Saturday, June 27, 2020

[Cerpen] NRT-KUL-JHB

NRT-KUL-JHB
oleh Rnysa

“Helo?”

Adakah perkahwinan ini sebuah kesilapan? Mungkinkah kau menyesal bersamaku? Benarkah kau ingin terbang bebas? Bukankah kau mencintaiku?

 “Helo?”

Naimah masih membisu di hujung talian. Lalu Aimal mengalah dan memutuskan talian.

Tiket penerbangan Johor Bahru - Kuala Lumpur - Narita dalam genggaman dipandang sekali lagi sebelum diserahkan bersama-sama dengan pasport kepada pegawai yang bertugas di pintu pelepasan penerbangan antarabangsa.

Mahu membina semula rumah tangga kita asasnya bagaimana, Naimah? Soalan itu nyaris-nyaris sahaja terlepas dari bibirnya semalam. Namun, dia tetap seorang lelaki yang tidak pandai bermain-main dengan kata-kata. Akhirnya dia memilih melukis sebuah rumah kecil di hujung padang. Siap ada layang-layang yang putus talinya terbang rendah di atas pagar kayu. Entah apa simboliknya dia sendiri tidak pasti. Namun dia sedang melakar apa sahaja yang terbayang di benaknya saat itu. Rumah kecil, pagar kayu, layang-layang dan...apa lagi ya?

Dia terpandang rak buku Naimah yang terlebih muatan.

Buku!

Ya, bukankah selama ini dia ingat isterinya itu menyukai buku melebihi diri Aimal sendiri? Mengapa selama ini tidak pernah berterus-terang, Naimah?

***

Setahun sebelum itu. 9 Syawal.

“Na, bila nak buat potluck raya?”

Naimah senyum dengan soalan itu. Alhamdulillah, teman sepejabatnya itu nampak berceria sungguh hari itu. Sejak menjadi sebahagian jawatankuasa di sektor mereka, salah satu projek di bawah kumpulan Naimah adalah menganjurkan majlis sambutan perayaan sebegitu. Tahun lepas buat pertama kali seumur hidupnya dia perlu membantu menguruskan sambutan Krismas dan Tahun Baru. Vincent tidak dapat memberikan sepenuh komitmen kerana ada isu besar berkaitan kerja timbul. Nak tak nak, Naimah yang mengambil alih sepenuhnya dengan bantuan Farah dan Saidah.

Mujurlah dua orang kuatnya dalam Job Satisfaction itu tidak banyak berkira. Apa sahaja idea dan projek kumpulan mereka, ringan tulang menolong apa yang patut. Salah satu projek ucapan selamat hari jadi yang mereka berdua seliakan mendapat maklum balas yang positif. Hari Sabtu terakhir berkerja sebelum cuti hari raya tempoh hari, seorang rakan sekerja dari department lain dalam sektor mereka memuji usaha kecil mereka.

“Suka dengan idea committee Job Satisfaction. Rasa sangat dihargai dapat ucapan selamat hari lahir. Sangat satisfied!” puji Shikin dari GRPE department.

“Ain rasa patut buat hari apa?” Naimah balas dengan nada ceria juga.

“Buat hari Isninlah. Saya cadang nak masak rendang. Kalau buat Isnin, sempat lagi masak hari Ahad.” Kata Ain sambil membetulkan instant shawl yang dipakainya. Cantik manik bersusun di bahagian kepalanya.

Tudang zaman sekarang sudah semakin maju. Lihat sahaja sebegitu banyak butik fesyen busana muslimah dibuka mana-mana. Tidak mustahil suatu hari hari tempat seperti Seksyen 7 Shah Alam dan Bangi Sentral muncul sebagai pusat fesyen tempatan sepertimana di kota London dan Paris. Trafik sesak sebab semua para wanita hendak ‘melancong’ ke sana! Dan hari ini muncul pula artikel di sebuah laman internet tentang kaji selidik yang mendapati 97.7 peratus lelaki di Malaysia berpendapat wanita yang memakai tudung bawal kelihatan lebih cantik. Amboi, siap ada peratusan sehingga ke satu titik perpuluhan segala! Jadi, yang baki lelaki 3.3 peratus suka wanita yang memakai tudung bagaimana pula? Lucu membaca komen netizens di laman Facebook.

Saat ini Naimah teringat pada sebuah rancangan dari timur tengah disiarkan di saluran TV Al-Hijrah yang memberikan analogi tentang hal yang menjadi keutamaan lelaki masa kini. Batu bersaiz besar sehingga kecil mewakili hal-hal penting sehingga hal-hal kecil yang patut menjadi fokus dalam hidup seorang lelaki. Beliau mengisi pasir yang mewakili soal aurat wanita ke dalam botol tinggi terlebih dahulu. Sudah tentu selepas itu sukar hendak mengisi batu saiz yang lebih besar kerana sudah dipenuhi pasir. Pengacara itu mengatakan lelaki zaman sekarang terlebih membahaskan soal aurat wanita, sedangkan ada isu umat Islam dan masyarakat yang lebih penting di luar sana yang sepatutnya mendapat lebih perhatian mereka.

“Tahun lepas pun kita buat hari Isnin juga.” Beritahu Naimah sambil tersenyum. Ramai yang dapat hadir potluck raya tahun lepas. Beratur orang tunggu giliran ambil makanan. Dan hampir penuh sudut tepi kanan kantin dengan bos-bos dan rakan sekerja sektor mereka.

***

Siapa sangka, tahun berikutnya dia bergelar isteri kepada Aimal. Lelaki yang disukainya dalam diam. Lelaki yang rupa-rupanya pendiam sangat dan kurang bercakap. Ada sisi lain Aimal yang tidak dia ketahui dari zaman sekolah. Yalah, mereka tidak rapat dan tidak pernah berbual pun. Mungkin sebenarnya dia bukan mengkahwini hanya seorang Aimal; sebenarnya tiga ‘orang’ Aimal: Aimal yang dalam fikiran Naimah, diri Aimal yang sebenar dan Aimal selepas berkahwin dengan Naimah.

Sejak saat lafaz nikah, Naimah sedar yang dia baru mengenali Aimal dengan sebenar-benarnya. Aimal yang berbeza daripada apa yang dia fikirkan selama ini. Mengenali diri Aimal yang sebenar yang buat Naimah belajar kelebihan dan kekurangan diri Aimal. Dan Aimal yang menurut kata mama semakin tidak banyak bersuara selepas berkahwin dengan Naimah.

“Biasalah perempuan lebih banyak berleter.” Canda mama Aimal itu buat Naimah sedikit terasa hati. Boleh dikira patah perkataan yang keluar daripadanya mulutnya. Mana pernah dia bercakap sangat pun dengan suaminya itu.

Aimal selalu sibuk, mama!

Mahu sahaja dia meluahkan segalanya, tapi dikuncinya mulut rapat-rapat. Tajuk kajian ijazah kedoktoran Aimal lebih penting daripada topik perbualan hal rumahtangga mereka. Apatah lagi mahu selancarnya bertukar perasaan cinta.

Aimal nampak sahaja Naimah kelihatan terpinga-pinga dengan kata-kata mama. Namun jauh sekali dia ingin mencelah. Dari jauh, dia suka melihat wajah Naimah yang mudah benar mempamerkan perasaannya. Wajah yang selalu jujur dengan perasaannya sendiri. Wajah yang sentiasa teruja dalam malu-malu apabila Aimal bersuara. Wajah yang buat Aimal rasa serba tidak kena kerana tidak dapat memenuhi permintaan kecilnya. Wajah yang buat Aimal tersentuh hati apabila orang bertanya bila mereka bakal bertiga pula. Dan mengaitkan pula tahap kesuburan dengan umur Naimah yang lewat bernikah. Tabahnya hatimu, wahai isteri!

***

Menarik sungguh idea pejabat “Farm-to-Table” yang dikembangkan di Jepun. Konsep tanaman dalam bangunan. Ruang lobi utama ditanam pokok padi dan brokoli; dilengkapi dengan sistem pintar dan automatik yang mengawal kelembapan, suhu dan udara supaya dapat mengimbangi keselesaan pekerja waktu kerja dan pertumbuhan tanaman selepas waktu kerja. Cara itu dapat memaksimakan hasil tanaman dan tuaian tahunan.

Kening Aimal terangkat sedikit sewaktu Naimah menolak daun pintu. Dia yang leka membelek-belek salah satu majalah senibina yang tersusun di rak kayu putih di ruang tamu rumah felonya itu memberikan tumpuan pada Naimah yang baru tiba dari Nilai.

“Awak dah makan?” Aimal berbasa-basi seperti biasa. Aimal sendiri baru balik dari keluar bersenam. Sekarang semacam sudah trend orang menjaga kesihatan di sana-sini. Ramai di antara rakan sejawatannya membeli basikal dan peralatan sukan. Malah penganjuran marathon pun bertambah. Setiap hujung pasti ada sahaja acara larian berskala besar di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

Lambat-lambat Naimah mengangguk. Fikirannya sedikit terganggu dengan kerja tambahan di pejabat. Yang bukan dalam skop kerja sepatutnya.

“Saya ada masak nasi goreng. Nasi goreng bujang sahaja…”

Nasi goreng bujang!

Naimah tersenyum sedikit. Di Nilai baru dia tahu ada orang jual nasi bujang: nasi, sup kosong, telur dadar, timun, salad dan sambal. Harganya empat ringgit sahaja. Jadi kadangkala Naimah membeli waktu tunggu gaji masuk.

“Saya dah singgah makan di R&R Machap tadi.” Begitulah kehidupan Naimah selepas berkahwin dengan Aimal. Dia selalu berhenti makan di stesen R&R di tepian lebuhraya. Makin bertambah bilangan kedai dia menikmati juadah bersendirian tanpa menghiraukan mata yang selalu memandang.

Dan waktu bersendirian itulah dia bertemu dengan Erissa di R&R Dengkil. Tiba-tiba gadis yang membuka kedai kek cawan Homemade Sweet itu menyapa ingin makan di sebelahnya. Ruang lain sudah penuh dengan keluarga.

“Maaf ya terpaksa mengganggu. Tapi saya sudah lapar sangat…” Sopan sahaja gadis itu menutur. Katanya, dia tergesa-gesa sampai tidak sempat makan tengahari kerana menghantar tempahan pelanggan kek cawannya. Sudah pasti Naimah tidak sampai hati menolak permintaannya.


Semalam Erissa mengajak Naimah keluar berjalan-jalan di Kuala Lumpur.

Dalam perjalanan mereka tiba-tiba gadis itu bertanya:

“Kalau Kak Na rasa putus asa, Kak Na buat apa ya?”

Naimah tergamam dengan soalan Erissa. Tolak campur dengan sesat larat memandu lagi. Dari dulu ikut arahan navigator pun selalu sesat. Gagal!

"Hmm...buat apa ya?" Naimah memikir dalam kelam malam. Mata cuba menahan silau lampu yang datang dari arah bertentangan dan kadangkala lampu tinggi pemandu di belakang.

Bila jatuh mesti rasa sakit. Kalau tak tahan sakit, secara automatik akan menangis keluar air mata juga. Kan?

Satu demi satu peristiwa yang menimpa dalam hidup Naimah selama ini. Dia sedaya upaya cuba jadi postif setiap masa. Namun, adakala gagal juga menahan emosi.

"Menangis kot. Macam Erissa cerita tadi, tiba-tiba pergi menangis bawah meja sebab rasa penat nak putus asa dengan tempahan kek cawan yang banyak. Masa sudah suntuk, tapi kena siapkan sendirian." Balas Naimah.

Erissa tergelak di bangku sebelah pemandu. Sebenarnya bukan itu sahaja isu sebenarnya, banyak lagi yang disimpan di dalam hati yang tidak diluahkan.

"Kak Na pun macam Erissa juga." Kadangkala dia hairan orang kata dia sangat tabah. Yalah, dia jarang tunjuk lemah depan orang. Cuba nampak ceria sentiasa walaupun hati dilanda seribu satu masalah.

Agaknya, adakah yang sudi meminjamkan bahu untuk tempat dia menangis? Dan adakah pada bahu Aimal – lelaki yang pernah dia idam-idamkan?

Naimah berbalas pandangan dengan Aimal sebelum meminta diri mahu berehat.

***

Tokyo, Jepun

Pagi-pagi lagi Naimah sudah keluar dari rumah sewanya. Dia tidak mahu berasak-asak dalam waktu rush hour dalam kereta api akan sendat macam tin sardin. Pernah sahaja begnya tersepit di pintu masuk. Bila ditarik terus terkoyak tangkainya. Mujur bukan beg mahal dan berjenama - hadiah perkahwinannya. Mahu menangis tak berlagu memori hadiah pemberian Aimal dirosakkan oleh dirinya sendiri yang berebut mahu masuk ke dalam perut kereta api. Sebelum terjadi lagi insiden yang sama bertolak awal sikit tidak pun mengapa.

Dan subuh-subuh lagi dia menerima kiriman mesej dan lagu daripada Aimal. Bait-bait lagu Kepadamu Kekasih nyanyian Dato’ M.Nasir menyapa telinganya. Lagu itu diulang dengar menerusi telefon pintar sepanjang perjalanannya ke bandar Osaki. Namun dia masih berkira-kira mahu membalas mesej Aimal.

***

13 Mac 2005 – Sakura. Sakura! Harap dia ada di sini. Saat ini… denganku.

Tersenyum Aimal membaca catatan terakhir Naimah di Jepun, Negara Matahari Terbit. Waktu ini Aimal dalam penerbangan ke lapangan terbang Narita. Dalam diari isterinya itu terselit sekeping gambar Naimah memakai jean, baju panas, bertudung bawal dan kasut sukan. Naimah nampak macam budak sekolah menengah sahaja dengan gaya sebegitu.

Jarinya bersentuh dengan sampul surat perang. Isi sampul surat itu yang membawanya ke bumi sakura. Senyuman Aimal terus menyirna.

***

Restoren makanan India di tengah kota Shibuya itu sungguh sepi. Tidak ramai pelanggan makan waktu Naimah tiba dengan Aimal. Sebelum Aimal sampai mak sudah menelefon sampai lima kali berpesan macam-macam.

“Mak ni kadangkala buat Na macam budak kecil. Tahulah Na nak berbicara dengan menantu kesayangan mak tu.” Sengaja Naimah berkata begitu. Kan mak pun turut mereka cerita yang dia tidak cukup duit hendak balik Malaysia. “Apa kata mak jadi penulis novel sahaja?” Usik Naimah lagi.

Seperti biasa Aimal tidak banyak memulakan bicara. Kunyahnya lambat-lambat. Dia lebih banyak memandang dinding yang dihiasi dengan aneka jenis tekstil dari India itu. Susahlah berkahwin dengan arkitek ni! Kerja asyik hendak lihat bangunan dan hiasan dalaman. Penat sahaja datang jauh-jauh. Bukankah dalam Islam ada menyebut melihat wajah isteri pun mendapat pahala? Naimah berleter panjang di dalam hatinya.

Lambat-lambat Aimal menolak sampul surat perang pada Naimah.

Hai, tak nak bercakap main berutus surat pula!? Kenapa tidak dikirimkan poskad sahaja? Jimat kos! Hati Naimah masih terus berleter tidak tentu arah.

“Apa maksudnya semua ini?”
“Maksud? Maksud apa?”

Tanpa bertangguh Naimah mengeluarkan helaian kertas dari sampul surat tersebut. Matanya terhenti pada kepala surat.
Surat tuntutan penceraian?

“Awak… nak minta cerai?”

Aimal terpukul. Dia yang minta? “Saya jumpa ini di celah rak rumah awak!” Tegas Aimal. Permainan apakah ini? Kenapa Naimah mempersendakan perasaaannya?

“Jumpa di rumah saya?” Berkerut kening Naimah mendengar. Surat ini dia yang punya? Tak mungkin…

Naimah melihat borang itu berkali-kali. Mungkin…borang ini milik kakak sepejabatnya. Naimah pernah tolong pergi temankan rakan sepejabatnya ke pejabat agama secara tiba-tiba. Tapi dia tidak tahu pula apa tujuan urusannya.

“Helo…?” Aimal memetik jarinya di hadapan muka Naimah.

Mata Naimah tertumpu pada wajah Aimal yang sugul.

“Saya tahu saya bukanlah suami yang terbaik untuk awak…” Lemah Aimal menutur. “…tapi ini bukanlah perkara yang saya bayangkan sewaktu memilih untuk berkahwin dengan awak.”

Dan saya juga, bisik hati Naimah yang sudah berhenti berleter.

Tamat.

--

Ikuti prekuel cerpen ini dalam JHB-KUL-NRT:


25 Jun 2005 ~

Happy writing-anniversary JHB-KUL-TKY / JHB-KUL-NRT*.
Apa khabar Naimah & suaminya sekarang, ya?

Sebenarnya suami Naimah, Aimal ini pun inspirasinya orang yang sama. YA! Kaduk & Ammar (RADHA), Mukhriz (Cinta Sofea), Fahrin (Homemade Sweet) dan Aimal (JHB-KUL-TKY / JHB-KUL-NRT* / NRT-KUL-JHB) - orang yang sama ☺️

Tahun 2018 masa saya nak ke Korea, saya nampak seseorang mirip wajah 'orang yang sama' itu di terminal KLIA2 sebelum menaiki escalator ke ruang bawah. Dan orang itu pandang ke arah saya. Bila saya nak pandang sekali lagi sebelum menuruni escalator, sayangnya dia sudah hilang dari pandangan 😭😭😭

[Cerpen] JHB-KUL-NRT

JHB-KUL-TKY / JHB-KUL-NRT*
oleh Rnysa
(versi asal sebelum edit)

Mahu membina sebuah rumah tapaknya itu perlu kukuh. Tiangnya itu perlu utuh. Dindingnya itu perlu tersusun padu. Atapnya itu perlu mampu menghalang dari panas, hujan mahupun ribut. Mahu membina sebuah rumah tangga pula asasnya bagaimana?

Shamsul Aimal berhenti memerhatikan lakaran rumah berkonsepkan moden-tradisional yang dipersembahkan oleh pelajarnya untuk tugasan akhir. Pandangan dibuang jauh dari tingkap di tepi kubikelnya, melangkaui bangunan Fakulti Alam Bina. Mungkin juga sudah juga mejangkau sampai ke Selat Tebrau. Masakan tidak dia sedari rakan sekerjanya, Johan atau lebih mesra dipanggil sebagai Joe menegurnya dengan suara yang kuat beberapa kali.

“Maaf Joe. Kenapa?” Tanya Aimal lambat-lambat.

Wajah sugul isterinya masih berbekas di ingatan. Waktu makan sahur tadi suasana sangat dingin sekali. Sebenarnya keadaan sebegitu sudah berlanjutan untuk sekian bulan lamanya. Benarlah pada awalnya dia kahwin bukan kerana cinta. Hanya berpegang pada rasa keserasian yang dialaminya setelah berbual beberapa jam dengan isterinya di ruang terminal KLIA2.

Dan pagi tadi Aimal menghantar isterinya ke lapangan terbang Senai sebelum isterinya bakal berlepas ke Jepun dari terminal KLIA2. Sejak kebelakangan ini dia dan isteri bertemu hanya dua kali dalam sebulan. Itu sekadar cuti hujung minggu sahaja. Sekali sekala Aimal datang ke rumah isterinya di Nilai. Tetapi selalunya si isteri yang turun melawat Aimal di kediaman rumah fello di UTM Skudai.

Hmm… tidak sampai setahun usia perkahwinan mereka. Sudah hilangkah rasa keserasian itu? Menyesalkah, Mal?

***

Setahun yang lalu di Terminal KLIA2, Sepang.
Naimah memutuskan hendak bermalam di lapangan terbang sahaja. Menaiki teksi sendirian melepasi jam dua belas tengah malam memang tidak dibuatnya. Tidak masuk dek akal. Bahaya!

Oh, kalau pulang lewat malam daripada menonton wayang di Alamanda berani pula ya! Memandu bersendirian melalui jalan Sungai Merab yang gelap itu tidak takut pula. Yalah, biasanya dia akan terus menonong memandu tanpa henti kecuali jika lampu trafik merah.

Sepatutnya dia sempat lagi menaiki KLIA Transit ke Putrajaya tadi. Namun matanya terleka sejenak meninjau lapangan terbang yang baru dibuka. Suasana macam meriah di hari raya pula. Lampu lip-lap-lip-lap yang berwarna-warni itu sudah dipasang. Siap ada pula replika rumah kampung dengan sekawah dodol, basikal tua, lampu panjut dan segala. Di kampung pun sudah tidak semeriah begini.
Tak sampai lagi 10 Ramadhan, sudah rasa macam suasana malam menjelang 1 Syawal!

Ah, bila lagi peluang baik meronda-meronda begini akan tiba, desis Naimah dalam hati.

Pukul dua belas malam baru hendak tutup kedai. Namun masih kelihatan orang sibuk menarik bagasi bersimpang-siur dan mengejar masa. Ada juga yang mengambil peluang membeli belah di kedai barangan berjenama. Dan tidak kurang juga yang sedang menikmati makan malam, snek atau sekadar minum kopi. Seolah-olah ada wujud suatu dunia lain di sini.

Teringat pada Tom Hanks yang terperangkap di Lapangan Terbang Antarabang New York  John F. Kennedy dalam filem The Terminal. Filem yang diangkat daripada kisah benar itu tiba-tiba menerpa fikiran Naimah saat itu. Yalah, mana pernah ada lagi telemovie Ramadhan, telefilem hari raya atau drama pukul tujuh malam dengan tema sebegitu di Malaysia. Belum ada!

Naimah melepaskan lelah di bangku paling hadapan, mengadap Jaya Grocer. Kelihatan beberapa keluarga sedang berehat dan berbaring di bangku yang berdekatan. Kebanyakannya seperti sedang menanti penerbangan keesokan paginya.
Beg sandang belakang diletakkan di atas bangku, air mineral dicari dari dalam beg.
Bismillah…

***

Langkah diayun menuju ke Capsule by Container. Hotel yang mengambil inspirasi konsep ‘kyosho jutaku’ atau ‘rumah mikro’  dari Jepun, negara matahari terbit. Sedikit ruang aras 1 terminal KLIA2 dimanfaatkan sepenuhnya untuk pelancong yang ingin melelapkan mata beberapa jam dalam keadaan yang selesa. Setiap kapsul ditempatkan tilam yang lengkap dengan cadar, dua biji bantal dan selimut. Dan juga memiliki cermin dan telefon ‘wake-up call’. Hanya perlu tekan nombor tertentu supaya telefon berbunyi pada waktu kita mahu bangun. Terdapat juga kemudahan seperti loker penyimpanan barang, bilik mandi, tandas, sinki dan juga lounge untuk bersantai. Pihak hotel transit ini juga menyediakan tuala, selipar, berus gigi dan ubat gigi dalam beg kanvas hitam menawan. Wah, bukan main bijak tuan punya hotel mempromosikan perniagaan dan jemananya!

Aimal kini dalam perjalanan ke Tokyo untuk menghadari seminar di Tokyo Institute of Technology. Penerbangannya dijadualkan awal pagi nanti. Jadi, dia memilih bermalam di kapsul mini ini berbanding hotel yang berhampiran.

“Mal dah sampai mana tu? Sudah makan? Sudah solat? Tidurnya nanti di mana?”

Begitulah mama bertanya setiap kali dia perlu bekerja ke luar daerah. Dari kecil sehingga dewasa, mama sentiasa mengambil berat.

“Mal tidur di KLIA2 ini saja. Ada hotel…”

***

“Maaf cik, Hotel Tune sudah penuh untuk malam ini!”

“Penuh?” Alahai, mana pula nak cari hotel tengah malam buta. Tiba-tiba rasa menyesal pula tidak mengejar kereta api KLIA transit ke Putrajaya. Ini gara-gara terleka tadi dan pemergian yang tak terancang ke UTM untuk menjenguk adiknya.

“Naim, Naim…jadi lelaki mana boleh cepat putus asa. Hilang semangat...” Naimah sekadar mampu menggelengkan kepala. Boleh pula Naim duduk senyap-senyap di kolej selama satu semester lamanya tanpa mengikuti kuliah seperti sepatutnya. Ingatkan dia sudah daftar kuliah setelah dapat surat daripada universiti, rupa-rupanya lain pula jadinya.

Hanya kerana terpaksa tambah dua semester bagi menyiapkan projek tahun akhir ijazah pertamanya, adiknya yang merupakan antara bekas pelajar terbaik negeri itu sudah berubah sikap. Pesimis melulu. Setelah menganggur hampir dua tahun, dia menyambung pengajian sarjana dalam bidang yang berbeza. Namun penyakit ‘patah semangat’nya belum lagi kebah-kebah.

“Naim bukannya tak ada sijil ijazah, cuma belum sampai rezeki dapat kerja saja.” Kata Naimah lagi. “Orang dari luar pun mampu dapat kerja di Malaysia, sepatutnya kita yang rakyat tempatan kena lebih sedikit berusaha. Peluang kerja sentiasa. Cuma kita yang cari betul-betul. Bermula dari bawah pun tak apa.” Meratap sedih mengenang kembali kesilapan lalu tak bawa ke mana-mana, Naim. Sambung Naimah dalam hati..

Hmmm… kadangkala menasihati orang lain lebih mudah dan senang berbanding menasihati adik-beradik sendiri. Ambil pelajaran dan terus maju ke hadapan! Naimah hanya mampu marah di dalam hati.

“Kan bagus kalau ayah macam Doktor Fadhilah Kamsah dan mak macam Profesor Doktor Muhaya pandai beri nasihat.”

Amboi, ke situ pula perginya!

“Bersyukurlah ada orang nak nasihat, Naim. Kak ngah sanggup ambil cuti untuk jenguk Naim ini. Dah habis cuti Kak ngah. Kalau nak ambil ekstra cuti raya tahun nanti dah kena tolak gaji lepas ni.” Tegas Naimah.

Budak-budak sekarang tak boleh dilayan sangat. Macam Naim pernah mendapat biasiswa tajaan Petronas. Cuma dia yang tersilap langkah, tidak beri tumpuan pada pelajaran. Akhirnya tempoh pengajian semester terpaksa dilanjutkan gara-gara tersangkut dekat projek tahun akhir yang tidak siap-siap. Sekarang asyik hendak menyalahkan mak ayah. Kan ayah sudah tolong lunaskan hutangnya dengan Petronas kerana dikira melanggar kontrak. Ayah yang sudah jadi pencen guru, sanggup membayar balik hutang lebih empat puluh ribu ringgit itu. Baki dua semester itu pun ayah tanggung. Hendak apa lagi?

“Cubalah fikir sikit kesusahan mak ayah, Naim. Kalau tak minat sambung master, carilah kerja apa yang patut. Janji tak duduk menganggur…” Nasihat Naimah buat kali berapa.

Naimah pun bercakap tentang dirinya sendiri. Waktu dia tak habis belajar di Jepun dulu, ayah yang tanggung pengajiannya di university swasta. Nak masuk university awam dia sudah tidak layak atas faktor umur. Fikir-fikir balik dia sendiri pun tak sangka akan berada di tahap ini sekarang – sudah habis belajar dan bekerja. Kerana dia juga pernah rasa putus asa dan murung buat sekian masa.

Bagaimana boleh setelah jatuh dan dia bangun semula? Mungkin dek berkat doa mak ayah siang malam yang mahu melihat dia berjaya, kembali ceria dan tenang bahagia.

Dalam memikirkan nasib adiknya, Naimah terpandang seseorang yang sangat dikenalinya. Letak kaca mata dibetulkan pada pangkal hidung. Mungkinkah…

Lelaki yang melangkah penuh yakin itu berpapasan dan berlalu pergi. Naimah berhenti dan menoleh ke belakang.

Betullah, itu dia! Siang tadi macam ternampak dia di depan Fakulti Alam Bina waktu Naim bawa dia berjalan-jalan sekitar kawasan kampus. Dan saat ini mereka bertembung di ruang terminal KLIA2. Ya, itu dia!

***

Naimah terkecoh-kecoh mengekori dari belakang tanpa sedikit pun disedari lelaki itu. Sehinggalah lelaki itu tiba di kaunter Capsule by Container, Naimah pun berhenti tidak jauh di belakang.

Eh, dia mahu tidur di sini? Soal Naimah dalam hati.

Benarlah hidup ini penuh lipatan takdir yang tidak terduga!

Naimah senyum melebar. Tidak disangka ada sesuatu yang manis menantinya di sini. Lelaki Melayu yang pernah dia sukai buat pertama kalinya muncul di hadapan mata. Mereka pernah bertemu semula dalam majlis pertemuan pelajar lebih kurang lapan tahun yang lalu. Namun waktu itu sekadar berbalas-balas senyuman sahaja. Manalah dia memiliki keberanian saat itu di hadapan semua teman sekelasnya.

Naimah yang sudah menguap beberapa kali memilih untuk menginap di tempat yang sama juga. Waktu lelaki itu berpatah ke kaunter semula memesan minuman panas, mata mereka bersapa.

“Aimal, kan? Shamsul Aimal? Kita satu sekolah menengah…” Naimah pura-pura berani menegur.

“Ya, ya.” Lelaki itu Nampak sedikit terkejut.
“Awak menginap di sini?” Kura-kura dalam perahu, buat-buat belum tahu.

“Iya. Awak pun?”

Sempat mereka berbual seminit dua lagi sebelum ke kamar masing-masing. Dan malah sempat lagi berjanji mahu makan sahur sama-sama.

“Nanti kita turun sahur sama, ya?” Usul Aimal.
Naimah segera mengangguk cepat-cepat.

***

Tiga bulan kemudian…

“Na dah fikir masak-masak?” Mak bertanya beberapa kali.

Naimah mengangguk lagi.

“Tapi Na tak berapa kenal dia, kan?” Puan Zurinah agak ragu-ragu. Memanglah si Aimal itu elok latar belakang pendidikan dan pekerjaannya. Kenalan waktu zaman sekolah pula. Tapi itu sudah cerita lebih sepuluh tahun yang sudah.

“Na suka dia, mak.” Dan Naimah lagilah suka tatkala keluarga Aimal datang merisiknya. Dalam usianya yang sudah melepasi 30-an di zaman serba moden sekarang, perkara seperti dirisik seseorang itu sudah dianggap rezeki yang patut disyukuri. Lagipun selama ini dia tidak pernah dengar cerita tak elok tentang Aimal. Tidak wajar rasanya menaruh syak wasangka. Curiga melulu tanpa asas.

“Kalau Na rasa sudah kenal hati budinya, mak ikut saja. Elok pada Na, eloklah pada mak.” Akhirnya mak mengalah pula. Mak lebih berkenan dia berkahwin dengan lelaki yang lebih berusia dan lebih matang. Jika ada lelaki yang lebih muda datang bertanyakan tentang dia, pasti mak akan menolak mentah-mentah tanpa perlu berbincang sedikit pun dengan Naimah. Tahu-tahu sahaja orang itu telah ditolak dengan pelbagai alasan. Mak bukannya pernah tahu macam-macam orang sudah ‘cop’ anaknya ini. Memilih dan susah dapat jodoh. Siap ada makcik-makcik yang suruh Naimah pergi mandi bunga! Cubalah tolong cakap dan doa yang elok-elok untuk dia.

“Eh, bukan macam itu mak! Na pun tak kenal sangat Aimal, waktu sekolah pun tak rapat pun. Cuma hati Na rasa dia okey…” Dia sebenarnya sudah solat istikharah beberapa kali juga, tapi tak rasa apa-apa pun. Namun dalam usia sebegini, patutkah dia menolak jodoh yang datang? Lagi-lagi Aimal itu adalah lelaki yang dia pernah simpan perasaan suka bertahun-tahun lamanya. Tak logik, bukan!
Mak memang selalu risau lebih. Apa-apa yang tak kena dia cepat-cepat menyuarakan. Tidak seperti ayah yang lebih banyak diam.

“Mak sentiasa doakan yang terbaik untuk Na…” Sebak.

***

Bahagiakah mereka?

Entah, dia tidak pernah ada jawapan itu. Baginya mereka menjalani kehidupan seadanya berdua. Jarak yang memisahkan mereka. Dan juga hati mereka? Hanya Tuhan sahaja yang tahu.

Isterinya akan ke Tokyo lagi. Kali ini bukan untuk dua, tiga hari, tapi setahun lamanya. Bolehlah nak pulang sekejap-sekejap selepas beberapa bulan.

“Awak terima tawaran itu?” Sudah beberapa bulan berkahwin, mereka masih ber’saya-awak’ lagi. Tak ubah seperti orang asing.

“Ya.” Jawab isterinya pendek sahaja.

Rumah tangga yang tidak diisi penuh rasa cinta dan kasih sayang terasa hambar sekali. Lebih baik membujang daripada hidup terasing begini. Apa yang tidak kena dengan rumah tangga mereka?

“Dan awak beri izin, kan?”

Dia mengangguk perlahan. Pada fikiran Aimal, mungkin jarak juga dapat merapatkan semula hubungan mereka. Mana tahu rindu pula nanti.

“Bila awak balik?”
“Saya tak tahu…”

Dan tiket sehala bercetak JHB-KUL-NRT* sudah di tangan isterinya.

***

Rasanya Naimah belum menaiki kapal terbang lagi. Katanya mahu berehat di hotel kapsul mereka bertemu.

“Naimah…” Naimah kaget mendapat panggilan suaminya.

Selalunya dia beri mesej sahaja bertanya soalan lazim:

Sudah sampai? Selamat jalan.
Sudah sampai? Jumpa lagi nanti.
Sudah sampai? Jaga diri. Assalamu’alaikum.

Hmm… memang tak romantik langsung. Baik cakap dengan mesin jawab telefon! Tapi manalah Naimah berani merungut depan-depan Aimal. Orang kata, dia patut bersyukur kerana memiliki suami. Setengah orang lain belum bertemu jodoh lagi, masih lagi tercari-cari. Namun orang tak rasa apa yang dia rasa. Pakat simpan dalam hati sahaja. Jaga air muka suami di hadapan semua orang.

“Naimah….” Seru Aimal sekali lagi.
“Tutttttt…….”

Dan talian sudah terputus tiba-tiba.
Naimah cuba menelefon semula. Namun panggilannya disambut oleh operator pesanan suara. Tak apalah…

***

Bandar Osaki, Tokyo

“Keluarga awak mesti risau awak berada di sini.” Tegur Kaori-san sebaik sahaja habis mesyuarat mingguan mereka dengan Eloy and Fujisawa-san di Eropah lewat petang itu.

“Sudah lebih enam bulan lamanya, kan?” Kaori-san yang terkenal denan sifat lemah lembut itu meletakkan laptop dan membukanya dengan perlahan di atas meja kerjanya.

“Ya.” Jawapan untuk tempoh enam bulan itu. Dan mungkin mak ayahnya risau. Aimal? Oh, sejak dari dulu lagi dia berdikari. Masakan tidak Aimal tegar membiarkan dia hidup bersendirian di Nilai. Jauh dari keluarga, jauh dari suami. Mujur ada adiknya Naim yang sudi datang menenaminya sekali sekala. Alhamdulillah, adiknya itu dapat kerja dekat Melaka sahaja. Sempatlah menjenguk kakaknya yang selalu keseorangan. Aimal sentiasa sibuk dengan kuliahnya. Dan sejak hendak sambung ke peringkat doktor falsafah, dia sudah semakin sibuk.

“Ah, lupa pula! Mesti awak sudah biasa duduk di Tokyo. Dulu awak pernah belajar di sini, bukan?”

Naimah mengangguk. Yang bezanya dulu dia masih belajar, sekarang sudah berkerjaya dan berkeluarga. Keluarga? Hmmm… Aimal sudah beberapa minggu tidak menghubunginya. Entah ke mana hala tuju rumah tangga mereka saat ini? Makin menjauh, makin menghilang.

Perlukah dia meminta pendapat kedua orang tua mereka? Mungkin perpisahan itu lebih baik buat mereka?

KepadaMu Allah, daku berserah…

***

“Mama dah agak. Patutlah Naimah jarang balik rumah kita. Mana boleh biarkan dia selalu sendirian duduk macam tu. Kecil hati dia. Tak baik buat anak orang begitu, Mal.” Puan Salmiza rasa terkilan. Patutlah wajah menantu itu selalu kelihatan seperti ceria yang dibuat-buat.  Rupa-rupanya anak lelakinya tidak melayan isterinya dengan sebaik-baiknya. Di mana budi bicara dan rasa ehsan yang mama ajar selama ini, Mal?

Aimal membisu.

“Dia sanggup terima kerja jauh-jauh sebab Mal. Perempuan… kalau dah jauh hati, memang begitu Mal. Dia bawa lari hati yang sakit.” Kata mama lagi. “Rasa kasih sayang itu boleh dipupuk, Mal. Dulu Mal juga yang suruh mama pinang dia. Sekarang jangan nak buat tak tentu hala pula. Tiba-tiba rasa tak serasi segala…” Puan Salmi memandang suaminya, meminta sokongan. Tapi manalah abah si Aimal pernah menyampuk waktu dia sedang berleter panjang begini. Nanti silap hari bulan, abah si Aimal yang kena leter sama.

“Abang cubalah nasihat anak abang ni…” Mama menyerah ‘baton’ kepada abah pula.

Encik Zafari menghela nafas panjang. Cepat sangat sampai giliran dia kena bersuara!

“Mal…” Abah henti dan membasah tekaknya dengan air kopi.

Dada Aimal sudah berbunyi kuat. Paling akhir sekali dia kena marah teruk dengan abah waktu dia curi-curi hisap rokok atas desakan kawan-kawan. Abahnya memang tidak banyak cakap seperti masa, namun sekali-sekala dia marah memang mengundang rasa gerun.

***

Kepadamu kekasih aku berserah
Kerana kutahu kau lebih mengerti
Apa yang terlukis di cermin wajahku ini bersama amali

Kepadamu kekasih aku bertanya
Apakah kau yang menerima kukembali
Atau harus menghitung lagi segala jasa dan bakti
Atau harus mencampakku ke sisi tanpa harga diri

Hanya padamu kekasih aku tinggalkan
Jawapan yang belum ketemukan
Yang bakal aku nantikan
Bila malam menjemputku lena beradu

Kepadamu kekasih aku serahkan
Jiwa dan raga
Jua segalanya
Apakah kau akan menerima penyerahan ini
Apakah kau akan menerimaku dalam keadaan begini

Subuh-subuh lagi sepatutnya Naimah sudah menerima mesej dan lagu daripada Aimal.

Seharian juga Aimal menanti balasan namun tiada kunjung tiba. Dari siang ke malam sampai keesokan harinya dia masih merenung telefon yang memaklumkan mesejnya itu sudah dibaca.

Awak… dah berjauh hati dengan saya?

“Tenung bagai nak tembus telefon tu, Mal. Sudah-sudahlah tu…” Johan, sahabatnya dari Jabatan Senibina Landskap menyapa. “Aku tahulah kau pasangan paling romantik!” Kawannya itu ketawa.

“Tak perlulah nak perli-perli aku.” Aimal mengemas lukisan yang berterabur di mejanya.

“Nanti dia balaslah mesej kau. Sibuk kut…”

Aimal meraup wajahnya berkali-kali. Serba tak kena dibuatnya.

“Sejak dia ke sana, tak pernah sekalipun balik ke Malaysia lagi.” Luah Aimal.

“Kau pun tak suruh dia balik, kan?” Johan meneka. “Cuba kau cakap terus-terang dengan dia. Aku rasa kau bukannya tak ada rasa sayang pada isteri kau. Cuma belum betul-betul kenal sahaja. Orang kata, tak kenal maka tak cinta!”

Betul juga kata Johan. Tempoh perkenalan mereka pendek sangat. Kenal-kenal terus dia masuk merisik. Dan tak sampai tiga bulan kemudiannya majlis pernikahan mereka pun berlangsung.

“Perkahwinan bukan kerja main-main, Mal. Ianya suatu amanah. Tanggungjawab besar!”

***

“Bagi seorang isteri, selepas Allah dan nabi, dia patut taat kepada suami. Syurga seorang isteri terletak pada redha seorang suami….” Pesanan ustazah yang datang dari Malaysia itu biasa didengar, namun hari ini kesannya berbeza buat Naimah. Sudah berapa lama dia tidak menghubungi suaminya. Nak kata merajuk, tidak. Tapi entahlah…

Dia beristighfar beberapa kali. Saat itu mesej dari mak masuk.

Assalamu’alaikum Na. Raya tahun ini balik Malaysia? Baru semalam Aimal ada datang ke rumah kita. Ini yang mak teringat dan terus mesej Na. Kerja pejabat memang Na selalu buat yang terbaik. Hal rumah tangga kena dijaga juga. Sekali-sekali ambillah cuti, dan balik jenguk suami dan juga mak ayah di kampung.

Naimah menarik nafas panjang. Oh, sekarang Aimal sudah pandai mengadu tentang dia pada mak? Sampainya hati...

Wa’alaikumussalam. Insya-Allah, ada rezeki lebih Na balik. Na tengah berjimat ni…

Sengaja dia balas begitu. Padahal sekarang ada sahaja tawaran tiket kapal terbang murah. Kena pandai cari di internet sahaja.

Tak lama kemudian, nombor Aimal naik.

“Mak kata awak nak balik tapi tak ada duit?” Soal Aimal sebaik sahaja memberi salam.

Eh mak ni, pandai-pandai pula dia tukar cerita!

“Saya sedang berjimat. Tengah kumpul duit untuk kabinet dapur rumah saya di Nilai.” Naimah pun tambah asam garam lagi. Sengaja ditekan perkataan ‘rumah saya’ kuat-kuat. Aimal jarang pernah ambil tahu hal dia di rumahnya itu. Dia kan isteri yang pandai berdikari!

“Ohh…”

“Hmm… yang kabinet bilik pun nak kena buat juga. Yang jenis ‘custom made’ tu…” Sejak bila pula dia jenis yang mementingkan perabot rumah dan kabinet segala. Baru lepas kahwin dengan Aimal dia beli katil. Sebelum ini main tidur atas tilam di lantai sahaja.

“Rak buku pun nak tambah juga. Sudah tak muat novel-novel saya.” Kata Naimah lagi apabila Aimal tidak menyahut.

Lama Aimal diam. “Nanti saya boleh uruskan hal itu. Saya pernah buat hiasan dalaman. Saya ada kenalan yang buat kabinet segala.” Yalah, bukankah Aimal pernah berkerja sebagai arkitek sebelum menyambung pelajaran dan menjadi pensyarah di Jabatan Senibina sekarang. Bila lagi dia hendak jadi arkitek untuk isterinya sendiri?

Naimah diam. Peramah dan banyak cakap pula suaminya hari ini.

Mana tidaknya, minggu lepas Aimal pergi membersihkan rumah isterinya di Nilai. Di antara rak-rak buku dalam kamar tidur dia terjumpa diari isterinya sejak zaman sekolah. Lalu dia terbaca catatan tanpa sengaja.

13 Mac 1998 - Hari ini nampak dia kafe. Pakai baju melayu warna merah. Nampak segak sangat.

18 Mac 1998 - Semalam dia lalu di depan kelas prep malam. Aku sempat pandang dia. Dia senyum. Rasa bahagia!

1 April 1998 - Dia balik dari outing. Terus singgah surau sekolah. Calon suami yang baik!

Aimal menyelak catatan yang lain. Siapa dia yang isteri dia maksudkan? Tak ada nama yang ditulis.

20 Januari 2000 – Dengar cerita dia dapat tawaran persediaan belajar ke UK. Tahniah! Harap aku pun dapat belajar di luar negara seperti dia.

12 Disember 2001 – Dengar cerita dia nak ambil jurusan senibina di UK.

Siapa lagi kawan sekolah mereka yang ambil jurusan senibina? Rasanya dia seorang sahaja? Entah-entah ‘dia’ ini senior mereka? Aimal menyelak catatan dalam diari yang lain.  Siapa dia? Siapa?

12 Disember 2014 – Akhirnya aku jadi isteri dia *senyum*

Isteri dia? Dia itu…

 1 Januari 2015 – Cuti tahun baharu. Dia masak nasi ayam untuk aku. Sedap sangat!

13 September 2015 – Dia balik lambat daripada kerja. Tak telefon. Risau…

Minda Aimal kembali ke alam nyata.
“Oh, lupa nak cakap. Saya sudah tempah tiket ke sana.”

Tiket penerbangan Johor Bahru – Kuala Lumpur – Narita* dalam kantung emel dipandangnya. Catatan isterinya dibawa ke riba.

13 Mac 2005 – Sakura. Sakura! Harap dia ada di sini. Saat ini… denganku.

Tamat.

--
Cerpen ini telah terpilih dan diterbitkan dalam Antologi Cerpen Adiwarna: Kepadamu Kekasih pada Oktober 2015.

Ikuti sekuel cerpen ini dalam NRT-KUL-JHB:

*Sepatutnya lapangan terbang NRT (Narita) ya, bukan TKY (Tokyo). Pandai-pandai cipta nama airport ✈️ sendiri, wahai Cik Rnysa 😭😭😭 Saya sepatutnya betulkan waktu hantar untuk edit dahulu tapi...hmmm, saya terlepas pandang pula. Jadi, saya betulkan di sini. Sekian, harap maklum 😭😭😭

Aimal pun pakai baju melayu warna merah - Sama macam Ammar. Sama juga macam 'dia' ☺️

Nota: Kredit lagu Kepadamu Kekasih (M. Nasir)

Thursday, June 25, 2020

[23] Gelap

Karya pendek

Gelap
Oleh Rnysa

23

19 Syawal 1441H
#MCODay86 #PKPharike-86
#stayathome #stayawayfromnegativity

Di luar sangat gelap.
Hanya hati yang pekat dengan kejahatan sentiasa tidak penat mencari-cari dan mereka-reka kesalahan orang lain.


Beberapa tahun lalu...

"Kamu semua kena faham, ayah dah kahwin!" Kata-kata itu diulang seperti radio rosak.

"Kami semua faham yang ayah dah kahwin. Tak ada siapa pun kacau ayah dengan isteri ayah. Dia yang tak habis-habis mengata kami adik-beradik. Apa masalah dia nak cakap kami ni otak tak normallah, gilalah?" Syah sudah hilang sabar.

"Ayah pun dikatanya gila. Sabar..."

Astaghfirullah hal azim, jenis tahap kesabaran apakah ini? Melainkan ada 'benda asing lain' yang terlibat sama. Adik cerita, sudah dua hari berturut-turut mereka terserempak dengan Cik Noor, mu'allimah atau guru Tadika Islam yang memiliki 3 orang anak yang huffaz. Dan, dua kali itu juga Cik Noor tanya pasal ayah dan sampaikan pesan suaminya, Ustaz Badli yang ayah nampak macam 'lain' sikit.

Rezeki.
Yang datang.

Ajal.
Yang pergi.

Selepas mak Syah meninggal, cepat sahaja ayah sudah kahwin lain dengan ibu tunggal yang sudah entah berapa kali kahwin-cerai. Semua orang sudah larang dan minta selidik dulu asal-usul dan latar belakangnya terlebih dahulu, tapi ayah mahu teruskan tanpa dengar nasihat mereka adik-beradik. Isterinya yang bertudung labuh dan berniqab itu kuat dengki dengan Syah dan adik-beradik. Juga suka buat drama yang konon-kononya dia mangsa dibuli dan dikasari.

"Anak-anak abang selalu bertindak agresif terhadap Zu. Zu sedih bang..." Tulisnya dalam WhatsApp pada ayah.

Agresif?

Syah rasa angin satu badan apabila adiknya menghantar salinan screenshot perbualan ayah dan isterinya.

HELLO? Siapa yang hentak kaki adik Syah dengan pintu bilik sampai lebam? Siapa yang suka mencarut dan keluarkan kata-kata kesat apabila marah tak ingat dunia?

Suka play victim, marah Syah dalam hati lagi.

Mujurlah perkahwinan mereka tidak lama, tak sampai setahun. Dan selepas itu ayah berpisah dengan isterinya itu. Akhirnya terbongkar juga rahsia yang isterinya itu pakai ilmu untuk memikat ayah sebelum kahwin. Dia letak sesuatu dalam makanan yang selalu dihantarnya pada ayah sebelum mereka berumah tangga dan juga sepanjang tempoh mereka berkahwin. Sebab itu ayah tak nampak kesalahan dan keburukan akhlak isterinya. Alhamdulillah, berkat bantuan Cik Noor dan suaminya, Syah adik-beradik bawa ayah berubat setelah ramai yang mulai perasaan ayah semakin berubah sikap dan meninggalkan rutin amalan hariannya
.

--

#throwback

"Awak ada masalah?" Yamada Sensei mengajukan soalan tersebut kepadaku. "Bagaimana dengan cara pengajaran saya? Adakah ia terlalu sukar untuk difahami?"

Aku tunduk merenung meja. Tidak tahu jawapan yang bagaimana yang harus dilontarkan. Berkecamuk fikiranku saat ini.

"Ujian minggu lepas... hampir kesemua pelajar lain dapat menjawab dengan baik kecuali awak." Dia menarik keluar sekeping kertas lalu diletakkan di hadapanku. "Awak pelajar tajaan negara. Sepatutnya prestasi yang cemerlang awak tunjukkan. Bukannya ini..." Dia menuding kertas jawapan milikku.

Sepuluh markah, desis hatiku. Keputusan yang sebegitu bukanlah sesuatu yang pelik sejak aku datang ke Jepun ini. Malah aku pernah dapat lebih teruk daripada itu.

Aku keluar dari bilik sensei dengan langkah yang berat. Rasa bebanan makin bertambah di kepala. Sungguh menyesakkan. Aku mengambil nafas panjang. Cuba tenangkan jiwa seketika.

Sebelum aku tiba di Jepun, aku pernah memperoleh markah yang paling teruk dalam sejarah akademikku. Dua puluh markah untuk ujian bulan Ogos subjek kegemaranku, Teknologi Kejuruteraan.

"Kalau awak mahu kertas jawapan awak, datang ambil di bilik saya," kata Cikgu Sulaiman.

Aku terkedu sendiri. Mesti ada yang tidak kena, fikirku. Waktu prep petang itu aku kuatkan semangat melaporkan diri ke bilik guru Teknologi Kejuruteraan dan Lukisan Kejuruteraan yang letaknya bersebelahan dengan kantin sekolah.

"Selalunya awak dapat A1 atau A2 dalam ujian. Tapi kali ini..." Dia menggelengkan kepala. "Ada apa-apa masalah?"

"Saya tak faham apa yang cikgu ajar," jawabku sejujurnya.

"Kenapa tak beritahu dari awal?"

Aku hanya diam membisu. Memang salahku. Waktu cikgu mengajar di depan, aku sibuk berangan. Melakar strategi untuk menghadapi pihak lawan.

"Awak ada pakwe?"

Mataku membuntang. Biar benar! Kalau ikutkan hati, mahu sahaja aku mengangguk dan menjawab, "Mohd Ammar Iskandar." Tetapi teringat pesanan ustazah, tidak baik membuat fitnah. Aku segera menggeleng.

"Kalau ada, boleh saya suruh dia ajar awak."

Kata-kata cikgu berumur lingkungan 40an itu membuat aku terharu. Hampir mengalir air mataku ini. Di mana hendak kucari guru sebaik Cikgu Sulaiman? Hanya di SERATAS. Antara salah satu sebab aku cukup sayang sekolah yang satu itu.

"Kaduk."

Aku sempat menahannya yang sedang menuruni tangga. Dia berhenti dan berpaling.

"Sibuk tak petang ni?" Aku menyoal.

"Kenapa?"

"Nak minta ajar bab pneumatik dan hidraulik. Boleh?"

"Pukul lima di kelas kau?"

Aku mengangguk. Mudah berurusan dengan dia. Tidak perlu bersoal jawab panjang lebar. Dan, seperti yang dijanjikan, dia datang tepat pada masanya dengan membawa buku teks. Dengan memegang kapur di tangan, dia mula menconteng papan hitam. Menerangkan dari perkara yang asas seperti fungsi-fungsi injap sehinggalah kepada penyelesaian litar. Dalam masa satu jam, aku sudah boleh memahami perkara yang dipelajari hampir berbulan lamanya.

Dan sebagai buktinya, aku berjaya memperolehi 72 markah dalam satu lagi ujian topik tersebut. Waktu riadah petang aku mencarinya di kelas 5 Alfa. Mahu menayang markah yang kuperoleh. Dia tersenyum. Bila aku bertanyakan markahnya pula, dia menyerahkan kertas jawapannya.

"Wah! 96 markah..." Ucapku girang. Dan, 'Tok Guru'ku itu tersenyum bangga mendengar pujian anak didiknya.

Rindunya pada zaman persekolahan. Kerana waktu itu aku sentiasa ada dia. Aku tahu dia tidak memerlukan seorang kawan yang tidak berapa bijak seperti aku. Sebaliknya, aku yang sentiasa memerlukan teman yang bijak pandai dan tidak lokek berkongsi ilmu sepertinya. Alangkah bagusnya andai dia juga berada di bumi sakura ini....

"Syah san, tunggu sebentar."

Aku segera menoleh. Dari jauh kelihatan Kimura, teman sekuliah datang menghampiri dengan berlari-lari anak. Aku memberhentikan langkah betul-betul di hadapan pintu masuk ke perpustakaan. Lama juga aku mengelamun tadi.

"Kenapa?" Aku merenung lelaki yang berasal dari Ibaraki itu. Dia tergopoh-gapah mengeluarkan sesuatu dari beg sandangnya.

"Aku mahu pulangkan nota kamu." Dia menyerahkan sebuah buku latihan nipis berwarna biru. "Terlupa pulangkan masa kuliah tadi. Maaf ya..."

"Tak apa. Aku sendiri lupa memintanya daripada kamu tadi."

"Mahu ke perpustakaan?" soalnya. Sesekali dia memandang jam di tangannya. Wajahnya agak cemas. Mungkin mengejar masa.

Aku mengangguk.

"Aku pergi dahulu. Sudah berjanji dengan senior mahu makan sama. Ini pun sudah agak lewat. Jumpa lagi minggu depan," ujarnya lalu mula mengatur langkah.

Selesai sahaja meminjam beberapa buah buku rujukan, aku terus bergerak ke eki. Perjalanan dari kolej ke rumah sewaku mengambil masa hampir 40 minit. Seperti pergi ke Ipoh dari pekan Kampar dengan bas Kinta!

Sampai di rumah, aku menjenguk peti surat seperti biasa. Dalam banyak-banyak pamplet yang sumbat dalam peti suratku terselit sekeping poskad yang berlatar belakangkan pemandangan kawasan pendalaman di negara Eropah. Aku mencari nama pengirimnya di bahagian bawah poskad tersebut.

C.D.A

Bibirku melakar senyuman. Sekurang-kurangnya poskad ini mampu jadi pengubat kegelisahan yang makin beraja di hati.

Sejak Kaduk berkelana di benua Eropah itu, hampir setiap bulan aku akan mendapat kiriman poskad. Dan, ianya berterusan sehingga ke saat ini. Sebagai balasan, aku akan mengirimkan poskad dari bumi sakura ini.

Sudah setahun aku mendiami dunia yang serba asing ini. Dalam tempoh ini juga hubungan antara aku dan Carl Duke Adam makin intim, makin rapat. Dalam diam terbit suatu perasaan aneh mula dalam diri ini. Perasaan yang tidak bisa aku leraikan dengan kata-kata. Adakah ini yang dinamakan cinta? Cinta yang lahir antara dua sahabat. Walaupun tiada lafaz cinta yang terungkap di bibir masing-masing, namun keindahannya dapat kurasai.

Ah! Mungkin segala perlakuannya itu atas dasar persahabatan kami. Dia hanya mengambil berat. Mungkin aku sahaja yang merasai dan mengalaminya. Aku biarkan sahaja diri bermain dengan teka-teki yang bagai tiada jawapannya ini.

Dan seperti biasa, malam ini adalah seperti malam-malam sebelumnya. Sendiri dalam kamar yang sepi. Aku jadi benci pada kesepian yang makin menyelubungi hidupku ini. Tetapi apakah dayaku. Aku sendiri yang membuat keputusan untuk datang ke bandar paling maju di dunia ini. Dalam kepasrahan, aku akur dengan ketentuan Tuhan. Mungkin akan ada manisnya. Cuma aku harus bersabar.

--

Syah mengeliat ke kanan dan ke kiri. Hari ini adalah hari terakhirnya bekerja dari rumah. Esok dia perlu kembali bekerja seperti biasa. Namun, anak-anaknya masih tak dapat memulakan persekolahan lagi. Dengar ceritanya, hanya pelajar yang menduduki peperiksaan penting seperti SPM, STPM dan STAM sahaja akan menyambung semula sesi pembelajaran.

Jadi esok Syah mahu berbincang dengan ketuanya supaya dapat terus berkerja dari rumah sambil menjaga anak-anaknya. Kaduk boleh bekerja dari rumah sampai hujung tahun ini, namun sekiranya perlu dia boleh pergi ke pejabat dengan kebenaran pihak atasan. Semalam Kaduk sudah bertanya lagi, betulkah dia mahu bekerja semula sekarang?

"Covid-19 ni tak tahu habis bila. Sayang pun tak sihat sangat lagi. Apa kata berehat dulu sebelum bekerja balik?" Kata Kaduk malam tadi sebelum mereka tidur.

Dulu waktu selepas melahirkan Akram, dia sudah rehat hampir setahun juga selepas mengalami komplikasi semasa bersalin. Kaduk nak dia berehat lagi?

"Kalau sayang tak kerja pun, Insya-Allah abang masih mampu tanggung kita sekeluarga. Hal duit jangan bimbang, biar abang yang fikir. Syah jaga kesihatan diri dan jaga anak-anak." Akhirnya Kaduk meluahkan juga isi hatinya yang sudah lama terpendam dalam benaknya. Dia mahu bidadari hatinya tenang dan damai seperti selalu. Dia merindukan saat tiada apa yang mengganggu fikiran Syah. 

Syah menarik nafas panjang.

Apakah aku akan teruskan hidup jika tiada impian lagi?
Apakah aku akan hentikan hidup jika tiada tujuan lagi?

"Beri sayang masa fikir dulu..." Waktu Syah nak buat 'humble' beritahu yang dia duduk di luar negara sebab ikut suami, ada juga orang kata dia hidup senang-lenang goyang kaki. Kadangkala dia malas nak bercerita panjang pasal kerjaya dan cita-cita dia. Kaduk pun selama ini tidak pernah mengongkong Syah hendak mencapai segala cita-cita. Malah, dia yang selalu beri galakan termasuklah 'paksa' Syah berdaftar sebagai jurutera professional. Kaduk memang kerjanya ambil lesen professional macam-macam untuk bidang kerja Oil & Gas dia, sampai Syah pun naik pening berapa banyak sijil dia nak kumpul. Dengan Syah sekali kena kerahan tenaga jadi Ir. juga seperti Kaduk.

Hantaran @ post dari laman LinkedIn yang dikongsi suaminya itu Syah dengar berkali-kali. Kata-kata inspirasi daripada penyanyi Jennifer Lopez itu sedikit sebanyak menyentuh hatinya, juga posting yang tertulis:

"... We are limitless if we work hard enough at it. There is NO boundaries but the work IS required. We must make a commitment to do better, be better..."

Kata Kaduk lagi semalam sebelum tidur: Abang yang kahwin dengan sayang. What I say should be matter to you, not from the others. Abang yang kenal sayang. For me, meeting you... and marrying you are the best things that have ever happened in my life. I can't imagine my life without you. *Mereka kata kita tak serasi. But for me you're still the one and only girl. Mahu hanya kamu...

Eh, pandai pula Kaduk ambil hati dia dengan menyanyikan bait lagu yang dia suka baru-baru ini. Ya, Kaduk selalu usaha nak faham apa yang Syah suka atau tak suka. Bila ada mana-mana lagu yang Syah suka pun, dia pun sama nak tahu. Tup-tup dia boleh nyanyikan atau mainkan dengan piano.

Dari Jennifer Lopez ke laman LinkedIn NASA pula.

*Dah berkali-kali mencuba
Melupakan mu tidak.... 

NASA.
National Aeronautics and Space Administration. 

Salinan surat tawaran kerja daripada NASA suatu ketika dahulu masih tersimpan elok dalam diarinya.

Hmm, 'cinta lama' yang dilupakan tidak.

(bersambung...)

#RADHA

Petikan #throwback di atas daripada versi asal online e-novel Relevankah Aku di Hatimu? yang ditulis pada 24 Mac 2004.

*Lirik lagu terbaharu Aziz Harun.


Monday, June 15, 2020

[22] Gelap

Karya pendek

Gelap
Oleh Rnysa

22

Malam
#MCODay64 #PKPharike-64
#stayathome #stayinlove #staywithher

Di luar kian gelap.
Hanya sinaran paparan Retina HD: LED-backlit IPS LCD daripada iPhone ditatap penuh perhatian.

Ammar sedang berbalas mesej WhatsApp dengan Adam di hujung talian.

--
Seratas Adam:
Maaf lambat balas. Ada hal sikit.

Ammar:
Tak apa.

Seratas Adam:
Syah masuk hospital semalam. Ni baru discharge. Baru lepas uruskan hal dia ni.

Ammar:
Ya Allah, kenapa pula tu? OK tak?

Seratas Adam:
Alhamdulillah, ok. Kena banyak rehat. Lepas raya ni ana nak bawa dia pergi buat full medical check up.

Ammar:
Alhamdulillah, kirim salam pada dia. Semoga cepat sembuh. Syafakillah!

Seratas Adam:
Insya-Allah. Terima kasih, Ammar. Kirim salam pada semua keluarga di Johor. Dan Ammar... tahniah sekali lagi ya. Insya-Allah, tak lama lagi bakal jadi seorang ayah. Welcome to the club in advance!

Ammar:
Amin ya rabb. Terima kasih, Adam. Tolong doakan semoga urusan kami dipermudahkan.

Seratas Adam:
Insya-Allah, kami sekeluarga sentiasa mendoakan kebahagiaan enta dan Nur. Mesti anak-anak ana excited kalau tahu Umi Wawa mereka pregnant, terutamanya si Aisyah.

Ammar:
Kirim salam pada Aisyah. I miss her so much. Ana harap anak ana nanti pun macam anak-anak enta juga. Anak yang soleh dan solehah, baik-baik belaka.

Seratas Adam:
Amin ya rabb. Syah yang banyak mendidik mereka sebenarnya. Spend banyak masa dengan anak-anak. All the credits should go to her. Dulu ana banyak masa dekat offshore, kerja merata-rata apa semua. Dah macam orang nomad. Sekarang baru nak pick up balik masa dengan keluarga.

Ammar:
Rezeki enta dapat bidadari hati dan ibu yang baik untuk anak-anak.

Seratas Adam:
Alhamdulillah, I am one lucky man. And same goes to you too. Kita sama-sama Allah kurniakan isteri yang baik. Rezeki, amanah dan tanggungjawab daripada Dia.

Ammar:
Indeed. Semalam bila dapat tahu berita gembira ni ana rasa nervous sangat sebenarnya. Amanah makin berat ke bahu.

Seratas Adam:
Insya-Allah, you'll be fine. I know you will.

Ammar:
Amin. Nanti share la tips nak jaga isteri masa pregnant.

Seratas Adam:
Ahahaha... Nanti ana tanya pada isteri. Dah lama tak ada anak kecil. Lupa dah...

Ammar:
Haha. Insya-Allah, semoga ada rezeki untuk enta berdua lagi. More Kaduk & Syah Junior in near future.

Seratas Adam:
Insya-Allah, Allah humma amin!

Seratas Adam:
Btw, pasal Syah masuk hospital, tak perlu cerita pada Nur. Kami tak nak dia bimbang. Jaga dia baik-baik waktu awal-awal kandungan ni, Ammar.

--

Pandangan Ammar dilemparkan pada Nur yang sedang tersenyum-senyum sambil melipat pakaian. Sejak berita gembira semalam, dia ceria sepanjang hari. Alhamdulillah, Ammar bersyukur sangat isterinya tidak bersedih dan murung lagi.

Namun, entah kenapa terselit sedikit rasa risau tentang Akasyah.

Tiba-tiba wajah manis Akasyah melintas dalam fikirannya saat ini. Tak apalah, Adam kan ada. Dia boleh jaga isterinya itu.

Ya, Akasyah kan isteri Adam.

Apa sebenarnya yang sedang kau fikir, Ammar? Astaghfirullah hal 'azim.

***

#throwback

Ammar menghempaskan tubuhnya ke atas lantai simen. Rasa selesa berbaring di situ meskipun hanya berbantalkan lengan. Sekali-sekala angin dari kipas siling yang dipasang pada kelajuan paling maksima mengenai tubuh. Sungguh menyamankan. Dia bangun semula mencapai sehelai kain pelekat untuk dibuat alas supaya tubuhnya tidak merasa terlalu sejuk dek lantai simen batu itu. Kemudian dia kembali meletakkan kepala. Kepenatan tadi masih terasa. Mana tidaknya pagi ini sahaja dua kali dia mengelilingi Taman Tasik Taiping. Mula-mula pergi berjogging seawal jam 7 pagi menemankan Kaduk. Yang keduanya jalan santai-santai sambil bergambar kenang-kenangan dan kali ini Akasyah ada bersama.

Masih terngiang-ngiang kata-katanya tadi. Dia cuba pejamkan mata. Tetapi kata-kata itu masih bermain-main di segenap ruang.

"Cakap pada dia semula yang saya pun sukakan dia."

Apa yang sudah aku lakukan? Keluh Ammar. Satu hembusan kecil dilepaskan. Entah mengapa dia boleh berkata sedemikan rupanya. Selepas menyatakannya barulah dia tersedar yang dia sudah melakukan satu kesilapan besar.

Memang dia sukakan Akasyah tetapi suka sebagai seorang kawan sahaja. Kawan perempuan yang boleh dikatakan agak rapat juga. Di kala pelajar puteri lain hanya memandang dengan wajah malu-malu kucing, gadis itu memandang matanya setiap kali berbicara dan penuh keceriaan yang bersahaja hinggakan dia rasa tidak keruan lalu segera dia mengalihkan pandangan. Sememangnya dia tidak biasa bertentangan mata lama-lama begitu. Dilahirkan dalam keluarga yang adik-beradik semuanya hero belaka menyebabkan dia sukar berkomunikasi dengan perempuan kecuali dengan umi, tok wan, saudara-mara terdekat dan guru-gurunya. Tambahan pula dia memang telah dididik supaya menjaga batas pergaulan antara lelaki dan perempuan.

Dia yang jarang berkawan dengan perempuan terhibur dengan telatah gadis lincah itu. Bicaranya kadang-kala agak keanak-anakan. Wajahnya sentiasa nampak ceria sehingga pernah terfikir adakah gadis itu tidak punya sebarang masalah. Walaupun perangai Akasyah kadang-kala agak kasar pada pandangan seorang lelaki seperti dia tetapi terserlah jua sifat kewanitaannya sekali-sekala. Kehadiran gadis itu dalam hidupnya ternyata memberikan impak luar biasa pada dirinya. Sejak mengenali gadis yang bernama Akasyah barulah dia semakin tidak kekok apabila berbicara dengan pelajar puteri lain. Makin mudah dia melakukan tugas yang melibatkan urusannya dengan pelajar puteri.

Tadi semasa Kaduk menyatakan gadis itu menyukainya, Ammar tahu itu satu lagi dari gurauan dari temannya itu. Temannya yang satu itu suka benar memadankan mereka berdua. Ada sahaja akalnya. Masakan Akasyah menyimpan perasaan terhadapnya. Lagipun Akasyah tidak pernah menunjukkan tanda-tanda yang dia menyukainya. Setiap usikan Kaduk disambut dengan gelak-tawa. Bukankah Akasyah lebih rapat dengan Kaduk? Sebabnya, di mana ada Kaduk di situ ada Akasyah. Cuma pernah sekali Akasyah mengambil keputusan untuk menjauhkan diri dari Kaduk apabila timbul satu cerita. Sejak itu Akasyah semakin rapat denganku. Aku mengambil alih tugas Kaduk menjadi gurunya buat sementara waktu. Apabila gosip mula reda dia kembali belajar bersama Kaduk. Malah sebenarnya Kaduk sendiri datang menemui Akasyah kerana merindui anak muridnya itu.

Ammar bermonolog panjang sendiri.

Harap-harap Akasyah tidak tersalah tafsir kata-katanya tadi. Risau juga dia dikatakan menaburkan harapan pada gadis itu sedangkan hatinya masih belum bersedia untuk bercinta. Masih awal lagi mahu mencari pasangan hidup. Biarlah dia bercinta sekarang pada Allah dan Rasul, keluarga, kawan-kawan dan ilmu dahulu. Perempuan? Biarlah dia berkawan sahaja dahulu. Insya-allah... jika sudah sampai jodohnya nanti dia akan memberikan seluruh cintanya sebagai seorang suami, kekasih, dan teman pada isteri yang tercinta.

Tetapi mana tahu sudah tertulis yang gadis bernama Nurul Akasyah binti Othman itu adalah isterinya yang akan bersama-sama melayari bahtera perkahwinan. Segalanya mungkin kerana jodoh dan pertemuan di tangan Tuhan.

***

Tokyo, April 2006

Usai sudah majlis kemasukan pelajar baharu tahun itu di Dewan Utama, Universiti Tokyo. Waktu Ammar keluar daripada dewan kelibat Akasyah sudah tidak kelihatan. Matanya melilau dan tercari-cari ke sana sini, namun gadis manis tinggi lampai itu bagaikan hilang dibawa angin lalu.

"Ammar?"
"Oh, Kak Zie..."

"Ammar nampak Syah?" 

Rupa-rupanya Kak Zinnirah pun sedang mencari Akasyah.

"Manalah dia pergi. Kak Zie dah pesan tunggu dekat sini." Segera pelajar doktor falsafah itu mengeluarkan telefon bimbit daripada tas tangannya.

"Syah? Ha, Syah kat mana tu? Okey, Kak Zie tunggu depan sini dengan Ammar. Ya, ya... Ammar pun ada ni. Apa? Hmm, lagi 5 ke 10 minit? Okey, kami tunggu."

Kak Zie memasukkan semula telefon bimbitnya ke dalam tas tangan. "Syah tengah sembang dengan professor dia. Dia minta tunggu sekejap."

Ammar segera mengangguk. Dia memandang sekeliling. Suasana masih meriah dengan kehadiran para pelajar, keluarga dan rakan taulan yang turut meraikan majlis tadi. Dari kejauhan, Ammar akhirnya dapat mengesan kelibat rakan sekolahnya itu. Betul kata Kak Zie, Syah sedang berbual dengan seseorang. Seperti biasa, nampak dia sangat ceria dan sentiasa tersenyum manis. Sesekali dia mengangguk dan mengiakan bicara professor Jepunnya itu.

Entah kenapa setiap kali Akasyah mengukir senyuman manis, Ammar pun turut tersenyum sama sendiri. Matanya bagai terpaku dan mungkin juga terpukau.

Tanpa sedar gelagatnya itu diperhatikan oleh Kak Zie. Disebabkan itu juga, Kak Zie mula menaruh syak yang dia menaruh perasaan terhadap Akasyah.

"Maaf tanya... Ammar suka Syah ke?" soal Kak Zie tak semena-mena waktu itu.

Rasa menderu darah sampai ke otak. "Eh, tak..." Segera dia menafikan. Aduh, tersilap pula dia pandang Syah lama-lama tadi. Astaghfirullah, jaga mata Ammar!

"Kalau suka pun apa salahnya, Ammar. Syah tu pun single lagi. Tak ada siapa-siapa. Budak baik. Satu usrah dengan Kak Zie." Terus Kak Zie promosi anak usrahnya. Manalah tahu berjodohan pula dengan lelaki yang sopan-santun macam Ammar. Sesuai sangat!

Ammar melirik Akasyah dari jauh." Betul ke single lagi? Takkan tak ada sesiapa kot. Dia tak cakap dia rapat dengan siapa?"

"Eh, tak ada pula. Kak Zie pun tak ada tanya lebih-lebih."

Hmmm, mungkin Ammar ni memang ada hati dengan Syah. Telah Kak Zie dalam hati.

"Carl Duke Adam. Kaduk. Dia pernah sebut tak nama ni?"

Kak Zie menggeleng. "Siapa tu?"

"Kawan sekolah kami. Dia baik dengan Syah."

"Tak pernah pula dengar dia cerita. Jarang dia sebut pasal lelaki. Sekadar dia bergurau tu ada la secara umum. Tu pun cakap sambil gelak-gelak yang dia suka lelaki Chinese look la, mixed blood la, Kimura Takuya apa la. Suka jawab main-main." Macam-macam pula Kak Zie cerita pada Ammar. Jujur pula tu!

Chinese look? Syah masih suka dia ke? Hati Ammar menyoal.

Tak lama selepas itu Syah datang menyertai mereka. "Maaf buat lama tunggu. Panjang pula cerita dengan prof tadi."

Ammar sekadar memerhati. Senyuman manis Akasyah sudah hilang. Dia masih marah lagikah?

"Jomlah kita ambil gambar. Syah cakap nak bergambar tadi, kan. Jom Ammar sekali."

Ajakan Kak Zie yang berakhir dengan Ammar menangkap gambar kenangan bersama-sama dengan si gadis manis tinggi lampai. Yang pada awalnya mogok senyum dengan dia.

"Syah, senyumlah sikit." Kak Zie menegur.
"Cepat-cepat..." Dengan nada malas Syah menjawab.

Ammar mengerling orang di sebelahnya. Muka kelat itu tak boleh nak diselindungkan. Syah, berapa lama lagi awak nak marah saya ni?

"Syah?" Serunya.

"Apa dia?"
"Senyum."

Dia pandang mata Syah dan senyum ikhlas pada Syah.

Saat itu Kak Zie ambil gambar candid mereka berdua. Saling bertatapan. Dan Syah sedang menguntumkan senyumannya yang paling manis.

Saat itu juga hati lelakinya merasakan sesuatu yang luar biasa.

"Yalah, aku senyum. Okey?" Katanya selamba lalu terus pandang ke depan.

"Kak Zie, last take. Sejuk sangat ni." Si manis sudah berpeluk tubuh.

"Ammar, pandang depan." Kak Zie beri arahan.

"Tengoklah kamera. Yang kau tengok aku dah kenapa?"


Lalu saat itu segala memori zaman sekolah bersama-sama gadis manis di sisinya ini melintas di fikiran Ammar.

Padang hoki. Coklat PICNIC. Terserempak dengan Syah waktu nak ke surau. Perlawanan bola jaring. Dan lain-lain lagi.

Ammar segera pandang Kak Zie yang sudah bersedia dengan kamera di tangan. Sudah kenapa jantung dia rasa berdebar-debar hebat... sekarang?

Jodoh.
Pasti bertemu.

Pertemuan.
Pasti berlaku.

Daripada Abdullah bin Mas’ud RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِنَّ أَحَدَكُمْ يُجْمَعُ خَلْقُهُ فِي بَطْنِ أُمِّهِ أَرْبَعِينَ يَوْمًا، ثُمَّ يَكُونُ فِي ذَلِكَ عَلَقَةً مِثْلَ ذَلِكَ، ثُمَّ يَكُونُ فِي ذَلِكَ مُضْغَةً مِثْلَ ذَلِكَ، ثُمَّ يُرْسَلُ الْمَلَكُ فَيَنْفُخُ فِيهِ الرُّوحَ، وَيُؤْمَرُ بِأَرْبَعِ كَلِمَاتٍ: بِكَتْبِ رِزْقِهِ، وَأَجَلِهِ، وَعَمَلِهِ، وَشَقِيٌّ أَوْ سَعِيدٌ، فَوَالَّذِي لَا إِلَهَ غَيْرُهُ إِنَّ أَحَدَكُمْ لَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ الْجَنَّةِ حَتَّى مَا يَكُونُ بَيْنَهُ وَبَيْنَهَا إِلَّا ذِرَاعٌ، فَيَسْبِقُ عَلَيْهِ الْكِتَابُ، فَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ النَّارِ، فَيَدْخُلُهَا، وَإِنَّ أَحَدَكُمْ لَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ النَّارِ، حَتَّى مَا يَكُونُ بَيْنَهُ وَبَيْنَهَا إِلَّا ذِرَاعٌ، فَيَسْبِقُ عَلَيْهِ الْكِتَابُ، فَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ الْجَنَّةِ، فَيَدْخُلُهَا

Maksudnya: “Sesungguhnya setiap kamu dikumpulkan penciptaannya di perut ibunya dalam keadaan air mani selama empat puluh hari, kemudian berubah menjadi seketul darah selama empat puluh hari, kemudian menjadi segumpal daging selama empat puluh hari. Kemudian diutus kepadanya malaikat untuk ditiupkan kepadanya roh dan (malaikat) diperintahkan untuk menetapkan empat perkara: Menetapkan rezekinya, ajalnya, amalnya dan kesudahannya sama ada derita atau bahagia.

Demi Allah yang tidak ada tuhan melainkan-Nya, sesungguhnya di antara kamu ada yang melakukan amalan ahli syurga sehingga jarak antara dirinya dengan syurga tinggal sehasta, akan tetapi telah ditetapkan baginya ketentuan, lalu dia melakukan amalan ahli neraka, maka masuklah dia ke dalam neraka. Sesungguhnya di antara kamu ada yang melakukan amalan ahli neraka sehingga jarak antara dirinya dengan neraka tinggal sehasta, akan tetapi telah ditetapkan baginya ketentuan, lalu dia melakukan amalan ahli syurga, maka masuklah dia ke dalam syurga.” [Riwayat Bukhari (3208)]


(bersambung...)

#RADHA #CoklatPICNIC

Petikan #throwback di atas daripada versi asal online e-novel Relevankah Aku di Hatimu? yang ditulis pada 8 Disember 2003.

Hmm... Bolehlah baca sambil dengar lagu Afgan - Jodoh Pasti Bertemu.



Sunday, June 14, 2020

[21] Gelap

Karya pendek

Gelap
Oleh Rnysa

21

Petang
#MCODay64 #PKPharike-64
#stayathome #staysafe #stayalive

Di luar tampak cerah.
Disimbah cahaya mentari petang penghujung Ramadan yang mendamaikan.

Doktor Tun Zainal Ashraf Tun Zainal Abidin meneliti laporan rekod kesihatan di tangannya. Dibacanya sekali lalu sebelum matanya beralih pada pesakit di hadapannya.

Nurul Akasyah binti Othman
38 tahun
Sudah berkahwin

"Puan Nurul Akasyah, saya Doktor Ashraf..." Dia memperkenalkan diri sambil mengerling pada pasangan yang wajahnya tak sama dengan pesakitnya duduk berdekatan katil. Kawan?

Syah yang perasan riak wajah doktor yang semacam tertanya terus memberitahu: "Oh, yang ini suami dan adik ipar saya, doktor. Mereka temankan saya dekat sini."

"Adam..." Kaduk senyum pada Doktor Ashraf. Nak bersalaman tak boleh pula tengah musim Covid-19 ini.

"Hari ni saya boleh keluar, doktor?" Tanya Syah. Semalam dia kena tahan wad, tak pasal-pasal menginap dekat hospital. Kasihan anak-anak dia yang kini menumpang di rumah Kak Long Aqeilah. Hati seorang ibu dia jadi tak tenang memikirkannya, walaupun Kaduk sudah awal-awal pesan tak perlu bimbang.

"Kak Long ada pembantu rumah yang boleh tolong tengok-tengokkan. Lagipun anak-anak Kak Long pun sama tolong layan tiga beradik tu. Humaydi, Humayra, Husayni, Huwaynaa...semuanya ada dekat rumah sekarang." Beritahu Kaduk lagi malam tadi. Semalam pun sebelum buka puasa sudah buat lintas langsung video call dari hospital ini. Berebut-rebut anak-anak nak bercakap dengan ibu mereka.

Adeilah pun sempat menambah, "Kak Chik tu yang kena sihat dulu. Baru boleh nak discharge. Kalau tak berayalah dalam hospital. Tapi oklah, ramai doktor sini yang handsome."

Malam tadi datang doktor lelaki muka ala-ala cina macam Ammar datang periksa. Kebetulan nama doktor pun Amar juga. Lepas doktor itu keluar, Syah dan Adeilah pakat-pakat mengusik Kaduk yang jelas cemburu Syah nampak mesra alam dan ramah sangat dengan Doktor Amar.  Padahal Syah sengaja nak elak daripada kena bebel dengan suami sendiri sebab sorok sakit sampai masuk hospital. Yalah, sepanjang hari Kaduk sedikit beremosi dengan dia.

"Dah...dah... jangan nak ubah topik ya." Kaduk jadi geram kena main-main dengan isteri dan adiknya. Yang tak habis-habis mereka berdua puji Doktor Amar yang datang semalam.

Doktor Ashraf berdeham. "Keputusan penuh tak keluar lagi, puan. Maaf, nanti saya datang sekali lagi. Ermm... Saya nak cadangkan puan lepas ni pergi buat saringan tahunan untuk mereka yang berumur 35 tahun ke atas. Pernah buat tak sebelum ni masa puan duduk di luar negara? Mungkin Encik Adam boleh bawa isteri buat pemeriksaan berkala. Dekat hospital swasta pun ada juga."

"Insya-Allah, doktor. Memang saya nak cadang nak bawa isteri saya pergi buat full medical check up." Balas Kaduk. Lepas raya nanti dia memang nak ajak Syah pergi ke hospital panel tempat kerja dia.

Doktor Ashraf mengangguk. Sebelum dia keluar sekali lagi dia berpaling pada pasangan suami isteri Puan Akasyah dan Encik Adam. Rasa macam pernah jumpa mereka sebelum ini, tapi di mana ya? Dan muka isteri Encik Adam pun ada nak iras-iras muka kakak saudara dia, Tun Aminah Tun Abdullah Ismail. Macam pelanduk dua serupa sahaja.

***

#throwback

"Kaduk, tau esok berapa haribulan?"
"28... kenapa?"
"28 Ogos tahun lepas...."
"Aku ingat...."
"Oleh sebab tu... esok kau jangan sekali-kali ada atas jalan raya. Dengar tak ni?"
"Selain belajar psikologi, kau ada ambil kelas Feng Shui ye?"
"Kaduk, aku nak pastikan kau selamat..."

"Syah, dengar sini..." Aku menutur lembut. "Panjang atau pendek umur seseorang, kesudahannya sama. Hidup ini akan berakhir dengan mati. Allah tak pernah cabut sesuatu dari hambaNya kecuali Dia gantiNya dengan yang lebih baik." Aku menghela nafas panjang.

"Dan, andai katalah umur aku tak panjang..."
"Kaduk!"
"... Tuhan akan gantikan seorang kawan yang lebih baik daripada aku. Mungkin bukan sekadar seorang kawan... tapi lebih daripada itu. Percayalah..."
"Apa yang kau merepek ni? Dah... aku tak mahu dengar lagi." Suaranya bergetar.
"Aku tak merepek. Ni hakikat..."

Mungkin kau tak mengerti, Syah. Awalnya kita bersahabat sehingga detik setahun lepas aku ditimpa musibah. Saat bertarung antara hidup dan mati, aku masih sahabat kau. Barangkali kau sudah terlupa bahawa aku pernah disahkan 'mati' di dalam bilik pembedahan, waktu itu Tuhan sudah mengambil aku daripada kau. Tetapi keajaiban berlaku, jantung aku kembali berdenyut. Sudah sedar tetapi sayangnya hilang ingatan, aku bagai dihidupkan semula ke dunia nini. Dan kini, aku dikembalikan untuk menjadi sahabat dan bakal suamimu, sayang. Lihatlah, sesungguhnya tidak ada yang hilang daripada kau. Jika dulu hati ini sering ragu-ragu, kali ini ia sedari awal lagi berpihak seratus peratus kepada kau, gadisku.

"Andai kata kita saling tak berhubung dalam satu jangka masa yang lama... dan kau terasa kehilangan aku, kau kena tahu sebenarnya Dia sedang penuhi masa itu dengan sesuatu yang lebih bermanfaat untuk kau, sesuatu yang aku tak mampu beri pada kau." Tuturku dengan sepenuh hati.

"Kau cakap semua ni sebab aku senyap tiga bulan lepas ke? Kau merajuk ya? Haa.. aku tahu... sakit kau datang balik. Betul tak?"

"Tak adalah.  Aku sihat wal'afiat. Aku cuma nak beritahu Tuhan dah gantikan sesuatu yang lebih baik untuk kau." Untuk kita sebenarnya. "Ya, aku yakin tentang tu. Cuma kau yang tak sedar..."

Tiada balasan. Akasyah masih diam seribu bahasa. Mungkin dia sedang berfikir yang bukan-bukan tentang aku.

"Yalah...  mana nak sedar apa-apa. Ada orang tu asyik sibuk dengan asynchronous synchronous dia. Lebih-lebih lagi dah dapat kawan baru yang tolong ajarkan. Orang dah sibuk dengan dunia sendiri lah katakan. Kawan lama ni pun kena tolak tepi..." Aku buat-buat nada merajuk dengan harapan dia akan gembira.
Akhirnya Akasyah tergelak. Aku rasa lega sedikit.

"Kau punya seorang kawan yang sanguine choleric - si bakal suami dan ayah yang baik, disenangi oleh semua orang. Jadi kau sepatutnya gembira untuk aku... bukannya buka semula cerita sedih setahun yang lepas. Lepas ni aku tak nak dengar lagi pasal semua ni. Kita tutup buku lama, kita buka buku yang baru. Cipta kenangan baru..."

"Maaflah... aku..."

"Dahlah... aku tak suka dengar kau sedih-sedih macam ni. Kalau kau tak nak aku ke mana-mana esok, aku akan duduk di rumah je sepanjang hari. Aku kan kena praktis jadi suami yang baik, jadi sesekali perlu bertolak-ansur dengan..." Tak sempat aku menghabiskan ayat, talian sudah terputus. "... isteri."

Tuttt....

"Suami? Isteri? Kau memang dah tahap kronik, Kaduk. Kalah aku yang nak nikah ni." Teman serumah Ammar, Shah menyampuk dari belakang.

Aku tersengih. Telefon diletak di hujung bantal. Aku bangkit dari katil. Menyalin seluar kepada kain pelekat. Badan dilontar semula ke atas katil.

"Kami cuma bincang pasal benda yang Syah belajar dalam kelas psikologinya."
"Berbincang kononnya. Bijak, bijak..." Shah tesengih. "Eh, tapi bukan dia ambil engineering ke kat Jepun tu?" Dia kehairanan.
"Memanglah. Tu kelas yang suka-suka agaknya."

"Wah, hebatlah bakal isteri kau! Engineer merangkap ahli psikologi..."
"Tengoklah suaminya macam mana..."
"Perasan. Entah dia nakkan kau ke tak." Shah mengusik lagi. Matanya melilau mencari sesuatu. "Ammar mana... aku nak pulangkan buku dia."
"Mandi. Letak je atas meja tu."

"Aku doakan kau bahagia, Carl Duke Adam." Ujar Shah berulang kali sebelum menutup pintu.

Aku tersenyum sendiri. Ya, moga bertemu kebahagiaan yang dicari.

***

Malam tadi. Jam 3 pagi.

Bahagiakah dia dengan Syah? YA.
Tapi Syah?

*Dia tak sangka isterinya itu sudah lama memendam perasaan dengan kata-kata orang sebenarnya. Yang buat sampai Syah rasa insecure. Sepatutnya dia kena lebih kuat dan yakin. Yakin dengan rezeki jodoh dia Allah sudah tetapkan dengan seorang Carl Duke Adam.

Qada'.
Perkara yang diputuskan.

Qadar.
Perkara yang telah ditetapkan kadarnya.

Sayyid Sabiq melalui kitabnya Aqidah Islam menyebut, telah disebut berulang kali di dalam al-Quran al-Karim masalah qadar atau takdir, antaranya:

Segala sesuatu terlaksana dengan takdir Tuhan. Firman Allah SWT:

وَكُلُّ شَىْءٍ عِندَهُۥ بِمِقْدَارٍ

Maksudnya: Dan segala sesuatu itu di sisi Tuhan adalah ketentuan takdir. (Surah al-Ra’d: 8)

Al-Maragi mengulas: Setiap sesuatu mempunyai batas waktu yang telah ditentukan iaitu tidak lebih dan tidak kurang.

Segala sesuatu diciptakan dengan takdir sebagaimana firman Allah SWT:

وَإِن مِّن شَىْءٍ إِلَّا عِندَنَا خَزَآئِنُهُۥ وَمَا نُنَزِّلُهُۥٓ إِلَّا بِقَدَرٍ مَّعْلُومٍ

Maksudnya: Dan tidak ada sesuatupun melainkan pada sisi Kami-lah khazanahnya, dan Kami tidak menurunkannya melainkan dengan ukuran yang tertentu. (Surah al-Hijr: 21)

Kaduk berhenti membaca artikel IRSYAD AL-FATWA KE-2: Maksud Qada' & Qadar dari Laman Web Rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. Telefon bimbit diletak ke tepi. Lantas tangannya mengusap lembut ubun-ubun sang bidadari hati yang sedang dibuai mimpi.

Dalam hati dia terus menyambung bicara:

*Syah perlu tanamkan rasa yakin dalam diri. Yakin yang Allah sudah semaikan cinta mereka kerana jodoh mereka berdua. Dan dia perlukan seseorang yang tolong sedarkan dia. Bahawasanya kalau dia yakin dengan apa yang Allah tetapkan dalam hidup dia, hidup dia takkan gelap.


(bersambung...)

#RADHA

Petikan #throwback di atas daripada versi asal online e-novel Relevankah Aku di Hatimu 2 yang ditulis pada 18 Jun 2006.

*Kredit ayat monolog hati Kaduk:
Naimah binti Abdul Halim 😘



Tuesday, June 09, 2020

[20] Gelap

Karya pendek

Gelap
Oleh Rnysa

20

Sebelum senja
#MCODay63 #PKPharike-63
#stayathome #stayinmyheart #staybemylover

Di luar semakin tenang.
Dengan suara petugas kesihatan dan pesakit yang makin kurang tingkahnya.

"Syah belum bangun, Achik?" Tanya Kak Long Aqeilah sebaik sahaja tiba sebentar tadi di bilik wad di mana Syah sedang berehat sekarang. Kak Ngah Ameirah dan adik bongsu Kaduk, Adeilah pun ada datang sama.

"Baru tertidur balik lepas doktor datang cucuk ubat." Balas Kaduk.

"Macam mana boleh jadi sampai macam ni, Achik? Mujur datang hospital cepat tadi..." Giliran Kak Ngah pula 'membebel' dekat dia. Awal pagi tadi sudah berbakul-bakul juga dia kena ceramah dengan Kak Long.

"Achik ni mesti sibuk kerja." Celah Adeilah. Lantas dia main sepak-sepak dekat kaki abangnya itu. Kaduk tak sempat nak mengelak, kena buli dengan adik sendiri.

"Adik!" Suara Kak Long sudah meninggi. Matanya cekap menangkap 'pergaduhan' yang akan tercetus.

"Ishhh, kita ni dekat hospital la." Kak Ngah Ameirah yang bertugas di Hospital Putrajaya ini hanya mampu menggeleng. "Adik, jangan nak usik Achik. Tak baik kaki main sepak-sepak macam tu. Kan dah besar panjang... " Tambahnya lagi apabila nampak kaki Adeilah sekali lagi cuba nak cuit abangnya. Dari dulu dua orang adiknya itu saling sama kuat mengusik.

"Dah telefon keluarga Syah?"
"Belum lagi, Kak Long. Dia tak bagi, tak nak mereka risau."

Syah terjaga semula setelah terdengar bermacam-macam suara waktu itu. Sebaik sahaja membuka matanya, wajah adik-beradik Kaduk yang menyapa pandangan.

"Kak Long... Kak Ngah... Adik..." Syah menyebut satu persatu sambil menatap wajah mereka. Kakak-kakak dan adik suaminya itu memang cantik-cantik belaka. Walaupun mereka bukan jenis yang sombong atau berlagak meninggi diri, namun Syah tetap rasa rendah diri berada di kalangan mereka. Lebih-lebih lagi kalau keluarga Wawa dan Ain turut hadir sama dalam mana-mana acara keluarga. Rasa macam... The Ugly Duckling yang tiba-tiba tersesat dalam kelompok angsa-angsa yang cantik rupawan.

***

#throwback

"Hey! Tunggulah kita orang!" Jeritku pada Aidid dan Firdaus yang sudah jauh di hadapan. Namun launganku itu langsung tidak diendahkan oleh mereka. Malah makin laju mereka memecut meninggalkan aku dan Asyikin di belakang.

Aku tercungap-cungap mengayuh basikal mendaki jalan yang agak berbukit di hadapan Kolej Pertama. Penat. Inilah bahananya kurang bersenam. Belum apa-apa sudah pancit. Asyikin yang berada di belakangku juga sedang mengayuh dalam kepayahan.

Kami berdua sampai juga di dalam kawasan Tasik Varsiti. Kami datang menyertai Firdaus dan Aidid yang sudah melabuh diri di atas kawasan berumput. Semuanya duduk mengadap tasik. Selepas beberapa ketika Firdaus bangkit dan duduk di sebelahku.

"Kawan kau tu. Apa namanya?" Dia berkerut dahi memikirkan sesuatu. Tangan kanannya bermain dengan dagu yang licin. Nampak seperti baru lepas dicukur. "Haa... Carl Duke Adam."

"Kenapa dengan dia?" soalku pantas.

"Kau orang berdua ada apa-apa ke?"

"Maksud kau?"

"Kau bakal jadi duta kecil Malaysia ke Jepun. Takkan benda semudah itu kau tak mengerti." Dia menyindir.

Aku berfikir sejenak. "He`s my best friend," kataku dengan penuh yakin.

"Dan...?"

"Dan, itu saja. Sekian, terima kasih."

Firdaus ketawa kelucuan. Wajah kuning langsatnya merona kemerahan. "Dia belajar di Imperial College London. Kejuruteraan mekanikal, kan. Very nice guy," ujar Firdaus selepas tawanya reda. Aku mengiyakan kata-katanya.

Dia diam seketika. "Agak sayang kalau lelaki yang begitu baik hanya jadi kawan saja. Dah alang-alang rapat tu..."

Aku menggeleng. "Mak aku pesan supaya jangan pilih lelaki kacak atau kaya sebagai suami. Kaduk... dia ada kedua-duanya sekali. Lagipun aku rasa orang macam dia akan cari orang macam Ain. Yang perfect."

"Kau takkan dapat cari seorang pun yang sempurna atas muka bumi ni. Tak ada. Setiap orang ada kelemahan masing-masing. Adam contohnya... semua orang nampak dia as a perfect person. Baik dari segi rohani dan jasmani. Tapi sebenarnya dia juga punya kelemahan. Cuma kita tak nampak kelemahan dia. Kita jatuh cinta bukan sebab berjumpa dengan orang yang sempurna tetapi setelah kita belajar menerima segala yang ada pada diri dia. We come to love not by finding a perfect person, but by learning to see an imperfect person perfectly."

"Dan pada Adam, aku rasa dia nampak kesempurnaan pada diri kau." Aku terkasima. Apa maksudnya berkata demikian. "Paling penting, kau harus yakin dengan diri sendiri. Kualiti yang ada pada diri sendiri. Cari kualiti-kualiti baik yang ada pada diri kau sendiri. Kau tak perlu jadi orang lain. You cannot become what you want by remaining who you are."

Aku mendongak ke dada langit. Sayup nun jauh di sebalik awan-gemawan yang memutih, sebuah kapal terbang sedang melintasi ruang udara Tasik Varsiti. Membuatkan ingatanku terbang pada seseorang. Teman di kala suka dan duka. Dia akan pulang ke London malam ini. Pasti aku akan merindui hari-hari bersamanya. Terbayang kembali di ruang mata, waktu dia datang menghantar bubur yang dimasaknya sendiri. Manakan sama seribu lelaki yang kukenali dengan teman yang seorang itu.

"Itu... hero kau dah sampai," ujar Firdaus sambil menuding ke arah sesuatu.

Aku menoleh. Tergamam melihat Kaduk yang sedang berbual mesra dengan Asyikin dan Aidid. Kebetulan dia berpaling ke arahku. Pandangan kami bertemu. Entah mengapa rentak degupan jantungku menjadi kencang. Bibirnya perlahan-lahan mengukir senyuman. Merancakkan lagi debaran yang kurasai.

Dia mula mengatur langkah menghampiriku. Aku mula rasa tidak keruan. Dalam masa yang sama tidak sabar untuk menatap wajahnya dengan lebih dekat. Kenapa aku jadi begini? Takkan hanya kerana pantun empat kerat semalam perasaanku tidak lagi seperti dulu. Firdaus berdiri menyambut huluran salam Kaduk. Kemudian dia berlalu menyertai Asyikin dan Aidid. Aku ditinggalkannya sendirian dengan Kaduk.

"Tidur nyenyak malam tadi?" soalnya sambil menjeling ke arahku.

Aku mengangguk. Bohong! Padahal selepas Subuh baru aku mampu melelapkan mata.

"Betul ni?" tanyanya lagi meminta kepastian. "Sebab aku susah nak tidur malam tadi." Dia mengusap lehernya. Dalam diam, aku mencuri pandang wajahnya yang kelihatan malu-malu kucing.

"Ye ke?" soalku pula.

Dia merenungku. Aku segera melarikan pandangan ke Tasik Varsiti. Kenapa hari ini renungannya itu bisa membuai perasaan?

"Mesti sebab kau berat hati nak tinggalkan Malaysia. Sebab tu susah nak tidur."

"Mungkin juga..."

Apa maksud dia dengan 'mungkin juga'? Hatiku makin tertanya-tanya. Mungkinkah ada sebab selain dari itu? Aku melihat dia dari ekor mata. Entah berapa kali dia mencuri pandang. Keadaan menjadi sepi. Masing-masing diam membisu.

Kebisuan ini sungguh menyiksakan. Dia seperti merahsiakan sesuatu. Ada perkara yang cuba diselindunginya. Dari sinar matanya aku dapat rasakan dia cuba menyampaikan sesuatu.  Katakanlah sesuatu, teman! Kerana aku tidak bisa menafsirkan renunganmu itu.

Bibirnya bergerak-gerak, berkumat-kamit. Aku menanti dengan penuh debaran. Tetapi ia yang berlaku adalah yang sebaliknya.

"Rasanya aku patut pulang sekarang."

Aku hanya mampu mengangguk. Carl Duke Adam, antara kita kini bagaikan ada rahsia...

***

Beberapa jam sebelum itu...

"Ada apa-apa lagi yang sayang rahsiakan daripada abang?" Tanya Kaduk yang duduk di bangku sebelah katil dalam wad kelas satu, sambil menyelak T-Planner 2020 satu halaman demi satu halaman.

"Abang baca diari sayang lagi. Tak minta izin pun..." Syah bersuara perlahan sambil memerhati wajah Kaduk yang tampak serius waktu itu.

"Tengah minta izin la ni..." Mata Kaduk masih pada diari hadiah Ahada baru-baru ini.

Syah bulat mata mendengarnya. Cara 'main-aci-redah-baca-dulu-baru-tanya' macam itu katanya minta izin. Norma barukah?

"Sesak nafas... Susah bernafas... Pening..." Kaduk baca kuat-kuat apa yang dijumpa, apa yang Syah tulis. "... Sakit dada... Tiba-tiba rasa sesak nafas... Jantung berdegup laju... Sesak nafas... Nak nafas rasa berat..."

Kaduk merenungnya tajam dan melepaskan nafas yang berat.

"Berapa kali nak kena abang cakap? Kalau sakit, rasa tak sihat... beritahu pada abang. Abang boleh cepat-cepat bawa pergi klinik, pergi hospital ke, jumpa doktor pakar ke. Benda saja senang, kan?"

Syah tunduk. Tangan ralit memintal-mintal hujung selimut.

Kaduk jeling tajam lagi. Aha... Mula la Syah nak buat muka ayah-saya-pun-tak-marah-saya.

"Abang bukan saja-saja nak marah tau. Syah kena faham kenapa abang cakap macam tadi. Syah tak sayang abang ke? Tak sayang Arham? Aisyah? Akram? Paling penting, tak sayang dekat diri sendiri?"

Syah masih diam membisu.

"You just have scared us to death. You should know that very well by now. We almost lost you today, sayang. Do you have any idea what that did to us, especially our little ones?"

Yang kedengaran hanya bunyi ambulan sedang melintas di luar sana.

"You shouldn't care what other people say about you. I have nothing to complain. Nothing. Because I am happy to be with you and our children for every single day in my life. I am in love with you for every single moment of my life. Since the day we knew each other until now... and for the rest of my life. Insya-Allah."

Syah pandang mata Kaduk yang redup dan sayu. Syah senyum sedikit.

Carl Duke Adam.
Only you found the beauty in me, I guess.

Kata-kata itu yang melintas di fikirannya saat ini.

Syah melemparkan pandangan ke luar jendela. Nafas dihela perlahan-lahan.

Mana hilangnya sayang jika tiada cinta yang teguh.
Mana hilangnya rindu jika tiada kasih yang utuh.

(bersambung...)

#RADHA

Petikan #throwback di atas daripada versi asal online e-novel Relevankah Aku di Hatimu? yang ditulis pada 21 Mac 2004.



Monday, June 01, 2020

[Intro III] Gelap

Karya pendek

Gelap
Oleh Rnysa

Intro III

Sesudah Subuh. 
#MCODay63 #PKPharike-63
#stayathome #stayinmyheart #staywithme

Di luar masih gelap.
Hanya sinaran cahaya mentari dalam pagi yang dingin dinanti tanpa berharap.

Syah memegang dadanya. Rasa sukar hendak bernafas. Rasa payah, rasa berat. Serba tak kena, serba tak selesa. Nafas cuba dihela dan dihembus dengan perlahan. Sejak dari tengah malam tadi dia begitu sehingga tidak bisa nyenyak tidur.

Lalu perlahan-lahan dia bangun dan meninggalkan tempat perbaringan. Wajah suami yang sedang lena diulit mimpi dipandang sekilas sebelum dia cuba gagahi keluar dari kamar beradu mereka dengan kudrat yang masih bersisa.

Ya Allah, kenapa ni? tanyanya dalam hati. Tangannya masih di dada. Pernafasannya tidak teratur.

Tombol bilik tidur anak perempuannya dibuka dan terus melangkah masuk sebelum pintu ditutup semula. Tilam mudah alih ditarik keluar dari bawah katil Aisyah. Lantas dia terbaring di situ sehingga ke pagi.

Retak.
Seretak rasa.

Rapuh.
Serapuh masa.

***

Kaduk terjaga dengan jeritan jam loceng dari telefon bimbitnya.

"Sayang, bangun..." Tangannya cuba menyentuh bidadari hatinya yang beradu di sebelahnya. Kosong. Dia buka lampu sisi dan perlahan-lahan bersandar pada kepala katil. Mata tertala pada bilik air yang gelap.

"Sayang?" serunya tapi tiada jawapan.

***

Kaduk menolak pintu kamar Arham dan Akram. Suis lampu dibuka. Katil anak-anak lelakinya dituju.

"Assalamu'alaikum, Arham anak ayah. Bangun, sayang. Arham nak solat tahajud dengan ayah dan ibu pagi ni, kan." Muka Arham diraupnya perlahan, lalu dahinya dicium.

Terpisat-pisat Arham bangun. "Ayah..."

"Bangun dan siap-siap untuk solat." Rambut Arham diusap dengan kasih sayang.

Kemudian dia menuju ke bilik Aisyah. Pintu diketuk dan dibuka perlahan.

"Assalamu'alaikum, Aisyah." Ucapnya sambil menekan suis lampu. Namun matanya tertancap pada susuk isterinya yang terbaring di situ, yang sedang memandang ke arahnya.

"Sayang tidur dekat sini semalam?" Dia datang merapati isterinya. "Jom solat tahajjud."

Syah sekadar mengangguk lemah.

"Sayang OK tak ni?"

"OK..." Pernafasan yang tidak stabil cuba disembunyikan dengan menahan nafas supaya nampak tak ketara kesukaran yang dialaminya. Sekejap lagi OK seperti yang pernah sebelum-sebelum ini sepanjang tempoh PKP.

Bebola mata Kaduk menyeluruhi wajah isteri tersayang. Kenapa dia rasa tak sedap hati tiba-tiba?

***

Mata Kaduk hanya pada isterinya. Ada yang tak kena. Syah nampak senyap pagi ini. Adakah dia masih terkesan pasal kes semalam?

Akram yang duduk di riba Syah memandang wajah ibunya yang masih dalam telekung, lantas meletakkan tapak tangan pada dada ibunya. "Ibu..."

"Kenapa Akram?" Segera Kaduk berhenti menyemak bacaan Quran si Arham.

Akram segera berpaling pada ayahnya. "Ayah, ibu sakit..." Tangan kecil Akram masih melekap pada ibunya.

"Sayang!" Suara Kaduk sedikit cemas dan lantas dia merapati Syah yang duduk di atas sejadah di belakang dengan Akram. Dipegangnya pipi Syah dengan kedua-dua belah tangannya.

"Sayang, what's wrong with you? Tell me..." Mata Kaduk ligat melihat mata isterinya yang nampak tidak bercahaya. Lemah. Disentuhnya dada, leher dan kemudian urat nadi di tangan Syah. Mula membuat kiraan.

Syah yang sudah tidak mampu lagi menyembunyikan keadaannya. Lalu dia melepaskan keluhan berat, seiring dengan nafas yang sedikit tercungap-cungap.

Kaduk segera berpaling pada Arham yang sudah berada di sisinya.

"Arham, cepat-cepat siap. Siapkan adik-adik. It is THE TIME!"

Kaduk terus baringkan Syah perlahan-lahan. Tangan Syah digenggamnya.

"Arham, Aisyah, Arham... Gerak sekarang! Do as what I have trained you before. We need to bring ibu to hospital by ASAP right now. Go!"

Bergegas tiga beradik itu menuju ke bilik masing-masing.

Pandangan Kaduk jatuh pada isteri dan dadanya yang berombak lemah, cuba menyedut dan menghembus nafas dalam kepayahan.

"Sayang, look at my eyes and stay with me. Please..." Bisik Kaduk perlahan.

Sebelah lagi tangan Syah mencapai wajah Kaduk yang rapat dengan mukanya. Diusapnya perlahan-lahan wajah kekasih hati dunia akhiratnya itu.

"Abang..."

Bila hilangnya cinta jika tiada rasa.
Bila lenyapnya kasih jika tiada masa.

(bersambung...)

#RADHA


[#throwback18] Gelap

Karya pendek

Gelap
oleh Rnysa

#throwback18
#SelamatHariRaya #KadukxSyah

Bahu terasa berat sejak dari pagi tadi. Bagai memikul beban yang besar. Penat. Lelah. Pernafasanku deras dan kasar. Hendak menggerakkan jari pun aku tidak berdaya. Aku tahu maknanya petanda ini. Aku benar-benar keletihan. Badanku memerlukan rehat yang cukup. Aku cuba berbaring di peraduan. Rasa lemah seluruh sendiku.

"Tak pergi lawat Kaduk ke hari ni?" Elmi, teman dari Universiti Nagoya datang menyapa. Selama aku di sini, singgahsana dialah yang menjadi tempat aku berteduh. Sayang Elmi!

"Petang sikit lagi. Aku tak larat betul sekarang. Boleh kejutkan aku bila masuk Asar nanti? Aku nak tidur kejap." Kataku.

Elmi mengangguk. Dia tinggalkan aku sendiri. Aku kembali memicit kepala yang rasa menyucuk-nyucuk sejak pulang dari hospital semalam. Mungkin bahang panas membuatkan aku jadi begini. Ditambah lagi dengan kepenatan sepanjang minggu lepas. Sibuk menyiapkan laporan research terakhir di kilang Sharp. Dan, laporan sepanjang internship untuk dihantar kepada konsultan yang menguruskan program internship kami ini iaitu Mitsubishi Research Institute, Inc.

Seperti biasa hari Sabtu, pergi ke NHK untuk membaca berita radio. Keesokannya aku datang ke sini pula melawat teman tersayang. Memang penat, bisik hatiku. Hanya Tuhan sahaja tahu betapa aku cuba menggagah diri untuk melakukan semua itu dalam masa kudratku semakin berkurang. Aku pejamkan mata rapat-rapat. Cuba tenangkan fikiran dan kosongkan minda. Saat ini kata-kata Nenek Aisyah sayup-sayup kedengaran.

"Biarkan cinta dan persahabatan tetap menjadi teman baik, simpulan rapi yang mengikat hati-hati kamu. Ingat tu..."

Cinta yang buat persahabatan kami ibarat satu ikatan yang tersimpul rapi. Hal yang sama juga jika kita inginkan cinta yang sejati dan hakiki yang hanya ada padaNya. Untuk menyimpulkan hati kita dengan Allah swt perlunya kepada kefahaman aqidah tauhid kerana terlalu banyak onak dan ranjau yang perlu ditempuhi dalam mencari cinta Ilahi. Dugaan dan cabaran yang paling berbesar adalah bisikan hawa nafsu dan syaitan. Dalam soal aku dan Kaduk pun begitu juga. Ada juga yang menjadi penghalang kami untuk terus bersahabat. Sama ada dalam diri kami sendiri atau halangan dari luar.

Demi melahirkan rasa kecintaan pada Tuhan yang Maha Esa, yang pertama sekali perlu mengimani dan meyakini bahawa pencipta alam semesta ini ialah Allah yang Maha Bijaksana, Maha Mengetahui dan tidak memerlukan kepada sesuatu yang lain. Dia tidak mencipta alam ini tanpa tujuan atau untuk main-main sahaja, kerana sifat itu tidak layak untuk Allah yang Maha Sempurna. Demikian juga dengan penciptaan manusia di atas muka bumi. Allah telah berfirman dalam Al-Quran (adz-dzariat: ayat 56), "Dan Aku tidak jadikan jin dan manusia itu melainkan supaya mereka mengabdikan diri kepadaKu."

Aku bersahabat dengan Carl Duke Adam pun bukan untuk tujuan main-main. Walaupun kami selalu bergurau senda antara satu sama lain, saling usik-mengusik tetapi aku punya tujuan tersendiri. Bersahabat kerana aku cukup kagumi kebijaksaannya, oleh sebab itu dia selalu menjadi tempat rujukanku. Aku juga terharu dengan sifatnya membimbingku dalam diam dan cuba jadi orang yang paling memahami diriku. Jika aku ingin mengikat hubungan kami, sudah tentu dia sebagai seorang suami yang bisa membimbingku ke jalan kebenaran. Sama-sama melayari bahtera perkahwinan menuju cinta Ilahi. Sebab itu aku tidak mahu terlalu mudah melafaz kata cinta. Aku lebih suka memerhati sifat dan sikap seseorang terlebih dahulu. Apabila berkawan sikap sebenar akan terserlah berbanding berstatus kekasih. Pasti dia cuba akan jadi yang terbaik di hadapanku. Aku tidak perlu orang yang hipokrit.

Tiba-tiba terasa tubuhku digoncang lembut. Aku buka mata perlahan-lahan. Segera membersihkan diri dan mengambil wudu'. Sujud rakaat terakhir aku berlama-lama. Waktu sujud merupakan waktu kita paling dekat dengan Allah swt. Aku menitiskan air mata tanpa diduga. Dalam hati merintih, memberitahu pada Dia betapa penat dan lelahnya aku saat ini. Tolonglah hambamu ini, Ya Tuhan. Berilah aku kekuatan, Ya Rahman Ya Rahiim. Ya Allah, aku kepenatan. Penat yang amat sangat. Air mata terus mengalir tanpa henti. Moga mata ini bisa menjadi saksi aku di akhirat kelak.

Usai Asar, bergegas ke hospital seperti yang dirancang. Panas terik menduga aku lagi. Kepala yang tadi sudah lega kembali berdenyut perlahan. Aku duduk sebentar di bangku lobi. Memicit lembut kepala yang sakit. Aku berlindung pada Tuhan Yang Menguasai Matahari. Moga-moga kesakitan ini pergi, pohonku dalam hati. Aku membaca surah tiga Qul; Surah An-Nas, Al-Falaq dan Al-Ikhlas lalu dituipkan pada telapak tangan kanan. Kemudian aku mengusap pada bahagian kepala yang sakit tadi beberapa kali. Cuba amalkan ajaran Rasulullah. Kesakitan beransur hilang. Syukur!

Hari ini ada kelainan pada wajah temanku. Bibirnya pecah-pecah sampai berdarah. Masya-Allah! Nampak dia menahan keperitan. Mungkin kepanasan luar biasa ini buat dia jadi begitu. Kasihan! Namun begitu dia masih lagi mampu menghadiahkan senyuman manis buatku.

"Selalu sangat mengusik Akasyah. Sebab itu jadi begini. Tuhan suruh mulut kamu rehat. Lain kali jangan kuat sangat mengusik orang." Kata Nenek Aisyah selamba.

Kaduk menjegilkan matanya besar-besar. Aku pula ketawa mendengar kata-kata Nenek Aisyah. Hilang rasa penat yang masih bersisa tadi.

Kaduk menulis sesuatu pada nota lalu diserahkan padaku. Aku mengambilnya.

"Bergabung dengan grandma kenakan aku ya. Siap kau nanti!"

Aku ketawa lagi. Terhibur dengan kata-kata yang berupa amaran itu. Kemenangan berpihak pada aku hari ini. Kalau Kaduk boleh bersuara pasti ada sahaja akalnya hendak membalas semula sindiran Nenek Aisyah.

"Aku tak takutlah." Kataku sambil mengenyitkan mata pada Kaduk yang sudah mencekak pinggang. Mahu tunjuk garang kononnya. Tetapi akhirnya dia sendiri kelihatan seperti ingin ketawa.

Aku tersenyum lebar. Carl Duke Adam, dia sahabat yang kucintai. Aku menyintainya kerana tertarik pada sifat dan sikap baik yang ada dalam dirinya. Walaupun paras rupanya tampan bisa memukau mata yang memandang, namun itu bukan jadi ukuran. Ada apa dengan wajah yang kacak atau cantik sekiranya kurang budi bahasa. Ibarat bunga yang cantik untuk dipandang tetapi apabila dihidu busuk baunya. Demi mencari cinta Ilahi juga menghendakkan kita berusaha mengetahui nama-nama dan sifat-sifat  yang layak bagi Allah. Kenal dengan mendalam sifat-sifat tersebut dan kesempuraan sifat Uluhiyyah-Nya. Apabila sudah cinta menyebabkan hati jadi rindu dan sentiasa bergantung kepada-Nya.

Berjauhan dengan lelaki itu juga buat aku jadi rindu. Sungguh! Hari ini hanya kerana tidak dapat mendengar suaranya yang suka mengusik, hati ini sudah dirundung rasa sepi dan sunyi. Seolah-olah sesuatu kekurangan dalam hidupku saat ini. Hanya senyuman dia dan celoteh Nenek Aisyah yang mengisi kesunyian ini.

Tiba-tiba kesakitan datang menyerang semula. Tubuhku menggeletar. Aku segera meminta diri ke toilet. Aku mengatur langkah satu-persatu. Berat dan semakin berat. Aku sudah terlalu lemah untuk bergerak tetapi destinasiku jauh lagi. Akhirnya aku terpaksa berbaring sahaja di bawah tangga yang berdekatan. Mujur tiada orang lalu-lalang. Maka terbujur kaku aku beralaskan lantai simen yang sejuk. Tiada apa yang mampu aku lakukan melainkan terbaring begitu sahaja.

Ya Allah, aku merintih dalam hati.

Aku cuba berzikir sebanyak yang boleh dengan harapan kesihatanku kembali seperti biasa. Lama aku begitu. Setelah benar-benar kuat aku pergi wash room. Aku membasahkan sapu tangan lalu mengelap bahagian badan yang boleh dicapai. Rasa segar menerpa. Kemudian segera kembali ke bilik teman tersayang sebelum mereka menyoal kenapa aku terlalu lama ke toilet.

Nenek Aisyah menunaikan janjinya semalam. Bungkusan berbalut rapi diserahkan padaku. Aku menyambut. Sehelai swetear berwarna merah jambu kini di tangan.

"Kamu lebih sesuai pakai warna lembut begitu. Baru terserlah keayuan dan kewanitaan kamu."

"Terima kasih." Ucapku sambil tersenyum malu.

Orang yang menyayangi kita pasti akan melunaskan janjinya. Dia tidak akan melupai dan memungkiri janji. Begitu juga dengan janji Allah pada kita makhluknya. Janji balasan syurga dan nerakanya adalah benar. Orang yang berat timbangan amal baiknya akan ditempatkan di dalam syurga. Manakala orang yang berat timbangan buruknya akan dicampakkan ke dalam neraka. Nauzubillah!

Aku memandang wajah teman tersayang. Kini aku sedar apa yang jadi pengikat hati kami. Aku tidak perlu mencari lagi cinta antara kami berdua. Cinta sudah wujud dalam hati-hati kami, seperti kata Nenek Aisyah. Cinta ini hanya perlu disemai dan dibajai dengan nilai-nilai yang berlandaskan Islam. Cuma satu cinta yang masih tenggelam timbul dalam jiwa ini yang perlu aku cari dan terus mencari.

Aku mahu jadi pemburu cinta Ilahi!

***

Hari berganti hari. Bulan Mei menjelma dan sekali lagi bertemu dengan cuti Golden Week. Insya-Allah ini merupakan tahun akhir buat aku bermukim di bumi sakura. Rasanya sudah terlalu lama aku hidup merantau di negeri orang. Sudah tiba masanya untuk pulang berbakti demi tanahair tercinta.

Hari ini merupakan hari kemuncak acara program "Malaysian Festival 2007", iaitu persembahan kumpulan nasyid Raihan pada sebelah malam nanti. Warga Malaysia yang berada di Jepun berkampung di bandar Tokyo sejak dua hari lalu. Masing-masing tidak melepaskan peluang menghadiri program ini sejak diperkenalkan sejak dua tahun. Waktu itu aku menjadi pengarah program. Kali ini segala-galanya sudah diambil alih oleh adik-adik pula. Mereka pula akan meneruskan perjuangan di bumi bertuah ini.

Hujung ubun-ubunku kembali berdenyut. Tadi ia terluka sedikit kerana terhantuk pada pintu toilet. Darah merah pekat mengalir pantas. Berpinar mataku sebentar.

"Kak Syah, ada orang nak jumpa kat sana tu." Satu suara mematikan lamunanku.

Aku segera mengangguk. Sempat menghadiahkan sekuntum senyuman pada tuan empunya suara sebentar tadi. Setelah itu, mataku terarah pada insan yang dimaksudkan. Dia sedang berdiri di muka pintu bersama teman baiknya, Ammar. Sejak peristiwa tempoh hari, aku tidak putus-putus memohon petunjuk dari-Nya. Moga-moga dia adalah insan yang terbaik untukku.

Pandanganku jatuh pada Ammar. Aku kembali teringat cadangan Kak Zinnnirah tempoh hari. Lalu aku jadi buntu. Entah mengapa aku rasakan dia juga menanti jawapan dariku. Sinar matanya yang sayu itu meresahkan hati.

Beberapa hari yang lalu, aku telah menelefon mak di rumah. Ingin meminta pendapatnya. Aku khabarkan tentang kedua lelaki itu, Carl Duke Adam dan Mohd Ammar Iskandar. Mak tidak banyak soal. Dia menyerahkan segala keputusan pada aku. Katanya, aku sudah cukup dewasa.

"Terserahlah pada Kak Ngah. Dua-dua elok agamanya. Memang bagus dah tu. Cuma... kawan kamu yang sorang tu anak orang berada sikit. Seeloknya biarlah pilih yang sekufu." Kata mak dengan suara perlahan. Dia terdiam agak lama. "Tapi... apapun terpulang pada kamu. Fikirlah elok-elok. Mak dengan ayah doakan yang terbaik untuk kamu." Sambung mak lagi.

Pilih yang sekufu... maknanya Ammarlah yang dimaksudkan. Aku dan Ammar memang berasal dari keluarga sederhana. Kak Zinnirah pula menambah dengan mengatakan dua sifat yang berlainan ini daya tarikannya lebih kuat. Ammar yang pendiam dan alim, manakala aku pula gila-gila bahasa. Bingung aku bingung!

"Syah, sihat hari ni?" Kaduk memulakan bicara.

Aku menjawab perlahan," Alhamdulillah..." Dengan kepalaku bagai hendak pusing. Aku rasa hendak pitam. Bertahan Akasyah!

"Ammar..." Sapaku sambil tersenyum pada lelaki berpakaian serba putih itu.

Perbualan kami terganggu apabila Kaduk terpaksa menjawab panggilan telefon dari pejabatnya. Dia meminta diri beredar. Kini hanya aku dan Ammar. Aku menjadi kaku di hadapan lelaki ini.

"Awak nampak pucat." Kata Ammar perlahan.

"Ya ke?" Sahutku.

"Dan nampak keliru." Tambahnya lagi.

Mataku membuntang. Rasa di awang-awangan... mungkin. Keliru?

"Syah. Kalau cadangan Kak Zie tu yang buat awak serba salah, lupakan ajalah. Saya mahu awak gembira. Kaduk gembira. Dan jangan risau... dia takkan tahu tentang itu." Kata Ammar. Dia langsung tidak memandang wajahku.

"Ammar..." Aku cuba mencelah. Hendak khabarkan pada dia yang aku rasa hendak pitam.

"Listen..." Pintasnya. "Selama ni Kaduk jadi seorang sahabat yang baik untuk saya. Awak pun macam tu, Syah. Awak layan saya dengan baik sepanjang saya di Jepun ni. Saya cuma nak dua orang sahabat saya bahagia. Tu saja." Katanya lagi.

Mataku sudah bergenangan. Rasa bersalah makin menghimpit diri. Ammar terlalu baik padaku selama ini. Cuma aku yang acuh tidak acuh dengan kehadirannya di sini. Maafkan aku, Ammar.

"Kenapa dengan kepala awak tu? Macam... berdarah." Katanya tiba-tiba. Suaranya penuh kerisauan.

Aku segera meraba-raba dahiku. Hujung jariku dicemari darah merah. Aku tersentak. Bukankah aku membersihkannya sebentar tadi. Kenapa boleh jadi begini? Soalku tertubi-tubi.

"Syah... Syah..." Ammar memanggil namaku berkali-kali.

Aku mengangkat muka lalu memandang wajahnya. Kepala digeleng pantas. Rasa sakit makin menyucuk dari setiap sudut. Rasanya aku tidak mampu bertahan lagi. Aku segera meminta diri, meninggalkan Ammar dalam keadaan terburu- buru. Tetapi baru sahaja menapak beberapa langkah, aku sudah rebah. Yang ada hanyalah kegelapan.

***

Aku membuka mata perlahan-lahan. Bau ubat menusuk hidung. Agaknya aku berada di hospital sekarang ini. Kepala terasa ringan sedikit berbanding tadi. Syukur!

"Syah..." Suara Nur Jannatul Ma'wa menyapa telingaku.

Aku segera memandang ke arah suara itu. Bibir mengukir senyuman.

"Adam ada kat luar. Dia dengan Ammar. Tadi dia minta Wawa beritahu pada dia kalau-kalau Syah dah sedar. Dia risau sangat." Kata Wawa perlahan. Tangannya mengenggam erat jari-jemariku.

"Wawa panggilkan dia, okey?" Tambah gadis itu lagi.

Aku mengangguk perlahan. Wawa segera mengambil tudungku. Lalu dipakaikannya untuk aku. Aku malu sendiri diperlakukan begitu.

"Tunggu ya..." Kata Wawa sebelum meninggalkan aku sendirian.

Aku termangu di birai katil. Mata memandang keluar. Rona merah mula mewarnai dada langit. Ah! Sudah hampir senja rupanya. Bagaimana dengan rancangan malam nanti? Sepatutnya aku yang menguruskan hal berkenaaan pentas dan tempat yang akan digunakan untuk persembahan Raihan. Mungkin orang lain yang mengambil alih tugasku itu. Harap-harap begitulah.

Aku mengimbas kembali peristiwa sepanjang hari ini. Seawal jam sepuluh pagi aku sudah berada di gymnasium bersama-sama AJK yang lain. Beberapa jam kemudian dua lelaki itu datang menyapa. Kaduk pergi dan tinggal Ammar dengan aku. Dia bercakap tentang...

Aku cuba mengingati butir perbualan kami tadi. Segala-galanya seperti samar-samar. Bahagia, gembira... Ammar mahu aku bahagia dengan Kaduk. Mungkin begitulah lebih kurang. Selepas itu, aku sudah tidak sedar apa-apa. Tahu-tahu sahaja aku berada di atas katil ini.

"Assalamualaikum. Macam mana sekarang? Pening-pening lagi?" Tanya Kaduk bertalu-talu. Dia berdiri di sebalik langsir yang mengelilingi katilku.

Aku melirik senyuman. "Waalaikumussalam. Dah okey sikit," jawabku perlahan.

Keadaan menjadi hening seketika. Nur Jannatul Ma'wa kembali mengambil tempat di sisiku.

"Syah, jangan buat macam ni lagi. Kau betul-betul buat aku risau. Kalau tak sihat, beritahu aja tak sihat. Jangan diamkan. Kalau jadi apa-apa pada kau..." Kata-kata Kaduk berhenti di situ. Matanya merenung tepat mataku. "... i will never forgive myself." Ujarnya lembut.

Aku meleretkan senyuman. Wajah lelaki itu aku tatap dengan penuh kasih sayang. Mengapa pula dia harus merasa bersalah dalam hal ini. Kaduk... Kaduk... Bukannya salah kau aku pengsan siang tadi, bisik hati kecilku.

"Janganlah kau pula yang rasa bersalah. Semua ni terjadi di luar kawalan kau. Aku yang tak hati-hati tadi." Kataku.

"Tapi aku sepatutnya jaga kau." Balasnya pantas. Nada suaranya perlahan tetapi aku mendengarnya dengan jelas. Aku rasa bahagia.

Nak jaga macam mana, Carl Duke Adam? Lainlah kalau kita ni adik-beradik ataupun suami isteri, boleh juga tolong tengokkan sakit pening, jawabku dalam hati.

"Apapun, saya minta maaf sebab dah menyusahkan semua orang." Kataku sambil memandang wajah teman satu-persatu. Wawa, Ammar dan akhir sekali...

Renunganku berhenti pada Carl Duke Adam. Wajahnya penuh kesayuan. Pandangan matanya yang redup itu bagaikan cuba menyampai sesuatu. Namun begitu, aku tidak bisa menafsirkannya. Aku tidak tahu apa yang sedang difikirkannya saat ini.

Carl Duke Adam, andai kutahu isi hatimu...

Aku mengeluh dalam hati.

Sampai bila agaknya kita harus begini? Kadangkala aku jadi takut dengan harapan demi harapan yang kau berikan. Aku takut terus diburu angan-angan palsu. Aku mahu hentikan semua ini. Oleh itu, aku perlukan kepastian dan penjelasan darimu. Tapi... bagaimana aku harus katakan semua ini? Aku tidak punya kekuatan.

Ya Allah! Jika benar dia tercipta untukku, hilangkanlah kegelisahan hati ini. Berikanlah ketenangan dan petunjuk-Mu itu padaku. Kau tahu bahawa hati ini hanya mengharapkan redha-Mu. Jika benar dia yang kucintai, biarlah cintanya itu membawa aku kepada cinta-Mu, ya Rahiim. Jika benar dialah yang kucari selama ini, Kau satukanlah hati-hati kami supaya menjunjung amanat dakwah-Mu. Pintaku dalam hati.

Walaupun mataku tidak pada Carl Duke Adam. Hatiku masih memandangnya. Sesuatu yang aneh kurasai saat ini. Ya! Perasaan kasih sayang aku padanya bertambah kuat!

Nurul Akasyah, lelaki yang wara' tidak mahu bermain cinta. Kerana dia tahu apa tujuan perhubungan lelaki dan perempuan... yakni pernikahan. Oleh itu jagalah pandanganmu, jagalah pakaianmu, jagalah akhlakmu dan kuatkanlah pendirianmu. Andai kata tiada cinta dari Adam untukmu, cukuplah hanya cinta Allah menyinar dan memenuhi jiwamu. Biarlah hanya cinta ibu bapamu yang memberi kehangatan kebahagiaan buat dirimu. Cukuplah sekadar cinta adik beradik serta keluarga yang akan membahagiakanmu. Akasyah, cintailah Allah di kala susah dan senang, kerana engkau akan memperolehi cinta dari insan yang juga mencintai Allah. Cintailah kedua ibubapamu kerana kau akan memperolehi keredhaan Ilahi. Cintailah keluargamu kerana tiada cinta selain cinta keluarga. Ingatanku yang terakhir... biarlah tangan yang menggoncang buaian ini dapat menggoncangkan dunia dalam mencari keredhaan Ilahi. Demikianlah bisik satu suara yang sangat halus jauh di sudut kalbu.

Aku serta-merta insaf. Memang benar... hidup ini sememangnya untuk mencari keredhaan Ilahi. Lantas jiwa aku kembali tenang. Hilang segala kegusaran. Carl Duke Adam adalah seorang lelaki yang baik dan aku yakin selama ini dia tidak membiarkan cinta nafsu menguasai kami berdua. Mungkin atas sebab itu juga dia tidak pernah terlalu berterus-terang dalam menyatakan perasaannya. Cuma sejak kami sama-sama berada di bumi sakura ini sahaja perubahannya agak ketara. Tetapi masih dalam keadaan yang terkawal.

"Macam mana boleh jadi begini, Syah?" Kata lelaki itu tiba-tiba. Entah kenapa aku dapat rasakan dia seolah-olah menanggung kesakitan yang amat sangat. Bagai dia yang menanggung sama kesakitan aku ini.

Aku menghela nafas panjang. Dalam hati kupanjat syukur yang tidak terhingga kerana dipertemukan seorang lelaki yang cukup mengambil berat. Waktu susah dan senang. Dia teman ketawa dan menangis. Mungkin memang benar dia untukku, bisik hati kecilku.

Cintailah Allah di kala susah dan senang , kerana engkau akan memperolehi cinta dari insan yang juga mencintai Allah...

Suara itu bergema lagi. Dalam diam aku berharap dan berdoa, moga-moga insan yang pernah menyatakan kesediaannya menemani aku mengunjungi Baitul Haram milikMu itu adalah seorang insan yang juga mencintai-Mu, ya Allah. Amin ya rabb. Perkenankanlah doa hamba-Mu...

(bersambung...)

#RADHA

Petikan #throwback di atas daripada versi asal online e-novel Relevankah Aku di Hatimu? yang ditulis pada 27 Jun & 17 Ogos 2004.