Tuesday, May 19, 2020

[19] Gelap

Karya pendek

Gelap
Oleh Rnysa

19

Awal pagi.
#MCODay62 #PKPharike-62
#stayathome #staytogether #stayforever

Di dalam kian terang.
Bercampur dengan debaran di dada yang tiada henti, namun lebih tenang.

Cubaan IVF kali ini, Wawa sudah serah sepenuhnya pada Allah. Dia sedar yang berada di atas sana menentukan segala takdir. Redha.

"Saya harap puan bersabar..." ucap si doktor pakar.

Wawa pandang muka Ammar. Tak apa, kali ini hati Wawa sudah kuat sedikit. Anak bukanlah segala-galanya. Yang penting Wawa bersyukur dengan apa yang ada, misalnya memiliki suami yang setia seperti Ammar.

Wawa ambil pregnancy test kit yang dihulur. Matanya fokus pada garisan yang...

"Doktor...?" Wawa kalih tengok riak wajah doktor yang tersenyum. "Betul ke ni??" Mata sudah berair.

"Ya Allah...." Wawa sudah tidak dapat menahan sebak di dada.

"Tahniah puan..."
"Ya Allah... 13 tahun saya tunggu..."
"Tahniah encik..."

Ammar terus bangun dan peluk bahu Wawa. Lepas itu dia pergi ke sudut belakang sikit dan buat sujud syukur.


***
#throwback

"Ana tak boleh terima cadangan enta ni. Enta dah fikir masak-masak? Jangan buat keputusan mendadak begini." Aku dapat mendengar Ammar bersuara dengan jelas.

"Ammar, enta sahabat ana yang paling siqah... yang paling ana percayai. Tiada siapa yang paling layak untuk dia kecuali enta."

"Tapi... bukankah selama ni dia sukakan enta. Dan rasanya enta pun sukakan dia. Enta tak boleh mainkan perasaan dia begitu."

Dia? Siapa 'dia' yang mereka maksudkan? Fikirku.

"Ana tak pernah mainkan perasaan sesiapa. Ana memang sukakan dia. Tapi setakat suka sebagai sahabat, kawan dan teman aja... tak lebih dari itu. Sebenarnya selama ini ana cuma anggap dia kawan. Macam adik-beradik. Enta jangan salah faham. Walaupun kami berkawan rapat, itu bermakna ana ada perasaan pada dia. Setakat perasaan sebagai kawan. Khalas. Lagipun ana tak mahu hati dia terluka sebab ana. Ana tak boleh nak ada-adakan perasaan yang memang ana tak ada. Ana tak boleh tipu diri sendiri."

Masakan mereka sedang berbicara tentang aku? Kawan? Akulah tu. Kaduk anggap aku hanya kawan? Sebagai adik-beradik? Bohong! Bukankah selama ni dia seperti memberi harapan pada aku? Atau adakah hanya aku seorang sahaja yang memintal buih impian sendiri? Menganyam jaluran kasih yang rupanya ilusi pelangi semata-mata? Kalau hanya kawan, kenapa perlu permainkan perasaan aku begini? Apa salah aku pada dia? Bentak hatiku.

"Enta dah dekat dengan dia sekarang. Jadi, ambil peluang ni kenal hati budi dia dengan lebih dalam lagi. Dia baik. Dah ada kefahaman tentang islam. Dia juga faham tentang jalan dakwah yang kita lalui sekarang. Jadi, memang tak ada masalah nak bawa dia bersama berjuang atas jalan ni. Ana tengok dia sesuai sangat dengan enta. Percayalah... Insya-Allah, enta dan dia mampu lahirkan generasi Islam yang mantap. Masya-Allah..." Tambah lelaki kacukan Melayu-Belanda itu lagi.

Aku yakin sangat mereka bercakap tentang aku. Aku dan Ammar seuniversiti. Kaduk mahu Ammar rapat dengan aku. Patutlah selama ini dia tak habis-habis mengusik kami berdua. Rupanya dia ada agenda tersendiri.

"Ana tak yakin dia boleh terima ana..." Balas Ammar dengan suara mendatar.

"Ammar, dengar sini. Ana akan tolong enta. Ana akan cakap pada dia tentang diri enta. Jangan risau... Kena banyak-banyak doa pada Allah. Minta petunjuk dari Dia. Yang lain, enta jangan khuatir. Ana dah kenal hati budi dia. Tahulah bagaimana ana nak pujuk dia nanti. Selama ini enta tak pernah pertikaikan keputusan ana. Adakah enta ragu-ragu dengan kata-kata ana sekarang?" Kata Kaduk sambil menepuk-nepuk bahu Ammar.

Aku rasa tak dah tak boleh dengar semua ini. Mereka ingat aku ini apa? Patung?

"Tak.... Tapi kenapa enta buat semua ni, Adam? Macam mana dengan perasaan enta?"

"Macam ana katakan tadi, ana memang tak ada perasaan istimewa pada dia. Percayalah... Sebagai kawan, ana cuma mahukan yang terbaik untuk dia dan terbaik untuk enta. Dan, tak ada orang yang paling layak untuk dia melainkan enta seorang. Begitu juga sebaliknya. Ana yakin enta boleh jaga dia dengan baik. Enta boleh berikan apa yang ana tak mampu berikan pada dia. Enta mampu didik dia dengan baik.

Lagipun... sebelum ana datang ke Jepun ni, umi enta dah pesan suruh ana carikan seseorang untuk enta. Supaya dapat jaga enta di sini. Ana cuma laksanakan amanah umi enta juga. Bukan orang lain. Ammar, kita kenal dah lama. Berkawan sejak sekolah sampai ke saat ini dan dengan izin Allah kita tetap sahabat di 'sana' juga."

"Ana tak tahu nak kata apa..." Kata Ammar, seperti terharu.

"Ana tak bermaksud untuk memaksa. Sekadar mencadangkan calon yang terbaik untuk enta. Bukannya baru hari ni ana cakap tentang hal ni, sejak dari dulu lagi kan? Cuma enta saja yang suka mengelak. Benda yang baik begini, tak elok dilengah-lengah. Apapun sekarang ni terpulanglah pada enta. Kalau enta setuju, bila-bila masa ana boleh tolong uruskan..." Kata Kaduk dengan penuh yakin.

*

Teringat aku pada suatu hari, semasa bercanda di bawah pohon bambu sambil itu aku mentelaah pelajaran. Dia sedang berlatih hoki di padang astroturf. Ammar atau nama penuhnya Mohd Ammar Iskandar, pemain hoki terbaik sekolah yang menjadi idola ramai. Aku salah seorang ahli kelab peminatnya. Tiada yuran tahunan, majalah kelab atau annual dinner bersama ahli-ahli yang lain. Kalian hanya boleh `usya` dia dari jauh. Alim orangnya. Bersandarkan muka yang tampan dan otak yang bergeliga, Ammar merupakan antara pelajar lelaki yang paling top dan hot di sini.

Sedang aku asyik memandangnya tak semena-mena dia berjalan ke arahku. Kelenjar tiroid aku mula memainkan peranannya. Alamak! Nak buat apa ni? Aku mula gelisah.

Maintan ayu, Syah! Hatiku berkata-kata. Aku cuba berlagak selamba sedangkan jantungku sudah memecut selaju 300 kilometer sejam. Kalah Ribut Greg di Sabah. Kalah ombak di Selat Melaka. Kalah juga shinkansen di Jepun!

Langkahnya semakin pantas sementara aku di sini seperti glasier yang mencair akibat pancaran ultra ungu. Terasa diri ini mengecil. Honey, I shrunk the kids. Eh, silap! I`m shrinking. Ammar semakin dekat. Fobiaku dalam bahaya!

Dia membongkokkan diri satu meter di hadapanku sambil tangannya mengambil sesuatu. Apa? Dia datang semata-mata hendak mengambil bola hoki yang kebetulan melantun ke arahku. Tak mengapa. Mungkin lain kali kita boleh berkenalan, pujuk hati kecilku. Aku menundukkan muka menahan rasa kecewa yang mula beraja di kalbu.

"Study ke?"Tiba-tiba satu suara menerjah pendengaranku. Aku segera mendongak. Ammar!

Luruh bronkial dan bronkus aku tatkala mendengar suaranya itu. Terhenti sebentar ginjalku. Aku buat muka macam *Fei Mau. Hodoh rasanya wajah aku saat itu. Adakah aku bermimpi? Betulkah kata-kata itu terlontar dari mulutnya? Apa pula bibir aku yang comel ini nak jawab? Aku bertanya pada diri sendiri. Akasyah, nak buat apa ni? Jawab soalannya atau tidak? Buat selamba saja atau maintain ayu? Apakah kebarangkalian yang bakal kuambil?

***

Panggilan telefon dari Ammar sangat dinanti-nantikan. Syah sudah kesat air mata dengan hujung baju sahaja. Kaduk pun sama turut mengalirkan air mata gembira.

"Tahniah Ammar. Alhamdulillah, rezeki bulan Ramadan." Kaduk peluk bahu Syah erat-erat. Mereka dulu pun dapat Arham selepas 3 tahun berkahwin.

"Ammar, jaga Wawa elok-elok." Syah ucap pada telefon Kaduk yang dipasang loud speaker. Hanya tangisan Wawa yang kedengaran tanpa henti.

"Insya-Allah, terima kasih Syah." Sahut Ammar sebelum menamatkan perbualan.

Dan Syah masih mengelap air mata yang turun tiada henti seperti air hujan di musim tengkujuh. "Ahamdulillah, tak sia-sia..."

Kaduk angkat kening. "Tak sia-sia?"

Syah menggeleng laju-laju. Biarlah menjadi rahsianya. Kaduk tak perlu tahu.

"Abang cakap tadi nak pergi tengok projek." Segera dia mengingatkan suaminya tentang jadual kerjanya hari ini. Kaduk sudah siap berkemeja yang kemas digosok, sedia hendak keluar sebenarnya. Lengan baju disingsing rapi sampai ke bawah siku.

"Yalah, nak ambil bag pack..." Dia bangun ke bilik air, mahu cuci muka dulu. Yalah, dia pun turut terharu sama dengan berita kehamilan Wawa. Penantian mereka suami isteri berakhir dengan indah.

Kaduk masuk ke kamar kerja. Mengambil beg sandang belakang yang berisi komputer riba dan segala kertas kerjanya. Buku sebuah dan senaskah Al-Quran dengan terjemahan Bahasa Inggeris kecil - benda wajib bawa ke mana-mana untuk dibaca bila ada masa kelapangan.

Dia terpandang T-Planner 2020 pemberian kawan baik Syah, Nur Ahada yang terbentang. Dia baca sekali lalu muka surat yang terbuka.

--

9. Doa untuk Nur Jannatul Ma’wa binti Mohd Aliff (3333x) - Sesi 'Pillow talk'

"Ya Wahhab, Ya Razzaq... sekiranya ada rezeki anak untukku, Kau berikanlah kepada sahabatku ini... kerana dia lebih memerlukannya."
--

Entah mengapa Kaduk rasa tak sedap hati. Dia angkat planner dan baca berkali-kali lagi.

...sekiranya ada rezeki anak untukku...
...sekiranya ada rezeki anak untukku...
...sekiranya ada rezeki anak untukku...

...Kau berikanlah kepada sahabatku ini... kerana dia lebih memerlukannya...
...Kau berikanlah kepada sahabatku ini... kerana dia lebih memerlukannya...
...Kau berikanlah kepada sahabatku ini... kerana dia lebih memerlukannya...

Apa benda yang Syah doa ni...
Dia selak muka surat yang lain pula.

Doa sepanjang Ramadan 1441H

Kaduk baca satu demi satu doa yang ditulis...

.
.
.
.
.
.
.

8. Doa untuk Nur Jannatul Adnain binti Mohd Aliff & Carl Duke Adam bin Carl Duke Akbar (sejak 1999 ~ )...

Tergamam Kaduk membaca namanya dan Ain di situ. Nafasnya turun naik menahan marah dan sedih tatkala membaca doa yang dititipkan. Apabila dia kalih muka, nampak kelibat Syah yang berubah air muka, yang entah bila berada di sisinya.

"Abang baca diari Syah..." Tangan Syah cuba nak ambil.

"Apa semua ni??? Syah tak sayang abang ke?" Dia tunjuk muka surat yang tertulis nama dia dan Ain.

"So, you don't trust my love for you? You don't trust my loyalty? Don't you know how much I love you with all my heart?"

Syah serba salah. "Bagilah balik..." Dia merayu nak ambil planner hadiah itu dari tangan Kaduk.

"Sekarang abang dah tahu puncanya kenapa Syah sakit balik." Dada Kaduk masih berombak. Mata Kaduk tak lepas merenung Syah yang tunduk tidak berani menatap matanya. Dia terus baca muka surat lain.

"Lepas PKP ni... kita balik pindah duduk di Jepun semula!"

Kaduk selak depan dan belakang bahagian catatan yang menyesakkan hatinya itu. Lantas dikoyaknya semua dengan cermat. T-Planner diletakkannya kembali ke atas meja kerja Syah. Melangkah depan Syah mahu keluar.

*"I always worry you wouldn't love me if you knew how bad I was...how bad I am..." Perlahan Syah bersuara, sungai air mata mengalir deras.

Kaduk berpaling semula, berjalan ke arah Syah dan memeluk isterinya dari belakang.

"Sayang, *I don't love you because I think you are good." Bisiknya sebelum mengecup lembut rambut isteri tersayang. Pelukan dilepaskan. Lalu direnyuknya semua keratan kertas di dalam genggaman.

Tanpa sebarang kata lagi Kaduk kembali ke dalam kamar tidur mereka dan menutup pintu. Dia terduduk di situ. Salah satu catatan yang direnyuk dibacanya sekali lagi dengan perasaan yang tak terucap.


8 April 2020

Entah kenapa... sampai ke saat ini mereka selalu mengatakan yang aku tak layak untuk berada di sisi dia...

Dan oleh disebabkan itu juga... 

Entah kenapa... sampai ke saat ini aku selalu merasakan yang aku tak pernah layak untuk berada di sisi dia...

Entah kenapa... sampai ke saat ini aku selalu merasakan yang si dia lebih layak untuk berada di sisi dia...

Gelap.
Segelap masa depan.

Kelam.
Sekelam perasaan.

Bila datangnya terang jika tiada cahaya.
Bila hadirnya tenang jika tiada percaya.

Bila hilangnya cinta jika tiada rasa.
Bila lenyapnya kasih jika tiada masa.


Kaduk pejamkan mata. Ya Allah, sayang cubalah mengerti perasaan ini...

**Berikan ku kesempatan akan kuluapkan rasa
Ucap ikrar cintaku yang hanya untuk dirimu...

(bersambung...)

#RADHA

Petikan #throwback di atas daripada versi asal online e-novel Relevankah Aku di Hatimu? yang ditulis pada 4 November 2003 & 23 Julai 2004.

*Quote from IG charliemackesy
I found this is quite funny but yet meaningful.

**Petikan lirik lagu Lagu Hingga Saatnya Bahagia yang telah dipilih oleh Rnysa menjadi lagu tema untuk Gelap.


Info:
*Fei Mau merupakan watak dalam sebuah drama kantonis popular yang berjudul Forrest Cat. Drama ini pernah disiarkan di TV3 suatu ketika dahulu.



[18] Gelap

Karya pendek

Gelap
Oleh Rnysa

18

Awal pagi.
#MCODay59 #PKPharike-59
#stayathome #staywithme #staywithyou

Di dalam sangat terang.
Begitu terang dan ceria dengan gelak tawa penghuninya.

Hari itu Ammar mempamerkan bakat memasaknya dengan menu nasi ambeng. Kaduk dan Arham turut membantu sama menyiapkan juadah berbuka puasa mereka.

Tak ada yang lebih bermakna selain dapat menikmati hidangan bersama-sama yang tersayang. Nasi makan dengan kicap dan telur goreng pun terasa berganda sedapnya. Apatah lagi dapat meratah tempe goreng, Kaduk jadi berselera sangat.

"Rasalah...sedap." Kaduk dah bersedia nak menyuap tempe goreng dengan sayur suun.

Syah menggeleng cepat-cepat. "Banyak sangat tu..."

Lalu sekeping tempe goreng dipatah dua dan disua sekali lagi. "Macam mana kahwin dengan orang Johor tak reti makan tempe."

"Abang bukan orang Jawa pun... nak ada kaitan dengan makan tempe apanya."

Ewah, pandai menjawab! Geram pula Kaduk. Syah ni bila kena paksa makan benda yang dia tak biasa memang macam ni. Depan Ammar dan Wawa dia buat perangai macam Akram suka yang memilih makanan.

"Abang kan suka tempe..." Akhirnya Kaduk suap ke mulut sendiri sahaja. Macam-macamlah Syah ni...

Ammar dan Wawa tersenyum melihat gelagat mereka berdua. Wawa juga sedang malu-malu dengan Ammar pun mengikut pelakuan Kaduk. Kaduk yang syorkan tadi setelah dilihatnya Wawa asyik memandang ke arah mereka sekeluarga. Memang sekali-sekala dia akan suapkan makanan untuk isteri dan anak-anak. Nak mengikat kasih sayang!

"Nak lagi?" Perlahan sahaja Ammar bertanya pada Wawa. Dan Wawa hanya menjawab dengan anggukan sahaja. Segan dengan tuan rumah.


***

#throwback

Matanya beralih pada buku yang berada di sisiku. Segera dia mencapainya. Aku tak sempat menahan.

"Apa ni?" Keningnya berkerut. Matanya laju meniti baris kata yang aku tulis dalam planner hitam itu.

Cantik wanita kerana kejernihan wajah
Manis wanita kerana senyuman
Ayu wanita kerana kesederhanaan lahiriah
Hebat wanita kerana kesabaran
Mulia wanita kerana keimanan

"Sajak?" Matanya bertanya.
"Lebih  kuranglah...."
"Tapi... yang ni...." Dia menunjukkan sesuatu padaku.

Kaduk sayang Syah.
Syah tunggu Kaduk, ya?

"Pantun dua kerat..." Jawabku selamba lalu tergelak.
"Kronik!" Tempelak Ammar. Dia hanya mampu menggelengkan kepala.

Kemudian kami dikejutkan oleh deringan telefon yang agak kuat. Ammar menyerahkan telefon bimbit itu kepadaku.
"Private number. Dari Malaysia kot. Aku mandi dulu. Badan melekit. Tak selesa." Kata Ammar sebelum berlalu.

Siapa pula ni?

"Assalamualaikum. Kadukkkk!!!" Suara di hujung talian penuh semangat dan ceria habis.

Tanpa sedar bibir terus mengukir senyum.
"Wa'alaikumussalam. Sekarang baru timbul, ya. Tiga bulan..."

"Sorry. Sibuklah sekarang. Eh, kau tau tak... aku ada ambil subjek Human Behavior sem ni. Macam psikologi skit..."

"Biar betul..."
"Betul... Tak percaya ye? Manusia ni ada empat ciri personaliti. Popular sanguine, powerful choleric, perfect meloncholcy dengan peaceful phlegmatic.."

"Dia dah mula dah... " Aku terus ketawa.
"Hepp! Dan... berdasarkan personality scoring sheet yang aku buat untuk kau..."
"Eh, boleh buatkan untuk orang lain ke?" Usikku.
"Kenapa pula tak boleh? Ni berdasarkan penilaian aku tentang kau..."
"Teruskan..."

"Kau ni seorang yang sanguine choleric."
"Penguin?"

"Sanguine... dengarlah betul-betul." Akasyah mendengus. "Orang sanguine ni jenis yang banyak cakap, optimis, aktif dan berkeyakinan. Orang choleric pula dikatakan sesuai jadi pemimpin."

"Patutlah aku jadi headboy dulu. Boleh ke seorang sanguine choleric ni jadi suami yang baik?"

"Kejap ya. Kat sini tak ada cakap pasal suami... tapi ibubapa adalah. Aku rasa lebih kurang sama aja. Nak dengar?"

"Mestilah..." Hatiku berbunga keriangan.

"Haa... Sebagai seorang sanguine, kau jadi kesayangan anak-anak kau nanti sebab sifat kau yang ceria dan suka berjenaka tu. Kawan anak-anak kau pun akan sukakan kau. Dan sebagai choleric pula kau akan gunakan sifat kepimpinan yang ada tu untuk memimpin keluarga...."

Aku senyum. Insya-Allah, aku akan cuba jadi suami dan ayah yang baik, Syah. Janganlah bimbang.

***

Dia sedang membaca buku tulisan
Matthew Walker berjudul Why We Sleep sambil ditemani alunan Can't Help Falling In Love nyanyian Elvis Presely, sewaktu Syah masuk ke dalam bilik tidur mereka.

Wise men say
Only fools rush in
But I can't help falling in love with you...


Mata yang tadi membaca kini ralit mengikut gerak-geri isterinya yang sedang berdandan di hadapan meja solek. Boleh tahan lama juga. Lepas satu produk ke satu produk yang lain.

"10 step Korean skincare routine," kata Syah semalam.

Dia pun usik, "Japanese skincare routine tak ada ke?" Dan tentunya Syah jeling manja sampai boleh tembus. Tembus sampai ke hati ya, sayang!

"Alaa... sheet mask dah habis..." Syah berpaling ke belakang pandang dia.

"Apa mask?" Mask gap dia tahulah masa belajar Kejuruteraan Mekanikal di Imperial College London dulu.

"Sheet mask. Kena beli ni..." Syah bangun, mengatur langkah merapati meja sisi dan mencapai telefon bimbit.

Hmmmm.... KENA BELI ya. Tak beli tak lengkaplah '10 step routine' nak kekal cantik jelita, kan. Kaduk mampu komen dalam hati sahaja.

"Sayang... tahun ni ada budget online shopping, kan?" Syah duduk di bucu katil, sambil menampal mask di bawah mata; nak kurangkan eye bag.

"Hmmm..." Bab shopping terus panggil sayang, kan. Sambung Kaduk dalam hati.

Terus tak jadi pandang isteri, buat-buat baca buku balik. Buku yang dibelinya pada Disember tahun lepas sewaktu menanti penerbangan di Lapangan Terbang Heathrow, London. Salah satu habitnya adalah suka membeli sebuah buku apabila menjejakkan kaki di mana-mana lapangan terbang luar negara.

"Kalau nak beli dekat Sephora boleh tak?"

Amboi, terus keluar suara nada manja dia!

"Sejak bila pandai beli barang dekat Sephora?" Mata Kaduk masih melekat pada buku. Ah, berhenti dekat perenggan mana tadi...

"Nak merasa..." Syah buat muka comel.

"Jadi inilah hasil 'pillow talk' dengan Wawa beberapa hari ni? Semalam Zalora, hari ni Sephora, esok....?"

"Bella Ammara..." Laju Syah menjawab sambil tersenyum-senyum.

Kaduk menjeling dengan hujung mata.
Oh, dah siap susun strategi ya!

"Budget raya kita ada lagi, kan? Eh, tapi untuk tujuan kecantikan masuk dalam budget essential need. Sebab isteri abang ni kan mesti kelihatan cantik selalu di mata suami."

"Essential need... beli dekat Sephora ya, sayang." Kaduk tutup buku, dah tak boleh beri tumpuan membaca lagi.

"Mask je pun. Bukan minta beli serum ke apa..." Syah sibuk membelek pilihan mask dalam aplikasi Sephora yang baru di'install'.

Lama Kaduk diam.

"Boleh la... Budget Sephora Raya. One-off." Inilah yang Kaduk paling 'risau' apabila Syah balik Malaysia. Makin pandai online shopping isterinya itu sebab ramai yang jadi 'tukang ajar'nya.

"Jangan risau, beli sheet mask je..." Jawab Syah sambil tersenyum meleret. Namun mata nakal isterinya sempat ditangkap. "Hmmm... Yang lain ni pakai duit Syah. Beli RM110 ke atas dapat free shipping!"

Kaduk menggeleng kepala. "Beli sajalah. Bayar pakai kad abang..." Rasanya dia macam dah 'termakan umpan' ni. Syah buat gaya manja terus hati dia cair macam glasier di kutub utara. Hati kembang mekar seperti bunga tulip semasa musim bunga di Taman Keukenhof, Belanda. Sephora pun Sephora lah...

Syah tersenyum lebar sampai ke telinga. Yang itu paling dia nak dengar, kan!

(bersambung...)

#RADHA


Petikan #throwback di atas daripada versi asal online e-novel Relevankah Aku di Hatimu 2 yang ditulis pada 18 Jun 2006.


Thursday, May 14, 2020

[17] Gelap

Karya pendek

Gelap
Oleh Rnysa

17

Malam.
#MCODay56 #PKPharike-56
#stayathome #stayconnected #stayinfaith

Di dalam sudah gelap.
Hanya cahaya bintang dan bulan yang 'glow in the dark' di atas siling yang mencuri perhatiannya.

Aisyah yang sudah jauh dibuai mimpi selepas Wawa membacakan kisah Saidatina Aisyah r.a yang meninggal dunia pada 17 Ramadan. Sedih dia tadi sampai menangis teresak-esak. Sesi 'pyjamas party' tak jadi parti sangat sebab bertukar tema kepada 'crying party' pula, kata Syah si penganjur acara! Wawa rasa bersalah pula berkongsi 'bedtime story' kisah yang sedih buat si comel itu yang berambut perang seperti ayahnya juga.

Seribu.
Malam seribu bulan.

“Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) pada Malam al-Qadar, Dan adakah engkau mengetahui akan kebesaran Malam al-Qadar itu?, Malam al-Qadar itu lebih baik daripada seribu bulan.

Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!”

Malam tadi giliran Adam pula memberi peringatan. Bergilir-gilir dengan Ammar dan juga Arham.

Bagusnya Arham, kecil-kecil lagi Adam sudah latih anak sulungnya itu supaya jadi seperti dia - berani bercakap dan berucap di hadapan orang ramai. Selain itu, Arham juga berpeluang jadi imam solat tarawih. Suka betul dia dapat melancar bacaannya. Ya lah, Arham yang sedang giat menghafaz Al-Quran sepanjang bulan Ramadan ini bercita-cita mahu belajar di Universiti Madinah apabila dia dewasa nanti. Tentulah hasrat murninya itu mendapat sokongan penuh 100% daripada Adam dan Syah.

Wawa termenung lagi memandang siling di dalam bilik Aisyah. Malam ini Syah ajak Wawa tidur sekali bertiga. Ammar sudah memberi keizinan Syah mahu buat sesi 'pyjamas party' dan 'pillow talk' dengan Wawa. Amboi, macam-macam idea Syah nak menghiburkan hati Wawa sepanjang tempoh mereka berkampung di sini.

"Jangan jadi 'karaoke night' atau 'choir night' sudahlah," usik Kaduk pada Syah tadi sambil kenyit mata. Terus Syah ketawa berderai.

"Eh, mana tahu. Memang ada playlist lagu ni..." Seperti biasa Syah membalas dengan usikan juga. Mana boleh kalah!

"Tengok Ammar, Syah nak buka kelas vokal pula dekat isteri kau. Cuba nasihat sikit."

Ammar sekadar tersenyum panjang. Dari dulu sampai sekarang, Kaduk dan Syah tak pernah berubah - suka usik-mengusik. Hmm... Mana dia berani nak nasihat bidadari hati Kaduk. Isteri orang kot!

***

"Laa... Dah tidur pula. Baru nak ajak sembang..." Tak sempat nak buat sesi 'pillow talk' dengan Wawa. Rakan 'pillow talk' dah tertidur!

Syah usap ubun-ubun Wawa yang sedang tidur di sebelah Aisyah. Kemudian, dia usap perut di mana kedudukan rahim sendiri dan usap pada kedudukan sama di atas perut Wawa pula. Dalam hati dia memanjatkan doa kepada Dia yang Maha Pemberi dan Maha Pemberi Rezeki:

"Ya Wahhab, Ya Razzaq... sekiranya ada rezeki anak untukku, Kau berikanlah kepada sahabatku ini... kerana dia lebih memerlukannya."

Dia ulang perbuatan dan doa itu berkali-kali sampai dia betul-betul puas hati.

Syah tarik bantal dan selimut dengan kekalkan jarak 1 meter di sebelah Wawa. Dia sudah minta izin daripada Kaduk nak tidur sebilik dengan Wawa dan Aisyah. Sambil baring, dia ulang lagi doa yang sama dan hembus pada Wawa dari hujung rambut ke hujung kaki sehingga dia sendiri melelapkan mata.

Saat ini di tengah ruang tamu, Kaduk dan Ammar juga sibuk berkongsi sesi 'pillow talk' versi mereka sendiri - tadarus dan tafsir surah Al-Baqarah ayat 183-187:

"Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.

(Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui.

(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, Kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur.

Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul..."


(bersambung...)

#RADHA


Tuesday, May 12, 2020

[16] Gelap

Karya pendek

Gelap
Oleh Rnysa

16

Malam pertengahan Ramadan.
#MCODay55 #PKPharike-55
#stayathome #stayinlove #stayinmemory

Di dalam tidak gelap. 
Pabila diterangi cahaya lampu bulat yang melimpah sinarannya.

"Wawa buat apa ni dekat rumah Adam?" Tanya Doktor Nur Jannatul Adnain sambil melihat semua gambar satu demi satu yang dimuat naik oleh adik kembarnya di laman sosial. "Siap sambut hari ibu pula..."

"Ammar yang bawa Wawa datang sini." Wawa dapat tangkap kerlingan mata Ammar apabila nama suaminya itu disebut.

"Waktu-waktu macam ni nak pergi berziarah? Tak ikut arahan KKM!" Tegas Doktor Nur Jannatul Adnain bersuara di hujung talian WhatsApp.

Mesej kawan-kawan baik mereka yang kini turut berada di luar negara seperti di Amerika Syarikat, Jerman, Rusia, UK dll masuk tak henti-henti. Yang dalam negara pun tak kurang juga berkongsi dengannya, yang kini sedang melanjutkan pelajaran peringkat PhDnya di Ireland.

"Ain, cuba tengok Facebook Wawa..."

Ammar tiba-tiba bangun dan beritahu dia nak duduk-duduk di balkoni. Mungkin dia nak beri peluang Wawa bercerita hal sebenarnya dengan kakak kembarnya seirasnya itu, fikir Wawa.

"Kalau ada masalah kenapa tak telefon Ain? Kenapa tak telefon umi dan walid? Kenapa nak bercerita dengan orang luar?" Bertubi-tubi Ain menyoal.

"Syah bukannya orang luar. Dia kawan Wawa!" Dia tak suka Ain cakap begitu. "Syah tu kawan Wawa!!!" Dia tahu yang masih berada rumah Adam dan Syah tapi dia tidak dapat mengawal suaranya.

"Syah tolong dengar masalah Wawa. Syah suruh anak-anak dia layan Wawa. Syah benarkan anak-anak dia panggil Wawa dengan nama 'umi'. Umi Wawa..." Wawa sebut satu per satu kebaikan Syah.

"Orang lain sibuk tanya bila Wawa nak ada anak. Merancang ke? Tak usaha ke? Tanya dan doakan yang baik-baik, tak apalah. Ni beri komen macam tahu segala-galanya."

Nafas Wawa turun dan naik menahan amarah. Dia sudah lama bersabar mendengar soalan dan komen semua orang selama ini.

"Kalau Ain nak tahu, selama Wawa kenal Syah... dia tak pernah tanya semua itu. Dia faham Wawa. Dia tak macam orang lain yang tak sudah-sudah bertanya dan buat kesimpulan sendiri! Dah tanya macam-macam depan semua orang, boleh pula suruh Wawa sabar."

"Wawa tak boleh sensitif sangat..."

"Oh, Wawa pula kena bersangka baik. Tak boleh nak sensitif dengan kata-kata orang. Kena sabar. Orang tanya sebab ambil berat.

Ya, sabar.

Mereka yang tak sensitif dengan situasi Wawa, Wawa pula nak kena selalu faham dan jaga perasaan mereka. Habis tu... perasaan Wawa tak perlu jaga? Tak perlu siapa peduli sebab nasib Wawa memang dah ditakdirkan Allah macam ni?

Sabar. Sabar. Sabar.

Siapa yang tak sabar sebenarnya? Wawa ke mereka?"

Ain diam sahaja mendengar Wawa meluahkan perasaan.

"Dan kalau Ain jadi Wawa, macam mana? Dah hampir 13 tahun kahwin tak ada anak, dah cuba berubat dan berurut sana sini, dah cuba IVF banyak kali pun masih tak ada rezeki..."

Wawa tak habis setakat itu.

"Macam Ain pula... Suka tak dengar soalan peribadi? Kenapa bercerai? Tak nak rujuk balik dengan bekas suamikah? Kenapa tak sanggup bermadu? Tak nak kahwin lagikah? Tak nak itu, tak nak ini? Berapa lama nak hidup jadi ibu tunggal? Suka dengar tak orang asyik tanya Ain macam tu?"

"Wawa..." Suara Ain bergetar.

"Mungkin Ain boleh sabar dengan kata-kata dan mulut orang. Ya, Wawa tak setabah Ain. Ain kan selama ini hebat. Tak macam Wawa. Wawa tak bagus macam Ain. Wawa tak kuat macam Ain. Wawa tak..."

"Nur Jannatul Ma’wa..." Ammar sudah berada di hadapan Wawa yang bersila menangis teresak-esak di atas katil. "Dah... beri abang cakap." Suara Wawa yang meninggi dapat didengari sampai ke luar.

Telefon beralih tangan.

"Ain... Ammar ni. Maaf, tak sesuai rasanya nak berbual sekarang. Kami ni dekat rumah orang."

***

#throwback

"Adam, siapa Ain?" tanyaku pada ketua pelajar yang sedang menaip sesuatu pada papan kekunci.

Kaduk memandangku dengan wajah terpinga-pinga. Dia menoleh ke kanan dan ke kiri.

"Kau cakap dengan siapa, Syah?" soalnya kehairanan.

"Dengan kaulah. Takkan kita bercakap dengan cicak tu pula," ujarku sambil menjeling ke arah seekor cicak yang kebetulan berbunyi di atas kepala kami. Kaduk tersengih.

"Yang kau panggil aku Adam tu kenapa? Dah buang tabiat," perlinya sinis.

"Saja," jawabku ringkas.

Kaduk mengangkat kening. Mungkin dia merasa aku cuba mempermainkannya.

"Sabtu lepas, kita terserempak kawan kau. Dia yang tegur dulu. Siap belanja makan lagi tu. Haa... dia kirim salam pada kau."

"Kawan? Kawan yang mana ni?" Giliran dia pula menyoal.

"Budak MRSM, Nur Jannatul Adnain namanya. Kenal?"

"Ohh... " Dia seperti memikir sesuatu. Kemudian bibirnya menyukirkan senyuman.

"Ain tu makwe kau ke?" soalku tanpa berselindung lagi. Cuba memasang perangkap.

Kaduk diam sahaja. Tidak menjawab soalanku.

"Kaduk?" gesaku lagi.

"Akasyah! Buat apa sini. Kacau Adam ya." Tiba-tiba satu suara garau menyergah aku.

"Cikgu Hafiz," ujarku sambil tersengih seperti kerang busuk. Aku menggaru kepala. Mencari idea.

Guru Bahasa Inggeris merangkap guru makmal komputer mendekati kami berdua.

"Saya nak tumpang taip laporan, cikgu," kataku sambil memegang beberapa keping kertas tulisan tangan.

"Ya lah."

"Cikgu, kalau saya nak guna internet boleh?"

"Boleh tapi senyap-senyap saja tau." Guru muda itu mengenyitkan matanya. Aku tersenyum lebar seperti baru memenangi Anugerah Pemain Terbaik Negeri. Nampaknya murah rezeki aku hari ini.

"Datang nak taip laporan ke datang nak guna internet?" sindir Kaduk. Tajam. Matanya masih memandang monitor komputer.

"Sambil menyelam minum air," jawabku selamba.

Kaduk mengerling tajam. Kemudian kembali meneruskan kerjanya.

"Siapakah Ain di hati Adam?" ujarku perlahan sambil mengetuk papan kekunci. Aku menoleh ke arah Kaduk. Dia tersenyum lagi bagaikan merahsiakan sesuatu.

***

Februari 2019
Tokyo, Jepun

Kaduk melayari aplikasi Twitter hari itu. Kebetulan lagu yang dia biasa dengar sedang tular. Dia baca komen-komen yang ditulis.

"Hai, khusyuk nampak..." tegur Syah yang baru lepas menjenguk anak-anak di bilik sebelah.

"Anak-anak semua dah tidur?"
"Dah."

Lagu berjudul "Di Matamu" nyanyian penyanyi Sufian Suhaimi dalam Anugerah Juara Lagu itu dipasang perlahan. Alunan tiupan seruling menggamit rasa. Dengan lirik, ekspresi muka, persembahan dll, membuatkan Kaduk diam menghayati.

Syah yang mengambil tempat di sebelah Kaduk di atas tilam futon memerhati ekspresi wajah suami. Dia pun segera mencapai telefon bimbitnya mencari lagu itu di Twitter apabila nampak Kaduk sedang scroll dan membaca komen. Paparan dua skrin. Atas persembahan lagu, bawah Twitter.

Dan satu nama muncul di benak Syah. Nur Jannatul Adnain.

Dia.
Di matamu.

Dia.
Di hatimu.

"Mendalam sungguh persembahan ni..." komen Kaduk. "Ada kisah di sebalik..." Hati lelakinya sedikit terusik. Ada sedikit persamaan dengan apa yang pernah terjadi pada dirinya suatu masa dulu dengan seseorang.

Dan tak seharusnya mencinta dia jika ditolak.
Dan tak seharusnya memilih dia jika dibuang.

Ah, memori lama usah lagi dikenang!
Biarkan terkubur begitu sahaja.

Tanpa gelap, mana mungkin dia menghargai hadirnya terang.

Lagu "Di Matamu" dimainkan sekali lagi. Dan wajah bidadari hati yang sedang merenungnya saat ini ditatap lembut.

Tanpa seorang Nurul Akasyah, mana mungkin seorang Carl Duke Adam menghargai hadirnya cinta.

Tanpa seorang Nurul Akasyah, mana mungkin seorang Carl Duke Adam menghargai ertinya setia.

Tanpa seorang Nurul Akasyah, mana mungkin seorang Carl Duke Adam menghargai nilainya sebutir permata.

Kaduk membelai lembut rambut Syah lalu memegang ubun-ubun Syah. Sambil menyebut lafaz bismillah doa dalam Bahasa Arab, kemudian dengan perlahan Kaduk berdoa dalam Bahasa Melayu pula:

"Ya Allah, aku memohon kepada-Mu kebajikan dari isteriku dan kebaikan fitrah tabiatnya yang telah Engkau tentukan, dan akupun berlindung kepada-Mu dari keburukan isteriku serta keburukan fitrah tabiatnya yang ada padanya..."


(bersambung...)

#RADHA

Petikan #throwback di atas daripada versi asal online e-novel Relevankah Aku di Hatimu? yang ditulis pada 18 Disember 2003.

Lagu Di Matamu yang dinyanyikan semasa AJL : https://youtu.be/VpFpDPSMV4w



Monday, May 11, 2020

[15] Gelap

Karya pendek

Gelap
Oleh Rnysa

15

Siang 17 Ramadan.
#MCODay54 #PKPharike-54
#stayathome #stayconnected #stayinfaith

Di dalam tidak bisa gelap.
Dengan limpahan cahaya terang yang menerobos melalui vertical blind.

Wawa masih tersenyum panjang dengan kejutan yang diterimanya tengah hari itu. Sejambak bunga ros merah daripada Aisyah, bersempena sambutan hari ibu yang jatuh pada hari ini.

"Selamat hari ibu, Umi Wawa." Ucap Aisyah tadi sambil menyerahkan jambangan bunga yang dibeli oleh Uncle Ammar itu.

"Terima kasih, Aisyah." Satu kucupan hinggap di pipi anak sahabatnya itu. Dia tidak lepas-lepas membaca kad ucapan.

Kami semua sayang Umi Wawa.

Melihat wajah isterinya yang tersenyum bahagia tak putus-putus, Ammar terus buat sujud syukur.

Terima kasih, ya Allah!

***

#throwback

Aku membatu. Sempat mengerling pada Salwa yang menjadi pemerhati setia. Beralih kembali pada Syed Ahmad Mukhriz. Aku tahu sampai bila pun aku tak mampu menandingi dirinya. Mukhriz rajin mengulit buku-buku sirah sedangkan aku tidak.

Setiap kali tiba giliran memberi pengisian dalam usrah barulah aku terkecoh-kecoh membaca. Kebetulan aku diminta memberikan pengisian di bawah hijrah dan implikasinya. Jadi barulah aku tahu dari mana datangnya kisah Suraqah Bin Malik yang dijanjikan Rasulullah gelang raja Parsi, yang Mukhriz pernah ceritakan sedikit masa dahulu.

Mukhriz menerangkan bagaimana keajaiban yang berlaku semasa Suraqah cuba mengejar Rasulullah dan Abu Bakar. Salah satunya, kaki hadapan kuda Suraqah terbenam di dalam pasir sehingga paras lutut setiap kali dia cuba menghampiri nabi. Lancar lidah Mukhriz menyebut nama para sahabat (yang aku tidak pernah dengar), nama tempat berserta tarikh sesuatu peristiwa. Seolah-olah telah dihafalnya seluruh buku tersebut. Dalam soal itu, aku ketinggalan terlalu jauh di belakang.

"Khadijah..."

Perasaan aku bergetar. Cara dia memang sama seperti papa. Setiap kali papa ingin menasihatiku, dia juga akan mulakan dengan menyebut namaku.

***

"Puan Nur Khadijah?" Suara lelaki di hujung talian memanggil, membawa Nur Khadijah kembali ke masa kini.

"Ya.. Encik Adam, terima kasih sebab telefon saya hari ni. Saya terjumpa donation appeal yang start-up yang encik, isteri dan kawan-kawan buat. Nama encik dan isteri sangat familiar..."

Kaduk tekan butang pembesar suara.

"Ya, isteri pun cakap dia kenal puan. Dia ada dekat sebelah saya dan dengar perbualan kita sekarang."

"Assalamu'alaikum, Nurul Akasyah. Apa khabar? Oh, saya tak sangka awak kenal saya."

"Waalaikumussalam Kak Nur Khadijah. Ya, kenal masa beraya di kedutaan Malaysia. Dan kalau ada event pelajar Malaysia dekat Tokyo, kakak ada datang kan. Suami kakak pun saya kenal juga - Syed Ahmad Mukhriz. Dia aktif persatuan pelajar Islam di Jepun. Saya pernah dengar dia beri pengisian." Jelas Syah dengan panjang lebar. Boleh beri markah A++. Orang tanya sikit, dia beri jawapan lebih!

"Ohh...pernah jumpa suami saya." Sahut Nur Khadijah. "Kira awak pun kenal arwah suami saya."

"Mestilah kak. Dia kan orang penting dalam persatuan. Baik pula orangnya." Orang lainlah yang cakap, Mukhriz itu baik. Syah tak pernah bercakap pun dengan arwah suami Kak Nur Khadijah itu. Waktu dia di sana, mereka sudah jadi suami isteri. Kahwin masa belajar lagi. Takkan suka hati nak berbual dengan suami orang. Lagipun dia ada urusan apa sampai nak kena bercakap dengan suami kakak seniornya.

"Awak berdua back for good ke macam mana ni?"

Kaduk suruh Syah saja yang jawab.

"Ya, kak. Macam tu perancangannya setakat ini..." Jawab Syah.

Hai, Kak Nur Khadijah ni... orangnya cantik, lemah-lembut, suara bercakap pun sedap!

"Okey, selain nak beri sumbangan tu saya ada projek baharu. Emm... Mungkin saya bincang masa lain dengan Akasyah? Nanti boleh hubungi saya dengan nombor ni. Ambil nombor saya ni dekat suami awak ya."

"Okey."

"Dan Adam, nanti saya serahkan sumbangan atas nama suami saya. Kalau perlukan lagi, beritahu saja."

Muharijin.
Yang berhijrah.

Ansar.
Yang membantu.

"Alhamdulillah, terima kasih banyak. Allah hantar orang baik macam puan untuk membantu kami.

Semoga Allah membalas kebaikan dan pahala amal jariah buat arwah suami dan puan sekeluarga.

Kebetulan hari ini 17 Ramadan, peristiwa perang Badar. Suami puan pernah datang London atas jemputan persatuan pelajar Islam kami. Saya teringat tazkirah yang dia sampaikan waktu itu tentang perang Badar.

Rasulullah SAW meluruskan barisan orang Islam, membakar semangat mereka untuk berperang dan memotivasi mereka untuk mati syahid.

Setelah itu, baginda pulang ke khemah bersama Abu Bakar dengan dikawal oleh Saad bin Muaz yang siap menghunuskan pedangnya. Rasulullah SAW mula berdoa. Antara doa Baginda:

Ya Allah, aku menagih janji dan jaminan-Mu. Ya Allah, jika Kamu binasakan kelompok ini (pejuang-pejuang mukmin), Kamu tidak akan disembah lagi di muka bumi..." Kaduk buka kuliah sirah pula tiba-tiba. Sebenarnya Syed Ahmad Mukhriz itu adalah salah seorang inspirasinya untuk berubah menjadi lebih baik dan mendalami ilmu sejarah Islam tentang kehebatan orang-orang Islam.

Nur Khadijah tersenyum. Suami Akasyah ni dah beri tazkirah tak ubah macam arwah suaminya dulu. Tanpa sedar, air mata mengalir deras, lalu dikesat dengan hujung jari.

Aku di sini, dia di sana. Tiada jambatan, tiada titian dan tiada jalan yang menghubungkan di antara kita, abang. Satu perpisahan yang sempurna, buat selama-lamanya... di dunia ini, bisik hati Nur Khadijah.


(bersambung...)

#RADHA #CintaSofea

Petikan #throwback di atas daripada versi asal online e-novel Cinta Sofea yang ditulis pada 20 Januari 2005.

Lagu Di Pintu Syurga ini untuk Khadijah & Mukhriz: https://youtu.be/B7juuUxjZRU



Saturday, May 09, 2020

[14] Gelap

Karya pendek

Gelap
Oleh Rnysa

14

Malam 17 Ramadan.
#MCODay53 #PKPharike-53
#stayathome #stayconnected #stayinfaith

Di dalam gelap malam.
Hanya sinaran bulan penuh yang terang menyinari seluruh mayapada.

Dari dalam gua yang gelap.
Seorang manusia yang paling baik budi pekertinya menerima khabar gembira dari langit melalui perantaraan malaikat jibril.

"... Lalu turunlah wahyu yang pertama hingga seterusnya:

Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku;

Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya... "

Syah mengangguk, tekun mendengar.

Masa
*Demi masa

Malam
**Demi malam

**Apabila malam menyelubungi segala-galanya (dengan gelap-gelitanya).

***Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar.

Kaduk mengerling pada Syah yang nampak fokus sungguh. Amboi, tekunnya dia mendengar Ammar beri tazkirah!

Selepas zohor tadi, Ammar dan Wawa datang ziarah ke rumah. Sebenarnya dia yang ajak pagi tadi lepas hampir sejam Syah berbual dengan Wawa dalam telefon. Langsung diajaknya Ammar tidur di rumahnya.

Sebaik sahaja sampai siang tadi, dia boleh nampak wajah Ammar yang sedikit keletihan. Sahabatnya itu selalu jenis tenang orangnya. Namun siang tadi, raut wajahnya tidak dapat melindungi resah yang melanda hati.

"Kau OK tak?" Soalnya sebaik sahaja mengajak Ammar berbual di balkoni.

Syah, Arham, Aisyah dan Akram pula sedang melayan Wawa di ruang tamu.

"Entahlah..." Jawab Ammar senafas sambil meraup wajahnya.

"Kau pun tak cukup tidur juga?"
"Hmmm..." Yalah, dia pun tidur-tidur ayam sahaja. Dah rasa nak pusing kepala.

Pandangan dilemparkan pada tasik di hadapan. Kaduk menyewa rumah kawan mereka sementara menanti rumahnya siap diubah suai. Sebab arahan PKP, jadualnya tergendala. Patutnya sebelum Ramadan tempoh hari sudah pindah masuk.

"Biarlah Nur duduk sini sehari dua. Syah ada boleh temankan dia dan boleh dia main dengan anak-anak aku. Kau pun boleh rehatkan diri, Ammar." Kata Kaduk pada Ammar yang sudah memejamkan mata.

"Tak susahkan kau dan Syah ke?"

"Tak. Jangan risau. Syah pun setuju. Duduklah di sini dulu. Syah dan aku ada..."

Kaduk dan Ammar sama-sama menjenguk ke dalam apabila mendengar bunyi gelak tawa Aisyah dan Akram.

"Bilik kau dan Nur dah kami siapkan. Kau masuklah rehat. Tidur sekejap. Sebelum Asar nanti aku kejutkan..."

Itu cerita siang tadi.

Dan malam ini pula...

"Oh, sebelum terlupa...ada orang cari kau untuk projek PPE frontliner kita." Ammar mengeluarkan telefon bimbitnya dari kocek baju Melayu hijau zamrud.

Kaduk, Syah, dia dan beberapa rakan baik mereka waktu belajar dulu mengambil inisiatif untuk membantu pejuang petugas barisan hadapan dan orang ramai yang terkesan dengan situasi penularan wabak COVID-19.

"Nama dia... Nur Khadijah binti Khuwailid. Daripada An-Nur Holdings. Dia nak beri sumbangan untuk projek kita. Katanya, arwah suami dia kenal kau. Syed Ahmad Mukhriz Syed Ahmad Mukhtar, budak debat Sekolah Alam Shah."

"Nama Nur Khadijah tu macam kenal..." Tak sempat Kaduk nak menjawab, Syah sudah menyampuk. "Senior setahun ke... dua tahun macam tu... Belajar Ekonomi dekat Universiti Tokyo."

Anak orang kaya. Haa... Yang tu baru betul kluster 'kayangan' . Bapa dia Dato' ke.. Dato' Seri macam tu...

Yang ayah Mukhriz tu peguam syarikat bapa Khadijah. Syah tak kenal rapat sangat dengan Kak Nur Khadijah. Segan nak bercakap. Orangnya jenis pendiam-senyap tak banyak cakap, bersopan-santun, lemah-lembut, cantik lawa, muka orang bijak pandai dan terserlah aura elitnya.

Siang tadi Syah baru berbual dengan junior dari SERATAS. Fatimah kata, suaminya Carl Duke Adam tu kluster 'keluarga kayangan' sebab berasal dari keturunan bangsawan Belanda. Yalah, keluarga mereka kan ada rumah agam besar ala-ala warisan istana di zaman silam dan kandang kuda sekali dekat Den Haag sana. Dah 12 tahun kahwin, dia tak pernah tanya dan ambil tahu berapa banyak nilai harta suaminya dari sebelah keturunan 'Carl Duke' itu.

Syah kan sekadar kluster 'rakyat marhaen' sahaja, cerita Syah pada Kaduk lepas Asar tadi.

"Rasanya dulu Kak Nur Khadijah tu belajar dekat Sekolah Tun Fatimah. Padanlah budak Sekolah Alam Shah dengan Sekolah Tun Fatimah. Yang MCKK dengan TKC... " Sambungnya lagi.

Kaduk jeling tajam pada Syah. "Amboi, buat analisa jodoh ikut 'kluster sekolah' pula. Yang kita ni? Yang Ammar dengan Wawa tu? Kita ni kluster apa pula?"

Hmmm... Syah rasa dia duduk dalam kluster 'Taman-Taman Syurga'. Seorang demi seorang jenis hafaz surah dalam Al-Quran. Dalam ramai-ramai dialah yang paling kurang, paling tak banyak menghafaz. Sedikit insaf di situ....

Malam itu Syah cari dalam Internet tentang Kak Nur Khadijah...

"An-Nur Holdings Sdn. Bhd. has been in business since 1979. Under the leadership of the Group Executive Chairman, Tan Sri Haji Khuwailid Bin Hamzah, An-Nur Holdings has diversified into synergistic areas of business activities to become a dynamic conglomerate, participating in growth of the nation through several key factors... "

Tengok... anak Tan Sri kot. Kan dah cakap tadi Kak Khadijah ni orang berada, desisnya dalam hati.

Dia cari lagi dan jumpa!

"Nur Khajidah binti Tan Sri Khuwailid, the chief executive officer of An-Nur Properties..."

Mak aiii, dah level CEO! Ni baru betul level kayangan...

Syah telan air liur.

"Dan dia cari Syah juga..."

Yang peliknya kata Ammar tadi Kak Nur Khadijah cari dia juga. Untuk apa?

(bersambung...)

#RADHA #CintaSofea

*Al-Asr: 1
**Al-Lail: 1
***Al-Qadr: 1


[13] Gelap

Karya pendek

Gelap
Oleh Rnysa

13

Sepertiga malam.
#MCODay53 #PKPharike-53
#stayathome #stayawake #stayalive

Di dalam sentiasa gelap.
Hanya tinggal sisa cahaya dari skrin telefon yang sudah ditukar ke mode eye comfort tidak lagi menyilau pandang.

Wawa mengeliat seketika sambil matanya masih tertumpu pada skrin telefon.

Tidak jauh dari situ, Ammar hanya memerhati Wawa yang berbaring di atas sofa ruang tamu di dalam gelap. Sudah beberapa hari isterinya itu tidak tidur.

Tanpa berlengah lagi, Ammar datang merapati.

"Ayang, jom tidur dalam bilik..." Dia memujuk sekali lagi malam itu. Namun seperti malam-malam sebelumnya, Wawa tidak mahu dan menyuruh sahaja dia pergi beradu sendirian.

"Nur kena tidur, kena rehat. Tak boleh macam ni..." Dan ikutkan sangat perasaan,  sambung Ammar dalam hati.

Duka.
Seduka hati.

Lara.
Selara jiwa.

"Tak boleh nak tidur..."

"Kalau dah asyik mengadap telefon macam tu memanglah..." Perlahan Ammar bersuara, masih cuba berlembut namun terselit ketegasan.

Segera dia duduk bersila di atas karpet, dahi Wawa diusapnya lembut penuh dengan kasih sayang sambil mulut Ammar berkumat-kamit membaca ayat kursi dengan maknanya sekali dalam Bahasa Melayu.



"Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhluk-Nya). Yang tidak mengantuk usahkan tidur. Yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisi-Nya melainkan dengan izin-Nya. yang mengetahui apa yang ada di mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya). Luasnya Kursi Allah (ilmu-Nya dan kekuasaan-Nya) meliputi langit dan bumi; dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya. Dan Dia lah Yang Maha Tinggi (darjat kemuliaan-Nya), lagi Maha Besar (kekuasaan-Nya). "

Dihembusnya pada kedua belah telapak, lalu diusapkannya dari hujung kepala sampai ke hujung kaki isterinya.

Ya Allah, tolonglah hamba-Mu ini...

Ammar rasa sedikit sebak melihat Wawa tersenyum pada skrin telefon. Sedikit pun tidak diendahkan kehadirannya di situ.

Ya Allah, Kau hilangkan kesedihan dalam hati isteriku...

Ammar kembali mengatur langkah ke dalam bilik. Terdetik dalam hatinya sesuatu. Segera dia mendapatkan telefon bimbitnya dari atas meja sisi katil.

Nombor sahabatnya dicari. Seratas Adam.

***

Kaduk terjaga mendengar bunyi telefon berdering. Alarm tahajudnya kot...

Dia mencapai telefon dan nama yang terpapar buat dia sedikit terkejut.

"Ammar?" Jam menunjukkan pukul 3:22 pagi, kenapa tiba-tiba menelefonnya seawal ini?

"Ana nak minta tolong..."
"Kenapa, Ammar?" Lampu meja sisi segera ditekan.

"Nak minta tolong untuk Nur..." Lemah Ammar bersuara. "Boleh tak nak minta Syah cakap dengan Nur sekejap?" Lalu Ammar menerangkan dengan panjang lebar.

Kaduk menarik nafas dalam-dalam. Syah yang masih lena dengan Akram dalam pelukannya segera dikejut. Terpisat-pisat dia bangun.

"Kenapa?"
"Wawa. Ammar nak minta sayang cakap dengan Wawa. Katanya, Wawa tak tidur banyak hari. Macam tengah kemurungan..."

"Ya Allah..."
Telefon sudah beralih tangan.
"Wawa, ni Syah..."

Syah pandang mata Kaduk yang memerhatikannya dan turut sama mendengar.

"Wawa okey tak?"
"Syah? Nurul Akasyah ke tu?"

"Ya, kakak usrah." Syah tersenyum sedikit. "Wawa okey tak?"

Diam. Berminit-minit berlalu.
Syah sabar menanti di hujung talian.

"Syah, Wawa... Wawa tak okey..." Suara Wawa tersekat-sekat bertukar menjadi tangisan. "Wawa tak okey... Wawa tak okey..."

Nescaya matinya hati jika tiada nyawa.
Nescaya gundahnya jiwa jika tiada tawa.

Butang pembesar suara ditekan untuk mematikan fungsinya. Syah merapatkan telefon ke telinga kanannya.

"Tak apa, Wawa. Syah ada ni..." Lembut sahaja Syah menutur. Tangan Kaduk digenggamnya, mahu meminjam sedikit semangat.

Kaduk membalasnya erat. Awal pagi ini Allah menghantar sang bidadarinya itu untuk 'merawat' hati seseorang yang memerlukan, sedangkan dirinya sendiri menanggung kesakitan. Jemari Syah sedikit menggeletar dapat dirasakan oleh Kaduk.


***

#throwback

"Ketahuilah Allah swt dah anugerahkan dalam diri setiap perempuan sifat rahmah... sifat penyayang. Walau bagaimana kasarnya dia pada mata orang, tapi masih tertanam di dalam dadanya sifat penyayang. Bukankah perempuan dicipta dari tulang rusuk yang bengkok. Dan bengkoknya itu bukan bermakna satu kekurangan tetapi sebenarnya satu penyempurnaan. Tulang rusuk yang bengkok tadi sifatnya sebagai pelindung. Melindungi organ-organ penting di dalam tubuh manusia seperti jantung dan paru-paru.

Dalam erti kata lain, terciptanya seorang perempuan itu secara semulajadinya dua sifat tadi juga ada dalam dirinya, iaitu penyayang dan pelindung. Oleh sebab tulah perasaan perempuan ni halus. Kerana adanya dua sifat itu jugalah, maka seorang perempuan sanggup bersabar dalam menjaga dan melayan kerenah anak-anak. Bersabar apabila hatinya diguris atau dikecewakan oleh mereka. Yang mana tidak mampu dilakukan oleh seorang lelaki.

Sebenarnya bengkok atau tidaknya seorang lelaki atau perempuan bergantung kepada iman dan akhlaknya. Orang lelaki kalau tidak berusaha untuk membuang sifat-sifat yang terkeji di dalam dirinya pun akan jadi bengkok juga, malah lebih bengkok dari orang perempuan yang ada usaha membaiki dirinya.

Ironinya, perempuan kasar tingkah lakunya dan pernah juga dikatakan tidak layak untuk lelaki yang faham agama lantas berusaha memperbaiki dirinya. Dia sedar yang dia bukannya lahir dalam keluarga yang kuat latarbelakang agamanya seperti Nur Jannatul Adnain, Nur Jannatul Ma'wa ataupun Kak Zinnirah. Sebab tu, dia perlu berusaha keras untuk jadi muslimah yang baik... dan pastinya dengan caranya yang tersendiri. Dalam diam berharap satu hari nanti dia juga akan menjadi bidadari syurga untuk lelaki yang bisa melihatnya sebagai bidadari. Bidadari dengan cara dan gayanya yang tersendiri." Ucapanku yang panjang lebar berakhir situ.

Masing-masing diam membisu seperti sudah kehilangan kata.

"I'm speechless..."

"Semua itu sekadar pandangan aku sahaja..." Balasku perlahan.

"I'm very impressed. Sepatutnya aku rakam kata-kata kau ni. Boleh Ammar dengar sama. Aku pasti dia juga akan terkedu dan terkejut, sepertimana yang aku alami sekarang." Katanya lagi.

Aku di sini sekadar tersenyum.

"Bukankah setiap yang berlaku, ada hikmah di sebaliknya. Dengan kata-kata Ammar sebagai cabaran dan pastinya dengan izin Allah, akhirnya kau berubah menjadi seorang bidadari. I'm feel honored talking to you... Ainul Mardhiah."

Ainul Mardhiah... Akukah bidadari itu? Bisik hatiku.

Tanpa disedari, hujung mataku sudah basah. Hatiku tersentuh dek panggilannya pada aku sebentar tadi. Dalam masa yang sama juga aku cukup terhibur dengan kata-katanya itu. Dia memang bijak mengambil hatiku. Sentiasa buat aku berasa senang berada di sampingnya.

"Kata-kata kau tadi sangat sweet. Aku akan catat dalam diari. Berapa tarikh hari ni?" Kataku sambil ketawa kecil, cuba menyelindungi kesayuan yang mula bersarang di sudut hati.

"Tapi aku tak se'sweet' Ammar kan. Lagipun dia selalu beri kau coklat. Sedangkan aku tidak. Aku hanya menanam tebu di pinggir bibir aja, tu sebabnya mulutku selalu manis. Cakap pun yang manis-manis aja. Supaya bisa buat hati kau cair!"

"Yalah tu. Perasan sungguh! Orang puji sejengkal, ditokok-tambahnya jadi panjang sedepa. Nilah susahnya kalau bercakap dengan debater pencen!"

Kata-kataku disambut ketawa besar.

"Oh ya, mana kau dapat tahu ni? Takkanlah Ammar sendiri yang beritahu."

"Adalah..." Katanya, ingin berahsia.

Keadaan sepi seketika.

"Jadi, siapakah insan istimewa yang bertakhta di hatimu sekarang, Ainul Mardhiahku? Yang kau tunggu untuk menyunting hati bidadari kecil yang satu ini?" Soalnya tiba-tiba dengan nada serius.

"Jangan panggil aku macam tu, Kaduk. Aku tak layak langsung..." Pipiku sudah merona merah kerana menerima penganugerahan pangkat 'bidadari' pagi-pagi buta begini.

"Panggilan aku tadi bukan untuk main-main, Nurul Akasyah Othman." Tegasnya.

Dia menyebut nama penuh aku. Dalam erti kata lain, dia sememangnya memaksudkan aku Ainul Mardhiah, ketua bidadari syurga itu, bisik hati kecil ini.

Denyutan nadiku bagai terhenti seketika. Hati aku seperti telah terkena panahan cinta seorang lelaki yang tulus ikhlas menyayangi aku yang serba kekurangan ini. (Bukankah kaduk sememangnya mempunyai kemahiran memanah. Tidak syak lagi!)

Oh Tuhan, anugerah apakah yang Kau berikan ini? Kesedihan semalam serta-merta kau gantikan dengan kegembiraan yang tiada tandingan ini.

Dadaku sudah sebak. Rasa mahu tumpah lagi empangan air mataku pagi ini.

"Kau tak kerja ke hari ni?" Tanya aku, cuba melarikan diri daripada menjawab soalan dia tadi.

"Kerjalah cik adik. Sekejap lagi kena pulang semula ke apartment aku. Tepat jam lapan nanti dah kena terpacak di office. Ada sesi taklimat dan penerangan."

"Ohhh..."

"Kau tak jawab lagi soalan aku tadi."

"Soalan yang mana satu?" Tanyaku, pura-pura tidak mengerti.

"Setelah kau sanggup menolak lamaran tidak rasmi dari lelaki sebaik Mohd Ammar Iskandar, siapakah jejaka yang kau tunggu wahai bidadariku yang manis?"

Lidahku kelu untuk berkata-kata. Carl Duke Adam, lelaki ini memang cukup arif bagaimana hendak buat daku tersenyum, ketawa dan berdebar. Seperti apa yang sedang dilakukannya saat ini.

"Siapa yang kau tunggu, Nurul Akasyah?" Ulangnya sekali lagi dan kali ini lebih lembut dan menyentuh perasaan kewanitaanku.

Hatiku sudah berdebar tidak terkata. Malah makin lama makin kuat. Bagai jantung ini mahu tercabut dari tempatnya! Nafasku jadi sesak. Suaranya itu bisa buat jantungku luruh!

***

"I'm proud of you, my bidadari." Ucap Kaduk perlahan sebaik sahaja Syah menyerahkan telefon kepadanya kembali.

"Wawa okey?"
"Harap okeylah. Ammar nak cakap dengan abang..." 

Telefon dibawa rapat ke telinga..

"Kaduk, terima kasih pinjamkan bidadari hati enta tadi. Nur dah okey sikit..." 
"Alhamdulillah syukur..."

Wajah sang bidadari hati yang sedang tersenyum manis diusapnya.

*I know I choose the right girl...

Kata-kata itu bergema dalam hati seorang Carl Duke Adam.


(bersambung...)

#RADHA

Petikan #throwback di atas daripada versi asal online e-novel Relevankah Aku di Hatimu? yang ditulis pada 16 Julai 2004 & juga *kata-kata Kaduk pula daripada versi asal yang ditulis 22 Ogos 2004.


Friday, May 08, 2020

[12] Gelap

Karya pendek

Gelap
Oleh Rnysa

12

Petang.
#MCODay52 #PKPharike-52
#stayathome #stayinsane

Di dalam tidak gelap.
Dengan hadirnya bilahan cahaya yang menerobos masuk melalui tingkap gaya zaman kolonial British.


Disember 2008
Hotel Royale Chulan, Penang.

"Kamu kena fikir waras. Ayah dah kahwin!"

Perit.
Seperit rasa ditampar.

Pedih.
Sepedih kata dilempar.

Kata-kata ayah berulang-ulang dalam kepalanya bagaikan radio transistor yang rosak. Namun buffet sarapan Royale Chulan tetap dijamahnya. Meja mereka sepi tanpa bicara, hanya bunyi kelintang-kelintung rancak berbunyi.

Tiba-tiba Kaduk main petik jari di hadapan bidadari hatinya. "Syah??" Mengelamunkah isterinya itu?

"Hmmm...?"

"Are you OK, sayang?"

"Ya," jawab Syah pendek dengan senyum segaris. Roti jala dicecah dalam mangkuk kecil berisi kuah kari dan kuah dal. Betullah kata Kak Ika, memang sedap roti jala di sini.

"Nope, you're not OK." Terus Kaduk letak sudu garfu di atas pinggan. Kedua-duanya tangannya dibawa bersilang ke dagu. Melangut dia menatap wajah wanita yang sangat dicintainya itu.

"Apa yang sayang tengah fikir?" Rendah suara dia bertanya.
"Tak ada apa-ap..."
"Tolonglah sayang. Just tell me..." Segera Kaduk mencelah, tak beri peluang Syah nak mengelak seperti kebiasaan jawapan yang dia suka beri.

Tak ada apa-apa.
Semuanya OK.
Tak ada masalah.

No! Dia tak nak dengar lagi jawapan begitu. Dalam perhubungan suami isteri mereka, dia perlukan kejujuran daripada Syah.

Jari-Jemari Syah diraihnya sebaik sahaja Syah berhenti makan juga.

Syah menarik nafas dalam-dalam. Mata tunduk merenung roti jala yang sedap. Nanti nak ambil lagilah seketul dua, sempat dia berfikir begitu sedangkan bola mata Kaduk yang tepat memandang ke arahnya dengan wajah serius.

Ah sudah, senyap pula... dia fikir apa? Kaduk sedikit risau. Jemari Syah makin digenggam erat.

Syah terjenguk-jenguk ke dapur mini dan meja hidang di belakang. Nampak chef baru angkat dan susun batch baharu.

Yes!

"Sekejap...nak pergi ambil roti jala..." Bingkas Syah menolak kerusi ke belakang, lekas-lekas bangun.

Kaduk melopong. Yang mengelamun panjang tadi... sebenarnya pasal roti jala? Dia sikit punya keluar aura romantik nak jadi suami mithali, boleh Syah fikir pasal makanan...

Lalu Kaduk tergelak kecil. Dia kembali  mencapai sudu garfu dan mengoyak french toast untuk disuap ke dalam mulut. Namun tumpuan mata masih pada si manis tinggi lampai yang sedang meletakkan roti jala ke dalam piring yang ditatang.

"Sedap sangat kot roti jalanya sampai terdiam," Kaduk bercakap dengan diri sendiri. Nanti dia nak minta rasa juga lah.

Syah melepaskan keluhan kecil waktu menceduk kuih kari ke dalam mangkuk.

"Kamu boleh fikir waras tak? Ayah ni dah kahwin!"

Ayah... sampainya hati.

Betullah, kadangkala kata-kata boleh jadi bilah pedang tajam yang menusuk dan menyakitkan.

***

#throwback

"Rapat betul enti dengan Kaduk." Ammar menegur aku.

"Biasa aja," balasku ringkas.

"Ana bukan nak halang enti baik dengan dia. Tapi..."

"Tapi apa?"

"Enti tahu Kaduk tu orangnya bagaimana. Maksud ana, tentang kawan dia sebelum ini... Nur Jannatul Adnain."

"Jadi?" Aku tidak dapat melihat kaitan antara aku dan Ain.

"Biasanya lelaki yang faham tentang agama akan pilih perempuan yang begitu. Perempuan yang menutup auratnya dengan sempurna." Dia melirik pada aku. Kebetulan pada waktu itu, aku memakai jeans, jaket labuh dan selendang bawal tiga segi.

Aku mula rasa lain macam. Apa yang dia ingin katakan padaku. Renungan matanya merimaskan. Aku sendiri tidak suka diperlakukan begitu oleh lelaki.

"Apa yang kau cuba nak cakap sebenarnya? Terus-terang saja. Tak perlu nak berkias-kias. Aku tak faham." Tegasku. Suara aku terketar-ketar jadinya kerana cuba mengawal perasaan marah yang sudah bertunas di hati.

Dia masih tenang. Aku tahu aku tidaklah sebaik semana. Tetapi dia tidak seharusnya memandang rendah pada orang lain. Adakah dengan berpakaian biasa-biasa aku dianggap perempuan yang tidak baik? Tidak layak untuk orang-orang seperti dia? Apa hak dia hendak menjatuhkan hukum ke atas aku? Apakah dia kasyaf sehingga boleh baca isi hatiku? Mengetahui segala amalanku? Buruk baikku?

Aku terus angkat kaki tanpa perlu menanti penjelasannya lebih lanjut. Kata-katanya nanti mungkin akan buat hatiku terus terluka. Orang yang paling aku kagumi, minati dan hormati selama ini sanggup menuturkan sedemikian rupa. Hatiku rasa seperti ditoreh, dilapah. Jika terus berada bersamanya di situ aku tidak fikir aku boleh menahan amarahku. Lebih baik aku pergi jauh dari dia!

***

Pabila peritnya hidup jika tiada simpati.
Pabila pedihnya luka jika tiada empati.

"Nak rasa sikit, boleh?" Sudu di tangan kanan menghala ke arah roti jala kuning yang elok bersusun dalam pinggan. Pandainya isteri ambil lebih sikit untuk suami, puji Kaduk dalam hati.

Syah sudah angkat dua ketul roti jala dan nak letak dalam pinggan suaminya.

"Tolong suap..."

Terus roti jala berhenti di separuh perjalanan dan tak sempat sampai ke destinasi. Kena buat U-turn balik ke pinggan sendiri.

"Apa??"
"Sayang, takkan nak suruh abang ulang... " Tiba-tiba boleh Kaduk keluar suara dan gaya manja dengan mata redup romantik semacam.

Syah tersandar ke belakang. Seriously dia minta aku suap tengah-tengah public macam ni?

(bersambung...)

#RADHA

Petikan #throwback di atas daripada versi asal online e-novel Relevankah Aku di Hatimu? yang ditulis pada 30 Mei 2004.

---
Insya-Allah, mulai episod pendek 12 ini dan seterusnya saya update treaser di Facebook dan entry penuh boleh dibaca dalam blog Rnysa: https://rnysa-anys.blogspot.com.

Dengan ini secara rasminya Rnysa potong reben 🎀 dan menulis kembali di blog seperti suatu waktu itu. Doakan semoga saya istiqamah, ya ☺️


Tuesday, May 05, 2020

[11] Gelap

Karya pendek

Gelap
Oleh Rnysa

11

Lewat malam.
#MCODay48 #PKPharike-48
#stayathome #staypositive

Di dalam makin gelap.
Hanya sinaran lampu meja yang suram setia menemaninya tanpa halang.

Ammar ralit menaip usai dari solat tarawih berjemaah dengan isterinya. Sejak perintah berkurung dalam rumah ini, perasaan isterinya turut terkurung sama. Terbelenggu sendirian dalam dunianya sambil ralit meneropong kehidupan orang lain melalui paparan skrin telefonnya.

Malam itu dia singgah di 'jendela' Kaduk dan Syah. Setiap hari, setiap siang, setiap malam. Malam ini 'rumah' siapa pula dia hendak bertandang.

"Ulang tahun pernikahan yang ke-12. Hmm...dah 12 tahun kahwin dan tiga orang anak..." ungkapnya malam itu.

Anak...

"Mana?" tanya Ammar lalu mengambil tempat di sisi isterinya. Seperti selalu dia mahu cuba menyelami perasaan sang isteri yang mungkin terusik.

Telefon beralih tangan. Sekeping gambar yang dimuatnaik memaparkan ketiga-tiga anak sahabatnya itu sedang berlutut di hadapan nasi Arab lauk kambing dalam dulang, dengan kapsyen ringkas yang bertulis:

"Candle light dinner bersama-sama bidadari hati & anak-anak. Alhamdulillah, sambutan kecil-kecilan bersempena ulang tahun pernikahan yang ke-12.

25 April 2020
Malam 3 Ramadan 1441H

Cyberjaya, Malaysia."

Jadi, ramailah saudara mara dan teman-teman mengucapkan tahniah di bahagian komen. Lebih-lebih lagi ada rakan taulan yang teruja mengetahui Kaduk sekeluarga sudah berada di tanah air.

Mata isteri yang tampak redup dan hilang ceria diamatinya.

Pudar.
Sepudar sinar harapan.

Lelah.
Selelah burung terbang.

"Dah ucap tahniah?" tanya Ammar.

Wawa sekadar menjawab dengan menggelengkan kepalanya.

"We are in the same storm, but not in the same boat," ungkap Ammar. "Masa tempoh PKP ini, semua orang mengalami ribut yang sama. Tapi dengan keadaan keluarga masing-masing. Keadaan dan suasana setiap rumah tak sama. Ada lebih, ada kurang. Ada mampu, ada tidak. Ada hidup bersama-sama keluarga atau teman, ada yang tinggal bersendirian dan keseorangan."

Wawa diam menanti kalimah seterusnya.

"Dalam rumah tangga pun sama. Ada bahagia, ada bercerai-berai. Ada anak, ada belum rezeki." Ammar menghela nafas panjang, lalu dilepaskan perlahan-lahan. "Setiap orang ada bahagian masing-masing, ayang."

Mata Wawa sudah berkaca. Sebut bab anak dia memang sensitif.

"Lama kita tunggu..."
"Abang faham, ayang."

"Macam-macam kita usaha..."
"Abang faham, ayang."

"Tak putus kita berdoa..."
"Abang faham, ayang."

Air mata sudah mengalir laju di pipi isterinya.

"Abang tak faham perasaan ayang... bila tengok semua itu..." Mata Wawa hinggap pada skrin telefon.

Masakan pohon bergoyang jika tiada ribut.
Masakan laut bergelora jika tiada badai.

Kan abang dah selalu pesan, kalau hati tak kuat jangan tengok 'rumah orang'. Balas Ammar dalam hati. Abang pun tak mampu beri apa yang Wawa idam-idamkan, semuanya dalam kuasa Dia yang Maha Memberi.

"Ya, abang mungkin tak dapat faham 100% perasaan ayang. Insya-Allah, selagi kita hidup bererti kita masih ada harapan. Percayalah yang Allah lebih tahu..."

Syah sanggup menjaga anak-anak di Jepun keseorangan waktu Kaduk ditugaskan ke tempat yang kurang sesuai dibawa keluarga. Dalam tempoh 12 tahun, lebih separuh daripada tempoh itu mereka tinggal berjauhan. Kaduk selalu bercerita yang Syah tidak pernah merungut pun. Malah sering berselindung tentang tahap kesihatan dia dan anak-anak semata-mata tidak mahu Kaduk bimbang.

Ammar dan Wawa mana pernah hidup berjauhan sepanjang tempoh perkahwinan mereka selama 13 tahun ini. Tak pernah!

Jadi, tak adillah nak 'cemburu buta' dengan pasangan Kaduk dan Syah. Sedangkan Ammar dan Wawa tak tahu ribut dan badai yang melanda 'kapal' keluarga temannya itu.

"Ujian dan dugaan setiap orang itu berbeza, ayang."

Hujung mata isterinya yang masih basah dengan air mata dikesat.

Wawa yang sedikit manja dan selalu hidup dalam lingkungan keluarga yang rapat, belum tentu mampu setabah Syah yang sudah biasa hidup bersusah payah tanpa keluarga bertanya. Kaduk beritahu, Syah sudah terbiasa berdikari dan bersendirian!

(bersambung...)

#RADHA


Sunday, May 03, 2020

[10] Gelap

Karya pendek

Gelap
Oleh Rnysa

10

Malam
#MCODay46 #PKPharike-46
#stayathome

Di dalam sudah gelap.
Hanya limpahan sinar dari rembulan yang terang ditatapnya tanpa perasaan.

Besar.
Sebesar ujian.

Berat.
Seberat dugaan.

Tappp!

"Buat apa dalam gelap ni?" Serentak itu juga lampu bilik dinyalakan.

Bilakah datangnya pertolongan-Nya jika tiada kesabaran.
Bilakah tibanya janji-Nya jika tiada perkhabaran.

***

#throwback

Julai 2007

"Tapi pelik... mustahil Adam tak beritahu pada Syah. Kamu berdua kan kawan rapat. Betul ni Adam tak beritahu apa-apa pada Syah?" Wawa menyoal lagi.

"Tak apalah. Sekurang-kurang dia beritahu Wawa."

"Tak adalah. Ammar yang beritahu beberapa hari lepas."

"Ammar? Sejak bila pula Wawa berkawan dengan dia..."
Ammar yang susah bercakap dengan perempuan itu?

Gadis itu sudah merah padam menahan malu.

"Wawa dapat tahu dari Ammar rupanya."

"Sebenarnya... kami dalam proses mengenal hati budi masing-masing." Kata Wawa dengan nada perlahan. "Dan insya-Allah cuti summer nanti, kalau tak ada aral melintang kami akan..."

"Bertunang?"

Wawa menggeleng.

"Kahwin?"

Gadis itu mengangguk.

"Tahniah."

"Terima kasih." Jawab Wawa malu-malu.

"Wawa sendiri tak sangka. Sebenarnya dah lama Adam kenalkan Ammar pada Wawa. Dia selalu bercerita tentang Ammar. Malah Ammar sendiri pernah datang ke Melbourne waktu Wawa final year dulu. Dia datang travel dengan Adam dan beberapa orang lagi kawan mereka. Ammar memang baik. Cuma waktu itu hati Wawa tak terbuka untuk terima orang lain. Lebih-lebih lagi kawan kepada Adam."

Memang benarlah dia pernah menyimpan perasaan pada Kaduk sebelum ini.

"Mungkin jodoh kami kuat. Sampai saja di Jepun, Wawa jumpa Ammar semula. Dan seperti yang Wawa kata sebelum ni, Adam banyak mainkan peranan dalam menyatukan kami berdua. Mula-mula memang Wawa marah pada Adam sebab dia pandai-pandai saja aturkan semua ni. Wawa malu sangat pada Ammar. Tapi jodoh dan pertemuan itu di tangan Tuhan. Makin kita cuba tolak, makin dekat pula dia pada kita."

"Wawa akan bahagia. Percayalah... Dia akan jaga Wawa sebaik mungkin."

***

"Nur?"

Hmm... Dia baru nak melayari laman sosial media sambil melihat gambar anak-anak Adam dan Akasyah yang menyambut ulang tahun pernikahan ibu ayah mereka.

Anak-anak...

Wawa menarik nafas panjang dan melepaskannya perlahan-luahan.

Sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.
Sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.

"Nur Jannatul Ma’wa binti Mohd Aliff..."

Nama penuhnya dipanggil.

"Ya, Mohd Ammar Iskandar..."

Dan wajah comel anak-anak sahabatnya itu ditatap lagi buat sekian kalinya sebelum jemarinya mahu menutup aplikasi yang memaparkan kebahagiaan keluarga Carl Duke Adam.

"Wawa akan bahagia. Percayalah... Dia akan jaga Wawa sebaik mungkin." Kata-kata Akasyah 13 tahun lalu itu bagaikan berngiang-ngiang di telinga.

Dia berpaling menatap wajah suaminya yang setia melayari hidup bersama sejak pertengahan cuti musim panas 2007. Dan suaminya itu sempat mencuri pandangan pada skrin telefon bimbitnya itu, lalu riak air mukanya sedikit berubah.

Syah, bahagiakah Ammar dan Wawa sekarang... tanpa kehadiran cahaya mata?

(bersambung...)

#RADHA

Petikan #throwback di atas daripada versi asal online e-novel Relevankah Aku di Hatimu? yang ditulis pada 20 Ogos 2004.


[#throwback9] Gelap

Karya Pendek

Gelap
Oleh Rnysa

#throwback9
#Happy12thAnniversary #KadukxSyah

Hari ini genap sebulan aku menjadi suami kepada kekasih hatiku. Kadang-kadang rasa lucu juga memikirkan jodohku berakhir dengan teman sekolahku itu. Nurul Akasyah... dalam ramai gadis yang kutemui, rupanya dia sahaja yang berbekas di hati. Sedangkan memang tidak pernah terlintas pun semua ini akan terjadi. Jelaslah segala ketetapan hidup berada di tangan Tuhan Yang Maha Esa dan manusia hanya mampu merancang. Takdir menentukan kami akan melayar bahtera perkahwinan ini bersama-sama. Aku rela dengan ketentuan ini.

Walaupun suatu ketika dahulu aku hampir sahaja mahu bertunang dengan Nur Jannatul Adnain, namun begitu jodoh lain menjemput dia terlebih dahulu. Sedih memang sedih. Mujur waktu itu perasaan cinta sahaja ingin bertunas, kalau tidak mungkin sukar juga dengan menerima kehadiran cinta yang baru. Kemudian mama melobi adik kembar seiras kepada Nur Jannatul Adnain iaitu Nur Jannatul Ma'wa sebagai calon isteri solehah, tetapi aku pula yang menolak. Bukannya sebab dia tidak memenuhi kriteria pilihan hati, cuma waktu itu aku belum bersedia menerima dia dalam hidup aku. Terikat pada situasi yang menghendakkan aku menepikan soal hati dan perasaan.

Aku melirik pada Akasyah yang sedang menguap untuk kali ke berapa. Matanya makin mengecil dari semasa ke semasa. Sambil mencuci pinggan, sempat dia menyanyi kecil. Tidak pasti lagu apa. Yang kulihat dari tadi mulutnya itu asyik berkumat-kamit. Berzikir agaknya, aku cuba fikir yang baik-baik tentang dia. Sejak menjadi suami kepada Nurul Akasyah, aku mempunyai satu hobi baru -  memerhatikan tingkah lakunya dari jauh. Dalam satu minit aku boleh lihat seribu satu jenis mimik muka dari dia. Memang mencuit hati.

"Pergilah naik tidur. Nampak mengantuk sangat tu." Kataku sambil menutup perlahan peti sejuk dua pintu warna biru tua yang mengisi ruang dapur rumah kami ini. Menyimpan baki lauk makan malam sebentar tadi.

"Sungguh?" Soalnya seperti teragak-agak dengan cadanganku.

Mana pernah dia tidur dahulu tanpa aku. Segala perkara di dalam rumah ini kami akan lakukan bersama-sama. Dan biasanya aku akan bacakan kisah sirah ringkas kepadanya sebelum tidur. Akasyah suka benar mendengarnya. Malam ini terpaksa diberi pengecualian. Aku mengangguk, memberi izin. Kasihan pula melihat dia yang sudah tidak bermaya. Nampaknya aku akan keseorangan malam ini.

"Ada kerja perlu beres malam ni?"

Dia menggeleng lalu mengambil tempat di sisiku.

"Aduh... dah lembik sangat ni." Usikku apabila dia melentokkan kepalanya ke bahuku. Jarang dia mahu bermanja denganku selagi tidak dipinta. "Ini mesti nak suruh dukung sampai atas katil..."

Belum sempat aku menghabiskan kata-kata, sepantas kilat dia menjauhkan dirinya daripada aku dengan wajah tersipu-sipu malunya itu. Aku pura-pura mendekatinya dan beraksi seperti mahu mencempungnya. Cepat-cepat Akasyah berlari ke arah lain. Syah, Syah... sampai sekarang masih mahu malu-malu. Macamlah aku ini orang lain sahaja.

"Tak apalah. Larat lagi jalan sendiri. Oyasumi..." Katanya lalu mengucup kedua-dua belah pipiku. Tiba-tiba sahaja dia jadi segar-bugar dan kuat. Walhal tadi sudah lemah satu macam. Dia berlari-lari anak menuju tangga untuk ke kamar utama di tingkat atas.  Sempat dia menoleh lalu berkata...

"Kaduk, nanti..."

"Kaduk??" Aku menjegilkan mata sebesar-besarnya.

"Oppss!!" Dia terus menekup mulut.

"Adam sayang... i mean... sayang... darling," Ucapnya dalam kekalutan. Mungkin bersalah kerana selalu sangat terbabas memanggil aku dengan nama "Kaduk" ataupun "Adam", walaupun sudah berkali-kali diingatkan.

Susah agaknya dia nak biasakan diri. Habis semuanya terkeluar. Aku sudah mahu ketawa. Pura-pura berwajah serius.

"Nanti tolong gerakkan bangun tahajud macam biasa."

Aku diam, tidak membalas.

"Jangan lupa ya, sayang." Katanya lagi dengan menekankan perkataan sayang. Cuba menutup kesalahannya tadi.

"Pernahkah sayang lupa selama ni?" Soal aku lembut. "Lagipun dah tak perlu missed call dan bagi mesej macam dulu lagi. Kalau goncang tak bangun-bangun, boleh jirus dengan air aja kan." Kataku lagi sambil mengenyitkan mata.

Dia ketawa. Aku suka lihat wajahnya dalam keadaan gembira begitu. Matanya bersinar-sinar seperti disimbah cahaya. Tanpa membalas kata-kataku, dia meminta diri ke tingkat atas. Aku tersenyum sendiri memikirkan isteriku yang malu-malu kucing itu. Syah, Syah... sampai bila agaknya mahu main lari-lari dengan aku. Baru hendak tunjukkan sedikit rasa kasih sayang, dia pula tak mahu dan segan bukan main.

Ah! Sunyi betul, getus hati kecilku.

Sejak bertukar status ini, aku pantang sahaja keseorangan. Mulalah kesunyian mencengkam diri. Kalau diikutkan hati, mahu sahaja berkepit dengan Akasyah dua puluh empat jam. Lagak seperti pasangan baru mengenal cinta. Ya lah, kami bercinta selepas berkahwin. Semasa bertunang dahulu pun, kami sama-sama telah berjanji untuk menjaga batas pergaulan. Aku sendiri berusaha sedaya upaya menahan diri daripada ditarik-tarik supaya mendekati gadis pujaan hatiku itu. Kadangkala rasa bersalah juga memikirkan tindakan aku menjauhkan diri daripadanya dahulu.

Aku beralih ke ruang rehat. Televisyen dipasang. Aku melabuhkan punggung di atas sofa warna hijau serai. Aku baru sahaja hendak mengajaknya dia temankan aku menonton televisyen bersama-sama. Melihat perkembangan yang berlaku di dalam dan luar negeri. Alih-alih dia mahu beradu pula. Tak apalah. Dia kan penat mahu berehat. Aku memerhatikan langkah longlai Akasyah memanjat tangga ke kamar utama di tingkat atas, tidak sampai hati pula mahu menahannya.

Lagi-lagi berita tentang penindasan umat Islam dipaparkan. Aku jadi hiba. Islam yang bermula dari keadaan asing dan kembali menjadi terasing. Benarlah seperti yang diriwayatkan dalam satu hadis.

Dari Tsauban r.a, katanya Rasulullah saw pernah bersabda: "Hampir tiba satu masa di mana bangsa-bangsa dan seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang mengerumuni hidangan." Lalu sahabat bertanya, "Apakah ketika itu bilangan kami kecil, ya Rasulullah?" Jawab Rasullah saw, "Tidak. Bahkan ketika itu bilangan kamu ramai namun cuma umpama buih-buih di lautan. Allah swt akan mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu dan Allah swt akan mencampakkan penyakit wahn ke dalam hati-hati kamu." Lalu sahabat bertanya, "Apakah penyakit wahn itu wahai Rasulullah." Kata Rasulullah saw, "Iaitu cintakan dunia dan takut mati."

Ya Allah... memang benar musuh-musuh Islam telah dicabut darinya rasa hormat pada pengikut Muhammad saw ini. Saudara seagama kami diperlakukan seperti binatang. Dibunuh sesuka hati. Segala tragedi yang menimpa sekarang mungkin atas sebab kita sendiri sudah terpesong jauh dari pegangan Islam. Islam hanya tinggal nama. Ya Allah, mungkinkah Kau sedang menghancurkan mereka yang tidak cinta padaMu?

Sepertimana yang terlaku pada kaum-kaum yang terdahulu, Allah menghapuskan kaum yang engkar pada muka bumi ini seperti dalam firmannya: "Wahai orang-orang beriman, sesiapa di antara kamu yang berpaling dari agamanya, maka kelak Allah mendatangkan suatu kaum yang Allah mencintai mereka dan mereka mencintai Allah, yang bersikap lemah lembut terhadap orang yang mukmin, yang bersikap keras terhadap orang-orang kafir, mereka berjuang pada jalan Allah, dan mereka tidak takut kepada celaan orang-orang yang mencela, yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah diberikanNya kepada sesiapa sahaja yang dikehendakiNya dan Allah Maha Luas pemberianNya lagi Maha Mengetahui." (al-Maidah:54)

Nauzubillah... moga-moga aku dan kaum keluargaku dijauhkan dari fitnah akhir zaman ini dan termasuk dalam golongan mereka yang berpegang teguh pada Deen-Mu. Amin ya rabb.

Warta berita tiga puluh minit berakhir sudah. Aku mematikan siarannya. Tiada apa lagi yang ingin ditonton. Lagipun terlalu banyak hiburan yang dipaparkan sehinggakan aku naik risau mengenangkan nasib anak-anak aku nanti. Dalam ledakan hiburan tanpa sempadan ini, suatu cabaran besar bagi ibu bapa mahu mendidik anak-anak supaya menjadi soleh dan solehah. Dugaan dan godaan dari luar terlalu kuat.

Aku membelai ubun-ubun isteriku yang sedang nyenyak tidur. Penat sangat agaknya. Aku memerhatikan nafasnya yang teratur. Susah juga rupanya kalau berkahwin dengan kawan baik kita sendiri. Kadangkala aku terpaksa menyuruh Syah bermanja-manja dengan diriku. Dia tu, malunya bukan main. Tetapi kesalahan tidak patut disandarkan pada dia semata-mata kerana aku juga memainkan peranan besar dalam mengusik setiap kali dia cuba memanjakan dirinya padaku.

Mataku tidak lepas memerhatikan wajahnya yang kelihatan comel seperti seorang bayi. Dia tersenyum tiba-tiba. Mimpikan aku agaknya.

Aku menarik nafas panjang. Akasyah, tak sampai satu jam aku sudah rindukan dia. Cepatlah hari siang. Abang rindukan gelak tawamu, sayang.

(bersambung...)

#RADHA

Petikan #throwback di atas daripada versi asal online e-novel Relevankah Aku di Hatimu 2 yang ditulis pada 27 November 2004

Lagu tema untuk semua entry #throwback #Happy12thAnniversary #KadukxSyah:
https://youtu.be/yomFDefkxE0


[#throwback8] Gelap

Karya Pendek

Gelap
Oleh Rnysa

#throwback8
#Happy12thAnniversary #KadukxSyah

"Hai, sejak berkawan dengan orang dari Jepun ni, anak papa dah pandai termenung." Serentak dengan kata-kata itu bahu aku ditepuk perlahan. Aku tersentak. Segera menoleh dan mendapati papaku, Carl Duke Akbar sedang merenung wajahku.

"Eh, papa." Aku tersenyum malu. "Mana ada Adam termenung. Kan Adam tengah membaca ni." Kataku sambil menunjukkan majalah Kosmik di tangan sebagai bukti. Abang Haris yang bawakan untuk aku tadi. Seronok betul aku bila dia menyerah sedozen majalah pelbagai genre. Apa lagi yang boleh lakukan dengan keadaan begini selain dari membaca.

"Yalah tu. Mata saja membaca tapi fikiran kamu ke lain. Terbang sampai mana tadi? Jepun?" Usik papa bertubi-tubi.

Wajahku terasa hangat. Kalau grandma mengusik aku dengan 'orang dari Jepun', aku boleh terima. Dia memang pakar cinta di rumah kami ini. Sehinggakan habis kesemua anak buahku diberi kursus cintanya itu. Malam ini, tiba-tiba papa pula mengusik secara terang-terangan begitu. Malulah aku. Terasa jantung berdegup lebih pantas daripada biasa.

"Dah berkali-kali papa ketuk pintu tadi. Tak perasan ya?" Aku menggeleng pantas. "Ingatkan apa sajalah anak teruna papa buat di dalam bilik ni sampai boleh tak dengar." Sambung papa lagi lalu mengambil tempat di sisi aku.

"Asyik sangat membaca." Leter papa lagi sambil tangannya sibuk membetulkan bantal tempat aku bersandar. "Atau... terlebih asyik memikirkan tuan punya poskad yang sampai dari Jepun tengahari tadi?"

Aku tidak berani memandang papa. Takut dia dapat mengesan andai riak wajahku ini berubah tiba-tiba. Jadi aku berlakon yang konon-kononnya aku tidak mendengar segala apa yang diperkatakannya itu. Memang betul aku terima poskad dari Akasyah hari ini dan ia bukanlah sesuatu perkara yang baru bagi diriku. Malah papa dan mama sudah maklum tentang itu. Semasa aku terlantar di hospital dahulu, Akasyah tidak pernah lupa mengutusinya. Mama yang serahkan poskad comel yang beralamatkan rumah kami itu. Sejak aku ke UK dahulu pun kami sudah saling berbalas poskad.

Berbalas poskad atau berbalas hati? Soal hatiku tiba-tiba. Poskad! Jawab hati aku yang satu lagi dengan penuh yakin. Hatiku itu yang lebih rasional. Aku tersenyum dalam hati. Ada pula hati yang rasional dan tidak rasional!

"Yang mana satu betul Adam?" Tanya papa sambil berdehem kuat. Mahu memancing perhatianku.

"Papa bergabung dengan grandma nak kenakan Adam ya?" Aku buat-buat marah.

Papa ketawa. "Nggak... Apapun jawab dulu soalan papa tadi." Balas papa dengan tawa bersisa. Masih mahu mengenakan aku.

Belum sempat aku membalas, tiba-tiba pintu bilikku dibuka dengan luas. Kelihatan anak Kak Ngah, Hadi dan Zaid terdiri tegak seperti tiang elektrik di situ. Seperti mahu menyanyikan lagu Negaraku saja.

"Uncle Adam." Jerit kembar seiras itu serentak. Lantas aku mendepangkan tangan dan mereka berdua meluru ke arahku. Kedua-duanya melompat naik ke atas katil bujangku. Kini tubuh kecil mereka aku sudah berada di dalam dakapanku.

"Kami dah nak balik." Kata Zaid sambil mendongak memandangku.

Aku mengangguk perlahan.

"Maaf ya. Malam ni uncle tak dapat layan Hadi dan Zaid macam selalu. Uncle tak berapa sihat." Jelasku pada mereka berdua dengan rasa bersalah.

Selepas Ammar pulang tadi, kak ngah sekeluarga pula datang. Waktu itu belakangku sudah naik sengal setelah hampir seharian duduk di atas kerusi roda. Jenuh juga aku menahan kesakitan hingga selesai makan malam. Aku tidak mahu terkurung di dalam bilik sedangkan ahli keluarga yang lain enak bersembang di bawah. Kalau mama tahu, pasti aku dimarahinya.

Kanak-kanak riang, si Hadi dan Zaid masih aktif dan mengacah aku untuk mengejar mereka. Tetapi apakan daya, tubuhku sudah mencapai tahap maksimum penggunaannya hari ini. Usai solat isya' berjemaah, aku ingin cepat-cepat berlabuh di atas tilam dan berehat sepuas-puasnya. Bagaikan nampak lambaian katilku dari jauh.

"Tak apa. Uncle kena rajin-rajinlah makan ubat. Biar cepat sembuh. Nanti bila uncle dah sihat, kita boleh main sama-sama." Ujar Hadi pula dengan petah sekali.

"Baiklah Doktor Hadi!" Kataku sambil memicit hidung anak buahku itu.

Hadi ketawa mengekek. Dia membalas pelukanku dengan lebih erat. Sayang sungguh dia pada aku. Aku tidak semena-mena jadi terharu.

"Dahlah tu, Hadi... Zaid. Uncle Adam nak rehat." Suara abang Haris muncul di antara kami.

Hadi dan Zaid bergilir-gilir bersalaman dengan aku. Sebagai balasannya, aku mencium kedua-dua belah pipi gebu anak buah itu dengan penuh rasa kasih sayang. Mereka pun mengulangi perbuatan yang sama padaku. Kemudian, abang Haris pula bersalaman dengan aku dan diikuti oleh kak ngah.

"Jaga diri baik-baik, Adam." Pesan kak ngah sebelum beredar.

Bilik bujangku kembali sunyi. Aku mengurut kaki kiriku yang masih lemah. Walaupun begitu, sudah ada peningkatan berbanding keadaan sebelumnya. Dalam sekelip mata Allah swt telah menarik nikmatNya dariku, nikmat kesihatan. Beringat lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Salah satu antaranya ialah sihat sebelum sakit. Walau segunung wang duit dihabiskan, namun dalam kes aku untuk pulih dalam masa yang singkat adalah mustahil.

Aku mengesot ke tepi katil lalu membuka laci almari rendah di situ. Menarik keluar foto waktu aku ditimpa kemalangan dahulu. Kebetulan ada antara teman di tempat kejadian yang merakamnya. Sebelum Ammar balik tadi diberikannya kepadaku. Aku beristighfar panjang. Tak sanggup rasanya menatap wajah sendiri dalam keadaan begitu.

Memang kecederaan aku amat serius waktu itu. Tulang tengkuk patah hingga terkeluar dari paksinya. Tulang belakang retak, manakala tulang rusuk pula patah. Memang tidak dapat bayangkan aku masih boleh hidup lagi selepas tragedi itu. Segala-galanya atas kuasa Tuhan. Subhanallah! Maha suci Allah!

Ammar akan pulang semula ke London awal pagi esok. Spring term akan bermula 4 Januari nanti. Kepulangan dia ke Malaysia cuti pendek sempena hari natal dan tahun baru kali ini pun kerana mahu menjenguk aku. Waktu aku baru pulang dari Jepun dahulu tidak sempat kami bertemu dia sudah kembali ke UK.

Entah mengapa secara tidak sengaja kemelut yang melanda hati ini aku luahkan pada Ammar. Malu sungguh tadi. Mana pernah aku membuka rahsia hatiku begitu. Seperti biasa, Ammar tidak menunjukkan sokongan tentang hal yang remeh-temeh semacam itu. Dia lebih suka mengajak aku berfikir tentang masalah umat Islam di luar sana. Jadi, untuk beberapa ketika aku berjaya melupakan Akasyahku yang manis. Namun begitu tidak bermakna aku menerima cadangan Ammar tadi bulat-bulat.

Buat sementara ini, aku telah membuat ketetapan, akan menyimpan sedikit ruang di hatiku untuk gadis itu. Kerana adalah mustahil untuk aku berpura-pura lupa segala-galanya tentang dia dalam sekelip mata. Lagipun, kami masih berkawan dan tidak wajar aku menjauhkannya secara tiba-tiba. Pasti dia akan terasa hati.

Sejujurnya, memang aku mengingati gadis itu sepanjang hari ini. Tembakan papa tadi benar-benar menepati sasarannya. Sejak keluar dari hospital seminggu yang lalu, aku masih tidak menghubungi dan memberitahu dia keadaan terkini diriku. Pasti dia risau. Aku jadi lupa yang aku seharusnya menjarakkan hatiku darinya. Kehadiran poskad dari bumi samurai telah menggamit rasa rindu aku pada pengirimnya. Aku saja yang malu-malu mahu mengaku di hadapan papa. Ketara sangatkah wajah aku hari ini? Apakah ada tertulis di dahiku "Sila ambil perhatian. Orang ini sedang kerinduan." sehingga ramai pula yang bertanya.

Pantas aku menggosok dahiku yang luas itu sungguh-sungguh. Mana tahu kerutan di dahi aku telah membentuk sebarang tanda yang bukan-bukan tanpa aku menyedarinya. Haru! Mungkin juga pada mata aku ada imbasan wajah Akasyah. Lagi haru! Aku kerdipkan mata berkali-kali.

"Adam."

Jantungku berhenti berdegup tika itu. Sorotan mataku terhenti pada papaku yang tinggi lampai itu.

"Takkan sambung berangan lagi?" Soal papa sambil tersenyum nakal.

Aku menelan air liur. "Tak adalah," balasku perlahan.

Papa tidak jadi duduk selepas mendengar jeritan dari telefon bimbit di atas meja tulisku. Segera dicapainya. Aku hanya memerhati dari jauh. Siapalah yang menelefon aku malam-malam begini. *Kadangkala teknologi boleh buat manusia hilang privacy, bisik hati kecilku.

"Waalaikumussalam warahmatullah... nak bercakap dengan siapa... ini bukan Carl Duke Adam... tapi Carl Duke Akbar..." Aku menjeling ke arah papa yang sedang tersenyum-senyum.

"Ya... uncle Akbar ni. Nurul sihat? Keluarga macam mana?"

Siapa pula Nurul yang rancak bersembang dengan papa ni? Dia kenalan aku? Langsung aku jadi hairan tiba-tiba.

Setelah puas bersoal jawab, papa menyerahkan telefon jenama samsung itu. "Orang dari Jepun... Ramah betul bakal menantu papa ni," bisiknya perlahan sambil tersenyum penuh makna.

"Kami tak ada apa-apalah, papa." Nafiku.

"Goedenacht zoon (good night son)," ucap papa lalu mengucup ubun-ubunku.

"Nacht..."

Aku lihat bibir papa mengukir senyuman manis sebelum lelaki itu melangkah keluar dari bilik. Hati jadi tidak keruan. Perhatianku beralih pada pemanggil yang bernama Nurul ini. Nurul Akasyah!

"Kaduk..."

Kenapa perlu ada rasa rindu yang menjalar bila mendengar suaranya memanggil namaku begitu. Apa yang tidak kena dengan diri aku? Perasaan aku jadi tidak tentu arah.

Kata grandma, **kemesraan itu boleh mewujudkan perasaan rindu yang mendalam. Mungkinkah itu yang terjadi pada diriku?

(bersambung...)

#RADHA

kredit:
*nur singka (Al-Fatihah)
**kak alzun

Petikan #throwback di atas daripada versi asal online e-novel Relevankah Aku di Hatimu 2 yang ditulis pada 20 Disember 2004