Sunday, June 27, 2021

[Cerpen] Dia, Naura Raha (4)

Dia, Naura Raha
Oleh Rnysa

Episod 4



Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya Dialah yang memilih kamu (untuk mengerjakan suruhan ugamanya) dan Ia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan sudah payah dalam perkara agama, agama bapa kamu Ibrahim. Ia menamakan kamu: "Orang-orang Islam" semenjak dahulu dan di dalam (Al-Quran) ini, supaya Rasulullah (Muhammad) menjadi saksi yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu, dan supaya kamu pula layak menjadi orang-orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah). Oleh itu, dirikanlah sembahyang, dan berilah zakat, serta berpegang teguhlah kamu kepada Allah! Dialah Pelindung kamu. Maka (Allah yang demikian sifatNya) Dialah sahaja sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik Pemberi pertolongan.

Seolah-olah baru pertama kali Naura menjumpai ayat ini di dalam Al-Quran. Sungguh! Naura rasa terkejut dan terharu dalam masa serentak.

"Dialah yang memilih kamu (untuk mengerjakan suruhan ugamanya)..."

Naura Raha, sesungguhnya engkau insan terpilih! Ya, terpilih menjadi seorang muslim. Sepatutnya Naura rasa bersyukur dipilih lahir-lahir sahaja sudah menjadi seorang Islam.

"Ia menamakan kamu: "Orang-orang Islam" semenjak dahulu dan di dalam (Al-Quran) ini..."

Masya-Allah! Hati Naura semakin sebak. Semakin dibaca berkali-kali, semakin jawapan dari Tuhan itu menyelesaikan permasalah hati Naura selama setahun dua ini.

"...supaya Rasulullah (Muhammad) menjadi saksi yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu, dan supaya kamu pula layak menjadi orang-orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah)."

Sudahkah Naura jadi umat Rasullullah yang baik? Maafkan Naura kerana selalu meragui.

"Oleh itu, dirikanlah sembahyang, dan berilah zakat, serta berpegang teguhlah kamu kepada Allah! Dialah Pelindung kamu. Maka (Allah yang demikian sifatNya) Dialah sahaja sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik Pemberi pertolongan."


Solat, zakat dan berpegang teguh kepada Allah.

---

Sebenarnya dari mana datang kesedaran Naura pada usia 28 tahun ini. Daripada mencari kursus jangka pendek untuk meningkatkan kemahirannya di universiti berdekatan, entah bagaimana Naura terjumpa sesuatu yang berbeza...

Kursus Talaqqi Al-Quran di Universiti Sains Islam Malaysia, Nilai.

Bila lagi Naura? Bukankah selama ini Naura ingin membaiki bacaan Al-Quran Naura?

Naura cepat-cepat menulis email kepada pihak pengurusan kursus tersebut. Belum sempat 24 jam emailnya sudah menerima balasan...

Salam.

Terima kasih, dimaklumkan bahawa kursus tersebut akan diiklankan pada hari ahad minggu depan tarikh tutup permohonan pada 5 Sept. 2011, pendaftaran akan diadakan pada 24 Sept. 2011, kelas bermula 1 Oktober 2011, kelas setiap hari Sabtu dari jam 9.00 pagi hingga 1.00 petang. Yuran RM500.00, kelas selama 12 minggu. Maklumat lanjut: www.usim.edu.my


Naura mula menyemak kalendar kerjanya. Setengah tahun kedua ini dia akan berkerja pada hari Sabtu tertentu. Rasanya dia perlu berbincang dengan Mr.K dan Shaq sebelum mendaftarkan diri untuk kursus ini.

Ya Allah, permudahkanlah urusan Naura...

(bersambung...)

[Cerpen] Dia, Naura Raha (3)

Dia, Naura Raha
Oleh Rnysa

Episod 3


Kerja tak pernah habis. Tiba-tiba Mr. H tanya sama ada Naura buat Q&A berdasarkan info daripada Software (SW) Modification Meeting.

Naura,
SW problem... akan diselesaikan dengan OND, NDD dan RC pada akhir Julai.
Saya sekadar mahu bertanya, awak buat Q&A untuk Pan Asia?
Soalan itu dapat membantu call centre menjawab soalan pengguna.


Naura segera membalas.

Mr. H,
Setakat ini saya tidak terima arahan daripada Mr. K.
Lagipun saya tak pernah buat Q&A daripada SW modification meeting.
Apapun, terima kasih di atas cadangan awak.
Kalau buat, saya akan hantar pada awak untuk semakan.


Naura melepaskan keluhan kecil. Kerja kilang memang mencabar. Yang buat Naura bertahan sehingga saat ini, kerana Shaq dan Mr. H yang baik hati. Dalam ramai-ramai, mereka berdua yang paling sabar dalam mengajar Naura. Mereka sedia membantu Naura bila-bila masa saja. Oh, Jen dari DR (Design Review) group pun tak pernah lokek ilmu. Orang lain? Semua baik-baik saja.

Sudah dua tahun Naura berkerja, status masih tidak berubah.
Dan mulut orang makin banyak bertanya.

"Bila nak kahwin?" 
"Tolonglah carikan..."

Persoalan 'bila' itu tidak pernah selesai. Tapi pihak yang 'mahu tolong carikan' pun tiada. Rumah yang Naura beli dua tahun lepas hampir siap. Namun calon untuk ber'rumahtangga' masih tiada. Mulut orang terus mengomel lagi macamlah soal mencari jodoh semudah hendak beli rumah juga.

Bersabarlah, Naura.

(bersambung...)


Nota kaki
OND: On Network Download
NDD: Network Direct Download
RC: Running Change

[Cerpen] Dia, Naura Raha (2)

Dia, Naura Raha
Oleh Rnysa

Episod 2


2 tahun sebelumnya...

"Naura, isu avi DivX file dah dapat feedback daripada designer?" Tanya Mr.K sebaik sahaja Naura tiba di mejanya awal pagi itu.

"Saya akan check e-mail saya sekarang."
"Sudah pending lama sangat. Nanti service dan customer tak happy. Why are we so slow?" Mr. K geleng kepala.

Naura teragak-agak menarik senyum. Nak buat macam mana kalau designer di HQ lambat beri respon. Cuti panjang mereka baru saja berlalu. Puas sudah Naura emel designer yang pernah membantu Naura menyelesaikan isu unsupported Divx format, kompelin dari sebuah negara lain.

"Tolong follow up dengan designer, Naura. Kalau boleh minggu ini juga saya nak close this issue." Mr. K mengingatkan Naura sekali lagi.

"Ok, Mister K."

Naura terkejut melihat beratus-ratus emel memenuhi dalam inbox Microsoft Outlook 2007. Siapa suruh Naura ambil cuti sampai dua hari, Jumaat dan Isnin? Jenuh nak baca emel yang berderet-deret, yang belum tentu faham. Biasanya 5% sahaja yang Naura faham. Semua perkataan teknikal-teknologi buat kepala Naura pening.

"Morning Naura." Shaq, group leader Naura baru sampai. Terus dia duduk di kerusinya. Komputer dipasang.

"Morning. Danny dah balik dari FT?" Sekilas Naura memandang meja Danny yang masih kosong. Kawan sekumpulan Naura itu sudah seminggu pergi FT atau Field Test ke India dan Thailand. Sepatutnya dia sudah pulang dan masuk kerja hari Isnin yang lalu.

"Dah. Shaq pula kena pergi keluar juga." Shaq senyum penuh makna.
"Water heater issue?" Wajah Shaq dipandang.
"Yup."
"Bestnya, dapat jalan-jalan lagi..." Balas Naura, sedikit cemburu.
"Jalanlah sangat..." Cara Shaq cakap macam negara tersebut di belakang rumah dia saja.

"Silap! Pergi menyelamatkan TV orang sana." Naura ketawa kecil. Dalam cemburu Naura bangga dengan Shaq. Jurutera Melayu-Islam itu diberi kepercayaan oleh bos besar untuk keluar negara dengan tanggungjawab besar di bahu.

Shaq turut sama ketawa. "Nanti Naura dah pandai, bos hantar Naura pula."

Naura senyum dalam terpaksa. "Entah bila nak pandainya..." Asyik buat kerja admin dan office saja. Sediakan meeting material dan FAQ. Dan jawab soalan daripada service depan PC saja. Macam mana nak pandai buat hands-on-practical, apalagi nak siapkan diri untuk FT.

Perjalanan hidupnya baru saja nak bermula. Baru tujuh bulan berkerja sebagai design engineer dalam QI (Quality Innovation) Divisyen di QA (Quality Assurance) Department. Syif S0, fleksibel hours, sebuah kilang pembuatan.

"Insya-Allah, dah sampai masanya akan dapat pergi juga..."
"Insya-Allah..."
"Rezeki tak datang bergolek, perlu usaha bersungguh-sungguh."
"Okey, bos kecil." Naura buat gaya tabik hormat pada Shaq.

"Nanti lepas break, kita bincang issue yang masih pending."
"Orait!"

"Naura, next time jangan cuti lama sangat."
"Eh?"
"Susah kami... bila Naura tak ada..."
"Naura lagi susah bila semua tak ada dua minggu lepas. Mujur tak banyak big issue..."

Shaq geleng kepala. "Jangan risau. Kami percaya Naura dapat handle...walaupun kami semua tak ada dekat office..."

"Percayalah sangat..." Naura ketawa. Dalam hati Naura rasa gembira. Sebab kepercayaan itu telah diberikan kepada Naura.

(bersambung...)

[Cerpen] Dia, Naura Raha (1)

Dia, Naura Raha 
Oleh Rnysa

Episod 1

Assalamualaikum...
Undangan ke majlis perkahwinan Ubqah Amir
pada 11 Jun 2011 di Taman Bandar Baru
Mudah-mudahan kehadiran tuan/puan akan menyerikan majlis kami

SMS yang baru sahaja diterima buat Naura terkedu berminit-minit lamanya. Sudah lama benar Nik Uqbah tidak mengutus sms kepada Naura. Lama sangat.

Sudah lebih dua tahun berlalu, rupa-rupanya Naura sudah tiada di dalam hati Uqbah. Naura bukan lagi 'Khadijah' untuk Uqbah. Tak perlulah Naura mahu kecewa bagai nak rak. Naura cuma sedikit terkilan. Kerana Uqbah tidak bersungguh-sungguh mahu memiliki Naura. Ternyata dia belum betul-betul sukakan Naura.

Insya-Allah, masih ada si dia yang baik... sedang menanti Naura.

Telefon bimbit dipandang lagi.

Entah di mana silapnya.. semenjak lulusan dari Darul Quran dan graduan Kuliyyah Kejuruteraan UIA itu mula berkerja di Yayasan An-Nur, lelaki itu makin menyepi. Apabila seorang lelaki itu menjauhkan diri dalam sesebuah hubungan, bersedialah jiwa dan raga untuk menerima sebuah perpisahan. Begitulah yang Naura baca dalam majalah.

Tapi, bukankah Naura yang menolak Uqbah suatu masa dahulu? Bercinta pun tidak pernah, bagaimana boleh berpisah pula?

"Suka menolak tuah!" Tanpa sengaja, Naura memarahi dirinya sendiri. Jika sudah bukan jodoh, takkan ke mana-mana, Naura. Jauh sekali hendak sampai ke jinjang pelamin.

Naura mencongak-congak umurnya. Lagi berapa tahun sahaja sebelum berumur 29 tahun? Cepatnya masa berlalu. Cepat sangat...

SMS itu dipandang lagi. Uqbah...

Saya bukan untuk awak, kan.
Ternyata saya bukan 'Khadijah' yang awak cari.

Naura tersenyum pahit. Bittersweet.

"Salam Uqbah. Tahniah buat awak dan pasangan. Semoga berbahagia sampai ke syurga. - Kak Naura" 

Butang 'hantar' ditekan.

Dia yang pernah memanggil saya 'Khadijah'.
Dia yang pernah mengambil berat.
Namun kini saya tak perlu lagi menyimpan harap.
Kerana saya bukannya yang dia cari selama ini.

Naura Raha, bersabarlah...

Selamat pengantin baru, Nik Uqbah Nik Amir!


(bersambung...)


Side note: Watak Naura Raha ini merupakan kawan seuniversiti Khalid Ahmad @ Ed, yang muncul dalam Gelap entry Edisi Cuti Sekolah. 

Thursday, June 24, 2021

[Anekdot] Cikgu Azizah

Cikgu Azizah
Oleh Rnysa

Ibu merupakan seorang guru lepasan Diploma Pendidikan dari Universiti Pertanian Malaysia (UPM). Manakala abah pula lepasan Maktab Perguruan Sultan Idris.

Sepertimana anak cikgu yang lain, Nyah sudah terbiasa melihat orang sekeliling menghormati ibu dan abahnya yang bertugas sebagai seorang pendidik. Gelaran 'cikgu' itu melekat pada nama pangkal mereka walaupun ibu dan abah sudah pencen. Walaupun kemudiannya ibu sudah pergi mengadap panggilan Ilahi, meninggalkan abah dan Nyah adik-beradik.

Ibu seorang yang rajin membantu emaknya. Sejak kecil lagi ibu sudah ikut pergi ke bendang. Sangat bijak dan cerdik orangnya kerana emaknya seorang cikgu juga. Membesar di kampung dan lahir dalam keluarga yang besar, ibu pandai dan cekap buat serba-serbi kerja rumah.

Jatuh bangun hidup ibu mungkin banyak disebabkan oleh Nyah adik-beradik. Bukan mudah hendak membesarkan lapan orang anak dan pernah juga dua kali mengalami keguguran semasa kandungan. Sepanjang hidup sehingga ke akhir hayatnya, ibu sangat kuat semangat dan tak berputus asa dengan segala ujian hidup.

Kerana dorongan ibu juga, Nyah mampu meneruskan semula pengajian yang terberhenti sehingga berjaya juga ditamatkan akhirnya.

Semoga Allah menempatkan arwah ibu di kalangan orang yang beriman. Semoga ibu dan mereka sekeluarga dipertemukan dan dikumpulkan semula di syurga.

Al-Fatihah buat ibu, Cikgu Azizah.
23 Januari 1953 - 15 November 2018.

(Tamat)

Nota: Tarikh nikah pada 9 September 1978 bersamaan dengan  5 Syawal 1398H. 


***

Bila Abah Kahwin Lagi?
Oleh Rnysa

Tugasan 13

#throwback Hari Wanita Antarabangsa 

- Satu penulisan paling indah tentang beberapa orang perempuan di sekeliling kita
- Catatkan jatuh bangunnya
- Kekuatannya menjadikan dirinya terus hidup dan menjadi obor dalam hidup kita

#legasiemak #hariwanitaantarabangsa
#UnIKH #BKHLegasi_Abah #Tugasan13 #LA7

Nota: Insya-Allah, karya Bila Abah Kahwin Lagi? ini akan terbit dalam masa terdekat.

Tuesday, June 22, 2021

[Cerpen] Cinta, Akhirnya Bahagia

Cinta, Akhirnya Bahagia
Oleh Rnysa

Jalan tanah merah ini memang tidak pernah sunyi dari hilai tawa kanak-kanak. Sewaktu kereta yang dinaiki oleh Lissa menelusuri jalan ini, sekumpulan budak-budak desa permai ini sedang main lumba basikal. Meriah betul! Gelak sana, gelak sini. Lissa rasa ketenangan akan menyelimuti dirinya setiap kali pulang ke kampung. Jiwanya aman dan tenteram di sini. Dapat juga melupakan sebentar bebanan yang dipikul sebagai pelajar semester kelapan fakulti perubatan.

Sekarang ini dia belajar bahagian internal medicine dan demam malaria. Susah juga kerana terlalu banyak penyakit yang perlu dia mahir seperti diabetes, tekanan darah tinggi dan macam-macam lagi. Tapi bahagian-bahagian ini amat menarik sebab banyak berhubungan dengan penyakit-penyakit harian yang banyak terjadi sekarang. Cuma kadang-kadang pening kepala juga waktu hendak anamnesis pesakit sebab terlalu sukar.

Teman sekuliah Lissa, Hanz Faizal memandu dengan penuh berhati-hati bagi mengelak daripada terjerumus ke dalam lopak-lopak air yang berada sepanjang jalan. Sayang sungguh dengan kereta yang baharunya ini. Ibu bapanya yang menghadiahkan kerana sudah tujuh semester berturut-turut Hanz mendapat empat pointer sekaligus merangkul anugerah pelajar terbaik fakulti. Kelisa warna kelabu ini kini menjadi motivasinya supaya terus cemerlang.

Hanz yang bijak bestari itu sedang bertungkus-lumus menyudahkan tiga ijazah sarjana mudanya dalam bidang otak, perut dan tulang. Sungguhpun begitu dia tidak pernah sekali-kali meninggi diri. Kadangkala Lissa tertanya-tanya juga bagaimana seorang yang rajin berjalan-jalan itu boleh mendapat keputusan yang sebagus itu. Sudah tercatat di Luh Mahfuz-Nya rezeki Hanz berlimpah-ruah begitu. Lissa sepatutnya bersyukur dapat berkawan dengan Hanz yang tidak pernah lokek ilmu. Bukankah manusia itu perlu saling membantu?

“Rumah kau yang mana satu, Lissa?” Hanz bertanya.

“Yang atap merah di depan sana...”

“Dah nak sampai ke?” Kai Lin yang lena di atas bahu Lissa tadi sudah terjaga. Masih nampak kepenatan setelah melayan kerenah anak-anak penghuni rumah anak yatim di Kati, Kuala Kangsar dari awal pagi lagi untuk menjayakan program bakti siswa fakulti mereka.

Lissa mengangguk. Mei Sean yang duduk di sebelah tempat pemandu menyeluruhi wajah Lissa lantas bibirnya mengukir senyum.

“Wah, muka bakal pengantin berseri habislah!” Usiknya.

Hati Lissa bergetar hebat. Cepat-cepat dia mencubit Mei Sean yang kuat mengusik itu. Malu Lissa pada Hanz yang galak merenung nakal.

“Baru nak bertunanglah!” Lissa membeliakkan matanya besar-besar sambil menarik muncung panjang. Teman sekuliah Lissa ketawa berderai kerana berjaya membuat dia tersipu-sipu malu.

***

Lagi tiga hari. Dan akan tibalah suatu hari yang paling indah. Dia bakal menjadi tunangan orang. Shah tidak tahu apa perasaannya saat ini. Meskipun belum lagi bergelar suami, namun debaran tetap dirasai. Semakin lama semakin hebat.

Shah menguak rambutnya yang baru dipotong pendek. Dia tersenyum lebar tatkala melihat dirinya di hadapan cermin. Tiga hari lagi dia akan mengikat tali pertunangan dengan gadis yang sangat dikasihinya. Dan beberapa hari selepas itu dia akan pulang semula ke Royal College of Surgeons untuk menyudahkan pengajian yang hanya tinggal dua semester lagi. Alhamdulillah, semalam secara rasminya tamatlah praktikalnya di salah sebuah hospital di Melaka. Usai segala hal yang berkenaan, dia terus pulang ke Semanggol untuk menguruskan majlis pertunangannya pula.

Bunyi hon yang tak berhenti-henti mengejutkan Shah. Dia segera menjenguk ke luar rumah. Kelisa berwarna kelabu meyapa pandang. Seorang lelaki keluar dan mengangkat tangan. Shah senyum. Lissa sudah pulang!

“Shah, aku hantar tuan puteri dan dayang-dayangnya balik dulu. Lepas ni aku datang semula ke rumah kau.” Jerit lelaki tinggi lampai itu pada Shah.

“Yalah. Hati-hati tau.” Shah yang melangut di tepi tingkap mengangguk. “Lissa mana?” Mata Shah pura-pura tercari-cari wajah bakal tunang tersayang.

“Lissa, abang Shah panggil. Keluarlah...” Ujar Hanz sambil tersengih.

Wajah Lissa sudah merah padam. Malu. Dia berbisik perlahan pada Hanz.

“Lissa kata, jumpa waktu majlis nanti.” Beritahu Hanz. "Dia segan agaknya," ulasnya kemudian.

“Dah berbulan-bulan tak jumpa. Aku di Melaka, dia di UM. Dah dekat macam tu pun nak ajak keluar sama bukan main payah. Sekarang dah ada kat depan tangga rumah pun tak nak jumpa lagi. Ini mendera namanya, Cik Melissa.” Leter Shah.

“Nasiblah kau, Shah. Siapa suruh pilih Cik Melissa ni. Memang sakit jiwalah. Banyak sangat protokolnya. Itu tak boleh, ini tak boleh.” Hanz sudah kenal Lissa sejak sekolah menengah lagi. Mereka berdua sekelas. Dengan lelaki memang Lissa tak bercakap langsung. Mujur masuk UM sikapnya itu berubah sikit. Tapi masih lagi kekok serba-serbi.

“Agaknya dia nak suruh aku lari-lari keliling wad dengan kain pelekat, baru dia nak keluar dengan aku.” Shah berjenaka. Dia sedia maklum Lissa suka melihatnya memakai baju melayu dan kain pelekat. Waktu mula-mula bertemu dengan Lissa, mereka tersempak di hadapan tangga surau. Lissa menemankan Nek Apsah dan Mak Nah menunaikan solat jemaah di surau kampung mereka.

Hanz Faizal ketawa besar.

“Nak sembang apa lagi ni? Cepatlah...” Ujar Lissa dengan wajah berkerut seribu.

“Mak oi, garangnya. Menakutkan...” Shah tergelak.

Lissa mengetap bibir menahan marah. Abang Shah memang suka mentertawakannya. “Hanz, boleh cepat sikit tak? Dah nak hujan ni.” Kata Lissa lagi sambil memandang langit yang makin gelap. “Doktor Shahrizam... kami balik dulu.” Ujar Lissa lalu menaikkan semula cermin tingkap.

Shah sentiasa senang dengan reaksi Lissa yang kadangkala keanak-anakan itu. Setiap kali dia marah dan malas hendak melayan gurauan, Lissa akan memanggilnya "Doktor Shahrizam" dan cepat-cepat melarikan diri. Lissa terlalu menyimpan perasaan. Dia jarang mempamerkan isi hatinya. Lissa, gadis penuh misteri. Dari dulu hingga kini. Agaknya sebab itu dia suka pada gadis yang berasal dari keturunan baba dan nyonya itu. Kalau dilakukan ‘pembedahan’ ke atas Lissa, barangkali banyak lagi perkara yang dia tidak tahu tentang gadis itu. Dan pasti banyak jua ‘penemuan’ baharu yang bakal dia ketahui. Amboi, cara fikir Doktor Shahrizam macamlah Lissa itu sejenis ubat atau vaksin yang boleh menyembuhkan bermacam jenis penyakit pula!

***

Kereta yang dipandu oleh Hanz perlahan-lahan meninggalkan perkarangan rumah dan menuju ke rumah keluarga Lissa. Keluarga angkat sebenarnya. Ibubapa Lissa sudah lama meninggalkannya. Lissa bukan anak yatim. Kedua orang tuanya masih lagi hidup. Tapi mereka yang tidak lagi mengambil tahu tentang diri Lissa. Kebetulan ibubapanya bercerai dan dia menjadi mangsa keadaan. Lalu, Lissa membesar tanpa kasih sayang ayah dan ibu. Itulah Melissa Kyra, bakal isterinya.

Shah selalu berpesan pada Lissa sedari awal perkenalan mereka bahawa Allah sudah menghendaki dunia ini sebagai tempat bertemunya dua hal yang saling berlawanan, dua jenis yang saling bertolak belakang, dan dua pendapat yang saling bertentangan; yang baik dengan yang buruk, kebaikan dengan kerosakan, kebahagian dengan kesedihan. Dan setelah itu, Allah akan mengumpulkan semua yang baik, kebagusan dan kebahagian itu di syurga. Adapun yang buruk, kerosakan dan kesedihan akan dikumpulkan di neraka. Akan ada kehidupan yang lain selepas ini. kehidupan yang kekal abadi. Segalanya tidak akan berakhir di sini.

“Takkan Lissa tak percaya dengan janji Tuhan? Lepas setiap kesulitan akan ada kemudahan!” Tegasnya selalu.

Lissa masih tidak memberikan sebarang reaksi. Dia merenung jauh ke petak-petak sawah yang menghijau. Bagai sedang memikirkan sesuatu seperti selalu. Ah, gadis itu terlalu banyak berfikir!

“Senyum sikit boleh tak? Nak jadi doktor mana boleh macam ni. Kalau terus dengan muka masam, pesakit akan lari. Abang pun lari tau. Haaa.... cuba jadi tengok abang ni... senyum selalu. Mana tak nampak handsome...” Shah cuba berjenaka. Namun begitu, Lissa tetap mematungkan diri.

Shah menggaru kepala. Sudah mati akal untuk berfikir bagaimana mahu buat gadis itu sudi berbual dengannya. Nenek Apsah kata, Lissa semakin kurus. Ya, kali terakhir Shah berjumpa dengan Lissa tidaklah badannya sesusut ini. Dia sedang menanggung kesakitannya sendiri.

“Waktu ayah dan mak Lissa berpisah, Lissa bersedih dari dulu sampai sekarang. Apa Lissa fikir dengan bersedih macam tu mereka akan bersama semula? Tak, kan? Dah tujuh tahun. Mereka pun dah ada keluarga baru masing-masing. Kesedihan akan buat apa yang Lissa ada sekarang tak bermakna - Nenek Apsah, Pak Kasim, Mak Nah, Long , Kak Nina, Rin, Alang, Teh, Ucu ... dan abang Shah. Lissa kena ingat... Lissa masih ada kami semua. Kami semua ambil berat tentang Lissa. Kami semua sayangkan Lissa. Dan kami takkan biarkan Lissa seorang diri.” Kata Shah bersungguh-sungguh.

“Orang yang tak dapat kawal kesedihan, dia akan mati muda. Kami tak mahu kehilangan Lissa...” Tambah Shah lagi. Anak Pak Kassim, Sarinah yang mengaji di Uitm Manjung memaklumkan yang Lissa mula mengambil ubatnya semula. Bukan saja satu tapi berjenis-jenis banyaknya. Lissa cakap, semua itu pil-pil vitamin. Bukankah Lissa makin kurus sekarang dan perlu menambah zat dalam badan?

Benar, badannya mulai susut sejak mendapat tahu ibunya berkahwin baru dan mengandung pula beberapa bulan selepas itu. Mukanya pun cengkung, matanya pun sembab.

“Abang Shah. Lissa sakit... sakit jantung...” Masih teringat suara cemas Rin menyapa gegendang telinganya. Shah terhenti daripada mengemas. Dia akan kembali ke Dublin setelah bercuti selama tiga bulan di kampung halaman. Tiba-tiba sahaja dikejutkan dengan kisah sedih Lissa yang tak berkesudahan itu.

“Mana Rin tahu?” Soal Shah cepat-cepat.

“Rin nampak pada plastik ubat dia... macam ada tulis perkataan 'jantung'. Abang Shah, Lissa sakit balik. Dia sedih balik. Rin tak tahu nak buat macam mana...” Rin sudah merembeskan air mata.

Shah menelan air liur. Lissa sakit? Kenapa dia tak pernah tahu sebelum ini? Petang itu juga Shah ajak Lissa berbual dari hati ke hati. Dia perlu tahu masalah sebenar Lissa. Bukankah semuanya sudah selesai? Lissa baru sahaja tamat matrikulasi dan keputusan peperiksaannya cemerlang. Katanya, dia mahu ambil kursus perubatan macam abang Shah. Sekarang sedang menanti tawaran dari pihak universiti. Tetapi kenapa pula tiba-tiba boleh jadi begini?

Mereka duduk di atas pelantar kayu di bawah pokok jambu air. Masing-masing mengadap ke arah sawah. Rin sudah bengkak-bengkak mata. Kak Nina datang membawa cucur pisang dan air teh. Shah hirup air teh yang masih panas itu perlahan-lahan.

“Harapan Lissa dah musnah, abang Shah. Dah tak ada...” Luah Lissa tiba-tiba setelah sekian lama membisu.

Shah mengangkat muka. “Lissa, orang yang paling dekat dengan kebahagiaan... orang yang memiliki harapan...” Balasnya lambat-lambat. “Kami semua berharap hati Lissa sentiasa tenang. Kami nak lihat Lissa gembira macam dulu. Senyum. Kami nak Lissa bahagia...”

Mata Lissa sudah bergenangan. Selama ini dia cuba untuk mengerti sikap ibubapanya. Tapi sekarang dia sudah tidak tahan lagi. Dia sentiasa menanti saat mereka mengambil berat tentang dirinya. Bukan sekadar bertanyakan keputusan peperiksaannya. Bukan hanya memberitahunya supaya belajar bersungguh-sungguh dan buat yang terbaik. Lissa perlukan seorang ayah dan mak yang sebenar. Bukannya ini...

***

Sesungguhnya rasa sedih itu tidak pernah hilang, meskipun sudah bertahun masa berlalu. Bohong jika mengatakan Lissa benar-benar sudah melupakan duka lama. Tidak semudah itu. Namun dia berjaya juga mengecap erti bahagia di celah-celah kedukaan yang menyirnakan seluruh keceriaannya. Tuhan telah menyediakan ruang dan masa lantas dia memilih untuk hatinya lebih tenang. Dari Allah datangnya ketenangan dan hanya kepadaNya Lissa memohon.

Bibir Lissa basah melafaz zikir. Terasa diri dekat padaNya, Tuhan pencipta semesta alam. Dia juga yang memiliki hari pembalasan. Hanya padaNya yang layak disembah dan tempat memohon pertolongan. Jadi tunjukkanlah Lissa jalan yang lurus. Jalan yang orang Dia beri nikmat, bukan jalan orang yang Dia murkai dan bukan pula jalan orang yang sesat. Begitulah doanya selalu.

“Kak chik Lissa, emak panggil makan!”

Lissa berhenti mengira tasbih sebaik sahaja menerima ketukan bertalu-talu di pintu. Panggilan ucu disahut. Pantas dia menanggalkan telekung, melipatnya dengan teliti dan menyangkut di atas palang yang sudah tersedia. Tangannya mencapai tudung lalu disarungkan ke kepala. Cepat-cepat dia keluar dari bilik.

“Maaf ya, terleka pula tadi.” Katanya sebaik sahaja sampai di dapur. Dilihatnya hidangan makan tengahari sudah tersedia di atas meja.

“Tak apa. Mei Sean dengan Kai Lin kan ada.” Sahut Mak Nah yang teraba-raba menarik kerusi mahu duduk. Segera Lissa membantunya.

“Ayah mana mak? Kak Rima pun dah balik ya? Bukan ke nak makan sama?” Soal Lissa apabila mendapati ayah angkatnya tidak kelihatan. Kak Sarimah yang turut sama menyiapkan laksa tadi pun sudah tiada.

"Ayah ada kat depan sana. Dah minta ucu panggilkan. Kak Rima kamu pula akan datang kejap lagi dengan anak-anaknya. Duduklah dulu Lissa. Ajak kawan-kawan tu sama. Mei Sean, Kai Lin... jangan malu-malu dekat rumah mak ni."

Tengahari itu mereka menikmati hidangan dalam suasana yang cukup ceria. Ucu, anak bongsu Mak Nah tidak habis-habis bercerita tentang penglibatannya dalam pasukan bola sepak sekolah. Kak Sarimah mengusik dengan mengatakan adiknya itu semakin gelap kerana terlalu banyak main panas. Ucu yang manja itu menarik muncung panjang.

Setiap kali menjamah laksa mengingatkan Lissa pada Nek Apsah yang telah lama pergi. Orang tua itu memang pandai memasak. Cakap sahaja apa dia boleh buat. Dalam banyak-banyak masakan, Lissa sukakan laksa yang dibuat oleh Nek Apsah. Laksanya cukup rasa. Sampai sekarang Lissa masih tidak pandai buatnya sebaik air tangan Nek Apsah. Bahan-bahannya cukup banyak dan pelbagai. 

“Lissa suka makan apa? Biar hari ni nenek masakkan khas untuk Lissa.” Mata Nek Apsah menyapa lembut wajah kuning langsat milik Lissa. Begitulah setiap kali pertanyaan Nek Apsah setiap kali Lissa datang ke rumah ini.

Lissa terharu sangat. Semua orang dalam rumah ini cuba sedaya upaya mereka membuatkan Lissa gembira. Kadangkala Lissa jadi hairan sendiri. Lissa bukannya sesiapa pada mereka. Sekadar orang asing yang tiba-tiba datang menumpang kasih di rumah ini. Namun layanan mereka cukup di luar jangkaan. Lissa diangkat menjadi salah seorang anggota keluarga ini. Dia punya nama panggilannya sendiri - kak chik. Nek Apsah yang meminta semua orang menyerunya begitu.

Dia tidak boleh melupakan kali pertama dia menjejakkan kaki ke rumah ini. Kedatangannya adalah di atas jemputan Nek Apsah sendiri. Mungkin sebab Nek Apsah selalu nampak Lissa sering mengintai mereka sekeluarga yang melawat Sarinah di asrama. Lissa sangat cemburu dengan Sarinah atau nama manjanya ‘Rin’ itu. Mereka nampak sungguh mesra seperti sepatutnya lagak sebuah keluarga. Walaupun kedua orang tuanya tidak boleh melihat, namun mereka sanggup bersusah payah datang melawat anak mereka.

Kalau keluarga Lissa, segala-galanya nampak kekok dan formal sahaja. Hanya menghantar pada hari pertama sekolah dibuka dan mengambil Lissa apabila tiba akhir tahun. Itupun waktu awal-awal dulu, secara berasingan sama ada abah atau ibu. Bila Lissa sudah pandai berdikari dan mereka pun sudah makin sibuk, Lissa disuruh naik bas sahaja sepertimana tiap-tiap bulan dia pulang ke rumah. Lissa sudah dewasa sebelum waktunya. Mana tidaknya, waktu semua teman bergembira dengan keputusan peperiksaan UPSR, Lissa menerima satu lagi berita ‘gembira’ daripada ibunya.

Ibu yang datang dari pejabat untuk mengetahui keputusan Lissa turut menyisipkan berita penceraian yang melumpuh seluruh semangat Lissa. Memang sebelum ini pun ibu dan ayahnya nampak tidak mesra sahaja, namun Lissa tidak permah mengesyaki apa-apa. Lissa sendiri sibuk belajar untuk memastikan yang dia sentiasa berada di tangga teratas dalam setiap ujian. Mereka sekeluarga jarang berbual waktu berada di rumah. Lissa anggap semua itu perkara biasa sahaja. Namun segalanya menjadi lebih jelas pada Lissa. Rupa-rupanya mereka tidak seperti keluarga orang lain. Hidup mereka tidak ubah seperti orang asing. Setelah ibubapa Lissa berpisah secara rasmi, Lissa sudah diketepikan secara total. Sejak dari berita perpisahan itu dan lebih-lebih lagi setelah Lissa memasuki sekolah berasrama penuh, kewujudannya bagaikan tidak pernah memberi makna dalam kamus hidup ibubapanya.

“Lissa, nenek aku ajak kau makan sama. Marilah...”

Hari itu entah macam mana dia boleh dijemput sama menyertai mereka di bawah pondok melawat itu. Kelibatnya di hujung koridor rupa-rupanya menarik perhatian Nek Apsah. Lissa jadi serba salah pada awalnya kerana tindakannya itu telah mengganggu ketenteraman orang. Namun melihat Sarinah yang bersungguh-sungguh, dia turuti juga permintaan itu. Dan paling tidak bisa dilupakannya, kali pertama menerima pelukan dari Nek Apsah dan Mak Nah sebelum mereka pulang. Dia dapat merasakan ada sesuatu yang mengalir dalam tubuhnya. Macam aliran elektrik. Sudah terlalu lama dia tidak dipeluk oleh mana-mana ahli keluarganya, semenjak dia memasuki sekolah rendah. Sentuhan itu buat dia rasa berbeza sama sekali.

Pertemuan itu tidak berakhir di situ. Cuti hujung bulan itu dia dipelawa oleh Sarinah untuk mengikutnya balik kampung. Lissa terus setuju. Di rumah pun bukannya ada sesiapa. Hanya pembantu rumah dari Indonesia. Baik di rumah papa atau mama. Sama sahaja. Dia sudah muak dengan suasana yang membosankan itu. Kalau balik ke rumah nenek sebelah papa, orang tua itu tidak habis dengan leteran yang tiada noktah. Dia menghamburkan segala kemarahannya terhadap ibu pada Lissa. Macamlah Lissa yang menjadi punca sebenar perpisahan!

Di rumah Sarinah menemukan Lissa dengan ramai orang yang hatinya penuh limpahan kasih sayang. Lissa yang tidak biasa sangat disentuh itu terasa kekok tatkala Mak Nah dan Nek Apsah memeluk tubuhnya dan mengucup pipi atau dahinya. Dia jadi serba tidak kena setiap kali Kak Sarimah atau Ucu menarik tangannya kalau hendak minta bantuannya. Dia juga tidak betah dengan sifat manja ucu yang selalu inginkan perhatiannya. Ada sahaja yang dia hendak buatnya pada Lissa. Waktu itu ucu masih kecil, baru masuk lima atau enam tahun. Perangainya macam anak kucing sahaja. Awal-awal dulu Lissa selalu menolak perlahan kepala ucu yang asyik mahu tidur di atas pahanya. Tapi ucu yang degil itu mana makan saman. Dia tidak pernah berhenti mencuba. Lissa terus tidak suka dengan ucu yang mengada-ngada tidak bertempat itu. Walaupun tidak terkena kulit - sekadar terkena baju - namun dia tetap merasa kurang selesa. Tetapi mana dia berani suarakan pada Sarinah tentang keluarganya yang ‘pelik’ itu. Nanti dia pula yang dituduh pelik. Bukankah itu semua perlakuan biasa sahaja.

Rasa pelik itu berlanjutan setelah Lissa bertemu dengan abang Shah. Rumah bakal doktor yang akan berangkat ke benua Eropah itu hanya dipisahkan oleh pokok kelapa yang tinggi-tinggi. Keluarga abang Shah ini tinggal berjiran dengan keluarga Sarinah. Kerja lelaki itu tidak lain tidak bukan - asyik mengusik orang sahaja. Pantang betul terserempak dengan Lissa, mesti ada saja usikan yang menyusul. Lepas itu dia akan tersenyum-senyum macam kerang busuk. Macamlah Lissa akan terpikat dengan senyumannya yang manis sedikit daripada senyum kambing itu. Cakapnya pun tidak pernah serius, asyik hendak melawak sahaja tidak kena masa. Semua perkara dijadikan bahan jenaka. Mahu sahaja Lissa beri cadangan supaya dia pergi ujibakat jadi badut sarkas saja. Baru sesuai dengan bakatnya itu. Menyampah betul!

***

Senyuman Shah berbunga riang tatkala melihat kelibat Lissanya bersantai di pangkin bawah pokok jambu. Turut menemani dua orang teman sekuliahnya. Di hadapan mereka bertabur buku-buku tebal dan fail pelbagai warna. Sedang belajar barangkali, telah bakal doktor muda itu. Rajin betul mereka. Cepat-cepat Shah memberhentikan motosikalnya berdekatan dengan pokok jambu itu. Hanz yang membonceng agak terpinga-pinga. Lissa yang menyedari kehadiran Shah hanya memandang sekilas.

“Aku mahu jumpa tuan puteri kejap.” Bisik Shah ke telinga Faizal.


Hanz Faizal sekadar mampu menggelengkan kepala.

Tanpa membuang masa lagi, Shah pergi mendapatkan puterinya. Dia berdiri betul-betul di tepi gadis itu, tetapi tidak terlalu rapat. Matanya turut meneliti keratan akhbar yang dipegang oleh Lissa. Shah tergamam seketika setelah mengetahui tajuk artikel tersebut.

PAD punca berlaku serangan jantung.

Jantung?

Matanya beralih pada Lissa yang begitu tekun membaca. Hati Shah diburu sangsi. Adakah Lissanya sakit semula?

“PAD? Peripheral Artery Disease?” Shah bersuara perlahan.

Sepanjang pengetahuan Shah, PAD adalah penyakit saluran darah yang tersumbat. Terjadi kerana saluran arteri mengeras atau dikenali juga sebagai atherosclerosis. Dalam tempoh masa yang panjang, arteri yang mengeras ini menyebabkan plaque (tisu lemak keras) terbina. Keadaan ini menyebabkan arteri mengecil dan mengurangkan bekalan oksigen darah ke otot dan kulit. Jika didiagnosis dengan PAD bermakna pesakit memiliki lebihan plaque yang boleh menyempitkan saluran arteri. Sekaligus meningkatkan risiko serangan sakit jantung dan strok yang membawa kematian. Penyakit PAD ini lebih kerap menyerang lelaki, risiko terhadap lelaki perokok sangat besar. Jadi, kebarangkalian Lissa menghidap penyakit itu agak tipis.

“Ya. Kenapa?” Lissa menyoal ala-ala dalam rumah sakit. Pantas sahaja Lissa melipat keratan akhbar itu dan berpaling ke arah abang Shahnya.

“Lissa pernah rasa lenguh atau sakit kaki tak?” Soal Shah, sekadar inginkan kepastian. PAD sukar dikesan. Pesakit selalu keliru dengan simptom PAD dengan penyakit lain. Ini kerana, rasa lenguh dan kesakitan di kaki biasanya akan mudah lenyap sebaik sahaja berehat. Apatah lagi jika berkerja di pejabat berhawa dingin, dengan pergerakan yang terbatas, kesakitan disebabkan PAD tidak akan dirasai.

Lissa menggeleng. Dahinya berkerut seribu.

“Syukurlah...” Shah menarik nafas lega.

“Graf jantung Lissa dah cantiklah. Tak macam dulu lagi...” Lissa semacam tahu apa yang sedang bermain di fikiran lelaki itu.

“Boleh percaya ke, Hanz? Lissa ni suka berahsia. Dengan aku pun berahsia macam apa saja.” Shah mengangkat kening ke arah Hanz Faizal.

“Jangan risaulah, abang Shah. Dia tak apa-apa. Cuma dua bulan lepas...”

“Mei Sean!” Lissa cepat menahan.

“Kenapa Mei Sean?”

“Tak ada apa-apa.” Balas Lissa cepat-cepat. Matanya mengerling ke arah Mei Sean. Nyaris sahaja temannya dari Port Dickson itu terlepas cakap.

 “Dalam perhubungan perlukan kejujuran, Lissa...” Shah sudah membuka 'kuliah falsafah cinta'nya. Dia lebih suka Lissa berterus-terang kepadanya, meskipun ianya akan membuat hatinya bersedih.

***

Hasbunallahu wa ni'mal wakil (Cukuplah Allah menjadi penolong kami dan Allah adalah sebaik-baik pelindung)…”

Lissa mengucap kalimah itu berulang kali. Kalimah yang sama pernah dilafaz oleh Nabi Ibrahim a.s tatkala dilemparkan ke dalam api sehingga api itu tiba-tiba menjadi dingin dan selamatlah Nabi Ibrahim a.s. Kalimah ini juga diucapkan oleh Nabi Muhammad s.a.w pada perang Badar sehingga Allah memberikan kemenangan. Inilah pertolongan Tuhan ketika hamba-Nya mendekatkan diri kepada-Nya. Dari sini terlihatlah bahawa ada Tuhan Yang Maha Berkuasa, Yang Maha Memberi Pertolongan, Maha Melindungi dan Maha Mengasihani ketika si hamba menyandarkan diri kepada-Nya.

Dan kerana cinta dan kasih sayang Tuhan pada hamba-Nya, akhirnya Lissa beroleh bahagia. Yang pastinya, kini dia sudah bebas dari kanser tahap satu. Semuanya di atas kelembutan kasih sayang Allah, dengan izin-Nya. Seringkali Lissa menganggap bahawa apa yang datang kepadanya adalah sebuah ketentuan dan pengakhiran segalanya, namun ternyata sebaliknya, dugaan tersebut memberi kekuatan dan semangat baru.

Tumpuannya beralih pada dua jasad yang bergerak ke arahnya ketika ini. Bibir Lissa menguntum senyum tatkala memandang Izran Shah yang sedang didukung oleh ayahnya. Si ayah yang terhibur dengan keletah si anak tertawa sehingga tampak gerahamnya. Tawanya itu sungguh membahagiakan jiwa, detik Lissa dalam hati.

“Izran rindukan ibunya.” Kata Shah sebaik sahaja menyerahkan si kecil pada Lissa. “Dan abang pun sama...” Sambungnya kemudian.

Lissa tertawa halus. Dia kembali merenung langit yang terbentang luas tiada penghujung. Hatinya berlagu senang. Kepercayaannya kian bertambah. Semua tali akan mengerut kecuali tali-Nya, dan semua pintu akan tertutup kecuali pintu-Nya. Sesuatu yang telah ditentukan oleh Allah pasti akan datang. Maka bersabarlah, dan tak perlulah minta disegerakan. Lissa tersenyum buat sekian kalinya pada camar yang bebas berterbangan.

Atau siapakah yang memperkenankan doa orang yang dalam kesulitan apabila ia berdoa kepadaNya... (An-Naml:62)

…Berdoalah kamu kepada-Ku, nescaya akan Kuperkenankan bagimu... (Al-Mu'minum:60).


(Tamat)

Untuk detik & memori 18 Mac 2005 itu.

Cerita ini ditulis secara online pada 25 Jun 2006 ~ 04 Okt 2006.

Karya ini versi asal diedit oleh penulis setelah terpilih untuk diterbitkan dalam Antologi Cerpen Adiwarna: Cinta Pertama pada tahun 2014.

Sunday, June 20, 2021

[Special Entry 4] Gelap

Karya pendek

Gelap
Oleh Rnysa

Special Entry 4
Edisi Istimewa #AlamRiaCutiSekolah

Malam 10 Jun
#MCODayX #DDay
#stayathome #pdpr #spmpromax2020

Di luar sudah semakin gelap.
Menanti hari esok dengan penuh harapan yang belum terungkap.


Pagi-pagi buta lagi Ed sudah masuk sesi jamming dengan kawan-kawan bandnya dekat Twitter Spaces. Dah masuk zaman fasa Covid-19, lockdown dan WFH begini, orang dalam industri teknologi untuk platform sosial media terus segera berinovasi. Yang geng Android tak nak kalah dengan geng iOS. Yang apps pun mula memperkenalkan new features masing-masing. Kini, yang terpisah dek pandemik boleh meneruskan aktiviti kehidupan seperti biasa, masih boleh berhubung dan berinteraksi melalui medium dan cara yang berbeza.

"Beggin' by MÃ¥neskin?" JD yang sedang 'bersiaran' dari Jerman bertanya, saja nak confirm balik. Waktu sana dah masuk tengah malam di Wolfsburg, manakala waktu di Malaysia baru lepas subuh.

Jerman UTC/GMT+2.
Malaysia UTC/GMT+8.

Teringat pula Ed pada kawan perempuan dia yang pernah bekerja jaga network issues di sebuah kilang produk elektronik yang letaknya di negeri Selangor.

Katanya, "Kalau nak report market quality issues yang berkaitan dengan network dan sewaktu dengannya, wajib beritahu berlaku waktu bila ikut jam UTC atau Universal Time Coordinate.

Tapi sebelum itu kena cuba reproduce dulu dekat Malaysia. Adalah step-step dia. Soal selidik dulu apa jenis ISP atau Internet Service Provider yang customer guna apa, latest software version ke, kalau guna router apa ke benda... check supported ke tak, cuba tukar wired or wireless or hotspot connection, turn on and off, disconnected and reconnected all input/output devices, check memang ada tiba-tiba sudden call trend ke apa segala semua.

Dah confirm semua segala mak nenek step dan info yang patut, baru pergi report dekat QA PIC dekat HQ. Nanti mereka check dengan yang atas-atas lagi. Dan baru la dapat balik dekat aku...sampailah semua settle. Jumpa root cause, ada solution dan siap prevention action." Bagus sangat jenis syarikat yang sangat menjaga kualiti. Tip top punya operation flow!

"Kiranya kau kerja jadi orang tengah la? Kau seorang jaga satu Asia Pasifik?" Ed pandang muka kawan satu UTM itu. Jenis sempoi macam Syah. Jenis suka layan muzik juga.

"Haah."

Ed angkat kening. Muka terus berubah riak.

"Ala... kau tak payahlah buat muka kagum tu. Kerja private, company takkan hire ramai orang nak buat satu kerja. Setiap region satu PIC, yang lagi dua manager. Aku sekadar jadi PIC, orang tengah aja pun. Collect info, reproduce symptom, filter out, escalate. Kerja kejar orang. Nasib seorang QA engineer." Si kawan hanya mampu sengih mengenangkan nasib diri.

Namun, dalam hati ada rasa syukur jadi muslimah pertama yang jadi PIC. Dah keluar group teknikal, masuk data analysis dan kembali ke group teknikal, dia masih diberi kepercayaan jaga network issue. Sebab leader dan manager kata, dia sudah memiliki pengalaman. Itu yang setiap minggu dia ikut dengar mesyuarat dengan software engineer yang baru tiba dari HQ, perlu semak dan bincang satu-persatu isu yang ada dengan QA PIC dan software engineer dekat HQ. Meeting mingguan antara local design dan HQ.

Dan sebagai orang QA, ada sesetengah perkara hanya kerja QA tahu. Confidential. 

Dan, sama macam waktu buat kerja software release operation selepas itu. Dia jaga seorang sahaja non-Android dan low end Android chassis dari keluaran tahun 2014 untuk satu dunia kecuali satu destinasi sebab pihak HQ yang handle sendiri negara mereka. Responsibility ikut siapa yang design. Tentunya, dia jaga yang model lain-lain, selain orang dekat HQ yang design.

Nasib baik dia suka kerja yang berkaitan network dan software, itu yang selalu terbabas balik lambat sebab terleka syok sangat buat kerja. Yalah, kadangkala ada meeting back-to-back dari pagi. Waktu kerja jaga world wide market quality, pukul lima petang baru nak mula melunaskan kerja sendiri.

Alhamdulillah, sekarang cuma jaga kerja software release sahaja. Dah makin senior, kerja pun makin spesifik. Ulangnya sekali lagi dalam hati.

"Macam tu, eh?" Ed rasa macam tak percaya. Yang jaga customer issue untuk produk barang elektronik dekat rumah aku tu... kawan aku sendiri? Perempuan pula tu? Kagum!

"Yang produk game kau jaga sekali?"

"Tak, tapi aku dapat semua email notification daripada support team yang berkaitan network dan server untuk semua produk termasuklah yang game tu. Ada maintenance ke, ada timbul issue ke apa ke semua. Red alert, yellow alert... macam kerja kat hospital juga. Leader aku cakap, kerja kitorang 'take care and rescue'." Ketawa.

"Giler la!" Ed dah ternganga kagum.

Tapi yang kawan dia nampak selamba sahaja. Gelak macam kerjanya tak ada apa sangat. "Tak ada maknanya. Aku tak pandai main game pun. Tak bergerak pun. Jenuh nak baca manual controller dan manual game. Tuhan tak beri aku kelebihan dekat situ. Kalau tak, mungkin dah lama aku resign dan jadi gamer kot. Buat online streaming ke... macam orang sekarang." Ketawa.

Ed pun ikut sama ketawa. "Lawak la kau ni." Tak ada kelebihan main game, Allah beri banyak kelebihan pada tempat lain.

"Aku dah lama tinggal network related issue. Tapi, sekarang banyak nak kena pick up balik sejak dah jaga software release untuk model Android. Banyak sangat function, apps dan new features baharu compare dengan yang produk biasa." Sambungnya lagi.

Dah macam jadi orang HQ sana, dah buat kerja spesifik sangat. Jauh di sudut hati, harap adalah dapat junior. Tapi dengan keadaan sekarang nak cut cost dan kerja pun tak ada berat sangat, tipis sahaja harapannya itu. Dan, baru-baru ini sudah dapat bayangan nak kena beri weekly report pula - berapa banyak download software baharu dari server pula.

Allahu, macam mana PIC dekat HQ buat seorang diri? Jaga model Android dari mula pula. Tabik hormat!

"Dengan dah expand job scope jaga service termination lagi, kalau ada apps nak kena terminate... aku juga yang tukang buat beri announcement dan FAQ untuk call center dan website. Nama aplikasi kena betul, segala ayat maklumat perlu disemak oleh bahagian legal HQ dulu." Sambungnya lagi kepada Ed yang khusyuk mendengar.

Memang segalanya mengerah kudrat dan keringat yang ada. Balik kerja atau waktu cuti, memang otak nak berehat sahaja kerjanya. Besar tanggungjawab jaga kerja untuk world wide seorang diri. Rasa umur sekarang... patut dah ada junior dah tolong, kan? Faktor usiakah?

Ed hanya mampu senyum. Ada rasa simpati nampak wajah yang keletihan itu. Kebetulan terserempak dengan kawannya itu makan seorang diri waktu lepak makan dekat IOI Putrajaya. Sebelum beredar, Ed datang tegur kawannya itu dekat meja makan, yang tengah baca novel sambil tunggu pramusaji 'refill' air. Seorang lagi kawan yang jenis otak yang Ed tak boleh nak 'brain'. Jenis suka baca novel dengan kerja bahagian kejuruteraan. 

"Anyway, kirim salam kat hubby kau."
"Insya-Allah." Angguk.

"On!" Ed sengih pada telefon bimbitnya sambil segera tutup rapat pintu bilik home studio. Tak nak bunyi gitar elektriknya mengganggu Adeilah yang sedang hamil. Tambahan pula dia main lagu bukan genre muzik dari Korea Selatan yang isterinya suka.

"Hmm, macam mana kau boleh tersangkut dengan yang minat K-pop?" JD ketawa berdekah tak henti bila dapat tahu. Yang band-mate lain pun 2x8 gelak sama.

"Entah. Adik kawan sekolah aku dulu." Malas Ed menjawab lebih-lebih. Dia tak adalah anti muzik K-pop sangat. Cuma bukan selera telinga dia sahaja.

"Kau kena jampi serapah apa?" Loki pula menyoal sambil tuning gitar.

"Cun kot? Muka ala K-pop idol, huh?" Wilson petik jari. "Mesti sebab cantik, kan? Orang sekarang suka jenis muka macam tu." Dia angkat kening dekat Ed.

"Dah, dah. Sekarang baik praktis dulu. Minggu depan ada show." Ed terus mematikan perbualan tentang dirinya itu. Dah agak dah mesti kena bahan punya kalau cerita.

Ed pun tak sangka sebenarnya yang dia setuju on the spot dengan permintaan gadis manis itu nak lagu K-pop. Mungkin didorong rasa bersalah buat Adeilah menangis. Si Syahlah yang suka minta lagu balada Rossa dia.

Ish, kadangkala Ed pun tak faham dengan taste lagu 'makcik' tu. Dari muzik Melayu klasik, instrumental orkestra la apa la... sampailah K-pop apa segala pun layan. Kalau J-pop jangan cakaplah.

Mungkin sebab itu genius sampai boleh terlibat dalam pembinaan satelit cuaca. Otak Syah ni jenis apa entah boleh masuk dengan semua benda. Semua benda dia tertarik dan rasa best. Kalau jumpa orang baharu dia akan cepat tertarik dengan kerja orang itu. Tanya mengalahkan orang interview nak cari kerja. Ada juga wujud jenis orang macam itu. Berminat nak tahu banyak perkara baharu.

"Kau bina satelit kot, Syah."
"Aku buat bahagian kerja kira-kira sajalah."

"Wei, kau cakap macam kau kerja bahagian akaun. Aku dengar daripada Kaduk yang kau dapat shortlisted untuk pergi NASA tapi kau tolak. Kenapa?"

"Aku seorang isteri mithali," jawab Syah penuh yakin dan tenang sambil tersenyum panjang. Tapi sebenarnya sebab masa itu dia sudah keguguran sebanyak dua kali berturut-turut. Kaduk minta dia fikir dulu tentang hal kesihatan dirinya. Hanya yang memahami keadaannya waktu itu akan faham dengan keputusannya itu. Memang sayanglah juga, tapi rezeki mungkin lebih baik di tempat lain. Walaupun itu impiannya sejak sekian lama.

Faham.
Tanpa keliru.

Faham
Tanpa celaru.

Ed terdiam. Dia pandang anak mata Syah, cuba mencari kebenaran di sebalik kata-katanya. Mesti ada perkara besar yang terjadi dalam hidupnya. Takkan Syah yang dia kenal selama ini seorang yang result oriented sanggup melepaskan peluang keemasan sebaik itu. Mustahil.

Tapi... hal rumah tangga orang, pilihan hidup mereka suami isteri. Siapalah dia nak korek rahsia lebih-lebih dan nak nasihat isteri Kaduk? Mesti Kaduk yang lebih tahu dan faham.

Dia yakin bahawa Syah yang berada di hadapannya kini sudah jadi dewasa. Yang bukan melawan dan emosi tak tentu arah. Yang tenang sahaja walaupun melepaskan segala cita-cita dan impian suatu masa dulu. Kau dah banyak berubah, Syah. Tak sama macam zaman sekolah dulu.

Ed tarik nafas seketika. "Oklah, boleh aku tahu kau dulu pilih Kaduk sebab apa?"

Entah kenapa hari itu tiba-tiba baru dia nak bertanya. Memandangkan secara spontan tergerak hati nak menghulurkan salam perkenalan kepada Adeilah tadi, pertanyaan ini sekadar mahu dijadikan rujukan untuk diri sendiri. Umur sudah hendak masuk 40-an tahun depan, akhirnya Tuhan bukakan pintu hati untuk mendirikan masjid pula.

"Eh, dia yang pilih aku dulu. Dia yang pinang aku." Syah tersenyum malu.

"Yalah, itu aku pun tahu. Tapi aku berminat juga nak tahu sebab apa kau pun pilih dia. Aku ingat kau akan pilih orang lain."

"Weh, Ed! Kau tengah quote lagu ke dengan aku?" Syah buat-buat mengelak.

"Kau boleh tak jangan nak jawab main-main dengan aku sekarang? Aku tengah serius ni, Syah. Please?" 

Syah ketawa kecil. "Aku memang sengaja nak test sama ada kau boleh bertahan atau tak dengan bakal kakak ipar kau ni." Syah sambung gelak kecil lagi berharkat-harkat lamanya.

Ish, Syah ni kan. Belum apa-apa laju... 
Anak sulung dua beradik itu geleng kepala lagi.

"It's payback time. Cash only." Syah dah keluar dah perangai nakal zaman SERATAS. Waktu Kaduk tak berada di sisi terus secara automatik keluar tanduk ya, Puan Nurul Akasyah binti Othman?

"Kaduk!" Ed melaung Kaduk yang kelihatan sedang mendukung Akram yang hendak main air dekat kolam renang. Hanya Kaduk seorang yang dapat mendisplinkan bakal kakak iparnya itu. Tapi nak panggil Kaduk, si cik adik manis pula datang ucap terima kasih. Yang si Syah tak habis-habis senyum simpul sambil pandang Ed.

"Kompang dipalu, pengantin baharu..." Nyanyi si Syah sebaik sahaja Adeilah melangkah dan berlalu.

"Ishhh, kau ni kan..."
"Lalala..."

Nampak sangat Syah terlebih gembira dapat sakat dia. Ed terus pergi ambil buffet, dah malas nak bertanya lanjut lagi. Soalan tadi takkan berjawab. "Aku tak tahu macam manalah Kaduk boleh bersabar dengan kau selama ni?" 

"One of the good ones. He's one the good ones... for Akasyah." Syah jawab dengan lagu Gabby Barret pula.

Ed senyum. Syah will be in her element... no matter what. Masih kekal menjadi diri sendiri.

Agaknya sebab itu kawannya yang QA engineer satu itu pun berkahwin dengan rakan sekerja dari luar negara? Tak ramai yang Ed kenal lain daripada yang lain seperti mereka berdua. Yang pasti, bukan tipikal perempuan melayu.

"Oh, kawan sekerja pun ramai cakap begitu. Aku pun tak faham celah mana bukan tipikal perempuan melayu. Hari-hari aku datang kerja pakai baju kurung, okey?" Kawannya itu musykil.

"Itulah yang namanya jodoh dan pertemuan di tangan Tuhan. Betapa ramai lelaki melayu, muslim dan asal Malaysia dalam satu bangunan R&D Centre dan production plant di sebelahnya, dapat lelaki yang berada di luar kawasan geografi." Jawab Ed mudah dalam soal jodoh. Macam dia sendiri, tak sangka selama ini jodoh berada di depan mata.

Dengar cerita, mungkin kawannya itu nak berhijrah ke luar negara mengikut suaminya. Sekarang tengah tunggu urusan tukar hak milik rumah yang didudukinya selesai. Dia nak jual terus.

"Okey, kita berhenti dulu. Aku nak kena masuk kerja dah ni." Loki beri cue, sudah tiba nak kembali ke 'bumi', berhenti petik gitar utama.

"Right, aku pun nak tidur. Sambung esok."  JD angkat ibu jari, tanda setuju. Bunyi gitar bass pun dah senyap.

"Aku pun nak sampai masa nak clock in." Ed yang main gitar irama pun kena nak menyambut seruan panggilan WFH.

"Terima kasih semua." Wilson, pemain drum pun nak mula tengok tempahan pelanggan di kedai Shopeenya.

Masing-masing tekan butang [Leave] dekat Spaces.

***

Pagi tadi sudah selamat keputusan SPM diumumkan. Bukan sahaja pelajar, mak ayah turut berdebar sama menanti.

Yang ada anak kecil macam dia sibuk atur aktiviti anak-anak sepanjang cuti persekolahan. Kalau orang dewasa kena work-life balance, anak-anak pun perlu study-life balance. Waktu mana kena belajar, bermain dan berehat. Bab buat jadual aktiviti anak-anak kali ini dia serah pada Kaduk. Naik sekolah nanti mereka belajar secara PdPR semula.

Syah pula ambil tugas buat jadual aktiviti hal berkaitan rumah tangga selaku 'pengarah urusan' di rumahnya. Cuma barang dapur memang Kaduk yang tolong beli sejak PKP tahun lepas lagi kerana seorang sahaja dibenarkan keluar rumah. Dia pun memang tak berapa yakin nak bawa sangat anak-anak keluar di tempat orang ramai.

Sudah malam-malam begini baru ada kesempatan nak ber'me time'. Banyak perkara yang terjadi dalam kehidupan seperti yang pernah diimpikannya. Namun, dia tetap bersyukur atas apa yang dimilikinya.

Perkenalan kami bermula di alam remaja
Di mana ku dan dirinya hanya teman biasa
Kami bersama harungi segala suka duka

Dan di sebelahnya, Kaduk sedang mengisi masa dengan membaca Twitter. Namun, telinga Kaduk menangkap suara orang sebelah menyanyi kecil.

Sesungguhnya sekian lama
Kucari cinta sedunia
Rupanya gadis idamanku
Selamanya ini berada
Di depan mata 

Orang sebelah tengah buat konsert solo. Katanya tadi, lagu dari album pertama KRU yang dimilikinya. Di Depan Mata. Album reKRUed. Yop, abang sulung Syah yang beli.

"Hatiku milikmu..." Syah hulur tangan, macam gaya tengah buat video klip dengan Kaduk. "Lagu ni sesuai untuk kita berdua." Syah senyum dengar lagu itu melalui aplikasi Spotify.

Kaduk pun tarik sebelah earphone nak dengar juga. "Betul, sesuai. Anggaplah abang yang tujukan lagu ni untuk Syah."

"Serius? Hihi..." Mata Syah yang bulat cantik, bersinar penuh ceria.

Dia angguk. Janji Syah tersenyum gembira, nyanyilah lagu apa pun.

Kerana pada Khamis malam Jumaat minggu depannya, Syah tersilap letak cincin pusaka maknya. Mujur jumpa balik, tersorok di bawah quilt. Tapi... sejak malam Khamis membawa sampai ke malam Jumaat dia jadi lain. Sekejap-sekejap menangis, sedar-sedar berlinangan air mata. Seharian mood down, lemah tak bermaya dan tak bersemangat. Datang waktu dan ketikanya... Syah akan jadi begitu.

Mungkin yang terukir di hati hanya celaru.
Mungkin yang terpahat di jiwa hanya keliru.

(Edisi Istimewa lagi. Alhamdulillah, tamat.)

#RADHA #suratanyangtersirat

Kredit: Semua lagu yang di atas.

📷: Pinterest

Thursday, June 10, 2021

[Cerpen] Kelab Single

Kelab Single
Oleh Rnysa

Angin tak ada, ribut tak ada. Tiba-tiba dapat short notice mengatakan Kak Syah akan bakal bertunang pada sekian-sekian hari. Untuk itu, kakak sepupu Jiba itu bakal pulang balik ke Malaysia pada cuti musim panas nanti. Lamanya tak jumpa Kak Syah. Balik-balik cuti terus nak bertunang pula!

Dan hari tersebut, Kak Syah nampak tenang sahaja di atas pelamin serba putih yang dihias indah. Dia tampak manis dengan sepersalinan jubah dan tudung pashmina warna buah peach gelap. Ringkas dan mengikut syariat, tegas ayah Kak Syah tadi. Jiba pun turut bersetuju tentang hal itu. Kak Syah yang sudah semakin manis itu kelihatan anggun di hari bahagianya.

“Kan Kak Syah masih pelajar lagi, mana ada duit nak beli baju mahal-mahal.” Canda Kak Syah apabila ada yang tegur fasal baju dia. Yalah, Kak Syah kan lebih rela beli buku daripada baju-kasut-beg-tudung macam perempuan lain.

Hmmm…Tunang Kak Syah tidak datang waktu majlis hari ini. Jadi tak dapatlah Jiba menatap wajah tunang Kak Syah. Hampa. Baru bercadang nak mengusik Kak Syah tadi. Sekali lagi wajah manis Kak Syah ditatap. Kiranya ‘presiden’ Kelab Single sudah terpaksa meletakkan jawatan secara rasminya. Lalu Jiba...bagaimana?

***

Beberapa tahun kemudian…

September 10, 2010

Najiba ketawa tatkala membaca jawapan yang diberikan oleh pelajar Tahun Tiga sekolah ibunya. Rasa nak terputus urat-urat di mulut menahan tawa. Sebagai bekas pelatih teknikal TNB (Tenaga Nasional Berhad) yang belajar tentang elektrik dan keluar masuk PMU (Pencawang Masuk Utama) yang menempatkan transformer, pemutus litar dan lain-lain, sudah tentu Najiba rasa terhibur sekejap dengan jawapan lucu yang mereka beri. Topik magnetism yang mereka jawab ini Najiba belajar waktu Tahun Satu di universiti dahulu. Tanpa sedar bahagian saraf otak si bakal jurutera yang bersimpul pun boleh jadi kembali normal.

“Hahaha...” Bergema tawa pelajar kejuruteraan dari UNITEN itu lagi, sehinggakan ibunya naik hairan. “Kelakar, kelakar...” Ujar Jiba lagi. Tangan terus menanda kertas periksa.

"Kakak, cuba bersopan sikit. Malu dekat jiran sebelah..." Puan Monaliza menegur perilaku anak gadisnya gelak tak tentu hala. Memang jawapan budak-budak itu kadangkala tidak logik dek akal dan menggelikan hati, tapi cubalah kawal sedikit. Tidak nampakkah Najiba yang anak teruna jiran sebelah sedang mencuci kereta sekarang? Matanya terus mengintai-intai ke rumah jiran sebelah dari balik tingkap.

“Cubalah jadi sopan macam Kak Akasyah kamu. Dia dah banyak berubah sejak duduk di Jepun tu...” Tambah si ibu lagi.

“Alah, Kak Syah tu... dah ada buah hati baru pandai jadi sopan-ayu begitu.” Balas Najiba selamba. Matilah kalau Kak Syah dengar. Ampun kakak sepupu!

“Oh, kiranya memang si Adam tu buah hati dia sejak zaman sekolah?” Ibu yang baru kenal dengan abang Adam terus buat konklusi sendiri. Biasalah budak zaman sekarang, bercinta dahulu baru bernikah, fikirnya.

Najiba sudah menepuk kepala. Aduh, kan dah tersalah bagi markah! Pen merah segera diletakkan ke atas meja.

“Alahai ibu... kan hari tu kita dah cerita masa kenduri Kak Syah. Mula-mulanya Abang Adam tu jadi kawan dia saja. Dah lama kawan lepas tu... baru abang Adam beritahu yang dia suka Kak Syah.” Terang Najiba dengan tangan tergawang-gawang ke udara. Semangat!

Puan Monaliza mengangguk. Dia mengambil tempat di sebelah anaknya di atas sofa. “Dah berapa banyak siap dah tu?” Soalnya penuh prihatin.

“Seksyen A yang soalan objektif dah siap. Dengan Seksyen B1 pun dah. Tinggal nak semak jawapan subjektif Seksyen B...” Beritahu Najiba.

“Kalau penat rehat dulu. Kalau tak solat, pergi solat dulu. Nanti sambung semula. Jangan buat kerja sampai tak solat...”

“Iya...”

“Nasib baik kakak tengah cuti. Bolehlah tolong ibu tanda kertas soalan budak-budak ni. Ibu macam dah tak boleh fokus sekarang, mata pun kurang baik...”

“Okey...”

“Hmmm... taman bunga kita dah lama tak berjaga. Nampak serabut. Ibu dah tak larat nak angkat pasu bunga...”

“Nanti Jiba tolong ibu...” 

Dan Puan Monaliza terus bercerita. Cerita? Yalah, semuanya cerita hal rumahtangga mereka sekeluarga. Dari kisah taman bunga rumah mereka, menu makan malam dan sebagainya. Kemudian balik semula cerita Jiba yang gelak tak ingat dunia; ditekankan semula soal kesopanan seorang anak gadis plus kisah anak teruna jiran sebelah yang baru habis belajar dari UTP.

“Apa kaitannya dia dengan Jiba?” Terus Jiba rasa alergik.

“Ibu cakap saja. Jiba pun tak ada kawan lagi...”

Najiba menarik muncung panjang. Hmmm... Semenjak presiden Kelab Single - Kak Syah - sudah berumahtangga, dengan Jiba sekali terpaksa dengar cerita hal kahwin-kahwin ini. 

“Ibu, Jiba kan studi lagi. Kak Syah tu lain...” Omel Najiba. Dulu Kak Syah yang berkobar-kobar tak mahu kahwin awal. Nak dapatkan gelaran doktor falsafah baru kahwin lah, apa lah. Sekarang apa sudah jadi? Baru tamat sarjana dan umur 26 tahun sudah jadi isteri orang. Habis macam mana dengan Kelab Single saudara-mara kita?

“Ibu dengar cerita Kak Syah dah mengandung...”

Najiba sudah rasa bagai tersedak getah pemadam. Kak Syah mengandung? Oh, Kak Syah dah nak jadi emak orang... tak cakap dengan Jiba? Kak Syah sekarang sudah pandai main rahsia-rahsia.

“Kak Syah tak cakap dengan Jiba pun...” Najiba buat nada merajuk. Entah-entah Imean pun dah tahu, Kak Su pun dah tahu. Dan semua sepupu-sepapat sudah tahu... kecuali Najiba binti Omar. Mana aci!

“Ibu pun dapat tahu dari mak Kak Syah. Dia telefon semalam. Agaknya Kak Syah tak sempat nak telefon Jiba sebab dia pun sibuk kerja. Jiba kena faham... orang dah kerja dan ada keluarga macam Kak Syah, hidup dia dah tak sama dengan orang bujang dan masih belajar macam Jiba..." Pujuk Puan Monaliza. Kepala anak gadisnya digosoknya perlahan. Dia tahu Akasyah memang rapat dengan anaknya sejak lahir lagi. Umur mereka pun sekadar beza tiga, empat tahun sahaja.

“Jiba pun jarang cakap dengan Kak Syah sejak dia dah berkahwin...” Ulas Najiba lalu melepaskan keluhan kecil. Kak Syah dah berubah dan lupa Jiba sejak bernikah dengan abang rambut perang...

“Kadang-kadang bila dah kahwin memang macam tu. Nanti ibu pun sedih bila Jiba kahwin. Jiba dah tak duduk dengan ibu. Harapnya Jiba tak lupakan ibu..." Ibu pula buat nada sedih waktu petang-petang begini.

Alahai, ibu ni dah mula buat drama pula. Orang sedih pasal Kak Syah, dia cakap pasal Jiba pula. Tapi bak kata pujangga: kasih ibu memang sampai ke syurga kan? Sebab itu apa-apa pun mesti ibu akan selalu saja nak kaitkan dengan diri Jiba, bisik Najiba dalam hati. Gadis manis itu segera memeluk ibunya dengan penuh kasih sayang.

***

Dari halaman rumah, petang itu Jiba memandang sekilas Kak Ngahnya, Nabila Omar, yang sedang berbual-bual dengan Abang Ikmal melalui telefon bimbit. Kak Ngah Bila melepaskan pandangan ke halaman rumah sambil tersenyum-senyum malu. Dia dan Abang Ikmal baru sahaja bertunang awal tahun lalu. Insya-Allah, dalam masa setahun lagi mereka akan melangsungkan perkahwinan.

Tidak seperti Kak Bila, Jiba tak pernah ada sesiapa pun di hatinya sebelum ini sehingga ke saat ini. Kakaknya itu memang ramai peminat sejak sekolah rendah lagi. Yalah, orang punya pakej yang lengkap katakan! Tak macam Jiba, hatta sekeping kad atau nota dari peminat misteri pun dia tak pernah terima. Nak dapat bunga atau coklat? Mimpilah!

Keluarga Jiba ada lima beradik dan kesemuanya perempuan pula. Kak Long, Kak Ngah, Kak Yang, Kak Chik (Jiba) dan Dik Su.

Kak long Jiba, Nafisa Omar, waktu dulu-dulu sebelum tamat U lagi sudah dirisik orang. Jiba? Tahun depan sudah hendak masuk tahun akhir, masih kekal tak berteman apalagi bakal dirisik orang. Kak Yang Jiba, Nadira Omar, yang sudah dua tahun berkerja di Bangi sedang dalam proses berkenalan dengan rakan sekerjanya. Adik bongsu Jiba atau Dik Su, Nazira Omar, pun dengar ceritanya sudah ada 'kawan' di matrikulasi.

Si Kak chik pula? Najiba Omar? Macam itu juga, tetap kekal tak ada sesiapa yang istimewa di hati. Tetap tidak disukai oleh mana-mana lelaki.

Dulu Jiba tak kisah pun. Sebab sebelum berkahwin dengan Abang Adam, Kak Syah pun tak pernah ada peminat. Apa-apa Jiba suka buat perbandingan dengan Kak Syah. Kerana diri mereka lebih kurang serupa. Mereka pun sama-sama mempelajari bidang kejuruteraan. Perangai agak 'kasar' dan selamba. Tak pandai kontrol ayu (sebab memang semulajadi tak ayu pun).

“Kita serupa… kita serupa…” Begitulah Kak Syah akan berdendang. Jiba selalu terhibur dengan nyanyian Kak Syah, mantan presiden Kelab Single. (Selain Kelab Single, mereka juga ada Kelab Koir suatu masa dulu. Waktu dia masih kecil, Kak syah memang suka tubuhkan macam-macam kelab dalam network keluarga mereka saudara-mara. Mereka ada Kelab Kanak-Kanak Riang, Kelab Remaja Aktif dan lain-lain lagi. Semuanya Kak Syah melantik dirinya sendiri sebagai presiden kelab. Yang selalu menjadi masalah, ikut suka hati dia bubarkan kelab tanpa sebarang mesyuarat dengan ahli kelab yang lain.)

“Sekarang Jiba ambil kisah tentang status single tu?” Tanya Kak Syah apabila Jiba luahkan rasa hati sehari sebelum Kak Syah melangsungkan perkahwinannya kira-kira dua tahun yang lalu. 

“Sebenarnya tak kisah pun. Jiba gembira saja dengan hidup sekarang. Cuma orang lain saja suka bertanya. Kawan-kawan tuduh Jiba jual mahal, memilih. Padahal diri Jiba yang tak dipilih oleh sesiapa. Tak ada siapa pun yang datang approach Jiba…" Akui Jiba setulusnya. Tangannya lincah menyimpul dawai bunga telur untuk majlis Kak Syah. Dia pun turut menjadi pemberi bunga telur juga.

“Belum tiba masanya lagi. Usah bimbang, deh!" Kak Syah terus tukar loghat Indonesia. Kononlah baru-baru ini Kak Syah dapat tahu keturunan mereka, orang Minangkabau yang merantau dari Indonesia. Makin pekat pula loghat Indonesia Kak Syah. Dia betul-betul ingin menjiwai watak orang Minangkabau!

Petang yang damai itu, Jiba terkenangkan pada sepupunya lagi. Raya tahun ini tak meriah tanpa Kak Syah dan Kak Su yang beraya dengan keluarga suami masing-masing. Kak Syah di Johor, Kak Su pula di Kelantan. Dan juga Imean masih beraya di perantauan - Ireland. Sebelum ini mereka berempat selalu bersama. Empat serangkai! Tapi sekarang hanya tinggal Jiba seorang sahaja. Walaupun ada lagi sepupu-sepapat yang lain, Jiba paling rapat dengan mereka berempat sahaja. Meskipun memiliki kakak-kakak dan adik sendiri, Jiba rasa lebih akrab dengan mereka bertiga. Mungkin kerana mereka berkongsi hobi yang sama: membaca novel. Lalu mereka boleh berkongsi info tentang novel-novel yang bagus di pasaran.

“Assalamualaikum…” Kedengaran orang memberi salam. Jiba yang sedang menyiram pokok bunga di halaman rumah berpaling. Tersedar dari lamunan jauh. Oh, anak jiran sebelah memanggil. Si Wildan, yang baru tamat belajar di UTP. Graduan Kejuruteraan Kimia.

“Wa'alaikumussalam…” Jawab Jiba.

“Ibu saya suruh pulangkan tupperware…" Balas Wildan penuh sopan. Wildan - lelaki yang ibu cuba dikenen-kenenkan dengan Jiba.

“Sekejap...” Jiba segera menyangkut hos ke pagar. Tangan yang basah dikesat ke seluar saja. Jiba melangkah pantas ke tembok yang memisahkan rumah Jiba dan Wildan. 

Tupperware bertukar tangan.

“Terima kasih,” ucap Jiba.

“Sama-sama,” balas Wildan dengan senyum nipis sebelum berlalu.

Jiba terus terasa hati. Sebenarnya mereka baru saja lima tahun berpindah ke kawasan ini. Sudah selama itu juga Jiba dan Wildan hidup berjiran. Namun selama itu juga Wildan tidak pernah bercakap Jiba lebih daripada tiga ayat. Jiba pernah nampak lelaki itu berbual mesra dan bertegur-sapa dengan Kak Long, Kak Ngah, Kak Yang dan Dik Su. Tapi dengan Jiba lain pula layanannya. Kenapa?

Sekali lagi mata Jiba memandang Wildan yang sedang menarik gril pintu rumahnya. Jiba mengetap bibir menahan rasa. Selama ini Jiba cuba berbaik sangka dengan Wildan, tapi jauh di sudut hati dia tetap rasa didiskriminasi.

Eleh, macamlah kacak sangat sampai hati Jiba nak tertarik. Abang Adam, suami Kak Syah yang agak kacak dengan muka mat salehnya itu pun elok saja berbual dengan Jiba. Hai... Kalau anak teruna jiran sebelah rumah tak nak bertegur sapa, lagilah Jiba malas nak beramah mesra. Nanti kena cop gatal pula!

***

Beberapa bulan kemudian…

Pagi Sabtu itu awal-awal lagi Jiba sudah pergi temankan ibu ke kedai runcit. Ibu hendak beli bahan-bahan membuat popia goreng. Tempahan dari Puan Lily Suria, ibu Wildan. Mereka hendak buat kenduri kesyukuran untuk Wildan dan adiknya, Wahida. Tiba-tiba rumah mereka bertukar menjadi kilang popia pula.

Yang tak seronoknya, Jiba pun kena tolong ibu untuk kenduri Wildan. Tak sukalah air tangan Jiba 'terpecik' untuk makanan si Wildan yang sombong itu!

“Banyaknya ibu. Sampai tiga ratus biji...” Keluh Jiba. Kalau Jiba sekarang menetap di Kampar - berdekatan rumah Kak Syah - sudah lama Jiba suruh Wildan tempah saja dari Popia Zul. Popia goreng abang India Muslim itu dijamin sedap!

Mujur adik-adik perempuan Wildan, Wardah dan Wahida datang menolong pada sebelah petang. Mereka ambil ‘kontrak’ kupas dan potong sengkuang. Jiba tolong parut lobak merah. Manalah Jiba pandai memasak sangat. Bab makan pandailah. Tak perlu disuruh sudah laju duduk di meja makan.

“Bila lagi nak belajar memasak...” kata ibu. Sebab itu hari ini Jiba dikerah tolong ibu.

“Takkan Jiba balik bermalam ke rumah semata-mata nak siapkan popia si Wildan pula.” Jiba tarik muka tak puas hati. Dan apabila Jiba perasan muka ibu berubah, dia rasa bersalah. Cepat-cepat Jiba peluk ibu. "Jiba bukannya tak mahu tolong ibu. Tapi tak sukalah Wildan tu..." luah Jiba.

“Kenapa? Kenapa tak suka Wildan?” Tanya ibu bertubi-tubi.

“Hmmm...” Malasnya Jiba mahu komen tentang jurutera yang perasan dirinya kacak itu, menurut pandangan Jiba. Lalu Jiba sekadar menjungkitkan bahu, tidak mahu mengulas panjang. Dengar ceritanya, graduan kejuruteraan kimia itu sudah berkerja. Semalam Wildan baru balik dari Miri, Sarawak. Jiba pun sudah selamat naik tahun empat. Sibuk dengan projek tahun akhir pula. Hari ini sibuk dengan projek popia goreng pula!

“Alahai, ibu telefon suruh balik semata-mata sebab popia?” Mood Jiba susut 40% sebelum kena seret ke kedai awal pagi tadi. Ingatkan ibu telefon sebab rindukan Jiba.

“Habis... siapa nak tolong ibu masak? Jiba kan yang paling dekat dengan ibu. Yang lain semua duduk jauh. Kak Yang pula kerja hari Sabtu ni.” Yalah, rumah ibu dan kampus Putrajaya UNITEN di Kajang tak sampai satu marhalah pun. Rumah Jiba sekeluarga di Putrajaya saja. Kak Yang Nadira pula berkerja di sebuah kilang elektronik di Bangi, kadang-kadang hari Sabtu pun kena berkerja juga.

“Wahida belajar apa di UiTM?” Jiba menemubual adik sang jurutera yang manis.

“Farmasi.” Jawab Wahida pendek dengan senyum meleret. Dia baru saja mendaftarkan diri sebagai pelajar UiTM Puncak Alam.

“Wardah pula tahun ni PMR, kan?” Jiba memandang Wardah yang duduk bersimpuh dengan sopan di atas tikar mengkuang. Tangannya lincah mengupas kulit sengkuang.

“Haah. Tolong doakan Wardah dapat 8A, kakJiba.”

“Insya-Allah. Mesti dapat 8A punya. Kakak abang Wardah kan semuanya bijak pandai...” Terutama si Wildan, tambah Jiba di dalam hati. Jurutera itu kan pernah jadi pelajar terbaik di sekolahnya dulu. Amboi Jiba, mulut saja bilang tak suka. Macam-macam info tentang Wildan dalam kocek Jiba sahaja. Mana tidaknya, Ibu Wildan dan ibu Jiba suka bersembang hal anak-anak. Tentulah ibu pun turut kemas kini maklumat terbaharu tentang keluarga jiran sebelah rumah mereka itu kepada Jiba.

Hari sudah semakin senja, Wardah dan Wahida meminta diri untuk pulang ke rumah mereka. Jiba pula kena menghabiskan tugas mereka memotong sengkuang. Abah menegur sengkuang yang Jiba potong besar-besar, berbeza dengan hasil tangan dua beradik tadi.

“Besarnya. Nanti tercekik pula orang makan.” Usik abah.

“Jiba dah penatlah...: Balas Jiba. Tangannya mengambil semula hirisan sengkuang dari dalam besen, menghiris lebih kecil lagi.

“Baru buat kerja sikit dah penat? Tulah... lain kali kena rajin tolong ibu di dapur.” Canda abah lagi.

“Sikit kata abah? Jiba dah tolong kupas kulit udang. Tolong buang ekor taugeh. Tolong parut lobak. Banyak tau Jiba tolong ibu hari ni...” Jiba buat laporan lengkap.

“Wah, rajinnya anak abah.” Abah ketawa berderai.

“Abah perli Jiba, ya?” Jiba sakit hati. Ketawa abah macam bunyi tak ikhlas saja.

“Kan abah sedang puji Jiba ni.” Abah masih gelak-gelak lagi.

“Yalah tu...” Jiba menjeling sekilas. Mata Jiba melekat pada sebesen besar sengkuang yang sudah siap dihiris. Malam nanti ibu nak ajar cara goreng inti popia pula. Jiba menghitung dalam hati. Lobak sudah siap, sengkuang pun sudah. Udang ada dalam peti sejuk. Taugeh rendam dalam air. Kulit popia ibu sudah keluarkan dari peti sejuk. Semuanya sudah beres!

***

Dari jauh Jiba hanya memerhatikan Wildan cekap melayan para tetamu yang hadir ke majlis kenduri kesyukuran keluarganya. Tetamu yang datang tidak putus-putus. Khemah lelaki di sebelah kanan Jiba sentiasa penuh. Orang perempuan kebanyakannya makan di dalam rumah. Tapi ada juga yang makan di bawah khemah ini seperti Jiba, yang lebih suka keadaan terbuka begini.

Sekejap-kejap Jiba menguap panjang. Mata Jiba rasa berat macam digantung mesin jahit. Bila-bila masa saja boleh terlelap. Ibu yang sibuk membantu keluarga Wildan sudah dua kali menjeling ke arah Jiba. Nasiblah... siapa suruh Jiba melipat popia dari subuh sampai ke tengah hari. Kan Jiba sudah kepenatan. Badan Jiba pun sudah berbau popia.

Ya Allah, mengantuknya mata. Jiba menahan kuap dengan sebelah tangan. Mata Jiba meleret pada dulang popia goreng yang kuning keemasan di atas meja buffet yang sudah tinggal 1/4 lagi isinya. Mujurlah bukan Jiba yang menggoreng popia tadi. Kalau tak mesti sudah hangus rentung. Merosakkan majlis kenduri si Wildan dan Wahida. Mujur sangat...

“Jiba dah makan ke belum ni?” Tegur Puan Lily Suria, ibu Wildan.

“Dah. Jiba dah rasa nasi beryani. Sedap!” Balas Jiba yang duduk di khemah tetamu saja sejak datang tadi. Tak bergerak-gerak ke mana-mana. Keletihan mengikatnya di situ.

“Laksa sanggul tu Kak Fiya yang buat. Jangan lupa rasa ya...” Kakak sulung Wildan, Wafiya pula menambah. 

Jiba mengangguk. Baru saja dia hendak buka mulut, tiba-tiba Wildan datang ke tempat Jiba, Puan Lily Suria dan Kak Fiya berkumpul.

“Ibu, popia dah nak habis. Ada lagi tak?” Tanya Wildan.

“Ada dekat dapur. Minta Wardah gorengkan lagi.” Puan Lily Suria memanjangkan leher ke halaman rumahnya mencari susuk Wardah.

“Tak silap Fiya, tadi Wardah temankan kawan-kawannya makan dalam rumah. Mereka baru sampai.” Celah Kak Wafiya sebelum pergi melayan kerenah anaknya, Maira, merengek minta air teh limau.

Puan Lily Suria mengalih pandangannya pada Jiba. 

Ah sudah! Janganlah nak minta tolong Jiba pula. Jiba memandang ke arah lain. Pura-pura tidak berminat mendengar perbualan mereka anak-beranak.

“Rasanya Ida tengah solat zohor...” Balas Puan Lily Suria pada Wildan. Lelaki itu sekadar mengangkat bahu tanda tidak tahu. Pandangan Puan Lily Suria dan Jiba bertemu lagi. Jiba cepat-cepat berlakon sibuk makan puding cocktail pula. Disudunya perlahan-lahan masuk ke dalam mulut.

“Jiba...” Seru Puan Lily Suria.

Perlahan-lahan Jiba angkat muka dari puding cocktail yang sedap. Siapalah yang baik hati membawanya. Jiba rasa nak menambah lagi sesudu dua.

“Lepas makan Jiba tolong makcik, boleh?” Pinta Puan Lily Suria. Jiba terus tersedak. Cepat-cepat tangannya mencapai gelas air teh limau, lalu diteguknya laju bagi melegakan tekak yang terkejut.

“Err... saya?” Kenapa pula Jiba yang kena buat? Upah tolong buat popia pun Jiba tak dapat lagi. Goreng popia tak termasuk dalam perjanjian, kan? Bukanlah Jiba nak berkira, soalnya Jiba sudah tak larat sangat.

“Sekejap saja... sementara tunggu Wahida habis solat.” Kata Puan Lily Suria, memahami keadaan gadis itu melalui raut wajahnya yang sudah hilang ceria.

“Okey...” Sebagai anak jiran yang baik, Jiba kena jaga air muka ibu Jiba juga.

Wildan menatang dulang popia yang sudah kosong ke dapur. Di sana dia memerhati Najiba yang sedang buat kerja lambat-lambat. Wajah gadis itu terpancar keletihan yang amat sangat. Wildan rasa serba salah kerana telah menyusahkan Najiba. Diletakkannya dulang yang sudah kosong di atas kaunter, yang memisahkan ruang makan dan dapur basah.

“Jiba...” Panggil Wildan.

Najiba berpaling lalu pandangan mata mereka bertemu.

"Awak pergilah rehat. Saya dah minta kakak sepupu saya gantikan tempat awak." Kata Wildan. Tadi dia nampak kakak sepupunya, Kak Nawwir datang dari arah bilik Kak Fiya. Sempat Wildan minta tolong Kak Nawwir tolong gorengkan popia yang sudah kehabisan. "Jadi tak perlulah awak buat lagi. Pergilah berehat…”

Jiba berkerut dahi tidak percaya. Wildan sudah boleh bercakap lebih daripada tiga ayat dengan Jiba? Tangan kanan Jiba sudah bersedia dengan seketul popia, sebelah kiri pula memegang tupperware penuh dengan popia yang belum digoreng. Minyak pun sudah panas. Tanpa diduga, popia terlepas dari tangan Jiba. Terus jatuh ke dalam kuali yang hangat. Minyak panas memercik ke arah Jiba. Jiba menjerit kecil kerana terkejut. 

“Jiba!” Tanpa bertangguh lagi Wildan terus menghampiri Jiba yang sudah mengundur beberapa tapak ke belakang.

Jiba menahan pedih. Tangan kanannya jadi merah terkena minyak panas. Cepat-cepat dia letak tupperware di atas meja dan terus ke sinki menjirus air ke tangan kanannya. 

“Kan saya dah cakap jangan buat.” Wildan terus membebel. Matanya membelek tangan kanan Jiba yang memerah. Dipandangnya juga wajah Jiba yang berkerut menahan sakit. Wildan pantas mencari kit pertolongan cemas di kabinet dapur.

Wildan menyerahkan kit pertolongan cemas yang diambilnya kepada Kak Nawwir yang muncul di tempat kejadian. Melihat Jiba yang kesakitan dan tangannya yang merah, rasa bersalah terus membaluti hati Wildan. Tak fasal-fasal habis tercedera tangan anak orang, bisik hati Wildan.

Wildan hanya berdiri di muka pintu dapur. Najiba? Gadis itu terus pulang ke rumahnya selepas Kak Nawwir menyapukan krim pada tangannya.

“Terima kasih, kak. Jangan cerita pada sesiapa, ya.” Kata Jiba yang sudah malu di depan Wildan yang asyik merenungnya. Malu juga sebab sudah terjadi ‘kemalangan kecil’ di rumah orang sebelah. Nampak sangat dia tidak cekap di dapur.

Wildan sekadar memerhati. Waktu berselsih dengan Wildan, gadis itu sedikit pun tidak berpaling kepada Wildan.

“Maafkan saya, Jiba.” Namun ucapan maaf dari Wildan itu tidak bersambut. Najiba menoleh pada Wildan pun tidak. Wildan cuba berbaik sangka. Mungkin Najiba tidak mendengar suaranya yang perlahan tenggelam dalam keriuhan gelak-tawa sanak-saudara dan jiran tetangga yang datang berkumpul. Wildan terus mengikut Najiba dari belakang. 

“Nak ke mana ni?” Tanya ibu Jiba, yang berpapasan dengan Jiba di pintu rumah Wildan.

“Balik rumah. Penat.” Balas Jiba cepat-cepat. Disoroknya tangannya yang tercedera ke belakang badan. Puan Monaliza sekadar menggeleng-gelengkan kepalanya. Jiba segera menyarung sandalnya.

Wildan yang turut mendengar jadi berganda-ganda rasa bersalah. Kenapa Jiba tak ceritakan hal yang sebenarnya? Kenapa mesti berselindung, Jiba?

Jiba berpaling ke belakang. Terasa dirinya diekori. Wildan?

“Kenapa?” Tanya Jiba dengan nada sombong.

Wildan menggeleng. Tangannya menyeluk kocek baju Melayu. Dia memandang hujung capal aladinnya.

Eh, macam berdrama pula mamat ni. Ingat tengah praktis pentomen sampai tak perlu bersuara. Entah-entah Wildan ni ahli kelab drama dekat UTP dulu...

“Tak perlulah tiba-tiba nak berbaik-baik dengan saya. Sebelum ni awak nak cakap dengan saya pun payah.” Wah, Cik Najiba Omar pula yang nak berdrama!

Wildan terus angkat muka. Terkejut dengan kata-kata Jiba.

“Awak boleh berbual mesra dengan kakak-kakak dan adik saya. Tapi dengan saya? Hmmm...” Jiba berpeluk tubuh. Masih 'praktis dialog' dalam 'kelas lakonan'nya dengan Wildan.

“Jiba, saya...”

“Saya nak balik.” Jiba cepat-cepat memintas kata-kata Wildan dan terus melangkah ke rumahnya. “Oh, sebelum itu...” Jiba tiba-tiba berhenti dan berpaling semula. Matanya singgah pada wajah Wildan yang masih kelam. “...tahniah untuk awak!”

Jiba senyum simpul. Dia menahan tawa dalam hati. Kak Syah, kita patut buat Kelab Drama. Dan kali ini Jiba rasa Jiba patut dan layak menjadi presidennya!

Malam itu Wildan memandang ke arah tingkap bilik Jiba. Namun dia masih tidak mempunyai kekuatan untuk bercakap dengan Jiba setiap kali mereka bertemu mata. Berhadapan dengan Jiba buat dia rasa kekok serba-serbi. Entah kenapa…

***

Sejak dari hari itu, jarang sekali Jiba nampak Wildan. Jiba sendiri sibuk dengan projek tahun akhirnya dan seterusnya majlis konvokesyen. Selepas itu sibuk mencari kerja pula. Manalah dia sempat ambil tahu tentang Wildan lagi. 

Semakin lama, ibu pun sudah tidak bercerita tentang Wildan lagi. Entah kenapa nama Wildan terus lenyap dari topik cerita ibu. Mungkin ibu sudah mulai sedar, Wildan tidak ada hati pun dengan Jiba. Syukurlah!

Namun jauh di sudut hati, Jiba tetap terasa hati dengan Wildan, jiran sebelah rumahnya yang sudah merantau ke Miri, Sarawak itu.

Waktu kenduri kesyukuran abah dan ibu Jiba hendak pergi haji, kebetulan Wildan pulang bercuti. Dia turut diundang memeriahkan majlis.

“Jiba…” Seru Wildan. Namun kata-katanya terhenti di situ sahaja. Hendak meluahkan perasaan yang terbuku di hati bagaikan memerlukan seluruh kekuatan jiwa. Terasa temuduga kerjanya dahulu lebih mudah berbanding berbicara dengan Jiba di saat itu.

“Apa?” Jiba tenung wajah Wildan dalam-dalam.

Wildan menggeleng dan terus berlalu.

Jiba garu kepala yang tidak gatal. Aduh, jurutera kimia itu berdrama lagi!

***

Najiba menghitung-hitung umurnya. Alhamdulillah, Jiba pun sudah berkerja. Sudah tiga tahun di syarikat yang sama sejak tamat belajar. Baru-baru ini rakan sekerjanya baharu sahaja melangsungkan rumah tangga. Jiba masih kekal status bujang dan belum dimiliki. Tentu ada sebabnya Jiba masih sendirian, Allah jua lebih mengetahui. Sejak dia berkerja, ramai mulut yang bertanya tentang perkahwinan. Jiba hanya jawab, “Belum sampai jodoh.” Kadangkala hanya membalas dengan senyuman dan gelak tawa sahaja.

Sehinggalah tiba pada suatu hari yang tidak disangka-sangka. Keluarga Jiba menerima lamaran daripada orang yang tidak dijangka-jangka. Lelaki yang Jiba kenal waktu awal-awal kerja dahulu. Waktu dia pergi berkursus di sebuah resort.

 “Kita selalu berjumpa tanpa dirancang. Dan setiap kali itu pasti hati saya rasa lain…” Luah lelaki itu sedikit terbuka, di hadapan abah dan ibu Jiba sekali.

“Baru sekali itu sahaja, kan? Di Gambang Resort?”

Lelaki itu menggeleng.

“Kenduri kakak sepupu awak. Awak yang beri bunga telur pada saya.”

“Iya?” Macam tak percaya pula mereka sudah pernah bertemu waktu itu. Memang agak mustahil Jiba boleh kenal si dia waktu itu. Ramai sangat orang menghadiri kenduri sebelah keluarga pengantin perempuan.

“Waktu itu saya pakai kaca mata hitam sebab mata bengkak. Saya tak sempat nak tegur dan awak mungkin tak perasan…” Lelaki itu mengeluarkan kaca mata hitam dari poketnya lalu digayakan khas untuk tatapan Jiba. Moga-moga Jiba boleh ingat semula.

Oh, dialah orangnya yang Jiba perli ‘lelaki perasan bergaya’ di majlis kenduri Kak Syah dulu. Dari masuk dewan sehingga mahu balik dan dapat bunga telur asyik berkaca mata. Kenalan suami Kak Syah juga, rupa-rupanya. Dia dan suami Kak Syah bertemu di lapangan terbang di Dubai. Terus jadi rapat sampai sekarang. Dia juga Jiba gelar sebagai ‘lelaki miang’ kerana cuba menguratnya semasa sedang berkursus di Gambang Resort Siap mainkan piano di lobi hotel, ditujukan khas buat Jiba. Berani sungguh!

“Sudah sampai waktu dan orang yang sesuai, Allah permudahkan segala urusan. Alhamdulillah…” kata lelaki itu lagi dengan nada tenang.

Di luar rumah kelihatan Wildan baru keluar dari kereta. Mungkin dia baru sampai dari Miri. Wajah Wildan yang keletihan cuba diusir jauh. Saat itu.

***

Oh, siapakah lelaki yang cuba menambat hati Jiba? Biarlah rahsia!

Kakak penulis kata, kena tunggu cerita penuh dalam ‘Diari Tengku Anis’.


(Tamat) 

Karya ini versi asal diedit oleh penulis setelah terpilih untuk diterbitkan dalam Antologi Cerpen Adiwarna: Kerana Dia, Ratu Sehari pada tahun 2013.


Monday, June 07, 2021

(Intro) Kerana Aku Bukan Juliet

Kerana Aku Bukan Juliet
Oleh Rnysa


Intro

MSC BY RESEARCH ENGINEERING AND ELECTRONICS (DIGITAL COMMUNICATIONS)
UNIVERSITY OF EDINBURGH

Afifah Nur menggosok matanya berkali-kali. Rasa macam mimpi. Biar betul! Dibacanya sekali lagi surat tawaran dengan logo universiti itu. Kali ini lebih perlahan, satu demi satu.

"Mama...!!!"

Satu rumah sewa bergema dengan teriakan Afifah.

Kak Anis yang sedang sibuk memasak hanya mampu menggelengkan kepala. Kus semangat! Nyaris tak terpelanting sudip di tangan. Afifah ni la...

"Kalau ya pun seronok, tone down sikit suara tu..." Kak Anis tersengih senget sambil bercekak pinggang di tengah pintu.

Afifah terus meluru ke arah Kak Anis. "Akak tahu?"

"Mestilah, akak yang ambil surat dalam peti surat masa sampai rumah tadi. Tahniah!" Bahu Afifah ditepuk perlahan. Nak peluk nanti berbau ikan pula sebab Kak Anis baru lepas siang ikan tadi.

Afifah senyum sampai tak cukup mulut. "Terima kasih Kak Anis. Jasamu dikenang!" Terus dipeluknya kakak teman serumah yang tinggi lampai itu. Hati Afifah sudah tidak sabar mahu menyampaikan berita gembira ini kepada mama. "Fifah naik bilik dulu. Nak telefon mama..."

Kak Anis ketawa. "Kirim salam pada mama Afifah sekali..."
"Aik, takkan mama saja? Dekat abang ngah Fifah tak nak?" Saja mengusik.

Kak Anis berpaling. "Fifah pernah nampak tak sudip melayang kena kepala?"

"Huhu...garangnya bakal kakak ipar Fifah ni." Afifah mengguman rendah.

"I heard that."

(Bersambung...)


Cerita ini ditulis pada 7 Jun 2014