Showing posts with label RADHA. Show all posts
Showing posts with label RADHA. Show all posts

Sunday, April 14, 2024

[Special Entry 20] Gelap

Gelap
Oleh Rnysa

Special Entry 20
Edisi Istimewa Syawal 1445H

Sekali lagi berperang di dapur. Nak menyiapkan juadah sarapan pagi buat mereka sekeluarga beraya di sebelah keluarga Syah di Perak. Begitulah sibuknya tugas mak-mak seperti dia di pagi Syawal. Alhamdulillah, Aisyah sudah boleh diharap membantu apa yang patut. Sejak menjadi kakak kepada kembar Azlan dan Azlinsyah, anak keduanya itu semakin cekap buat kerja rumah.

Menu juadah pagi raya edisi 1 Syawal 1445H:
- Telur hancur (scramble eggs)
- Nasi tomato, ayam masak tomato dan sayur salad
- Nasi impit, lontong, kuah lodeh dan kuah kacang
- Lemang, rendang tok dan rendang ayam
- Biskut raya, air teh o dan air ribena

Yang menu ketiga - nasi impit, lontong, kuah lodeh dan kuah kacang - Kaduk yang masak malam tadi. Tugas Syah dan Aisyah hanya kukus dan panaskan semula. Lemang pula adik-beradik Syah sudah tolong potong dan hidang dengan segala rendang.

Menu telur hancur wajib untuk Arham dan Kaduk. Itu makanan kesukaan mereka pagi-pagi tak kira waktu walaupun sesudu cuma.

Nasi tomato dan ayam masak tomato pula permintaan anak-anak Syah. Mereka tak nak makan rendang sangat. Jadi masak tomato yang tak pedas dan mudah menjadi pilihan mereka.

Seperti biasa, Kaduk jadi tukang siapkan anak-anak. Jadi Syah tak kalut sangat nak menguruskan anak-anak mereka di pagi raya. Dia boleh tenang-tenang menyediakan menu sebelum dan selepas menunaikan solat hari raya. Kerjasama dalam rumah tangga sangat penting. Mahu 'tumpas' kalau terpaksa uruskan semuanya sendirian berhad.

Bau wangi bedak bayi menyapa hidung. Syah segera berpaling. "Anak-anak ibu dah mandi ya?" tanya Syah pada anak kembarnya yang dalam dukungan Kaduk. Pipi kedua-duanya dikecup lembut.

Arham dan Akram muncul dari belakang, menghampiri Aisyah yang sedang mengatur pinggan mangkuk di atas meja makan.

"Maaf kalau lama tunggu." Pohon Kaduk. Tadi dia ambil masa sedikit menguruskan perihal anak kembar dan anak-anak lelakinya.

"Tak apa, Syah pun sibuk di dapur ni. Terima kasih sebab uruskan anak-anak semua," ucap Syah. Walaupun sudah acapkali disebut ucapan terima kasih, namun setiap pertolongan suaminya takkan dilupakan begitu sahaja. Ucapan penghargaan sentiasa meniti di mulut mereka setiap masa. "Hanya Allah sahaja mampu membalas segala kebaikan."

"Ibu, Cho dah lapar. Bila kita boleh makan?" Akram bersuara. Tangannya menggendang pinggan di atas meja makan.

"Jom ajak adik-beradik sayang... kita makan sama," ujar Kaduk sambil meletakkan Azlan dan Azlinsyah di atas bangku khas mereka. Kaduk pantas menyenduk nasi tomato dan ayam masak tomato untuk disuap pada si kembar.

Syawal dirai
Sentiasa di hati

"Nanti kita salam raya, ya." Ucap Kaduk pada semua. Adik-beradik Syah pun sudah berkumpul di meja makan. Mereka makan stail buffet, bersila makan di ruang tamu. Ruang meja makan sekali dengan ruang tamu.

"Bukan ke kita dah salam raya lepas subuh tadi?" Syah bisik pada Kaduk. Pagi tadi sudah ada drama air mata.

"Selamat hari raya, maaf zahir dan batin." Begitu ucapnya awal subuh hari.

"Salam duit raya sekali!" Sampuk Aisyah dengan nasi tomato penuh di mulut.

"Ish, ish... Orang tak puasa penuh tak dapat banyak duit raya kan, ayah." Akram menyakat kakaknya.

"Angah demam teruk. Cuaca panas sangat. Mana boleh kira." Aisyah sudah buat muka monyok.

Arham yang sudah Tingkatan Satu hanya mampu geleng kepala dengan gelagat adik-beradiknya. Akram memang suka mengusik Aisyah. Mujur Azlan dan Azlinsyah tak pandai cakap sangat lagi. Kalau tak meriahnya hari raya mereka semua.

***

P/s: Ini entry pertama sebut anak kembar Syah-Kaduk. Entry 'simple' sahaja, buat 'lembutkan' jari-jemari nak menulis. Alhamdulillah, pasangan Syah-Kaduk sudah ada lima orang anak dalam satu entry 😊

[Special Entry 19] Gelap

Gelap
Oleh Rnysa

Special Entry 19
Edisi #deletedscenes3

"Ibu, dah habis." Akram mencelah, sua koleh yang sudah kosong. 

"Along, dah habis minum nanti tolong bawa adik-adik naik tidur dalam bilik." Kata Kaduk pada anak sulungnya.

Arham mengangguk perlahan. Matanya dilabuhkan pada wajah ibu yang sudah hilang ceria.

***

Syah termenung lama depan sinki, tak sedar Kaduk panggil namanya beberapa kali. 

Dia tersedar waktu Kaduk berdiri di sebelahnya. Ya, bau minyak wangi. Hidungnya sudah kembali berfungsi seperti biasa!

"Abang naiklah atas. Syah nak basuh koleh sekejap." Kata Syah, senyum sikit dekat suaminya sebelum sambung kerja.

Kaduk diam tak cakap apa, berpeluk tubuh. Tengok muka Syah pun dia tahu, isterinya itu sedang terasa hati. Dia tahu, Syah jenis anak yang jarang kena tegur atau marah dengan ayahnya, selain bab solat. Mula-mula tahu masa awal kahwin dulu, dia ingat Syah buat lawak. Rupa-rupanya betul. Ternganga juga dia dibuatnya. Ingatkan Syah yang dia kenal jenis 'nakal' dekat sekolah selama ini mesti selalu kena marah dengan ayahnya.

Bau minyak wangi Kaduk ada lagi. Syah kalih pandang kiri dia. Suaminya itu tak naik lagi, berdiri pandang dari kaunter. Syah sambung bilas koleh lambat-lambat, ikut halaju siput mengesot.

Waktu kawan dengan Kaduk, dia tahu lelaki itu jenis jaga penampilan diri dan suka pakai minyak wangi. Ingat lagi masa minggu pertama duduk sebilik dengan bekas ketua pelajarnya itu.

"Nak pergi beli sarapan? Nak ikut." Tegur Syah bila nampak Kaduk sembur minyak wangi satu badan. Dia salin baju melayu dan kain pelikat pakai masa solat subuh, dengan pakai t-shirt dan jeans jenis kain lembut warna putih. Pakai segak-segak mesti nak pergi keluar, kan!

"Eh, tak. Syah nak beli sarapan dekat luar? Jom." Sebenarnya dia tak nak ke mana pun, memang kebiasaannya tukar pakai baju lain selepas usai solat.

Syah pun seronok tak payah masak. Tiba-tiba dia terdiam tengok Kaduk salin baju lain pula.

"Eh, tadi kan dah lawa dah." Syah gelak. 
"Kita beli sarapan dekat-dekat sini saja, kan?" 

Terasa dia pakai baju biasa-biasa sangat. T-shirt tangan panjang dan seluar slack biasa. Kaduk sudah bergaya macam orang nak pergi Mid Valley saja.

Sejak itu Syah perasan habit Kaduk satu demi satu. Habit Kaduk yang suka mandi bersiap sebelum solat sama macam ayah Syah. Masa sekolah dulu mungkin tak perasan sangat sebab tengok orang lain.

Tapi bab minyak wangi memang Syah pernah juga termuntah awal kahwin dulu. Dengan minyak wangi dalam kereta campur dengan minyak wangi yang dipakai. Dia tak tahan kuat sangat baunya. Lepas itu baru Kaduk pakai kurang wangi sikit. Kalau tak memang semerbak macam lori tumpah. Dulu masa belajar sama, mungkin sekejap sahaja bau minyak wangi Kaduk. Sudah kahwin, dia macam selalu pening juga hidu bau wangi yang kuat.

Ayah Syah pun jenis pakai minyak atar juga kalau nak ke masjid. Cuma, mak dan Syah bukan jenis pakai minyak wangi sangat.

Sudah lama kahwin, hidung Syah sudah terbiasa. Cuma pening-pening itu sekali-sekala masih ada juga.

Entahlah, apa yang Kaduk nampak dekat diri Syah sampai nak ajak kahwin. Sampai sekarang memang Syah masih segan sangat dengan Kaduk, terutamanya kalau Kaduk tegur apa-apa yang tak elok masih ada dalam diri Syah. Syah tahu yang Syah banyak sangat memiliki kelemahan diri, rasa nak 'ketuk kepala' juga apa dibuatnya setuju Kaduk jadi suaminya dulu.

Mungkin dia sendiri fikir semuanya okey tapi end up mama Kaduk tak boleh terima segala yang berkaitan penyakit kesihatan mental yang dialami, yang orang beri stigma penyakit keturunan yang cuba dielak. Dia tahu mama malu dapat menantu berpenyakit macam dia.

"Kalau Syah ada anak nanti, Syah faham perasaan mama."

Ya, dia faham. Syah pun nak yang terbaik untuk anak-anak Syah.

Tapi... kalau ada lelaki baik macam Kaduk yang sudi terima orang macam Syah, Syah harap anak-anak mereka pun membesar jadi lelaki macam Kaduk. Seseorang yang beri sinar harapan dekat orang macam Syah.

Kalau Allah tak gerakkan hati Kaduk melamar dia, rasanya Syah mungkin takkan kahwin sampai bila-bila. Bukan senang nak faham orang macam Syah, yang selalu berlawan dengan negative thought fasal diri sendiri. Negative self-thought dan self-talk yang selalu buat Syah rasa down balik. Yang itu, Syah masih cuba perbaiki sampai ke saat ini.

Syah tak rasa Ammar boleh faham Syah macam Kaduk faham Syah. Dulu cara Syah berpakaian pun dibandingkan dengan Ain, inikan pula dari segi tahap kesihatan. Memang Syah yang pesakit pasti akan terus 'kalah teruk' dan 'kalah sebelum bertanding' dengan doktor perubatan seperti Ain.

Syah tak suka dirinya dibandingkan dengan sesiapa, dia sudah penat dan letih diperlakukan sebegitu. Perbandingan dari segi akademik atau fizikal atau apa saja, itu yang Syah cuba elak.

Saturday, April 06, 2024

[Special Entry 18] Gelap

Gelap
Oleh Rnysa

Special Entry 18
Edisi #deletedscenes2


Jumaat malam Sabtu
#MCODayTBC #PKP2.0
#stayathome #cintahati

Pinto teringat waktu singgah rumah Kaduk.

"Komik siapa ni? Anak kau?" Pinto tunjuk komik Marvel dengan muka depan Superman bertanda harga Kinokuniya dalam Bahasa Jepun.

"Syah punya. Dari zaman Jepun dia."

Pinto sengih. "Oh, nice..." Tiba-tiba dia dapat suatu idea bernas lepas nampak segala mak nenek math equation di atas dinding rumah Kaduk.

Pinto ambil white board marker dan conteng sesuatu pada sudut yang kosong.

"Weh, Pinto! Kau tulis apa tu?" Kaduk gelak besar.

"Cuba kau selesaikan soalan Matematik Tambahan ini." Pinto baling white board marker dekat Kaduk.

"Soalan Matematik Tambahan jenis apa ni?" Muka Kaduk terus jadi merah tak semena-mena.

KadukxLondon + SyahxTokyo = |ClarkKentxLoisLane + SupermanxSun + (u + at) - SupermanxKryptonite - x/t - dv/dt - dr/dt - 1/2(mv2) - mv - mrv - ct - mU...|

Malam itu...

Berkerut dahi Syah tengok 'equation merapu' yang milik siapa entah. Wah, sungguh berani 'memcemar duli' di atas dinding rumahnya.

"Ish, cikgu matematik sekolah mana yang ajar macam ni?" Syah bercakap dengan dirinya sendiri.

***

"Cinta bukan melemahkan hati, bukan membawa putus asa, bukan menimbulkan tangis sedu sedan. Tetapi cinta menghidupkan pengharapan, menguatkan hati dalam perjuangan menempuh onak dan duri penghidupan." Kaduk membacakan ayat-ayat puitis dari novel Tenggelamnya Kapal Van Der Widjck.

"Masya-Allah, hebat sungguh Buya Hamka. Tulis Tafsir Al-Azhar pun dia, tulis novel cinta epik pun dia. Dekat Malaysia ada tak ulama' besar yang serba boleh macam ini, sayang?" Syah mencelah.

"Hmmm, yang sehebat Buya Hamka mungkin tak ada lagi. Rasa macam tak pernah dengar lagi, kan?" Balas Kaduk.

Akram menguap beberapa kali. Sambil itu, dia mengeratkan pelukan pada ibunya.

"Dah mengantuk, sayang?"

Akram mengangguk perlahan.

Walaupun bukan malam minggu, tiba-tiba sahaja Kaduk tukar acara berceritanya ke malam ini pula. Tapi cerita novel orang dewasa pula dibawanya. Itu yang cepat sangat anak-anak mengantuk.

Syah pandang wajah Arham dan Aisyah pula. Mata masing-masing pun sudah kuyu, separuh tertutup.

"Okeylah, ibu pergi bancuh susu suam. Minum dulu sebelum tidur." Syah pun bingkas bangun nak menuju ke dapur.

"Sekejap ya, sayang." Kata Syah pada Kaduk, si tukang cerita @ penglipur lara pada malam itu.

***

P/s: Jom kita sambung deleted scene bahagian ke-2. Yang ini bahagian sebelum entry yang sebelum ini.

Tak silap rasanya ada seseorang pernah tanya saya, dia curious apa agaknya equation matematik yang Pinto conteng dekat dinding rumah Kaduk dan Syah. Jadi, mari kita tengok equation si Pinto rekacipta khas buat KadukxSyah.

Selamat berbuka puasa semua.

[Special Entry 17] Gelap

Gelap
Oleh Rnysa

Special Entry 17
Edisi #deletedscenes


Lampu LED di silling dapur menyala sendiri waktu menapak masuk. Syah capai mug atau koleh putih tinggi dari tiang kayu bercabang dengan tangan kanannya. Sebelah tangan kiri pula laju membuka pintu kabinet, nak ambil susu tepung.

Buk!

Bucu pintu kabinet terlanggar... kepala suami sendiri!

"Ya Allah, sayang..." Syah tak sempat nak buat apa dah.

"Kenapa yang berdiri dalam kawasan blind spot Syah? Maaf, tak perasan sayang ikut dari belakang." Biasanya Syah akan perasan bau minyak wangi suaminya. Tapi sejak siang tadi tak tahu kenapa hidungnya asyik tersumbat sahaja.

"Blind spot?" Kaduk gosok-gosok dahinya yang terasa pedih. Mujur tak luka apa.

"Isteri abang ni kan jenis kelam-kabut. Maaf, tak perasan..." Kata Syah sekali lagi. Dicapainya tin susu tepung dan diletaknya sebelah barisan koleh yang elok beratur.

"Pergilah duduk depan dengan anak-anak." Katanya lagi, sambil usap lembut dahi Kaduk yang sudah selamat berbekas merah. Habis benjol dahi Kaduk dibuatnya.

"Hmmm?" Kaduk sudah rasa macam nak pening lalat. "Nak minta air masak segelas..."

"Yalah, dah lama bercerita mestilah rasa haus. " Syah ambil sebiji koleh dan isi dengan air mineral dari mesin penapis air.

Koleh beralih tangan.

"Terima kasih, sayang." Kaduk kembali semula ke ruang tamu dengan koleh di tangan kanan. Sebelah tangan lagi asyik menggosok dahi yang sedikit benjol.

Kasihan, kata Syah dalam hatinya.

Syah segera bancuh susu dan beri pada anak-anak. Lepas itu dia ke dapur semula ambil ais dan tuala kecil, nak tuam dahi suaminya.

"Maaf ya..." Sambil tuam dia baca selawat syifa sikit.

"Tak payahlah baca lagi." Terus dia ambil novel dari tangan Kaduk dan letak ke tepi.

Kaduk senyum panjang. Matanya pandang mata Syah yang dok ralit tengok dahinya.

"Telaga di bawah gunung."

"Telaga apa pula, sayang? Rindu kerja offshore ke? Telaga minyak?"

"Peribahasa Melayu." Kaduk senyum lagi.

Syah sudah berkerut dahi. "Malam-malam dah nak berperibahasa pula. Kuat sangat kot kena hentak ni. Allahu akbar, kasihan abang dapat isteri yang kelam-kabut macam Syah." Dia tergelak sendiri.

"Kenapa Syah suka cakap macam itu? Suka salahkan diri sendiri. Kan tak sengaja..."

Tak sempat Kaduk nak habis cakap, Syah sudah mencelah. "Memang tadi nak cepat. Tak tengok betul-betul sebelum...." Syah perasan muka Kaduk yang senyum tadi sudah bertukar serius. Terus dia senyap dan tak jadi nak cakap lagi.

"Tahu kan yang abang tak suka cara Syah yang selalu nak salahkan diri sendiri. Tapi masih nak cakap begitu juga." Kaduk bersuara rendah, riak mukanya serius. 

Kaduk kerling pada anak-anak yang sedang minum susu. Dia pun tak jadi nak sambung cakap lagi.

"Ermm, betul kata abang tu." Kata Syah perlahan. Terus Syah ingat balik kejadian dia kena marah tahun lepas.

Kafuk perasan air muka isterinya sudah berubah. "Sayang, I didn't want to be right..."



***

P/s: Pertengahan minggu yang baru ini saya terpaksa masuk dan bermalam di wad hospital. Jadi, dapatlah macam-macam mesej termasuklah yang rindu nak baca penulisan saya. Maka, marilah saya kongsikan sedikit versi 'deleted scene/plot' yang pernah ditulis untuk episod 50 Gelap.

Terima kasih atas semua ucapan dan doa. Alhamdulillah, saya dah keluar hospital sejak petang semalam dan kini berada di kampung halaman di Perak.

Salam penghujung Ramadan.
Selamat pulang berhari raya semua.
Semoga segala urusan dipermudahkan-Nya.

Sunday, March 24, 2024

[Special Entry 16] Gelap

Gelap
Oleh Rnysa

Special Entry 16
Edisi Ramadan 2024

#GengSolatSubuhMacamJumaat

Syah berhenti memasak juadah buka puasa sebaik sahaja terhidu wangian kasturi dari belakangnya. Tentu dari Kaduk yang baru balik dari masjid.

"Wanginya bau perfume." Wangian syurga.
"Abang berpuasa".

"Oh, patutlah. Syah uzur." Syah senyum simpul.

"Rajinnya anak ayah." Kaduk mencuit hidung Aisyah yang sedang membantu Syah. "Along dan Cho pun rajin juga." Pipi anak lelaki dikecupnya.

"Baking apa beramai-ramai ni?" Kaduk menjenguk isi mesin mixer di hadapan Aisyah.

"Ibu nak buat kek marble. Ikut resepi KhairulAming," sahut Aisyah. "Angah tolong tekan butang mixer". Tangan Aisyah menekan butang [2] tahap kelajuan.

Kaduk angkat kening sebelah macam Ziana Zain. "Nama KhairulAming tu macam pernah ayah dengar..." Dia berfikir sejenak.

"Ala... yang abang 'Hey, what's up, guys?' tu. Cho dan Angah pernah tengok video dia masak dengan ayah semalam. Yang selalu masak buat video waktu bulan puasa tu..." Beria-ia Cho @ Akram bercerita.
.
(bersambung...)

Boleh baca entry penuh dalam blog Rnysa:
https://rnysa-anys.blogspot.com

Saturday, March 05, 2022

[Special Entry 15] Gelap

Karya pendek

Gelap
Oleh Rnysa

Special Entry 15
Edisi Telaga Di Bawah Gunung

#MCODayX #telagayanggelap
#stayathome #staytogether 

Di luar masih gelap dan mendung
Menanti gerimis hujan yang menghilangkan resah dan murung


Syah tak dapat menahan rasa sebak di dada.

Telaga Rayan.
Anak syurga.

"Kenapa?" Kaduk rasa sedikit cemas. Dilihatnya mata Syah sudah basah dengan linangan air mata. Matanya beralih dari memerhatikan anak kembar mereka yang leka bermain dengan toys yang bergantungan dalam buaian.

"Tidurlah, wahai anak yang disayangi". Syah berbisik perlahan. Sambil itu, dikesatnya air mata yang gugur dengan hujung jari. Nafas ditarik dan dilepas perlahan, cuba mencari secebis ketenangan dalam diri. Namun, hati seorang ibu itu masih terkenangkan kesakitan si anak kecil. Yang terjatuh ke dalam telaga berhampiran rumah di negara Timur Tengah itu.

"Kenapa ni, sayang?" Lembut Kaduk menutur. Bahu isterinya dipaut perlahan. "Pandang dan cakap pada abang." Dia sudah duduk di tepi katil, menatap isteri yang sudah berhenti menangis.

"I'm okey--"
"Tiba-tiba menangis--"

"Would you let me finish my sentence first, sayang?"

Kaduk terdiam. "My bad. Sorry." Bad habit nak menyampuk waktu orang bercakap. Bukan sesi bahas, ya.

"Baru baca. Baru tahu." Syah sua telefon pada suaminya itu tapi Kaduk cuma pandang sekilas.

"Tengoklah dulu. Bacalah dulu." Syah pandang tepat mata Kaduk yang masih nampak risau dengan keadaan dirinya. Lalu dilepasnya nafas panjang. "Takkan nak menangis sikit pun tak boleh. I AM A MOTHER." Ditekannya sedikit hujung ayat itu.

"And, I'm your husband. A concern one."
"Tahu."

"Bila Syah tak jawab, abang jadi risau."
"Tahu."

Syah terus tersenyum nipis, tak jadi nak emosi sedih atau apa.

"I AM SERIOUS, right now. You ada penyakit, sayang. A serious and severe illness. If anything happens, abang kena cepat bertindak."

"Sorry."
"I'll be miserable if anything happens to you, sayang."

"Sakit ni... dia akan datang tanpa notis. I can't ever assume when it will happen again. Ingat time PKP jadi, habis nak hujung PKP pun tak juga. Masa dalam recovery plan PKP baru kena. Unexpected. No notice in advance." Syah menerangkan panjang lebar tentang catatonia yang dialaminya baru-baru ini.

Waktu PKP dulu Allah hantar 'kawan-kawan' daripada 'geng' kumpulan penyakit yang sama juga. Namun, datang saja datang 'watak utama' @ 'kawan baik' yang satu itu terus dia rebah. 

"Then, what should I do?" Perlahan Kaduk menutur.

"Sabar. Tuhan nak uji Syah. Dia nak uji abang. Tuhan sedang uji kita ni. I know you kerja under safety. Yes, you've done your parts with all the safety measures. Kerja abang... safety tu nombor satu. Kerja Syah pun sama. Safety first. Tapi, siapa Syah nak cakap Syah tak nak sakit ni? Contohnya, macam orang ada sakit kanser. Kanser datang balik serang organ lain pula. Yang ni pun maybe relapse pun bersebab juga." Segala yang berlaku pasti ada hikmahnya, kan?

"Ubat kena makan, jangan skip."
"Ya. Insya-Allah."

"Elak benda yang boleh trigger sakit."
"Insya-Allah, Syah cuba."
"Anything."

Kaduk pandang tepat pada berita kejadian yang terpapar dalam media sosial di telefon bimbit Syah. 

"Sorry, I was curious. Ingatkan apa..."

"Anything. But as you said, siapa kita nak tolak ujian Allah." Kaduk lepas nafas panjang dan beristighfar. Sedar kekhilafan diri sendiri. "Nak dapat syurga Allah bukannya senang."

"Betul. Masih berharap dapatlah merasa air telaga Kautsar nanti. Dan akhirnya sampai ke rumah kita di syurga." Ya, harap adalah tempat kediaman buat mereka nanti... di hujung cerita penghidupan yang abadi pada suatu hari yang pasti akan datang itu.

"Insya-Allah, abang reda Syah. Semoga syurga Firdaus untukmu, sayang!" Kaduk tersenyum menatap isterinya yang sudah bertukar wajah ceria. "Telaga di bawah gunung, " bisiknya kemudian dengan suara perlahan.

Gerimis di luar sudah bertukar rentak, membawa hujan yang sangat lebat akhirnya. Hujan yang menenangkan hati dan jiwa yang merusuh. Mudah-mudahan.


(Alhamdulillah, tamat edisi istimewa kali ini.)

#RADHA #TelagaKautsar

📷: Huawei

Friday, March 04, 2022

[Special Entry 14] Gelap

Karya pendek

Gelap
Oleh Rnysa

Special Entry 14
Edisi Allah Sayang Kamu

#MCODayX #HariKasihSayang
#stayathome #stayinlove #stayconnected

Di dalam kian cerah.
Menatap wajah kesayangan hati semerah.

Oh, ini puisi lama yang diedit semula!

Adeilah tekun membaca setiap bait kata. Sebelah tangan memegang telefon bimbit, sebelah tangan lagi menekan butang [Swing] kelajuan nombor 2 pada multifunctional auto swing baby cradle. Secara automatik baby cradle pun berayun sendiri ke kanan dan kiri.

Mata Adeilah kembali berlari pada bait puisi...


Allah Sayang Kamu

Siapa bilang Allah tidak sayang kamu
Sebagaimana kamu sayang pada dirimu
Lebih lagi kasih sayang Allah kepadamu

Segala kekeliruan dan keluh kesahmu
Nyatakan sahaja kepada Dia Yang Satu 
Nescaya Allah mendengarnya setiap waktu
Tanpa rasa jemu
Kerana sesungguhnya Allah teramat merindumu
Suaramu yang sudah lama hilang itu

Bukankah kita sudah berjanji
Mahu bertemu semula di syurga nanti
Bersama mereka yang diredai
Juga kamu yang Allah cintai

Rnysa
Bandar Baru Bangi 
27 Februari 2013


Jarang sekali Kak Rnysa menulis puisi. Selalu hanya cerita atau novel bersiri dalam blognya. Mimpi apa agaknya sesekali bertukar angin, mencuba sesuatu yang baharu dan berbeza. Namun, biarlah asal yang menulis bahagia berkongsi untuk yang membaca seperti Adeilah merasai.

Sesekali mata Adeilah melirik pada Kak Syah yang terlena tidur sebaik sahaja telan ubat selepas bersarapan. Achik kata, memang kesan ubat itu Kak Syah boleh rehat dan tidur nyenyak.

Bahagia Adeilah tengok Kak Syah tidur sambil tersenyum. Teringat waktu pernah tolong jaga Kak Syah dulu selepas keguguran. Setiap kali tahap kesihatan kakaknya itu kurang baik, segera dia melaporkan kepada abangnya.

Salam Achik, Kak Syah tak sihat.
- Adik @ Sofea Adeilah

Walau di mana Achik berada pada waktu itu, dia akan cuba segera pulang dan kembali ke pangkuan isterinya. Sayang sungguh Achik pada Kak Syah.

Oh, sejak dua hari lalu dia sudah singgah dan bermalam di rumah Achik dan Kak Syah di Cyberjaya. Kedengaran suara suami dan abangnya melayan Cho yang minta bermain bubble gun yang Khalid belikan. Suara ceria Along dan Angah juga boleh didengari sampai ke tingkat atas rumah. Rajin kedua abang dan kakaknya melayan permintaan adiknya yang ajak main bersama. Alhamdulillah, elok sahaja Achik dan Kak Syah mendidik anak-anak mereka. Baik budi pekerti dan saling sayang-menyayangi antara satu sama lain.

Malah ketiga-tiga merupakan penghafaz Al-Quran. Yang Along sudah tamat 30 juzuk tahun lepas. Tak lama lagi Along nak habis sekolah Tahun Empat, Angah sudah selesai Tahun Dua dan Cho tamat sesi pra-sekolah umur lima tahun. Syukur sangat sesi persekolahan 2021 sudah tiba ke penghujungnya, kata Kak Syah semalam.

Yang kembar Azlan dan Azlin, bermain sesama sendiri dalam katil mereka. Dah besar anak saudara Adeilah itu. Hanya tua beberapa bulan dengan umur anaknya, Sofea Ameinah binti Khalid.

Sofea Ameinah. Nama manja panggilan Ameinah.
Nama ini diberi bersempena nama ibunda Nabi Muhammad SAW. Cara ejaan pula ikut stail sebelah adik-beradik perempuan Adeilah.

"Biar nampak seragam. Kan, Ameinah?"

Dah besar Ameinah baru dapat bertemu dengan sepupu kembar, Azlan dan Azlin. Duduk dalam semasa zaman Covid-19 ini, nak datang menziarah pun fikir lebih empat, lima kali. Lagi-lagi pada yang ada anak kecil seperti mereka semua. Mencegah itu lebih baik daripada mengubati.

Mujur zaman sekarang teknologi semakin canggih. Bila-bila masa sahaja boleh buat video call dengan Kak Syah dan adik-beradik yang lain. Dah gaya macam orang buat video conference apabila semua berkumpul atas talian. Nasiblah kakak-kakak kena menjawab soalan si adik bongsu yang baru jadi young mother.

"La ilaha illallah... Muhammad Rasulullah." Mulut Adeilah ikut berzikir. "Hmmm, lena betul Ameinah tumpang tidur sekejap dalam buaian Kak Azlin."

"Zaman sekarang tak payah nak hayun buaian macam dulu-dulu. Siap boleh pasang zikir," kata Kak Syah pagi tadi semasa tunjuk demo baby cradle miliknya itu.

Namun mata Adeilah laju menangkap dua utas bracletes di pergelangan tangah Kak Syah. "Dah agak mesti dapat hadiah daripada Achik sebab melahirkan anak kembar."

"Alhamdulillah, dapat satu set sebenarnya." Kak Syah menjawab dengan gaya malu-malu kucing.

Adeilah senyum lagi tengok Kak Syah begitu. Dia pun tunjuk jam terbaharunya. "Khalid beri. Untuk Ameinah."

Kak Syah pun belek jam di tangan Adeilah. "Masya-Allah, cantik. Pandai Ed pilih."

"Ni pilihan Adik la, Kak Syah." Giliran Adeilah pula tersenyum malu.

Suami masing-masing beri hadiah tanda kasih sayang. Kalau stail Achik pula, Kak Syah mengandung pun dapat hadiah. Random gift pun ada. Kadang-kadang Kak Syah dapat sekotak kek Apollo pelbagai jenis perisa siap diikat dengan reben.

"Just simple gift." Achik senyum waktu Kak Syah makan kek Apollo berperisa pandan. Entah apa simboliknya kek Apollo sehingga membuatkan senyuman abangnya itu sampai ke telinga.

Mungkin dia patut tanya Khalid sebab nampak suaminya itu senyum sambil geleng-geleng kepala dengan jawapan Achik.

"Same old, Nurul Akasyah binti Othman." Ringkas sahaja Khalid bersuara.

Dan, Kak Syah hanya membalas dengan angkat kening dua kali.

Hmmm, mungkinkah kek Apollo itu ada kaitannya dengan kerjaya Kak Syah dalam bidang angkasa lepas? Mungkin....


(Alhamdulillah, tamat edisi istimewa kali ini.)

#RADHA #hariharipunsayang

📷: Huawei & Canva

Friday, January 07, 2022

[Special Entry 13] Gelap

Karya pendek

Gelap
Oleh Rnysa

Special Entry 13
Edisi 25 Disember

#MCODayX #HariNatal 
#stayathome #stayblessedalways

Den Haag, Belanda

Dah macam gaya orang nak sambut raya. Tapi ini raya lain. Tak adalah sambut sangat dalam erti kata sebenarnya. Sekadar meraikan cuti hari natal bersama keluarga sahaja. Lagipun papa pun sudah lama tak balik ke kampung halamannya ini. Rumah agam tiga tingkat ini meriah dengan kehadiran keluarga sebelah papa dan adik perempuannya.

"Kita nak masak apa lagi ni?" Kaduk pandang kakak sulungnya yang baru lepas masukkan batch kedua ayam bakar ke dalam ketuhar. Makan besar mereka sekeluarga malam ini.

Sofea Aqeilah menyeka peluh di dahi dengan belakang tangan. Hangat! Dari semalam lagi dia ambil kontrak 'bakar-membakar' dengan adik bongsunya, Sofea Adeilah. Yang Adik pula macam biasa bertindak sebagai pâtissier @ pastry chef dalam menyiapkan segala jenis biskut, kek dan pemanis mulut. 

"Roasted chicken dah siap. Yang lain-lain pun dah selesai. Cuma tinggal nak buat salad sahaja," balas Kak Long Aqeilah. Dia nampak Syah sedang potong siap-siap segala jenis sayur dan buah untuk salad.

"Kentang putar?" Kaduk rasa lapar pula waktu sejuk begini. Nak tunggu makan malam lambat lagi.

"Dalam peti ais. Kalau lapar, pergilah makan sikit dulu." Faham sangat perangai adik lelakinya itu yang tiba-tiba muncul di dapur. Muka orang nak cari makanan.

Kaduk sengih. "Nice!"

Pintu peti sejuk dibuka. Kentang putar dalam bekas tertutup dikaut ke dalam mangkuk. Lepas itu dituangnya kuah black paper yang telah sedia dipanaskan di atas tungku dapur.

"Nak?" Sesudu kentang disua pada isterinya.

Laju Syah geleng kepala. Matanya menyorot pada Kak Long Aqeilah yang pura-pura buat tak nampak aksi adik lelakinya yang nak bermanja itu.

"Okey, Kak Long pergi naik bilik dulu." Sofea Aqeilah minta undur diri dan nak beri ruang pada adik-adiknya itu. "Kalau dah siap potong nanti Syah simpan dalam peti sejuk. Dressingnya nanti Kak Long yang buat."

Syah main angguk sahaja. Segan sangat dengan kakak iparnya itu.

Waktu nak keluar dari ruang dapur Sofea Aqeilah bertembung pula dengan suaminya. Terus ditahannya lelaki itu daripada nak melangkah masuk.

"Kenapa?"
"Adam dan Syah. Nak ambil apa... tunggulah sekejap lagi."

Tanpa banyak soal, mujur suaminya itu mengikut saja. Walaupun matanya nampak kelibat adik iparnya itu suami isteri macam tak buat apa yang istimewa. Adam sedang makan sesuatu, Syah pula sedang potong buah.

Namun sedang elok pula anak si Adam meluru ke dapur juga. "Arham, tolong ambilkan air masak suam untuk Pak Long," pintanya. "Pak Long tunggu dalam reading room. Terima kasih."

"Okey, Pak Long." Jawab Arham dengan sopan, terus sambung berlari anak ke dapur.

"Ibu, Pak Long minta air masak suam." Dia cabut sarung tangan tebal dan letak di atas meja panjang kitchen island.

Syah pun berpaling. "Pak Long?" Tak nampak pula kelibat abang iparnya itu. "Arham pula nak apa ni?"

"Hot chocolate, boleh? Sejuklah, ibu." Arham menghembus tangannya yang terasa dingin.

"Nak tambah apa-apa lagi? Marshmallow?" tanya Syah.

Arham hanya jawab dengan menggeleng sambil pandang ayahnya yang sedang makan sesuatu.

"Nak?" Kaduk angkat sudu.
Arham menggeleng. "Along kenyang lagi."

"Aisyah mana? Main salji lagi?"
"Ya. Dengan yang lain."
"Nanti Arham tolong ajak semua masuk. Siap untuk maghrib dan makan malam."
"Okey, ayah."

Syah letak coklat panas di hadapan anak sulungnya.

"Terima kasih, ibu. Bismillah..." Arham bawa cawan ke mulut, diteguknya perlahan.

"Aik, untuk anak je? Ayahnya?" 
"Laaa, nak juga ke?"
"Mestilah nak."

Syah kembali ke water heater, isi air dalam termos untuk abang iparnya dulu. Dia baru nak capai mug untuk suaminya pula, tapi bila nampak Aisyah dan sepupu-sepapatnya datang terus tangannya ambil jug besar. Bancuh terus coklat panas untuk semua. Kalau tak habis, simpan saja dalam peti sejuk nanti. Disebabkan sejuk main salji tadi, masing-masing pun berebut nak minum. Sementara itu Arham sudah pergi hantar air untuk Pak Longnya di reading room.

"Ramainya orang kat dapur."

Syah berpaling sebaik sahaja mendengar suara ibu mentuanya itu.

"Minum sekali, mama." Kaduk pelawa mama duduk juga.

"Tak apalah. Ingatkan Kak Long ada lagi." Mama jenguk ketuhar yang nampak terpasang. Oh, ada si Aqeilah letak timer juga. Tak apalah.

"Dia dah naik tadi, mama." Syah bersuara.

Mata mama memerhati sekeliling, melihat persiapan untuk malam ini.

"Semuanya dah siap. Tinggal salad saja." Beritahu Syah lagi sebab nampak ibu mentuanya buka pintu pintu ais pula.

"Okeylah. Terima kasih banyak, Syah." Mama senyum. Dia kalih tengok wajah cucu-cucunya pula. "Yang lain pergi bersiap mandi dulu," katanya sebelum berlalu.

Terima kasih banyak, Syah.
Ucapan mama itu buat Syah tersenyum sendiri


Malam itu...

Tiga meja panjang penuh dengan makanan di dining room. Dah macam dalam dewan makan ala-ala di hotel atau dalam filem Inggeris. Selepas usai semuanya, bersambung dengan acara bertukar-tukar hadiah pula.

Malam.
Penuh makna.

Esoknya pula ada yang keluar ke bandar, ada yang tinggal duduk di rumah dll. Kaduk sekeluarga pula memilih pergi menunggang kuda. Siap bawa raga, nak berpiknik dalam sejuk. Tentulah Syah kena naik sekali dengan suaminya. Yang Arham dan Aisyah naik kuda yang kecil. Sampai saja di atas puncak bukit kecil dekat dengan rumah grandma, mereka berhenti dan turun dari kuda masing-masing.

Syah depang tangannya luas-luas sambil hirup udara segar. Pemandangan yang sangat cantik memukau matanya.

"Happy?" Kaduk bersuara di belakang.
"Inderdaad." Syah senyum. Indeed.

Kaduk ketawa. "Sampai sini terus pandai cakap Dutch ya. Ik hou van jou."

"Aishiteru." Syah senyum.

"Aishiteru, ibu... ayah." Arham dan Aisyah pun peluk Kaduk dan Syah serentak.

One big hug.
One happy family.

Alhamdulillah.

Siang.
Penuh bahagia.

(Alhamdulillah, tamat edisi istimewa kali ini.)

#RADHA

Friday, December 24, 2021

[Special Entry 12] Gelap

Karya pendek

Gelap
Oleh Rnysa

Special Entry 12
Edisi Yang Berkhidmat

Penghujung Disember 2021
#MCODayX #DaruratBanjir
#stayathome #staysafe

Syah teragak-agak nak mengangkat telefon. Nombor tersebut sudah lama tidak muncul. Lama dia termenung di hadapan jendela kamar utama. Nak angkat atau tidak. Namun, akhirnya dia mengalah jua.

"Doktor Akasyah?"
"Ya, saya?"

"Maaf kerana terpaksa mengganggu, but... your country needs you. We need you."

"Baik, saya faham." Dalam sekelip mata lokasi sudah bertukar ke bilik mesyuarat ala war room. Syah meneliti setiap wajah yang sedang bersidang dalam meja bulat. Matanya berhenti pada orang yang duduk paling tengah, sedang mempengerusikan mesyuarat tergempar tersebut.

"Pinto? Ketua Pengarah NADMA?" Sejak bila pula Syah bekerja satu bidang dengan rakan sekolahnya itu? Syah kehairanan. Selepas itu muncul pula susuk suaminya yang berbisik kepada Pinto dengan wajah serius.

"Eh, Kaduk pun ada?" Bagaimana pula dua jurutera bidang oil and gas boleh terlibat sama dalam NADMA atau Agensi Pengurusan Bencana Negara?

Yang Kaduk pula pegang jawatan...

"Pengerusi MKN Selangor?" Bagai nak dah terkeluar biji mata Syah. Biar betul Kaduk memegang tampuk kepimpinan Majlis Keselamatan Negara.

Bunyi dentuman guruh yang kuat di luar dan disertai cahaya kilat yang terang membuatkan Syah terus terkejut dan tersentak.

"Astaghfirullah hal azim, mimpi rupa-rupanya." Syah buka mata. Wajahnya diraup berkali-kali sambil memandang suami yang nyenyak tidur.

Bahana mendengar perbualan Kaduk dan rakan-rakannya yang bermesyuarat secara maya untuk mengatur koordinasi bantuan banjir sebelum masuk tidur malam tadi. Ditambah dengan membaca segala kemaskini dalam media sosial. Boleh pula isu banjir terjah masuk ke alam mimpi.

Pada 18 Disember yang lalu, seluruh negara dikejutkan dengan banjir besar yang melanda beberapa buah negeri. Ada kawasan air naik tinggi sampai hapus bumbung rumah dua tingkat. Ada juga mangsa banjir yang sampai terpaksa bermalam di atas bumbung sementara menanti diselamatkan dan dibawa ke Pusat Pemindahan sementara (PPS). Orang awam, badan bukan kerajaan (NGO), sukarekawan, agensi kerajaan dan pihak anggota keselamatan masing-masing cuba memainkan peranan dan menjalankan tanggungjawab sebaik yang mungkin dalam membantu misi pasca banjir.

"Allahu akbar." Syah mengurut dada tatkala mendengar bunyi guruh sekali lagi. Terkejut sangat. 

Segera dia bangkit dari katil, menjenguk ke luar jendela. Hujan lebat sedang turun mencurah-curah ke bumi, disertai angin yang kuat. Walaupun rumahnya terletak dalam kawasan yang agak tinggi, namun rasa bimbang itu tetap ada.

Syah berkalih mukanya ke belakang sebaik sahaja mendengar rengekan Azlan. Pantas dia pergi ke katil anak kembarnya itu, menepuk-nepuk Azlan yang sudah terjaga.

"Tidur ya nak. Ibu ada ni. Tidurlah, sayang." Lembut sahaja dia menutur, mendodoi sehingga si kecil terlena semula. Mujur yang seorang lagi tak terbangun.

Kesempatan yang ada dimanfaat sebaiknya. Syah melangkah ke bilik air, mengambil wuduk. Telekung disarung, sejadah dihampar.

"Allahu akbar."

Di bawah langit yang sama
Menadah kurnia Yang Maha Tinggi

Di atas bumi yang sama
Mencari rezeki Yang Maha Luas

Dalam sujud terakhir Syah menangis teresak-esak. Rasa kurang sangat apa yang dia mampu buat. Apabila teringat balik mimpinya tadi, rasa Tuhan sedang cuba memberitahunya tentang sesuatu. Kemusnahan besar kali ini mungkin boleh dikurangkan kesan impaknya dengan kelebihan ilmu dan kepakaran yang dimilikinya. Namun, dia yang memilih berhenti di tengah jalan untuk berbakti kepada suami dan keluarga, sedangkan dia merupakan antara penerima biasiswa yang sepatutnya berkhidmat sepenuhnya untuk negara.

"Ya Allah, ampunilah segala dosa-dosaku."

Di antara langit dan bumi yang masih sama
Merenung makna Yang Maha Mengetahui

(Alhamdulillah, tamat edisi istimewa kali ini.)

#RADHA

***

Yang mungkin wonder Syah kerja apa dan latar belakang akademiknya, boleh baca entry sebelum ini:


Friday, December 17, 2021

[Special Entry 11] Gelap

Karya pendek

Gelap
Oleh Rnysa

Special Entry 11
Edisi Untold Story

#MCODayX #staycation
#stayathome #stayatwork #stayathotel


Laaa... First time lupa birthday Kaduk.

Happy birthday, Encik Carl Duke Adam!

Oh, patutlah ada orang merajuk dan ajak dating hari ini dekat KLCC. Maaflah... dengan kehadiran si anak kembar, Puan Akasyah semakin sibuk dan lupa membilang hari.

Mana lagi dengan urusan persekolahan anak-anak lagi semua blablabla...

Welcome to Club 39, Encik Kaduk.

- Syah yang busy

*

Ya, terima kasih atas kesudian menyelesaikan 'urusan peribadi' pada hari ini, Puan Akasyah.

Terima kasih, sayangku.

- Kaduk yang happy

***

Sarapan pagi.

Kaduk angkut satu keluarga pergi short staycation. Ada kerja tapi hujung minggu nak terus berjalan-jalan. Lama sangat duduk di rumah. Kasihan tengok anak-anak mengadap komputer riba semasa PdPR dan tak dibawa pergi bercuti.

Dia tolak stroller si kembar, Azlan dan Azlin. Sementara Syah pegang tangan anak-anak yang lain. 

"Bilik nombor 1402..." beritahu Kaduk sebaik sahaja tiba di bahagian reception, sebelum dibenarkan masuk ke ruang makan.

Adik pramusaji cekap memberikan sarung tangan plastik seorang satu untuk digunakan semasa mengambil makanan. Norma baharu!

"Ramai kawan-kawan abang." Dari jauh lagi Syah dapat lihat segerombolan jejaka memakai baju coverall warna kuning macam Kaduk. Ada yang warna hijau dan warna lain, yang datang dari syarikat lain. Dan ada juga pekerja Petronas yang lain, berdasarkan nama syarikat pada t-shirt korporat masing-masing. Macam dah berkampung pula!

"Ayah, baju orang tu macam ayah punya." Akram tunjuk sekumpulan lelaki yang berpakaian serba kuning yang lalu lalang.

"Ya, kawan-kawan ayah semuanya."

Mereka sekeluarga memilih sudut yang agak tersorok kerana Kaduk hendak parking stroller anak-anaknya itu.

"Semua ikut ayah pilih makanan. Ibu tunggu di sini dulu," arah Syah. "Lagipun ayah nak mula kerja sekejap lagi," katanya lagi sambil menebarkan pandangan ke sekeliling, melihat orang sibuk menatang pinggan dan piring masing-masing.

Tak lama kemudian, Kaduk kembali dengan sepinggan roti canai dan segala jenis kuah dan chutney. "Untuk sayang..."

Namun, tak sempat Syah nak ucap terima kasih atau apa, suaminya itu sudah melangkah semula ke meja buffet.

"Laaa, kita suruh dia yang makan dulu." Terharu pula Syah dengan kind gesture suami sendiri. Dia pandang Kaduk yang sedang melayan permintaan anak-anak mereka pula.

Hmmm, ada sebabnya dia memang tak tayang sangat fasal suami sendiri dalam media sosial. Bahaya!

Lalu, Puan Akasyah pun tersenyum sendiri.

***

"Lorr, berkenalan sebab lagu Korea." Pinto tergelak sebaik sahaja Khalid tarik kerusi di sebelahnya.

"Kau jangan nak macam-macam dengan aku." Khalid terus melabuhkan duduk.

"Hai, dah jadi adik ipar Kaduk terus berlagak dengan aku. Tahulah dapat isteri cantik." Pinto tepuk lembut bahu Khalid.

"Dira pun cantik juga," Kaduk menyampuk. "Awal dia pergi balik homestay tadi."

"Penat katanya." Kadang-kadang Pinto tak faham apa masalah Dira dengan isteri Kaduk. Suka sangat nak tarik muka depan si Syah. Lepas itu nak main cakap lepas tak fikir perasaan ibu anak tiga itu. Padahal Syah kan kawan satu sekolah mereka juga. Perempuan...

"You ni memang suka back up dia, kan. Sah ada hati dekat dia masa sekolah dulu." Dira mencebik sebaik sahaja Syah minta diri nak tengok anak-anaknya yang berambut perang itu. Anak-anaknya itu pun lebih banyak mengikut muka Kaduk.

"Apa you merepek ni, yang? Bila masa I ada hati dengan Syah pula?" Pinto tak suka kena tuduh begitu. "Perlahan sikit suara you tu, orang belakang dah pandang-pandang kita. Lagipun hormat sikit pada tuan rumah. Kaduk yang ajak kita datang sini. Nak cakap macam-macam fasal isteri dia pula."

"Kaduk, Kaduk..." Dira tarik muka masam.

Pinto terus cari telefon dalam poket baju melayunya dan buat hal sendiri. Malas nak melayan sangat perangai moody Dira setiap kali mengandung dan setiap kali bersemuka dengan Syah. Ada saja yang tak kena.

"Rasanya Kaduk tu dah lama suka Syah. Sejak zaman sekolah lagi. Takkanlah I nak cantas kawan sendiri. Tak logik." Pinto genggam tangan lalu letakkannya di dada. "Brotherhood."

"Brotherhood." Dira ulang balik. "Yang you asyik tenung muka si Syah tu pun brotherhood juga ke?"

***

"Makin berseri-seri muka si Syah sekarang, Kaduk."
"Kalau isteri makin cantik, maknanya yang suami tu pandai jaga."

"Apa kaitannya dengan kau pula?"
"Beras kita beli, Sephora kita supply."

"Pergh, Sephora! Ni sembang-sembang T20 ni."

Kaduk gelak besar. "Aku main sebut saja pun depan kau ni". Sejujurnya apa jenis mask yang Syah nak beli pun dia tak tahu. Dari dulu Syah bukan isteri yang suka meminta sesuatu, apalagi yang mahal. Sebab itu kalau Syah tiba-tiba nak atau berkenaan sesuatu dia mesti terus tunaikan.

Rumah yang ada sekarang itu pun baru dia mampu nak sediakan untuk mereka sekeluarga. Baru nak ada rumah sendiri. Selain itu, dia juga hadiahkan sebuah kereta dengan plat nombor negeri Perak untuk Syah, tanda terima kasih kerana menjadi isteri yang baik lagi setia selama ini. Kereta itu menggantikan kereta "Bumblebee Rebel" yang terbakar sikit hari itu.

"Kereta baharu? Untuk apa?"
"Bawa pergi market."

Syah tersenyum lebar. Apabila ikut kata-kata Kaduk, pasti suaminya itu akan beri lebih. Yang tak minta pun boleh dapat. Rezeki.

"Putih. Warna kesukaan abang."
"Syah pun suka juga."

Untold story
Unbreakable friendship

Endless love

(Alhamdulillah, tamat edisi istimewa kali ini.)

#RADHA #untoldstory #behindthescenes

Semua untold story di atas daripada entry asal lontaran FB pada 19 Nov, 3 Dec & 7 Dec 2021.

📷: Spotify/Instagram

Sunday, December 05, 2021

[Special Entry 10] Gelap

Karya pendek

Gelap
Oleh Rnysa

Special Entry 10
Edisi Sebuah Cerita

Malam
#MCODayX #honeymoon
#stayathome #staysafe #staysweet

Honeymoon.

1. Pulau Pinang
Kali pertama pergi berbulan madu. Tak boleh lupakan riak muka Syah saat dia minta nak rasa sikit roti jala.

2. Nara dan kawasan selatan Jepun
Pergi bercuti nak tengok musim luruh. Ajak sekali Ammar dan Wawa berkonvoi. Dan waktu inilah, dia tak sedar ada satu ketika yang Syah tak boleh berjalan.

Dia tahu pun sebab terbaca diari Syah.
Sampai sekarang dia masih tak faham kenapa Syah nak sorok penyakitnya daripada suami sendiri?

X. Morocco
Honeymoon lagi. Entah buat kali ke berapa kalau tak campur staycation hujung minggu. Tapi dia memang suka nak bawa Syah jalan-jalan. Dulu bercuti dengan kawan-kawan, sekarang bertemankan kawan baik zaman sekolah dulu.

"Dah kenapa asyik senyum saja dari tadi?" Si kawan baik yang sudah bertukar status jadi isteri itu berhenti membelek pinggan mangkuk di sebuah kedai dalam pasar atau medina di bandar Marrakesh ini. "Tolonglah pilihkan sekali..."

Kaduk sambung senyum lagi. Hati tengah berbunga bahagia.

"Sayang? Dah penat ke?" Si dia petik-petik jari depan muka Kaduk.

"Tak adalah. Okey, nak beli untuk apa?" Okeylah, dia beri kerjasama. Barulah nak tenung isteri lebih sikit kena buat kerja.

"Hadiah dan nak pakai sendiri. Cantik kan?" Sebiji periuk tajin dengan corak motif geometri tempatan disua kepadanya.

"Cantik..." Masih senyum sambil pandang muka Syah, bukan tengok periuk belanga.

"Yang mana satu lebih cantik? Yang ini atau..." Syah angkat lagi sebiji periuk corak lain. "Yang ini."

"Allahu akbar, nak kena pilih satu saja?" Pada kaca mata Kaduk, periuk is periuk. Fungsinya sama saja. Nak bandingkan mana yang lebih cantik? "Orang yang sedang pegang periuk."

Terus Syah letak balik periuk atas rak. "Jawablah elok-elok. Abang ni kan..."

***

Kaduk selak album gambar lama. Syah yang duduk di sebelah tumpang sekaki. Anak-anak semua sudah masuk tidur.

Mereka berdua tersenyum pada beberapa keping foto. Waktu atas kawasan bangunan hotel yang terbuka. Hari terakhir di Morocco. Esoknya mereka berdua sudah nak kembali semula ke London. Malam itu aktiviti santai sahaja. Lagipun sejak tiba di Morocco, Syah tak berapa nak sihat. Asalnya Kaduk bawa Syah berjalan-jalan sebab nak menggembirakan hati isterinya itu. Tapi itulah, dia faham dan sedia maklum dengan keadaan dan tahap kesihatan Syah. Nak berjalan terlebih sangat, nanti lututnya akan sakit balik. Nak berdiri terlalu lama sangat, nanti pinggangnya pun akan sakit balik. Jadi, jadual dan aktiviti percutian mereka pun disesuaikan mengikut tahap kesihatan Syah itu.

Hingga saatnya terluka.
Hingga saatnya berduka.

"Jom kita pergi honeymoon lagi." 
"Anak-anak?"
"Kita angkutlah sekali. Macam biasa." 

Syah diam lama. Kaduk ni biar betul...

"Ataupun... jom kita migrate?"
"Nekad?"

Kaduk tak pantas menjawab. "Sebenarnya abang lagi suka kita duduk Malaysia macam sekarang, lebih dekat dengan keluarga. Kalau apa-apa jadi sekurang-kurangnya ada ahli keluarga kita boleh tolong tengokkan Syah dan anak-anak."

"Tapi?"

"Tapi..." Kaduk pandang mata Syah. "There's part of you tak happy balik sini. Anak-anak pun dah mula perasan dan tanya abang, 'Kenapa ibu asyik sakit? Kenapa ibu asyik pergi hospital? Kenapa ibu dah makin kurus?' Abang tak boleh nak jawab. Sepatutnya Syah gembira, but deep down inside you're not. Itu yang buat semua orang bimbang dan risau."

Syah membiarkan Kaduk bercakap, tak menyampuk walaupun sepatah.

"Jadi, abang rasa seeloknya kita duduk di mana Syah rasa selesa. Lupakan fasal berapa abang dah habis untuk rumah ni. Kita fokus pada diri Syah. Selepas Syah bersalin, abang uruskan segala hal untuk kita migrate." Kaduk buka buku plannernya. "I've made all the plans. Tinggal nak execute bila aja."

Syah pandang masterplan si mastermind.
Tertulis di situ... 

MIGRATE TO ________

Siap ada timeline, long list apa nak buat dan macam-macam lagi. Sama caranya masa mereka putuskan nak balik ke Malaysia dahulu.

"Sayang pilih saja kita nak pergi mana. Abang dan anak-anak ikut saja pilihan sayang. You choose..." Kaduk buka peta dunia dalam telefon bimbitnya dan diletakkannya pada telapak tangan Syah.

"Kita... migrate lagi?"
Syah tarik nafas panjang-panjang.

Hingga saatnya derita.
Hingga saatnya bahagia.

Semuanya hanyalah perjalanan sebuah cerita.


(Alhamdulillah, tamat edisi istimewa kali ini.)

#RADHA #untiljannah #migrate

📷: Pinterest

Wednesday, November 24, 2021

[Special Entry 9] Gelap

Karya pendek 

Gelap
Oleh Rnysa

Special Entry 9
Edisi Apabila Tiada

Malam
#MCODayX #staysabr
#stayathome #stayloyal #staypositive

"Alhamdulillah, sedap umi masak bubur bayam." Ammar tarik nafas lega sebaik sahaja selesai menyuap anak-anaknya makan malam. Dah masuk umur tujuh bulan ke atas boleh beri makanan pejal seperti puri dan bubur. Usai beri suapan terakhir, dia menyudu air minuman pula kepada Aminuddin.

Yang abang kembarnya, Amiruddin sedang berdiri sambil bergerak pegang tepi sofa. Pasangan kembar perempuan, Firdaus dan Naim pun masing-masing sudah pandai berdiri dan duduk sendiri. Dapat empat anak serentak memang mencabar dan adakalanya tak menang tangan. Jadi, mereka ambil pengasuh untuk membantu juga.

"Oh ya, Nur dah beli food feeder yang Kak Cumi cadangkan hari itu. Nanti Kak Cumi boleh guna." Wawa pandang pengasuh, Kak Cumi yang tengah mengepung anak-anaknya supaya tak berjalan sampai ke pintu gelangsar. Yang si Firdaus suka main ketuk-ketuk pintu cermin. Dan bila seorang buat, yang lain pun nanti mengikut sama. Sehati dan sejiwa.

"Yey, esok semua kembar dah boleh makan buah." Kak Cumi atau nama sebenarnya Sumaiyah Fadilah bersorak gembira.

Terus kembar empat itu berpaling, ketawa serentak sambil bertepuk tangan mengikut kakak pengasuh mereka.

Ammar dan Wawa tersenyum bahagia.

***

20 Disember 2020
Sebelah malam usai majlis resepsi keluarga Adeilah & Khalid... 

"Apabila kau tak ada sesuatu yang kebanyakan orang lain ada, mungkin kau akan berharap orang lain yang memilikinya itu dapat lebih menghargainya." Dengan tenang Ammar menjawab soalan Pinto sebelum membuang pandangan pada Khalid yang sedang memetik piano, memainkan lagu "Hati Tak Bertuan" yang Syah dan adik Kaduk sedang dendangkan.

"Setiap yang kau ada dan miliki sekarang, mungkin orang lain belum dapat milikinya. Kebanyakan manusia suka membandingkan antara satu sama lain. Siapa yang lebih atau kurang daripada orang lain. Dan tak semua orang boleh sabar tunggu nak mendapatkan sesuatu." Ammar berhenti seketika, hirup air teh.

"Aku pun ada perasaan dan keinginan macam orang lain juga. Nak ada anak-anak, zuriat keturunan aku sendiri. Lama kami berusaha dan menunggu. Cuma, aku rasa Allah nak suruh Nur dan aku belajar erti dan rasa bersabar itu yang sebenarnya," sambung Ammar lagi.

"Untuk sesetengah orang perjalanan hidup dia dipermudahkan di atas dunia. Smooth saja, tak berliku-liku sangat. Sesetengah orang lain pula ujian datang bertubi-tubi tak henti, tapi... kita tak tahu pengakhiran akhirat dia mungkin sangat smooth. Sebab sebenarnya Allah nak mempermudahkan urusan dia di sana kelak. Dunia ini sekejap saja, akhirat juga yang kekal abadi.

Sebab makin banyak yang kau ada, lagi banyak kena soal selidik nanti. Atas dunia mungkin boleh lepas.

Dan aku rasa, ada orang yang Allah beri dia perasaan yang lama-kelamaan dah tak kisah sangat dengan apa yang orang lain ada dan dapat di dunia ini, sebaliknya dia sangat looking forward kehidupan yang menanti di syurga. Dia boleh kekal tenang dan gembira sesiapa ada macam-macam, sedangkan dia tak ada." Panjang lebar Ammar berbicara, meluah rasa hati.

"Betul. Kena banyak bersyukur," akui Pinto. 

Tapi... Pinto dah rasa macam kena tazkirah percuma 'back-to-back' dengan Ammar. Terus Pinto renung Kaduk yang dok 'usya' isteri sendiri. Si Syah masih sedang bersuka ria dapat reunion dengan Ed. Entah kenapa Pinto rasa Kaduk yang jadi mastermind, suruh Ammar bercakap sekarang.

Kaduk yang terasa dirinya diperhatikan bersuara, "Kolam renang papa aku ada aja depan tu..."

Damn! Kan aku dah agak dah... mesti kerja si Kaduk Adam ni nak suruh Ammar 'basuh' aku sekarang. Lagi-lagi sebab nampak Kaduk sengih semacam.

Aku tahu kelemahan kau, Carl Duke Adam.
"Oh, Syahhhhhh!"

"Oit!" Terus Kaduk rasa nak luku kepala Pinto.

Pinto gelak jahat dalam hati. Tahu pun takut!

Kaduk dan Syah. 
Ibarat Superman dan kryptonite.

Tiba-tiba masing-masing senyap macam malaikat lalu... 

"Telaga di bawah gunung." Kaduk senyum tengok Syah dari meja dekat piano. Senang hati melihat senyuman manis isterinya itu.

"Apa? Telaga di bawah apa? Telaga di bawah laut? Kaduk, kau kena pergi offshore?" Berlapis dahi Pinto tiba-tiba. Antara dengar atau tak saja si Kaduk cakap apa.

"Peribahasa Melayu. Eh, bukan ke kau yang masuk debat BM dulu kan, Pinto? Patut bab mengayat dalam BM ni mesti kau power, kan?" Kaduk sengih.

Walaupun Kaduk wakil debat BI dan Pinto pula wakil debat BM, selalu sahaja waktu lapang mereka berlatih bersama dulu.

Pinto kunci mulut rapat-rapat. Kaduk ni saja nak 'mengundang'. Karang lagi satu round kena tazkirah dengan si Ammar.

"Kau jangan provoke aku. Nak buka debat ala parlimen, Kaduk. Aku dah lama tak praktis dengan kau ni." Pinto pandang muka Ammar yang macam tengah sedia untuk buka takzirah percuma satu pusingan tambahan.

Kaduk depang tangan. "Aku rindu zaman sekolah." Hai, sesekali dapat berkumpul dengan rakan sekolah macam ini memang mengimbau kenangan.

"Ala, kau mengaku je la kau rindu awek sekolah kau tu. Yang kau suka tenung masa ajar dia dulu. Dia tunduk tengok buku, kau curi pandang dia sambil tersenyum-senyum. Siapa nama awek yang kau selalu study sama dulu? Akasyah, kan?"

Kaduk gelak besar. "Banyak la kau."

"Kau ingat kita orang semua tak tahu? Kau fikir tak ada siapa yang perasan? Tak ada saksi mata yang memandang? Apa lagi, Ammar? Sila jalankan tanggungjawab anda." Pinto pulang paku keras dekat Kaduk, siap tangannya buat gaya buka gelanggang 'The stage is yours' pada Ammar.

Kaduk gelak lagi.

"Tak payah. Aku dah lama kena 'basuh', dah selalu kena 'berus', dah naik segan kena 'sagat' dengan Ammar. Kau ingat Ammar ni 'let go' aku macam tu aja?"

Ketawa pecah.

"Kau pun kena ke, bos?" Pinto geleng kepala. "Kaduk, Kaduk. Aku ingat headboy tak kena ceramah dengan anak buah."

"Headboy tak headboy." Ammar sengih teringat kisah lama. Dari dulu dia selalu nasihat Kaduk fasal Syah. Mujurlah akhirnya Kaduk memang pasang niat nak berkahwin dengan 'member study'nya itu.

"Ni... AJK BADAR dari form one. Hardcore usrah. Naqib aku sampai sekarang." Kaduk tepuk-tepuk bahu Ammar. "Kau rasa?" Kaduk angkat kening pada Pinto.

Masing-masing cuba nak tahan sengih.

***

Bristol, UK

Ammar baru tiba dari Melbourne. Bagpacking dengan Kaduk dan kawan-kawan mereka yang lain. Masa dekat sana sempat pula Kaduk nak jadi tukang match maker untuk dia.

"Namanya Wawa. Nur Jannatul Ma'wa. Kembar Ain yang ambil medik RSCI tu," kata Kaduk sebaik sahaja kelibat gadis itu muncul.

Sebenarnya dari dulu dia tak fikir sangat fasal perempuan. Bukan tak ada perasaan dan perancangan nak berumahtangga, cuma belum tiba masanya. Dia tak berminat nak 'invest' perasaannya untuk benda yang belum pasti. Namun, kalau ada yang berkenan di hati Ammar tidak menolak jodoh yang datang.

"Ana tak bersedia..." Terus terang dan jujur dia menolak.

Sms ringkas dihantar kepada ibunya di kampung.

"Assalamualaikum Umi, Abang Ngah dah masukkan duit dalam akaun Umi."

Azan berkumandang dari speaker komputer riba. Tanpa berlengah lagi, Ammar segera ambil wuduk dan angkat takbir.

"Allahu akbar..."

Hati
Tak bertuan

Hati
Tak bertuhan

Sebelum terbiar ia tanpa tuan.
Sebelum terlupa ia tanpa Tuhan.

(Alhamdulillah, tamat edisi istimewa kali ini.)

#RADHA #stayshukr

📷: Pinterest

Thursday, August 26, 2021

[Special Entry 8] Gelap

Karya pendek

Gelap
Oleh Rnysa

Special Entry 8
Edisi Bahtera Nabi Nuh

Petang.
#MCODayX #bahterapenyelamat
#stayathome #staysafe #staytogether

Di luar semakin gelap.
Dengan mendung awan hitam pekat menutupi sinaran cahaya yang sedia malap.


"Ramai yang mengaitkan pandemik Covid-19 ini dengan kisah banjir besar yang pernah melanda kaum Nabi Nuh pada suatu ketika dahulu. Jadi..." Syah berhenti sekejap, saja nak beri rasa teruja kepada anak-anak.

Arham, Aisyah dan Akram memberi tumpuan seratus peratus kepada ibu mereka.

"Jadi..." Syah ulang sekali lagi.

"Jadi?" Ucap tiga beradik serentak, sudah tidak sabar lagi.

"Jadi, ibu akan..."

"Jadi, ibu akan apa?" Yang bongsu sudah tidak mampu menahan debar. Lantas Akram terus duduk dalam pangkuan riba ibunya. Dah nak jadi abang tak lama lagi pun masih manja bukan main dengan ibu. Kalau boleh dia selalu nak dekat dengan ibu. Mak Adik selalu usik yang Cho macam anak kanggaru.

Syah berdehem beberapa kali. Selepas ambil dos suntikan vaksin ini dia cepat rasa dahaga dan kering tekak daripada biasa. Nak kena banyak dan selalu rajin minum air masak. Memang dia jenis minum air masak pun sebelum ini. Alhamdulillah, tak ada side effect lain yang teruk. Oh, ibu mengandung sudah boleh mendapat suntikan vaksin Covid-19. Apapun, sebaiknya rujuk doktor terlebih dahulu sebelum mendapatkan suntikan. Setiap orang hanya mampu berikhtiar, selebihnya berserah dan tawakkal kepada Allah Taala.

"Jadi, ibu akan menganjurkan pertandingan bercerita. Hadiahnya ditaja oleh..." Syah pandang muka Kaduk. "... ayah. Sila berikan tepukan paling gemuruh kepada penaja kita." Syah pun tepuk tangan, anak-anak pun ikut sekali.

Kaduk senyum dan angguk sahaja. Anak-anak pun nampak gembira semacam sebab hadiah pun turut disediakan.

Segera Syah paparkan poster pertandingan pada skrin TV. Bersemangat malam tadi dia godek-godek aplikasi Canva untuk buat poster, beri nampak sikit aura pertandingan itu. Selama anak-anak belajar dari rumah, pelbagai aktiviti pembelajaran dan permainan yang menarik mereka suami isteri cuba lakukan untuk tiga beradik itu supaya seimbang ilmu dunia dan akhirat.

"Yang Nabi Nuh ni berdakwah beratus-ratus tahun, kan?" tanya Akram untuk kepastian.

"Betul, lepas itu Allah perintahkan baginda bina kapal sebelum Allah datangkan banjir dan taufan," jawab Kaduk.

"Nabi Nuh... salah seorang Rasul Ulul Azmi juga," tambah Arham. Dia suka dengar ibu bercerita tentang kisah kehidupan para nabi dan rasul utusan Allah.

"Di dalam al-Quran, Allah SWT menyatakan bahawa Nabi Nuh AS menyeru kaumnya kepada Allah SWT selama 950 tahun. Berdasarkan firman Allah SWT:

وَلَقَدْ أَرْسَلْنَا نُوحًا إِلَى قَوْمِهِ فَلَبِثَ فِيهِمْ أَلْفَ سَنَةٍ إِلَّا خَمْسِينَ عَامًا فَأَخَذَهُمُ الطُّوفَانُ وَهُمْ ظَالِمُونَ

Maksudnya: “Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Nabi Nuh kepada kaumnya, maka tinggallah dia dalam kalangan mereka selama sembilan ratus lima puluh tahun; akhirnya mereka dibinasakan oleh taufan sedang mereka berkeadaan zalim (dengan kufur derhaka)”. Arham yang sudah hampir tamat menghafaz Quran dengan lancarnya membacakan petikan daripada surah al-‘Ankabut ayat 14 itu termasuk makna ayatnya sekali.

Syah pun gosok kepala anak sulungnya itu sambil memuji: "Bagus Along. Masya-Allah." Dan anaknya itu membalas dengan senyuman.

"Rasul Ulul Azmi itu apa, ayah?" Akram menyoal lagi.

"Ulul azmi adalah gelaran yang diberikan kepada para rasul yang memiliki kedudukan yang tinggi disebabkan ketabahan dan kesabaran mereka yang luar biasa dalam menyebarkan agama kepada kaumnya." Kaduk usap kepala Akram.

"Nabi Nuh AS, Nabi Ibrahim AS, Nabi Musa AS, Nabi Isa AS dan Nabi Muhammad SAW. Ada lima orang nabi yang digelar Rasul Ulul Azmi," celah Aisyah.

"Pandai Angah. Masya-Allah, bagusnya anak ibu." Puji Syah lagi. Seperti Arham, Aisyah pun balas dengan senyuman juga.

"Insya-Allah, kita boleh mencontohi kesabaran dan ketabahan para rasul dan nabi dalam kehidupan kita seharian." Kaduk senyum kepada semua anak-anaknya dan isteri.

Syah setuju. Ya, seperti tabahnya seorang Nabi Nuh AS berdakwah kepada kaumnya selama 950 tahun tanpa jemu dan lelah. Dalam Al-Quran pun ada bercerita tentang kisah Nabi Nuh ini dalam Surah Nuh, surah ke-71 dalam Al-Quran.

Di situ juga ada doa Nabi Nuh waktu cuba berdakwah dengan kaumnya:

"Sehingga aku berkata (kepada mereka): Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Ia Maha Pengampun. (Sekiranya kamu berbuat demikian), Ia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu; Dan Ia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan Ia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya)."

Daripada ayat 10 hingga 12 dalam Surah Nuh itu, Nabi Nuh AS menasihati kaumnya bahawa dalam hidup ini kena memperbanyakkan istighfar atau memohon keampunan daripada Allah SWT. Dengan itu, semoga Allah mengurniakan rezeki dan nikmat yang melimpah ruah lagi bermanfaat. 

Cerita bab istighfar ini ayah Syah pernah pesan kepada Syah waktu dia mengadu yang kadangkala susah tidur malam, atau tiba-tiba terjaga balik waktu tengah malam atau awal pagi buta. Ayah pesan boleh baca istighfar waktu terjaga. Alhamdulillah, sejak dari itu Syah memang cuba mengamalkannya. Dia memanjangkan pesanan itu kepada suami dan anak-anaknya juga.

Syah pun berharap semoga mereka sekeluarga mampu memilik ketabahan dan kesabaran seperti mana para Rasul Ulul Azmi dalam menempuhi segala ujian kehidupannya. Nak memerdekakan hati dan menyelamatkan diri daripada segala godaan dunia bukannya mudah. Dalam Surah Nuh juga menyebut yang kaum Nabi Nuh telah menurut atau mengikut orang yang banyak harta bendanya, dan anak-pinaknya tidak menambahinya melainkan kerugian di akhirat kelak.

Syah pandang wajah suaminya yang meriah bercerita tentang Nabi Nuh kepada anak-anaknya yang sedang khusyuk mendengar. Alhamdulillah, rezeki dapat seorang suami yang tolong sama dalam mendidik anak-anak.

Tiada yang lain Syah pinta dalam hatinya, semoga Allah sentiasa mengurniakan taufik dan hidayah buat mereka sekeluarga, serta seluruh umat manusia di dunia ini.

Yang Maha Pemurah.
Lagi Maha Mengasihani.

Tunjukilah kami jalan yang lurus.

Iaitu jalan orang-orang yang telah Engkau kurniakan nikmat kepada mereka, 
bukan (jalan) orang-orang yang Engkau murkai,
dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat.


(Alhamdulillah, tamat edisi istimewa kali ini.)

#RADHA #bahteramerdeka

Segala kisah Nabi Nuh di atas dipetik daripada:
https://muftiwp.gov.my/en/artikel/irsyad-al-hadith/1120-irsyad-al-hadith-siri-ke-71-umur-nabi-nuh-as-dan-jarak-masa-antara-nabi-adam-as-dan-nuh-as

📷: Pinterest

Wednesday, August 11, 2021

[Special Entry 7] Gelap

Karya pendek

Gelap
Oleh Rnysa

Special Entry 7
Edisi Like Tanda Suka

22 Julai 2021
#MCODayX #kalaurasagembira
#stayathome #stayeducated #stayhappy

Di dalam masih gelap.
Sedang menanti sedikit cahaya untuk menyuluh terang.


Eh, dia... like? Seriously?

Syah tak berkelip mata sebaik sahaja menerima mesej notifikasi dari aplikasi Twitter di telefon bimbitnya. Niatnya saja nak berkongsi buku-buku yang telah dibeli tapi masih belum sempat dibaca.

"Kenapa ibu senyum-senyum?" Tegur Cho yang sedang mewarna. Pelik tiba-tiba nampak ibunya tersenyum seorang diri sedang menatap skrin telefonnya.

"Oh, ibu rasa gembira." Jawab Syah, sejujurnya. "Kalau rasa gembira..."

"... tepuk tangan." Dengan pantas Cho pintas, sambung lirik lagu ibunya ikut nada melodi lagu kanak-kanak.

"Eh?" Syah ketawa. Laa, ada seorang anaknya yang menurun ikut perangai dia! Lantas Syah usap lembut rambut anak bongsunya itu.

Kalau rasa gembira, tepuk tangan
Kalau rasa gembira, tepuk tangan
Kalau rasa gembira, beginilah caranya
Kalau rasa gembira, tepuk tangan

Bersungguh-sungguh pula Cho menyanyi. Tak sampai hati pula Syah nak melarang.

"Kalau rasa gembira, hentak kaki." Syah pun terus melayan, turut menyanyi bersama.

Kalau rasa gembira, hentak kaki
Kalau rasa gembira, hentak kaki
Kalau rasa gembira, beginilah caranya
Kalau rasa gembira, hentak kaki


Maka, makin bersungguh-sungguhlah Cho menyanyi untuk menghiburkan hati ibunya. Bukan Along dan Angah saja pandai ambil hati ibu, Cho pun sama. Cho harap ibu suka dan makin bertambah gembira.

Sebab semalam tanpa sengaja Cho ternampak ibu menangis teresak-esak waktu ayah tiada di rumah. Ibu menangis sebab apa? Ibu rindu ayahkah? Atau... ibu sakitkah? Perlukah Cho minta pendapat Alongnya? Saat ini wajah ibu yang tersenyum ceria Cho tenung dalam-dalam.

***

Dalam masa yang sama, Syah sibuk menyemak balik jumlah pengikut Twitter milik pegawai tadbir diplomat tersebut.

Yang aku pergi tag dia dan penerbit buku dia tu dah kenapa? Ikhtilat tak jaga, Puan Nurul Akasyah. Ingat sikit kau tu isteri orang!

Seperti selalu, inner voice yang baik menegur di kala dia terlupa. Maka, marilah bermuhasabah diri. Tapi... kalau masih single, Syah

Eh, susah juga kalau penulis artikel yang kita selalu baca tiba-tiba like status Twitter kita. Sama kes waktu Norman KRU accept LinkedIn request suatu hari itu. Punyalah excited dan terus buat screenshot bagai.

Syah berkira-kira dalam hatinya. Harap Kaduk tak kisahlah... 

Carl Duke Adam
@CDAdam liked: Saya suka baca artikel penulis...

Atau mungkin tak...

 + Assalamualaikum, sayang tengah main Twitter ke tu?

Mesej DM Kaduk pun masuk. Laju... 
Allahu akbar, 'ketua pelajar' dah datang buat spot-check pula. 

Otak yang satu lagi pantas buat kerja.

Retreat. Retreat.
Berundur. Berundur.

Okey, mungkin waktu bermain Twitter sudah tamat.
Marilah insafkan diri dan kembali ke alam nyata, wahai Puan Akasyah.

"Cho dah siap warnakan lukisan tadi?" Dalam pada itu sempat lagi Syah nak tengok lukisan Akram, kerja sekolah tadika yang cikgu beri semalam. Perempuan memang terkenal dengan multi-tasking, kan!

Bunyi notifikasi Twitter masuk lagi. Syah jeling pada skrin telefon.

+ Wah, ada orang tu like? Mesti gembiralah, kan? Dia tu antara penulis kesukaan sayang, kan?

Ya Allah, Kaduk ni hantar DM lagi? Tak tahu patut rasa apa sekarang. Tak tahu patut balas apa sekarang. Silap jawab mungkin boleh mencetuskan salah faham antara suami dan isterikah?

- Ahaha, biasa-biasa aja. Abang tengah kerja? Tak sibuk hari ni?
+ Sibuklah juga. Tapi...

Tapi...? Tapi apa? Hmm, Kaduk ni buat ayat tergantung pula. Syah komen dalam hati.

Tentunya, Kaduk berhenti buat kerja sekejap sejurus sahaja dapat notifikasi dari akaun Twitter isterinya. Dia memang follow Syah dan Syah follow dia balik. Dia pun tolong like jugalah apa-apa Syah post. Nak beri motivasi kepada isteri supaya berkongsi pendapat atau buah fikiran. Tapi, sejak bila isterinya pandai tag orang sebegitu? Amboi...

+ Akaun sayang kena hacked ke?

Ala, Kaduk ni... 

- Isteri abang ni siapa sampai orang nak godam akaun pun. Orang tak kenal pun. Bukannya level influencer.

Syah pun tambah emoji sedih di hujung ayat.

+ Manalah tahu orang dapat korek Syah pernah kerja dekat JAXA, kenal orang dalam NASA.
- Tak adalah. Lagipun mana boleh cakap fasal kerja dalam media sosial. Rahsia. Confidential, tahu kan?

Pegang jawatan apa pun tak boleh sebut, apa lagi mahu berkongsi mana-mana info sesedap rasa hati. Ada sesetengah hal itu tahap top secret. Untuk memudahkan diri sendiri, Syah selalu cakap dia kerja buat kira-kira, melibatkan hal kiraan Matematik sahaja. Tak macam bidang kerja Kaduk, Syah nampak macam boleh sahaja berkongsi dalam LinkedIn. Mungkin polisi sesebuah syarikat atau organisasi itu berbeza.

+ Okey tak ni?

Syah gigit bibir. Alamak, mesti Kaduk tahu. Mesti Kaduk dapat agak. Setiap kali Syah out of normal pattern, Kaduk tahu yang ada sesuatu telah berlaku ke atas diri Syah.

+ Sayang?

Kaduk tenung skrin telefon, menunggu balasan. Makin lama hidup bersama, semakin kenal sangat perangai Syah.

Something is wrong... somewhere.
Out of norm. Detected.

Grandma pernah pesan, Syah ni suka hantar isyarat atau signal kalau dirinya tak okey. Semacam dia akan cuba beritahu orang lain, mengikut cara dia yang tersendiri. Lama-kelamaan Kaduk boleh tangkap pattern Syah itu. Lagipun Syah memang selalu suka buat sesuatu perkara yang sama berulang-ulang.

+ Sayang ada dekat situ lagi?

Kaduk mula rasa tak sedap hati apabila Syah senyap sahaja. Dan, Syah tahu yang Kaduk sudah tahu dirinya tak okey. Sebab itu Syah diam secara tiba-tiba.

+ Syah? Nurul Akasyah binti Othman?

Syah teragak-agak mahu membalas. Segera dia tulis sesuatu dalam T-Planner. Catat tarikh dan waktunya setiap kali dia out of pattern.

Isyarat yang telah dihantar ke langit.
Daripada orang berada di bumi.
Dan, Dia telah terima dan hantar semula ke bumi.
Misi berjaya!

Tanpa menunggu lama, Kaduk segera menekan speed dail dan tunggu panggilan telefon dijawab. 

"Syah?"

* * *

20 Julai 2007

"Kaduk tu sebenarnya orang apa? Maksud ayah... orang mana?" Tanya Haji Othman sebaik sahaja anak perempuannya yang berada di Jepun mengangkat telefon.

"Orang Johor, ayah. Orang Malaysia." Jawab Syah tanpa berfikir panjang.

"Ayah dia pun?"
"Oh, ayah dia bukan. Tu memang orang putih. Orang dari Den Haag, Belanda."

"Hmmm, keluarga dia datang singgah rumah kita. Ayah, mak dan adik-beradik dia. Ayah bukanlah nak memilih, Syah. Tapi..."

"Tapi?"

Haji Othman pandang wajah isteri yang duduk di sebelahnya. "Adik-beradik dia yang perempuan semuanya tak pakai tudung. Kamu tahu tak?" 

"Ermmm..." Lama Syah diam, tak menjawab. Dia tak pernah selidik lebih-lebih tentang adik-beradik Kaduk macam mana.

"Syah, kita nak kahwin ni untuk hidup bahagia di dunia dan akhirat. Kamu tak ada kawan-kawan yang lain selain Kaduk ni?" soal Haji Othman baik-baik. Dia mahu anak-anaknya berkahwin dengan keluarga yang mengamalkan ajaran Islam sebaik mungkin.

"Kawan yang macam mana, ayah?" Syah tanya balik.

"Yang boleh dibuat suami."

"Oh, tak ada." Macamlah dia punya banyak pilihan.

"Mak kamu kata, kamu ada kawan yang namanya Ammar. Yang Ammar tu dah kahwin ke belum?" 

"Dah kahwin dah, ayah. Baru aja jadi suami orang."

Lama Haji Othman diam.

"Kamu memang nak kahwin dengan Kaduk ni? Dah buat solat istikharah? Buatlah solat istikharah. Minta petunjuk daripada Allah," nasihat ayah.

Tapi kalau Syah analisa suara ayah, macam... ayah tak berapa nak berkenan. Seboleh-bolehnya Syah naklah ayah suka Kaduk juga. "Kalau ayah rasa tak sesuai..." 

"Ayah dia orang Islam?"
"Islam. Sebab dah kahwin dengan mama dia. Mana boleh perempuan Islam berkahwin dengan lelaki bukan Islam, ayah."

"Ayah dia pandai cakap melayu macam orang Indonesia," ulas Haji Othman.

"Betul. Sebab masa papa Kaduk belajar dulu dia suka backpacking. Backpacking ni yang ayah tengok orang melancong bawa beg sandang belakang yang besar. Papa Kaduk tu pernah pergi Bali, Jakarta dan banyak tempat lagi." Syah berhenti seketika. "Lepas tu, pembantu rumah keluarga dia dulu pun orang Indonesia, ayah." Tak tahulah ada kaitan atau tak tapi Syah main sebut sahaja.

"Mana kamu tahu fasal pembantu rumah dia? Kamu pernah pergi ke rumah dia?" Haji Othman mula rasa tak senang duduk.

"Adalah pergi bertandang raya. Sekali dua mama dia ajak datang rumah dulu. Rumah keluarga dia dekat Bangsar, ayah. Dekat dengan UM saja. Kak Ngah pernah beritahu mak masa Kak Ngah pergi waktu dulu." Terang Syah dengan panjang lebar. Syah selalu telefon maknya, tapi dengan ayah jarang Syah berbual sangat.

Sejujurnya, Syah tak kisah pun sama ada dia berkahwin atau tidak. Jodoh itu rezeki Tuhan nak beri. Kalau ada, dia bersyukur. Kalau tak ada, dia reda. Dapat seorang kawan yang baik macam Kaduk pun dia sudah cukup rasa gembira. Sejak ada pelbagai masalah kesihatan, dia sedar yang mungkin ada orang tak boleh terima keadaan dirinya.

"Kalau kamu setuju, bertunanglah dulu. Jumlah duit belanja hantarannya nanti ayah fikir nak letak..." Haji Othman pun sebut nilainya.

"Mahalnya, ayah." Syah terkejut dengan nilai 'duit belanja' yang ayah sebut. Sebenarnya ayah ni nak tolak pinangan keluarga Kaduk?

"Kalau betul dia nakkan kamu mestilah dia sanggup. Ayah pun nak tengok juga kesungguhan dia."
"Ayah, anak ni biasa-biasa aja." Ayah ni...

"Kamu pun nakkan dia juga?" Ayah tanya berulang kali.
"Biarlah Kak Ngah buat solat istikharah dulu." Syah tak jawab soalan.

"Kamu sukakan dia ke tak sebenarnya?"
"Dia orang baik, ayah."

"Ayah tanya soalan... sama ada kamu suka atau tak?"

Nada suara ayah jadi semakin tegas dan sedikit kuat. Cepat-cepat Syah menjarakkan telefon bimbit dari telinganya.

Suka Kaduk atau tak?

Syah buang pandangan ke luar tingkap. Tak tahu nak jawab bagaimana sebab tak sangka secepat ini keluarga Kaduk datang merisik. Lututnya yang terasa sakit digosok perlahan, sebelum beberapa hari kemudiannya Syah tak dapat berjalan. Kakinya macam lumpuh, paralyzed tiba-tiba.

Reaksi ayah malam itu juga menjadi salah satu sebab mengapa lama juga Syah berdiam diri, membiarkan Kaduk tertunggu jawapan sebelum menerima pinangan.

***

Dari Acheh ke Den Haag.
Dari Perak ke Johor.

Dari mata turun ke hati.
Dari berkawan baik terus ke jinjang.
 
Orang selalu nasihat, cerita semalam usahlah dikenang lagi. Mungkin macam judul buku yang Kaduk beri dia baca - Hiduplah untuk hari ini.

Dari gembira ke sedih. 
Dari bahagia ke sengsara.

Dari berkahwin memilih berpisah.
Dari berdua memilih bersendirian.

Hidup ini penuh dengan perkara yang tidak diduga. Sekelip mata sesuatu boleh berubah. Namun, hidup ini perlu diteruskan. Membaca coretan orang di media sosial, bermacam-macam kisah hidup suka duka yang dikongsi. Syah selalunya memilih hanya berkongsi apa disukai sahaja, apa yang baik dan boleh dijadikan teladan sahaja.

Syah tengok status Twitternya sekali lagi. Senyum.

Baru penulis kegemaran like boleh buat rasa gembira. Bagaimana sekiranya... Allah like kita?

Allah beri ujian, tanda Dia suka.
Allah beri dugaan, tanda Dia kasih.
Allah beri cabaran, tanda Dia sayang.

Syah termenung pandang langit malam melalui jendelanya. Masih tak tidur, sambung lagu petang tadi tapi versi lain di dalam hatinya.

Kalau rasa sedih, menangis.
Kalau rasa sedih, berehat seketika.
Kalau rasa sedih, serahkan kembali kepada Dia.

"Sayang, kenapa tak tidur lagi?" Suara Kaduk memecah kesunyian malam.

Hampir terlupa Syah yang Kaduk masih berada di hujung talian. Siang tadi suaminya dah telefon, malam ini pun menelefon lagi.

"Terima kasih, abang."
"Untuk?"
"Tak pernah putus asa."
"Abang dah janji nak jaga Syah, kan?"

Syah tersenyum lebar.

Semuanya... jadi terang.
Dengan kehadiran 'sang mentari' yang sentiasa sudi dan setia menerangi. Dan, kalau kita berniat nak jadi baik, Allah akan hantar sesuatu perkara atau seseorang yang baik untuk menemani kita.

"Nak surah al-Mulk, boleh?" Secara automatik Syah tukar buat gaya suara manja, seperti biasa setiap kali nak minta sesuatu daripada suaminya.

"Hmmm? Atau... nak al-Kahfi?"
"Nak dua-dua, boleh?"

Kaduk senyum. Dah bidadari syurga bersuara sampai hati lelakinya boleh cair, masakan mampu nak menolak. "Boleh. Bismillah..."

Di luar memang gelap.
Di dalam pun masih gelap.
Semuanya... gelap.

Kerana waktu malam... sememangnya Tuhan menjadikannya gelap.

(Alhamdulillah, tamat edisi istimewa kali ini.)

#RADHA #kalaurasasedih #isyaratdarilangit

***

Hari gembira mestilah diabadikan.
Sekian, terima kasih ☺️

📷: Pinterest