Showing posts with label Albatros. Show all posts
Showing posts with label Albatros. Show all posts

Thursday, March 03, 2022

[14] Isyarat Dari Langit

Isyarat Dari Langit
Oleh Rnysa

14
Cerita tentang...


2008
 
"Izzah, tolong cover tugas saya hari ni, ya? Saya nak teman Sarah balik Sabah. Risau nak lepaskan dia sendirian..." Ujar Alex sebelum berlalu.
 
Izzah mengangguk. Kagumnya dia pada Alex. Dia sungguh setia pada Sarah. Sanggup berkorban untuk Sarah.
Dengar cerita, dia akan memeluk Islam tak lama lagi dan akan menyunting Sarah sebagai isteri.
Bertuahnya Sarah kerana memiliki seseorang yang bernama Alex
 
*
 
25 tahun sebelumnya...
 
"Saya suka cerita cikgu tadi!"
"Oh, kisah Nabi Sulaiman dan Ratu Balqis."
 
Alex mengangguk laju. "Setiap kali perhimpunan saya pasti tunggu giliran cikgu berucap..." akuinya jujur.
Dia memang suka mendengar kisah para nabi orang Islam yang diceritakan oleh Cikgu Rosdi.
Cara  penyampaian beliau sangat menarik dan menghiburkan.
Bukan Alex seorang sahaja yang ternanti-nanti cerita daripada cikgu mereka itu.
"Oh, tak sangka saya ada peminat!" Guru subjek Bahasa Melayu itu bergurau.
 
**
 
2002

"Pertama kali saya lihat orang Islam sembahyang..." Alex berbicara rendah pada Sarah Nabila.
Matanya terarah pada sekumpulan pelajar lelaki Melayu Islam yang bersembahyang beramai-ramai di bawah pokok.
 
Lewat petang itu pelajar Malaysia universiti mereka menganjurkan acara barbeque.
Memandangkan sudah masuk waktu maghrib, pelajar yang berugama Islam mengambil giliran melaksanakan kewajipan mereka itu.
 
"Awak tak sembahyang?"
Sarah senyum. Sekadar menggeleng perlahan.
 
Alex tidak faham. Bukankah semua orang wajib mengadap Tuhan mereka lima kali sehari semalam?
 
"Awak orang Islam, bukan?"
"Ya. Tapi perempuan ada kelonggaran untuk waktu-waktu tertentu..."
"Contohnya...?"
 
***
 
Kini...
 
"Kenapa awak hendak pergi ke sana? Bukankah tak lama lagi kita akan berkahwin?"
Sarah tidak puas hati. Wajahnya masam mencuka. Dia tidak jadi mencuba baju majlis pernikahan di tangannya.
 
"Sarah, saya ingin pergi dan melihatnya dengan mata sendiri." Wajah manis Sarah dipandang.
 
"Tunggulah selepas kita nikah. Kita pergi bersama-sama..."
 
Geleng perlahan. "Kaabah. Saya teringin sekali melihatnya. Terasa hati saya seperti dipanggil-panggil..."
Dia ingin menunaikan umrah dan berada di Mekah sepanjang bulan Ramadhan.
 
"Tapi Alex..."
 
"Bukan Alex... tapi Muhammad Abdullah..."
Ya, aku sekadar seorang hamba Allah...mahu jadi hamba 'yang terpuji' seperti baginda Rasulullah SAW.
 

(bersambung...)


Source:
FB Notes 10 July 2011

Sunday, September 26, 2021

[13] Isyarat Dari Langit

Isyarat Dari Langit
Oleh Rnysa

13
Bulan Mei

13 May 2010
Medical Report

Name: Adriena Ayuni bt Idris
IC: 8xxxx-xx-xxxxx

The above name is being diagnosed as having schizophrenia under psychiatrist follow up since January 2008.

She is on medication and regular follow up. However she had history of 3 relapses last year. Currently she is stable medically.

In view of her medication, she is fit to complete her studies.

Thank you for your attention.

Your sincerely,
Dr. Raziffa Munirah

***

"Kehidupan saya banyak berubah selepas itu..." Ujar Adriena.

Mata Que masih pada laporan kesihatan Adriena. Juga pada tandatangannya kakaknya pada surat tersebut.

"Kak Iffa cakap, Ayuni... Eh... Adriena dah sihat."
"Iya ke?" Adriena masih ragu. "Lima, enam tahun..."
"Apa?"

"Kakak awak cakap lima, enam tahun baru saya boleh sembuh..." 2008-2014? Lamanya...

"Kakak Que bukan tuhan. Adriena yang kena yakin Allah akan sembuhkan Adriena..."

"Yakin...?" Tanya Adriena semula. Keyakinan itulah yang selalu tenggelam timbul.

Disebabkan masalah kesihatan ini dia banyak melarikan diri daripada semua orang. Isolation.
"Ramai orang tak boleh faham keadaan saya.."

"Kadangkala kita tak perlukan yang ramai itu. Kualiti lebih baik daripada kuantiti. Que cuba faham Adriena..."

Pandangan Adriena jatuh pada ibu dan adik-adik tirinya yang sedang memberi makanan kepada sekawan angsa yang jinak.

"Mak tak suka saya. Dia cakap, keturunan abah saya ada masalah mental. Dan saya sangat terasa sebab saya pun sakit juga..." Pedih terasa di hati. Disebabkan keluarga sebelah abah mempunyai seorang saudara yang bermasalah, habis satu keturunan dicerca. Sampainya hati mak...

"Pedulikan kata orang..."
"Tapi mak saya sendiri cakap begitu. Bukannya orang lain, Que."

"Que rasa mak Adriena tak bermaksud begitu. Dulu Adriena pun pernah beritahu Que, yang dia ada masalah dengan nenek Adriena. Pada mata Que, Adriena sekadar tempat dia melepaskan marah..."

"Kenapa mak tak boleh sayang saya?"
"Adriena masih ada abah dan ibu yang sayangkan Adriena."
"Saya nak mak sayang saya juga.."

"Que pun sayang Adriena. Sayang sangat..." Luah Que.

"Que, tolonglah lepaskan Ayuni daripada hidup Que. I'm not worth to wait for. Seriously. Just let me go."

"Selagi Ayuni tak boleh lepaskan memori sedih dia, selagi itu Que tak boleh lepaskan Ayuni." Que tarik nafas panjang. "Adriena Ayuni Idris, walau apa pernah terjadi antara kita... Walau apapun pernah terjadi kepada diri Adriena Ayuni atau Que sendiri, Que tetap mahukan Adriena Ayuni dalam hidup Que. Sudikah Adriena Ayuni jadi peneman hidup Rafique Mukminin?"

Air mata sudah mengalir tanpa henti. Que...

"Beri Que peluang untuk bahagiakan hidup Adriena Ayuni. Bolehkah?"

(bersambung...)

FB Notes 3 November 2012

[12] Isyarat Dari Langit

Isyarat Dari Langit
Oleh Rnysa

12
Hikari Monogatari

Dekat Cranfield Adriena rasa hidupnya lebih tenang daripada masa dekat US dulu. Meskipun tadi bagaikan ternampak-nampak bayang Que di perpustakaan, sedang setia menunggunya untuk sama-sama belajar. Ya, dia seorang lelaki yang setia sampai sekarang pun.

Dengar ceritanya, hubungan Que dan Hazelina sudah putus di tengah jalan. Janganlah Que datang ke sini pula. Adriena mahu belajar dalam suasana yang damai.

"Bungkusan untuk kau dari Malaysia!"

Pemberian teman sebiliknya buat Adriena berkerut dahi sebentar. Tertulis pada sampul surat.

Adriena Ayuni,
Belajar rajin-rajin!
- Q

Tercari-cari barang dalam kotak yang banyak berisi carikan kertas.

Sampul surat berisi duit.

Adriena Ayuni,
Saya pulangkan duit awak.
Not yang sama, siri nombor yang sama.
Saya tak faham duit ini untuk apa.
- Q

Cari lagi.

Hadiah malam salji turun. Rantai.

Adriena Ayuni,
Saya hadiahkan semula untuk awak.
Memang saya beli untuk awak... malam itu.
- Q

Cari lagi.

Hadiah hari jadi daripada Que.

Adriena Ayuni,
Yang ini pun saya beli untuk awak.
Saya masih simpan hadiah awak.
- Q

Pen drive?

Adriena Ayuni,
Dalam ini semuanya gambar awak yang dahulu.
Saya sudah buang semuanya, tidak simpan satu pun.
Sebab awak sudah menutup aurat. Saya hormati itu.

Tapi saya boleh mahu 'simpan' wajah awak yang sekarang?
Dalam hati saya sahaja :)
- Q

Senyum.

Telefon bimbit?
Berbunyi...

Pada skrin terpapar.

'Que is calling you...'

Angkat.

"Adriena Ayuni..."

Que...

"Saya depan perpustakaan awak tadi. Sekarang tepi tingkap dekat meja belajar awak..."

Adriena menoleh. Seseorang sedang tekun memerhatikan dia dari luar.

"Adriena..."

(bersambung...)

FB Posting 19 Mac 2014

[11] Isyarat Dari Langit

Isyarat Dari Langit
Oleh Rnysa

11
Siapa Sayang Saya?

Keseorangan.

Malam itu Adriena menangis bersungguh-sungguh.
Seperti tangisan itu tidak akan berhenti.

"Allah tak sayang saya. Mak saya pun tak sayang saya. Tiada siapa pun sayang saya."

Lalu, tangan Adriena pantas bertindak balas.
Jari mencoret tanpa dirancang di atas tilam dalam ejaan jawi. Dengan pantas sekali. Tanpa sempat dia berfikir pun.

"Allah sayang Adriena. Rasulullah sayang Adriena. Para malaikat sayang Adriena."

Adriena masih tersedu-sedu.

Namun dalam masa yang sama hairan dengan tindakan refleks jari tangannya itu.

"Jangan sedih. Allah akan menjaga Adriena... sampai bila-bila." Jarinya terus melakar di atas tilam. Cuba memberitahu dalam tulisan jawi!

Adriena berhenti menangis. Jarinya pun berhenti menulis juga.

"Allah. Alllah. Allah." Kembali menulis. Kali ini daripada Adriena sendiri pula.

Sejak sakit dan sembuh beberapa tahun lalu, perkara 'aneh' sebegitu sering terjadi kepada dirinya.

Seolah-olah terasa Allah sedang 'berbicara' dengannya. Hanya dia yang selalu leka dan lupa. Lari dari tanggungjawab mejalankan perintah-Nya dan sujud sebagai hamba.

***

Dan keesokan harinya apabila melihat mak Adriena sekeluarga dan Que datang ke Cranfield, Adriena terus terdiam. 

Ya Allah...
Dalam hati rasa terharu sedih. Terima kasih atas kiriman kasih sayang sepantas kilat.

Wajah mak sekeluarga dan Que dipandang penuh kasih. Tiada kata-kata dapat diungkapkan saat itu. Kerana isyarat cinta dari langit telah tiba. Ditujukan khas untuk khalifah kecilnya di bumi.

(bersambung...)

FB Notes 8 Oktober 2012

[10] Isyarat Dari Langit

Isyarat Dari Langit
Oleh Rnysa

10
Biar Langit Berbicara

Sesungguhnya Allah berbicara dengan manusia. Setiap masa.

Hanya dengan hati yang tenang dan terang, kita dapat memahaminya.

Allah itu Maha Pelembut dan Maha Pengasih.
Dan dia tidak akan biarkan kita hidup berseorangan di dunia ini.

Adriena merenung anak kecil yang tersenyum riang kepadanya. Aneh! Lalu dia berpaling ke kiri dan kanan. Namun tiada siapa pun berada berdekatan dengan Adriena saat itu. Anak perempuan kecil yang sedang memegang belon berwarna kuning datang ke arahnya. Kenapa? Hati kecilnya bertanya. Dan anak kecil itu terus tersenyum comel. Adriena mempercepatkan langkahnya dan terus membiarkan si comel memerhatikannya berlalu.

Ah, Sejak akhir-akhir ini selalu sahaja dia didatangi oleh anak kecil seperti itu. Selalu sangat!

Isyarat dari langit.

Adriena tidak mahu melayan fikirannya lagi. Segera dia keluar dari pasaraya tanpa membeli apa-apa. Terus pulang ke rumah. Sampai di rumah, peti surat dibuka. Surat bersampul biru. Sama seperti bulan yang lalu. Satu nama terbit dalam fikiran.

Que. Rafique Mukminin.

Tidak cukup dengan emel, sekarang dia beri surat pula. Semuanya Adriena tidak membalasnya. Seperti biasa dia akan bercerita tentang hal diri dan kerjaya. Tentang harapannya terhadap hubungan mereka berdua.

Kenapa awak masih mahu tunggu saya lagi? Sedangkan bila-bila masa awak boleh dapat seseorang yang lebih baik daripada saya. Bisik Adriena dalam hatinya.

Di akhir surat Que menulis...
Ayuni,
Saya selalu berdoa semoga Allah bukakan pintu hati awak untuk berkeluarga.
Supaya ada seseorang boleh menjaga Ayuni sampai ke syurga.
Mungkin bukan dengan Que, tetapi seseorang lelaki yang menyayangi diri Ayuni.
Semoga Dia menghantar isyarat cinta-Nya dan cinta lelaki itu untuk Ayuni.
Meskipun sekadar disampaikan melalui senyuman si comel yang manis sehingga memikat hati.

Ayuni tersentak seketika tatkala membaca baris ayat tersebut.

Ayuni,
Senyuman itu datangnya tulus dari hati.
Dan Que harap senyuman itu mampu menceriakan hidup Ayuni di sana.
Salam sayang dari Malaysia buat Ayuni di Cranfield.
Belajar elok-elok dan siapkan tesis master dengan tenang.
Insya-Allah, nanti Que akan datang bercuti ke Cran...

"Apa? Nak datang bercuti...?"

(bersambung...)

FB Notes 26 September 2012

Sunday, October 18, 2020

[9] Isyarat Dari Langit

Isyarat Dari Langit

Oleh Rnysa 


9

Relapse 


Tak sampai 3 tahun. Relapse.

Risperidone dicari. Pil putih sebutir 1mg segera ditelan bersama air seteguk.


You thought that time would be the last one.


1 November 2019. Awal pagi.

Siapa sangka.


Peringatan daripada Dia.

Tolong jaga diri, Adriena! 😢


(bersambung...)


1 November 2019

[8] Isyarat Dari Langit

Isyarat Dari Langit

Oleh Rnysa


8

Albatros


Putrajaya

Lima petang


“Ada apa yang tak kena, Yana?” Mata Lt. Kol. (B) Idris singgah pada wajah polos anak gadisnya. Adriena tidak seperti Muzzafar yang suka berkongsi cerita. Adriena sangat pendiam dan perahsia orangnya. Walaupun begitu, cuti semester tetap dihabiskan dengan aktiviti bersama keluarga. Dalam diam, Lt. Kol. (B) Idris memerhatikan kepakarana nak gadisnya melakukan aksi akrobatik kapal terbang kawalan jauh.


“Muzzi tu hebat kan, abah? Jadi antara pelajar termuda di akademi.... Lepas dua tahun, dah berjaya tamatkan pengajian. Dah bersedia nak masuk alam pekerjaan,” ujar Adriena yang cemburu dengan adik sepupunya yang sedang menanti tawaran sebuah syarikat penerbangan tempatan. Dalam kalangan keluarga mereka, Muzzafar dipanggil dengan nama manja ‘Muzzi’.


“Jadi, Yana cemburulah ni? Patutlah muncung aja sejak balik dari Segamat....” Usik Lt. Kol (B) Idris sambil melirik sekilas ke arah Adriena. Anak abah juga hebat, sayang! ucapnya dalam hati, tidak terluah dengan kata-kata.


“Senangnya dia berjaya, kan. Tapi Yana...”


Belum sempat Adriena menghabiskan ayatnya abah cepat memotong. “Anak abah seorang ni bercita-cita tinggi. Asyik pandang ke atas, suka lihat bintang-bintang yang gemerlap di langit. Bila sekali ‘terpaksa’ pandang ke bumi, hanya nampak tanah hitam.” Abah Adriena sudah mula berfalsafah.


Adriena mengakui bahawa dia seorang yang mempunyai harapan yang sangat tinggi. Sepertimana dengan melihat kapal terbang berlegar di udara membuat hatinya terasa tenang dan lupa segala masalah. Masa juga terasa berlalu begitu pantas. Begitu juga dia merasa kejayaan membuat hatinya puas. Masa depannya juga perlu sentiasa secerah mentari yang tidak berhenti mengeluarkan cahaya tanpa mengira siang atau malam.


“Dan bila nampak tanah hitam, Yana jadi sedih. Hilang semangat. Mula fikir negatif.”


Ya, abah. Hakikatnya hidup manusia ini umpama sebuah kapal terbang juga sebenarnya. Adriena terlupa tentang itu. Sejak kecil Adriena sudah terbiasa berada di atas, sampai satu masa dia berada di bawah. Kapal terbang tidak selama-lamanya akan terbang di udara. Perlu juga mendarat, menurunkan penumpang, menjalani senggara, dan berlepas semula. Jangan sampai kapal terbang mengalami kerosakan kerana terhempas. Macam hati Adriena yang tiba-tiba pecah berderai


(Petikan daripada Albatros: Antara Langit dan Bumi oleh Rnysa, Jemari Seni 2008)


(bersambung...)


18 September 2018

[7] Isyarat Dari Langit

Isyarat Dari Langit

oleh Rnysa


7

Dopamine


21 November 2012

Petang itu


"Doktor...kalau orang tu didiagnosis skizofrenia, berapa lama baru boleh sembuh?"

"Depends. Siapa yang sakit?"

"Saya..."

"Oh, kalau awak tak cakap saya tak tahu. Awak nampak OK saja..."


Senyum. "Pernah kena diagnosis. Sejak 2008 dan 3 relapses pada tahun 2009...berdasarkan surat doktor. Oh, biasanya setiap doktor yang lihat buku hijau saya akan tanya masih ambil Risperidone lagi atau tak..." Dia tunjuk catatan dalam buku hijau untuk diabetes sejak Jun 2010.


Doktor mengangguk.


"Mungkin positive symptom tak ada. Negative symptom ada lagi. Dan sejak kebelakangan ini saya rasa sangat tak OK."

"Ubat makan lagi?"

"Tak..."

"Doktor suruh berhenti? Saya tengok awak dah OK. Tak ramai yang kena sakit ini boleh sembuh macam awak."

"Ubat tu...saya berhenti sendiri. Tak nak makan sebab ubat itu buat saya rasa demotivated..."

Cerita serba-sedikit 'history' macam mana boleh kena (setakat yang tahu) dan apa kejadian yang trigger kembali rasa takut dan tremor baru-baru ini.


"Ok, saya beri tempoh satu minggu untuk awak fikir sama ada mahu jumpa psychiatrist atau tidak."


***


15 September 2018

Pagi itu


Sedang membelek Facebook dia pergi ke laman universitinya seperti biasa. Dia terpaku pada satu artikel yang sangat dekat dengan keadaan dirinya. Ralit dia membaca. Dari satu artikel ke satu artikel, dan kembali kepada yang asal. Mungkinkah ini jawapan kepada tangisannya semalam? Mungkinkah ini harapan kepada masalahnya?


Ø£َØ´ْÙ‡َدُ Ø£َÙ†ْ Ù„َاإِÙ„َــــهَ Ø¥ِÙ„َّا اللهُ ، ÙˆَØ£َØ´ْÙ‡َدُ Ø£َÙ†َّ Ù…ُØ­َÙ…َّدًا رَسُÙˆْÙ„ُ اللهِ


Siang tadi dia sedang tertidur sekejap sewaktu dia bermimpi mengucap kalimah syahadah itu. Selepas itu seluruh tubuhnya terasa semacam...satu tenaga terbebas


Ø¥ِÙ†َّا Ù„ِÙ„ّÙ‡ِ...


Ucapnya kemudian dan terus tersentak dalam lena - sudah matikah dia? Lalu terjaga dengan jantung berdegup sangat laju.


Berdebar dia sepanjang hari. Serba tak kena. Petanda apakah ini?


Dopamine...doktor kata otaknya terlebih mengeluarkan dopamine.


Artikel dari laman sesawang MIT (https://news.mit.edu/2018/brain-dopamine-tracking-sensors-0912) itu dibaca semula. Dia tahu dia perlu buat sesuatu.


(bersambung...)



16 September 2018




[6] Isyarat Dari Langit

 Isyarat Dari Langit

oleh Rnysa 


6

Suara


"Perasaan je."


Muncul satu suara perempuan, jelas di halwa telinga. Adriena mencari-cari penuturnya sambil memandang sekeliling sepanjang berjalan keluar dari perkarangan Hospital Putrajaya menuju ke keretanya. Tak ada perempuan berada berdekatan dengannya. Jika diamati nada suara itu seperti biasa didengari sebelum ini. Seakan suara dia sendiri...


Dia baru jumpa Doktor Aida sebentar tadi. Temujanji bulanan psikiatrinya. Sudah lama dia tak dengar suara. Adakah simptom skizofrenia dia sudah muncul kembali?


Adriena mencatat dalam kepalanya: 

24 Ogos 2017 - Aku. Dengar. Suara.


(bersambung...)


25 Ogos 2017


[5] Isyarat Dari Langit

Isyarat Dari Langit

oleh Rnysa


5

Jiwa yang sepi


"Adriena tahu kan dalam keadaan macam mana sakit itu boleh datang balik?"


Adriena menangguk perlahan. Yang kes kali ini sama waktu pertama kali sakit. Pattern yang sama. Stress, tak boleh tidur beberapa hari dan...'ia' datang.


"Jadi kena jaga diri betul-betul. Makan ubat yang saya beri. Penyakit schizophrenia ni...akan sentiasa ada dalan diri awak...sampai bila-bila."


Ayat itu umpama death sentence. Sebab selepas itu, pergi jumpa doktor di klinik atau hospital mana pun, wajah mereka akan berubah apabila tahu Adriena menghidap penyakit yang satu itu. Mereka selalu nak tahu macam mana boleh sakit dan makan ubat itu. Dan komen mereka yang tak banyak membantu...


"Oh, biasanya ini penyakit keturunan...." kata doktor klinik kesihatan berulang kali.


"Orang yang sakit schizophrenia ni ada dua. Satu, yang nampak elok macam awak. Satu lagi, yang kutip sampah tepi jalan..." Sampuk seorang doktor perempuan yang terdengar perbualan mereka.


Adriena sedar, orang sakit macam dia tidak ada tempat dalam masyarakat yang serba sempurna. Sebenarnya dia sudah tidak sibuk fikir sangat fasal jodoh, soal kesihatan dia lebih utama. Namun, terpaksa pura-pura buat fikir soal jodoh supaya orang keliling nampak dia fikir juga. Dia tahu orang pasti fikir banyak kali sebelum terima dia jadi menantu.


Penyakit keturunan...


Adriena pun tak nak keturunan dia sendiri. dapat sakit ini. Cukuplah dia seorang yang rasa...


Walau bagaimanapun, ada sebenarnya jiwa-jiwa yang jauh lebih sakit di luar sana. Bagaimana tergamaknya seorang pelajar universiti didera sedemikian rupa? Bagaimana kemarahan dan kesilapan boleh membawa maki hamun, kecelakaan dan kematian?


Hilangnya jiwa-jiwa yang tenang.

Hilangnya nilai kemanusiaan.

Hilangnya adab santun bahasa.


Langit 10 Ramadan terasa dihambat sepi... dalam kekalutan jiwa manusia yang tidak bertepi. Namun ia belum lagi tersimpul mati, harapan masih ada lagi.


Wahai jiwa-jiwa yang tenat, kembalilah kepada Dia yang memberi ketenangan.


Adriena belajar memujuk dirinya sendiri kembali tenang. Ya, dia sedang belajar untuk memaafkan, menghargai dan melihat masa depan yang lebih jauh.


Dalam kaca matanya saat ini, kehidupan alam dunia ini sudah tertutup kecil-sekecilnya lalu alam akhirat itu sudah terbuka seluas-luasnya. Bukankah Tuhan pernah tunjukkan segala-galanya sebelum ini? Hanya dia seorang yang tahu apa yang dialaminya waktu itu. Apa yang dia cuba buang dari ingatan selama bertahun-tahun ini. Halusinasi yang menakutkan lagi mengerikan. Ternyata Tuhan tidak mahu dia lupa. Dan Tuhan juga tahu dia sebenarnya tidak dapat melupakannya selama ini.


(bersambung...)


5 Jun 2017


[4] Isyarat Dari Langit

 Isyarat Dari Langit

Oleh Rnysa


4

Episod


Cahaya matahari dan lampu terasa terlalu terang menyilau pandangan. Segala bunyi terasa kuat mengganggu pendengaran. Ada yang tak kena dengan dua derianya selama dua minggu itu.


Apa yang tak kena? Adriena menekup telinganya berulang kali. Tak pernah terjadi sebelum ini sebegitu.


Pernah juga satu waktu itu dia membaca huruf dalam majalah, macam ternampak nombor di artikel bawah bergerak. Dan itu pun tak pernah dialami sebelum ini.


Something wrong with me....


Simptom baharu apa pula yang datang lagi? Apa lagi akan jadi selepas episod hari itu? Tak sampai berapa jam 'episod' hari itu, tapi simptom lain pula datang menjenguk satu demi satu...selepas dua, tiga bulan kemudiannya.


Mungkin 'kawan lama' itu datang kembali. Tapi doktor kata bukan skizo...mungkin brief psychotic disorder. 


"Orang skizo tak well functioning macam awak, Adriena."


Adriena senyum. 


Kalau tak berlakon dan buat-buat ok macam mana nak nampak well functioning, doc. Jawab Adriena dalam hati.


I'm struggling deep inside from that day I was diagnosed with this illness. You never know it, doc. You'll never know it.


For doctor, I have extra dopamine in my brain.

For everyone out there, I'm a monster...if they knew about it.


Ini episod yang perlu Adriena telan seumur hidup.


(bersambung...)


18 Mei 2017


[3] Isyarat Dari Langit

Isyarat Dari Langit 

Oleh Rnysa 


3

Selembut Awan


"Apa nama penyakit saya tadi, doktor?"

"Brief psychotic disorder."


Bunyi lain pula diagnosis kali ini. Atau sebenarnya sama macam mula-mula sakit. Adriena termenung sekejap.


"Sepatutnya yang sakit ini kena sekali saja. Jadi nak kata awak ada skizoprenia pun, awak tak macam orang lain yang sakit skizo. You're successful. Well functioning."


"I'm not so successful, doc. Ramai lagi yang lebih berjaya daripada saya." Adriena merendah diri. Betullah, walau setinggi sehebat mana pun pasti ada seseorang yang lebih bagus.


"Of course, for me..You're a successful person. Tak semua kena penyakit macam awak... boleh hidup normal macam awak sekarang." Tutur Doktor Aida.


"Alhamdulillah, saya pun syukur sangat."


Doktor Aida merenung wajah Adriena dalam-dalam. "Saya rasa saya nak jumpa awak balik. Surat referral follow up dekat klinik kesihatan biasa ni saya simpan dulu." Terus beliau selak buku temujanji klinik psikiatri di hadapannya itu.


Adriena tergelak. "Doktor rindu dekat saya, ye."


"Ceh, mana ada..." Doktor pun ikut cara dia cakap 'ceh' waktu sesi temujanji mereka tadi.


"Jumpa lagi 3 bulan. Ubat... saya boleh beri bekal sebulan aja. Bulan depan Adriena boleh datang ambil lagi? Nanti cakap dengan nurse yang Doktor Aida minta datang."


Adriena mengangguk perlahan. "Doktor tolong tulis dekat surat tu..." Adriena tuding pada surat referral yang tak jadi. Dia nak tahu juga apa sebenarnya yang doktor pakar itu diagnosis.


"Mana buku temujanji awak? Saya tulis dekat situ. Nanti awak tunjuk dekat nurse saya..." Lembut sahaja beliau bertutur. Selembut awan. Doktor baik macam ini, pesakit pun jatuh sayang.


"Jangan lupa makan ubat, ya. Dan kalau ada apa-apa, boleh terus datang sini..." Harap Adriena faham bahawa dia dan pihak hospital sentiasa bersedia mahu memberi bantuan. Disalam lalu dipeluknya Adriena erat-erat.


"Terima kasih banyak-banyak doktor." Senyum.


Hujan lebat di luar Hospital Putrajaya ini.

Mungkin selebat hujan dalam hati Adriena.

Pandang langit yang gelap, sarat penuh dengan awam hitam. 


Brief psychotic disorder...


Buku temujanjinya diselak buat sekian kali.


***


2008

Brief reactive psychosis

Schizophrenic form disorder

Ubat: Risperidone 1-2mg. Benzhexol (sementara sahaja)


2009

Schizophrenia. Relapse.

Ubat: Risperidone 1mg


2016

Brief psychotic disorder

Ubat: Risperidone 0.5mg


P/s: Kisah ini pelengkap cerita Adriena dalam 'Albatros: Antara Langit dan Bumi' dan 'Hikari Ainori'.


(bersambung...)


30 April 2017


[2] Isyarat Dari Langit

Isyarat Dari Langit

Oleh Rnysa 


2

Harga sebuah tabah


Lepas relapse tahun lepas, Tuhan nak beri Adriena pergi 'berehat' rupa-rupanya. Dia nak beritahu, setiap kesusahan itu disusuli dengan kesenangan. Dan Adriena perlu latih diri bersabar dengan segala ujian hidup. Dah tiga kali didiagnosis dengan skizoprenia pasti buat Adriena lebih tabah daripada sebelumnya. Juga Adriena pasti lebih memahami hakikat sebuah kehidupan. Setiap orang diberi ujian masing-masing mengikut kemampuan diri.


Berbahagialah!


Kerana Dia Maha Melihat lagi Maha Mendengar.

Harga sebuah ketabahan itu tinggi nilainya di sisi Dia.


Tenang sahaja Adriena menikmati makan malam di Restoren d'lions, restoren milik Hotel Cosiana di tengah bandar Hanoi yang menawarkan hidangan halal.


(bersambung...)

11 April 2017


[1] Isyarat Dari Langit

Isyarat Dari Langit 

oleh Rnysa

 

1

Pejamkan Mata

 

Manusia kan sentiasa menyakiti

Yang tak membunuh buatmu kebal sehari lagi

Masa untuk koktel lorazepam, ambien, risperdal

Semoga afdal bertemu di astral...


Bait-bait rangkap rap nyanyian Malique mengisi halwa telinga. Separuh biji risperidone 1mg dipatah dan selamat masuk ke dalam mulut Adriena. Kena makan balik ubat ini lepas jumpa Doktor Aida akhir bulan lepas di Hospital Putrajaya. Doktor pakar psikiatri itu kata, simptom skizoprenia Adriena sudah datang balik.


Ya Allah, tolong pejamkanlah mata ini.

Moga mimpikan yang indah...


(bersambung...)


9 April 2017

[Prolog] Isyarat Dari Langit

Isyarat Dari Langit

Oleh Rnysa 


Prolog


Relapse. 9 Disember 2016.


Welcome back, Adriena Ayuni.

It has been awhile since we met you during your 2nd relapse back in March 2009.


Hope there will be light and hope left inside you to go through the same old journey again.


Hopefully we wish it will be the last one for you. The last episode of your pain and suffering.


***


I hope so. It would be the last one.


Langit cerah, terang-benderang.

Namun Adriena rasa dunianya kembali gelap.


"Nikmat yang manakah telah kau dustakan?"


(bersambung...)


Entry di atas daripada versi asal online Facebook Posting yang ditulis pada 21 Mac 2017. 


Buat pengetahuan semua, cerita ini merupakan sekuel kepada kisah Adriena dalam novelet Albatros: Antara Langit dan Bumi (Kebun Mimpi, 2008) dan Hikari Ainori (Warna, 2010) yang pernah diterbitkan oleh Jemari Seni Publishing.