Tuesday, October 09, 2018

Sekuntum Mawar Di Gunung Atlas (2)

Sekuntum Mawar Di Gunung Atlas
Oleh Rnysa


1


Kehidupan dibatasi dek waktu

Waktu bisa merubah alur kehidupan


Kepada anakku yang dikasihi,


Ini adalah nasihat daripada seorang ibu kepada seorang anak agar kita sama-sama bahagia di dunia dan di akhirat.

1. Jaga solat lima waktu kerana ini yang akan disoal setelah kita mati.

2. Jaga kerja-kerja kita yang kita buat kerana itu jadi darah daging kita. Buat kerana Allah.

3. Jaga hubungan sesama rakan sekerja dan keluarga serta kaum kerabat. Keredhaan ibu bapa itu keredhaan Allah.

4. Jaga kebersihan diri dan persekitaran. Kebersihan itu sebahagian dari iman.

5. Kita kena sesuaikan diri dengan orang di sekeliling kita kerana kita tak boleh merubah orang.

6. Untuk kita dihormati, kita perlu hormat orang. Kita akan dapat apa yang kita beri.

7. Jika ditemukan jodoh yang sesuai, emak ikut saja. Kita perlu berdoa agar dipertemukan jodoh yang sesuai dan terbaik untuk kita.

8. Banyakkan baca buku agama kerana ini memberi pelajaran kepada kita.

9. Jangan lupa baca Al-Quran walaupun satu ayat sehari.

10. Emak minta ampun dan maaf sekiranya menyusahkan kehidupan kamu. Minta halalkan yang termakan dan terminum. Dan minta halalkan apa-apa yang telah kamu beri kepada emak dari dunia sampai akhirat. Minta maaf sebab tidak dapat menyediakan bilik khas bila kamu balik sebab emak tak mampu nak buat rumah yang selesa untuk semua orang. Harap kamu faham sebab emak ayah bergaji kecil.

Sekian untuk tatapanmu.

Emak
27/08/2014
Bandar Baru Bangi

P/s: Kalau kamu tak suka apa yang emak tulis tak apa. Emak redha. Semuanya ketentuan Allah s.w.t.



***

Surat emak itu dibacanya untuk sekian kalinya sambil memicit-micit pinggang yang terasa sakit. Sepanjang hari ini dia buat operasi mengemas rumah. Usai mencuci lantai ruang tamu dan menyental lantai bilik air terus dia berbaring sebelum sakit badannya mula menyerang. Kesakitan yang dialaminya sedikit sebanyak mengubah pergerakannya menjadi sedikit perlahan daripada biasa.


Sambil berselawat ke atas nabi, dia mengurut pinggang dan belakang badan. Cara ini dia belajar dari radio ikim.fm suatu masa dulu di mana dj radio bercerita bagaimana kisah warga Palestin yang kesakitan mengubat dirinya sendiri dengan berselawat.


Apalah sangat kesakitan yang dialaminya sekarang dengan penderitaan rakyat negara itu. Bagaikan langit dan bumi jauh bezanya. Cuma kadangkala dia sahaja sering kali terlupa, lalu berubah menjadi orang berbeza setelah apa yang berlaku dalam kehidupannya. Semakin dia perit, semakin dia jauh.


Jauh dari manusia.

Jauh dari Tuhan.

Suatu ketika itu.

Dan ketika yang lain jua.