Saturday, April 25, 2020

[Intro II] Gelap

Karya pendek

Gelap
Oleh Rnysa

Intro II

Sebelum Subuh.
#MCODay39 #PKPharike-39
#Happy12thAnniversary

Di dalam masih gelap.
Hanya simbahan cahaya dari telefon bimbit yang cerah ditatapnya dengan penuh perasaan.

Wajah bidadari hati yang masih lena ditatap.
Dan lalu ubun-ubunnya dikecup.

"Selamat ulang tahun pernikahan kita, sayang!" bisiknya perlahan. "Kaduk sayang Syah... sampai syurga. Insya-Allah."

Diam lama.

"I love you. Aishiteru..." Tanpa membuka mata, bidadari hatinya membalas rendah. "Syah sayang Kaduk... sampai bila-bila, buat selama-lamanya. Insya-Allah."

Jujur.
Sejujur diriku padamu.

Setia.
Sesetia dirimu padaku.

Di manakah kejujuran jika tiada tulusnya hati.
Di manakah kesetiaan jika tiada tetapnya hati.

(bersambung...)

#RADHA


Friday, April 24, 2020

[9] Gelap

Karya pendek

Gelap
Oleh Rnysa

9

Malam.
#MCODay37 #PKPharike-37
#stayathome #staystronger #staywithfamily

Di luar makin gelap.
Hanya kerlipan cahaya lampu lentera LED yang setia menemani sepanjang malam.

Lip lap, lip lap...

Lima beranak ralit memerhati lentera yang baru dipasang oleh si ayah tanpa suara di balkoni. Bersama-sama menikmati hening malam sambil mencicip Kopi Dalgona yang dihidangkan oleh si ibu yang mahu mencuba kopi viral sepanjang PKP berlangsung.

--
#throwback

1 Ramadhan

Cahaya lentera ditatap. Cantik.
Mata Aisyah tidak berkerdip memandang.

"Aisyah..." Arham tarik tangan adiknya yang sudah berhenti melangkah. "Aisyah ni...kalau dapat tengok cahaya lampu pun boleh terpesona." Usik Arham.

"Lentera..."
"Apa?" Arham sudah kerut muka. Macam-macam. Aisyah rajin baca kamus. Jadi kosa kata dia kadangkala pelik daripada orang lain.

Petang tadi ayah pasang lentera di keliling rumah. Abang Arham pun tolong sama. Alhamdulillah, setelah lama merantau akhirnya tahun ini mereka sekeluarga dapat menyambut Ramadhan bersama. Di Malaysia!

Syoknya Ramadhan!

"Aisyah, Arham...kita dah nak gerak ni." Suara ayah pula memanggil dari dalam kereta. Ibu dan Akram sudah bersedia mahu ke destinasi mereka sekeluarga sebentar lagi. Solat tarawih di masjid.

***

"Jom kita baca niat puasa sama-sama sebelum tidur. Esok nak mula puasa."

Adam terus membaca lafaz niat dalam Bahasa Arab dan Bahasa Melayu.
Arham, Aisyah dan Akram membaca kemudian.

"Ramadhan kareem, anak-anak ayah!" Kepala mereka diusap lembut.
"Allahu akram!" Sahut tiga beradik itu hampir serentak.

Marhaban ya Ramadhan. Aisyah senyum pada lentera di luar rumah.

---

Sepi.
Sesepi Sya'aban.

Hening.
Sehening Ramadan.

Pabila sepinya Sya'aban jika tiada peringatan.
Pabila heningnya Ramadan jika tiada perubahan.

"Insya-Allah, jom kita baca niat puasa sama-sama sebelum tidur. Esok nak mula puasa..." Tiba-tiba Kaduk bersuara. Baki kopi Dalgona dihirup. Gelas yang sudah kosong diletakkan di atas meja empat segi kayu.

"Ya Allah, cepatnya nak puasa balik..." Aisyah a.k.a Syah Junior menyahut, siap buat gaya mendepang tangan luas-luas. Macam nak peluk bulan Ramadan yang sudah tiba.

Semua tersenyum melihat gelagatnya.

"Tahun ni cuba puasa penuh, ya." Kata Syah 'Senior' pada satu-satunya anak perempuannya itu.

"Dan Arham pun kali ini boleh khatam Quran dengan ayah. Alhamdulillah, Allah makbulkan doa Arham." Pipi anak lelakinya dikecup. Bertahun-tahun anaknya itu mengharap, akhirnya Allah memperkenankan permintaan Arham.

"Dan... Akram pun boleh puasa juga." Yang si kecil tidak dilupakan.

"Dan..." Mata Syah hinggap pada mata Kaduk yang memerhatikannya. ".... Alhamdulillah, kami semua dapat bersama-sama dengan abang. Insya-Allah, buat pertama kalinya sebulan penuh Ramadan kali ini kita berpeluang sahur, puasa, buka puasa, solat tarawih, tadarus Quran dan semuanya dengan abang." Syah sedikit sebak. Nak masuk 12 tahun kahwin, baru ada kesempatan sebegini dengan Kaduk. Terima kasih, ya Allah.

Kaduk senyum. Telefon bimbit dicapai. Ucapan ringkas ditulis dan kemudian butang 'hantar' ditekan melalui laman sosial dan aplikasi WhatsApp.

Ramadan kareem 1441H
Semoga segala ibadah dan amalan kita diterima.
Semoga Allah memelihara kita semua.

Daripada 
Carl Duke Adam & keluarga.

(bersambung...)

#RADHA

Petikan #throwback di atas daripada versi asal online entri RADHA Junior/Teen yang ditulis pada 17 Julai 2013.



Wednesday, April 22, 2020

[8] Gelap

Karya pendek

Gelap
Oleh Rnysa

8

Senja.
#MCODay35 #PKPharike-35
#stayathome #staystrong #stayhumble

Di luar kian gelap.
Hanya lembayung cahaya menebar sinarnya ke seluruh alam.

Lagi tinggal dua hari sebelum Ramadan.
Bulan Syaaban makin sampai ke penghujungnya.

Hari berlalu, bulan bertukar.
Apakah diri kita masih sama?

Siang berlabuh, malam berganti.
Apakah diri kita masih sama?

"Ya Allah berkatilah kami pada bulan Rejab dan Syaaban dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan." Doa itu diulang-ulangnya berkali-kali. Rambutnya yang perang diusap ke belakang.

Sayup-sayup laungan azan Maghrib berkumandang dari surau yang berhampiran. Rasa sayu menjalar dalam hati.

Ya Allah, ampunilah dosa-dosa kami sekiranya selama ini kami lalai daripada mengingati-Mu. Ya Allah, maafkanlah salah dan silap kami sekiranya selama ini kami leka daripada mentaati-Mu.

Matanya dipejamkan. Menghayati setiap bait panggilan Maha Agung. Raja segala Raja yang memiliki kerajaan langit dan bumi.

Dalam.
Sedalam lautan biru.

Tinggi.
Setinggi langit ungu.

Hanya tinggal persoalan jika tiada bertanda.
Hanya biar jawapan jika tiada bertanya.

Dan dia merendah diri bertanya, siapalah aku hamba yang kerdil di sisi-Mu.

"Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).” Surah Al Hujurat ayat 13.

Dan sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-zikr (Al-Quran)* bertanda, siapakah di kalangan hamba-hamba-Ku yang mulia di sisi-Ku.

(bersambung...)

#RADHA

*Surah al-Hijr : ayat 9



Monday, April 20, 2020

[7] Gelap

Karya pendek

Gelap
Oleh Rnysa

7

Petang.
#MCODay33 #PKPharike-33
#stayathome #staytogether

Di luar sangat terang.
Dengan terik cahaya dari matahari yang menyilau pandangan.

Ah, 4 langkah saja hari ini? Biar betul!
Tapi betullah, dia bukan jenis pegang telefon bimbit 24/7 sehari ke hulu ke hilir.

Sejak kena kuarantin dalam bilik dengan Syah, dia makin sibuk mengambil alih tugas yang sering dilakukan oleh isterinya itu selain menjadi abang polis-tentera yang buat roadblock. Yalah, pantang dia tak ada anak-anak datang merengek minta itu ini dengan Syah. Dan Syah selalunya cuba sedaya upaya melayan permintaan Arham, Aisyah dan Akram.

Kuat.
Sekuat mana pun hati.

Lemah.
Selemah mana pun jiwa.

Mana kuatnya hati jika tiada berdaya.
Mana lemahnya jiwa jika tiada bermaya.

Itulah hati seorang ibu. Walaupun tak sihat badan, bidadari hatinya itu masih kuat semangat dalam memenuhi hasrat anak-anak.

"Ibu, tolong semak kerja sekolah Arham..."
"Ibu, hari ni Aisyah rasa nak makan takoyaki..."
"Akram nak ibuuuuu..."

"Arham, Aisyah, Akram... ayah kan ada. Minta dekat ayahlah," celah Kaduk tapi tak diendahkan. "Ibu nak kena rehat tu," tambahnya lagi namun sedikit pun anak-anak tak kisahkan dia.

Syah tertawa. "Cakap seorang demi seorang. Pening ibu dengar semua orang bercakap serentak." Dia membetulkan duduk dan letak kepala pada bantal yang bersandar di kepala katil.

Kaduk cepat-cepat angkat tangan. "Abang dulu. Ayah dulu, ya anak-anak..."

"Akram nak ibuuuuu..." Si kecil sudah menjerit.

"Aduh, pening ibu macam ni." Syah geleng kepala.

"Ayah masih nak 'lockdown' ibu lagi ke?" bisik Syah pada Kaduk yang bersila di sebelahnya.

Kaduk sudah jegil mata besar-besar. "Jangan nak mengada-ada ya. Abang dah suruh sayang rehat, rehat sajalah. Hal anak-anak abang jaga..." Walaupun macam tak terkawal sahaja ni, sambungnya dalam hati. Pandangannya jatuh pada ketiga-tiga anaknya yang sudah melutut di tepi katil.

"Carl Duke Arham, Nurul Aisyah, Carl Duke Akram... Boleh tak beri kerjasama pada ayah?"

"Tak nakkk!!!" Jawab mereka serentak lalu ketawa besar.

(bersambung...)

#RADHA


Friday, April 17, 2020

[6] Gelap

Karya pendek

Gelap
Oleh Rnysa

6

Malam.
#MCODay30 #PKPharike-30
#stayathome #staywithme

Di luar hanyalah gelap.
Hanya seberkas cahaya dari lampu pendant yang malap menerangi ruang.

PKP sudah masuk fasa ke-3.

Dan tak lama lagi nak masuk bulan Ramadan pula, insya-Allah. Dan dalam bulan Ramadhan kesemuanya adalah rahmat, pengampunan dan pembebasan dari api neraka.

Selepas mengikuti siri #NgajiDenganMenteri di YouTube Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri, giliran 'Al-Fadhil Al-Ustaz' Ir. Dr. Carl Duke Adam pula meneruskan siri #NgajiDenganAyah untuk Syah dan anak-anak.

"Sesungguhnya bulan Ramadhan merupakan bulan yang dinanti-nantikan dan dirindui oleh golongan yang beriman.

Allah SWT berfirman:

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِّنَ الْهُدَىٰ وَالْفُرْقَانِ ۚ فَمَن شَهِدَ مِنكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ ۖ وَمَن كَانَ مَرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ

Maksudnya: (Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, Kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain.

Surah al-Baqarah, ayat 185."

Tersenguk-senguk Akram mendengar tazkirah ayahnya. Hari ini dia OK sikit dengan Kaduk. Tempoh merajuk mungkin sudah berakhir, agaknya. Sama tamat tempoh PKP fasa ke-2.

Saat.
Sesaat yang dimiliki.

Detik.
Sedetik yang diberi.

Insya-Allah, kelapangan masa yang dimiliki dan diberi sekarang mereka manfaat sebaik-baiknya. Inilah masanya ketua keluarga menjadi imam di rumah masing-masing. Sudahkah bersedia menjadi imam tarawih di rumah sendiri?

Kaduk pun sudah mula menyelak lembaran Al-Quran lepas Isya' tadi. Sambil menyemak bacaannya dengan Arham yang diasuh menghafaz Al-Quran sejak kecil lagi dan tak lama lagi nak tamat 30 juzuk, insya-Allah. Alhamdulillah, Aisyah dan Akram pun turut bersama-sama menghafaz dengan abang mereka mengikut kemampuan masing-masing.

Bunyi petikan piano yang perlahan membelah malam. Aik, dari tazkirah dan bacaan Quran, kini beralih ke pemain piano konsert mini pula cik abang yang seorang itu. Cepatnya bertukar kerjaya!

"... Ku tahu ku merasa
Setiap insan inginkan bahagia
Kini aku serahkan
Segalanya pada takdir..."

***
#throwback

Aduh, tak pasal-pasal kena catat nama sebab terlambat turun pergi solat subuh!
Sabar aja la dengan Kakak MPP (Majlis Perwakilan Pelajar) tadi yang sedia menunggu di pagar keluar masuk asrama puteri. Orang buat muka kasihan pun tak dilayan.

Mujur sempat berimam tapi masbuk. Sebab hari ini hari Jumaat, imam baca surah panjang. Alhamdulillah, masih ada rezeki berjemaah. 27 ganjaran pahala.

Suara imam pagi ini boleh tahan. Suara yang selalu dengar waktu solat maghrib.
Dahsyat kan, kerja aku hari-hari dok dengar suara siapa yang jadi imam.
Setakat ini sudah beberapa suara yang dikenal pasti, dengan muka-muka tok imam sekali.

Alhamdulillah, masih ada stok anak muda Melayu boleh dijadikan teladan.
Layak memimpin dalam solat.

Berbalik kepada imam solat subuh pagi ini...

"Ammar..." Nama itu meluncur dari bibirku saat mata menyapa susuk orangnya. Sempat melihat tadi dari celah tabir/langsir bahagian pelajar puteri di tingkat atas surau.

Mohd Ammar Iskandar. Pemain hoki sekolah. Sekelas dengan Carl Duke Adam.
Kelas budak Form 4 yang genius. Semua pelajar yang dapat 8A waktu PMR ditempatkan dalam kelas tersebut.

Haa, si Kaduk pun kadang-kadang jadi imam juga. Biasanya waktu solat zohor atau asar. Jadi tak tahu suara dia macam mana bila jadi imam. Penting ke suara dia sedap atau tidak, Akasyah? Mestilah tidak!

Yang penting, rasanya aku sudah jatuh suka pada pemain hoki yang alim dan bersuara merdu itu.

***

Dan tika ini, Syah jatuh cinta dengan bekas pemain bola sepak yang baik dan bersuara merdu.

Lagu 'Hingga Saatnya Bahagia' nyanyian kumpulan dari Indonesia itu menjadi kesukaan Kaduk saat ini. Dia pandang Syah yang sudah duduk sebangku dengannya, sama-sama menghadap piano second hand yang dihadiahkannya untuk isteri tersayang.

"... Demi ikrar cintaku
Janjiku untuk dirimu
Harus erat ku jaga
Hingga saatnya bahagia..."

Syah senyum meleret.

Apa dicari kebahagiaan jika tiada dirasa.
Apa didekap kerinduan jika tiada dijaga.

(bersambung...)

#RADHA

Petikan #throwback di atas daripada versi asal online entri RADHA Sweet 17 yang ditulis pada 26 Januari 2011.

Lagu Hingga Saatnya Bahagia telah dipilih oleh Rnysa menjadi lagu tema untuk Gelap (https://youtu.be/45B0CE8F944).




[5] Gelap

Karya pendek

Gelap
Oleh Rnysa

5

Subuh.
#MCODay28 #PKPharike-28
#stayathome #staytogether

Di luar nampaknya gelap.
Hanya curahan cahaya dari lampu jalan dilihatnya dari ruang jendela.

Segera mata beralih pada skrin telefon. Senyum. Gambar lock screen yang mengimbau kenangan lalu.

Damai.
Sedamai pohon sakura yang rendang di kaki gunung.

---
#throwback

April 2008

Aku menyisir rambut yang panjang melepasi bahu. Dari tadi aku menanti kehadiran dia, namun masih belum muncul lagi. Sebelum masuk ke dalam bilik tadi, aku lihat dia begitu rancak bersembang dengan ayah. Entah apa yang mereka bualkan. Aku hanya mengerling padanya. Tidak semena-mena pandangan kami bersatu. Aku tunduk malu dan segera mengalihkan pandangan ke arah lain. Debar di hati usah ditanya. Bagaikan tiada henti. Aku jadi tidak keruan. Terus sahaja aku meminta diri masuk ke kamarku.

Kamar raja sehari ini dihias begitu indah. Tampak romantik dengan gabungan warna putih dan biru laut. Putih adalah warna kesukaan dia, lambang cintanya yang suci murni. Biru pula lambang cintaku yang damai dan tenang. Haruman mawar memenuhi ruang atmosfera bilik ini. Sememangnya sengaja aku letakkan jambangan mawar merah dan putih kesukaan suamiku di suatu sudut. Cahaya malap dari lampu sisi meja katil pengantin menambahkan lagi suasana yang lebih romantik. Sesuai benar dengan mood pengantin baru aku saat ini.

Jantungku berhenti berdegup apabila terdengar daun pintu bilik dikuak. Aku segera menoleh. Dia berdiri di muka pintu. Senyuman memekar di bibirnya yang merah. Pintu ditutup semula dan dikunci. Debaran hati kian memuncak kerana hanya kami berdua sahaja waktu ini dan saat ini. Seharian kami sibuk melayan tetamu yang hadir. Mana sempat hendak berbual mesra dengan lelaki yang baru kunikahi itu.

"Assalamualaikum." Sapa dia sambil tersenyum manis.

Salamnya kujawab dalam hati. Rasanya hendak kusorokkan muka ini di bawah meja atau di mana sahaja. Segannya bukan kepalang.

"Dah ambil wuduk?" Soalnya lembut.

Aku mengangguk. Cuba berlagak tenang walhal bagai hendak luruh jantungku apabila dia melunakkan suaranya begitu.

"Kita solat dulu." Katanya sebelum menghilangkan diri ke dalam bilik air.

--

Dan wajah Kaduk yang baru keluar dari bilik air saat ini menariknya kembali ke tahun 2020. Ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-12 akan tiba tidak lama lagi.

Zaman beralih, musim bertukar.
Adakah hati kita tetap sama?

"Sayang, kita solat dulu..." panggil Kaduk tatkala menghamparkan tikar sejadah.

Sayang...

Bibir Syah pantas mengukir senyuman. Telefon bimbit segera diletakkan di atas meja sisi di tepi katil.

Sayang...

Bila beralihnya musim bunga jika tiadanya musim dingin.

(bersambung...)

#RADHA

Petikan #throwback di atas daripada versi asal online e-novel Relevankah Aku di Hatimu? yang  ditulis pada 31 Ogos 2004.


[4] Gelap

Karya pendek

Gelap
Oleh Rnysa

4

Awal pagi.
#MCODay27 #PKPharike-27 #PKPDharike-2
#stayathome #stayinlove

Di luar nyata gelap.
Hanya sorotan cahaya dari lampu yang malap ditatapnya separa sedar dari lena.

Sayup-sayup kedengaran bacaan ayat-ayat cinta dari kitab-Nya. Berselang-seli dengan tangisan yang teresak-esak perlahan yang cuba ditahan.

Syah membuka luas matanya. Kaduk tiada berbaring di sisi. Matanya menangkap susuk tubuh suaminya itu sedang berteleku di atas hamparan sejadah. Di tangan Kaduk memegang naskah Al-Quran. Bangun bertahajud pastinya, itu memang kelaziman yang cuba diamalkan oleh suaminya itu dan Syah sedia maklum sejak mereka baru bernikah lagi.

Dengan kudrat yang terbatas dia bangkit dari katil. Akram yang sedang tidur lena diusap kepalanya. Seharian cahaya mata ketiga mereka itu meragam. Akram ni macam ada hubungan telepati dengan Syah. Kalau dia tidak berapa sihat, anaknya yang satu ini pun buat hal macam-macam.

Pagi tadi dia tak nak Kaduk suapkan makan. Ibu juga dicarinya, ya Akram.

"Abang dah pujuk. Tapi dia tak nak juga." Dengan wajah bersalah Kaduk membawa Akram masuk ke dalam bilik mereka.

Syah sudah dilarang daripada membuat sebarang kerja setelah semalam Kaduk menyedari keadaan dirinya. Kaduk berkeras mahu membawanya ke hospital malam itu juga tapi Syah menegah. Sekadar penat saja, balasnya semalam. Lalu Kaduk menjatuhkan PKPD ke atas dirinya. Ya, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan.

"Jangan berani nak ingkar arahan suami," tegasnya. Jadi sejak pagi Syah tidak dibenarkan keluar bilik. Duduk saja diam-diam di atas katil. Rehat!

Namun Akram yang masih kecil ini mana faham situasinya itu. Selama ini kan ibu sihat-sihat sahaja. Selama tempoh PKP ini setiap pagi ibu suapkan Akram makan. Merengeklah dia pagi tadi tak nampak kelibat ibunya. Cemas. Sejak lepas makan pagi Akram tidak berenggang daripadanya. Abang dan kakaknya ajak bermain pun dia tak mahu. Tiba-tiba dia pun jadi lemah semacam.

Kepala Akram disentuh sekali lagi. Tak panas, tak ada apa yang abnormal. Hmm... sekadar meragam sahaja. Kasihan Kaduk kena jaga dua orang yang 'sakit'. Tiba-tiba bilangan pesakit bertambah dan kena kuarantin!

Syah menjenguk keluar jendela.
Ah, ada sebutir bintang di langit.

Jauh.
Sejauh bintang di angkasa.

Bila jauhnya hati jika tiada kau di sisi.

Pandangnya dilabuhkan pada Kaduk yang sedang sujud. Suaminya itu sepanjang hari ini menjaganya dengan kawalan ketat bagaikan askar yang sedang menjalankan perintah kerajaan waktu ini. Siang tadi Syah nak cuba bangkit dan nak ambil air di dapur pun tak boleh. Kena disoal siasat segala.

"Nak pergi mana pula tu?"
"Errrr, air dah habis..." Teragak-agak Syah menjawab.

Kaduk berhenti menaip sesuatu di komputer ribanya. Bangun dari bangku meja kerja yang dibawanya masuk ke dalam bilik tidur mereka semata-mata mahu memastikan Syah patuh pada arahannya. Air suam sudah diisinya kembali.

Syah membersihkan diri dan segera menghamparkan sejadah di belakang sang imam yang masih bersujud mengadap Dia yang Satu.

Dekat.
Sedekat dia yang bersujud di hadapan-Mu.

Bila dekatnya hati jika tiada Kau dan dia di sisi.

Dan Syah langsung bertanya pada dirinya:
Relevankah aku di hati-Mu?
Relevankah aku di hatimu?

Mata Kaduk yang basah ditatapnya.
Untuk hati seorang Carl Duke Adam, jawapannya dia sudah tahu - "Ya" dan "Ya".

Jemari Akasyah yang beralas telekung diraih.
Syah sentiasa dalam hati dan doa abang, tutur Kaduk dalam hati yang tidak terluah dengan kata-kata. Masih menahan sebak.

Dalam diam mata mereka saling bertatapan.
Dalam diam hati mereka saling berbisik rasa cinta yang sama.

(bersambung...)

#RADHA



[3] Gelap

Karya pendek

Gelap
Oleh Rnysa

3

Malam.
#MCODay25 #PKPharike-25
#stayathome #stayinlove

Di luar makin gelap.
Hanya suluhan cahaya dari bulan yang cerah ditenungnya tanpa sedar.

Sepi.
Sesepi hidup tanpa teman.

Suram.
Sesuram hidup tanpa iman.

Bila maknanya kemaafan jika tiada salah lagi.
Bila mintanya keampunan jika tiada silap lagi.

Dan bukannya pagi tadi dia tidak terasa hati sebenarnya apabila tidak semena-mena Kaduk naik suara kepadanya. Hidup berumah tangga memang ada pasang surutnya.

Walaupun dia sudah kenal Kaduk sejak tahun 1998 lagi - sudah 22 tahun yang lalu - waktu itu mereka hanya rakan sekolah. Bila sudah hidup bersama, berhari-hari pula menghadap perangai masing-masing mungkin ada masanya hilang kesabaran.

Kadangkala Syah risau juga Kaduk berubah sikap setelah mereka berkahwin. Sekiranya terdetik di hati dia, tersilap pilih isteri atau apa. Lelaki yang namanya Carl Duke Adam itu, dia tahu ramai peminat berduyun-duyun. Kalau dijadikan watak novellah rasanya, hmmm... mestilah ramai yang cair macam glasier di kutub sana.

Syah meramas-ramas tangannya yang menggeletar tanpa kawal. Sakitnya datang lagikah?

Di ruang depan terdengar suara Aisyah sedang menyanyikan lagu "Aisyah Istri Rasulullah" yang tular sekarang. Seronok anak keduanya itu ada lagu nama dia.

"Boleh abang duduk sini?"

Entah bila Kaduk merapatinya di balkoni luar bilik tidur mereka.

Jemari isterinya dicapai dan digenggam erat. Kaduk dapat merasakan jari-jemari isterinya yang sedikit menggeletar.

"Cantik kan bulan malam ni..."
"Haah," jawab Syah. Serentak itu dia meletakkan kepalanya di bahu Kaduk.

Terus Kaduk berpaling ke kirinya. Satu badan isterinya menggeletar semacam. Syah???

(bersambung...)

#RADHA



[2] Gelap

Karya pendek

Gelap
Oleh Rnysa

2

Tengah hari.
#MCODay25 #PKPharike-25
#stayathome

Di luar sudah terang.
Dengan sinaran cahaya dari matahari yang terik dipandang dengan hati yang tenang.

Paparan gambar dalam laman sosial - Instagram - mencuri perhatian. Ah, musim sakura sedang mengembang sekarang!

Cantik.
Secantik bunga sakura mekar penuh.

Mana hilangnya sayang jika tiada cinta yang teguh.
Mana hilangnya rindu jika...

"Ibuuuu..."

Hmmm... anak-beranak ni tak boleh nampak ibu mengelamun sikit.

Lambat-lambat dia menoleh. "Ya, Arham anak ibu yang tersayang..." Kepala anak sulung digosok perlahan.

"Ayah panggil ibu dekat dapur..."

***

"Eh, bukan hari ni giliran abang memasak...?"
"Tahu. Tolong carikan garam masala. Tak jumpa."

Tak jumpa?

Perlahan dia pergi ke rak rempah ratus yang dibelinya di IKEA Cheras dulu. Botol yang siap ada label tertulis GARAM MASALA sebesar alam diletakkan di tepi orang yang sedang memasak. Yang sekejap-sekejap matanya mengerling ke arah si isteri yang sedang merenung tajam.

"Kenapa tenung abang macam tu?"

"Tak ada apa-apa..." Tak ada apa-apa bagi seorang perempuan kadangkala maksudnya berbeza - memang ada apa-apa.

Carl Duke Adam a.k.a Kaduk senyum simpul. Gaya macam sedang kumpul ayat nak memulakan bicara.

Nurul Akasyah a.k.a Syah berpeluk tubuh di sebelah sambil menjenguk isi dalam periuk. Oh, nak buat ayam masala.

"Maaf pasal pagi tadi..." Kaduk berbisik perlahan sambil menatap mata isterinya. "... tak sengaja naik suara." Dia dah berhenti mengacau ayam dalam periuk.

Cepat-cepat Syah mencelah, "Semalam Syah tahu abang penat meeting dari pagi ke malam. Pagi-pagi ni dah sambung lagi meeting lain pula. Sama-sama tengah penat dengan kerja. Walaupun work from home, sibuknya sama saja."

"Jadi, Syah tak marah?"

Segera Syah menggeleng perlahan. Dia tahu Kaduk tengah sibuk dengan teamnya nak restructuring organisasi. Banyak benda nak fikir semua. Dengan adanya tempoh PKP ini, sedikit sebanyak ada kekangan.

"Nak tolong apa-apa lagi? Apa lagi tak jumpa?" Syah memandang meja tengah dapur yang separuh penuh dengan barang-barang dapur.

"Tak jumpa lagi... senyuman manis isteri abang!" Terus Kaduk buat ayat pick up line dekat isteri sendiri.

Syah tergelak. "Dah. Tak payah rasa bersalah sangat."

Kaduk tidak menjawab. Sekadar tersenyum lega nampak Syah tak marah dia.

"Encik Carl Duke Adam."
"Ya?"
"Terima kasih sebab sudi masak untuk Syah dan anak-anak hari ini."

(bersambung...)

#RADHA


[1] Gelap

Karya pendek

Gelap
Oleh Rnysa

1

Malam.
#MCODay24 #PKPharike-24
#stayathome

Di luar sudah gelap.
Hanya limpahan cahaya dari bulan yang terang ditatapnya dengan penuh perasaan.

Indah.
Seindah kenangan silam.

Cantik.
Secantik bunga...

Tappp!

"Buat apa dalam gelap ni?" Serentak itu juga lampu bilik dinyalakan.

Mana hilangnya sayang jika tiada...

"Syah?"

Ala... Orang baru nak bermadah pujangga dia dah kacau!

Mana hilangnya sayang jika...
Mana hilangnya sayang jika...
Mana hilangnya sayang jika...

"Nurul Akasyah binti Othman..."

Ish, panggil nama penuh pula dah.
Ni yang lemah ni...

"Ya, Carl Duke Adam..."

(bersambung...)

P/s: Ahaks....Agaknya dah tahu kan cerita apa & siapa... 😘

#RADHA


[Intro I] Gelap

Karya pendek

Gelap
Oleh Rnysa

Intro I

Pagi.
#MCODay22 #PKPharike-22
#stayathome #WFH

Di luar masih gelap.
Hanya simbahan cahaya dari komputer riba yang cerah ditatapnya tanpa perasaan.

Gelap.
Segelap masa depan.

Kelam.
Sekelam perasaan.

Bila datangnya terang jika tiada cahaya.
Bila hadirnya tenang jika tiada percaya.

(bersambung...)