Sunday, October 24, 2021

[1] En Effet, Une Histoire D’amour

En Effet, Une Histoire D’amour
Oleh Rnysa


Un

Bawa aku lari daripada duka, 
temani hatiku yang terluka


Beberapa tahun yang lalu...

Adeilah menyuap stroopwafel yang terakhir ke dalam mulut sebelum mengunyahnya dengan perlahan. Dia sedang menikmati pencuci mulut terkenal dari Gouda, Belanda itu untuk minum petang. Resepinya macam lebih kurang wafel biasa. Tapi jauh lebih nipis, kemudian kepingan wafer itu dibelah dua dan akhirnya disapu sos karamel. Ada juga yang gantikan dengan coklat. Adeilah suka versi original yang letak sos karamel homemade yang papanya buat sendiri.

Sambil mengunyah, sorotan mata Adeilah terhenti pada wajah papa yang tampak senang sekali menghirup teh panas saat ini. Ditambah dengan dapat merasai hidangan dari negara kelahirannya, senyuman papa menghiasi bibirnya sepanjang hari. Manakala wajah mama pun nampak segar disimbah kepulan asap nipis dari teh panas dalam teko kaca lutsinar di atas candle warmer stand. Haruman lembut bunga tulip dari lilin yang memanaskan teh itu turut menyebarkan wangiannya.

Petang yang indah!

"Pukul berapa Freddy nak datang?" Mama ambil sekeping stroopwafel dan meletakkannya di atas gelas kaca berisi teh panas.

"Jam lapan malam." Adeilah capai sekeping roti putih. Sebelah tangan lagi mengambil botol Lotus Biscoff di tengah meja. Roti disapu mentega Olive Oil Extra Grove dahulu sebelum diratakan dengan sapuan Biscoff pula.

"Nanti terus pulang selepas majlisnya, okey?" Walaupun tahu Adeilah sudah dewasa dan pandai jaga diri, papa masih selalu memperingatkan anak bongsunya itu.

"Okey, bos." Adeilah kenyit mata pada papa.

***

"Adik, Freddy dah sampai!" panggil mama dari ruang tamu di tingkat bawah.

"Sekejap...." Cepat-cepat Adeilah mengenakan sebelah lagi anting-antingnya di telinga kiri. Dia merapikan rambut yang sedikit beralun di hujungnya. Tas tangan dan kasut tumit tinggi dicapai. Dia melihat dirinya cermin sekali lagi buat kali terakhir.

"Parfaite!" Senyum.

Parfaite. Perfect.
Segalanya sempurna.

***

Adeilah melangkah lambat-lambat memijak anak tangga. Diangkatnya sedikit hujung kain baju kurung moden dari jenis kain kapas songket warna pastel yang dibelinya tahun lepas di pasar payang, Kuala Terengganu.

"Let me help you, baby." Freddy menghulur tangannya, tanda prihatin.

"Tak apa." Seperti biasa Adeilah menolak dengan baik.

"Terpulang." Freddy pandang tangan sendiri yang kosong tak bersambut. Seperti biasa. Seperti selalu.

Majlis resepsi rakan mereka waktu belajar di Perancis dulu sangat meriah. Namun, entah mengapa Freddy yang tadi rancak berbual dengannya dalam kereta bertukar menjadi senyap tiba-tiba. Sudah beberapa kali Adeilah menjeling dengan hujung mata riak wajah tunangnya itu.

"Bae, you nak teh tarik? Favourite you, kan? I boleh pergi ambilkan." Adeilah menawarkan diri sebaik sahaja terlihat orang di meja sebelah mereka sedang menghirup minuman kegemaran buah hatinya itu.

Freddy mengangguk sambil tersenyum sedikit. Adeilah memang pandai hatinya. Tahu serba serbi kesukaannya.

"Okey, I pergi sana sekejap." Adeilah pun bangkit dari kerusinya.

"I pun nak, Del." Nana yang duduk di sebelah kirinya bersuara.

"Eh, you tolong ambil sendiri. I tak cukup tangan nanti. Jom." Adeilah menarik lengan teman baiknya itu.

"Make it two, darling." Lelaki yang datang dengan Nana menambah. Nana kata, lelaki itu merupakan sepupu jauhnya. Distant cousin.

"Kenapa dengan Freddy tu?" Nana berbisik perlahan.

Adeilah angkat bahu, tanda tidak tahu.

Giliran Adeilah pula bertanya, "Kenapa you datang dengan sepupu you? Mana..."

"Kami dah break up." Pantas Nana menjawab.

Adeilah sedikit terkejut. "Nana, berapa kali you break up dalam setahun ni?" Sudah banyak kali dia dengar hubungan Nana yang asyik on-off. Nana, Nana....

"Entah." Nana enggan mengulas panjang. Perbualan mereka tamat di situ.

Setibanya di depan booth air teh dan kopi, Adeilah mengambil empat biji cawan dan piring dari susunan yang disediakan. Nana pula mengisi teh tarik ke dalam setiap cawan. Kemudian, kedua-dua gadis itu menatang minuman tersebut kembali ke meja mereka di tengah banquet hall.

Freddy bangun, ambil kedua-dua cawan dari tangan Adeilah dan letak di atas meja. Kemudian, dia tarikkan kerusi untuk Adeilah duduk.  Freddy pun melabuhkan duduk kembali di sebelah tunangnya itu.

"Merci." Freddy angkat cawan sambil ucap terima kasih dalam Bahasa Perancis kepada Adeilah yang ralit tersenyum memandangnya.

Sementara itu Nana rasa geram sahaja pada 'pasangan'nya yang sekadar memerhati perlakuan Freddy itu tanpa berbuat apa-apa. Hmm, tak gentleman langsung. Nana suakan cawan. Tak sempat apa lelaki itu ambil dan minum sekali hirup sahaja.

Majlis semakin menghampiri penghujungnya. Saudara mara dan kenalan kepada pengantin perempuan dijemput ke hadapan. Pengantin perempuan berdiri membelakangkan semua orang. Hand flower bouquet pun dibaling. Berebut-rebut semua hendak menangkapnya sebelum jatuh di tangan Adeilah.

Adeilah terjerit kecil. Matanya terus mencari kelibat tunangnya.

"Freddy!" Adeilah segera menunjukkan jambangan bunga di tangannya. Dari jauh, dia melihat senyuman lelaki itu.


What if today we were just grateful for everything.

(bersambung...)

 πŸ‡«πŸ‡·πŸ‡²πŸ‡ΎπŸ‡³πŸ‡±

Terima kasih kepada yang minta cerita penuh Adeilah, Khalid, Freddy dll. Insya-Allah, saya cuba tulis sedikit side story mereka dalam blog ini.

πŸ“·: Pinterest

Tuesday, October 05, 2021

[10] Cinta Sofea

Karya Pendek 

Cinta Sofea 
Oleh Rnysa

10


Dan apabila bertanya tentang Dia
Sesungguhnya Dia sangat dekat


Heisei 17 @ 2005


"Okey, sekarang ni Kak Adi nak buat ulangkaji sikit bab akidah. Siapa dapat jawab, Kak Adi akan bagi hadiah istimewa. Soalannya...

Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Barang siapa yang ada padanya tiga syarat ini, dia dapat rasai kemanisan iman.

Boleh tak Yani sebutkan tiga syarat tu? Kita pernah bincang tajuk ni awal-awal dulu." Adi memandang wajah bujur sirih Iryani Khalid, pelajar Tahun Satu di Yokohama National University.

Gadis memakai kaca mata bingkai empat segi itu menggaru kepala. Wajahnya berkerut seribu. "Ermm, tak ingatlah. Maaf, Kak Adi." Dia tersengih panjang sudahnya.

Adi melemparkan senyuman. Pandangan beralih pula pada Haniza yang tunduk sejak dari tadi. "Niza? Niza cuba pula, sayang."

"Kita mencintai Allah dan rasul-Nya mengatasi kasih kita pada yang lain?" Dijawabnya dalam bentuk tanda tanya juga.

"Lagi?" Adi angkat kening.

"Kalau cintai seseorang, cinta semata-mata kerana Allah." Kali ini dia lebih yakin.

Senyuman Adi kian melebar. "Yang terakhir...." Adi memerhati wajah anak usrah satu-persatu. "Aza?"

"Adoi! Selalu saja kena jawab yang hujung-hujung. Kak Adi ni saja pressure Notie. Nazra tu tak kena lagi." Ujar Azareen sambil menjuihkan bibir pada Nazratul Shima yang tampak lega.

Adi ketawa perlahan.

"Mana ada pressure. Kan kita santai-santai aja ni. Untuk Nazra, Kak Adi dah simpan soalan lain." Adi mendepangkan tangan, menghirup angin laut yang berhembus lembut dan terasa segar.

"Cepat Notie! Sepuluh saat dari sekarang. Sepuluh... sembilan... lapan..." Nazra sengaja memanaskan suasana.

"Fine! Kau orang semua pun berkomplot dengan Kak Adi." Azareen menarik muka masam.

Di kalangan kawan-kawannya, anak kelahiran Selangor itu lebih dikenali sebagai "Notie". Adi kira sangat sesuai dengan karakternya yang 'naughty' itu. Tetapi Adi lebih suka panggil dia dengan nama "Aza". Bukannya apa, Adi bimbang 'kenakalannya' makin menjadi-jadi.

"Tujuh... enam..." Tokok Yani.

"Weh! Kalau ya pun, bagilah Notie fikir dulu. Kejam betul..." Ujar Azareen sambil ketawa berderai.

"Lima..." Adi pun turut ikut sekaki.

"Arghh! Apa dia ni? Masa inilah tak ingat." Azareen menggosok dahinya dengan kedua-dua belah tangan. "Cinta Allah dah, cinta Rasul pun dah, cinta lillahi Ta'ala pun dah. Apa lagi ni?"

Adi dan yang lain sudah ketawa tak henti. Hilai tawa ini bagaikan melodi indah, menceriakan lagi Yamashita Kouen (Park) yang tidak pernah sunyi dari kunjungan pelawat.

"Aaaa! Dah ingat! Benci... benci..." Azareen menepuk-nepuk pahanya.

"Benci apa?" Adi menyampuk.

"Benci kembali dalam kekufuran sepertimana benci masuk dalam api neraka" Jawab Azareen dengan sekali nafas.

"Prittttt.... masa menjawab telah tamat. Sebarang surat-menyurat tidak dilayan." Semua ketawa berderai tatkala mendengar jenaka Niza itu.

"Alhamdulillah, bijak-bijak adik Kak Adi. Lepas ni Kak Adi bagi hadiah tu. Oh ya! Sebelum Kak Adi terlupa... Isnin ni siapa yang boleh puasa tu, jom kita pakat puasa. Bulan Syaaban ni elok banyakkan puasa sunat." Kata Adi panjang lebar.

Azareen mencapai kentang goreng dari dalam tupperware. Sambil enak mengunyah, matanya menjeling-jeling ke arah Adi. Seperti mahu bertanyakan sesuatu. "Kak Adi, macam mana rasa manisnya cinta? Macam Kak Adi dengan Abang..."

Bulat mata Adi mendengarnya. "Amboi, bukan main lagi mengusik orang!" Pantas Adi mencubit manja lengan Azareen.

Dia mengaduh sakit. "Tadi Kak Adi pressure kami, sekarang giliran kami pula nak pressure Kak Adi." Azareen masih tidak serik nak mengusik.

"Yalah, kami pun nak tahu juga. Sebelum ni Kak Adi tak pernah cerita pun dah bertunang, tengah bercinta dengan Abang Mukhriz. Tup-tup terus dapat kad jemputan. Mana kami tak terkejut." Tambah Niza.

"Semua tahu rasa manisnya cinta?" Ujar Adi tanpa mempedulikan Azareen yang suka mengusik tadi itu.

Mereka mengangguk serentak.

"Malulah... bagi soalan lain." Adi segera melarikan pandangan ke arah lain.

"Alaa..." Jerit mereka serentak.

Adi menguis daun kering yang sudah lama gugur. Pipinya terasa panas tak semena-mena. "Kita akan rasa manisnya cinta... apabila hati kita selalu rasa rindu kepada orang tu, rasa terikat kepada dia. Samalah macam kita cintai Allah juga. Kalau kita sebenar-benar cintakan Dia, hati kita selalu rasa rindu dan terikat pada Dia. Rasa cinta juga dorong kita tambah amalan-amalan kebaikan, berkorban dan berjihad di jalan-Nya." Kata Adi, tak mahu adik-adiknya itu terbuai dengan cinta terhadap makhluk semata-mata.

Semua diam, khusyuk mendengar.

"Walaupun kita hidup mewah, seronok dengan dunia ini... dan cinta pada orang sekeliling kita dan yang tersayang... kalau ada." Adi sempat mengenyit pada Niza yang sudah ada seseorang dalam hati. Jejaka idamannya itu sedang menuntut di Australia.

"Semua itu tak halang kita dari mencintai Allah. Jangan jadikan ia alasan kita tak boleh cari jalan untuk dapatkan cinta Allah. Macam Allah sebut dalam Al-Quran... 

Katakanlah wahai Muhammad: Jika bapa-bapa kamu dan anak-anak kamu dan saudara-saudara kamu dan isteri-isteri atau suami-suami kamu dan kaum keluarga kamu dan harta benda yang kamu usahakan dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, jika semuanya itu menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan Rasul-Nya dan daripada berjihad untuk agamaNya, maka tunggulah sehingga Allah datangkan azab seksaNya; kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik." Adi memberi terjemahan surah At-Taubah yang menjadi hafalannya itu.

"Fasiq tu apa Kak Adi? Tak ingat pula maknanya?" Tanya Nazra.

"Derhaka. Macam kau derhaka pada aku tadi."  Balas Azareen selamba. "Kau pernah rasa ditimpa tulah tak? Aku ni ada keturunan raja tau..."

Adi tersenyum panjang melihat gelagat keempat-empat anak usrahnya yang melucukan hati. 

Raja Nur Azareen Raja Mohammad, setiausaha agong 'geng' usrah mereka.  Walaupun nakal, tapi kerjanya bagus dan sepantas kilat, kata Adi apabila adik-adik mengadu perangai nakal Azareen.

Beralih pula pada Ida Iryani Khalid, bendahari merangkap si ulat buku. Tapi si Azareen yang nakal itu pula menggelarnya Yani si Mata Belalang.

Dan akhir sekali, Haniza Hasan Made In Paris (ini kata Azareen, bukannya Adi). Sebab dia lahir lapan bulan selepas ibu dan ayahnya pulang dari berbulan madu di kota romantik itu. Azareen, Azareen... sukanya dia mengusik orang.

Oh, bagaimana pula Adi boleh terlupa pada Nazratul Shima Taruddin yang sukakan puisi. Siapa sangka 'musuh ketat' perang mulut dengan Azareen itu, dalam diam romantis orangnya.

Kesemua mereka adalah pelajar Tahun Satu, baru sahaja sampai di bumi sakura pada bulan Mac yang lalu.

Dan Adi pula, Nur Khadijah Khuwailid menjadi naqibah mereka. Memang Adi tidak pernah sangka tanggungjawab sebesar ini akan disandarkan ke bahu. Mula-mula memang kekok, lama-kelamaan jadi makin seronok pula. Syukur pada Allah yang memudahkan urusan Adi - dapat adik-adik yang masih putik ini sangat mendengar kata.

"Bila lagi nak praktik skill kendalikan usrah tu? Ilmu tanpa amal, ibarat pokok tak berbuah - tak ada makna. Jangan rendah diri tak tentu macam ni, abang tak suka dengar. Sekarang ni kita kekurangan pekerja Islam... we need you as daieah. Islam tak perlukan kita, Allah juga tak perlukan kita nak tegakkan agama Dia... bila-bila masa aja Dia boleh ganti kita dengan kaum yang lebih baik. Kita sebenarnya yang perlukan Islam, kita perlukan Allah. Kita yang tak boleh hidup tanpa Dia." Adi juga patut berterima kasih kepada suami tersayang, yang saban waktu memberi semangat dan kata perangsang tanpa jemu itu.

Sedar-sedar kedengaran adik-adik sedang ketawa. Entah apa yang mereka bualkan. Adi bangkit dan membersihkan baju daripada rumput kering yang melekat. 

"Kak Adi nak pergi jalan sana kejap." Adi menuding ke arah lorong pejalan kaki sepanjang tepi laut di hadapan mereka sebelum menghayunkan langkahnya.

Pandangan Adi terus ditebarkan ke dada laut yang beralun tenang. Adi hilang dalam kedamaian ini. Langkah dihayun merentasi kawasan berumput yang dikeliling pepohon yang merendang. Walaupun matahari megah memindahkan cahayanya, namun tiadalah terasa panas kerana bertembung dengan dinginnya angin yang berhembus.

Adi melabuhkan punggung di atas bangku kayu yang mengadap laut yang terbentang luas.

Minato Mirai, the harbor of the future... begitulah nama yang diberikan pada tempat yang indah ini. Siapa sangka sebuah perkampungan nelayan yang kecil kini berubah wajah menjadi salah satu bandar besar di Jepun ini, selain pelabuhan tempat kapal keluar dan masuk.

Kawasan ini sungguh pesat membangun. Lihat sahaja senibina bangunan di kiri dan kanan. Semuanya berunsur futuristik. Landmark Tower yang menjadi simbol Minato Mirai itu, merupakan antara bangunan yang tertinggi di Jepun. Baru sahaja siap pada tahun 1993. Bentuknya tak ubah seperti Menara Tabung Tabung Haji saja. Bangunan itu mempunyai lif yang terpantas di dunia. Pengunjung boleh aksess "observatory deck" atau dikenali juga "Sky Garden" di aras enam puluh sembilan.

Adi dan Mukhriz sudah menjejakkan kaki ke bangunan itu sebaik sahaja Mukhriz melawatnya di Tokyo lewat cuti musim panas lalu. Mujur waktu itu langit tidak berawan. Mereka sangat bernasib baik dapat melihat Gunung Fuji dari jauh.

Masih teringat lagi kenangan berbulan madu kali kedua di kota pelabuhan ini. Mereka menginap di Hotel Yokohama Grand Intercontinental yang berbentuk separuh bulat itu selama dua hari satu malam. Agenda siangnya, melawat kawasan sekitar Minato Mirai ini sambil berpegangan tangan. Mengalahkan remaja yang baru bercinta.

Mereka pusing-pusing dari Chinatown sampailah ke Yokohama Cosmo World (amusement park) berdekatan hotel. Adi yang selama ini takut dengan roller-coster akhirnya mencuba juga setelah berasap telinga diejek oleh Mukhriz. Dalam banyak-banyak kenangan di sini, Adi paling suka sewaktu mereka berdua berada di puncak Ferris Wheel sambil menikmati suasana matahari terbenam.

Sebelah malamnya pula mereka bersesak-sesak melihat persembahan bunga api. Buat pertama kalinya Adi mengenakan yukata dengan terompahnya sekali. Mereka menghampar tikar di Yamashita Kouen ini. Menjamah ais berwarna-warni yang harganya tak munasabah. Jepun... serba-serbinya mahal.

"Ais kepal dengan pewarna tiruan macam ni pun harganya dua belas ringgit Malaysia. Cekik darah betul." Komen Mukhriz sambil menggeleng.

"Tak baik merungut." Balas Adi dengan menjeling manja.

Tatkala bunga api dilepaskan ke udara, mereka menatap langit yang sama, indah berwarna-warni. 

Esoknya hujan turun renyai-renyai, dan mereka berpayung bersama-sama menyusuri taman ini. Indahnya saat itu...

"Ada apa-apa yang Kak Adi Khadijah rahsiakan daripada kami?" Suara Azreena itu menerpa di telinga Adi.

"Tak adalah." Tak perasan pula bila semuanya sudah berada di sisinya.

"Habis tu kenapa kami tengok Kak Adi asyik tersenyum-senyum aja?" Sampuk Niza.

"Orang tengah berbahagia. Ishh, lagi nak tanya." Tingkah Nazra.

Adi diam sahaja sambil menatap wajah adik-adik usrahnya satu per satu. "Yang banyak bertanya ni, cuba baca ayat hafazan sikit." Adi tukar mood serius 360 darjah.

"Ala..." Semua buat muka monyok serentak.

Adi hanya mampu menggeleng sambil ketawa kecil. "Dahlah, Kak Adi rasa lapar pula. Jom kita makan dulu." Baru dia teringat semua perut belum diisi lagi, patutlah semua nampak gelisah serba tak kena sahaja.

"Jom..." Semua bersorak gembira.

Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasul-Nya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya). (Dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu, dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam Syurga "Adn". Itulah kemenangan yang besar. Dan ada lagi limpah kurnia yang kamu sukai, iaitu pertolongan daripada Allah dan kemenangan yang cepat (masa berlakunya). Dan sampaikanlah berita yang mengembirakan itu kepada orang-orang yang beriman. (As-Saff: 10-13)

(bersambung...)

#CintaSofea

πŸ“·: Pinterest

πŸ₯€πŸ₯€πŸ₯€

Entry penuh kenangan, episod 'Hilang Dalam Damai'. Entry terakhir yang ditulis sehari sebelum saya 'back for good' pada 18 Mac 2005; left without graduation.

Juga entry ini penuh dengan watak/nama inspired by pengunjung blog saya waktu itu.