadi macam puan?"
"Jadi macam saya? Ibu tunggal anak satu?" Puan Khadijah tergelak.
 
 
"Tak, berjaya macam bos!" Geram pula aku dengan bos cantik yang seorang ini.
 
Ish, buat lawak pula bos ni. Dia ibu tunggal anak satu pun, berderet-deret lelaki suka dekat dia. Baik, cantik, lawa, kaya, merendah diri,... kira 'perfect' segala-galanya! Aku yang 'single-mingle' nak sangkut seorang pun payah.

"Erissa, awak ingat kan ayat Al-Quran yang saya pernah kongsikan dengan awak dulu. Dan, lelaki yang baik untuk perempuan yang baik. Saya rasa, lelaki yang baik itu belum sampai lagi dekat awak. Tersangkut dekat 'roadblock' mana entah..."
 
"Aik, macam tu punya 'roadblock' pun ada..." Aku tersengih. Pandai bos ambil hati aku yang tak berapa nak baik macam dia ni.

"Yang penting, awak tahu tujuan awak diciptakan di dunia. Tujuan Allah ciptakan manusia di muka bumi ini. Banyak yang awak boleh buat Erissa. Bukan sekadar kerja dengan Yayasan An-Nur, bukan sekadar jual kek cawan di Homemade Sweet. Saya yakin awak mampu buat lebih daripada itu..." Sambil sibuk meneliti idea terbaharu aku untuk Yayasan An-Nur, sempat lagi dia menasihati. Mana nak cari bos baik macam ini, oii!

"Iya ke, puan?" Tiba-tiba rasa terinspirasi pula. Dapat pencahayaan ilham dari langit.

"Kita takkan tahu potensi diri selagi kita tak cuba. Alhamdulillah, awak cuba lagi sesuatu yang baharu. Itu perkara yang saya suka tentang awak. Awak berani mencuba sesuatu yang berbeza. Awak sentiasa bersikap terbuka dan positif. Insya-Allah, awak akan maju setapak lagi lepas ini." Mata Puan Khadijah lembut menatap wajahku.

"Saya tahu pasal awak dan Gabriel. Maaf, saya terdengar waktu awak berdoa dalam surau kita..."

Alamak! Wajahku sedkit berubah. Malunya....

"Erissa, percayalah yang Allah akan gantikan dengan yang lebih baik. Hidup ini sebenarnya sebuah perjalanan cerita yang panjang. Jalan ceritanya berbeza setiap seorang. Cerita awak sekarang dengan Gabriel. Cerita saya dulu dengan arwah suami saya, Mukhriz..."

Ya, Puan Khadijah. Cerita hidup kita berbeza. Cerita cinta Puan Khadijah dan suaminya, Syed Ahmad Mukhriz berhenti saat maut memisahkan mereka. Sampai sekarang Puan Khadijah masih belum kahwin-kahwin, walaupun macam aku kata tadi...punyalah ramai lelaki mahukan dia.

"Ceritanya berbeza..." Ulangku.

"...yang penting adakah pengakhirannya nanti di syurga?" sambung Puan Khadijah.

Aku terdiam.

(bersambung...)

Entry di atas daripada versi asal online Facebook Posting yang ditulis pada 5  Februari 2017. 

[5] Home Sweet Home

Home Sweet Home
Oleh Rnysa
 

5
Lebih indah
 

Waktu masa belajar dahulu, aku tidak tahu bahawa selepas satu-satu peringkat usia dan pencapaian dalam hidup, perkara itu akan menjadi cabaran dalam mencari jodoh.

Dengan apa yang aku miliki sekarang, rupa-rupanya lelaki takut mendekati.

"Ayah tak payahlah beritahu kakak ada rumah lot sendiri di situ." Dalam keadaan ekomomi sekarang, seorang wanita berkerjaya mampu memiliki rumah sendiri menjadi cabaran kepada kaum lelaki pula. 

Ternyata bukan lelaki seperti itu yang menjadi pilihan hatiku. Belum apa-apa sudah rasa tercabar. Sedangkan apa yang aku miliki sekarang adalah hasil bantuan keluarga dan titik peluh aku sendiri. Tentunya rezeki yang Allah kurniakan untukku. Aku belum lagi diberikan rezeki dalam jodoh, tapi dia beri dalam bentuk lain. Aku tetap bersyukur.

Kerana hidup ini ada tujuannya. Jika aku fikir balik tujuan penciptaan manusia di atas muka bumi ini, lantas hati akan menjadi tenang. Aku tidak cemburu kepada kawan-kawan yang sudah bersuami dan berkeluarga. Alhamdulillah, terima kasih Tuhan kerana Kau ciptakan hati aku ini mudah bersyukur dengan setiap rezeki yang Kau kurniakan - sedikit mahupun banyak. Rezeki tetap rezeki.

Ada mak, ayah, adik-beradik adalah rezeki.
Kerana ada yang tak mempunyai keluarga.

Ada kerja juga rezeki.
Sekurang-kurang aku mampu beli makan minum dan pakaian sendiri.
 
Ada tempat berteduh juga rezeki.
Tempat berlindung dari panas dan hujan.
 
Ada kawan yang baik juga rezeki.
Kerana mereka selalu mengingatkan aku kepada-Mu.
 
Dan paling penting, aku ada Tuhan.
Satu hari aku pasti akan bertemu dengan-Mu yang sangat menyayangiku lebih daripada kasih seorang ibu. Yang sentiasa menarik aku kembali kepada-Mu. Mengajar aku erti hidup di dunia hanya bersifat sementara. Dan hidup di akhirat itu lebih utama.
 
Semoga apa sahaja yang aku lakukan hari ini memberikan aku peluang untuk bertemu dengan-Mu, ya Allah. Kaulah kekasih yang paling aku tunggu-tunggu....seumur hidupku.

Siapa sahaja lelaki yang pernah Kau hadirkan dalam hidupku, mencurahkan secebis kasih sayang yang Kau kurniakan untukku. Supaya aku rasa disayangi oleh-Mu.
 
"Ayah jangan sedih tau...kalau kakak lambat dapat jodoh atau tak kahwin langsung. Mungkin itu yang lebih baik untuk kakak." Aku senyum dalam hati.
 
Hikmah Allah itu melangkaui logika seorang hamba.
Hidup ini dirasakan indah kerana Dia akan berikan yang terbaik untuk hamba-Nya yang percaya. Dan aku percaya, ini takdir yang terbaik untukku saat ini.
 
Berdua dengan Dia lebih baik dan indah!
Terima kasih Allah, untuk saat dan perasaan sedekat ini pada-Mu.

(bersambung...)

Entry di atas daripada versi asal online Facebook Posting yang ditulis pada 5 Februari 2017. 

[4] Home Sweet Home

Home Sweet Home
Oleh Rnysa 
  

4
Yang manis
 

"Lawa awak pakai macam ini. Nampak simple dan manis. Nak solat pun mudah, kan." Mus'ab tabur senyuman macam beri ikan emas makan dalam akuarium. Senyuman kacak meniti bibirnya.

Aku kerut dahi. Apakah? Pandai-pandai nak beri komen tentang penampilan orang pula.

"Ramai pelanggan hari ini?" Terus sahaja Mus'ab tukar topik seperti biasa. Mungkin kerana perasan belum apa-apa aku sudah berkerut dahi.
 
Bertambah lapisan kerutan di dahi. "Macam biasa saja. Nak tempah cupcakes, ya? Nad, tolong ambil pesanan Encik Mus'ab." Malas mahu melayan, terus serahkan pada pembantu kiosnya.

Analisis pendek Mus'ab dalam hati:
Amboi, tegasnya kakak kita ni! Bukan nak ucap terima kasih pun orang puji dia tadi. Mus'ab senyum dalam hati selepas dirinya tidak diendahkan. Dia ok juga perempuan yang pandai jaga diri macam Erissa. Tengoklah, dia pakai segak-segak pun Erissa pandang begitu-begitu sahaja. Sekadar 'acknowledge' kehadiran dia. Baguslah Cik Erissa ni!

(bersambung...)

Entry di atas daripada versi asal online Facebook Posting yang ditulis pada 4 Februari 2017. 

[3] Home Sweet Home

Home Sweet Home
Oleh Rnysa
 
3
Hidayah-Nya untukmu
 

Gabriel,

Aku sudah beritahu mak ayah aku tentang dirimu. Juga mohon mereka berdoa supaya kau diberikan hidayah - menerima Islam ikhlas kerana Allah. Semoga Allah mendengar permintaan doa mereka - yang melahirkan dan menjaga aku dari kecil.

Ayah melahirkan rasa gusar sekiranya aku terpaksa mengikutmu ke Belgium. Dia bertanya sama ada dirimu dapat mencari pekerjaan di bumi Malaysia ini. Aku berkongsi dengan dia berkenaan semua perbincangan kita. Dan kemudian aku katakan, "Ayah, bumi Allah ini luas...termasuklah negara Belgium." Ah, mungkin ayah sudah berkira-kira anak perempuannya akan pergi jauh merantau di negara orang.

Mak juga sudah tahu tentang dirimu, Gabriel. Lega sangat perasaan aku hari ini. Semoga doa seorang ibu termakbul. Sekiranya Allah takdirkan kita hidup bersama, aku berharap Dia mempermudahkan urusan kita.
 
Sebenarnya aku tidak sabar hendak memberitahumu tentang penerimaan baik keluargaku ini. Namun, biar aku simpan berita ini buat sementara waktu. Aku juga ingin memanjatkan doa kepada yang Maha Mendengar tentang kita. Hanya kepada Dia, aku memohon pertolongan supaya dikurniakan hidayah untukmu, Gabriel.

Catatan Erissa
15 Januari 2017

(bersambung...)

Entry di atas daripada versi asal online Facebook Posting yang ditulis pada 15 Januari 2017. 

[2] Home Sweet Home

Home Sweet Home
Oleh Rnysa 

2
Selamat malam, Gabriel!
 

"Insya-Allah hujung bulan ni genap setahun pembukaan kedai kita." Kata Kak Rnysa yang tersenyum gembira sambil menanda tarikh ulang tahun itu pada kalendar di atas meja kaunter pembayaran Rnysa Book Cafe.
 
"Apa perancangan akak?" Aku membelek-belek antologi novela keluaran Jemari Seni di atas rak 'terbitan terkini'. Judulnya 10. 10 novel pendek daripada 10 penulis bersempena 10 tahun ulang tahun rumah penerbitan itu.
 
"Apa kata kalau kita buat jualan harga runtuh? Stok buku Rnysa Book Cafe banyak lagi dalam stor. Kena fikir ruang nak masuk buku baharu tahun depan." Kak Rnysa melontar pandangannya ke belakang kedai.
 
"Saya boleh taja kek cawan istimewa. Topping letak buku." Aku kenyit mata. Terus bercahaya mata Kak Rnysa dengar aku nak sedekah. Yalah, sekali buat untuk Homemade Sweet. Dapat promosi kedai sendiri juga.
 
"Kita buat makan-makan kecil jugalah. Alang-alang nak ada kek cawan bagai..." Kak Rnysa menambah.

"Set!"
 
Tut, tutttt!!!

Eh, ada mesej masuk. Dan...aaa...
 
"Sekadar ingin mengucapkan 'helo' dan selamat malam (tak perlu balas jika awak tak mahu) - Gabriel"
 
Gabriel, Gabriel. Hari itu bukan main marah-marah, hari ini sudah mesej semula. Begitulah setiap kali aku menolak hasrat hatinya dan hentikan sebarang bentuk komunikasi, pasti selepas sebulan Gabriel akan menghubungi aku semula.

Awal sangat ni ucap selamat malam!
Gabriel ni selalu saja tersalah perbezaan masa mereka.
  
"Haaa...senyum sorang-sorang!"
"Tak adalah, kak."
"Hadi?"
 
Aku menggeleng.
"Gabriel?"
Diam.
 
"Erissa suka dia ke?"
Diam lagi.

"Susah kalau kahwin dengan mualaf." Masih terngiang-ngiang ayat mak bulan lepas. Tiba-tiba dia komen lepas tengok sedutan program dalam TV Al-Hijrah. Hasrat nak bercerita tentang Gabriel terus mati. Semua lelaki serba tak kena di mata mak. Hairan.
 
Mesej Gabriel aku baca sekali lagi.
Selamat malam, Gabriel! Balasku sekadar dalam hati.

(bersambung...)

Entry di atas daripada versi asal online Facebook Posting yang ditulis pada 21  November 2016.

[1] Home Sweet Home

Home Sweet Home
Oleh Rnysa
 
 
1
Dia yang dikirim Tuhan

 
Erissa: Why did He send you to me? 

Gabriel: Maybe to tell you that you don't need to care about someone being a Muslim or not. That's my answer.
 
All rules we know in the world are a man-made rules. There's no evidence that those rules come from God. In Saudia Arabia, women are not allowed to drive cars or vote. Men in that country say that it is God's will, which is not true.
 
All rules in the world have been established by people, mainly "men". In the interest of men and often discriminating towards women. Therefore, Muslim men allow themselves to marry non-Muslim women and prohibit Muslim women to marry non-Muslim men. They said it is the will of God. That's of course not true.
 
You're free to believe in. I will not force you to change your mind.
 
But please be aware that the rules of all kinds and in all systems of beliefs have been 'invented' by men.
 
 
Aku masih membaca mesej perbualan dengan Gabriel melalui aplikasi Office Messenger itu dengan perasaan bercampur-campur. Gabriel, kalau hidup kita semudah itu...boleh melakukan segala-galanya mengikut kata hati semata-mata demi cinta. 

Hidup ini hanya sekali, Erissa! Begitulah yang Gabriel katakan berkali-kali padaku.
 
Sekali lagi aku tegaskan yang aku masih berpegang pada agamaku. Sekiranya dia benar-benar berhasrat ingin memperisterikan aku, sudah semestinya syaratnya dia seorang beragama Islam. Maka, itulah selalu menjadi punca perselisihan faham kami berdua. Gabriel yang sudah tidak percaya kepada mana-mana agama tidak dapat menerima syarat itu. 

"Cinta sejati seharusnya tidak memerlukan apa-apa syarat, Erissa!"

Aku memejamkan mata rapat-rapat. Begitu ramai lelaki Islam dalam An-Nur Holdings ini, kenapa dia yang dikirim tuhan kepadaku?

(bersambung...)

Entry di atas daripada versi asal online Facebook Posting yang ditulis pada 20 November 2016. 

[Prolog] Home Sweet Home

Home Sweet Home
Oleh Rnysa 
 

Prolog
 
 
My dear Erissa,

I am very glad to read your e-mail as always.
I hope you're having a great weekend.

It is 5:35 PM in Belgium and 00:35 AM in Malaysia at the moment that I sending this message.
You are probably sleeping right now.
If it is the case, I hope you sleep well and wake up to a wonderful Sunday morning tomorrow.

I'm writing you this short message to send you my warm greetings and also to ask you a question.

Last month or so, I asked you whether you could consider marrying a non-Muslim man.
I remember your reply at that time was quite categorical.
You said that such relation had no future as both faiths are different.

I would like to know whether your opinion about this matter has evolved or is still the same.
I know it is a difficult subject to talk, but could you 'please kindly' answer me about it?
Many thanks in advance for your sincere response!

Looking forward to hearing back from you.
 
 
Gabriel

(bersambung...)


Entry di atas daripada versi asal online Facebook Posting yang ditulis pada 20 November 2016. 

Buat pengetahuan semua, cerita ini merupakan sekuel kepada novela Homemade Sweet (dalam Antologi Novela 10, 2016) yang pernah diterbitkan oleh Jemari Seni.

Sunday, November 15, 2020

[34] Gelap

Karya pendek

Gelap
Oleh Rnysa

34

Petang yang tenang
#MCODay221 #PKPB
#stayathome #stayundermyumbrellayumbrella

Di dalam mungkin gelap. 
Hidup tumpang berteduh sebentar cuma di bawah bumbung rumahnya yang tidak telap.

Satu dapur dan rumah berbau kek cawan. Petang Sabtu yang tenang. Usai solat fardu asar tadi cepat-cepat Syah sambung membakar dulang yang terakhir. Dia menerima tempahan kek cawan daripada kawannya, Doktor Vanessa. Vanessa merupakan salah seorang rakan senegara yang pernah menuntut di Universiti Tokyo dengan biasiswa tajaan kerajaan Jepun  Monbukagakusho (MEXT).

Lama sungguh dia tak jumpa Vanessa sejak universiti ditutup bermula pelaksanaan PKP pada 18 Mac yang lalu. Minggu lepas Vanessa menelefon, katanya mahu memesan kek cawan dan puding roti bersos kastard. Dia ingin meraikan kejayaan buah hatinya yang telah mendapat gelaran Ir. baru-baru ini.

Papa Kaduk juga kebetulan datang singgah sekejap di rumah mereka sekarang. Katanya, ada urusan dengan kawan perniagaannya berdekatan kawasan ini. Lalu dia mengambil kesempatan menjenguk mereka sekeluarga. Rajin betul papa Kaduk datang, sedangkan ayah Syah sendiri tidak pernah ziarah mereka sekalipun.

"Sekejap ya, papa," kata Syah sambil memicit beg piping yang berisi buttercream salted caramel.

Papa membalas senyuman dari ruang tamu sebelum bangkit menyertai dia di ruang dapur. Anak lelakinya sedang baca Al-Mathurat dengan cucu-cucunya waktu papa tiba sebentar tadi.

"Hmmm, sedap baunya." Mata papa jatuh pada puding roti yang terletak elok di atas meja kaunter yang memisahkan antara ruang tamu dan dapur. Agaknya dia sudah tidak senang duduk dengan segala bau yang menggoda deria hidung. Sudah macam duduk dalam kedai bakeri pula.

Agaknya kalau berhenti kerja, Syah sudah cadang nak ambil tempahan pemanis mulut. Tak adalah dia duduk menjaga anak-anak di rumah sahaja. Sedikit sebanyak dapat juga dia menyimpan untuk masa depan. Dia perlu sentiasa beringat yang langit tidak selalunya cerah. Dia perlu bersedia memiliki sejumlah wang dalam bank sekiranya sesuatu yang tidak diingini menimpa hidupnya. Ujian daripada Allah itu tidak datang mengira masa, tanpa boleh dijangka. Mengikut pengalamannya setakat hari ini, begitulah yang terjadi dalam kehidupannya. Mungkin tidaklah sesukar orang lain, tetapi tidak semudah yang orang lain sangka. Orang lain mungkin beranggapan bahawa dia seorang yang tabah, walaupun sebenarnya dia sudah koyak rabak. Cuma selama ini dia tak pernah tunjuk secara terang-terangan di hadapan semua orang.

Ting! Ding!
Dan, ketuhar dan juga pintu rumah berbunyi serentak.

"Boleh papa tolong?" Papa menawarkan diri sebaik sahaja melihat anak menantunya sibuk tidak menang tangan. Dia segera mencapai sepasang oven mitts yang tergantung berdekatan dengan ruang kabinet ketuhar.

"Terima kasih, papa." Syah segera basuh tangan dan bergegas melangkah ke pintu depan. Vanessa sudah sampai!

***

"Yang itu suami you?" Vanessa melirik pada lelaki yang sedang menatang dulang berisi cawan untuk Vanessa yang baru tiba.

"Eh, bukanlah." Syah tergelak. "Itu papa suami I."

Tidak lama kemudian, Kaduk datang ke ruang tamu dengan anak-anak.

"Haa, yang ini baru betul suami I."

"Adam." Kaduk letak tangan kanan ke dada.

"Oh, inilah agaknya prince charming yang you berjaya jumpa untuk payungkan you," bisik Vanessa perlahan.

"Payung?"

"Do you still remember our conversation years ago?"

Syah angkat kening.

***

Tokyo, Jepun
Sekitar tahun 2006...

Syah mendongak, melihat ke dada langit yang kian gelap. Dari jauh nampak awan hitam mendung mula berarak datang memenuhi ruang angkasa sebelum menurunkan hujan lebat yang mencurah-curah dari langit. Dia sekadar berpeluk tubuh buat seketika.

Ah, redah sajalah!

"Akasyah!" 

Syah pantas berpaling ke belakang. 

"Akasyah, I know it was you."  Suara lembut Vanessa menyapa telinganya dari belakang.

"Kenapa berjalan dalam hujan? Tak bawa payung?" Vanessa pindahkan sebahagian payungnya pada Syah supaya tidak kena air hujan.

"Tertinggal dalam lab. I tak cukup rajin nak patah balik dari library tadi." Dia ketawa. 

"Akasyah, Akasyah..." Vanessa pun turut sama ketawa sambil menggelengkan kepalanya.

"Terima kasih." Syah terharu gadis berketurunan Cina dari Puchong itu sudi payungkan dia. Dah duduk di luar negara begini, yang berlainan bangsa atau agama pun terasa bagai adik-beradik. Susah dan senang dikongsi bersama-sama.

"Sama-sama kasih." 

"You sibuk sekarang? Lama tak nampak muka you..." tanya Vanessa.
"Macam biasalah. You?"
"Tak pernah tak sibuk sejak mula semester," balas Vanessa.

Ketawa pecah. 
Masing-masing faham dengan tahap kesibukan diri sendiri dan tanggungjawab menjadi pelajar peringkat sarjana.

"Memang selalu hujan lebat macam ini?" tanya Vanessa.
"Ya, dari natsu nak masuk aki. Pertukaran dari musim panas ke musim luruh," jawab Syah.

"Oh begitu?" 

"Tak apa, Vanessa. Nanti you dah lama duduk sini mesti you boleh jadi pakar kaji cuaca. Hari-hari you tengok weather forecast."

"Itu bukan you ke? Cik Nurul Akasyah pakar kaji cuaca," usik Vanessa.

"Taklah, I cuma kaji teknologi untuk weather satellite sahaja. Yang pakar kaji cuaca bidang orang lain."

"Macam mana pakar kaji weather satellite boleh lupa bawa payung bila hujan? Oklah, I doakan you jumpa seorang prince charming yang boleh tolong payungkan you waktu hujan. Boleh teman dan jalan sama you lorrr..."

"Aminnnnnnn... Semoga berkat doa you dalam hujan ini. Terima kasih ya tolong doa untuk I, Vanessa. Oklah, I pun doakan untuk you dan boyfriend you juga lorrr..."

Ketawa pecah lagi.

Langit. 
Kian gelap. 

Hujan. 
Kian lebat.

***

#throwback

April 1999

Aku mendongak ke langit. Aku lihat kepulan awan-awan hitam mula melitupi ruang angkasa padang bola jaring bumi SERATAS yang tercinta. Ah. mungkinkah akan...

"Satu, dua, tiga..."

Sebaik sahaja kiraan tiga aku tamat, hujan gerimis dengan malu-malunya turun dari langit. Setitik demi setitik... dan akhirnya ribuan mungkin jutaan titik-titik hujan yang keluar dari perut awan-awan yang sarat mengandungkan wap-wap air.

Aku tersengih. Kebetulan ler pulak. Entah mengapa sejak dua menjak ini aku rasa aku telah menjadi peramal kaji cuaca tidak bertauliah yang berjaya. Berkat pemerhatian yang berterusan ke atas perubahan dan bentuk-bentuk awan, angin dan sebagainya, ramalan aku hampir benar belaka. Tidak sia-sia ilmu geografi dan sains yang dipelajari sewaktu di sekolah menengah rendah dulu.

Aku menebarkan pandangan ke padang bola jaring ini. Ternyata hujan yang kian menggila tidak melunturkan semangat penyokong kedua-dua belah pasukan untuk terus setia menyaksikan perlawanan pada separuh masa kedua pula. Ada di antara mereka berteduh di bawah khemah yang disediakan dan ada juga yang berpayung. Kain-kain rentang masih terpacak walaupun telah basah kuyup ditimpa hujan.

Tiba-tiba aku rasa fikiran ini begitu serabut macam kabel elektrik yang berselirat. Mungkin kerana terlalu memikirkan prestasi pasukan aku pada separuh masa pertama tadi yang agak kurang memberangsangkan.

Lontaran bola tidak begitu kemas dan lancar hinggakan senang saja dipintas oleh pihak lawan. Wani, goal shooter (GS) juga tidak memberikan persembahan seperti yang diharapkan. Jaringan `sipi-sipi nak masuk` dan `golek-golek atas jaring` si Wani itu membuatkan hati aku berbulu. Ishh budak ni. Kalo iya pun, aim lah betul-betul! Alahai Wani...

"Akasyah, are you ok girl?" sapa satu suara dari belakangku.

Aku tidak menjawab. Bukan kerana Bahasa Inggeris aku lemah. Cuma aku malas melayan pertanyaan dari sesiapa waktu ini. Sebagai pemain tengah atau lebih dikenali sebagai `center`, aku perlu bijak memainkan peranan aku selepas ini. Strategi... Strategi... Come on, Akasyah! Think!

Bagaimana pasukan lawan boleh bermain begitu lincah dan bertenaga pada petang ini? Setahu aku, mereka tidaklah sehebat mana. Selama ini pasukan itu boleh disiflikasikan sebagai pasukan `biasa-biasa aja` atau lebih tepat lagi pasukan belasahan. Ops! Bukan maksudku hendak memperkecilkan kemampuan pihak lawan. Mungkin mereka telah berjaya menemui formula luar biasa yang membuatkan aku sendiri tercungap-cungap menjaga pemain tengah mereka. Tak padan dengan kecil tapi macam lipas kudung. Ligat betul. Atau aku sendiri sudah pancit!

Aku bangun untuk membetulkan urat-urat yang mula terasa sengal. Aik! Orang itu masih ada rupanya. Dia memerhatikan gerak-geriku. Kenapa ya? Ah, biarkanlah luncai terjun dengan labu-labunya. Biarlah orang itu meng`usya` aku. Tidak luak sedikit pun. Kepala yang tidak gatal digaru berkali-kali.

Eh! Mengapa pula pandangan aku berpinar-pinar? Aku tidak dapat melihat wajah orang menyapa aku tadi dengan jelas. Mungkin mata aku juga perlukan rehat. Lalu aku pejamkan mata sebentar sambil itu tangan kananku memicit lembut dahi yang terasa berat.

Aku mengimbas kembali perlawanan yang kami tempuhi sebentar tadi. Macam pernah aku lihat corak permainan pasukan itu. Tapi di mana dan bila?

***

15 November
Di sebuah kampung di tepi Sungai Perak

Firman Allah SWT:

اعْلَمُوا أَنَّمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا لَعِبٌ وَلَهْوٌ وَزِينَةٌ وَتَفَاخُرٌ بَيْنَكُمْ وَتَكَاثُرٌ فِي الْأَمْوَالِ وَالْأَوْلَادِ ۖ كَمَثَلِ غَيْثٍ أَعْجَبَ الْكُفَّارَ نَبَاتُهُ ثُمَّ يَهِيجُ فَتَرَاهُ مُصْفَرًّا ثُمَّ يَكُونُ حُطَامًا ۖ وَفِي الْآخِرَةِ عَذَابٌ شَدِيدٌ وَمَغْفِرَةٌ مِّنَ اللَّـهِ وَرِضْوَانٌ ۚ وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلَّا مَتَاعُ الْغُرُورِ

Maksudnya: Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan, dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak; (semuanya itu terhad waktunya) samalah seperti hujan yang (menumbuhkan tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar (ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; akhirnya ia menjadi hancur bersepai; dan (hendaklah diketahui lagi, bahawa) di akhirat ada azab yang berat (di sediakan bagi golongan yang hanya mengutamakan kehidupan dunia itu), dan (ada pula) keampunan besar serta keredaan dari Allah (disediakan bagi orang-orang yang mengutamakan akhirat). Dan (ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya. - Surah al-Hadid (20)

Yang berlaku hari ini bukannya suatu permainan ataupun gurau senda. Yang diratapi adalah sebuah kematian, penghijrahan dari alam dunia ke alam kubur sementara menanti alam akhirat. Yang terjadi sudah tertulis di Loh Mahfuz, tak pernah lambat walaupun sedetik.

Syah menebarkan pandangannya ke arah Sungai Perak di hadapannya. Air sungai bak warna teh tarik itu mengalir lesu. Syah meraup wajahnya berkali-kali. Segala-galanya berlaku terlalu pantas. Terlalu cepat. Tak sempat dia menatap mak buat kali terakhir semasa hayatnya masih ada. Hanya semalam sempat melihat mak yang sudah dalam keadaan brain death di atas katil pesakit di dalam wad ICU.

"Ya, brain death," kata doktor.

Puncanya ialah raptured aneurysm, impak dari kemalangan jalan raya yang dialami oleh mak pada akhir Disember lalu. Mak tiba-tiba terlelap sewaktu memandu pulang dari melawat kenduri arwah di Langkap. Kereta yang dipandunya telah memasuki lorong arah bertentangan dan berlanggar dengan kereta yang datang. Mak cedera ringan sahaja tapi selepas itu sebelah mata mak dalamnya berdarah. Selepas pemeriksaan lanjut barulah dapat tahu ada beberapa aneurysm dalam otak mak. Atas faktor usia, mak hanya berkesempatan buat sekali pembedahan tapi bukan untuk semua aneurysm yamg ada. Doktor kata, otak mak macam bom jangka. Dan itulah yang terjadi pada pagi 14 November semalam. 'Bom jangka' itu 'meletup' dalam otak mak.

Raptured aneurysm.
Internal bleeding.
Brain death.

Kaduk dan dia baru balik dari bercuti di Pulau Jeju, Korea Selatan pada minggu sebelumnya. Sabtu itu Kaduk kena kerja, jadi Syah tak jadi nak balik Perak.

"Tak apalah, minggu depan kita balik. Tak sempat nak lama kalau balik Perak lepas abang kerja." Syah berkira-kira. Dan tak sangka dalam pada dia berkira-kira itulah Allah pun tarik nyawa mak. Panggilan telefon adik lelakinya memberitahu mak macam kena stroke ataupun serangan jantung.

Tadi waktu memandikan jenazah mak, masih ada sisa darah merah keluar dari telinganya. Syah rasa maknya dapat husnul khaatimah seperti yang ustaz ustazah selalu cerita dalam ceramah agama. Kerana wajah mak tersenyum manis macam sedang tidur sahaja dan ada peluh kecil menitik pada sebahagian wajahnya waktu nak dipakaikan kain kapan. Alhamdulillah, harap itu rezeki mak. Husnul khatimah.

Mak, Syah minta maaf sebab balik lambat. Kata Syah dalam hatinya waktu memandikan mak buat kali pertama dan terakhir. Syah tak sempat nak jaga mak pun waktu mak tua. Mak dah tak ada... 

Dan mak pun tak sempat cuba mask dari Korea yang dibeli. Dua bulan lepas mak tanya apa yang Syah pakai sampai boleh dihilangkan bekas jerawat pada dahinya. Namun, hari ini Syah hanya mampu sapukan kapur barus pada wajah mak. Segala macam jenis mask yang Syah beli untuk mak masih kemas tersimpan dalam beg luggage. Mak dah tak ada... 

Tidurlah mak, rehatlah mak. Mak dah penat jaga kami adik-beradik. Kata hati Syah lagi sambil usap pipi dan cium dahi mak sebelum Makcik Anum tutup wajah mak yang nak dibawa naik ke atas surau untuk disembahyangkan. Mak dah tak ada...

Patutnya dia boleh sahaja balik dengan kereta api Sabtu minggu lepas. Bukannya susah pun. Sekurang-kurangnya sempatlah dia menatap wajah mak buat kali yang terakhir semasa hidupnya. Itupun kau nak berkira-kira dan bertangguh-tangguh, Syah! Syah marah pada dirinya sendiri. Dan kini kesempatan itu sudah tiada lagi. Mak sudah pergi buat selama-lamanya di dunia ini. Mak dah tak ada...

"Sayang, hari petang dah nak hujan. Jom kita balik," ajak Kaduk. Genggaman Kaduk pada jari-jemari Syah makin erat.

"Tak apalah. Abang pergilah balik dulu."

Entah bila masa suaminya datang menurut di tepi sungai ini pun dia tak perasan. Janganlah risau, dia masih waras lagi. Tak adalah tiba-tiba sedih sampai nak terjun sungai atau apa. Syah sekadar ingin mencari sedikit ketenangan setelah selesai urusan pengkebumian sebentar tadi.

Tanpa berpaling, dia dengar derap tapak kaki Kaduk melangkah meninggalkan dirinya.

Sepanjang urusan pengendalian jenazah mak, Syah tak sempat pun nak mengalirkan air mata sebab nampak abang dan adik-beradiknya yang lain menangis sampai merah mata. Tambah pula Makcik Anum, saudara sebelah mak dan ayah yang tolong membantu urusan jenazah asyik bertanya itu dan ini. Syah kan anak perempuan yang sulung. Jadi, tanggungjawab menguruskan hal mak jatuh ke atas bahunya.

Macam-macam dia kena uruskan sejak pagi tadi membawa jenazah mak dari Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh. Hanya sempat rasa sebak semasa menemani mak dalam van jenazah, sementara adik perempuannya di kerusi hadapan sebelah pemandu untuk menunjukkan jalan arah pulang ke kampung mereka. Mak dah berpesan, apabila dia meninggal nanti tanam jenazahnya di kampung mereka dan dekat dengan tempat persemadian mak ayahnya. 

Syah mendongak ke atas kepalanya. Hujan dah berhenti? Eh, ada payung kertas opah yang dibeli di pasar sari? Payung kertas fesyen ini biasanya orang dah tak pakai lagi untuk kegunaan seharian dalam zaman moden ini. Selalunya orang tinggalkan ia di atas kubur di tanah perkuburan sahaja. 

"Hujan. Abang pergi ambil payung," jelas Kaduk tanpa dipinta. Ini saja yang sempat Kaduk nampak dan terus main capai dekat tangga rumah opah.

Syah sedang mengandung anak sulung mereka waktu ini, jadi Kaduk pun sedikit bimbang. Isterinya itu jamah makanan pun sedikit sangat tadi. Tak ada selera katanya.

"Tak apa, abang makanlah." Syah tolak pinggan nasi yang masih banyak bersisa pada Kaduk.

Mengikut cerita adik lelakinya, sebelum mak pergi awal pagi tadi, mak singgah makan di kedai tepi jalan di Changkat Tin dalam perjalanan balik ke kampung. Lauk terakhir mak - nasi putih, ikan kembung goreng dan sayur kubis tumis air. Mak sempat juga minta abang dan adik lelaki tanam pokok pisang di kebunnya yang berdekatan dengan rumah opah (mak kepada ayah). Saat-saat akhir kematian mak, dia masih sempat bercucuk tanam untuk anak-anak dan cucu-cucunya.

Sebelum menghembuskan nafas terakhir, mak sempat lagi mengamalkan sunnah Rasulullah SAW (yang menjelaskan kepentingan pertanian di dalam sabdanya) yang bermaksud:

إِنْ قامَتِ السَّاعَةُ وَفِي يَدِ أَحَدِكُمْ فَسِيلَةٌ، فَإِنِ اسْتَطَاعَ أَنْ لَا تَقُومَ حَتَّى يَغْرِسَهَا فَلْيَغْرِسْهَا

Maksudnya: “Jika terjadi hari kiamat sementara di tangan salah seorang dari kamu ada sebiji benih tanaman, maka jika dia mampu sebelum terjadi hari kiamat untuk menanamnya maka tanamlah.”

Yang termaktub dalam Riwayat Ahmad (3/183), al-Tayalisi dalam Musnadnya (2068) dan al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad (479)

Semoga mak sedang sibuk menuai hasil amal kebaikan dan tanaman yang dilakukannya selama hidup di dunia ini. 

Dalam hati Syah melafaz doa untuk mak:

 اغْفِرْلِيْ ذُنُوْبِيْ وَلِوَالِدِيَّ وَارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِيْ صِغِيْرًا

Yang maksudnya: “Ya Allah! ampunilah dosaku dan dosa kedua orang tuaku dan kasihilah mereka sebagaimana mereka mengasihiku sejak kecil.”

Dalam dingin petang dan hujan renyai-renyai, Syah pandang wajah Kaduk yang setia di sisi, yang sedang memaut erat pinggangnya.

Mungkin mak tahu yang hidupnya sudah tak lama, maka sebab itu mak nampak sedih waktu pesan pada Kaduk usai majlis akad nikah.

"Adam, mulai saat ni mak serahkan Syah pada Adam. Jagalah dia elok-elok..."

*Payung dipegang.
Ibu sudah terlambat.
Hujan musim luruh.

Mak dah tak ada... bisik hati Syah lagi.

Suram.
Sesuram masa pulang.

Lenyap.
Selenyap masa hilang.

Pabila pulangnya di sana yang tiada halang.
Pabila hilangnya di sini yang tiada galang.

***

Di luar sana hujan gemiris turun membasahi bumi. Syah pandang wajah papa. Dia menghela nafas dalam-dalam.

Yang tinggal rapat dengan dia, hanyalah Kaduk, anak-anak, keluarga sebelah suaminya dan juga adik-beradik Syah sahaja. Mak dah tak ada, ayah pula dah bawa diri... 

Sebelum Vanessa pulang, sempat Syah berbisik pada telinga gadis berkaca mata itu.

"I rasa I dah jumpa prince charming I."
"I knew you did. He will be the man who will hold the umbrella and stand with you in sunny and rainy days... for the rest of your life."

Vanessa dan Syah pandang wajah Kaduk sejenak sebelum dua kawan lama itu saling berpelukan erat agak lama.

"Hey Vanessa, cepat-cepat ajak boyfriend you kahwin."
"Hey Akasyah, banyak-banyak you perlu doakan untuk I."

"Of course, my darling!"

Dan ketawa kecil pecah lagi.

(bersambung...)

#RADHA #mendungtakberetihujan

Thank you to my dear colleague, Vanessa for your kind prayer and also holding the umbrella in the rain ☺️😉
 
Petikan #throwback di atas daripada versi asal online e-novel Relevankah Aku di Hatimu? yang ditulis pada 24 Oktober 2003. Sebenarnya ini tarikh entry pertama RADHA = birthday RADHA. Yang 23 Oktober 2003 itu birthday blog rnysa.blogdrive.com. Tak apalah, selang sehari sahaja. Sambut satu tarikh sajalah, senang nak ingat.

*Terjemahan haiku Bahasa Jepun yang dipetik dari laman ini

Rujukan ayat Al-Quran & Hadith


🥀🥀🥀

Al-Fatihah buat mak 🥀
23 Jan 1953 - 15 Nov 2018




Sunday, November 08, 2020

[33] Gelap

Karya pendek

Gelap
Oleh Rnysa

33

Awal pagi
#MCODay193 #PKPP
#stayathome #ochiha #thefallenleaves

Di dalam masih gelap.
Hanya bertemankan bunyi air mengalir tenang yang mendamaikan.

Syah membelek-belek momiji atau daun mapel Jepun yang dilaminate elok terselit dalam T-planner 2020. Dia memang suka simpan sesuatu menjadi tanda kenang-kenangan. Tertulis di situ...

Aki 2008
Musim luruh pertama dengan si dia ☺️🍁

Ya, tahun 2008 itu merupakan kenangan pertama menikmati aki atau musim luruh setelah bergelar suami isteri. Meskipun tahun sebelumnya itu pun mereka bersama-sama juga setelah saling mengikat janji.  Tapi tentulah tak sama perasaannya apabila hubungan itu sudah menjadi halal. Sudah tidak perlu bawa mahram segala waktu nak dating atau apa.

Dengan tangan sebelah lagi Syah menyelak helaian muka surat yang lain. Eh, ada tulisan orang lain tanpa izin. Hmmm, agaknya inilah kerja Kaduk masa dekat Hospital Putrajaya menjaganya dulu - pandai-pandai sahaja 'menconteng' diarinya.

Sayang, papa pernah pesan pada abang suatu ketika dulu...

It is best to accept what hurts and move on. As St. Francis once said: Lord, grant me the strength to accept the things I cannot change, the courage to change things I can, and the wisdom to know the difference.

Hmmm, siapa pula Encik St. Francis ini? Macam-macamlah Kaduk ni. Yang menariknya tentulah papa dan keluarga sebelah papanya yang pernah dan ada yang masih beragama Kristian. Jadi, banyak juga mereka dapat saling berkongsi tentang agama dan budaya yang berbeza. Terus Syah capai telefon bimbitnya, guna fungsi Voice Search dalam Google Assistant.

"Search Saint Francis..."

Sambil itu Syah sandarkan kepalanya ke sofa, ruang matanya membayangkan suasana yang berbeza, lokasi yang berbeda. Momiji warna merah keperangan diputar-putar di hadapan matanya.

Koyo
Maple leaves and deer

Koyo
Scatter autumn leaves

Hmmm, Nara koen atau taman Nara. Dan kenangan berbulan madu di Jepun sambil menikmati keindahan koyo atau daun berwarna-warni yang menghiasi musim luruh.

Jari-jemari terus berlari. Satu persatu halaman planner diperiksa sebelum Syah terpaku dekat catatan bertarikh 17 September. Ulang tahun hari lahir suaminya. Eh?

Syah,
I love you to the moon and back.
Kaduk
💙

Senyum lebar. Syah ambil pen yang terselit di situ dan tulis di bawahnya. Harap si dia terbaca, mungkin?

Kaduk, 
I love you to the moon and beyond.
Syah
❤️

Syah menyelak lagi halaman yang lain. 15 November 2020. Syah tulis di situ: Al-Fatihah buat mak.

Dia tak dapat menahan sebak. Air mata menitis jua.

***

#throwback

Keesokan harinya, aku bangun lebih awal daripada biasa. Sebaik sahaja aku terjaga, terus aku berdoa.

"Ya Allah, berikanlah keberkatan kepada umatku yang berpagi-pagi." Aku berhenti seketika sebelum menyambung semula.
"Segala puji bagi Allah yang menghidupkan setelah mematikanku, dan kepada-Nyalah tempat kembali. " Aku meraup wajah dengan kedua belah telapak tanganku.

Begitulah rutinku setiap pagi. Sejak dari kecil aku dididik supaya berdoa sebaik sahaja terjaga dari tidur. Kita sedia maklum yang tidur adalah nikmat yang Allah berikan kepada kita. Justeru itu kita perlu mensyukurinya. Maka sebaik sahaja kita bangun pagi hendaklah kita mengucapkan doa sebagai tanda kesukuran kita kepada yang memberikan nikmat itu.

Aku melompat keluar dari katil usangku lantas melakukan sedikit regangan badan. Setelah itu aku mencapai tuala lalu pergi ke bilik mandi. Elok saja aku sampai ayahku keluar dari bilik mandi. Setelah menyumbangkan dua, tiga buah lagu dan melakonkan beberapa babak ringkas petikan dari filem yang terkini, lima minit kemudian aku keluar dari bilik mandi dengan wajah yang segar-bugar. Adik lelakiku, Anas sudah terpacak di luar pintu dengan hanya berkain pelekat dan berselempangkan tuala di bahu menanti gilirannya untuk bersiram.

"Syah! Siap cepat! Boleh solat sama-sama." Ayah aku melaung dari ruang tamu.

Cepat-cepat aku masuk ke dalam bilik. Menyarung kain biru tua dan t-shirt biasa. Kemudian aku menyarung kain telekung dan mencapai sejadah. Aku segera ke ruang tamu. Di situ mak dan ayah duduk berteleku di atas sejadah menantiku.

Ayah bangun melaungkan azan dan iqamat. Kemudian dia mengimamkan solat subuh pada Jumaat itu. Setelah memberi salam, kami berwirid dan akhirnya menadah tangan memanjatkan doa ke hadrat Ilahi. Minta ampuni segala dosa, diiterangkan hati, diimurahkan rezeki dan sebagainya. Amin...

Lantas kukucup tangan mak dan ayah. Rasa tenang dan damai menyelubungi jiwa ini. Moga-moga mereka memaafkan segala kesalahanku.

Aku minta diri kembali ke bilik. Wah! Adik perempuanku masih dibuai mimpi. Aku menggoncangkan jari kakinya beberapa kali. Tiada menunjukkan tanda-tanda dia terjaga.

Aku terdengar bunyi periuk belanga di dapur . Mesti mak! Aku merajinkan diri ke dapur. Membantu apa yang patut. Segan pula membiarkan mak kelam-kabut di dapur seorang.

"Kita masak nasi goreng ye."

Aku mengangguk. Aku membawa keluar ikan bilis dan beberapa jenis sayur-sayuran dari peti sejuk. Tangan aku pantas mencapai pisau dan memotong sayur-sayuran tadi. Selepas itu aku gaul nasi lebihan semalam dengan garam secukup rasa.

Nasi goreng sudah siap dimasak. Masih terlalu awal jika mahu bersarapan. Jadi aku mengambil keputusan mencuri masa yang ada untuk membuat sedikit ulangkaji. Waktu lepas subuh begini otak masih segar sebab baru bangun dari tidur.

Beberapa ketika kemudian, mak mengajak aku bersarapan. Kami sekeluarga duduk semeja. Adik lelakiku membaca doa makan. Yang lain mengaminkan.

Setelah selesai makan, aku bersiap-siap untuk pergi ke sekolah. Jam hampir menunjukkan jam 7 pagi. Mak dan ayah kehairanan melihat kerajinan aku hari ini. Aku hanya tersengih. Aku mengucup tangan mak dan ayah sebelum bergerak ke sekolah.

Aku menyanyi-nyanyi kecil. Indah sungguh pagi Jumaat ini. Cahaya mentari menyuluh alam buana. Burung-burung berkicau riang. Embun di rumput masih tak hilang.

***

Loceng rumah berbunyi nyaring. Akram segera berlari ke muka pintu dan memulas tombol mahu membukanya.

"Akram. Assalamu'alaikum..." Adeilah menyapa sebaik sahaja nampak wajah anak saudaranya.

"Wa'alaikumussalam, Mak Adik. Ibu, Mak Adik dah sampai!" Segera Akram melaung ke dalam rumah. Ibu sudah cakap pagi tadi yang Mak Adik nak datang rumah mereka hari ini. "Ibu..."

"Ibu mana, Akram?" Adeilah mengintai ke dalam rumah.
"Dalam bilik." Baru Akram nak melangkah ke belakang dia sudah nampak susuk tubuh ayahnya keluar dari kamar biliknya.

"Ayah, Mak Adik dah sampai." Beritahu Akram. Dia tak sampai nak buka selak pintu, tak cukup ketinggian lagi. Lainlah Along Arhamnya.

"Hello sister!" Sapa Kaduk.

Adeilah tergelak sebelum memberi salam.

"Seorang saja?" Tanya Kaduk lepas jawab salam.

"Yalah."

"Janji nak datang asing-asing ke?" Kaduk meninjau-ninjau belakang adik bongsunya. 

"Yalah." Adeilah yang sudah merah muka segera bersalaman dengan abangnya.

"Eloklah..." Jawab Kaduk pendek.

Hari ini Adeilah datang sebab sudah janji dengan kawan abangnya nak makan tengah hari bersama-sama buat pertama kalinya. Sengaja dia datang awal sikit sebab nak tolong Kak Syah masak.

Usai majlis tempoh hari, Khalid menyatakan hasratnya mahu berkenalan dengan Adeilah dengan lebih rapat. Waktu itu depan Achik, Adeilah kata Khalid perlu meminta izin terlebih dahulu dengan papa dan mama, sekiranya dia betul-betul serius nak berkawan dengan Adeilah. Dan dia tak sangka pula yang Khalid terus minta izin hari itu juga.

Dan mulai sejak hari itu dia mula berhubung dengan Khalid Ahmad, yang merupakan rakan sekolah Achik dan Kak Syah. Achik minta dia cuba buka hati dan berkenalan terlebih dahulu.

"Dah cuba kenal, mana tahu serasi pula." Cadang Achik.

Entahlah, hati Adeilah masih tidak dapat melupakan bekas tunangnya walaupun sudah lama putus. Mereka sudah kenal sejak sekolah menengah lagi. Tak semudah itu Adeilah dapat membuang kenangan lalu. Dia juga fobia sebenarnya nak memulakan hubungan baharu dengan orang lain.

Ya, tak semudah itu. Lebih-lebih lagi dia sangat setia dengan Freddy selama ini. Namun sesetia mana pun, akhirnya dirinya tak dihargai. Begitulah takdir ketentuan Ilahi.

"Adik buat cream puff untuk Kak Syah." Kata Adeilah, memecah sepi.

"Untuk Kak Syah ke untuk...?" Kaduk angkat kening sambil senyum-senyum.

"Adik tak kenal lagi dia." Ujar Adeilah dengan wajah serius, tak senyum sedikit pun. Sungguh, dia tak tanya pula Khalid suka apa. Dan tak terfikir pun nak buat untuk Khalid. Cuma dia tahu yang Kak Syah suka makan cream puff yang dia buat.

Lalu Adeilah masukkan cream puff atau chou à la crème ke dalam peti sejuk. Dia pernah ambil kelas baking dengan chef tempatan masa belajar di Paris dulu.

"Kak Syah... ooo... Kak Syah..." Eh, mana pula kakak ipar kesayangannya itu?

"Adik..." Seru Kaduk.

Adeilah berpaling. 

"Kalau tak bersedia lagi, tak perlu nak berkenalan. Achik faham. Semua orang faham. Ambillah masa..."

"Adik OK. Jangan risau." Pintas Adeilah.

Kaduk usap perlahan kepala Adeilah yang berkerudung. "Baguslah kalau macam itu." Katanya kemudian. Dia hanya mampu berdoa yang Khalid bukan macam Freddy.

Hati seseorang itu hanya diri sendiri dan Allah yang pegang.  Sebab itu kena selalu berdoa supaya Allah tetapkan hati dan tidak membolak-balikkannya.

Hati. 
Makan hati.

Makan.
Makan dalam.

Setelah hati dilukai jika tiada cinta.
Setelah cinta dinodai jika tiada setia.


(bersambung...)

#RADHA #hopenote #kindnote #lovenote

Petikan #throwback di atas daripada versi asal online e-novel Relevankah Aku Di Hatimu? yang ditulis pada 30 Oktober 2003.

Saturday, November 07, 2020

[Cerpen] Piano Berlagu Lagi

Piano Berlagu Lagi
Oleh Rnysa


Apabila anod dan katod diberi beza keupayaan yang tinggi, elektron dibebaskan oleh filamen yang panas. Hentaman elektron terhadap sasaran tungsten menghasilkan sinar-X, yang dipancarkan melalui kaca. Semakin tinggi beza keupayaan yang digunakan, semakin kuat kuasa penembusan sinar-X itu.

Larian mata pensel mekanikal Yani terhenti. Pangkal dahinya berkerut. Dia meneliti gambarajah tiub kaca yang siap berlabel, dan kemudiannya dibandingkan semula dengan jawapan yang baru ditulis. Penerangan tentang bagaimana sesuatu sinar-X dapat dihasilkan di dalam sesebuah tiub sinar-X. Yani berpuas hati. Dia beralih pula kepada soalan seterusnya, bertanyakan maksud sinar-X keras pula.

"Yang ni senang aja." Ujar Yani sambil tersenyum manis.

"Senyuman bukannya jawapan." Senyuman Yani kian melebar apabila mengenangkan ayat favourite guru fizik, Mr. Goh, yang terkenal dengan ketegasannya itu. Rata-rata rakan-rakan yang tidak berjaya menjawab soalan Mr. Goh terpaksa menelan semula 'jawapan senyum' mereka. Semua orang kecut perut dengan guru berbangsa Tionghua itu. Dan semua orang tiba-tiba atau setidak-tidaknya cuba jadi pandai dalam kelas fizik, termasuklah Yani sendiri. Walaupun garang macam singa semasa sesi P&P, Mr. Goh sangat mengambil berat tentang kami semua.

Rasanya setiap guru di sekolah menengah sains ini punya ayat favourite masing-masing. Cikgu Fazura, guru fizik Yani sekarang pula akan marah setiap kali pelajarnya gagal menjawab dengan menggunakan bahasa saintifik seperti yang diharapkan.

"Cara awak jawab macam orang kampung!" Luahnya dengan nada tinggi. Dan kami hanya mampu tersengih antara satu sama lain tatkala mendengar bebelan guru kecil molek itu.

Macam-macam kerenah... Yani menjungkit senyum lagi.

"Sinar-X keras adalah sinar-X dengan kuasa penembusan yang tinggi. Tenaganya tinggi dan panjang gelombangnya adalah pendek!" Yani mengulang kembali penerangan yang diberikan oleh Cikgu Fazura. Penselnya turut sama menari di atas kertas examination pad.

Beginilah rutin Yani setiap petang. Dia akan mengambil masa dalam tiga puluh minit untuk menyelesaikan soalan-soalan dalam buku latihan yang dibeli. Biasanya dia akan belajar dekat meja di hujung koridor ini, mengadap Bukit Larut. Peperiksaan Percubaan SPM akan tiba sebulan dari sekarang. Yani tak boleh main-main lagi.

Sesekali dia melemparkan pandangan ke arah dewan besar sekolahnya yang baru dicat semula dengan warna biru laut itu. Sudah hampir dua minggu Yani memerhati dewan yang tersergam indah itu. Ada sesuatu yang menarik perhatiannya, yang membuatkan hampir setiap petang Yani akan singgah di situ. Hatinya sudah ditawan oleh bunyi petikan piano yang datangnya dari dalam dewan tersebut. Alunan muzik yang dimainkan sungguh mengasyikkan.

Entah siapa yang memetiknya Yani tak tahu. Hal itu yang sering buat Yani tertanya-tanya. Dia teringin benar melihat wajah pemain piano itu. Yani sudah periksa satu-persatu pintu kecuali pintu yang menghala ke asrama putera. Dia sangat pasti kesemua pintu dewan besar itu terkunci. Mustahil ada sesiapa boleh menceroboh masuk.

Sebelum ini dialah yang rajin memetik piano itu. Sebenarnya sudah lama Yani tahu kewujudan piano yang tersadai di dalam dewan sekolahnya itu. Kadangkala dia terpaksa pura-pura tidak melihat objek itu. Tetapi sampailah suatu hari, dia tidak dapat menahan kehendak hatinya lagi. Maka, bermula dari saat itu, dia pasti ke sana sebaik sahaja siap latihan ulangkajinya. Sudah berbulan-bulan lamanya dia cuba mencari nota lagu "First Love" dendangan Utada Hikaru yang menjadi kegemarannya. Apabila dia terpaksa melupakan seketika hobinya itu kerana hendak memberikan perhatian terhadap pelajaran, tiba-tiba ada orang lain pula memainkan lagu itu dengan baik sekali. Mana Yani tidak terkejut.

Pelajar Tingkatan 5 Alfa itu menghela nafasnya panjang. Entah macam mana, saat itu juga ada sesuatu mengisi halwa telinganya. Bunyi piano!

Yani cepat-cepat menutup buku, mengemas alat tulis yang bertaburan dan menyimpannya di dalam laci meja di dalam kelas. "Sambung malam nantilah." Dia mengingatkan diri sendiri.

Tanpa berlengah lagi, dia menuruni anak tangga dan melangkah gagah menuju dewan sekolah. Harap kali ini dia dapat membongkar identiti pemain piano misteri yang menyelubungi hidupnya selama dua minggu ini. Mana tahu hari ini dia bernasib baik pula. Selama ini dia hanya dapat melihat belakang badan orang itu sahaja. Dewan itu sangat gelap kalau tidak berlampu. Apalagi waktu petang begini.

Yani cuba memulas tombol pintu. Berkunci? Dia cuba pintu yang lain pula. Sama juga. Hairan betul. Macam mana lelaki itu boleh masuk. Yani terjengket-jengket sambil memandang ke dalam dewan. Bunyi piano sudah berhenti. Orangnya pun sudah tidak ada. Hilang? Mana dia pergi?

Tiba-tiba satu lembaga muncul. Mukanya rapat ke muka Yani. Mereka hanya dipisahkan oleh cermin kaca sahaja. 

"Argh! Hantu!"

Yani terperanjat besar. Dia mengundur beberapa tapak ke belakang. Tahu-tahu kakinya sudah terperosok ke dalam longkang yang mengelilingi dewan lalu dia jatuh terduduk. Seorang lelaki sederhana tinggi membuka pintu dan keluar sambil bercekak pinggang. Dia seperti ingin tersenyum.

"Awak tak apa-apa?"

Yani menggeleng.

"Jadi, awaklah yang selalu main piano petang-petang tu ya?" Lelaki itu menyoal lagi. Yani mengangguk.

Khalid Ahmad.
Dia rakan sekelas Yani, sama-sama menjadi penghuni 5 Alfa. Rupa-rupanya dialah orangnya yang bermain piano itu. Yani bingkas bangun, berdepan dengan Khalid.

"Awak suka main piano tu ya? Nak belajar daripada saya?"

Takkan dia ni nak ajar aku kot. Khalid Ahmad yang tak pernah bertegur sapa dengan Yani tiba-tiba tawar diri begitu. Khalid mahu ajar Yani? Biar benar!

"Nak belajar main lagu yang awak suka tu?"

Macam mana dia tahu? Agaknya dia mengintip Yani selama ini. Yani, kau dah ada secret admirer! Yani tersengih. Amboi, belum apa-apa aku dah perasan. Entah-entah petikan piano aku yang sumbang itu sudah mengganggu tidurnya. Sebab itu Khalid yang pendiam dan tak pernah bercakap dengan perempuan budak kelasnya ini tiba-tiba jadi terlebih ramah dan mahu jadi guru muzik aku.

"Nak belajar main lagu yang awak suka tu?" Ulang Khalid lagi.

Tawaran Khalid memang menggoda hati. Tanpa berfikir panjang Yani terus bersetuju. Bagai dipukau Yani mengikut sahaja rentak Khalid yang sudah kembali ke dalam dewan.

"Kat mana awak belajar main piano?" Yani berbasa-basi.

"Ada keyboard kat rumah. Beli yang second-hand daripada kawan." Khalid melabuhkan punggung di atas stool. "Gitar pun ada." Beritahunya kemudian.

"Ohh..." Yani pura-pura tunjuk minat.

"Sebelum saya ajar note lagu tu, pertama sekali awak kena kenal instrument yang awak nak main ni. Rasanya lebih baik macam tu kan. Mula-mula kita belajar nama key dan note. Lepas tu saya akan ajarkan cara nak letakkan tangan, manipulate jari-jemari awak, cara main gunakan kedua-dua belah tangan dan... kalau awak berminat, akhir sekali saya boleh ajar baca nota muzik."

"Nota muzik? Tak payahlah. Saya cuma nak suka-suka aja." Ujar Yani walaupun jauh di sudut hatinya dia teringin mempelajari muzik secara serius. Tapi apa pula kata abahnya nanti kalau dapat tahu Yani curi-curi main muzik begini? Berguru dengan lelaki pula tu? Memang cari nahas.

"Boleh kita mulakan sekarang?"

Yani mengangguk dengan penuh semangat. Dia pergi berdiri di sebelah kanan Khalid. Dia seakan tidak percaya apa yang sedang berlaku. Akhirnya dia dapat juga bermain piano seperti abahnya. Waktu muda dulu abah Yani pandai bermain alat muzik. Seruling, rekoder, harmonika, piano, keyboard, organ dan angklung... semua itu abah boleh mainkan. Dia bukannya belajar muzik secara formal. Ibu kata, abah punya bakat semula jadi. Cerita ibu lagi, abah selalu memperdengarkan lagu "Oh Azizah" dengan tiupan serulingnya semasa mereka berdua baru bergelar suami isteri. Namun begitu, abah sudah tinggalkan itu semua sejak belajar agama dengan ustaz-ustaz. Yani pernah nampak abah memetik organ milik Mak Su di rumahnya di Subang Jaya. Melepas rindu barangkali.

"Ni full size piano. Awak boleh lihat ada 7 groups of 2 blacks keys." Suara Khalid mematikan lamunan Yani. "Dan yang ni pula..."

"3 black keys?" Yani meneka.

"Betul. Yang selebihnya ni pula namanya white keys. Dalam setiap group 2 black keys, white key yang paling kiri ni dipanggil C." Khalid memainkan semua key C yang ada. "Dan C yang paling tengah ni pula namanya Middle C. Nampak macam banyak key kat sini kan. Nak lebih mudah, awak cuba lihat dalam bentuk section. Setiap section ada C dan 6 white keys... dan termasuklah 2 black keys dengan 3 black keys ni juga."

"Boleh tangkap?" Yani mengangguk. "Kalau laju sangat beritahu ya."

Khalid memandang Yani sekilas sebelum menyambung semula. "Tadi saya ada cakap tentang Middle C kan." Yani mengiyakan. "Okey, Middle C hingga ke kanan, kita guna tangan kanan."

"Ke kiri pula guna tangan kiri." Yani menyambung. Dan Khalid menarik senyum.

Boleh tahan juga bila dia ni senyum. Kalau tak, serius 24/7 depan perempuan. Kalah graduan dari sekolah pondok.

"Sekarang ni kita dah boleh main piano ni. Mula-mula sekali kita nomborkan jari kita. Ibu jari nombor satu, jari telunjuk nombor dua dan begitulah seterusnya. Satu, dua, tiga, empat, lima. Tangan kiri pun macam tu juga. Ibu jari kanan ni akan untuk C..." Khalid menerangkan sehingga Yani betul-betul faham. Dari C, 2, 3, 4 dan 5, diganti pula dengan C, D, E, F dan G.

"Awak duduk sini pula, cuba praktis sendiri. Saya nak pergi ambil nota lagu awak, yang saya dah print kat cc masa keluar outing minggu lepas." Ujar Khalid sebelum berlalu.

Yani tidak perlu menanti lama kerana Khalid sudah kembali dengan helaian kertas di tangan. Lalu meletakkannya di hadapan Yani. Yani rasa seronok sebab dia sudah boleh membaca nota muzik kecuali yang berbentuk taugeh di atasnya itu. Tapi yang bersimpul di setiap awal note ini apa pula?

"Yang ni apa?" Yani bersuara.

"Treble clef, bass clef. Tangan kanan, tangan kiri." Beritahu Khalid. "Cuba yang treble clef dulu." Yani segera menurut tanpa banyak soal. "Yang tanda dash tu maksudnya hold note awak satu beat. Macam ni..." Khalid menunjukkan caranya.

"Quater rest, one silent beat." Tegur Khalid bila dilihatnya Yani terpinga-pinga melihat note baru.

Mereka berdua sangat asyik dengan piano ini tanpa menyedari masa berlalu dengan dengan pantas. "Dah pukul enam. Kita sambung esok pula. Okey tak?" Yani mengangguk setuju. "Kita akan belajar bahagian bass clef pula. Kenal chord..." Ujar Khalid riang, bagaikan tidak sabar lagi menanti hari esok.

Apa-apa ajalah, Khalid. Yani tersenyum sendiri. "Kalau saya nak bawa kawan boleh tak?"

"Tu lebih baik. Saya pun tak nak timbul cerita lain pula kemudian hari." Katanya sambil mengisyaratkan Yani supaya bangun. Khalid memainkan pula lagu tersebut untuk Yani.

"Saya pun risau benda yang sama juga." Balas Yani perlahan, leka mendengar petikan piano yang sangat merdu. Berbeza benar dengan petikan Yani yang masih tersekat-sekat sana sini. Dia masih mahu melihat key semasa bermain. Khalid kata tadi, jangan risau... esok lusa pandailah guna teknik eye-hand.

"Oh ya. Cuma satu saya nak ingatkan." Bunyi piano berhenti. "Masa belajar, tolong jangan pandang saya boleh tak? Awak pandang note depan awak tu aja." Wajah Khalid sudah kemerahan.

"Kenapa?"

Yani, Yani... dah gaharu cendana pula, dah tahu bertanya. Bukan ke Khalid tu pemalu orangnya. Suka benar mengusik.

Lelaki itu mengetap bibir. "Saya tak biasa ditenung lama-lama... oleh perempuan macam awak." Luahnya sedikit malu-malu lantas mengalihkan pandangan ke arah lain. Patutlah Yani perasan Khalid Ahmad cepat-cepat menyelamatkan matanya setiap kali pandangan mereka berlaga. Yalah, ibarat pertembungan dua pasang mata berlainan jantina dengan kelajuan sama - ubahsuai konsep momentum linear.

Dib mesti suka kalau aku cakap gila-gila bahasa macam ni. Sejak berkawan dengan budak dari Ipoh tu, aku pun turut sama jadi tak betul.

"Sorry, Khalid. Saya memang dah biasa tengok muka cikgu yang mengajar."

"Tapi... dengan saya jangan buat macam tu lagi." Tegah Khalid. Dia nampak cemas. Mungkin terlalu bimbang pandangan Yani akan terus-menerus menikam mata lelakinya. "Bukannya apa... Takut dari mata turun pula sampai ke hati." Gumamnya perlahan, tetapi gelombangnya cukup kuat sehingga boleh sampai ke pendengaran Yani.

Mata bertentang mata. Lalu kami sama-sama ketawa. Barangkali masing-masing cuba menyembunyikan resah yang mula berlagu. Nun jauh di lubuk hati yang paling dalam.

Hello! Exam dah nak dekat. Boleh lagi berpoya-poya main piano? Sempat lagi nak main-main mata dengan anak teruna orang? Kau memang sengaja cari masalah, Yani!

***

Khalid tiba-tiba rasa bersalah atas tindakan mengajar teman sekelasnya bermain piano. Pertemuan seperti semalam sepatutnya dielakkan. Tetapi entah kenapa lidahnya terlalu lancar menutur kata. Hanya kerana piano, dia terus jadi lupa yang dia sebenarnya seorang lelaki pemalu dan pendiam. Dan, berdua-duan dengan perempuan selalu membuat hatinya berdebar tiada noktah. Walaupun pada hakikatnya dia tidak menyimpan apa-apa perasaan terhadap perempuan yang dikenalinya itu. Mujur hari ini Yani sudah berjanji akan membawa teman. Jadi, Khalid rasa lega sedikit.

Jari-jemari Khalid lincah menarikan irama tanpa melihat note berwarna-warni yang berada di hadapannya, yang dibuat khas untuk anak muridnya. Lagu ini agak mudah. Temponya perlahan saja. Santai. Tak perlu terkejar-kejar seperti lagu "The Flight of The Bumble Bees" petikan pemain piano dari Croatia, Maksim yang cuba dipelajarinya sekarang.

Berbalik pada kelas pianonya bersama Yani. Sepatutnya semalam dia terus memperkenalkan asas 12 notes - C, D, E, F, G, A, B dan tambah lima black keys yang mewakili sharp atau flat note. Tapi baru 5 note saja yang diajarnya. Dan seperti yang diterangkannya semalam, setiap kumpulan key adalah pengulangan cuma dari segi nada saja yang berbeza; samaada tinggi atau rendah.

Tiba-tiba Khalid menangkap bunyi seseorang berdehem dan memberi salam di belakangnya. Lalu segera dia menoleh.

"Khusyuk nampak." Sambil mengangkat kening, rakan di sebelah Yani menyapa. Dan orang itu tidak lain tidak bukan Adibah Hanim, kawan baik Yani. Ke mana saja Khalid selalu nampak mereka selalu bersama.

"Lama dah sampai?" Tanya Khalid pada Adibah yang juga mempunyai kembar yang belajar di sini. Adib Hanif namanya. Seperti abang kembarnya, Adibah ini seorang periang dan peramah.

"Baru aja." Balas Adibah.

"Kejap lagi ada seorang lagi akan datang." Tambah Yani.

Amboi, ramainya boyguard yang dia bawa! Hati Khalid berdetik. Dia ingin bertanya lebih lanjut tapi dimatikan sahaja hasratnya itu. Tanpa membuang masa, Khalid berdiri dan menyuruh Yani duduk di atas bangku.

"Kita warm up dulu. Cuba mainkan 5 not macam semalam tu..." Beritahu jejaka tinggi lampai itu. Kemudian dia menerangkan bahagian yang tertinggal semalam. Not sharp dan flat sekaligus melengkapi kesemua 12 not yang ada. Simbol yang mewakili not tersebut juga diperkenalkan.

"Boleh mula sekarang." Khalid meletakkan nota muzik di hadapan Yani. Bermula dari memperkenalkan perkara yang paling asas tentang nota muzik - simbol treble clef dan bass clef, dan seterusnya apa itu measure, staff dan time signature. Pada pendapat Khalid, Yani patut tahu itu semua.

"Oh, nombor selepas simbol treble clef dengan bass clef ni namanya time signature." Ulang Yani. Nombor yang di aras menunjukkan setiap 'measure' akan menerima berapa beat, manakala nombor di bawahnya pula memberitahu jenis not yang perlu dimainkan dalam kadar 1 beat. Contohnya di sini, 4/4. Setiap 'measure' 4 beat dan bagi setiap quater note akan menerima 1 beat. Nampak macam mudah, tapi mudah juga untuk melakukan kesilapan.

"Whole note, half note, quater note, eight note dan sixteenth note. Awak kena ingat berapa beat untuk tiap-tiap satu ni." Terang Khalid satu demi satu dengan contohnya sekali. Maka, 'hari ini dalam sejarah' barulah Yani kenal not yang berbentuk taugeh itu.

"Jangan tersilap pula ya..." Pesan lelaki itu lagi sambil senyum meleret.

Yani mengangguk. Walaupun Khalid sudah menanda jenis key yang perlu dimainkan, namun begitu dia harus baca juga not yang sebenar (taugeh) untuk memastikan kiraan 'beat'nya betul.

"Counting pun kena jaga." Tekan Khalid.

Barisan pertama 'treble clef' dimainkan berkali-kali. Khalid mahu Yani betul-betul cekap. Kemudian barulah dia membenarkan Yani beralih ke barisan seterusnya hingga tamat lagu.

Tidak lama selepas itu, Khalid beralih ke penerangan seterusnya. "Biasanya bahagian tangan kiri kita akan mainkan chord. Chord ni maksudnya... gabungan dua atau lebih tone. Dan bila dimainkan bersama bunyi harmoni. . ." Terang Khalid sambil memberikan contoh-contoh chord yang terdapat dalam lagu tersebut.

"Susah juga ya..." Yani terasa kekok hendak menekan tiga key dalam masa yang sama. Contohnya, untuk chord C dia perlu mainkan C,  E dan G serentak. Itu belum campur lagi main dengan kedua-dua belah tangan.

"Lama-lama bolehlah tu." Adibah yang sekian lama mendiamkan diri memberikan semangat pada kawannya. Seronok juga dia melihat Yani dalam keadaan tertekan begitu. Khalid pula dengan sabar
memberikan tunjuk ajar.

"Okey, sekarang cuba mainkan kedua-duanya serentak." Arah Khalid tiba-tiba.

"Treble clef dan bass clef?" Yani meminta kepastian.

"Ya!"

Yani menarik nafas dalam-dalam. Wajahnya diraup berkali-kali. Nota berwarna-warni itu direnungnya tidak berkelip-kelip. Tiba-tiba dia rasa tak yakin dengan diri sendiri. Tidak pasti sama ada boleh melakukannya dengan baik. Teori tak semudah praktikal!

"Janganlah cemas sangat." Tegur Khalid lembut.

Entah kenapa hatinya jadi makin tak tentu arah dengan pandangan redup rakan sekelasnya itu. Kenapa dia perlu ada perasaan begitu? Aduh, payah betul!

***

Yani berdengus perlahan. Dalam usia remaja dia sememangnya akan diuji dengan perasaan sebegitu terhadap jantina yang berlawanan. Fitrah manusia. Tapi jangan diturutkan sangat. Dia risau juga daripada belajar piano tiba-tiba jadi kelas cin...

"Cepatlah. Kita tak ada masa ni." Gesa Khalid. Dan mata redupnya sesekali melirik pada jam di tangan. Dia semacam tahu saja fikiran anak muridnya sudah terbang ke awan biru.

Tengok! Perasaan kau tadi sia-sia aja, sindir hati Yani. Yang berjaya membuatkan dia terus jadi malu dan wajahnya terasa hangat tak semena-mena.

Dia cepat-cepat memberikan semula tumpuan pada kelas piano ini. Jari kiri bersedia pada chord dan jari kanan pada not pertama. Gelak halus dari Adibah tidak dihiraukannya lagi. Yani tahu temannya itu pasti sedang seronok memerhatikan gelagat dia bersama Khalid. Adibah memang begitu, suka mengusik. Memandangkan Yani masih tiada 'siapa-siapa' di sekolah ini, lalu setiap peluang yang datang Adibah akan guna sebaik mungkin. Dan ini termasuklah memadankan Yani dengan abang kembarnya sendiri, si Adib Hanif!

Fokus, Yani. Fokus....
Tarik nafas. Hembus....
Tenangkan fikiran.

Alunan piano pun bermula. Khalid memejamkan mata, cuba menikmati irama yang dimainkan. Sama ada sempurna ataupun tidak. Counting... masih bermasalah tapi boleh diperbaiki kemudian, desisnya dalam hati.

Dia perhatikan Yani begitu berhati-hati sekali. Sepertimana dia selalu berhati-hati dalam setiap tindak-tanduknya. Pandai menjaga diri. Bertangggungjawab dan bersungguh-sungguh dalam melakukan kerja. Itulah Maryani Siddiq yang dikenalinya sepanjang tempoh dua tahun ini. Sebab itu dia berani menawarkan khidmat sebagai tenaga pengajar kepada gadis itu. Cuma dia berharap tindakannya ini tidak memberi kesan negatif kepada mereka di kemudian hari - gosip dan sebagainya.

Khalid memerhatikan Yani yang asyik dengan petikan pianonya. Gadis itu nampak begitu riang dan ceria. Lantas Khalid teringat pertemuan malam tadi di hadapan perpustakaan. Bagaimana Yani cuba memujuk Siti Zahra yang mahu menarik diri daripada menjadi AJK Lukisan Kejuruteraan, tidak mahu terlibat dalam usaha membantu kawan-kawan mereka yang lemah dalam subjek berkenaan. Alasannya, Siti terasa hati dengan sikap teman-teman sedorm yang mempertikaian kelayakannya. Khalid dan Adib Hanif yang sedang melintas di kawasan itu ikut serta memberi kata semangat pada Siti. (Kebetulan Khalid dipilih menggantikan Adib sebagai ketua AJK tersebut.)

Memikul tugas sebagai salah seorang ahli majlis perwakilan pelajar pasti memenatkan Yani. Agaknya dia memilih jalan ini untuk menghiburkan hatinya, fikir Khalid.

Hiburan dalam batas-batas tertentu adalah merupakan unsur-unsur yang perlu bagi mencapai suatu kehidupan yang seimbang bagi menghilangkan kebosanan. Hiburan dibolehkan selama mana ia tak bercampur dan mengarahkan kepada perbuatan yang membangkitkan nafsu dan berunsur maksiat. Dan Khalid berpegang pada dua prinsip tersebut.

Sedari usia lima tahun lagi Khalid sudah terdedah dalam muzik secara profesional. Ibunya telah menghantar dia mengikuti kelas piano dan biola. Naik sekolah menengah, dia mula berjinak-jinak dengan gitar pula. Gitar itu dibawanya ke sekolah sains ini. Pernah sekali dia dan beberapa orang teman 'ditangkap' oleh Ustaz Mahmud, warden asrama ketika sedang asyik bermain gitar. Yang cukup mengkagumkan Khalid, ustaz muda itu tidak pula memarahi mereka semua, sebaliknya mengambil peluang itu menerangkan kedudukan sebenar tentang muzik dalam Islam. Biasalah anak muda seperti mereka, memang sangat terdedah dengan hiburan.
 
"Bermain alat muzik sekadar merehatkan fikiran dan tidak melalaikan dibolehkan. Tak ada nas yang sahih daripada al-Quran dan hadis mengatakan gitar itu haram. Cuma para ulama mula mengharam alat yang bertali seperti gitar sejak zaman ketika muzik itu mula melalaikan, sehingga ia membawa kepada maksiat lain seperti berzina pada satu ketika dulu kerana asyik dengan muzik yang memuji kejelitaan perempuan.

Jika sekadar hobi ia dibolehkan. Bagaimanapun berbeza jika muzik itu adalah hidupnya yang bererti muzik itu ibarat nyawa, tiada muzik tiadalah erti hidupnya; maka dalam hal ini berbeza hukum. Hidup, nyawa dan erti hidup bukan pada muzik tapi mengabdikan diri pada Tuhan dengan taat perintahnya!" Begitulah kata ustaz berasal dari Johor itu.

Sejak dari hari itu, Khalid menganggap Ustaz Mahmud sebagai mentornya. Dan ustaz yang tidak pernah lokek berkongsi ilmunya itu sudah menganggap Khalid seperti adiknya sendiri. Sebarang kemusykilan akan diajukan kepada beliau.

Bunyi gesekan biola membawa Khalid ke alam nyata. Liana? Noorliana Tajudin? Apa dia buat di sini? Diakah yang Yani maksudkan tadi?

"Khalid, aku mahu berduet dengan kau. Croatian Rhapsody. Boleh?"

Mata Khalid terus tertumpu pada nota muzik yang disua oleh gadis itu. Lalu dia tersenyum dan mengangguk setuju.

"Maaf Yani. Aku terpaksa ganggu 'kelas' kau ni." Liana melemparkan pandangan pada Yani. "Bukannya senang nak tengok Khalid Ahmad tunjuk bakat terpendamnya. Dalam ramai-ramai orang, dia cuma mahu ajarkan kau seorang aja. Dengan aku dia jual mahal. Kau memang bertuah, Yani." Sambungnya lagi sambil melirik pula pada Khalid yang kelihatan tenang itu.

"Sudah, sudah. Kau ni nak datang semata-mata nak usik aku atau apa?" Khalid akhirnya bersuara. Timbul rasa kasihan melihat Yani yang terkebil-kebil di bangku piano. Liana, Liana...

***

Hari ini semuanya akan berakhir. Kehidupan sekolah yang penuh dengan warna-warni ceria akan tamat setakat ini. Nun di hujung sana piano takkan berbunyi lagi. Mata Yani menyapu segenap sudut dewan besar ini. Segalanya akan tinggal kenangan, desis hatinya yang sayu.

Di sinilah pertama kali dia mendaftarkan diri dua tahun yang lalu dan menjalani minggu orentasi bersama teman-teman yang lain. Dan hari ini dia akan meninggalkan sekolah yang paling disayanginya ini. Macam tak percaya. Begitu pantas masa berlalu.

Yani melarikan jarinya di atas gigi piano. Dimainkan semula lagu yang pernah dipelajarinya dahulu. Hatinya semakin digigit pilu. Matanya sudah bergenangan.

"Saya dapat rasa kesedihan awak. Dengan alunan piano awak ini..." Sapa satu suara.
"Khalid." Yani sedikit terkejut. "Tak balik lagi?" Soalnya kemudian.
"Macam awak, saya pun sayang nak tinggalkan sekolah ni."

Khalid berpeluk tubuh di hujung pintu sana. Masih tidak berganjak. Didapatinya Yani mengesat tubir matanya dengan hujung jari. Dada Khalid merasa sebak tiba-tiba. Petikan piano itu memberi kenangan yang bukan sedikit.

"Aku nampak kau orang berdua ni macam padan aja." Kata Adibah.

"Dib, kata-kata kau tu macam pemangkin yang boleh mempercepatkan kadar tindak balas tau." Marah Yani dengan ayat hanya mereka berdua sahaja yang mengerti. Bengang betul Yani dengan usikan Adibah yang tidak henti-henti.

"Pemangkin? Macam dalam bab endotermik, eksotermik tu, kan." Khalid menyampuk tanpa dipinta.

Tawa Adibah meletus. "Khalid ni best lah. Boleh jadi kawan kita!" Kata Adibah. Tapi Yani segera membalas dengan jelingan dan cakap, "Jangan mengada-ngada!"

Adibah segera meletakkan jarinya pada bibir, seolah-olah memberi janji, mulutnya yang rajin berkicau itu akan berhenti mengusik Yani dan Khalid. Sempat dia mengerling ke arah Khalid yang berkerut dahi. Agaknya dia sedang membayangkan gambar rajah aras tenaga dalam kepalanya. Mungkin Khalid fikir kami berdua sedang mengulangkaji subjek kimia, dan dia harus bersedia bila-bila masa jika kami buka topik lain pula. Padahal kami berdua tengah berbincang seenaknya tentang dia!

Khalid menjeling dua sahabat itu berselang-seli sebelum memberikan perhatian semula pada pengajarannya. Dia tahu mereka berdua sedang memperkatakan tentang dirinya. Tetapi sengaja pura-pura buat tak faham.

Kenangan hari terakhir itu masih segar di ingatan Yani, walaupun ia sudah terjadi beberapa bulan yang lalu. Yani rasa mahu ketawa bagaimana dia jadi cemburu pada Liana yang sangat pandai menggesek biola (walaupun selepas itu dia baru dapat rupanya Liana dan Khalid bersaudara, saudara jauh). Cemburu kerana 'cikgu'nya dirampas, mungkin? Cemburu kerana hari itu dia terpaksa 'berkongsi' Khalid dengan orang lain. Padahal sebelum ini tiada siapa yang pedulikan jejaka pemalu itu. Tiada siapa pernah nampak bakat terpendam lelaki itu.

"Lepas ni mesti saya rindukan piano ni." Luah Yani tiba-tiba.

Khalid tersenyum mendengar pengakuan Yani itu. "Kalau begitu datanglah rumah saya dekat Ipoh, boleh saya ajarkan..." Balasnya lambat-lambat.

Yani tersenyum pahit. Tidak semudah itu...

"Bukan saya tak sudi, tapi..." Mata Yani mengiringi langkah Khalid yang makin rapat dengan piano... dengan Yani.

"Tak apa. Saya faham." Balas Khalid lembut. "Hadiah terakhir daripada saya..." Dia mengisyaratkan Yani supaya ketepi sedikit. Lalu dimainkan sebuah lagu berentak perlahan untuk gadis itu. Penuh penghayatan.

Yani tidak mampu bersuara lagi. Kenangan sekali lagi datang menerpa. Kenapa semuanya perlu berakhir? Fikirnya. Dia pasti akan rindukan segala-galanya. Dan piano ini... mungkinkah piano ini akan berlagu lagi?

TAMAT


----

Cerpen ini ditulis pada 6 Mei, 27 Julai, 3 & 5 Ogos 2005

📷: Canva