Friday, April 17, 2020

[4] Gelap

Karya pendek

Gelap
Oleh Rnysa

4

Awal pagi.
#MCODay27 #PKPharike-27 #PKPDharike-2
#stayathome #stayinlove

Di luar nyata gelap.
Hanya sorotan cahaya dari lampu yang malap ditatapnya separa sedar dari lena.

Sayup-sayup kedengaran bacaan ayat-ayat cinta dari kitab-Nya. Berselang-seli dengan tangisan yang teresak-esak perlahan yang cuba ditahan.

Syah membuka luas matanya. Kaduk tiada berbaring di sisi. Matanya menangkap susuk tubuh suaminya itu sedang berteleku di atas hamparan sejadah. Di tangan Kaduk memegang naskah Al-Quran. Bangun bertahajud pastinya, itu memang kelaziman yang cuba diamalkan oleh suaminya itu dan Syah sedia maklum sejak mereka baru bernikah lagi.

Dengan kudrat yang terbatas dia bangkit dari katil. Akram yang sedang tidur lena diusap kepalanya. Seharian cahaya mata ketiga mereka itu meragam. Akram ni macam ada hubungan telepati dengan Syah. Kalau dia tidak berapa sihat, anaknya yang satu ini pun buat hal macam-macam.

Pagi tadi dia tak nak Kaduk suapkan makan. Ibu juga dicarinya, ya Akram.

"Abang dah pujuk. Tapi dia tak nak juga." Dengan wajah bersalah Kaduk membawa Akram masuk ke dalam bilik mereka.

Syah sudah dilarang daripada membuat sebarang kerja setelah semalam Kaduk menyedari keadaan dirinya. Kaduk berkeras mahu membawanya ke hospital malam itu juga tapi Syah menegah. Sekadar penat saja, balasnya semalam. Lalu Kaduk menjatuhkan PKPD ke atas dirinya. Ya, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan.

"Jangan berani nak ingkar arahan suami," tegasnya. Jadi sejak pagi Syah tidak dibenarkan keluar bilik. Duduk saja diam-diam di atas katil. Rehat!

Namun Akram yang masih kecil ini mana faham situasinya itu. Selama ini kan ibu sihat-sihat sahaja. Selama tempoh PKP ini setiap pagi ibu suapkan Akram makan. Merengeklah dia pagi tadi tak nampak kelibat ibunya. Cemas. Sejak lepas makan pagi Akram tidak berenggang daripadanya. Abang dan kakaknya ajak bermain pun dia tak mahu. Tiba-tiba dia pun jadi lemah semacam.

Kepala Akram disentuh sekali lagi. Tak panas, tak ada apa yang abnormal. Hmm... sekadar meragam sahaja. Kasihan Kaduk kena jaga dua orang yang 'sakit'. Tiba-tiba bilangan pesakit bertambah dan kena kuarantin!

Syah menjenguk keluar jendela.
Ah, ada sebutir bintang di langit.

Jauh.
Sejauh bintang di angkasa.

Bila jauhnya hati jika tiada kau di sisi.

Pandangnya dilabuhkan pada Kaduk yang sedang sujud. Suaminya itu sepanjang hari ini menjaganya dengan kawalan ketat bagaikan askar yang sedang menjalankan perintah kerajaan waktu ini. Siang tadi Syah nak cuba bangkit dan nak ambil air di dapur pun tak boleh. Kena disoal siasat segala.

"Nak pergi mana pula tu?"
"Errrr, air dah habis..." Teragak-agak Syah menjawab.

Kaduk berhenti menaip sesuatu di komputer ribanya. Bangun dari bangku meja kerja yang dibawanya masuk ke dalam bilik tidur mereka semata-mata mahu memastikan Syah patuh pada arahannya. Air suam sudah diisinya kembali.

Syah membersihkan diri dan segera menghamparkan sejadah di belakang sang imam yang masih bersujud mengadap Dia yang Satu.

Dekat.
Sedekat dia yang bersujud di hadapan-Mu.

Bila dekatnya hati jika tiada Kau dan dia di sisi.

Dan Syah langsung bertanya pada dirinya:
Relevankah aku di hati-Mu?
Relevankah aku di hatimu?

Mata Kaduk yang basah ditatapnya.
Untuk hati seorang Carl Duke Adam, jawapannya dia sudah tahu - "Ya" dan "Ya".

Jemari Akasyah yang beralas telekung diraih.
Syah sentiasa dalam hati dan doa abang, tutur Kaduk dalam hati yang tidak terluah dengan kata-kata. Masih menahan sebak.

Dalam diam mata mereka saling bertatapan.
Dalam diam hati mereka saling berbisik rasa cinta yang sama.

(bersambung...)

#RADHA



[3] Gelap

Karya pendek

Gelap
Oleh Rnysa

3

Malam.
#MCODay25 #PKPharike-25
#stayathome #stayinlove

Di luar makin gelap.
Hanya suluhan cahaya dari bulan yang cerah ditenungnya tanpa sedar.

Sepi.
Sesepi hidup tanpa teman.

Suram.
Sesuram hidup tanpa iman.

Bila maknanya kemaafan jika tiada salah lagi.
Bila mintanya keampunan jika tiada silap lagi.

Dan bukannya pagi tadi dia tidak terasa hati sebenarnya apabila tidak semena-mena Kaduk naik suara kepadanya. Hidup berumah tangga memang ada pasang surutnya.

Walaupun dia sudah kenal Kaduk sejak tahun 1998 lagi - sudah 22 tahun yang lalu - waktu itu mereka hanya rakan sekolah. Bila sudah hidup bersama, berhari-hari pula menghadap perangai masing-masing mungkin ada masanya hilang kesabaran.

Kadangkala Syah risau juga Kaduk berubah sikap setelah mereka berkahwin. Sekiranya terdetik di hati dia, tersilap pilih isteri atau apa. Lelaki yang namanya Carl Duke Adam itu, dia tahu ramai peminat berduyun-duyun. Kalau dijadikan watak novellah rasanya, hmmm... mestilah ramai yang cair macam glasier di kutub sana.

Syah meramas-ramas tangannya yang menggeletar tanpa kawal. Sakitnya datang lagikah?

Di ruang depan terdengar suara Aisyah sedang menyanyikan lagu "Aisyah Istri Rasulullah" yang tular sekarang. Seronok anak keduanya itu ada lagu nama dia.

"Boleh abang duduk sini?"

Entah bila Kaduk merapatinya di balkoni luar bilik tidur mereka.

Jemari isterinya dicapai dan digenggam erat. Kaduk dapat merasakan jari-jemari isterinya yang sedikit menggeletar.

"Cantik kan bulan malam ni..."
"Haah," jawab Syah. Serentak itu dia meletakkan kepalanya di bahu Kaduk.

Terus Kaduk berpaling ke kirinya. Satu badan isterinya menggeletar semacam. Syah???

(bersambung...)

#RADHA



[2] Gelap

Karya pendek

Gelap
Oleh Rnysa

2

Tengah hari.
#MCODay25 #PKPharike-25
#stayathome

Di luar sudah terang.
Dengan sinaran cahaya dari matahari yang terik dipandang dengan hati yang tenang.

Paparan gambar dalam laman sosial - Instagram - mencuri perhatian. Ah, musim sakura sedang mengembang sekarang!

Cantik.
Secantik bunga sakura mekar penuh.

Mana hilangnya sayang jika tiada cinta yang teguh.
Mana hilangnya rindu jika...

"Ibuuuu..."

Hmmm... anak-beranak ni tak boleh nampak ibu mengelamun sikit.

Lambat-lambat dia menoleh. "Ya, Arham anak ibu yang tersayang..." Kepala anak sulung digosok perlahan.

"Ayah panggil ibu dekat dapur..."

***

"Eh, bukan hari ni giliran abang memasak...?"
"Tahu. Tolong carikan garam masala. Tak jumpa."

Tak jumpa?

Perlahan dia pergi ke rak rempah ratus yang dibelinya di IKEA Cheras dulu. Botol yang siap ada label tertulis GARAM MASALA sebesar alam diletakkan di tepi orang yang sedang memasak. Yang sekejap-sekejap matanya mengerling ke arah si isteri yang sedang merenung tajam.

"Kenapa tenung abang macam tu?"

"Tak ada apa-apa..." Tak ada apa-apa bagi seorang perempuan kadangkala maksudnya berbeza - memang ada apa-apa.

Carl Duke Adam a.k.a Kaduk senyum simpul. Gaya macam sedang kumpul ayat nak memulakan bicara.

Nurul Akasyah a.k.a Syah berpeluk tubuh di sebelah sambil menjenguk isi dalam periuk. Oh, nak buat ayam masala.

"Maaf pasal pagi tadi..." Kaduk berbisik perlahan sambil menatap mata isterinya. "... tak sengaja naik suara." Dia dah berhenti mengacau ayam dalam periuk.

Cepat-cepat Syah mencelah, "Semalam Syah tahu abang penat meeting dari pagi ke malam. Pagi-pagi ni dah sambung lagi meeting lain pula. Sama-sama tengah penat dengan kerja. Walaupun work from home, sibuknya sama saja."

"Jadi, Syah tak marah?"

Segera Syah menggeleng perlahan. Dia tahu Kaduk tengah sibuk dengan teamnya nak restructuring organisasi. Banyak benda nak fikir semua. Dengan adanya tempoh PKP ini, sedikit sebanyak ada kekangan.

"Nak tolong apa-apa lagi? Apa lagi tak jumpa?" Syah memandang meja tengah dapur yang separuh penuh dengan barang-barang dapur.

"Tak jumpa lagi... senyuman manis isteri abang!" Terus Kaduk buat ayat pick up line dekat isteri sendiri.

Syah tergelak. "Dah. Tak payah rasa bersalah sangat."

Kaduk tidak menjawab. Sekadar tersenyum lega nampak Syah tak marah dia.

"Encik Carl Duke Adam."
"Ya?"
"Terima kasih sebab sudi masak untuk Syah dan anak-anak hari ini."

(bersambung...)

#RADHA