Tuesday, June 22, 2021

[Cerpen] Cinta, Akhirnya Bahagia

Cinta, Akhirnya Bahagia
Oleh Rnysa

Jalan tanah merah ini memang tidak pernah sunyi dari hilai tawa kanak-kanak. Sewaktu kereta yang dinaiki oleh Lissa menelusuri jalan ini, sekumpulan budak-budak desa permai ini sedang main lumba basikal. Meriah betul! Gelak sana, gelak sini. Lissa rasa ketenangan akan menyelimuti dirinya setiap kali pulang ke kampung. Jiwanya aman dan tenteram di sini. Dapat juga melupakan sebentar bebanan yang dipikul sebagai pelajar semester kelapan fakulti perubatan.

Sekarang ini dia belajar bahagian internal medicine dan demam malaria. Susah juga kerana terlalu banyak penyakit yang perlu dia mahir seperti diabetes, tekanan darah tinggi dan macam-macam lagi. Tapi bahagian-bahagian ini amat menarik sebab banyak berhubungan dengan penyakit-penyakit harian yang banyak terjadi sekarang. Cuma kadang-kadang pening kepala juga waktu hendak anamnesis pesakit sebab terlalu sukar.

Teman sekuliah Lissa, Hanz Faizal memandu dengan penuh berhati-hati bagi mengelak daripada terjerumus ke dalam lopak-lopak air yang berada sepanjang jalan. Sayang sungguh dengan kereta yang baharunya ini. Ibu bapanya yang menghadiahkan kerana sudah tujuh semester berturut-turut Hanz mendapat empat pointer sekaligus merangkul anugerah pelajar terbaik fakulti. Kelisa warna kelabu ini kini menjadi motivasinya supaya terus cemerlang.

Hanz yang bijak bestari itu sedang bertungkus-lumus menyudahkan tiga ijazah sarjana mudanya dalam bidang otak, perut dan tulang. Sungguhpun begitu dia tidak pernah sekali-kali meninggi diri. Kadangkala Lissa tertanya-tanya juga bagaimana seorang yang rajin berjalan-jalan itu boleh mendapat keputusan yang sebagus itu. Sudah tercatat di Luh Mahfuz-Nya rezeki Hanz berlimpah-ruah begitu. Lissa sepatutnya bersyukur dapat berkawan dengan Hanz yang tidak pernah lokek ilmu. Bukankah manusia itu perlu saling membantu?

“Rumah kau yang mana satu, Lissa?” Hanz bertanya.

“Yang atap merah di depan sana...”

“Dah nak sampai ke?” Kai Lin yang lena di atas bahu Lissa tadi sudah terjaga. Masih nampak kepenatan setelah melayan kerenah anak-anak penghuni rumah anak yatim di Kati, Kuala Kangsar dari awal pagi lagi untuk menjayakan program bakti siswa fakulti mereka.

Lissa mengangguk. Mei Sean yang duduk di sebelah tempat pemandu menyeluruhi wajah Lissa lantas bibirnya mengukir senyum.

“Wah, muka bakal pengantin berseri habislah!” Usiknya.

Hati Lissa bergetar hebat. Cepat-cepat dia mencubit Mei Sean yang kuat mengusik itu. Malu Lissa pada Hanz yang galak merenung nakal.

“Baru nak bertunanglah!” Lissa membeliakkan matanya besar-besar sambil menarik muncung panjang. Teman sekuliah Lissa ketawa berderai kerana berjaya membuat dia tersipu-sipu malu.

***

Lagi tiga hari. Dan akan tibalah suatu hari yang paling indah. Dia bakal menjadi tunangan orang. Shah tidak tahu apa perasaannya saat ini. Meskipun belum lagi bergelar suami, namun debaran tetap dirasai. Semakin lama semakin hebat.

Shah menguak rambutnya yang baru dipotong pendek. Dia tersenyum lebar tatkala melihat dirinya di hadapan cermin. Tiga hari lagi dia akan mengikat tali pertunangan dengan gadis yang sangat dikasihinya. Dan beberapa hari selepas itu dia akan pulang semula ke Royal College of Surgeons untuk menyudahkan pengajian yang hanya tinggal dua semester lagi. Alhamdulillah, semalam secara rasminya tamatlah praktikalnya di salah sebuah hospital di Melaka. Usai segala hal yang berkenaan, dia terus pulang ke Semanggol untuk menguruskan majlis pertunangannya pula.

Bunyi hon yang tak berhenti-henti mengejutkan Shah. Dia segera menjenguk ke luar rumah. Kelisa berwarna kelabu meyapa pandang. Seorang lelaki keluar dan mengangkat tangan. Shah senyum. Lissa sudah pulang!

“Shah, aku hantar tuan puteri dan dayang-dayangnya balik dulu. Lepas ni aku datang semula ke rumah kau.” Jerit lelaki tinggi lampai itu pada Shah.

“Yalah. Hati-hati tau.” Shah yang melangut di tepi tingkap mengangguk. “Lissa mana?” Mata Shah pura-pura tercari-cari wajah bakal tunang tersayang.

“Lissa, abang Shah panggil. Keluarlah...” Ujar Hanz sambil tersengih.

Wajah Lissa sudah merah padam. Malu. Dia berbisik perlahan pada Hanz.

“Lissa kata, jumpa waktu majlis nanti.” Beritahu Hanz. "Dia segan agaknya," ulasnya kemudian.

“Dah berbulan-bulan tak jumpa. Aku di Melaka, dia di UM. Dah dekat macam tu pun nak ajak keluar sama bukan main payah. Sekarang dah ada kat depan tangga rumah pun tak nak jumpa lagi. Ini mendera namanya, Cik Melissa.” Leter Shah.

“Nasiblah kau, Shah. Siapa suruh pilih Cik Melissa ni. Memang sakit jiwalah. Banyak sangat protokolnya. Itu tak boleh, ini tak boleh.” Hanz sudah kenal Lissa sejak sekolah menengah lagi. Mereka berdua sekelas. Dengan lelaki memang Lissa tak bercakap langsung. Mujur masuk UM sikapnya itu berubah sikit. Tapi masih lagi kekok serba-serbi.

“Agaknya dia nak suruh aku lari-lari keliling wad dengan kain pelekat, baru dia nak keluar dengan aku.” Shah berjenaka. Dia sedia maklum Lissa suka melihatnya memakai baju melayu dan kain pelekat. Waktu mula-mula bertemu dengan Lissa, mereka tersempak di hadapan tangga surau. Lissa menemankan Nek Apsah dan Mak Nah menunaikan solat jemaah di surau kampung mereka.

Hanz Faizal ketawa besar.

“Nak sembang apa lagi ni? Cepatlah...” Ujar Lissa dengan wajah berkerut seribu.

“Mak oi, garangnya. Menakutkan...” Shah tergelak.

Lissa mengetap bibir menahan marah. Abang Shah memang suka mentertawakannya. “Hanz, boleh cepat sikit tak? Dah nak hujan ni.” Kata Lissa lagi sambil memandang langit yang makin gelap. “Doktor Shahrizam... kami balik dulu.” Ujar Lissa lalu menaikkan semula cermin tingkap.

Shah sentiasa senang dengan reaksi Lissa yang kadangkala keanak-anakan itu. Setiap kali dia marah dan malas hendak melayan gurauan, Lissa akan memanggilnya "Doktor Shahrizam" dan cepat-cepat melarikan diri. Lissa terlalu menyimpan perasaan. Dia jarang mempamerkan isi hatinya. Lissa, gadis penuh misteri. Dari dulu hingga kini. Agaknya sebab itu dia suka pada gadis yang berasal dari keturunan baba dan nyonya itu. Kalau dilakukan ‘pembedahan’ ke atas Lissa, barangkali banyak lagi perkara yang dia tidak tahu tentang gadis itu. Dan pasti banyak jua ‘penemuan’ baharu yang bakal dia ketahui. Amboi, cara fikir Doktor Shahrizam macamlah Lissa itu sejenis ubat atau vaksin yang boleh menyembuhkan bermacam jenis penyakit pula!

***

Kereta yang dipandu oleh Hanz perlahan-lahan meninggalkan perkarangan rumah dan menuju ke rumah keluarga Lissa. Keluarga angkat sebenarnya. Ibubapa Lissa sudah lama meninggalkannya. Lissa bukan anak yatim. Kedua orang tuanya masih lagi hidup. Tapi mereka yang tidak lagi mengambil tahu tentang diri Lissa. Kebetulan ibubapanya bercerai dan dia menjadi mangsa keadaan. Lalu, Lissa membesar tanpa kasih sayang ayah dan ibu. Itulah Melissa Kyra, bakal isterinya.

Shah selalu berpesan pada Lissa sedari awal perkenalan mereka bahawa Allah sudah menghendaki dunia ini sebagai tempat bertemunya dua hal yang saling berlawanan, dua jenis yang saling bertolak belakang, dan dua pendapat yang saling bertentangan; yang baik dengan yang buruk, kebaikan dengan kerosakan, kebahagian dengan kesedihan. Dan setelah itu, Allah akan mengumpulkan semua yang baik, kebagusan dan kebahagian itu di syurga. Adapun yang buruk, kerosakan dan kesedihan akan dikumpulkan di neraka. Akan ada kehidupan yang lain selepas ini. kehidupan yang kekal abadi. Segalanya tidak akan berakhir di sini.

“Takkan Lissa tak percaya dengan janji Tuhan? Lepas setiap kesulitan akan ada kemudahan!” Tegasnya selalu.

Lissa masih tidak memberikan sebarang reaksi. Dia merenung jauh ke petak-petak sawah yang menghijau. Bagai sedang memikirkan sesuatu seperti selalu. Ah, gadis itu terlalu banyak berfikir!

“Senyum sikit boleh tak? Nak jadi doktor mana boleh macam ni. Kalau terus dengan muka masam, pesakit akan lari. Abang pun lari tau. Haaa.... cuba jadi tengok abang ni... senyum selalu. Mana tak nampak handsome...” Shah cuba berjenaka. Namun begitu, Lissa tetap mematungkan diri.

Shah menggaru kepala. Sudah mati akal untuk berfikir bagaimana mahu buat gadis itu sudi berbual dengannya. Nenek Apsah kata, Lissa semakin kurus. Ya, kali terakhir Shah berjumpa dengan Lissa tidaklah badannya sesusut ini. Dia sedang menanggung kesakitannya sendiri.

“Waktu ayah dan mak Lissa berpisah, Lissa bersedih dari dulu sampai sekarang. Apa Lissa fikir dengan bersedih macam tu mereka akan bersama semula? Tak, kan? Dah tujuh tahun. Mereka pun dah ada keluarga baru masing-masing. Kesedihan akan buat apa yang Lissa ada sekarang tak bermakna - Nenek Apsah, Pak Kasim, Mak Nah, Long , Kak Nina, Rin, Alang, Teh, Ucu ... dan abang Shah. Lissa kena ingat... Lissa masih ada kami semua. Kami semua ambil berat tentang Lissa. Kami semua sayangkan Lissa. Dan kami takkan biarkan Lissa seorang diri.” Kata Shah bersungguh-sungguh.

“Orang yang tak dapat kawal kesedihan, dia akan mati muda. Kami tak mahu kehilangan Lissa...” Tambah Shah lagi. Anak Pak Kassim, Sarinah yang mengaji di Uitm Manjung memaklumkan yang Lissa mula mengambil ubatnya semula. Bukan saja satu tapi berjenis-jenis banyaknya. Lissa cakap, semua itu pil-pil vitamin. Bukankah Lissa makin kurus sekarang dan perlu menambah zat dalam badan?

Benar, badannya mulai susut sejak mendapat tahu ibunya berkahwin baru dan mengandung pula beberapa bulan selepas itu. Mukanya pun cengkung, matanya pun sembab.

“Abang Shah. Lissa sakit... sakit jantung...” Masih teringat suara cemas Rin menyapa gegendang telinganya. Shah terhenti daripada mengemas. Dia akan kembali ke Dublin setelah bercuti selama tiga bulan di kampung halaman. Tiba-tiba sahaja dikejutkan dengan kisah sedih Lissa yang tak berkesudahan itu.

“Mana Rin tahu?” Soal Shah cepat-cepat.

“Rin nampak pada plastik ubat dia... macam ada tulis perkataan 'jantung'. Abang Shah, Lissa sakit balik. Dia sedih balik. Rin tak tahu nak buat macam mana...” Rin sudah merembeskan air mata.

Shah menelan air liur. Lissa sakit? Kenapa dia tak pernah tahu sebelum ini? Petang itu juga Shah ajak Lissa berbual dari hati ke hati. Dia perlu tahu masalah sebenar Lissa. Bukankah semuanya sudah selesai? Lissa baru sahaja tamat matrikulasi dan keputusan peperiksaannya cemerlang. Katanya, dia mahu ambil kursus perubatan macam abang Shah. Sekarang sedang menanti tawaran dari pihak universiti. Tetapi kenapa pula tiba-tiba boleh jadi begini?

Mereka duduk di atas pelantar kayu di bawah pokok jambu air. Masing-masing mengadap ke arah sawah. Rin sudah bengkak-bengkak mata. Kak Nina datang membawa cucur pisang dan air teh. Shah hirup air teh yang masih panas itu perlahan-lahan.

“Harapan Lissa dah musnah, abang Shah. Dah tak ada...” Luah Lissa tiba-tiba setelah sekian lama membisu.

Shah mengangkat muka. “Lissa, orang yang paling dekat dengan kebahagiaan... orang yang memiliki harapan...” Balasnya lambat-lambat. “Kami semua berharap hati Lissa sentiasa tenang. Kami nak lihat Lissa gembira macam dulu. Senyum. Kami nak Lissa bahagia...”

Mata Lissa sudah bergenangan. Selama ini dia cuba untuk mengerti sikap ibubapanya. Tapi sekarang dia sudah tidak tahan lagi. Dia sentiasa menanti saat mereka mengambil berat tentang dirinya. Bukan sekadar bertanyakan keputusan peperiksaannya. Bukan hanya memberitahunya supaya belajar bersungguh-sungguh dan buat yang terbaik. Lissa perlukan seorang ayah dan mak yang sebenar. Bukannya ini...

***

Sesungguhnya rasa sedih itu tidak pernah hilang, meskipun sudah bertahun masa berlalu. Bohong jika mengatakan Lissa benar-benar sudah melupakan duka lama. Tidak semudah itu. Namun dia berjaya juga mengecap erti bahagia di celah-celah kedukaan yang menyirnakan seluruh keceriaannya. Tuhan telah menyediakan ruang dan masa lantas dia memilih untuk hatinya lebih tenang. Dari Allah datangnya ketenangan dan hanya kepadaNya Lissa memohon.

Bibir Lissa basah melafaz zikir. Terasa diri dekat padaNya, Tuhan pencipta semesta alam. Dia juga yang memiliki hari pembalasan. Hanya padaNya yang layak disembah dan tempat memohon pertolongan. Jadi tunjukkanlah Lissa jalan yang lurus. Jalan yang orang Dia beri nikmat, bukan jalan orang yang Dia murkai dan bukan pula jalan orang yang sesat. Begitulah doanya selalu.

“Kak chik Lissa, emak panggil makan!”

Lissa berhenti mengira tasbih sebaik sahaja menerima ketukan bertalu-talu di pintu. Panggilan ucu disahut. Pantas dia menanggalkan telekung, melipatnya dengan teliti dan menyangkut di atas palang yang sudah tersedia. Tangannya mencapai tudung lalu disarungkan ke kepala. Cepat-cepat dia keluar dari bilik.

“Maaf ya, terleka pula tadi.” Katanya sebaik sahaja sampai di dapur. Dilihatnya hidangan makan tengahari sudah tersedia di atas meja.

“Tak apa. Mei Sean dengan Kai Lin kan ada.” Sahut Mak Nah yang teraba-raba menarik kerusi mahu duduk. Segera Lissa membantunya.

“Ayah mana mak? Kak Rima pun dah balik ya? Bukan ke nak makan sama?” Soal Lissa apabila mendapati ayah angkatnya tidak kelihatan. Kak Sarimah yang turut sama menyiapkan laksa tadi pun sudah tiada.

"Ayah ada kat depan sana. Dah minta ucu panggilkan. Kak Rima kamu pula akan datang kejap lagi dengan anak-anaknya. Duduklah dulu Lissa. Ajak kawan-kawan tu sama. Mei Sean, Kai Lin... jangan malu-malu dekat rumah mak ni."

Tengahari itu mereka menikmati hidangan dalam suasana yang cukup ceria. Ucu, anak bongsu Mak Nah tidak habis-habis bercerita tentang penglibatannya dalam pasukan bola sepak sekolah. Kak Sarimah mengusik dengan mengatakan adiknya itu semakin gelap kerana terlalu banyak main panas. Ucu yang manja itu menarik muncung panjang.

Setiap kali menjamah laksa mengingatkan Lissa pada Nek Apsah yang telah lama pergi. Orang tua itu memang pandai memasak. Cakap sahaja apa dia boleh buat. Dalam banyak-banyak masakan, Lissa sukakan laksa yang dibuat oleh Nek Apsah. Laksanya cukup rasa. Sampai sekarang Lissa masih tidak pandai buatnya sebaik air tangan Nek Apsah. Bahan-bahannya cukup banyak dan pelbagai. 

“Lissa suka makan apa? Biar hari ni nenek masakkan khas untuk Lissa.” Mata Nek Apsah menyapa lembut wajah kuning langsat milik Lissa. Begitulah setiap kali pertanyaan Nek Apsah setiap kali Lissa datang ke rumah ini.

Lissa terharu sangat. Semua orang dalam rumah ini cuba sedaya upaya mereka membuatkan Lissa gembira. Kadangkala Lissa jadi hairan sendiri. Lissa bukannya sesiapa pada mereka. Sekadar orang asing yang tiba-tiba datang menumpang kasih di rumah ini. Namun layanan mereka cukup di luar jangkaan. Lissa diangkat menjadi salah seorang anggota keluarga ini. Dia punya nama panggilannya sendiri - kak chik. Nek Apsah yang meminta semua orang menyerunya begitu.

Dia tidak boleh melupakan kali pertama dia menjejakkan kaki ke rumah ini. Kedatangannya adalah di atas jemputan Nek Apsah sendiri. Mungkin sebab Nek Apsah selalu nampak Lissa sering mengintai mereka sekeluarga yang melawat Sarinah di asrama. Lissa sangat cemburu dengan Sarinah atau nama manjanya ‘Rin’ itu. Mereka nampak sungguh mesra seperti sepatutnya lagak sebuah keluarga. Walaupun kedua orang tuanya tidak boleh melihat, namun mereka sanggup bersusah payah datang melawat anak mereka.

Kalau keluarga Lissa, segala-galanya nampak kekok dan formal sahaja. Hanya menghantar pada hari pertama sekolah dibuka dan mengambil Lissa apabila tiba akhir tahun. Itupun waktu awal-awal dulu, secara berasingan sama ada abah atau ibu. Bila Lissa sudah pandai berdikari dan mereka pun sudah makin sibuk, Lissa disuruh naik bas sahaja sepertimana tiap-tiap bulan dia pulang ke rumah. Lissa sudah dewasa sebelum waktunya. Mana tidaknya, waktu semua teman bergembira dengan keputusan peperiksaan UPSR, Lissa menerima satu lagi berita ‘gembira’ daripada ibunya.

Ibu yang datang dari pejabat untuk mengetahui keputusan Lissa turut menyisipkan berita penceraian yang melumpuh seluruh semangat Lissa. Memang sebelum ini pun ibu dan ayahnya nampak tidak mesra sahaja, namun Lissa tidak permah mengesyaki apa-apa. Lissa sendiri sibuk belajar untuk memastikan yang dia sentiasa berada di tangga teratas dalam setiap ujian. Mereka sekeluarga jarang berbual waktu berada di rumah. Lissa anggap semua itu perkara biasa sahaja. Namun segalanya menjadi lebih jelas pada Lissa. Rupa-rupanya mereka tidak seperti keluarga orang lain. Hidup mereka tidak ubah seperti orang asing. Setelah ibubapa Lissa berpisah secara rasmi, Lissa sudah diketepikan secara total. Sejak dari berita perpisahan itu dan lebih-lebih lagi setelah Lissa memasuki sekolah berasrama penuh, kewujudannya bagaikan tidak pernah memberi makna dalam kamus hidup ibubapanya.

“Lissa, nenek aku ajak kau makan sama. Marilah...”

Hari itu entah macam mana dia boleh dijemput sama menyertai mereka di bawah pondok melawat itu. Kelibatnya di hujung koridor rupa-rupanya menarik perhatian Nek Apsah. Lissa jadi serba salah pada awalnya kerana tindakannya itu telah mengganggu ketenteraman orang. Namun melihat Sarinah yang bersungguh-sungguh, dia turuti juga permintaan itu. Dan paling tidak bisa dilupakannya, kali pertama menerima pelukan dari Nek Apsah dan Mak Nah sebelum mereka pulang. Dia dapat merasakan ada sesuatu yang mengalir dalam tubuhnya. Macam aliran elektrik. Sudah terlalu lama dia tidak dipeluk oleh mana-mana ahli keluarganya, semenjak dia memasuki sekolah rendah. Sentuhan itu buat dia rasa berbeza sama sekali.

Pertemuan itu tidak berakhir di situ. Cuti hujung bulan itu dia dipelawa oleh Sarinah untuk mengikutnya balik kampung. Lissa terus setuju. Di rumah pun bukannya ada sesiapa. Hanya pembantu rumah dari Indonesia. Baik di rumah papa atau mama. Sama sahaja. Dia sudah muak dengan suasana yang membosankan itu. Kalau balik ke rumah nenek sebelah papa, orang tua itu tidak habis dengan leteran yang tiada noktah. Dia menghamburkan segala kemarahannya terhadap ibu pada Lissa. Macamlah Lissa yang menjadi punca sebenar perpisahan!

Di rumah Sarinah menemukan Lissa dengan ramai orang yang hatinya penuh limpahan kasih sayang. Lissa yang tidak biasa sangat disentuh itu terasa kekok tatkala Mak Nah dan Nek Apsah memeluk tubuhnya dan mengucup pipi atau dahinya. Dia jadi serba tidak kena setiap kali Kak Sarimah atau Ucu menarik tangannya kalau hendak minta bantuannya. Dia juga tidak betah dengan sifat manja ucu yang selalu inginkan perhatiannya. Ada sahaja yang dia hendak buatnya pada Lissa. Waktu itu ucu masih kecil, baru masuk lima atau enam tahun. Perangainya macam anak kucing sahaja. Awal-awal dulu Lissa selalu menolak perlahan kepala ucu yang asyik mahu tidur di atas pahanya. Tapi ucu yang degil itu mana makan saman. Dia tidak pernah berhenti mencuba. Lissa terus tidak suka dengan ucu yang mengada-ngada tidak bertempat itu. Walaupun tidak terkena kulit - sekadar terkena baju - namun dia tetap merasa kurang selesa. Tetapi mana dia berani suarakan pada Sarinah tentang keluarganya yang ‘pelik’ itu. Nanti dia pula yang dituduh pelik. Bukankah itu semua perlakuan biasa sahaja.

Rasa pelik itu berlanjutan setelah Lissa bertemu dengan abang Shah. Rumah bakal doktor yang akan berangkat ke benua Eropah itu hanya dipisahkan oleh pokok kelapa yang tinggi-tinggi. Keluarga abang Shah ini tinggal berjiran dengan keluarga Sarinah. Kerja lelaki itu tidak lain tidak bukan - asyik mengusik orang sahaja. Pantang betul terserempak dengan Lissa, mesti ada saja usikan yang menyusul. Lepas itu dia akan tersenyum-senyum macam kerang busuk. Macamlah Lissa akan terpikat dengan senyumannya yang manis sedikit daripada senyum kambing itu. Cakapnya pun tidak pernah serius, asyik hendak melawak sahaja tidak kena masa. Semua perkara dijadikan bahan jenaka. Mahu sahaja Lissa beri cadangan supaya dia pergi ujibakat jadi badut sarkas saja. Baru sesuai dengan bakatnya itu. Menyampah betul!

***

Senyuman Shah berbunga riang tatkala melihat kelibat Lissanya bersantai di pangkin bawah pokok jambu. Turut menemani dua orang teman sekuliahnya. Di hadapan mereka bertabur buku-buku tebal dan fail pelbagai warna. Sedang belajar barangkali, telah bakal doktor muda itu. Rajin betul mereka. Cepat-cepat Shah memberhentikan motosikalnya berdekatan dengan pokok jambu itu. Hanz yang membonceng agak terpinga-pinga. Lissa yang menyedari kehadiran Shah hanya memandang sekilas.

“Aku mahu jumpa tuan puteri kejap.” Bisik Shah ke telinga Faizal.


Hanz Faizal sekadar mampu menggelengkan kepala.

Tanpa membuang masa lagi, Shah pergi mendapatkan puterinya. Dia berdiri betul-betul di tepi gadis itu, tetapi tidak terlalu rapat. Matanya turut meneliti keratan akhbar yang dipegang oleh Lissa. Shah tergamam seketika setelah mengetahui tajuk artikel tersebut.

PAD punca berlaku serangan jantung.

Jantung?

Matanya beralih pada Lissa yang begitu tekun membaca. Hati Shah diburu sangsi. Adakah Lissanya sakit semula?

“PAD? Peripheral Artery Disease?” Shah bersuara perlahan.

Sepanjang pengetahuan Shah, PAD adalah penyakit saluran darah yang tersumbat. Terjadi kerana saluran arteri mengeras atau dikenali juga sebagai atherosclerosis. Dalam tempoh masa yang panjang, arteri yang mengeras ini menyebabkan plaque (tisu lemak keras) terbina. Keadaan ini menyebabkan arteri mengecil dan mengurangkan bekalan oksigen darah ke otot dan kulit. Jika didiagnosis dengan PAD bermakna pesakit memiliki lebihan plaque yang boleh menyempitkan saluran arteri. Sekaligus meningkatkan risiko serangan sakit jantung dan strok yang membawa kematian. Penyakit PAD ini lebih kerap menyerang lelaki, risiko terhadap lelaki perokok sangat besar. Jadi, kebarangkalian Lissa menghidap penyakit itu agak tipis.

“Ya. Kenapa?” Lissa menyoal ala-ala dalam rumah sakit. Pantas sahaja Lissa melipat keratan akhbar itu dan berpaling ke arah abang Shahnya.

“Lissa pernah rasa lenguh atau sakit kaki tak?” Soal Shah, sekadar inginkan kepastian. PAD sukar dikesan. Pesakit selalu keliru dengan simptom PAD dengan penyakit lain. Ini kerana, rasa lenguh dan kesakitan di kaki biasanya akan mudah lenyap sebaik sahaja berehat. Apatah lagi jika berkerja di pejabat berhawa dingin, dengan pergerakan yang terbatas, kesakitan disebabkan PAD tidak akan dirasai.

Lissa menggeleng. Dahinya berkerut seribu.

“Syukurlah...” Shah menarik nafas lega.

“Graf jantung Lissa dah cantiklah. Tak macam dulu lagi...” Lissa semacam tahu apa yang sedang bermain di fikiran lelaki itu.

“Boleh percaya ke, Hanz? Lissa ni suka berahsia. Dengan aku pun berahsia macam apa saja.” Shah mengangkat kening ke arah Hanz Faizal.

“Jangan risaulah, abang Shah. Dia tak apa-apa. Cuma dua bulan lepas...”

“Mei Sean!” Lissa cepat menahan.

“Kenapa Mei Sean?”

“Tak ada apa-apa.” Balas Lissa cepat-cepat. Matanya mengerling ke arah Mei Sean. Nyaris sahaja temannya dari Port Dickson itu terlepas cakap.

 “Dalam perhubungan perlukan kejujuran, Lissa...” Shah sudah membuka 'kuliah falsafah cinta'nya. Dia lebih suka Lissa berterus-terang kepadanya, meskipun ianya akan membuat hatinya bersedih.

***

Hasbunallahu wa ni'mal wakil (Cukuplah Allah menjadi penolong kami dan Allah adalah sebaik-baik pelindung)…”

Lissa mengucap kalimah itu berulang kali. Kalimah yang sama pernah dilafaz oleh Nabi Ibrahim a.s tatkala dilemparkan ke dalam api sehingga api itu tiba-tiba menjadi dingin dan selamatlah Nabi Ibrahim a.s. Kalimah ini juga diucapkan oleh Nabi Muhammad s.a.w pada perang Badar sehingga Allah memberikan kemenangan. Inilah pertolongan Tuhan ketika hamba-Nya mendekatkan diri kepada-Nya. Dari sini terlihatlah bahawa ada Tuhan Yang Maha Berkuasa, Yang Maha Memberi Pertolongan, Maha Melindungi dan Maha Mengasihani ketika si hamba menyandarkan diri kepada-Nya.

Dan kerana cinta dan kasih sayang Tuhan pada hamba-Nya, akhirnya Lissa beroleh bahagia. Yang pastinya, kini dia sudah bebas dari kanser tahap satu. Semuanya di atas kelembutan kasih sayang Allah, dengan izin-Nya. Seringkali Lissa menganggap bahawa apa yang datang kepadanya adalah sebuah ketentuan dan pengakhiran segalanya, namun ternyata sebaliknya, dugaan tersebut memberi kekuatan dan semangat baru.

Tumpuannya beralih pada dua jasad yang bergerak ke arahnya ketika ini. Bibir Lissa menguntum senyum tatkala memandang Izran Shah yang sedang didukung oleh ayahnya. Si ayah yang terhibur dengan keletah si anak tertawa sehingga tampak gerahamnya. Tawanya itu sungguh membahagiakan jiwa, detik Lissa dalam hati.

“Izran rindukan ibunya.” Kata Shah sebaik sahaja menyerahkan si kecil pada Lissa. “Dan abang pun sama...” Sambungnya kemudian.

Lissa tertawa halus. Dia kembali merenung langit yang terbentang luas tiada penghujung. Hatinya berlagu senang. Kepercayaannya kian bertambah. Semua tali akan mengerut kecuali tali-Nya, dan semua pintu akan tertutup kecuali pintu-Nya. Sesuatu yang telah ditentukan oleh Allah pasti akan datang. Maka bersabarlah, dan tak perlulah minta disegerakan. Lissa tersenyum buat sekian kalinya pada camar yang bebas berterbangan.

Atau siapakah yang memperkenankan doa orang yang dalam kesulitan apabila ia berdoa kepadaNya... (An-Naml:62)

…Berdoalah kamu kepada-Ku, nescaya akan Kuperkenankan bagimu... (Al-Mu'minum:60).


(Tamat)

Untuk detik & memori 18 Mac 2005 itu.

Cerita ini ditulis secara online pada 25 Jun 2006 ~ 04 Okt 2006.

Karya ini versi asal diedit oleh penulis setelah terpilih untuk diterbitkan dalam Antologi Cerpen Adiwarna: Cinta Pertama pada tahun 2014.

1 comment:

MaY_LiN said...

Happy ending❤️