Tuesday, May 19, 2020

[19] Gelap

Karya pendek

Gelap
Oleh Rnysa

19

Awal pagi.
#MCODay62 #PKPharike-62
#stayathome #staytogether #stayforever

Di dalam kian terang.
Bercampur dengan debaran di dada yang tiada henti, namun lebih tenang.

Cubaan IVF kali ini, Wawa sudah serah sepenuhnya pada Allah. Dia sedar yang berada di atas sana menentukan segala takdir. Redha.

"Saya harap puan bersabar..." ucap si doktor pakar.

Wawa pandang muka Ammar. Tak apa, kali ini hati Wawa sudah kuat sedikit. Anak bukanlah segala-galanya. Yang penting Wawa bersyukur dengan apa yang ada, misalnya memiliki suami yang setia seperti Ammar.

Wawa ambil pregnancy test kit yang dihulur. Matanya fokus pada garisan yang...

"Doktor...?" Wawa kalih tengok riak wajah doktor yang tersenyum. "Betul ke ni??" Mata sudah berair.

"Ya Allah...." Wawa sudah tidak dapat menahan sebak di dada.

"Tahniah puan..."
"Ya Allah... 13 tahun saya tunggu..."
"Tahniah encik..."

Ammar terus bangun dan peluk bahu Wawa. Lepas itu dia pergi ke sudut belakang sikit dan buat sujud syukur.


***
#throwback

"Ana tak boleh terima cadangan enta ni. Enta dah fikir masak-masak? Jangan buat keputusan mendadak begini." Aku dapat mendengar Ammar bersuara dengan jelas.

"Ammar, enta sahabat ana yang paling siqah... yang paling ana percayai. Tiada siapa yang paling layak untuk dia kecuali enta."

"Tapi... bukankah selama ni dia sukakan enta. Dan rasanya enta pun sukakan dia. Enta tak boleh mainkan perasaan dia begitu."

Dia? Siapa 'dia' yang mereka maksudkan? Fikirku.

"Ana tak pernah mainkan perasaan sesiapa. Ana memang sukakan dia. Tapi setakat suka sebagai sahabat, kawan dan teman aja... tak lebih dari itu. Sebenarnya selama ini ana cuma anggap dia kawan. Macam adik-beradik. Enta jangan salah faham. Walaupun kami berkawan rapat, itu bermakna ana ada perasaan pada dia. Setakat perasaan sebagai kawan. Khalas. Lagipun ana tak mahu hati dia terluka sebab ana. Ana tak boleh nak ada-adakan perasaan yang memang ana tak ada. Ana tak boleh tipu diri sendiri."

Masakan mereka sedang berbicara tentang aku? Kawan? Akulah tu. Kaduk anggap aku hanya kawan? Sebagai adik-beradik? Bohong! Bukankah selama ni dia seperti memberi harapan pada aku? Atau adakah hanya aku seorang sahaja yang memintal buih impian sendiri? Menganyam jaluran kasih yang rupanya ilusi pelangi semata-mata? Kalau hanya kawan, kenapa perlu permainkan perasaan aku begini? Apa salah aku pada dia? Bentak hatiku.

"Enta dah dekat dengan dia sekarang. Jadi, ambil peluang ni kenal hati budi dia dengan lebih dalam lagi. Dia baik. Dah ada kefahaman tentang islam. Dia juga faham tentang jalan dakwah yang kita lalui sekarang. Jadi, memang tak ada masalah nak bawa dia bersama berjuang atas jalan ni. Ana tengok dia sesuai sangat dengan enta. Percayalah... Insya-Allah, enta dan dia mampu lahirkan generasi Islam yang mantap. Masya-Allah..." Tambah lelaki kacukan Melayu-Belanda itu lagi.

Aku yakin sangat mereka bercakap tentang aku. Aku dan Ammar seuniversiti. Kaduk mahu Ammar rapat dengan aku. Patutlah selama ini dia tak habis-habis mengusik kami berdua. Rupanya dia ada agenda tersendiri.

"Ana tak yakin dia boleh terima ana..." Balas Ammar dengan suara mendatar.

"Ammar, dengar sini. Ana akan tolong enta. Ana akan cakap pada dia tentang diri enta. Jangan risau... Kena banyak-banyak doa pada Allah. Minta petunjuk dari Dia. Yang lain, enta jangan khuatir. Ana dah kenal hati budi dia. Tahulah bagaimana ana nak pujuk dia nanti. Selama ini enta tak pernah pertikaikan keputusan ana. Adakah enta ragu-ragu dengan kata-kata ana sekarang?" Kata Kaduk sambil menepuk-nepuk bahu Ammar.

Aku rasa tak dah tak boleh dengar semua ini. Mereka ingat aku ini apa? Patung?

"Tak.... Tapi kenapa enta buat semua ni, Adam? Macam mana dengan perasaan enta?"

"Macam ana katakan tadi, ana memang tak ada perasaan istimewa pada dia. Percayalah... Sebagai kawan, ana cuma mahukan yang terbaik untuk dia dan terbaik untuk enta. Dan, tak ada orang yang paling layak untuk dia melainkan enta seorang. Begitu juga sebaliknya. Ana yakin enta boleh jaga dia dengan baik. Enta boleh berikan apa yang ana tak mampu berikan pada dia. Enta mampu didik dia dengan baik.

Lagipun... sebelum ana datang ke Jepun ni, umi enta dah pesan suruh ana carikan seseorang untuk enta. Supaya dapat jaga enta di sini. Ana cuma laksanakan amanah umi enta juga. Bukan orang lain. Ammar, kita kenal dah lama. Berkawan sejak sekolah sampai ke saat ini dan dengan izin Allah kita tetap sahabat di 'sana' juga."

"Ana tak tahu nak kata apa..." Kata Ammar, seperti terharu.

"Ana tak bermaksud untuk memaksa. Sekadar mencadangkan calon yang terbaik untuk enta. Bukannya baru hari ni ana cakap tentang hal ni, sejak dari dulu lagi kan? Cuma enta saja yang suka mengelak. Benda yang baik begini, tak elok dilengah-lengah. Apapun sekarang ni terpulanglah pada enta. Kalau enta setuju, bila-bila masa ana boleh tolong uruskan..." Kata Kaduk dengan penuh yakin.

*

Teringat aku pada suatu hari, semasa bercanda di bawah pohon bambu sambil itu aku mentelaah pelajaran. Dia sedang berlatih hoki di padang astroturf. Ammar atau nama penuhnya Mohd Ammar Iskandar, pemain hoki terbaik sekolah yang menjadi idola ramai. Aku salah seorang ahli kelab peminatnya. Tiada yuran tahunan, majalah kelab atau annual dinner bersama ahli-ahli yang lain. Kalian hanya boleh `usya` dia dari jauh. Alim orangnya. Bersandarkan muka yang tampan dan otak yang bergeliga, Ammar merupakan antara pelajar lelaki yang paling top dan hot di sini.

Sedang aku asyik memandangnya tak semena-mena dia berjalan ke arahku. Kelenjar tiroid aku mula memainkan peranannya. Alamak! Nak buat apa ni? Aku mula gelisah.

Maintan ayu, Syah! Hatiku berkata-kata. Aku cuba berlagak selamba sedangkan jantungku sudah memecut selaju 300 kilometer sejam. Kalah Ribut Greg di Sabah. Kalah ombak di Selat Melaka. Kalah juga shinkansen di Jepun!

Langkahnya semakin pantas sementara aku di sini seperti glasier yang mencair akibat pancaran ultra ungu. Terasa diri ini mengecil. Honey, I shrunk the kids. Eh, silap! I`m shrinking. Ammar semakin dekat. Fobiaku dalam bahaya!

Dia membongkokkan diri satu meter di hadapanku sambil tangannya mengambil sesuatu. Apa? Dia datang semata-mata hendak mengambil bola hoki yang kebetulan melantun ke arahku. Tak mengapa. Mungkin lain kali kita boleh berkenalan, pujuk hati kecilku. Aku menundukkan muka menahan rasa kecewa yang mula beraja di kalbu.

"Study ke?"Tiba-tiba satu suara menerjah pendengaranku. Aku segera mendongak. Ammar!

Luruh bronkial dan bronkus aku tatkala mendengar suaranya itu. Terhenti sebentar ginjalku. Aku buat muka macam *Fei Mau. Hodoh rasanya wajah aku saat itu. Adakah aku bermimpi? Betulkah kata-kata itu terlontar dari mulutnya? Apa pula bibir aku yang comel ini nak jawab? Aku bertanya pada diri sendiri. Akasyah, nak buat apa ni? Jawab soalannya atau tidak? Buat selamba saja atau maintain ayu? Apakah kebarangkalian yang bakal kuambil?

***

Panggilan telefon dari Ammar sangat dinanti-nantikan. Syah sudah kesat air mata dengan hujung baju sahaja. Kaduk pun sama turut mengalirkan air mata gembira.

"Tahniah Ammar. Alhamdulillah, rezeki bulan Ramadan." Kaduk peluk bahu Syah erat-erat. Mereka dulu pun dapat Arham selepas 3 tahun berkahwin.

"Ammar, jaga Wawa elok-elok." Syah ucap pada telefon Kaduk yang dipasang loud speaker. Hanya tangisan Wawa yang kedengaran tanpa henti.

"Insya-Allah, terima kasih Syah." Sahut Ammar sebelum menamatkan perbualan.

Dan Syah masih mengelap air mata yang turun tiada henti seperti air hujan di musim tengkujuh. "Ahamdulillah, tak sia-sia..."

Kaduk angkat kening. "Tak sia-sia?"

Syah menggeleng laju-laju. Biarlah menjadi rahsianya. Kaduk tak perlu tahu.

"Abang cakap tadi nak pergi tengok projek." Segera dia mengingatkan suaminya tentang jadual kerjanya hari ini. Kaduk sudah siap berkemeja yang kemas digosok, sedia hendak keluar sebenarnya. Lengan baju disingsing rapi sampai ke bawah siku.

"Yalah, nak ambil bag pack..." Dia bangun ke bilik air, mahu cuci muka dulu. Yalah, dia pun turut terharu sama dengan berita kehamilan Wawa. Penantian mereka suami isteri berakhir dengan indah.

Kaduk masuk ke kamar kerja. Mengambil beg sandang belakang yang berisi komputer riba dan segala kertas kerjanya. Buku sebuah dan senaskah Al-Quran dengan terjemahan Bahasa Inggeris kecil - benda wajib bawa ke mana-mana untuk dibaca bila ada masa kelapangan.

Dia terpandang T-Planner 2020 pemberian kawan baik Syah, Nur Ahada yang terbentang. Dia baca sekali lalu muka surat yang terbuka.

--

9. Doa untuk Nur Jannatul Ma’wa binti Mohd Aliff (3333x) - Sesi 'Pillow talk'

"Ya Wahhab, Ya Razzaq... sekiranya ada rezeki anak untukku, Kau berikanlah kepada sahabatku ini... kerana dia lebih memerlukannya."
--

Entah mengapa Kaduk rasa tak sedap hati. Dia angkat planner dan baca berkali-kali lagi.

...sekiranya ada rezeki anak untukku...
...sekiranya ada rezeki anak untukku...
...sekiranya ada rezeki anak untukku...

...Kau berikanlah kepada sahabatku ini... kerana dia lebih memerlukannya...
...Kau berikanlah kepada sahabatku ini... kerana dia lebih memerlukannya...
...Kau berikanlah kepada sahabatku ini... kerana dia lebih memerlukannya...

Apa benda yang Syah doa ni...
Dia selak muka surat yang lain pula.

Doa sepanjang Ramadan 1441H

Kaduk baca satu demi satu doa yang ditulis...

.
.
.
.
.
.
.

8. Doa untuk Nur Jannatul Adnain binti Mohd Aliff & Carl Duke Adam bin Carl Duke Akbar (sejak 1999 ~ )...

Tergamam Kaduk membaca namanya dan Ain di situ. Nafasnya turun naik menahan marah dan sedih tatkala membaca doa yang dititipkan. Apabila dia kalih muka, nampak kelibat Syah yang berubah air muka, yang entah bila berada di sisinya.

"Abang baca diari Syah..." Tangan Syah cuba nak ambil.

"Apa semua ni??? Syah tak sayang abang ke?" Dia tunjuk muka surat yang tertulis nama dia dan Ain.

"So, you don't trust my love for you? You don't trust my loyalty? Don't you know how much I love you with all my heart?"

Syah serba salah. "Bagilah balik..." Dia merayu nak ambil planner hadiah itu dari tangan Kaduk.

"Sekarang abang dah tahu puncanya kenapa Syah sakit balik." Dada Kaduk masih berombak. Mata Kaduk tak lepas merenung Syah yang tunduk tidak berani menatap matanya. Dia terus baca muka surat lain.

"Lepas PKP ni... kita balik pindah duduk di Jepun semula!"

Kaduk selak depan dan belakang bahagian catatan yang menyesakkan hatinya itu. Lantas dikoyaknya semua dengan cermat. T-Planner diletakkannya kembali ke atas meja kerja Syah. Melangkah depan Syah mahu keluar.

*"I always worry you wouldn't love me if you knew how bad I was...how bad I am..." Perlahan Syah bersuara, sungai air mata mengalir deras.

Kaduk berpaling semula, berjalan ke arah Syah dan memeluk isterinya dari belakang.

"Sayang, *I don't love you because I think you are good." Bisiknya sebelum mengecup lembut rambut isteri tersayang. Pelukan dilepaskan. Lalu direnyuknya semua keratan kertas di dalam genggaman.

Tanpa sebarang kata lagi Kaduk kembali ke dalam kamar tidur mereka dan menutup pintu. Dia terduduk di situ. Salah satu catatan yang direnyuk dibacanya sekali lagi dengan perasaan yang tak terucap.


8 April 2020

Entah kenapa... sampai ke saat ini mereka selalu mengatakan yang aku tak layak untuk berada di sisi dia...

Dan oleh disebabkan itu juga... 

Entah kenapa... sampai ke saat ini aku selalu merasakan yang aku tak pernah layak untuk berada di sisi dia...

Entah kenapa... sampai ke saat ini aku selalu merasakan yang si dia lebih layak untuk berada di sisi dia...

Gelap.
Segelap masa depan.

Kelam.
Sekelam perasaan.

Bila datangnya terang jika tiada cahaya.
Bila hadirnya tenang jika tiada percaya.

Bila hilangnya cinta jika tiada rasa.
Bila lenyapnya kasih jika tiada masa.


Kaduk pejamkan mata. Ya Allah, sayang cubalah mengerti perasaan ini...

**Berikan ku kesempatan akan kuluapkan rasa
Ucap ikrar cintaku yang hanya untuk dirimu...

(bersambung...)

#RADHA

Petikan #throwback di atas daripada versi asal online e-novel Relevankah Aku di Hatimu? yang ditulis pada 4 November 2003 & 23 Julai 2004.

*Quote from IG charliemackesy
I found this is quite funny but yet meaningful.

**Petikan lirik lagu Lagu Hingga Saatnya Bahagia yang telah dipilih oleh Rnysa menjadi lagu tema untuk Gelap.


Info:
*Fei Mau merupakan watak dalam sebuah drama kantonis popular yang berjudul Forrest Cat. Drama ini pernah disiarkan di TV3 suatu ketika dahulu.



1 comment:

Che Sue said...

Masih terdapat lagi keraguan di hati Syah terhadap Kaduk aka Adam yang sangat disayangi setelah sekian lama dia menjadi isteri Adam. Ibaratnya dia merasa diri tidak layak buat Adam yang sangat baik di mata dia... Kesian Syah