Tuesday, September 18, 2018

Sekuntum Mawar Di Gunung Atlas (1)

Sekuntum Mawar Di Gunung Atlas
Oleh Rnysa


Prolog

Masa itu milik Dia
Dia yang Maha menguasai Masa


Berita kehamilan Nurrul Aiin sangat mengembirakannya. Insya-Allah, anak kembar! Begitu teruja sekali bekas teman sekerjanya itu menyampaikan khabar melalui aplikasi pesanan WhatsApp. Ternyata temannya sudah tidak sabar-sabar lagi mahu bergelar ibu, riuh hendak bercerita itu dan ini. Dia segera menutup buku di tangan dan meletakkannya di atas meja kopi kerana mahu melayan pesanan Nurrul yang sedang masuk bertubi-tubi.

"Telefon saja kan senang..." Taipnya lagi, sambil sekadar mampu menggeleng pada skrin telefon pintar.

"Mahu tambah kopi lagi, cik?"

Dia mengangkat muka pada pelayan kafe yang datang bertanya lalu melemparkan senyuman semanis kopi juga. "Ya, terima kasih." Dia membalas dan mengangguk serentak.

"Cik selalu datang ke mari..." Sambil menuang kopi, pelayan itu cuba beramah mesra. "...dan sekarang jadi pelanggan tetap kami. Baru datang ke bandar ini mungkin? Saya tidak pernah lihat cik sebelum ini."

"Iya, baru beberapa bulan lepas," jawabnya pendek sahaja.

"Sila nikmati kopinya, ya."  Pelayan bermata coklat itu berkata buat kali yang terakhir sebelum meminta diri ke meja pelanggan lain.

Mata dia mengekori langkah pelayan kafe tempat bersantai kesukaannya sebelum kembali memberi perhatian kepada perbualan dengan Nurrul yang terhenti. Ah, di sini waktu dirasakan bergerak dengan perlahan dan damai sekali. Beza sungguh dengan waktu dia berada di Malaysia; sekejap sahaja sudah tiba ke hari Isnin yang baharu. Padahal setiap detik yang berlalu tidak pernah cepat atau lambat, menurut perkiraan pencipta-Nya. Setiap yang berlaku sentiasa dalam pengetahuan-Nya.

Masa silam, masa kini dan masa depan.

Segala-galanya hanya menanti detik waktu yang tepat; tersusun satu demi satu sebelum semuanya kembali semula kepada Dia.


No comments: