Tuesday, April 20, 2021

[Special Entry 2] Gelap #Bday2

Karya Pendek

Gelap
Oleh Rnysa

Special Entry 2
Edisi Istimewa #Bornday
Bahagian Dua

8 April 2021
#MCODay372 #born8April2020
#stayathome #staysafe #staywithyourloveone

#1stAnniversary #365hariberGelap
#takdiryangtertulis #qadaqadar

Di luar masih gelap.
Dengan hujan lebat mencurah, membawa rahmat-Nya dalam kadar yang telah tetap.


Apabila nampak kelibat Kaduk, baru Syah boleh tarik nafas lega. Rasa nak sambung menangis balik pun ada juga. Tiba-tiba rasa hati fragile balik macam agar-agar.

"Abang..."
"Sayang okey tak?"

Mestilah tak okey, Syah hanya jawab dalam hati. Terus Syah dakap suaminya tanpa peduli orang sekeliling. Nak tuduh PDA (Public Displays of Affection) pun suka hatilah.

"Syah, okey tak?" Ulang Kaduk sekali lagi sambil gosok-gosok bahu Syah. Dia sedikit terkejut juga dengan tindakan spontan isterinya itu tadi. Selalunya Syah segan nak buat begitu sahaja di hadapan semua. Isterinya sangat menjaga perlakuan.

"Ya Allah..." Kaduk boleh rasa badan Syah menggeletar sedikit. Dia boleh nampak mata Syah yang sembab macam kesan baru lepas menangis. 

"Abang dah ada dekat sini. Abang dah ada dekat dengan Syah." Pujuknya kemudian dengan suara perlahan, diulangnya berkali-kali.

Lama-kelamaan Syah rasa tenang sedikit. Alhamdulillah, sudah tak rasa panik dan cemas macam masa mula-mula kejadian. Yalah, ditambah dengan duduk menunggu dalam balai polis sebegini. Bermacam-macam aduan masalah rakyat atau orang awam yang sempat dia lihat dan dengar sendiri.

Yang datang sebab kes-kes seperti:
- Buat laporan polis tentang buli jalan raya
- Buat laporan polis tentang majikan yang tidak membayar gaji lebih daripada 3 bulan
- Mohon pembetulan tarikh laporan polis sebab mahu membawanya ke mahkamah esok untuk urusan hak tuntutan penjagaan anak (kes cerai)
- Mohon nasihat polis untuk kes kecederaan (tak dapat dengar sangat apa masalah adik yang kaki berbalut tadi)
- Mohon surat kebenaran merentas negeri
- Dan banyak lagi....

Apabila mendengar 1001 masalah orang lain sebegitu telah membuat Syah terasa yang selama ini dia duduk dalam 'sangkar emas' yang dijaga rapi oleh suaminya. Terasa apalah sangat masalah dia selama ini. Ramai lagi orang yang sedang dalam kesusahan dan kesempitan di luar sana.

Tak lama lagi minggu depan sudah nak masuk bulan Ramadhan balik. Sekejap sahaja setahun masa berlalu. Tahun lepas berpuasa waktu seluruh negara diletakkan di bawah PKP. Tahun ini pula keadaan sedikit berubah, namun kehidupan kebanyakan rakyat sangat terkesan dan terjejas ekoran pelaksanaan perintah kawalan yang lalu dan berlarutan sehingga saat ini.

Yang susah semakin susah.
Yang sederhana juga tidak kurang semakin tersepit.
Yang senang pula masih ada cuba mengambil kesempatan atas kesusahan dan kesempitan orang lain.

"Ini power bank yang sayang minta tadi," kata Kaduk lalu hulur power bank untuk charge telefon bimbit Syah yang sudah kehabisan bateri. Dia dapat lihat tangan Syah sedikit menggeletar waktu hendak memasukkan kabel Type C pada port telefonnya.

"Terima kasih. Syukur tadi orang ramai banyak tolong. Ada yang tolong telefon bomba, ada yang tolong telefon syarikat insurans. Ada yang tolong padamkan api." Balas Syah perlahan sambil bersandar pada belakang kerusi. Penat emosi, penat badan.

"Sayang tak beritahu anak-anak apa jadi dekat Syah, kan? Baik tak perlu beritahu, nanti mereka risau." Sambil tenung hujan lebat, Syah bertanya. Sendiri tanya, sendiri juga beri pendapat.

"Maaf sebab rosakkan Bumblebee Rebel. Kereta sayang." Syah lempar pandang pada kereta suaminya yang ditarik di belakang tow truck.

Kaduk pandang mata Syah. Syah panggil dia dengan nama 'sayang' banyak kali. Sah isterinya itu tak okey seperti yang dijawabnya tadi. Faham sangat.

"Diri sayang lagi penting untuk abang. Kereta yang rosak boleh dibaiki. Mungkin wiring pun dah lama." Terus Kaduk genggam jari-jemari isterinya.

Secara spontan Syah letak sebelah lagi tapak tangan di atas kawasan bawah perutnya. Terasa ada denyutan di situ. Ya Allah, baru dia tersedar bahawa dia terlupa yang dirinya sedang mengandung sebenarnya. Rasa sebak mula menyelinap balik.

"Kenapa sayang? Syah?" Kaduk yang perasan perubahan pada wajah isterinya itu cepat-cepat menyoal.

"Anak..." Dia pandang mata Kaduk dalam-dalam.

Kaduk pun letak tangannya di atas tangan Syah lalu digenggam erat. "Insya-Allah, anak kita okey." Balasnya lembut.

"Ya Allah..." Ucap Syah berkali-kali.

Kenapalah tadi dia langsung terlupa tentang anak mereka yang berada di dalam rahim kandungannya? Waktu ada kebakaran kecil pun dia masih berada dalam kereta, tanpa sedar tentang keselamatan diri dan si kecil ini.

Sedih dan tangisan.
Hanya hujan air mata menemani sepi.

(Bersambung ke Bahagian Tiga...)

#RADHA

Special entry sempena sambut setahun Gelap. Terima kasih kepada semua yang sudi baca.

📷: Pinterest / Twitter

Thursday, April 08, 2021

[Special Entry 2] Gelap #Bday1

Karya Pendek

Gelap
Oleh Rnysa

Special Entry 2
Edisi Istimewa #Bornday
Bahagian Satu

8 April 2021
#MCODay372 #born8April2020
#stayathome #staysafe #staywithyourloveone

#1stAnniversary #365hariberGelap
#takdiryangtertulis #qadaqadar

Di luar sangat gelap.
Dengan awan mendung hitam berarak, membawa perkhabaran takdir yang telah tetap.


"Berasap? Terbakar? Ok tak ni, sayang?" Suara Kaduk sedikit cemas di hujung talian.

"Okey..." Tangan Syah masih menggeletar dan menggigil, namun cuba ditahan.

"Dekat mana ni?"

"Balai polis. Tadi ada trak bomba, bomba datang juga. Mungkin ada yang telefon 999." Syah gigit bibir. Matanya melilau pandang sekeliling. Nak Kaduk...

"Ya Allah, tunggu abang datang."
Syah, I'm coming

Tanpa berlengah lagi, Kaduk terus hantar emel cadang reschedule mesyuarat. Minta maaf kepada semua kerana terpaksa tukar tarikh dan masa perbincangan.

Hal keluarga itu prioritinya.
Syah, isterinya itu amanah dan hadiah daripada Allah.

Dia yang minta tolong Syah hantar kereta kesayangannya pergi regular service. Yang Syah panggil 'Bumblebee Rebel' sebab warnanya hitam pekat.

***

"Bumblebee... rebel?" Kaduk sengih. "Hitam itu klasik dan menawan, sayang. Adakah patut beri nama watak dari Transformer? Yang geng baik pula? Ish, ish..." Dia geleng kepala.

Syah kunyah kacang sambil khusyuk tengok Kaduk cuci dan mandikan keretanya. 

"Tak boleh nak relate. Bukan ke... abang suka warna putih, kan?" Nak panggil 'abang' pun nun sayup-sayup kedengaran sahaja. Segan pengantin baharu tak hilang lagi.

"Sebab warna ini yang nampak lawa." Kaduk ajuk cara cakap Syah yang suka tanya: Yang pakai lawa-lawa ni nak pergi Mid Valley? 

Pada Kaduk, dia pakai standard biasa sahaja tapi nampak lawa untuk mata Syah pula. Dan kebiasaannya Syah tukar baju lain sebab nak nampak elok dan sepadan dengan gaya dia. Padahal dia tak komen apa pun, faham sangat gaya Syah yang simple. Tak macam kakak-kakak dan adiknya yang ambil masa nak bersiap sebelum keluar rumah. Kalau dulu, lama nak setting rambut masing-masing apa semua lagi.

Kahwin dengan Syah, memang mudah hidup Kaduk. Kadangkala Syah yang tunggu dia bersiap, bukan sebaliknya. Dan Syah masuk tukar balik tapi masih kekal dengan kelajuan ala shinkansen juga.

"Dah siap. Jom..." 

Ternganga juga Kaduk dibuatnya. "Abang kahwin dengan supergirl ke ni? Lajunya bersiap..." Terus Kaduk capai kunci Bumblebee Rebel.

"Biasalah budak asrama. Nak kejar waktu tidur." Syah ketawa berderai.

Jujur sahaja mengaku yang dia jenis kaki tidur dekat Seratas dulu. Pantang cikgu masuk lambat, terus curi masa nak tidur. Sampai pernah Kaduk ketuk meja dia sebab terlena, tersembam muka di atas meja.

"Hello cik kak, kata tadi nak suruh ajar Fizik ke apa bendanya. Tertidur pula dia waktu prep. Bangun, bangun..."

Jadi, Syah memang tak boleh nak cover ayu depan Kaduk yang sudah khatam segala perangai dia.

***

Syah pandang langit yang kian gelap. Masa kejadian tadi punyalah terik dan panas. Kini matahari sudah ditutup dan berselindung di sebalik awan. Rintik-rintik hujan mulai turun dan kian lebat. Guruh pun berdentum kuat di sana sini.

Si Bumblebee Rebel yang kena tarik dengan tow truck ditatapnya lagi. Abang towing tengah tunggu dalam trak, sementara mahu menanti kata putus pegawai polis yang bertugas. 

Rasa ngeri fikir balik yang dia berada dalam Bumblebee Rebel waktu bahagian dalam depan kereta itu sudah ada api. Entah apa yang terbakar. Benda nak terjadi, begitulah. Syah hilang kata-kata, nyaris nak hilang nyawa. Rasa terkejut masih bersisa.

Berasap dan terbakar.
Hanya air hujan memadam api.

(Bersambung ke Bahagian Dua...)

#RADHA

Special entry sempena sambut setahun Gelap. Terima kasih kepada semua yang sudi baca.

📷: Pinterest / Twitter

Thursday, April 01, 2021

[5] Cinta Sofea

Karya Pendek 

Cinta Sofea
Oleh Rnysa

5


Asam di darat ikan di laut
Bertemu dalam belanga juga

Musim sejuk, 2004


"Hai, apa fasal masak sambil tersenyum-senyum tu? Ingatkan siapa?" Sapaan seseorang menyedarkan Adi.

Adi sambung senyum simpulnya sambil pandang tuan empunya suara.

Untuk perhimpunan sejuk kali ini, Adi telah dilantik sebagai penolong ketua Unit Santapan dan Persegaran (USP). Tugasnya adalah untuk membantu ketua dalam menentukan menu berdasarkan budget yang diberi dan melantik chef tukang masak setiap kali waktu makan.

"Mesti ingatkan cik abang ni. Jaja tengok Kak Adi makin berseri-seri sekarang. Macam orang nak jadi pengantin baharu. Agaknya balik cuti haru nanti ada yang nak datang meminang." Sambung Jaja lagi, yang turut sama menjadi chef yang memasak untuk makan tengah hari itu.

Terus Adi terbatuk-batuk tanpa sebab. Rasa nak tersedak jugalah apabila Jaja sebut fasal kahwin secara tiba-tiba begitu. Mujur hanya mereka berdua sahaja di situ, tak ada orang lain yang mendengarnya.

"Jangan nak merepeklah. Buat kerja senyap-senyap, Jaja. Orang potong sayur guna tangan, bukannya mulut." Tegur Adi, pura-pura marah.

"Apa pula guna tangan? Orang guna pisaulah. Itulah, ingatkan Abang Haiqal sampai tersasul-sasul. Abang Haiqal ada tanya, Kak Adi datang Oita ke tak? Lepas tu dia tanya lagi..." Giat Jaja sambil ketawa berderai.

"Siti Hajar... " Adi mencerlangkan mata besar-besar dengan harapan pelajar tahun satu Universiti Oita yang juga letaknya dalam pulau yang sama dengan Haiqal itu akan berhenti berkicau. Aduh, rasa nak dicubit-cubit mulut Siti Hajar @ Jaja yang nakal.

"Amboi, seronoknya bersembang! Lauk-lauk dah siap ke belum? Dah nak dekat pukul 12 ni. Orang dah nak makan tapi makanannya tak siap lagi." Ryn yang baru keluar dari bilik air bersuara. Pelajar Universiti Osaka yang berasal dari Brunei itu turut sama menjadi chef tukang masak seperti Jaja dan Adi juga.

"Macam manalah nak siap. Ada orang itu tengah berangan-angan sambil memasak, Kak Ryn." Jaja menjeling pada Adi.

"Ewah, sedapnya mulut mengata kita. Dia yang potong sayur tak habis-habis dari tadi." Balas Adi.

"Astaghfirullah, masing-masing main tuding-tuding jari pula. Dua-dua tak nak mengalah. Macam budak-budak." Ryn sudah geleng kepala, walaupun dia tahu Jaja dan Adi sekadar bergurau sahaja.

Jaja menjuihkan bibirkan kepada Adi. Adi yang sengaja tunjuk semangat pantang menyerah kalah segera membalas perkara yang sama. Ryn hanya mampu bercekak pinggang.

"Sementara nak tunggu sayur kubis Cik Jaja kita ni, baik kau pergi bubuh nasi dengan lauk ayam masak merah dalam talam dulu. Dah tak banyak masa ni." Adi melontarkan cadangan dan Ryn menurut cadangan tanpa banyak soal. Mereka bertiga meneruskan tugas masing-masing tanpa bersuara lagi.

Tidak lama kemudian, mereka dikejutkan dengan bunyi deringan telefon yang kuat.

"Kak Adi, ada orang tanya bila boleh ambil makanan?" Soal Jaja yang mengangkat telefon di dalam rumah sewa setingkat, yang menjadi tempat urusetia dan dapur utama tempat mereka memasak.

"Tinggal nak goreng sayur saja. Lagi 10 minit lagi boleh datang." Sepantas kilat Adi sambung kerja memotong sayur. "Jaja, tolong Kak Ryn siapkan hidangkan." Katanya kemudian.

Setiap giliran memasak, pasti ada sahaja cabarannya. Namun, Adi patut bersyukur dan berterima kasih ada yang sudi menawarkan diri secara sukarela menjadi tukang masak sewaktu program berlangsung. Yang masak pun di kalangan urusetia juga secara bergilir-gilir. Seperti selalu Adi akan turun padang, menolong apa yang patut. Tanpa banyak berbicara lagi, Adi mengacau kuali yang berisi sayur campur. Api dapur dikuatkan supaya sayur cepat layu. Mangkuk besar yang berisi sayur diserahkan pada Jaja. 

"Wah, cepatnya Kak Adi masak. Dah boleh kahwin dah ni." Jaja tak puas mengusik lagi. Suka tengok muka Kak Adi yang manis tunduk tersipu-sipu malu dek kena sakat. Patutlah Abang Haiqal suka Kak Adi dan tak pandang adik junior macam Jaja. Eh?

"Macam-macamlah Jaja ni." Adi sudah tak tahu nak balas dan fikir apa lagi. Yang pasti, sekejap lagi pelajar lelaki dah nak datang ambil dulang makanan.

Lalu Adi meneruskan pula tugas membasuh perkakas yang digunakan dan mengelap dapur yang berminyak. Ryn dan Jaja hampir selesai menyenduk nasi dan lauk-pauk ke dalam dulang talam.

"Mereka dah sampai." Kata Ryn sebaik sahaja mendengar loceng rumah berbunyi.

Jaja bingkas mendapatkan pintu. Adi pula mengira jumlah dulang - empat belas kesemuanya. Tapi, ada yang masih yang lagi kosong tidak berisi. Ya Allah, memang kelam-kabut jadinya. Beginilah tekanan yang dialami oleh chef yang bertugas setiap kali program.

"Kak Adi pergilah hantar talam yang dah siap ni." Laju Jaja mengambil senduk daripada tangan Adi.

Adi yang tidak mengesyaki apa-apa tidak membantah. Namun sebaik sahaja sampai di muka pintu, Adi mendapati Haiqal sedang menanti di luar sambil bergurau senda dengan Mukhriz.

Ya Tuhan, kenapa kedua-duanya mesti muncul serentak sekali lagi? Aduh, boleh dapat sakit jantung begini. Jaja memang sengaja nak kenakan Adi. Tiba-tiba kedengaran gelak tawa halus dari dalam rumah. Oh, si Jaja memang mencari nahas!

Kebetulan Haiqal yang paling dekat, jadi dia yang datang merapati pintu. Talam pun bertukar tangan. Dia cepat-cepat berlalu tanpa berkata apa-apa. Senyum pun tidak, apa pun tidak. Adi sedikit hairan dan terkedu Sebelum ini Haiqal tidak pernah begitu. Adi hanya mampu memerhati langkah Haiqal yang dahulu pernah mahu menawan hati Adi. Hati seorang perempuan yang belum Adi serahkan kepada sesiapa pun.

Kini?

Adi menarik nafas dalam-dalam. Cuba cekalkan hati supaya tidak yang diburu perasaan yang bukan-bukan.

Salahkah Adi mahu jadi seperti Saidatina Khadijah?

Saat ramai pemuka Quraisy yang ingin menikahinya dan sanggup membayar mas kahwin berapa pun yang dikehendakinya, namun selalu ditolaknya dengan halus kerana tidak ada yang berkenan di hatinya. Sehingga pada suatu malam dia bermimpi melihat matahari turun dari langit, masuk ke dalam rumahnya serta memancarkan sinarnya ke merata tempat sehingga tiada sebuah rumah di kota Mekah yang luput dari sinarnya.

Lalu mimpi itu diceritakan kepada anak bapa saudaranya yang bernama Waraqah bin Naufal. Dia seorang lelaki yang berumur lanjut, ahli dalam mentakbirkan mimpi dan ahli tentang sejarah bangsa-bangsa purba. Waraqah juga mempunyai pengetahuan luas dalam agama yang dibawa oleh Nabi-Nabi terdahulu.

Waraqah berkata, "Takwil dari mimpimu itu ialah bahawa engkau akan menikah kelak dengan seorang Nabi akhir zaman." Maka sejak itulah Khadijah sentiasa menunggu munculnya pembawa sinar cahaya itu.

Akhirnya muncul jua insan agung dinanti. Muhammad bin Abdullah. Sama seperti takbir mimpi yang diramalkan oleh Waraqah bin Naufal, bahawa dia dari suku Quraisy dan dari keluarga Bani Hasyim, dan namanya Muhammad, orang terpuji, berbudi pekerti tinggi dan nabi akhir zaman. Ketika itu juga timbullah hasrat di dalam hati Khadijah untuk bersuamikan Muhammad.

Kisah pernikahan Rasulullah dan Khadijah memang jadi kegemaran Adi sejak kecil lagi. Kebetulan Adi juga dikurniakan nama yang sama dengan wanita agung itu oleh arwah tok - Nur Khadijah binti Khuwailid. Arwah tok mahu cucunya mengikut jejak Ummul Mukminin itu. 

"Assalamualaikum." Lembut Mukhriz bersuara, diirangi senyuman semanis gula. Wajahnya tampak ceria berbunga-bunga.

Adi terkumat-kamit menjawab salam. Dulang seterusnya diserahkan kepada Mukhriz yang setia menanti.

Akhir sekali wakil rumah peserta perempuan pula datang mengambil makanan sebelum mereka bertiga kembali ke rumah tumpangan dua tingkat untuk menyertai mereka yang lain. Langkah dipercepatkan. Tidak tegar dengan kedinginan angin pantai yang membelai pipi.

"Diumumkan ketibaan chef-chef kehormat. Kami semua dah lapar ni. Cepatlah sikit!" Suara nyaring Kak Ratu menyambut ketibaan mereka.

Lantas mereka bertiga segera menyertai Kak Ratu yang masih kekurangan ahli. Dengan lafaz bismillah, mereka mengadap makanan dengan penuh berselera. Sambil itu, mulut Kak Ratu yang becok tidak henti-henti berkicau. Ada saja ceritanya. Bergabung pula dengan si Jaja. Memang sesuai sangat. Meriah geng talam mereka dengan gelak tawa.

Seperti biasa Adi lebih suka mendengar. Dan cuba menyampuk juga sekali-sekala. Wajah setiap teman ditatap satu persatu. Merakam kemanisan ukhuwwah yang terjalin. Alangkah indahnya saat dan tika ini. Mana bisa dibeli dengan wang ringgit. Adi jadi teringat perbualan dengan Kak Ratu sebelum mereka tidur malam tadi.

"Kenapa selama ni kau tak pernah ajak aku, Adi? Kenapa kau tak pernah beritahu aku wujudnya program macam ni?" Soal rakan Adi yang digelar Kak Ratu atau nama sebenarnya Syarifah Tuheena binti Syed Taufeeq itu baru pertama kali mengikuti program seperti ini.

Adi hanya diam dan tekun mendengar, tidak segera membalas pertanyaan pelajar doktor pergigian dari Kyusyu Dental University itu.

"Walaupun baru sehari tapi aku dah rasa seronok. Cukup seronok. Bila tengok kemesraan kau dan yang lain-lain, hati aku jadi tertarik. Entahlah, tak tahu kenapa aku rasa macam tu sekali." Katanya dengan nada sayu.

Keadaan hening seketika.

"Ukhuwwah atau persaudaraan. Roh ukhuwwah yang menggetarkan hati dan perasaan. Itu sebenarnya yang kau rasakan. Hati-hati kita telah bersatu atas dasar itu." Tutur Adi dalam kegelapan malam.

"Hati-hati dan ruh terikat dengan ikatan akidah, ikatan yang paling kukuh dan mahal. Bila hati dah terpaut dan jiwa dah terpadu, barulah persaudaraan seseorang dengan yang lainnya boleh berjalan, bersih dan penuh rasa kasih. Hati manusia hanya boleh disatukan secara murni dan bersih bila bermuara pada satu simpul ikatan yang fitrah. Simpul tali itu adalah aqidah. Satu-satunya dasar berpijak, bertemu dan pengikat yang utuh dan abadi."

"Kau dah jauh berubah, Adi. Aku kagum."

"Tak adalah. Aku masih Adi yang kau kenali dulu."

"Memang betul. Pada zahirnya memang begitu..."

Berubahkah aku? Entahlah. Fikir Adi sebelum meneruskan suapan.

Ta'liful Qulb. Perpaduan Hati.

Kalimat itu tiba-tiba menerjah fikiran.

Ya, penyatuan hati merupakan asas awal yg mesti ada dalam proses pembentukan ukhuwwah, sebab hati merupakan sumber gerak dan sikap seseorang dalam menilai, memilih, mencinta dan membenci orang lain.

Misalnya, dalam soal hati, mungkin kerana Adi masih belum mengenali Haiqal dan Mukhriz, jadi hati Adi belum berpadu dengan hati salah seorang daripada mereka. Maka, rasa kecintaan itu juga tidak lahir. Teori yang menarik!

Adi memerhati wajah Kak Ratu yang bersinar-sinar bagai disimbah cahaya bulan penuh. Adi dapat rasakan sesuatu telah menembus masuk ke dalam hatinya. Alhamdulillah, Adi berharap moga-moga kehadiran dia tidak sia-sia. Moga Allah tidak memalingkan hatinya setelah diberi hidayah. Moga Allah menghapuskan hijab di kalbu.

Benarlah seperti kata ustaz dalam kuliah maghrib semalam:

"Perkataan para pendakwah merupakan alat penghubung antaranya dengan orang ramai, ia juga merupakan alat untuk menyampaikan sesuatu maksud dan fikrah. Oleh itu kiranya para pendakwah dapat memelihara lidahnya, menguasai percakapannya, berupaya untuk memilih perkataan-perkataan yang baik-baik dan susunan kata yang indah, bererti dia telah mampu menarik hati orang ramai dan sekaligus beliau berjaya menyelam masuk ke dalam hati dan diri mereka.

Tetapi sebaliknya jika dia tidak mampu berbuat demikian, malah tidak mengambil endah terhadap apa yang keluar dari celah kedua bibirnya, bererti dia telah membina sendiri benteng yang memisahkannya dengan orang ramai, benteng yang tidak mudah untuk ditembusi, malah dengan itu menjadikannya dicela, dibenci, dijauhi dan tidak dimesrai oleh orang ramai."

Sambung Ustaz Anuar lagi:

"Kejayaan seorang pendakwah tersembunyi pada kemampuannya menyesuaikan diri dan menguasainya, bukan sebaliknya. Dia juga mestilah mampu mengawal dirinya pada semua keadaan yang dilaluinya. Dia mestilah bijak memilih perkataan supaya sesuai dengan tempatnya.

Para pendakwah perlu keluar menghadapi orang ramai dengan senyum yang melimpah di muka mereka. Meskipun di dalam hati mereka merendam dukacita dan permasalahan yang Allah sahajalah yang mengetahuinya.
    
Para duat yang tidak mampu menguasai diri mereka berdepan dengan masalah yang kecil, dapat dilihat kesannya dengan jelas pada wajah mereka juga melalui tindak-tanduk mereka. Pada waktu itu orang lain merasakan seolah-olah merekalah yang telah melakukan kesalahan."

Ternyata perjalanan dakwah Adi masih jauh lagi.

(bersambung...)

#CintaSofea

📷: Pinterest