Sunday, February 27, 2022

[Puisi] Allah Sayang Kamu

Allah Sayang Kamu

Siapa bilang Allah tidak sayang kamu
Sebagaimana kau sayang pada dirimu
Lebih lagi kasih sayang Allah kepadamu

Segala kekeliruan dan keluh kesahmu
Nyatakan sahaja kepada Dia Yang Satu 
Nescaya Allah mendengarnya setiap waktu
Tanpa rasa jemu
Kerana sesungguhnya Allah teramat merindumu
Suaramu yang sudah lama hilang itu

Bukankah kita sudah berjanji
Mahu bertemu semula di syurga nanti
Bersama mereka yang diredai
Juga kamu yang Allah cintai


Rnysa
Bandar Baru Bangi 
27 Februari 2013


Source:
FB Post 27 February 2013

Friday, February 25, 2022

[Behind The Scenes] Gelap (11)

Karya pendek

Gelap
Oleh Rnysa

#behindthescenes 11
#entry49 #kehidupanselepas8April2020

Untuk entry [49] Gelap yang semalam, sebenarnya ada 2 entry ditaip sebelumnya.

Cubaan pertama, sudah taip sikit punya panjang. Tapi rupa-rupanya tak save atau terdelete. Yang tinggal hanya tajuk, kosong satu entry.

Cubaan kedua, taip baharu. Tukar sana sini daripada idea yang pertama yang 'punah' itu. Tapi rasa panjang sangat. Dan hmmm... ada rasa sesuatu yang tak kena.

Cubaan ketiga, yang taip baharu semalam. Memang tukar dari awal, cuma kekalkan perenggan yang bab lagu sahaja sama macam teaser. Yang lain, tukar 100% daripada yang pertama dan kedua. Taip-taip, terus publish.

Punyalah nervous nak siapkan, sampai tiga kali taip. Tak pernah terjadi begitu sebelum ini, okey😅

Ingatkan diri semula yang ini...

Karya pendek, Rnysa.
Karya pendek, Rnysa.
Keep it short & simple.

Dan banyak lagi tak sempat nak cerita sebenarnya daripada banyak sesi brainstorming sendirian berhad.

Tapi, ini sekadar karya pendek sahaja.

Tentunya, intipati RADHA dan Gelap itu berbeza walaupun watak utamanya sama.

Saya tulis RADHA tahun 2003 dan Gelap pula tahun 2020. Dalam jarak masa 17 tahun itu macam-macam yang saya sudah tempuhi. Saya juga melihat kehidupan ini daripada perspektif kaca mata seorang perempuan yang makin dewasa dengan 1001 macam pengalaman hidup.

Insya-Allah, kalau ada rezeki mungkin cerita Gelap ini dapat dipanjangkan lagi dan menjawab banyak persoalan yang belum selesai... dalam versi cetak?

Namun, kehidupan juga mengajar saya kadangkala tak semua perlu diberi penyelesaiannya. Ada perkara yang bukan dalam kawalan diri sendiri; sesetengah perkara sukar boleh nak ubah takdir qada' dan qadarnya dalam kemampuan batasan seorang manusia, kita perlu belajar untuk membiarkan, melepaskan dan menyerahkan ia kembali kepada Dia Yang Maha Mengatur.

Dan, Gelap bermula dengan pilihan saya mahu membiarkan, melepaskan dan menyerahkan sesuatu kembali kepada Dia Yang Maha Kuasa. Kerana kadangkala diri ini sudah terlalu lelah dan letih.

Just...
Let it go, Rnysa.
Let it go, Anisah.

Dan, ternyata dengan melepaskannya Allah ganti dengan banyak perkara yang lebih baik.

Antaranya:

- Research member untuk Ms. Dawn, orang Canada
- Network connection di LindkedIn yang sangat memberi motivasi
- Research member untuk Corporate Guidebook  for United Nations Sustainable Development Goals
- Gelap dan kawan-kawan yang sudi membacanya
- Projek Legasi Abah dan keluarga UniKH
- Insya-Allah, akan terlibat sama dalam penerbitan buku sejarah keluarga Toh Maharaja Dewa Panjang Ogek

Alhamdulillah, banyak peluang dibuka satu demi satu. Ternyata, 'tindakan nekad' dan keputusan pada 8 April itu adalah sesuatu yang terbaik buat diri saya.

No turning back.

Gelap takkan lahir tanpa sesuatu yang telah berlaku itu. Yang telah menyedarkan saya yang diri saya lebih perlu diutamakan. Siapa lagi nak jaga diri sendiri. Mak dah tak ada dan adik-beradik pun jauh.

Dan, saya tulis Gelap untuk mengubati dan memujuk diri sendiri. Macam sebab saya tulis RADHA dan banyak cerita saya. Semuanya ada bersebab, bukannya nak jadi penulis novel sangat pun. Kerana itu saya tak kisah sangat sama ada jadi novel/karya cetak atau tidak. Semuanya sekadar cerita saya di sebalik sesuatu yang terjadi.

Cuma, kalau jadi novel/karya cetak kira bonuslah. Sebenarnya kita main taip buat luahan rasa dalam blog, tiba-tiba ada yang berminat nak tolong terbitkan. Rezeki jatuh dari langit namanya.

Yang sudah baca Gelap sekali lagi jutaan terima kasih saya ucapkan. Terima kasih sudi bersabar dan temankan saya, di kala waktu terang dan gelap.

Okey, lagi satu entry nak tiba ke noktah terakhir.
Insya-Allah, masih mood CNY kan ☺️

Rnysa dan Gelap
8 April 2020 ~


Source:
FB Post 25 February 2021

Wednesday, February 23, 2022

[Cerpen] Seville, Toledo & Granada (1)

Seville, Toledo & Granada
Oleh Rnysa


Snap 1

Pandangan memusat ke suatu sudut di hadapannya. Pergerakan rukuk dan sujud itu menarik perhatiannya. Entah kenapa dirasakan suatu ketenangan meresap dalam jiwanya. Pancaran matahari menyimbahkan sinaran cahayanya ke atas mereka yang sedang sujud mengadap Tuhan. Dia tergamam seketika kerana terpesona. Segera dicapai kamera DSLR dari dalam beg sandangnya. Lensa dihalakan ke arah tiga orang wanita bertudung yang sedang sujud itu.

Sebuah gambar yang sempurna. Indah!

Lama dia memerhati sehingga mereka selesai memberi salam. Tangan mereka meraup wajah sebelum ditadah ke langit dan berdoa. Dia masih khusyuk memerhati. Penuh minat. Perempuan yang berada di hadapan sedikit, yang menjadi imam berpaling ke belakang. Sekuntum senyuman yang sangat manis dilemparkan ke arah temannya di sebelah. Bersalaman dan berlaga pipi kiri kanan gaya orang Arab.

Dia cuba menfokuskan lensa kameranya ke wajah perempuan itu. Dan... klik! Wajah tenang itu berjaya dirakam. Dia tersenyum, berpuas hati dengan hasilnya. Sekali lagi dihalakan ke wajah perempuan itu dan temannya. Namun kali ini wajah perempuan itu sudah berubah. Mata perempuan itu merenung tepat ke arah dia.

Dia berhenti. Kamera dialihkan beberapa darjah ke kiri, menjauhi wajahnya. Mata mereka menyapa. Pandangan perempuan itu mencerun. Tajam menikam wajah dia - seorang lelaki Sepanyol yang sedang mengambil gambar secara curi-curi.

Perempuan itu dan teman-temannya sudah berdiri. Rendah sahaja mereka bertiga. Mungkin orang Asia, fikirnya.

Kelihatan mereka berbisik sesama sendiri sambil sesekali mengerling ke arahnya. Dia kembali meneruskan pembacaannya yang terhenti tadi, seperti tiada apa yang telah berlaku. Namun, mata nakalnya masih mencuri pandang.

(bersambung...)


Source: Arkib Blogdrive Rnysa, 16 Julai 2010.