Karya pendek
Gelap
Oleh Rnysa
31
Tengah malam
#MCODay174 #PKPP
#stayathome #depressionisreal #thestruggleisreal #thepainisreal
Di dalam separa gelap.
Hanya lintasan cahaya yang menangkap perhatian nan bersulap.
KL Sentral
Sofea Adeilah membetulkan letak beg tangan ke bahu. Sampai ke malam sesi photo shoot dia di sekitar Bangi Sentral. Lagipun dia ambil dua job buat sekali harung. Memang penat!
Hujung tudung ditiup berkali-kali. Ah, geramnya! Aduh, tak menjadi pula tudungnya hari ini. Sepanjang hari sebenarnya mood dia tak baik gara-gara bentuk tudung yang tak elok terletak. Ish, dia sudah guna spray tudung macam biasa, tapi hasilnya... hmmm.
Macam manalah Kak Syah boleh sambil tertawa sahaja membetulkan tudungnya senget-benget. Katanya, dia tak perasan. Kagum!
Sejak awal PKP hari itu Adeilah baru mengenakan hijab apabila keluar rumah atau di hadapan yang bukan mahram. Tiba-tiba sahaja pintu hatinya terbuka. Alhamdulillah!
Dah lama dia menimbang-nimbang hasrat hatinya. Sebelum ini dia pakai tudung on-off sahaja. Zaman sekolah rendah dan menengah dia pakai waktu kelas agama sahaja. Lepas habis sekolah waktu buat kursus persediaan pun sama juga. Masa belajar di Paris memang langsung dia buka terus kecuali sekali-sekala pakai selendang waktu aktiviti keagamaan yang dia ikut serta. Adeilah akan pakai selendang sebagai tanda hormat.
Selama ini papa dan mama pun tak kisah mereka tiga beradik perempuan tidak berhijab. Yang ambil kisah selama ini cuma abangnya yang seorang itu. Abang yang tak ubah macam ustaz dari sekolah pondok, bukannya jurutera dari sekolah sains. Bising tak sudah suruh orang pakai tudung.
"Nanti dah sampai seru Adik pakailah..."
"Bila tu?"
Biasanya Kak Long, Kak Ngah dan dia malas nak bersoal jawab dengan abangnya yang terlebih islamik itu. Dah belajar sampai ke London pun serupa sahaja perangainya. Mengalahkan lepasan pelajar yang menuntut di negara Timur Tengah seperti Jordon, Mesir, Mekah atau Madinah. Ataupun yang mengikuti pengajian di pondok pesantren di Indonesia. Sama sahaja perangai abangnya dengan budak-budak usrah waktu dia buat kursus persediaan dulu, baik yang lelaki mahupun yang perempuan. Tak habis-habis suruh dia berkerudung dan menjaga aurat. Itu sahaja yang hal suka diulang-ulang.
Sampai satu tahap naik menyampah dengar pun ada juga. Macamlah dia jahat sangat. Memanglah dia duduk di kawasan Bangsar, tapi taklah sampai pernah jejak mana-mana kelab malam yang tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan. Setakat membeli barang cenderahati di Hard Rock Cafe adalah.
Satu lagi, rambut perang dia ini warna asli dan bukannya sengaja diwarnakan. Dari dulu payah benar sesetengah orang tipikal Melayu di sekelilingnya nak faham. Papa Adeilah berasal dari Belanda, bukannya orang Bagan Datuk atau apa - rambutnya perang, matanya biru. Mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi, kan?
Kongsi.
Bukan semua hal kita boleh berkongsi dengan semua orang.
Orang.
Bukan semua orang boleh berkongsi hal dengan kita.
Mujurlah ada Kak Syah. Tak pernah pula isteri abangnya yang jadi pensyarah di universiti itu, sibuk nak bersyarah pasal aurat di rumah juga. Dia senyap sahaja. Sedangkan pasangan kembar seiras - 'so-called-ex' abang dulu, Kak Ain dan adiknya yang calon-pilihan-mama, Kak Wawa - pun pernah beberapa kali beri nasihat dengan baik kepada mereka bertiga. Hmmm, tak sukalah! Rasa nak dipaksa-paksa begitu.
Pernah masa Kak Syah balik beraya di Johor, macam biasa dia akan sentiasa bertudung meskipun di dalam rumah walaupun waktu tidur sebab tidur dalam ruang terbuka. Tak cukup bilik rumah nenek sebelah mama di kampung.
Waktu itu Kak Long belum bertudung macam sekarang. Boleh pula Kak Syah puji rambut Kak Long cantik dan tanya cara penjagaannya. Adeilah ingatkan lepas itu Kak Syah nak tegurlah pasal menutup aurat. Alih-alih dia tak sebut langsung pun. Nampak jugalah mulut Achik macam melopong apabila Kak Syah sekadar berminat nak tahu tentang cara Kak Long menjaga rambutnya. Tentunya Kak Long dengan senang hati beli dan hadiahkan segala jenis produk kepada Kak Syah. Dan sehingga hari ini, Kak Syah masih menggunakan set jenama yang sama.
Kak Syah pun tak macam abangnya yang selalu dengar lagu nasyid. Memang budak usrah 101 totok! Hmm, Kak Syah juga yang best dan memahami jiwanya. Apabila Adeilah sebut tentang BTSxArmy pun Kak Syah tahu.
"Tengok Kak Syah. Cakap apa pun dia tahu. Bukan macam Achik!" Adeilah mencebik pada abangnya. Memang kakak iparnya itu sangat up to date dan tahu serba-serbi tentang perkembangan trend muzik semasa dan terkini. K-pop, J-pop dll.
"Dia dulu kan budak koir sekolah." Achik jawab dengan muka malas seperti selalu.
"Yang budak koir itu juga tetap Achik pilih jadi isteri." Yang Adeilah rasa kadangkala macam tak tally dengan citarasa abang yang sebelum ini - Kak Ain, anak kawan mama yang bertudung labuh itu. Kak Ain yang lemah-lembut, tertib dan penuh keayuan itu sedikit kontra dengan personaliti Kak Syah.
Sementara menunggu papa tiba di KL Sentral ini, sekali lagi Adeilah mengeluarkan tudung shawl jenis pleated yang dia beli tadi di salah satu butik di Bangi Sentral. Dia tangkap gambar dan hantar ke WhatsApp Kak Syah.
Waktu ziarah Kak Syah di Hospital Putrajaya dulu, Kak Syah berkenan benar dengan tudung pleated yang Kak Long gayakan.
"Jenis trend sekarang orang pakai jenis yang macam ini. Senang. Tak perlu menggosok," terang Kak Long.
Macam biasa terus Kak Syah berminat dan bertanya, "Beli di mana?"
Sempatlah Kak Long tunjuk Instagram jenama tudung itu. Kak Syah selalu begitu. Apa yang orang pakai cantik, dia akan ingin tahu jual di mana.
"Tak pandai sangat nak shopping benda-benda macam ini," kata Kak Syah sambil ketawa riang. Sampai tak perasan Achik sedang menggelengkan kepala waktu Kak Long memperkenalkan laman Instagram tudung jenama kesukaannya itu.
"Dulu baju pun mak Kak Syah yang selalu belikan," sambungnya kemudian dengan suara perlahan.
Semua orang yang ada terus terdiam seribu bahasa. Masing-masing nampak mata Kak Syah berkaca-kaca apabila sebut perkataan 'mak'.
"Insya-Allah, lepas ni Kak Long boleh tolong belikan untuk Syah." Cepat-cepat Kak Long usap pipi Kak Syah yang sedikit cengkung hingga tampak ketara tulang pipinya. Kak Ngah dan Adeilah pun perasan hal yang sama waktu tiba tadi. Kasihannya Kak Syah!
Adeilah main cuit-cuit abangnya yang sedang baca buku apa entah dengan hujung kakinya. Geram!
"Eh, kenapa lagi ni?" Achik sudah naik suara.
Adeilah tarik muka masam. Teruklah Achik ni, tak pandai jaga isteri! Marahnya dalam hati.
Masa baru balik back-for-good tahun lepas kakak ipar kesayangannya itu elok saja. Adeilah perhatikan Kak Syah dari hujung rambut sampai ke hujung kaki. Habis susut badan Kak Syah. Sedihnya...
"Kak Syah, sakit Kak Syah datang balik ke?" tanya Adeilah tak semena-mena sebaik sahaja terperasan tangan Kak Syah yang sedikit menggeletar.
Namun Kak Syah diam membisu dan cepat-cepat sorokkan tangannya di bawah selimut. Dan tidak juga menjawab persoalan Adeilah.
"Kak Syah..." Adeilah rasa sedih sangat tiba-tiba. Dahlah tak nak beritahu keluarga Kak Syah sendiri, takkan dengan Adik pun Kak Syah nak sorok. "Kak Syah, janganlah macam ni..." Adeilah terus dakap Kak Syahnya. Air matanya luruh ke pipi.
"Eh, kenapa menangis pula ni? Adik, Kak Syah okeylah..." Suara lembut Kak Syah menyapa telinga. Diusapnya Adeilah yang kini berkerudung litup. "Mesti Adik lapar ni. Sekejap lagi kan nak buka puasa," pujuk Kak Syah.
"Kak Syah ingat Adik ni budak kecil lagi ke?" Yalah, Adeilah sudah kenal Kak Syah sejak umur 11, 12 tahun. Nak sama lama dengan Achik juga kenal Kak Syah. Jadi, apa yang Kak Syah suka atau tak dia tahu banyak juga. Begitu juga sebaliknya.
Adeilah pandang mata Kak Syah yang sayu dan bersisa penat setelah sesak nafas sejak tengah malam semalam sampai ke pagi tadi.
Walaupun sampai sekarang mama susah nak terima Kak Syah sebab semua penyakit Kak Syah, tapi... papa, grandma, Achik dan anak-anak Kak Syah, Kak Long sekeluarga, Kak Ngah sekeluarga dan Adeilah sendiri sedia terima dan sayang Kak Syah seadanya sampai bila-bila. Insya-Allah!
Kak Syah janganlah pendam perasaan dan bersedih seorang diri. Apabila tengok Kak Syah dalam keadaan begini, Adik pun turut rasa hiba sama. Hati kecil Adeilah berkata-kata sendiri lagi.
***
#throwback
Dia membelek slip keputusan peperiksaannya untuk semester lalu. Tangannya sudah sejuk tidak ubah seperti ais batu. Keputusan tiap-taip subjek diteliti satu-persatu. Keluhan kecil dilepaskan. Keputusan yang sebegitu hanya layak dibakul sampahkan saja. Masakan bekas pelajar terbaik SPM sekolah boleh kecundang. Terus dia simpan slip tadi di dalam fail. Hendak melihat lagi dia malu. Inikan pula orang lain. Kerana tanggungjawab terpaksa dia tebalkan jua muka menghantar keputusan 'bakul sampah' ini ke Kedutaan Malaysia di Tokyo untuk direkodkan.
Dari awal lagi sudah dia jangkakan. Dengan usaha yang sedikit masakan boleh lulus. Untuk lulus dengan cemerlang jauh sekali. Kecuali subjek yang mudah seperti bahasa inggeris contohnya. Memang tiada masalah baginya. Subjek-subjek matematik, sains dan teknikal yang bikin dia pening kepala. Nota disalin, bila guru terangkan di depan dia pasang telinga. Tapi satu pun tidak diterjemahkan dalam otak. Seperti dibawa angin lalu. Entah apa yang diajar.
Terlalu banyak silapnya. Dia terlalu mudah putus asa. Bila tidak tahu, jangan ditinggalkan saja. Sepatutnya perlu cuba sedaya upaya untuk memahaminya dengan cara apa sekalipun. Rajinnya cuma sekejap. Awal-awal memang selak-selak buku semangat belajar masih kuat. Lepas itu dia jadi manusia yang malas kerana merasakan terlalu banyak yang dia tidak tahu, tidak faham. Dia rasa benar-benar putus harapan. Lalu dia tinggalkan saja semuanya. Kegagalan yang sengaja ditempah dari awal. Ya Allah, syaitan mana yang merasuk dirinya ini!
Mengapa jadi begini? Ke mana perginya dirinya yang dulu? Semangat dia tidak sekukuh tembok cina. Kini ia ibarat istana pasir di tepi pantai. Bila ombak datang rebahlah menyembah bumi. Ternyata dia gagal untuk menelan kesusahan dan kepayahan belajar di negeri matahari terbit ini. Walaupun keputusan peperiksaan mombukagakusyou agak memberansangkan hingga melayakkan dia masuk ke universiti gred A, namun sampai di bumi sakura ini dia terumbang-ambing. Hanyut dek kepincangan diri sendiri.
Dia pulang ke asrama kediaman dengan berbasikal. Kayuhannya lemah saja. Mungkin dia terlalu menurut perasaan kecewa. Sebenarnya masalahnya tidak seberat mana. Cuma dia terlalu memikirkannya dari sudut negatif. Langsung tidak yakin setiap masalah ada penyelesaiannya. Mudah benar menyerah kalah.
Ya Allah! Kembalikan kekuatanku. Aku benar-benar memerlukannya saat ini, pohon Syah dalam hati.
***
Syah melemparkan pandangan jauh ke ruang jendela rumah sewanya. Tasik buatan manusia di hadapan matanya ini nampak tenang seperti selalu. Namun ketenangan itu tidak tersimbah buat dirinya. Sejak kembali semula ke tanah air, perasaannya seperti tengah naik roller-coaster. Sepatutnya dia gembira dapat duduk dekat dengan keluarga tetapi...
Syah meramas-ramas jari-jemari yang kembali menggeletar. Apa lagi tak kena? Syah melepaskan keluhan berat dan panjang
Bunyi air mengalir dari taman mini mereka tak memberi damai. Gerak kincir air tak menggamit asyik.
"Keturunan kita tak ada semua penyakit yang macam itu, Achik!"
Kata-kata mama pada pagi suatu hari itu sebaik sahaja tahu pasal penyakit dia kembali bermain di fikirannya saat ini. Tak sangka catatonia datang menjengah masa kenduri di rumah mama dan papa, lalu segala-galanya yang Kaduk dan dia cuba rahsiakan daripada semua orang terbongkar.
Depression. Catatonia. Anxiety.
Dan entah apa lagi sakit dalam diri yang sedang bersarang.
Dan entah apa lagi ujian dalam perancangan Dia yang sedang bertandang.
Dan entah apa lagi emosi dalam jiwa yang sedang berperang.
Pabila sepi menjadi teman sejati.
Pabila sunyi menjadi teman sehati.
Pabila sendiri menjadi teman semati.
(bersambung...)
#RADHA #deathnote #suicidenote
Baca lanjut tentang peristiwa di mana penyakit catatonia Syah diketahui keluarga Kaduk di sini.
Petikan #throwback di atas daripada versi asal online e-novel Relevankah Aku di Hatimu? yang ditulis pada 18 November 2003. Yang sebab asal & tujuan sebenar kenapa triggered saya tulis RADHA pada 23 Oktober 2003 itu. Saya tengah 'stuck & struggle' belajar sebenarnya waktu itu 😢
Namun, untuk versi cetak rasanya saya buang bahagian penting ini (versi asal online saya beri part ini kepada Akhi Ammir, abang si Ammar).
Jadi untuk Gelap, saya pulangkan semula kepada pemilik asalnya, Akasyah. Dan supaya boleh relate balik dengan penyakit yang dia alami.
No comments:
Post a Comment