Gelap
Oleh Rnysa
4
Awal pagi.
#MCODay27 #PKPharike-27 #PKPDharike-2
#stayathome #stayinlove
Di luar nyata gelap.
Hanya sorotan cahaya dari lampu yang malap ditatapnya separa sedar dari lena.
Sayup-sayup kedengaran bacaan ayat-ayat cinta dari kitab-Nya. Berselang-seli dengan tangisan yang teresak-esak perlahan yang cuba ditahan.
Syah membuka luas matanya. Kaduk tiada berbaring di sisi. Matanya menangkap susuk tubuh suaminya itu sedang berteleku di atas hamparan sejadah. Di tangan Kaduk memegang naskah Al-Quran. Bangun bertahajud pastinya, itu memang kelaziman yang cuba diamalkan oleh suaminya itu dan Syah sedia maklum sejak mereka baru bernikah lagi.
Dengan kudrat yang terbatas dia bangkit dari katil. Akram yang sedang tidur lena diusap kepalanya. Seharian cahaya mata ketiga mereka itu meragam. Akram ni macam ada hubungan telepati dengan Syah. Kalau dia tidak berapa sihat, anaknya yang satu ini pun buat hal macam-macam.
Pagi tadi dia tak nak Kaduk suapkan makan. Ibu juga dicarinya, ya Akram.
"Abang dah pujuk. Tapi dia tak nak juga." Dengan wajah bersalah Kaduk membawa Akram masuk ke dalam bilik mereka.
Syah sudah dilarang daripada membuat sebarang kerja setelah semalam Kaduk menyedari keadaan dirinya. Kaduk berkeras mahu membawanya ke hospital malam itu juga tapi Syah menegah. Sekadar penat saja, balasnya semalam. Lalu Kaduk menjatuhkan PKPD ke atas dirinya. Ya, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan.
"Jangan berani nak ingkar arahan suami," tegasnya. Jadi sejak pagi Syah tidak dibenarkan keluar bilik. Duduk saja diam-diam di atas katil. Rehat!
Namun Akram yang masih kecil ini mana faham situasinya itu. Selama ini kan ibu sihat-sihat sahaja. Selama tempoh PKP ini setiap pagi ibu suapkan Akram makan. Merengeklah dia pagi tadi tak nampak kelibat ibunya. Cemas. Sejak lepas makan pagi Akram tidak berenggang daripadanya. Abang dan kakaknya ajak bermain pun dia tak mahu. Tiba-tiba dia pun jadi lemah semacam.
Kepala Akram disentuh sekali lagi. Tak panas, tak ada apa yang abnormal. Hmm... sekadar meragam sahaja. Kasihan Kaduk kena jaga dua orang yang 'sakit'. Tiba-tiba bilangan pesakit bertambah dan kena kuarantin!
Syah menjenguk keluar jendela.
Ah, ada sebutir bintang di langit.
Jauh.
Sejauh bintang di angkasa.
Bila jauhnya hati jika tiada kau di sisi.
Pandangnya dilabuhkan pada Kaduk yang sedang sujud. Suaminya itu sepanjang hari ini menjaganya dengan kawalan ketat bagaikan askar yang sedang menjalankan perintah kerajaan waktu ini. Siang tadi Syah nak cuba bangkit dan nak ambil air di dapur pun tak boleh. Kena disoal siasat segala.
"Nak pergi mana pula tu?"
"Errrr, air dah habis..." Teragak-agak Syah menjawab.
Kaduk berhenti menaip sesuatu di komputer ribanya. Bangun dari bangku meja kerja yang dibawanya masuk ke dalam bilik tidur mereka semata-mata mahu memastikan Syah patuh pada arahannya. Air suam sudah diisinya kembali.
Syah membersihkan diri dan segera menghamparkan sejadah di belakang sang imam yang masih bersujud mengadap Dia yang Satu.
Dekat.
Sedekat dia yang bersujud di hadapan-Mu.
Bila dekatnya hati jika tiada Kau dan dia di sisi.
Dan Syah langsung bertanya pada dirinya:
Relevankah aku di hati-Mu?
Relevankah aku di hatimu?
Mata Kaduk yang basah ditatapnya.
Untuk hati seorang Carl Duke Adam, jawapannya dia sudah tahu - "Ya" dan "Ya".
Jemari Akasyah yang beralas telekung diraih.
Syah sentiasa dalam hati dan doa abang, tutur Kaduk dalam hati yang tidak terluah dengan kata-kata. Masih menahan sebak.
Dalam diam mata mereka saling bertatapan.
Dalam diam hati mereka saling berbisik rasa cinta yang sama.
(bersambung...)
#RADHA
No comments:
Post a Comment