Wednesday, February 23, 2022

[Cerpen] Seville, Toledo & Granada (1)

Seville, Toledo & Granada
Oleh Rnysa


Snap 1

Pandangan memusat ke suatu sudut di hadapannya. Pergerakan rukuk dan sujud itu menarik perhatiannya. Entah kenapa dirasakan suatu ketenangan meresap dalam jiwanya. Pancaran matahari menyimbahkan sinaran cahayanya ke atas mereka yang sedang sujud mengadap Tuhan. Dia tergamam seketika kerana terpesona. Segera dicapai kamera DSLR dari dalam beg sandangnya. Lensa dihalakan ke arah tiga orang wanita bertudung yang sedang sujud itu.

Sebuah gambar yang sempurna. Indah!

Lama dia memerhati sehingga mereka selesai memberi salam. Tangan mereka meraup wajah sebelum ditadah ke langit dan berdoa. Dia masih khusyuk memerhati. Penuh minat. Perempuan yang berada di hadapan sedikit, yang menjadi imam berpaling ke belakang. Sekuntum senyuman yang sangat manis dilemparkan ke arah temannya di sebelah. Bersalaman dan berlaga pipi kiri kanan gaya orang Arab.

Dia cuba menfokuskan lensa kameranya ke wajah perempuan itu. Dan... klik! Wajah tenang itu berjaya dirakam. Dia tersenyum, berpuas hati dengan hasilnya. Sekali lagi dihalakan ke wajah perempuan itu dan temannya. Namun kali ini wajah perempuan itu sudah berubah. Mata perempuan itu merenung tepat ke arah dia.

Dia berhenti. Kamera dialihkan beberapa darjah ke kiri, menjauhi wajahnya. Mata mereka menyapa. Pandangan perempuan itu mencerun. Tajam menikam wajah dia - seorang lelaki Sepanyol yang sedang mengambil gambar secara curi-curi.

Perempuan itu dan teman-temannya sudah berdiri. Rendah sahaja mereka bertiga. Mungkin orang Asia, fikirnya.

Kelihatan mereka berbisik sesama sendiri sambil sesekali mengerling ke arahnya. Dia kembali meneruskan pembacaannya yang terhenti tadi, seperti tiada apa yang telah berlaku. Namun, mata nakalnya masih mencuri pandang.

(bersambung...)


Source: Arkib Blogdrive Rnysa, 16 Julai 2010.