Friday, December 24, 2021

[Special Entry 12] Gelap

Karya pendek

Gelap
Oleh Rnysa

Special Entry 12
Edisi Yang Berkhidmat

Penghujung Disember 2021
#MCODayX #DaruratBanjir
#stayathome #staysafe

Syah teragak-agak nak mengangkat telefon. Nombor tersebut sudah lama tidak muncul. Lama dia termenung di hadapan jendela kamar utama. Nak angkat atau tidak. Namun, akhirnya dia mengalah jua.

"Doktor Akasyah?"
"Ya, saya?"

"Maaf kerana terpaksa mengganggu, but... your country needs you. We need you."

"Baik, saya faham." Dalam sekelip mata lokasi sudah bertukar ke bilik mesyuarat ala war room. Syah meneliti setiap wajah yang sedang bersidang dalam meja bulat. Matanya berhenti pada orang yang duduk paling tengah, sedang mempengerusikan mesyuarat tergempar tersebut.

"Pinto? Ketua Pengarah NADMA?" Sejak bila pula Syah bekerja satu bidang dengan rakan sekolahnya itu? Syah kehairanan. Selepas itu muncul pula susuk suaminya yang berbisik kepada Pinto dengan wajah serius.

"Eh, Kaduk pun ada?" Bagaimana pula dua jurutera bidang oil and gas boleh terlibat sama dalam NADMA atau Agensi Pengurusan Bencana Negara?

Yang Kaduk pula pegang jawatan...

"Pengerusi MKN Selangor?" Bagai nak dah terkeluar biji mata Syah. Biar betul Kaduk memegang tampuk kepimpinan Majlis Keselamatan Negara.

Bunyi dentuman guruh yang kuat di luar dan disertai cahaya kilat yang terang membuatkan Syah terus terkejut dan tersentak.

"Astaghfirullah hal azim, mimpi rupa-rupanya." Syah buka mata. Wajahnya diraup berkali-kali sambil memandang suami yang nyenyak tidur.

Bahana mendengar perbualan Kaduk dan rakan-rakannya yang bermesyuarat secara maya untuk mengatur koordinasi bantuan banjir sebelum masuk tidur malam tadi. Ditambah dengan membaca segala kemaskini dalam media sosial. Boleh pula isu banjir terjah masuk ke alam mimpi.

Pada 18 Disember yang lalu, seluruh negara dikejutkan dengan banjir besar yang melanda beberapa buah negeri. Ada kawasan air naik tinggi sampai hapus bumbung rumah dua tingkat. Ada juga mangsa banjir yang sampai terpaksa bermalam di atas bumbung sementara menanti diselamatkan dan dibawa ke Pusat Pemindahan sementara (PPS). Orang awam, badan bukan kerajaan (NGO), sukarekawan, agensi kerajaan dan pihak anggota keselamatan masing-masing cuba memainkan peranan dan menjalankan tanggungjawab sebaik yang mungkin dalam membantu misi pasca banjir.

"Allahu akbar." Syah mengurut dada tatkala mendengar bunyi guruh sekali lagi. Terkejut sangat. 

Segera dia bangkit dari katil, menjenguk ke luar jendela. Hujan lebat sedang turun mencurah-curah ke bumi, disertai angin yang kuat. Walaupun rumahnya terletak dalam kawasan yang agak tinggi, namun rasa bimbang itu tetap ada.

Syah berkalih mukanya ke belakang sebaik sahaja mendengar rengekan Azlan. Pantas dia pergi ke katil anak kembarnya itu, menepuk-nepuk Azlan yang sudah terjaga.

"Tidur ya nak. Ibu ada ni. Tidurlah, sayang." Lembut sahaja dia menutur, mendodoi sehingga si kecil terlena semula. Mujur yang seorang lagi tak terbangun.

Kesempatan yang ada dimanfaat sebaiknya. Syah melangkah ke bilik air, mengambil wuduk. Telekung disarung, sejadah dihampar.

"Allahu akbar."

Di bawah langit yang sama
Menadah kurnia Yang Maha Tinggi

Di atas bumi yang sama
Mencari rezeki Yang Maha Luas

Dalam sujud terakhir Syah menangis teresak-esak. Rasa kurang sangat apa yang dia mampu buat. Apabila teringat balik mimpinya tadi, rasa Tuhan sedang cuba memberitahunya tentang sesuatu. Kemusnahan besar kali ini mungkin boleh dikurangkan kesan impaknya dengan kelebihan ilmu dan kepakaran yang dimilikinya. Namun, dia yang memilih berhenti di tengah jalan untuk berbakti kepada suami dan keluarga, sedangkan dia merupakan antara penerima biasiswa yang sepatutnya berkhidmat sepenuhnya untuk negara.

"Ya Allah, ampunilah segala dosa-dosaku."

Di antara langit dan bumi yang masih sama
Merenung makna Yang Maha Mengetahui

(Alhamdulillah, tamat edisi istimewa kali ini.)

#RADHA

***

Yang mungkin wonder Syah kerja apa dan latar belakang akademiknya, boleh baca entry sebelum ini:


Friday, December 17, 2021

[Special Entry 11] Gelap

Karya pendek

Gelap
Oleh Rnysa

Special Entry 11
Edisi Untold Story

#MCODayX #staycation
#stayathome #stayatwork #stayathotel


Laaa... First time lupa birthday Kaduk.

Happy birthday, Encik Carl Duke Adam!

Oh, patutlah ada orang merajuk dan ajak dating hari ini dekat KLCC. Maaflah... dengan kehadiran si anak kembar, Puan Akasyah semakin sibuk dan lupa membilang hari.

Mana lagi dengan urusan persekolahan anak-anak lagi semua blablabla...

Welcome to Club 39, Encik Kaduk.

- Syah yang busy

*

Ya, terima kasih atas kesudian menyelesaikan 'urusan peribadi' pada hari ini, Puan Akasyah.

Terima kasih, sayangku.

- Kaduk yang happy

***

Sarapan pagi.

Kaduk angkut satu keluarga pergi short staycation. Ada kerja tapi hujung minggu nak terus berjalan-jalan. Lama sangat duduk di rumah. Kasihan tengok anak-anak mengadap komputer riba semasa PdPR dan tak dibawa pergi bercuti.

Dia tolak stroller si kembar, Azlan dan Azlin. Sementara Syah pegang tangan anak-anak yang lain. 

"Bilik nombor 1402..." beritahu Kaduk sebaik sahaja tiba di bahagian reception, sebelum dibenarkan masuk ke ruang makan.

Adik pramusaji cekap memberikan sarung tangan plastik seorang satu untuk digunakan semasa mengambil makanan. Norma baharu!

"Ramai kawan-kawan abang." Dari jauh lagi Syah dapat lihat segerombolan jejaka memakai baju coverall warna kuning macam Kaduk. Ada yang warna hijau dan warna lain, yang datang dari syarikat lain. Dan ada juga pekerja Petronas yang lain, berdasarkan nama syarikat pada t-shirt korporat masing-masing. Macam dah berkampung pula!

"Ayah, baju orang tu macam ayah punya." Akram tunjuk sekumpulan lelaki yang berpakaian serba kuning yang lalu lalang.

"Ya, kawan-kawan ayah semuanya."

Mereka sekeluarga memilih sudut yang agak tersorok kerana Kaduk hendak parking stroller anak-anaknya itu.

"Semua ikut ayah pilih makanan. Ibu tunggu di sini dulu," arah Syah. "Lagipun ayah nak mula kerja sekejap lagi," katanya lagi sambil menebarkan pandangan ke sekeliling, melihat orang sibuk menatang pinggan dan piring masing-masing.

Tak lama kemudian, Kaduk kembali dengan sepinggan roti canai dan segala jenis kuah dan chutney. "Untuk sayang..."

Namun, tak sempat Syah nak ucap terima kasih atau apa, suaminya itu sudah melangkah semula ke meja buffet.

"Laaa, kita suruh dia yang makan dulu." Terharu pula Syah dengan kind gesture suami sendiri. Dia pandang Kaduk yang sedang melayan permintaan anak-anak mereka pula.

Hmmm, ada sebabnya dia memang tak tayang sangat fasal suami sendiri dalam media sosial. Bahaya!

Lalu, Puan Akasyah pun tersenyum sendiri.

***

"Lorr, berkenalan sebab lagu Korea." Pinto tergelak sebaik sahaja Khalid tarik kerusi di sebelahnya.

"Kau jangan nak macam-macam dengan aku." Khalid terus melabuhkan duduk.

"Hai, dah jadi adik ipar Kaduk terus berlagak dengan aku. Tahulah dapat isteri cantik." Pinto tepuk lembut bahu Khalid.

"Dira pun cantik juga," Kaduk menyampuk. "Awal dia pergi balik homestay tadi."

"Penat katanya." Kadang-kadang Pinto tak faham apa masalah Dira dengan isteri Kaduk. Suka sangat nak tarik muka depan si Syah. Lepas itu nak main cakap lepas tak fikir perasaan ibu anak tiga itu. Padahal Syah kan kawan satu sekolah mereka juga. Perempuan...

"You ni memang suka back up dia, kan. Sah ada hati dekat dia masa sekolah dulu." Dira mencebik sebaik sahaja Syah minta diri nak tengok anak-anaknya yang berambut perang itu. Anak-anaknya itu pun lebih banyak mengikut muka Kaduk.

"Apa you merepek ni, yang? Bila masa I ada hati dengan Syah pula?" Pinto tak suka kena tuduh begitu. "Perlahan sikit suara you tu, orang belakang dah pandang-pandang kita. Lagipun hormat sikit pada tuan rumah. Kaduk yang ajak kita datang sini. Nak cakap macam-macam fasal isteri dia pula."

"Kaduk, Kaduk..." Dira tarik muka masam.

Pinto terus cari telefon dalam poket baju melayunya dan buat hal sendiri. Malas nak melayan sangat perangai moody Dira setiap kali mengandung dan setiap kali bersemuka dengan Syah. Ada saja yang tak kena.

"Rasanya Kaduk tu dah lama suka Syah. Sejak zaman sekolah lagi. Takkanlah I nak cantas kawan sendiri. Tak logik." Pinto genggam tangan lalu letakkannya di dada. "Brotherhood."

"Brotherhood." Dira ulang balik. "Yang you asyik tenung muka si Syah tu pun brotherhood juga ke?"

***

"Makin berseri-seri muka si Syah sekarang, Kaduk."
"Kalau isteri makin cantik, maknanya yang suami tu pandai jaga."

"Apa kaitannya dengan kau pula?"
"Beras kita beli, Sephora kita supply."

"Pergh, Sephora! Ni sembang-sembang T20 ni."

Kaduk gelak besar. "Aku main sebut saja pun depan kau ni". Sejujurnya apa jenis mask yang Syah nak beli pun dia tak tahu. Dari dulu Syah bukan isteri yang suka meminta sesuatu, apalagi yang mahal. Sebab itu kalau Syah tiba-tiba nak atau berkenaan sesuatu dia mesti terus tunaikan.

Rumah yang ada sekarang itu pun baru dia mampu nak sediakan untuk mereka sekeluarga. Baru nak ada rumah sendiri. Selain itu, dia juga hadiahkan sebuah kereta dengan plat nombor negeri Perak untuk Syah, tanda terima kasih kerana menjadi isteri yang baik lagi setia selama ini. Kereta itu menggantikan kereta "Bumblebee Rebel" yang terbakar sikit hari itu.

"Kereta baharu? Untuk apa?"
"Bawa pergi market."

Syah tersenyum lebar. Apabila ikut kata-kata Kaduk, pasti suaminya itu akan beri lebih. Yang tak minta pun boleh dapat. Rezeki.

"Putih. Warna kesukaan abang."
"Syah pun suka juga."

Untold story
Unbreakable friendship

Endless love

(Alhamdulillah, tamat edisi istimewa kali ini.)

#RADHA #untoldstory #behindthescenes

Semua untold story di atas daripada entry asal lontaran FB pada 19 Nov, 3 Dec & 7 Dec 2021.

📷: Spotify/Instagram

Wednesday, December 15, 2021

Tips Penulisan Versi Rnysa (8)

Tips Penulisan #8
Oleh Rnysa



Nak memulakan sesuatu hati perlu tabah.

Begitu juga dengan dunia penulisan. Lihatlah di sekeliling anda, yang boleh dan ingin menulis tak ramai. Kalau anda ingin jadi penulis, ribuan tahniah diucapkan.

Setiap orang diberikan kelebihan dan kecenderungan yang tersendiri. Ada yang sama, ada yang berbeza.

Kehidupan ini tidak terhad kepada sesuatu perkara sahaja. Teruskan 'explore' apa yang disukai dan ingin cuba dilakukan, lebih-lebih lagi sesuatu yang baik dan bermanfaat. 

Saya sendiri menulis cerita sejak darjah tiga, kemudian pernah menang tempat kedua/ketiga pertandingan menulis cerpen di sekolah menengah rendah, menulis cerpen bersiri "Relevankah Aku?" untuk buletin Pesta Piala Menteri (PPM) Zon Utara, sambung cerpen "Relevankah Aku?" untuk buletin sekolah, menulis e-novel "Relevankah Aku Di Hatimu?" dalam blog semasa menuntut di luar negara dan seterusnya.

Saya tidak memiliki latar belakang atau asas dalam bidang sastera. Sekadar suka membaca terutamanya buku cerita sejak dari kecil dan belajar Bahasa Melayu secara formal sehingga tamat SPM. Selebihnya, saya merupakan graduan fakulti kejuruteraan dan bekerja sebagai jurutera.

Alhamdulillah, sehingga ke saat ini Allah memberikan kesempatan untuk saya terus menulis dan belajar daripada ramai pembimbing yang berkaliber.

Adakala saya juga akan berhenti dan berehat sebelum memulakan kembali perjalanan dalam dunia penulisan ini.

Everyone writes at their own pace.

Sesudah memulakan sesuatu, mahu meneruskannya pula itu masuk cerita dan cabaran yang berbeza.

Selamat memulakan langkah perjalanan.
Selamat menulis.

Wallahu a'lam.

P/s: Rnysa merupakan bekas fasilitator Bengkel Penulisan: Kursus Asas Pembinaan Kreatif (Novel Umum) anjuran Jemari Seni, 2010.

***

FB Post 14 Dis 2021

Tips Penulisan Versi Rnysa (7)

Tips Penulisan #7
Oleh Rnysa

Untuk penulis, mungkin kena tambah...

"The quieter you become, the more you can write."

Itu tips daripada editor JS saya, (arwah) Mohd Rosdi Mohd Zin atau juga dikenali sebagai Imaen. Selain editor, beliau ialah salah seorang penulis novel di Jemari Seni.

Pada sesetengah penulis, apa yang dinukilkan datang dari cetusan rasa dan hati, yang adakala tak dapat diungkap dengan kata-kata. Segala-galanya diluahkan dalam karya penuh rasa tanggungjawab dan hikmah supaya dapat memperbaiki diri sekaligus memberi manfaat dan teladan.

Wallahu 'alam.

Okey, selamat menulis yang baik-baik. 


P/s: Rnysa merupakan bekas fasilitator Bengkel Penulisan: Kursus Asas Pembinaan Kreatif (Novel Umum) anjuran Jemari Seni, 2010.

***

FB Post 23 Nov 2021

Sunday, December 05, 2021

[Special Entry 10] Gelap

Karya pendek

Gelap
Oleh Rnysa

Special Entry 10
Edisi Sebuah Cerita

Malam
#MCODayX #honeymoon
#stayathome #staysafe #staysweet

Honeymoon.

1. Pulau Pinang
Kali pertama pergi berbulan madu. Tak boleh lupakan riak muka Syah saat dia minta nak rasa sikit roti jala.

2. Nara dan kawasan selatan Jepun
Pergi bercuti nak tengok musim luruh. Ajak sekali Ammar dan Wawa berkonvoi. Dan waktu inilah, dia tak sedar ada satu ketika yang Syah tak boleh berjalan.

Dia tahu pun sebab terbaca diari Syah.
Sampai sekarang dia masih tak faham kenapa Syah nak sorok penyakitnya daripada suami sendiri?

X. Morocco
Honeymoon lagi. Entah buat kali ke berapa kalau tak campur staycation hujung minggu. Tapi dia memang suka nak bawa Syah jalan-jalan. Dulu bercuti dengan kawan-kawan, sekarang bertemankan kawan baik zaman sekolah dulu.

"Dah kenapa asyik senyum saja dari tadi?" Si kawan baik yang sudah bertukar status jadi isteri itu berhenti membelek pinggan mangkuk di sebuah kedai dalam pasar atau medina di bandar Marrakesh ini. "Tolonglah pilihkan sekali..."

Kaduk sambung senyum lagi. Hati tengah berbunga bahagia.

"Sayang? Dah penat ke?" Si dia petik-petik jari depan muka Kaduk.

"Tak adalah. Okey, nak beli untuk apa?" Okeylah, dia beri kerjasama. Barulah nak tenung isteri lebih sikit kena buat kerja.

"Hadiah dan nak pakai sendiri. Cantik kan?" Sebiji periuk tajin dengan corak motif geometri tempatan disua kepadanya.

"Cantik..." Masih senyum sambil pandang muka Syah, bukan tengok periuk belanga.

"Yang mana satu lebih cantik? Yang ini atau..." Syah angkat lagi sebiji periuk corak lain. "Yang ini."

"Allahu akbar, nak kena pilih satu saja?" Pada kaca mata Kaduk, periuk is periuk. Fungsinya sama saja. Nak bandingkan mana yang lebih cantik? "Orang yang sedang pegang periuk."

Terus Syah letak balik periuk atas rak. "Jawablah elok-elok. Abang ni kan..."

***

Kaduk selak album gambar lama. Syah yang duduk di sebelah tumpang sekaki. Anak-anak semua sudah masuk tidur.

Mereka berdua tersenyum pada beberapa keping foto. Waktu atas kawasan bangunan hotel yang terbuka. Hari terakhir di Morocco. Esoknya mereka berdua sudah nak kembali semula ke London. Malam itu aktiviti santai sahaja. Lagipun sejak tiba di Morocco, Syah tak berapa nak sihat. Asalnya Kaduk bawa Syah berjalan-jalan sebab nak menggembirakan hati isterinya itu. Tapi itulah, dia faham dan sedia maklum dengan keadaan dan tahap kesihatan Syah. Nak berjalan terlebih sangat, nanti lututnya akan sakit balik. Nak berdiri terlalu lama sangat, nanti pinggangnya pun akan sakit balik. Jadi, jadual dan aktiviti percutian mereka pun disesuaikan mengikut tahap kesihatan Syah itu.

Hingga saatnya terluka.
Hingga saatnya berduka.

"Jom kita pergi honeymoon lagi." 
"Anak-anak?"
"Kita angkutlah sekali. Macam biasa." 

Syah diam lama. Kaduk ni biar betul...

"Ataupun... jom kita migrate?"
"Nekad?"

Kaduk tak pantas menjawab. "Sebenarnya abang lagi suka kita duduk Malaysia macam sekarang, lebih dekat dengan keluarga. Kalau apa-apa jadi sekurang-kurangnya ada ahli keluarga kita boleh tolong tengokkan Syah dan anak-anak."

"Tapi?"

"Tapi..." Kaduk pandang mata Syah. "There's part of you tak happy balik sini. Anak-anak pun dah mula perasan dan tanya abang, 'Kenapa ibu asyik sakit? Kenapa ibu asyik pergi hospital? Kenapa ibu dah makin kurus?' Abang tak boleh nak jawab. Sepatutnya Syah gembira, but deep down inside you're not. Itu yang buat semua orang bimbang dan risau."

Syah membiarkan Kaduk bercakap, tak menyampuk walaupun sepatah.

"Jadi, abang rasa seeloknya kita duduk di mana Syah rasa selesa. Lupakan fasal berapa abang dah habis untuk rumah ni. Kita fokus pada diri Syah. Selepas Syah bersalin, abang uruskan segala hal untuk kita migrate." Kaduk buka buku plannernya. "I've made all the plans. Tinggal nak execute bila aja."

Syah pandang masterplan si mastermind.
Tertulis di situ... 

MIGRATE TO ________

Siap ada timeline, long list apa nak buat dan macam-macam lagi. Sama caranya masa mereka putuskan nak balik ke Malaysia dahulu.

"Sayang pilih saja kita nak pergi mana. Abang dan anak-anak ikut saja pilihan sayang. You choose..." Kaduk buka peta dunia dalam telefon bimbitnya dan diletakkannya pada telapak tangan Syah.

"Kita... migrate lagi?"
Syah tarik nafas panjang-panjang.

Hingga saatnya derita.
Hingga saatnya bahagia.

Semuanya hanyalah perjalanan sebuah cerita.


(Alhamdulillah, tamat edisi istimewa kali ini.)

#RADHA #untiljannah #migrate

📷: Pinterest