Saturday, April 06, 2024

[Special Entry 17] Gelap

Gelap
Oleh Rnysa

Special Entry 17
Edisi #deletedscenes


Lampu LED di silling dapur menyala sendiri waktu menapak masuk. Syah capai mug atau koleh putih tinggi dari tiang kayu bercabang dengan tangan kanannya. Sebelah tangan kiri pula laju membuka pintu kabinet, nak ambil susu tepung.

Buk!

Bucu pintu kabinet terlanggar... kepala suami sendiri!

"Ya Allah, sayang..." Syah tak sempat nak buat apa dah.

"Kenapa yang berdiri dalam kawasan blind spot Syah? Maaf, tak perasan sayang ikut dari belakang." Biasanya Syah akan perasan bau minyak wangi suaminya. Tapi sejak siang tadi tak tahu kenapa hidungnya asyik tersumbat sahaja.

"Blind spot?" Kaduk gosok-gosok dahinya yang terasa pedih. Mujur tak luka apa.

"Isteri abang ni kan jenis kelam-kabut. Maaf, tak perasan..." Kata Syah sekali lagi. Dicapainya tin susu tepung dan diletaknya sebelah barisan koleh yang elok beratur.

"Pergilah duduk depan dengan anak-anak." Katanya lagi, sambil usap lembut dahi Kaduk yang sudah selamat berbekas merah. Habis benjol dahi Kaduk dibuatnya.

"Hmmm?" Kaduk sudah rasa macam nak pening lalat. "Nak minta air masak segelas..."

"Yalah, dah lama bercerita mestilah rasa haus. " Syah ambil sebiji koleh dan isi dengan air mineral dari mesin penapis air.

Koleh beralih tangan.

"Terima kasih, sayang." Kaduk kembali semula ke ruang tamu dengan koleh di tangan kanan. Sebelah tangan lagi asyik menggosok dahi yang sedikit benjol.

Kasihan, kata Syah dalam hatinya.

Syah segera bancuh susu dan beri pada anak-anak. Lepas itu dia ke dapur semula ambil ais dan tuala kecil, nak tuam dahi suaminya.

"Maaf ya..." Sambil tuam dia baca selawat syifa sikit.

"Tak payahlah baca lagi." Terus dia ambil novel dari tangan Kaduk dan letak ke tepi.

Kaduk senyum panjang. Matanya pandang mata Syah yang dok ralit tengok dahinya.

"Telaga di bawah gunung."

"Telaga apa pula, sayang? Rindu kerja offshore ke? Telaga minyak?"

"Peribahasa Melayu." Kaduk senyum lagi.

Syah sudah berkerut dahi. "Malam-malam dah nak berperibahasa pula. Kuat sangat kot kena hentak ni. Allahu akbar, kasihan abang dapat isteri yang kelam-kabut macam Syah." Dia tergelak sendiri.

"Kenapa Syah suka cakap macam itu? Suka salahkan diri sendiri. Kan tak sengaja..."

Tak sempat Kaduk nak habis cakap, Syah sudah mencelah. "Memang tadi nak cepat. Tak tengok betul-betul sebelum...." Syah perasan muka Kaduk yang senyum tadi sudah bertukar serius. Terus dia senyap dan tak jadi nak cakap lagi.

"Tahu kan yang abang tak suka cara Syah yang selalu nak salahkan diri sendiri. Tapi masih nak cakap begitu juga." Kaduk bersuara rendah, riak mukanya serius. 

Kaduk kerling pada anak-anak yang sedang minum susu. Dia pun tak jadi nak sambung cakap lagi.

"Ermm, betul kata abang tu." Kata Syah perlahan. Terus Syah ingat balik kejadian dia kena marah tahun lepas.

Kafuk perasan air muka isterinya sudah berubah. "Sayang, I didn't want to be right..."



***

P/s: Pertengahan minggu yang baru ini saya terpaksa masuk dan bermalam di wad hospital. Jadi, dapatlah macam-macam mesej termasuklah yang rindu nak baca penulisan saya. Maka, marilah saya kongsikan sedikit versi 'deleted scene/plot' yang pernah ditulis untuk episod 50 Gelap.

Terima kasih atas semua ucapan dan doa. Alhamdulillah, saya dah keluar hospital sejak petang semalam dan kini berada di kampung halaman di Perak.

Salam penghujung Ramadan.
Selamat pulang berhari raya semua.
Semoga segala urusan dipermudahkan-Nya.

No comments: