Monday, November 29, 2021

[10] Home Sweet Home

Home Sweet Home
Oleh Rnysa

10
Tanpa nama

Assalamualaikum, 
Semoga buku ini dapat membantu Cik Erissa
 
A.M
16 November
 
Erissa membawa buku resepi itu ke dalam pelukannya. Hadiah tak terduga. Dua buah buku. Sebuah buku resepi dalam masa Inggeris berjudul "Makan: Cupcakes, Muffins and Scones" . Sebuah lagi karya Asma Nadia dengan tajuk "Di Dunia ada Syurga". Beberapa hari kemudian menyusul lagi sebuah bungkusan berisi buku "Aku Terima Nikahnya". Bungkusan tanpa alamat atau nama penuh pengirim. Sekadar initial atau akronim sahaja.
 
A.M
 
Siapa kawan Erissa yang ada pangkal nama dengan huruf A.M?
 
Hanya dalam Facebook sahaja Erissa pernah sebut dia mahu membeli buku Asma Nadia. Tapi siapa pula yang tolong beli dan hadiahkan? Mesti orang itu dalam senarai kawan Erissa yang ramai-ramai. Jenuh juga nak semak satu-persatu.
 
"Tengok apa Erissa?" tegur Puan Nur Khadijah.
"Oh, tak ada apa-apa." Erissa segera menutup laman Facebook di telefon bimbitnya.
 
Puan Nur Khadijah tersenyum melihat buku-buku dan pembalut hadiah yang berselerak di atas meja Erissa. "Dapat hadiah daripada siapa?"
 
"Tak kenal. Tak ada nama." Erissa meletakkan Borang Kiriman Domestik yang melekat pada brown paper.

"Boleh saya tengok?"
 
Puan Nur Khadijah tersenyum melihat initial nama dan tanda tangan tersebut. Memang dia kenal siapa orangnya. Mata Puan Nur Khadijah jatuh pada buku "Aku Terima Nikahnya". Dia senyum lagi.

(bersambung....)

Entry di atas daripada versi online FB Notes yang ditulis pada 26 November 2010. 

Wednesday, November 24, 2021

[Special Entry 9] Gelap

Karya pendek 

Gelap
Oleh Rnysa

Special Entry 9
Edisi Apabila Tiada

Malam
#MCODayX #staysabr
#stayathome #stayloyal #staypositive

"Alhamdulillah, sedap umi masak bubur bayam." Ammar tarik nafas lega sebaik sahaja selesai menyuap anak-anaknya makan malam. Dah masuk umur tujuh bulan ke atas boleh beri makanan pejal seperti puri dan bubur. Usai beri suapan terakhir, dia menyudu air minuman pula kepada Aminuddin.

Yang abang kembarnya, Amiruddin sedang berdiri sambil bergerak pegang tepi sofa. Pasangan kembar perempuan, Firdaus dan Naim pun masing-masing sudah pandai berdiri dan duduk sendiri. Dapat empat anak serentak memang mencabar dan adakalanya tak menang tangan. Jadi, mereka ambil pengasuh untuk membantu juga.

"Oh ya, Nur dah beli food feeder yang Kak Cumi cadangkan hari itu. Nanti Kak Cumi boleh guna." Wawa pandang pengasuh, Kak Cumi yang tengah mengepung anak-anaknya supaya tak berjalan sampai ke pintu gelangsar. Yang si Firdaus suka main ketuk-ketuk pintu cermin. Dan bila seorang buat, yang lain pun nanti mengikut sama. Sehati dan sejiwa.

"Yey, esok semua kembar dah boleh makan buah." Kak Cumi atau nama sebenarnya Sumaiyah Fadilah bersorak gembira.

Terus kembar empat itu berpaling, ketawa serentak sambil bertepuk tangan mengikut kakak pengasuh mereka.

Ammar dan Wawa tersenyum bahagia.

***

20 Disember 2020
Sebelah malam usai majlis resepsi keluarga Adeilah & Khalid... 

"Apabila kau tak ada sesuatu yang kebanyakan orang lain ada, mungkin kau akan berharap orang lain yang memilikinya itu dapat lebih menghargainya." Dengan tenang Ammar menjawab soalan Pinto sebelum membuang pandangan pada Khalid yang sedang memetik piano, memainkan lagu "Hati Tak Bertuan" yang Syah dan adik Kaduk sedang dendangkan.

"Setiap yang kau ada dan miliki sekarang, mungkin orang lain belum dapat milikinya. Kebanyakan manusia suka membandingkan antara satu sama lain. Siapa yang lebih atau kurang daripada orang lain. Dan tak semua orang boleh sabar tunggu nak mendapatkan sesuatu." Ammar berhenti seketika, hirup air teh.

"Aku pun ada perasaan dan keinginan macam orang lain juga. Nak ada anak-anak, zuriat keturunan aku sendiri. Lama kami berusaha dan menunggu. Cuma, aku rasa Allah nak suruh Nur dan aku belajar erti dan rasa bersabar itu yang sebenarnya," sambung Ammar lagi.

"Untuk sesetengah orang perjalanan hidup dia dipermudahkan di atas dunia. Smooth saja, tak berliku-liku sangat. Sesetengah orang lain pula ujian datang bertubi-tubi tak henti, tapi... kita tak tahu pengakhiran akhirat dia mungkin sangat smooth. Sebab sebenarnya Allah nak mempermudahkan urusan dia di sana kelak. Dunia ini sekejap saja, akhirat juga yang kekal abadi.

Sebab makin banyak yang kau ada, lagi banyak kena soal selidik nanti. Atas dunia mungkin boleh lepas.

Dan aku rasa, ada orang yang Allah beri dia perasaan yang lama-kelamaan dah tak kisah sangat dengan apa yang orang lain ada dan dapat di dunia ini, sebaliknya dia sangat looking forward kehidupan yang menanti di syurga. Dia boleh kekal tenang dan gembira sesiapa ada macam-macam, sedangkan dia tak ada." Panjang lebar Ammar berbicara, meluah rasa hati.

"Betul. Kena banyak bersyukur," akui Pinto. 

Tapi... Pinto dah rasa macam kena tazkirah percuma 'back-to-back' dengan Ammar. Terus Pinto renung Kaduk yang dok 'usya' isteri sendiri. Si Syah masih sedang bersuka ria dapat reunion dengan Ed. Entah kenapa Pinto rasa Kaduk yang jadi mastermind, suruh Ammar bercakap sekarang.

Kaduk yang terasa dirinya diperhatikan bersuara, "Kolam renang papa aku ada aja depan tu..."

Damn! Kan aku dah agak dah... mesti kerja si Kaduk Adam ni nak suruh Ammar 'basuh' aku sekarang. Lagi-lagi sebab nampak Kaduk sengih semacam.

Aku tahu kelemahan kau, Carl Duke Adam.
"Oh, Syahhhhhh!"

"Oit!" Terus Kaduk rasa nak luku kepala Pinto.

Pinto gelak jahat dalam hati. Tahu pun takut!

Kaduk dan Syah. 
Ibarat Superman dan kryptonite.

Tiba-tiba masing-masing senyap macam malaikat lalu... 

"Telaga di bawah gunung." Kaduk senyum tengok Syah dari meja dekat piano. Senang hati melihat senyuman manis isterinya itu.

"Apa? Telaga di bawah apa? Telaga di bawah laut? Kaduk, kau kena pergi offshore?" Berlapis dahi Pinto tiba-tiba. Antara dengar atau tak saja si Kaduk cakap apa.

"Peribahasa Melayu. Eh, bukan ke kau yang masuk debat BM dulu kan, Pinto? Patut bab mengayat dalam BM ni mesti kau power, kan?" Kaduk sengih.

Walaupun Kaduk wakil debat BI dan Pinto pula wakil debat BM, selalu sahaja waktu lapang mereka berlatih bersama dulu.

Pinto kunci mulut rapat-rapat. Kaduk ni saja nak 'mengundang'. Karang lagi satu round kena tazkirah dengan si Ammar.

"Kau jangan provoke aku. Nak buka debat ala parlimen, Kaduk. Aku dah lama tak praktis dengan kau ni." Pinto pandang muka Ammar yang macam tengah sedia untuk buka takzirah percuma satu pusingan tambahan.

Kaduk depang tangan. "Aku rindu zaman sekolah." Hai, sesekali dapat berkumpul dengan rakan sekolah macam ini memang mengimbau kenangan.

"Ala, kau mengaku je la kau rindu awek sekolah kau tu. Yang kau suka tenung masa ajar dia dulu. Dia tunduk tengok buku, kau curi pandang dia sambil tersenyum-senyum. Siapa nama awek yang kau selalu study sama dulu? Akasyah, kan?"

Kaduk gelak besar. "Banyak la kau."

"Kau ingat kita orang semua tak tahu? Kau fikir tak ada siapa yang perasan? Tak ada saksi mata yang memandang? Apa lagi, Ammar? Sila jalankan tanggungjawab anda." Pinto pulang paku keras dekat Kaduk, siap tangannya buat gaya buka gelanggang 'The stage is yours' pada Ammar.

Kaduk gelak lagi.

"Tak payah. Aku dah lama kena 'basuh', dah selalu kena 'berus', dah naik segan kena 'sagat' dengan Ammar. Kau ingat Ammar ni 'let go' aku macam tu aja?"

Ketawa pecah.

"Kau pun kena ke, bos?" Pinto geleng kepala. "Kaduk, Kaduk. Aku ingat headboy tak kena ceramah dengan anak buah."

"Headboy tak headboy." Ammar sengih teringat kisah lama. Dari dulu dia selalu nasihat Kaduk fasal Syah. Mujurlah akhirnya Kaduk memang pasang niat nak berkahwin dengan 'member study'nya itu.

"Ni... AJK BADAR dari form one. Hardcore usrah. Naqib aku sampai sekarang." Kaduk tepuk-tepuk bahu Ammar. "Kau rasa?" Kaduk angkat kening pada Pinto.

Masing-masing cuba nak tahan sengih.

***

Bristol, UK

Ammar baru tiba dari Melbourne. Bagpacking dengan Kaduk dan kawan-kawan mereka yang lain. Masa dekat sana sempat pula Kaduk nak jadi tukang match maker untuk dia.

"Namanya Wawa. Nur Jannatul Ma'wa. Kembar Ain yang ambil medik RSCI tu," kata Kaduk sebaik sahaja kelibat gadis itu muncul.

Sebenarnya dari dulu dia tak fikir sangat fasal perempuan. Bukan tak ada perasaan dan perancangan nak berumahtangga, cuma belum tiba masanya. Dia tak berminat nak 'invest' perasaannya untuk benda yang belum pasti. Namun, kalau ada yang berkenan di hati Ammar tidak menolak jodoh yang datang.

"Ana tak bersedia..." Terus terang dan jujur dia menolak.

Sms ringkas dihantar kepada ibunya di kampung.

"Assalamualaikum Umi, Abang Ngah dah masukkan duit dalam akaun Umi."

Azan berkumandang dari speaker komputer riba. Tanpa berlengah lagi, Ammar segera ambil wuduk dan angkat takbir.

"Allahu akbar..."

Hati
Tak bertuan

Hati
Tak bertuhan

Sebelum terbiar ia tanpa tuan.
Sebelum terbiar ia tanpa Tuhan.

(Alhamdulillah, tamat edisi istimewa kali ini.)

#RADHA #stayshukr

📷: Pinterest

Sunday, November 14, 2021

Tips Penulisan Versi Rnysa (6)

Tips Penulisan #6
Oleh Rnysa


Masa saya bertekad mahu aktif menulis semula, semuanya bertitik tolak daripada video ini juga.

Everyone has a God-given gift
- Steve Harvey

Setiap orang pasti Tuhan berikan bakat semulajadi atau kelebihan dalam sesuatu perkara. Yang kita tak minta, tapi Tuhan beri.

Macam saya, baru sebentar tadi rakan sepejabat saya, Vanessa (ya, yang salah satu watak cameo dalam Gelap itu) beritahu @ mengingatkan saya sekali yang saya boleh menulis.

Yalah, tulis sampai boleh terbit menjadi sebuah buku bukanlah sesuatu yang biasa didengar di sini. Apalagi dengan latar belakang bidang kejuruteraan saya tapi boleh menulis karya fiksyen, tentulah kelihatan sedikit aneh pada kebanyakan orang.

Tak apa, yang penting apa sahaja bakat dan kelebihan yang dimiliki itu sesuatu yang tidak dilarang oleh agama, malah boleh dimanfaatkan untuk menyumbang nilai baik ke dalam masyarakat. Dan sudah pastinya supaya dapat menjadi saham akhirat buat diri sendiri, insya-Allah. 

Kalau asal benih yang baik, jatuh ke laut menjadi pulau.

Wallahu 'alam.

Okey, selamat menulis yang baik-baik. 


P/s: Rnysa merupakan bekas fasilitator Bengkel Penulisan: Kursus Asas Pembinaan Kreatif (Novel Umum) anjuran Jemari Seni, 2010.

***

FB Post 21 Dis 2020


Tips Penulisan Versi Rnysa (5)

Tips Penulisan #5
Oleh Rnysa


Belajar tips menulis yang lain juga.
Yang ini saya pernah kongsi daripada JS Adiwarna.

Pautan:

Dan sekarang banyak bengkel penulisan.
Boleh cuba sertai juga.

Selamat menulis.


P/s: Rnysa merupakan bekas fasilitator Bengkel Penulisan: Kursus Asas Pembinaan Kreatif (Novel Umum) anjuran Jemari Seni, 2010.

***

FB Post 18 Dis 2020

Saturday, November 13, 2021

Tips Penulisan Versi Rnysa (4)

Tips Penulisan #4
Oleh Rnysa


Baca. Baca. Baca. Fikir. Tulis/Taip. Baca. Baca. Baca. Fikir. Tulis/Taip.

"Kak Anys, jadilah mentor saya!"

Aduhai, sebenarnya boleh tolong beri semangat saja. Sebab saya pun masih bertatih dalam bidang penulisan. Apapun, boleh berkongsi tips yang perlu...

1. Banyak baca, banyak ilmu (seperti disebutkan di atas)
2. Tulis sesuatu yang anda suka dan dekat dengan diri sendiri (pengulangan buat kali ketiga)
3. Sesuatu yang boleh menyentuh hati kita, insya-Allah boleh menyentuh hati orang lain
4. Penggunaan bahasa yang baik, penyampaian cerita yang baik
5. Peka dengan persekitaran dan perubahan
6. Ambil tahu trend novel semasa dan citarasa pembaca

Contohnya:

Saya sendiri tulis berdasarkan pengalaman dan apa yang disukai, disampaikan dalam bahasa yang agak 'skema' tapi juga orang kata sweet. Pada saya, bahasa yang baik mencerminkan peribadi penulis itu sendiri dan lambat-laun menjadi ikutan masyarakat di luar sana. Trend akan berubah mengikut peredaran zaman, namun sesuatu yang baik insya-Allah akan kekal selama-lamanya.

Jadi, boleh mula berlatih dengan menulis cerita bersiri sebelum dicantumkan menjadi sebuah novel yang panjang dan tebal. Sebagai penulis e-novel tegar, itu yang selalu saya buat. 

Bukan contoh yang terbaik, boleh cuba jenguk juga blog saya (dan penulis lain) untuk rujukan:

1. www.rnysa.blogdrive.com
2. www.rnysa-anys.blogspot.com (blog ini)

Biasanya saya akan latih diri menulis dalam blog, kemudian baru pindah dalam bentuk manuskrip dan dipanjangkan lagi. Entri test market la katakan. 

Akhirnya... 
Dah siap taip, boleh hantar manuskrip kepada editor.


Kesimpulannya:

Perlu banyak membaca. Kerana apa yang anda baca akan tentukan isi cerita anda. Saya pun kadangkala suka bermain dan berangan-angan juga!

Konsep saya: Short. Sweet. Simple.

Selamat membaca, berfikir dan menulis.
Selamat menulis.


P/s: Rnysa merupakan bekas fasilitator Bengkel Penulisan: Kursus Asas Pembinaan Kreatif (Novel Umum) anjuran Jemari Seni, 2010.

***

FB Post 10 Dis 2011 dan 15 Dis 2012.

Tips Penulisan Versi Rnysa (3)

Tips Penulisan #3
Oleh Rnysa


Ilham, oh ilham!
Macam mana nak cari ilham menulis?

1. Doa kepada Allah minta diberikan ilham yang baik dan bermanfaat.

2. Bacaan yang baik dan bermanfaat (Al-Quran, buku, buku sejarah Islam, majalah dll). Input baik, output pun baik. Jadi penulis kena rajin membaca, ya. Juga banyakkan mendengar perkara yang baik-baik.

3. Tulis sesuatu yang dekat di hati, yang disukai. Saya lebih suka fokus apa yang disukai daripada apa yang dibenci. Aura tenaga positif ala-ala Prof.Dr.Muhaya ni!

4. Kembara sastera - Mengembara sambil memerhati dan mencari ilham. Saya sendiri pernah bercuti di Sabah (Sepilok dan melawat Institut Sains Marin Borneo di UMS) semata-mata untuk menulis Albatros. Juga melawat hanger di UniKL MIAT untuk menghayati watak Adriena.

5. Imaginasi dan kreativiti sendiri. Setiap orang itu unik dengan caranya yang tersendiri. Jadi dan carilah diri sendiri yang baik itu dalam diri.

6. Niatkan menulis lebih kepada ingin memperbaiki diri sendiri ke arah kebaikan.

7. Mencari 'Encik Ilham'. Ehem, maksudnya di sini mencari sumber inspirasi. Saya tahu siapa 'Kaduk dan Akasyah' saya, 'Khadijah & Mukhriz' dan lain-lain. Dan asas wataknya dibina dari situ. 

Selamat menulis.


P/s: Rnysa merupakan bekas fasilitator Bengkel Penulisan: Kursus Asas Pembinaan Kreatif (Novel Umum) anjuran Jemari Seni, 2010.

***

FB Post 24 Feb 2013

Tips Penulisan Versi Rnysa (2)

Tips Penulisan #2
Oleh Rnysa


Tulislah perkara yang disyorkan dalam Islam atau memiliki nilai yang baik.

Contohnya:

Islam menggalakkan berkahwin dengan orang yang sekufu, bukannya berkahwin dengan sepupu sendiri tau.

Ada contoh?

- Cerita kawan baik satu sekolah yang akhirnya berkahwin. Eh, dah macam dalam RADHA.
- Cerita pelajar Malaysia yang jatuh hati lepas berkenalan atas shinkansen. Eh, ini macam Hikari Ainori la
- Cerita aquarist yang sama-sama sukakan haiwan dan hidupan laut. Eh, yang ini pula macam dalam Albatros!
- Cerita pelajar SBP suka sama suka selepas ditemuramah untuk buletin PPM. Eh, Cinta Sofea kah?
- Cerita si arkitek dan si pembuat cupcakes yang sentiasa bergaduh. Eh, ini cerita Homemade Sweet kan?

Hmmm... adakah semua pasangan di atas 'sepupu'?
Pastinya tidak, kan.

Tapi... sekufu itu apa ya? 

Bukan kupu-kupu tau.

Paling penting, sekufu dalam beragama dan kemahuan kepada kehidupan beragama (amin untuk diri sendiri).

Sekian, selamat menulis.


P/s: Rnysa merupakan bekas fasilitator Bengkel Penulisan: Kursus Asas Pembinaan Kreatif (Novel Umum) anjuran Jemari Seni, 2010.

***

FB Post 14 Feb 2012

Tips Penulisan Versi Rnysa (1)

Tips Penulisan #1
Oleh Rnysa


Tulis apa yang anda suka.
Kerana yang anda suka itu lebih dekat di hati.
 
Contohnya:

Saya suka watak Luke Brandon dalam siri Shopaholic.
Jadi... dalam novel saya sendiri... ada Luke Brandon!
Tak percaya?
 
 
Luke
(watak dalam kisah Hikari Ainori)

Luke membetulkan sandar pada kerusi. Dia masih memerhatikan gerak laku gadis itu lagi. Luke pejamkan mata. Cuba menggeledah memori lama. Dia jenis senang cam muka orang. Selama ini memori dia tak pernah fail dalam face recognition. Lagi-lagi kalau orang itu memang selalu jumpa. Sengaja dia pilih duduk satu gerabak dengan gadis tadi. Dia juga perasan gadis itu sesekali melirik matanya ke arah mereka bertiga. Puas Luke mengimbas beberapa tahun ke belakang. Dia sangat yakin dengan nalurinya itu. Dia dan gadis itu, mereka saling kenal.
 
Zap! Satu wajah melintas di fikirannya. It couldn’t her. Ayuni?
 
Luke menggeleng. Mungkin tidak, tapi...
 
Luke angkat muka. Gadis itu sudah tiada di tempat duduknya lagi. Orang tak ramai pun dalam train, kenapa perlu beralih gerabak? Kenapa mesti larikan diri? Kini Luke semakin yakin.
It must be her!
 
Luke pandang muka Que yang sedang tersenyum pada skrin telefonnya.
 
“Hazel...” Que senyum panjang, segera dia ‘hantar’ ikon smiley pada tunangnya itu.
Patut tak aku cakap pada Que? Luke serba salah.
 
 
Brandon
(watak dalam Albatros: Antara Langit dan Bumi)

“Agaknya dia ibarat mutiara di dasar lautan yang dalam. Kau perlu masa bertahun-tahun sebelum dapat memilikinya...”
“Ya. Dan aku juga ibarat kapal yang belayar di lautan yang luas. Dia itu bagaikan lautan yang tanpa
sempadan...”
Brandon tertawa.
 
“Bukan main falsafah cinta kau, Doktor Ikan. Apa yang tanpa sempadan, Ehsan? Cintanya? Cinta yang tidak pernah kau miliki? Jangan terus menaruh harapan dan mendustai diri sendiri. Kau akan hanyut dalam lautan impian yang tidak pasti...” ujar Brandon sebelum meninggalkan Ehsan keseorangan, memberi ruang pada lelaki itu mengkaji lautan hatinya sendiri.
 
Benarkah selama ini dia sedang mendustai dirinya? soal Ehsan bertalu-talu pada hatinya yang sedang rawan.
 
Ya Tuhan, pimpinlah hati ini dengan cahaya-Mu. Dan bawalah ia dekat pada hatiku, pohon Ehsan berulang kali tanpa henti.

Dari kedua laut itu, keluar mutiara dan merjan. Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan? Dan Dialah yang menguasai kapal-kapal yang belayar di laut, yang kembang tinggi layarnya seperti gunung-ganang. Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan? ~ (Surah Ar-Rahman: 22-25)
 

Kesimpulan:

Saya lebih suka fokus menaip dan menulis apa yang saya suka dan dekat di hati saya :)
Dan kemudiannya dipecahkan menjadi teka silang kata (jigsaw puzzle).
Setiap satu cerita menyimpan beberapa puzzle tentang apa yang saya suka secara rahsia dan main sorok-sorok
Teknik pertama ini saya namakan... "Her Secret Playground."
 
Dan pastikan cerita yang kita tulis, membawa hati penulis dan pembaca... makin dekat kepada Tuhan.
Teknik dan konsep kedua ini pula dinamakan "Relevankah Aku Di Hati-Mu? a.k.a RADHA". 

Mesej khidmat masyarakat ini sesuai dengan quote malam ini:
Apalah ertinya cinta ini, seandainya tidak membawa hatiku dekat pada-Mu.
 
Selamat menulis.


P/s: Rnysa merupakan bekas fasilitator Bengkel Penulisan: Kursus Asas Pembinaan Kreatif (Novel Umum) anjuran Jemari Seni, 2010.

***

FB Notes 25 Mac 2011