Sunday, April 14, 2024

[Special Entry 20] Gelap

Gelap
Oleh Rnysa

Special Entry 20
Edisi Istimewa Syawal 1445H

Sekali lagi berperang di dapur. Nak menyiapkan juadah sarapan pagi buat mereka sekeluarga beraya di sebelah keluarga Syah di Perak. Begitulah sibuknya tugas mak-mak seperti dia di pagi Syawal. Alhamdulillah, Aisyah sudah boleh diharap membantu apa yang patut. Sejak menjadi kakak kepada kembar Azlan dan Azlinsyah, anak keduanya itu semakin cekap buat kerja rumah.

Menu juadah pagi raya edisi 1 Syawal 1445H:
- Telur hancur (scramble eggs)
- Nasi tomato, ayam masak tomato dan sayur salad
- Nasi impit, lontong, kuah lodeh dan kuah kacang
- Lemang, rendang tok dan rendang ayam
- Biskut raya, air teh o dan air ribena

Yang menu ketiga - nasi impit, lontong, kuah lodeh dan kuah kacang - Kaduk yang masak malam tadi. Tugas Syah dan Aisyah hanya kukus dan panaskan semula. Lemang pula adik-beradik Syah sudah tolong potong dan hidang dengan segala rendang.

Menu telur hancur wajib untuk Arham dan Kaduk. Itu makanan kesukaan mereka pagi-pagi tak kira waktu walaupun sesudu cuma.

Nasi tomato dan ayam masak tomato pula permintaan anak-anak Syah. Mereka tak nak makan rendang sangat. Jadi masak tomato yang tak pedas dan mudah menjadi pilihan mereka.

Seperti biasa, Kaduk jadi tukang siapkan anak-anak. Jadi Syah tak kalut sangat nak menguruskan anak-anak mereka di pagi raya. Dia boleh tenang-tenang menyediakan menu sebelum dan selepas menunaikan solat hari raya. Kerjasama dalam rumah tangga sangat penting. Mahu 'tumpas' kalau terpaksa uruskan semuanya sendirian berhad.

Bau wangi bedak bayi menyapa hidung. Syah segera berpaling. "Anak-anak ibu dah mandi ya?" tanya Syah pada anak kembarnya yang dalam dukungan Kaduk. Pipi kedua-duanya dikecup lembut.

Arham dan Akram muncul dari belakang, menghampiri Aisyah yang sedang mengatur pinggan mangkuk di atas meja makan.

"Maaf kalau lama tunggu." Pohon Kaduk. Tadi dia ambil masa sedikit menguruskan perihal anak kembar dan anak-anak lelakinya.

"Tak apa, Syah pun sibuk di dapur ni. Terima kasih sebab uruskan anak-anak semua," ucap Syah. Walaupun sudah acapkali disebut ucapan terima kasih, namun setiap pertolongan suaminya takkan dilupakan begitu sahaja. Ucapan penghargaan sentiasa meniti di mulut mereka setiap masa. "Hanya Allah sahaja mampu membalas segala kebaikan."

"Ibu, Cho dah lapar. Bila kita boleh makan?" Akram bersuara. Tangannya menggendang pinggan di atas meja makan.

"Jom ajak adik-beradik sayang... kita makan sama," ujar Kaduk sambil meletakkan Azlan dan Azlinsyah di atas bangku khas mereka. Kaduk pantas menyenduk nasi tomato dan ayam masak tomato untuk disuap pada si kembar.

Syawal dirai
Sentiasa di hati

"Nanti kita salam raya, ya." Ucap Kaduk pada semua. Adik-beradik Syah pun sudah berkumpul di meja makan. Mereka makan stail buffet, bersila makan di ruang tamu. Ruang meja makan sekali dengan ruang tamu.

"Bukan ke kita dah salam raya lepas subuh tadi?" Syah bisik pada Kaduk. Pagi tadi sudah ada drama air mata.

"Selamat hari raya, maaf zahir dan batin." Begitu ucapnya awal subuh hari.

"Salam duit raya sekali!" Sampuk Aisyah dengan nasi tomato penuh di mulut.

"Ish, ish... Orang tak puasa penuh tak dapat banyak duit raya kan, ayah." Akram menyakat kakaknya.

"Angah demam teruk. Cuaca panas sangat. Mana boleh kira." Aisyah sudah buat muka monyok.

Arham yang sudah Tingkatan Satu hanya mampu geleng kepala dengan gelagat adik-beradiknya. Akram memang suka mengusik Aisyah. Mujur Azlan dan Azlinsyah tak pandai cakap sangat lagi. Kalau tak meriahnya hari raya mereka semua.

***

P/s: Ini entry pertama sebut anak kembar Syah-Kaduk. Entry 'simple' sahaja, buat 'lembutkan' jari-jemari nak menulis. Alhamdulillah, pasangan Syah-Kaduk sudah ada lima orang anak dalam satu entry 😊

No comments: