Showing posts with label Anekdot. Show all posts
Showing posts with label Anekdot. Show all posts

Thursday, July 29, 2021

[Anekdot] Bila Abah Kahwin Lagi?

Bila Abah Kahwin Lagi?
Oleh Rnysa


Yang pergi, takkan kembali.
Yang hilang, mungkin berganti.
Abah pernah kecewa dengan Nyah.

Antaranya, kerana Nyah menolak tawaran temuduga biasiswa Petronas untuk belajar di UTP, sebaliknya memilih temuduga JPA untuk belajar di luar negara. Kedua-dua tarikh temuduga jatuh pada tarikh dan waktu yang sama. Nyah telah menelefon kedua-dua pihak penaja untuk menganjakkan temuduga ke tarikh atau waktu yang berbeza supaya dia dapat ke Tronoh dan Ipoh. Malangnya kedua-duanya tidak mahu menukarkan waktu sesi temuduga yang telah ditetapkan.

"Kalau abah nak belajar dekat sini, abah belajarlah." 

Itulah sebaris kata-kata kurang adab yang keluar dari mulut Nyah, yang buat hati abah terluka tentunya. Ayat itu keluar kerana Nyah ingin merasa pengalaman belajar di luar negara. Yalah, kalau ada peluang baik takkan nak dilepaskan pula. Mungkin abah ingat senang nak disenarai pendek untuk panggilan temuduga sebegitu.

Dengan memperolehi keputusan peperiksaan SPM yang baik waktu itu sebanyak 7 agregat, tentunya sedikit mudah untuk memohon mana-mana tawaran biasiswa. Sesuatu yang tak dijangka sebenarnya. Mana pernah dalam peperiksaan biasa atau percubaan SPM dapat keputusan sebagus itu. Rezeki jatuh dari langit namanya. Rezeki yang Allah nak beri.

Walaupun hati terluka, abah masih menurut kata-kata Nyah. Abah masih sudi menghantar Nyah untuk menghadiri sesi temuduga JPA, yang akhirnya melayakkan Nyah untuk mengikuti kursus persediaan ke luar negara. Abah dan opah masih sudi menghantar Nyah untuk mendaftarkan diri di sebuah universiti tempatan. Malah abah masih membenarkan Nyah mengikuti kursus persediaan selama dua tahun itu dan sudi menghantar duit belanja sewaktu biasiswanya masih belum masuk.

Namun, langit tidak selalunya cerah.

Nyah gagal menamatkan pengajian di luar negara dan biasiswanya telah ditamatkan. Atas apa yang telah terjadi, abah masih sudi membayar yuran pengajian dan memberi belanja sara diri bulanan supaya Nyah dapat menyambung semula pengajian di sebuah universiti swasta tempatan. Abah tidak menggalakkan Nyah memohon mana-mana bantuan pinjaman pelajaran lagi. Abah bimbang sekiranya anaknya itu gagal maka bertambahlah lagi hutang bayaran balik nanti.

#edisisebelumedit
#TugasanBKHLegasi_Abah
#UnIKH #BKHLegasi_Abah #tugasan2 #LA7

Nota: Tugasan 2 ini tiada dalam karya yang akan terbit pada April'21. Hanya taip untuk tugasan sahaja. Harap maklum. Alhamdulillah, dapat maklum balas yang baik dan minta ditulis versi penuh. Insya-Allah, boleh dipertimbangkan selepas Cinta Sofea siap ditulis.

***

Tugasan 2:

Taip tentang kecewa yang pernah abah hadapi. Kecewa itu mungkin kerana kita gagal dalam peperiksaan. Mungkin juga tentang pekerjaannya yang bermasalah. Boleh juga kecewa kerana hal keluarga.
.- Berikan solusi yang abah ambil. Tindakan abah. Jalan keluar yang abah pilih.
.- Taip lima perenggan sahaja.
.- Satu perengan mestilah lima ayat.
.-Boleh masukkan dialog.


Nota: Ilustrasi kaver ini untuk tujuan promosi sahaja.

Thursday, June 24, 2021

[Anekdot] Cikgu Azizah

Cikgu Azizah
Oleh Rnysa

Ibu merupakan seorang guru lepasan Diploma Pendidikan dari Universiti Pertanian Malaysia (UPM). Manakala abah pula lepasan Maktab Perguruan Sultan Idris.

Sepertimana anak cikgu yang lain, Nyah sudah terbiasa melihat orang sekeliling menghormati ibu dan abahnya yang bertugas sebagai seorang pendidik. Gelaran 'cikgu' itu melekat pada nama pangkal mereka walaupun ibu dan abah sudah pencen. Walaupun kemudiannya ibu sudah pergi mengadap panggilan Ilahi, meninggalkan abah dan Nyah adik-beradik.

Ibu seorang yang rajin membantu emaknya. Sejak kecil lagi ibu sudah ikut pergi ke bendang. Sangat bijak dan cerdik orangnya kerana emaknya seorang cikgu juga. Membesar di kampung dan lahir dalam keluarga yang besar, ibu pandai dan cekap buat serba-serbi kerja rumah.

Jatuh bangun hidup ibu mungkin banyak disebabkan oleh Nyah adik-beradik. Bukan mudah hendak membesarkan lapan orang anak dan pernah juga dua kali mengalami keguguran semasa kandungan. Sepanjang hidup sehingga ke akhir hayatnya, ibu sangat kuat semangat dan tak berputus asa dengan segala ujian hidup.

Kerana dorongan ibu juga, Nyah mampu meneruskan semula pengajian yang terberhenti sehingga berjaya juga ditamatkan akhirnya.

Semoga Allah menempatkan arwah ibu di kalangan orang yang beriman. Semoga ibu dan mereka sekeluarga dipertemukan dan dikumpulkan semula di syurga.

Al-Fatihah buat ibu, Cikgu Azizah.
23 Januari 1953 - 15 November 2018.

(Tamat)

Nota: Tarikh nikah pada 9 September 1978 bersamaan dengan  5 Syawal 1398H. 


***

Bila Abah Kahwin Lagi?
Oleh Rnysa

Tugasan 13

#throwback Hari Wanita Antarabangsa 

- Satu penulisan paling indah tentang beberapa orang perempuan di sekeliling kita
- Catatkan jatuh bangunnya
- Kekuatannya menjadikan dirinya terus hidup dan menjadi obor dalam hidup kita

#legasiemak #hariwanitaantarabangsa
#UnIKH #BKHLegasi_Abah #Tugasan13 #LA7

Nota: Insya-Allah, karya Bila Abah Kahwin Lagi? ini akan terbit dalam masa terdekat.