Thursday, June 10, 2021

[Cerpen] Kelab Single

Kelab Single
Oleh Rnysa

Angin tak ada, ribut tak ada. Tiba-tiba dapat short notice mengatakan Kak Syah akan bakal bertunang pada sekian-sekian hari. Untuk itu, kakak sepupu Jiba itu bakal pulang balik ke Malaysia pada cuti musim panas nanti. Lamanya tak jumpa Kak Syah. Balik-balik cuti terus nak bertunang pula!

Dan hari tersebut, Kak Syah nampak tenang sahaja di atas pelamin serba putih yang dihias indah. Dia tampak manis dengan sepersalinan jubah dan tudung pashmina warna buah peach gelap. Ringkas dan mengikut syariat, tegas ayah Kak Syah tadi. Jiba pun turut bersetuju tentang hal itu. Kak Syah yang sudah semakin manis itu kelihatan anggun di hari bahagianya.

“Kan Kak Syah masih pelajar lagi, mana ada duit nak beli baju mahal-mahal.” Canda Kak Syah apabila ada yang tegur fasal baju dia. Yalah, Kak Syah kan lebih rela beli buku daripada baju-kasut-beg-tudung macam perempuan lain.

Hmmm…Tunang Kak Syah tidak datang waktu majlis hari ini. Jadi tak dapatlah Jiba menatap wajah tunang Kak Syah. Hampa. Baru bercadang nak mengusik Kak Syah tadi. Sekali lagi wajah manis Kak Syah ditatap. Kiranya ‘presiden’ Kelab Single sudah terpaksa meletakkan jawatan secara rasminya. Lalu Jiba...bagaimana?

***

Beberapa tahun kemudian…

September 10, 2010

Najiba ketawa tatkala membaca jawapan yang diberikan oleh pelajar Tahun Tiga sekolah ibunya. Rasa nak terputus urat-urat di mulut menahan tawa. Sebagai bekas pelatih teknikal TNB (Tenaga Nasional Berhad) yang belajar tentang elektrik dan keluar masuk PMU (Pencawang Masuk Utama) yang menempatkan transformer, pemutus litar dan lain-lain, sudah tentu Najiba rasa terhibur sekejap dengan jawapan lucu yang mereka beri. Topik magnetism yang mereka jawab ini Najiba belajar waktu Tahun Satu di universiti dahulu. Tanpa sedar bahagian saraf otak si bakal jurutera yang bersimpul pun boleh jadi kembali normal.

“Hahaha...” Bergema tawa pelajar kejuruteraan dari UNITEN itu lagi, sehinggakan ibunya naik hairan. “Kelakar, kelakar...” Ujar Jiba lagi. Tangan terus menanda kertas periksa.

"Kakak, cuba bersopan sikit. Malu dekat jiran sebelah..." Puan Monaliza menegur perilaku anak gadisnya gelak tak tentu hala. Memang jawapan budak-budak itu kadangkala tidak logik dek akal dan menggelikan hati, tapi cubalah kawal sedikit. Tidak nampakkah Najiba yang anak teruna jiran sebelah sedang mencuci kereta sekarang? Matanya terus mengintai-intai ke rumah jiran sebelah dari balik tingkap.

“Cubalah jadi sopan macam Kak Akasyah kamu. Dia dah banyak berubah sejak duduk di Jepun tu...” Tambah si ibu lagi.

“Alah, Kak Syah tu... dah ada buah hati baru pandai jadi sopan-ayu begitu.” Balas Najiba selamba. Matilah kalau Kak Syah dengar. Ampun kakak sepupu!

“Oh, kiranya memang si Adam tu buah hati dia sejak zaman sekolah?” Ibu yang baru kenal dengan abang Adam terus buat konklusi sendiri. Biasalah budak zaman sekarang, bercinta dahulu baru bernikah, fikirnya.

Najiba sudah menepuk kepala. Aduh, kan dah tersalah bagi markah! Pen merah segera diletakkan ke atas meja.

“Alahai ibu... kan hari tu kita dah cerita masa kenduri Kak Syah. Mula-mulanya Abang Adam tu jadi kawan dia saja. Dah lama kawan lepas tu... baru abang Adam beritahu yang dia suka Kak Syah.” Terang Najiba dengan tangan tergawang-gawang ke udara. Semangat!

Puan Monaliza mengangguk. Dia mengambil tempat di sebelah anaknya di atas sofa. “Dah berapa banyak siap dah tu?” Soalnya penuh prihatin.

“Seksyen A yang soalan objektif dah siap. Dengan Seksyen B1 pun dah. Tinggal nak semak jawapan subjektif Seksyen B...” Beritahu Najiba.

“Kalau penat rehat dulu. Kalau tak solat, pergi solat dulu. Nanti sambung semula. Jangan buat kerja sampai tak solat...”

“Iya...”

“Nasib baik kakak tengah cuti. Bolehlah tolong ibu tanda kertas soalan budak-budak ni. Ibu macam dah tak boleh fokus sekarang, mata pun kurang baik...”

“Okey...”

“Hmmm... taman bunga kita dah lama tak berjaga. Nampak serabut. Ibu dah tak larat nak angkat pasu bunga...”

“Nanti Jiba tolong ibu...” 

Dan Puan Monaliza terus bercerita. Cerita? Yalah, semuanya cerita hal rumahtangga mereka sekeluarga. Dari kisah taman bunga rumah mereka, menu makan malam dan sebagainya. Kemudian balik semula cerita Jiba yang gelak tak ingat dunia; ditekankan semula soal kesopanan seorang anak gadis plus kisah anak teruna jiran sebelah yang baru habis belajar dari UTP.

“Apa kaitannya dia dengan Jiba?” Terus Jiba rasa alergik.

“Ibu cakap saja. Jiba pun tak ada kawan lagi...”

Najiba menarik muncung panjang. Hmmm... Semenjak presiden Kelab Single - Kak Syah - sudah berumahtangga, dengan Jiba sekali terpaksa dengar cerita hal kahwin-kahwin ini. 

“Ibu, Jiba kan studi lagi. Kak Syah tu lain...” Omel Najiba. Dulu Kak Syah yang berkobar-kobar tak mahu kahwin awal. Nak dapatkan gelaran doktor falsafah baru kahwin lah, apa lah. Sekarang apa sudah jadi? Baru tamat sarjana dan umur 26 tahun sudah jadi isteri orang. Habis macam mana dengan Kelab Single saudara-mara kita?

“Ibu dengar cerita Kak Syah dah mengandung...”

Najiba sudah rasa bagai tersedak getah pemadam. Kak Syah mengandung? Oh, Kak Syah dah nak jadi emak orang... tak cakap dengan Jiba? Kak Syah sekarang sudah pandai main rahsia-rahsia.

“Kak Syah tak cakap dengan Jiba pun...” Najiba buat nada merajuk. Entah-entah Imean pun dah tahu, Kak Su pun dah tahu. Dan semua sepupu-sepapat sudah tahu... kecuali Najiba binti Omar. Mana aci!

“Ibu pun dapat tahu dari mak Kak Syah. Dia telefon semalam. Agaknya Kak Syah tak sempat nak telefon Jiba sebab dia pun sibuk kerja. Jiba kena faham... orang dah kerja dan ada keluarga macam Kak Syah, hidup dia dah tak sama dengan orang bujang dan masih belajar macam Jiba..." Pujuk Puan Monaliza. Kepala anak gadisnya digosoknya perlahan. Dia tahu Akasyah memang rapat dengan anaknya sejak lahir lagi. Umur mereka pun sekadar beza tiga, empat tahun sahaja.

“Jiba pun jarang cakap dengan Kak Syah sejak dia dah berkahwin...” Ulas Najiba lalu melepaskan keluhan kecil. Kak Syah dah berubah dan lupa Jiba sejak bernikah dengan abang rambut perang...

“Kadang-kadang bila dah kahwin memang macam tu. Nanti ibu pun sedih bila Jiba kahwin. Jiba dah tak duduk dengan ibu. Harapnya Jiba tak lupakan ibu..." Ibu pula buat nada sedih waktu petang-petang begini.

Alahai, ibu ni dah mula buat drama pula. Orang sedih pasal Kak Syah, dia cakap pasal Jiba pula. Tapi bak kata pujangga: kasih ibu memang sampai ke syurga kan? Sebab itu apa-apa pun mesti ibu akan selalu saja nak kaitkan dengan diri Jiba, bisik Najiba dalam hati. Gadis manis itu segera memeluk ibunya dengan penuh kasih sayang.

***

Dari halaman rumah, petang itu Jiba memandang sekilas Kak Ngahnya, Nabila Omar, yang sedang berbual-bual dengan Abang Ikmal melalui telefon bimbit. Kak Ngah Bila melepaskan pandangan ke halaman rumah sambil tersenyum-senyum malu. Dia dan Abang Ikmal baru sahaja bertunang awal tahun lalu. Insya-Allah, dalam masa setahun lagi mereka akan melangsungkan perkahwinan.

Tidak seperti Kak Bila, Jiba tak pernah ada sesiapa pun di hatinya sebelum ini sehingga ke saat ini. Kakaknya itu memang ramai peminat sejak sekolah rendah lagi. Yalah, orang punya pakej yang lengkap katakan! Tak macam Jiba, hatta sekeping kad atau nota dari peminat misteri pun dia tak pernah terima. Nak dapat bunga atau coklat? Mimpilah!

Keluarga Jiba ada lima beradik dan kesemuanya perempuan pula. Kak Long, Kak Ngah, Kak Yang, Kak Chik (Jiba) dan Dik Su.

Kak long Jiba, Nafisa Omar, waktu dulu-dulu sebelum tamat U lagi sudah dirisik orang. Jiba? Tahun depan sudah hendak masuk tahun akhir, masih kekal tak berteman apalagi bakal dirisik orang. Kak Yang Jiba, Nadira Omar, yang sudah dua tahun berkerja di Bangi sedang dalam proses berkenalan dengan rakan sekerjanya. Adik bongsu Jiba atau Dik Su, Nazira Omar, pun dengar ceritanya sudah ada 'kawan' di matrikulasi.

Si Kak chik pula? Najiba Omar? Macam itu juga, tetap kekal tak ada sesiapa yang istimewa di hati. Tetap tidak disukai oleh mana-mana lelaki.

Dulu Jiba tak kisah pun. Sebab sebelum berkahwin dengan Abang Adam, Kak Syah pun tak pernah ada peminat. Apa-apa Jiba suka buat perbandingan dengan Kak Syah. Kerana diri mereka lebih kurang serupa. Mereka pun sama-sama mempelajari bidang kejuruteraan. Perangai agak 'kasar' dan selamba. Tak pandai kontrol ayu (sebab memang semulajadi tak ayu pun).

“Kita serupa… kita serupa…” Begitulah Kak Syah akan berdendang. Jiba selalu terhibur dengan nyanyian Kak Syah, mantan presiden Kelab Single. (Selain Kelab Single, mereka juga ada Kelab Koir suatu masa dulu. Waktu dia masih kecil, Kak syah memang suka tubuhkan macam-macam kelab dalam network keluarga mereka saudara-mara. Mereka ada Kelab Kanak-Kanak Riang, Kelab Remaja Aktif dan lain-lain lagi. Semuanya Kak Syah melantik dirinya sendiri sebagai presiden kelab. Yang selalu menjadi masalah, ikut suka hati dia bubarkan kelab tanpa sebarang mesyuarat dengan ahli kelab yang lain.)

“Sekarang Jiba ambil kisah tentang status single tu?” Tanya Kak Syah apabila Jiba luahkan rasa hati sehari sebelum Kak Syah melangsungkan perkahwinannya kira-kira dua tahun yang lalu. 

“Sebenarnya tak kisah pun. Jiba gembira saja dengan hidup sekarang. Cuma orang lain saja suka bertanya. Kawan-kawan tuduh Jiba jual mahal, memilih. Padahal diri Jiba yang tak dipilih oleh sesiapa. Tak ada siapa pun yang datang approach Jiba…" Akui Jiba setulusnya. Tangannya lincah menyimpul dawai bunga telur untuk majlis Kak Syah. Dia pun turut menjadi pemberi bunga telur juga.

“Belum tiba masanya lagi. Usah bimbang, deh!" Kak Syah terus tukar loghat Indonesia. Kononlah baru-baru ini Kak Syah dapat tahu keturunan mereka, orang Minangkabau yang merantau dari Indonesia. Makin pekat pula loghat Indonesia Kak Syah. Dia betul-betul ingin menjiwai watak orang Minangkabau!

Petang yang damai itu, Jiba terkenangkan pada sepupunya lagi. Raya tahun ini tak meriah tanpa Kak Syah dan Kak Su yang beraya dengan keluarga suami masing-masing. Kak Syah di Johor, Kak Su pula di Kelantan. Dan juga Imean masih beraya di perantauan - Ireland. Sebelum ini mereka berempat selalu bersama. Empat serangkai! Tapi sekarang hanya tinggal Jiba seorang sahaja. Walaupun ada lagi sepupu-sepapat yang lain, Jiba paling rapat dengan mereka berempat sahaja. Meskipun memiliki kakak-kakak dan adik sendiri, Jiba rasa lebih akrab dengan mereka bertiga. Mungkin kerana mereka berkongsi hobi yang sama: membaca novel. Lalu mereka boleh berkongsi info tentang novel-novel yang bagus di pasaran.

“Assalamualaikum…” Kedengaran orang memberi salam. Jiba yang sedang menyiram pokok bunga di halaman rumah berpaling. Tersedar dari lamunan jauh. Oh, anak jiran sebelah memanggil. Si Wildan, yang baru tamat belajar di UTP. Graduan Kejuruteraan Kimia.

“Wa'alaikumussalam…” Jawab Jiba.

“Ibu saya suruh pulangkan tupperware…" Balas Wildan penuh sopan. Wildan - lelaki yang ibu cuba dikenen-kenenkan dengan Jiba.

“Sekejap...” Jiba segera menyangkut hos ke pagar. Tangan yang basah dikesat ke seluar saja. Jiba melangkah pantas ke tembok yang memisahkan rumah Jiba dan Wildan. 

Tupperware bertukar tangan.

“Terima kasih,” ucap Jiba.

“Sama-sama,” balas Wildan dengan senyum nipis sebelum berlalu.

Jiba terus terasa hati. Sebenarnya mereka baru saja lima tahun berpindah ke kawasan ini. Sudah selama itu juga Jiba dan Wildan hidup berjiran. Namun selama itu juga Wildan tidak pernah bercakap Jiba lebih daripada tiga ayat. Jiba pernah nampak lelaki itu berbual mesra dan bertegur-sapa dengan Kak Long, Kak Ngah, Kak Yang dan Dik Su. Tapi dengan Jiba lain pula layanannya. Kenapa?

Sekali lagi mata Jiba memandang Wildan yang sedang menarik gril pintu rumahnya. Jiba mengetap bibir menahan rasa. Selama ini Jiba cuba berbaik sangka dengan Wildan, tapi jauh di sudut hati dia tetap rasa didiskriminasi.

Eleh, macamlah kacak sangat sampai hati Jiba nak tertarik. Abang Adam, suami Kak Syah yang agak kacak dengan muka mat salehnya itu pun elok saja berbual dengan Jiba. Hai... Kalau anak teruna jiran sebelah rumah tak nak bertegur sapa, lagilah Jiba malas nak beramah mesra. Nanti kena cop gatal pula!

***

Beberapa bulan kemudian…

Pagi Sabtu itu awal-awal lagi Jiba sudah pergi temankan ibu ke kedai runcit. Ibu hendak beli bahan-bahan membuat popia goreng. Tempahan dari Puan Lily Suria, ibu Wildan. Mereka hendak buat kenduri kesyukuran untuk Wildan dan adiknya, Wahida. Tiba-tiba rumah mereka bertukar menjadi kilang popia pula.

Yang tak seronoknya, Jiba pun kena tolong ibu untuk kenduri Wildan. Tak sukalah air tangan Jiba 'terpecik' untuk makanan si Wildan yang sombong itu!

“Banyaknya ibu. Sampai tiga ratus biji...” Keluh Jiba. Kalau Jiba sekarang menetap di Kampar - berdekatan rumah Kak Syah - sudah lama Jiba suruh Wildan tempah saja dari Popia Zul. Popia goreng abang India Muslim itu dijamin sedap!

Mujur adik-adik perempuan Wildan, Wardah dan Wahida datang menolong pada sebelah petang. Mereka ambil ‘kontrak’ kupas dan potong sengkuang. Jiba tolong parut lobak merah. Manalah Jiba pandai memasak sangat. Bab makan pandailah. Tak perlu disuruh sudah laju duduk di meja makan.

“Bila lagi nak belajar memasak...” kata ibu. Sebab itu hari ini Jiba dikerah tolong ibu.

“Takkan Jiba balik bermalam ke rumah semata-mata nak siapkan popia si Wildan pula.” Jiba tarik muka tak puas hati. Dan apabila Jiba perasan muka ibu berubah, dia rasa bersalah. Cepat-cepat Jiba peluk ibu. "Jiba bukannya tak mahu tolong ibu. Tapi tak sukalah Wildan tu..." luah Jiba.

“Kenapa? Kenapa tak suka Wildan?” Tanya ibu bertubi-tubi.

“Hmmm...” Malasnya Jiba mahu komen tentang jurutera yang perasan dirinya kacak itu, menurut pandangan Jiba. Lalu Jiba sekadar menjungkitkan bahu, tidak mahu mengulas panjang. Dengar ceritanya, graduan kejuruteraan kimia itu sudah berkerja. Semalam Wildan baru balik dari Miri, Sarawak. Jiba pun sudah selamat naik tahun empat. Sibuk dengan projek tahun akhir pula. Hari ini sibuk dengan projek popia goreng pula!

“Alahai, ibu telefon suruh balik semata-mata sebab popia?” Mood Jiba susut 40% sebelum kena seret ke kedai awal pagi tadi. Ingatkan ibu telefon sebab rindukan Jiba.

“Habis... siapa nak tolong ibu masak? Jiba kan yang paling dekat dengan ibu. Yang lain semua duduk jauh. Kak Yang pula kerja hari Sabtu ni.” Yalah, rumah ibu dan kampus Putrajaya UNITEN di Kajang tak sampai satu marhalah pun. Rumah Jiba sekeluarga di Putrajaya saja. Kak Yang Nadira pula berkerja di sebuah kilang elektronik di Bangi, kadang-kadang hari Sabtu pun kena berkerja juga.

“Wahida belajar apa di UiTM?” Jiba menemubual adik sang jurutera yang manis.

“Farmasi.” Jawab Wahida pendek dengan senyum meleret. Dia baru saja mendaftarkan diri sebagai pelajar UiTM Puncak Alam.

“Wardah pula tahun ni PMR, kan?” Jiba memandang Wardah yang duduk bersimpuh dengan sopan di atas tikar mengkuang. Tangannya lincah mengupas kulit sengkuang.

“Haah. Tolong doakan Wardah dapat 8A, kakJiba.”

“Insya-Allah. Mesti dapat 8A punya. Kakak abang Wardah kan semuanya bijak pandai...” Terutama si Wildan, tambah Jiba di dalam hati. Jurutera itu kan pernah jadi pelajar terbaik di sekolahnya dulu. Amboi Jiba, mulut saja bilang tak suka. Macam-macam info tentang Wildan dalam kocek Jiba sahaja. Mana tidaknya, Ibu Wildan dan ibu Jiba suka bersembang hal anak-anak. Tentulah ibu pun turut kemas kini maklumat terbaharu tentang keluarga jiran sebelah rumah mereka itu kepada Jiba.

Hari sudah semakin senja, Wardah dan Wahida meminta diri untuk pulang ke rumah mereka. Jiba pula kena menghabiskan tugas mereka memotong sengkuang. Abah menegur sengkuang yang Jiba potong besar-besar, berbeza dengan hasil tangan dua beradik tadi.

“Besarnya. Nanti tercekik pula orang makan.” Usik abah.

“Jiba dah penatlah...: Balas Jiba. Tangannya mengambil semula hirisan sengkuang dari dalam besen, menghiris lebih kecil lagi.

“Baru buat kerja sikit dah penat? Tulah... lain kali kena rajin tolong ibu di dapur.” Canda abah lagi.

“Sikit kata abah? Jiba dah tolong kupas kulit udang. Tolong buang ekor taugeh. Tolong parut lobak. Banyak tau Jiba tolong ibu hari ni...” Jiba buat laporan lengkap.

“Wah, rajinnya anak abah.” Abah ketawa berderai.

“Abah perli Jiba, ya?” Jiba sakit hati. Ketawa abah macam bunyi tak ikhlas saja.

“Kan abah sedang puji Jiba ni.” Abah masih gelak-gelak lagi.

“Yalah tu...” Jiba menjeling sekilas. Mata Jiba melekat pada sebesen besar sengkuang yang sudah siap dihiris. Malam nanti ibu nak ajar cara goreng inti popia pula. Jiba menghitung dalam hati. Lobak sudah siap, sengkuang pun sudah. Udang ada dalam peti sejuk. Taugeh rendam dalam air. Kulit popia ibu sudah keluarkan dari peti sejuk. Semuanya sudah beres!

***

Dari jauh Jiba hanya memerhatikan Wildan cekap melayan para tetamu yang hadir ke majlis kenduri kesyukuran keluarganya. Tetamu yang datang tidak putus-putus. Khemah lelaki di sebelah kanan Jiba sentiasa penuh. Orang perempuan kebanyakannya makan di dalam rumah. Tapi ada juga yang makan di bawah khemah ini seperti Jiba, yang lebih suka keadaan terbuka begini.

Sekejap-kejap Jiba menguap panjang. Mata Jiba rasa berat macam digantung mesin jahit. Bila-bila masa saja boleh terlelap. Ibu yang sibuk membantu keluarga Wildan sudah dua kali menjeling ke arah Jiba. Nasiblah... siapa suruh Jiba melipat popia dari subuh sampai ke tengah hari. Kan Jiba sudah kepenatan. Badan Jiba pun sudah berbau popia.

Ya Allah, mengantuknya mata. Jiba menahan kuap dengan sebelah tangan. Mata Jiba meleret pada dulang popia goreng yang kuning keemasan di atas meja buffet yang sudah tinggal 1/4 lagi isinya. Mujurlah bukan Jiba yang menggoreng popia tadi. Kalau tak mesti sudah hangus rentung. Merosakkan majlis kenduri si Wildan dan Wahida. Mujur sangat...

“Jiba dah makan ke belum ni?” Tegur Puan Lily Suria, ibu Wildan.

“Dah. Jiba dah rasa nasi beryani. Sedap!” Balas Jiba yang duduk di khemah tetamu saja sejak datang tadi. Tak bergerak-gerak ke mana-mana. Keletihan mengikatnya di situ.

“Laksa sanggul tu Kak Fiya yang buat. Jangan lupa rasa ya...” Kakak sulung Wildan, Wafiya pula menambah. 

Jiba mengangguk. Baru saja dia hendak buka mulut, tiba-tiba Wildan datang ke tempat Jiba, Puan Lily Suria dan Kak Fiya berkumpul.

“Ibu, popia dah nak habis. Ada lagi tak?” Tanya Wildan.

“Ada dekat dapur. Minta Wardah gorengkan lagi.” Puan Lily Suria memanjangkan leher ke halaman rumahnya mencari susuk Wardah.

“Tak silap Fiya, tadi Wardah temankan kawan-kawannya makan dalam rumah. Mereka baru sampai.” Celah Kak Wafiya sebelum pergi melayan kerenah anaknya, Maira, merengek minta air teh limau.

Puan Lily Suria mengalih pandangannya pada Jiba. 

Ah sudah! Janganlah nak minta tolong Jiba pula. Jiba memandang ke arah lain. Pura-pura tidak berminat mendengar perbualan mereka anak-beranak.

“Rasanya Ida tengah solat zohor...” Balas Puan Lily Suria pada Wildan. Lelaki itu sekadar mengangkat bahu tanda tidak tahu. Pandangan Puan Lily Suria dan Jiba bertemu lagi. Jiba cepat-cepat berlakon sibuk makan puding cocktail pula. Disudunya perlahan-lahan masuk ke dalam mulut.

“Jiba...” Seru Puan Lily Suria.

Perlahan-lahan Jiba angkat muka dari puding cocktail yang sedap. Siapalah yang baik hati membawanya. Jiba rasa nak menambah lagi sesudu dua.

“Lepas makan Jiba tolong makcik, boleh?” Pinta Puan Lily Suria. Jiba terus tersedak. Cepat-cepat tangannya mencapai gelas air teh limau, lalu diteguknya laju bagi melegakan tekak yang terkejut.

“Err... saya?” Kenapa pula Jiba yang kena buat? Upah tolong buat popia pun Jiba tak dapat lagi. Goreng popia tak termasuk dalam perjanjian, kan? Bukanlah Jiba nak berkira, soalnya Jiba sudah tak larat sangat.

“Sekejap saja... sementara tunggu Wahida habis solat.” Kata Puan Lily Suria, memahami keadaan gadis itu melalui raut wajahnya yang sudah hilang ceria.

“Okey...” Sebagai anak jiran yang baik, Jiba kena jaga air muka ibu Jiba juga.

Wildan menatang dulang popia yang sudah kosong ke dapur. Di sana dia memerhati Najiba yang sedang buat kerja lambat-lambat. Wajah gadis itu terpancar keletihan yang amat sangat. Wildan rasa serba salah kerana telah menyusahkan Najiba. Diletakkannya dulang yang sudah kosong di atas kaunter, yang memisahkan ruang makan dan dapur basah.

“Jiba...” Panggil Wildan.

Najiba berpaling lalu pandangan mata mereka bertemu.

"Awak pergilah rehat. Saya dah minta kakak sepupu saya gantikan tempat awak." Kata Wildan. Tadi dia nampak kakak sepupunya, Kak Nawwir datang dari arah bilik Kak Fiya. Sempat Wildan minta tolong Kak Nawwir tolong gorengkan popia yang sudah kehabisan. "Jadi tak perlulah awak buat lagi. Pergilah berehat…”

Jiba berkerut dahi tidak percaya. Wildan sudah boleh bercakap lebih daripada tiga ayat dengan Jiba? Tangan kanan Jiba sudah bersedia dengan seketul popia, sebelah kiri pula memegang tupperware penuh dengan popia yang belum digoreng. Minyak pun sudah panas. Tanpa diduga, popia terlepas dari tangan Jiba. Terus jatuh ke dalam kuali yang hangat. Minyak panas memercik ke arah Jiba. Jiba menjerit kecil kerana terkejut. 

“Jiba!” Tanpa bertangguh lagi Wildan terus menghampiri Jiba yang sudah mengundur beberapa tapak ke belakang.

Jiba menahan pedih. Tangan kanannya jadi merah terkena minyak panas. Cepat-cepat dia letak tupperware di atas meja dan terus ke sinki menjirus air ke tangan kanannya. 

“Kan saya dah cakap jangan buat.” Wildan terus membebel. Matanya membelek tangan kanan Jiba yang memerah. Dipandangnya juga wajah Jiba yang berkerut menahan sakit. Wildan pantas mencari kit pertolongan cemas di kabinet dapur.

Wildan menyerahkan kit pertolongan cemas yang diambilnya kepada Kak Nawwir yang muncul di tempat kejadian. Melihat Jiba yang kesakitan dan tangannya yang merah, rasa bersalah terus membaluti hati Wildan. Tak fasal-fasal habis tercedera tangan anak orang, bisik hati Wildan.

Wildan hanya berdiri di muka pintu dapur. Najiba? Gadis itu terus pulang ke rumahnya selepas Kak Nawwir menyapukan krim pada tangannya.

“Terima kasih, kak. Jangan cerita pada sesiapa, ya.” Kata Jiba yang sudah malu di depan Wildan yang asyik merenungnya. Malu juga sebab sudah terjadi ‘kemalangan kecil’ di rumah orang sebelah. Nampak sangat dia tidak cekap di dapur.

Wildan sekadar memerhati. Waktu berselsih dengan Wildan, gadis itu sedikit pun tidak berpaling kepada Wildan.

“Maafkan saya, Jiba.” Namun ucapan maaf dari Wildan itu tidak bersambut. Najiba menoleh pada Wildan pun tidak. Wildan cuba berbaik sangka. Mungkin Najiba tidak mendengar suaranya yang perlahan tenggelam dalam keriuhan gelak-tawa sanak-saudara dan jiran tetangga yang datang berkumpul. Wildan terus mengikut Najiba dari belakang. 

“Nak ke mana ni?” Tanya ibu Jiba, yang berpapasan dengan Jiba di pintu rumah Wildan.

“Balik rumah. Penat.” Balas Jiba cepat-cepat. Disoroknya tangannya yang tercedera ke belakang badan. Puan Monaliza sekadar menggeleng-gelengkan kepalanya. Jiba segera menyarung sandalnya.

Wildan yang turut mendengar jadi berganda-ganda rasa bersalah. Kenapa Jiba tak ceritakan hal yang sebenarnya? Kenapa mesti berselindung, Jiba?

Jiba berpaling ke belakang. Terasa dirinya diekori. Wildan?

“Kenapa?” Tanya Jiba dengan nada sombong.

Wildan menggeleng. Tangannya menyeluk kocek baju Melayu. Dia memandang hujung capal aladinnya.

Eh, macam berdrama pula mamat ni. Ingat tengah praktis pentomen sampai tak perlu bersuara. Entah-entah Wildan ni ahli kelab drama dekat UTP dulu...

“Tak perlulah tiba-tiba nak berbaik-baik dengan saya. Sebelum ni awak nak cakap dengan saya pun payah.” Wah, Cik Najiba Omar pula yang nak berdrama!

Wildan terus angkat muka. Terkejut dengan kata-kata Jiba.

“Awak boleh berbual mesra dengan kakak-kakak dan adik saya. Tapi dengan saya? Hmmm...” Jiba berpeluk tubuh. Masih 'praktis dialog' dalam 'kelas lakonan'nya dengan Wildan.

“Jiba, saya...”

“Saya nak balik.” Jiba cepat-cepat memintas kata-kata Wildan dan terus melangkah ke rumahnya. “Oh, sebelum itu...” Jiba tiba-tiba berhenti dan berpaling semula. Matanya singgah pada wajah Wildan yang masih kelam. “...tahniah untuk awak!”

Jiba senyum simpul. Dia menahan tawa dalam hati. Kak Syah, kita patut buat Kelab Drama. Dan kali ini Jiba rasa Jiba patut dan layak menjadi presidennya!

Malam itu Wildan memandang ke arah tingkap bilik Jiba. Namun dia masih tidak mempunyai kekuatan untuk bercakap dengan Jiba setiap kali mereka bertemu mata. Berhadapan dengan Jiba buat dia rasa kekok serba-serbi. Entah kenapa…

***

Sejak dari hari itu, jarang sekali Jiba nampak Wildan. Jiba sendiri sibuk dengan projek tahun akhirnya dan seterusnya majlis konvokesyen. Selepas itu sibuk mencari kerja pula. Manalah dia sempat ambil tahu tentang Wildan lagi. 

Semakin lama, ibu pun sudah tidak bercerita tentang Wildan lagi. Entah kenapa nama Wildan terus lenyap dari topik cerita ibu. Mungkin ibu sudah mulai sedar, Wildan tidak ada hati pun dengan Jiba. Syukurlah!

Namun jauh di sudut hati, Jiba tetap terasa hati dengan Wildan, jiran sebelah rumahnya yang sudah merantau ke Miri, Sarawak itu.

Waktu kenduri kesyukuran abah dan ibu Jiba hendak pergi haji, kebetulan Wildan pulang bercuti. Dia turut diundang memeriahkan majlis.

“Jiba…” Seru Wildan. Namun kata-katanya terhenti di situ sahaja. Hendak meluahkan perasaan yang terbuku di hati bagaikan memerlukan seluruh kekuatan jiwa. Terasa temuduga kerjanya dahulu lebih mudah berbanding berbicara dengan Jiba di saat itu.

“Apa?” Jiba tenung wajah Wildan dalam-dalam.

Wildan menggeleng dan terus berlalu.

Jiba garu kepala yang tidak gatal. Aduh, jurutera kimia itu berdrama lagi!

***

Najiba menghitung-hitung umurnya. Alhamdulillah, Jiba pun sudah berkerja. Sudah tiga tahun di syarikat yang sama sejak tamat belajar. Baru-baru ini rakan sekerjanya baharu sahaja melangsungkan rumah tangga. Jiba masih kekal status bujang dan belum dimiliki. Tentu ada sebabnya Jiba masih sendirian, Allah jua lebih mengetahui. Sejak dia berkerja, ramai mulut yang bertanya tentang perkahwinan. Jiba hanya jawab, “Belum sampai jodoh.” Kadangkala hanya membalas dengan senyuman dan gelak tawa sahaja.

Sehinggalah tiba pada suatu hari yang tidak disangka-sangka. Keluarga Jiba menerima lamaran daripada orang yang tidak dijangka-jangka. Lelaki yang Jiba kenal waktu awal-awal kerja dahulu. Waktu dia pergi berkursus di sebuah resort.

 “Kita selalu berjumpa tanpa dirancang. Dan setiap kali itu pasti hati saya rasa lain…” Luah lelaki itu sedikit terbuka, di hadapan abah dan ibu Jiba sekali.

“Baru sekali itu sahaja, kan? Di Gambang Resort?”

Lelaki itu menggeleng.

“Kenduri kakak sepupu awak. Awak yang beri bunga telur pada saya.”

“Iya?” Macam tak percaya pula mereka sudah pernah bertemu waktu itu. Memang agak mustahil Jiba boleh kenal si dia waktu itu. Ramai sangat orang menghadiri kenduri sebelah keluarga pengantin perempuan.

“Waktu itu saya pakai kaca mata hitam sebab mata bengkak. Saya tak sempat nak tegur dan awak mungkin tak perasan…” Lelaki itu mengeluarkan kaca mata hitam dari poketnya lalu digayakan khas untuk tatapan Jiba. Moga-moga Jiba boleh ingat semula.

Oh, dialah orangnya yang Jiba perli ‘lelaki perasan bergaya’ di majlis kenduri Kak Syah dulu. Dari masuk dewan sehingga mahu balik dan dapat bunga telur asyik berkaca mata. Kenalan suami Kak Syah juga, rupa-rupanya. Dia dan suami Kak Syah bertemu di lapangan terbang di Dubai. Terus jadi rapat sampai sekarang. Dia juga Jiba gelar sebagai ‘lelaki miang’ kerana cuba menguratnya semasa sedang berkursus di Gambang Resort Siap mainkan piano di lobi hotel, ditujukan khas buat Jiba. Berani sungguh!

“Sudah sampai waktu dan orang yang sesuai, Allah permudahkan segala urusan. Alhamdulillah…” kata lelaki itu lagi dengan nada tenang.

Di luar rumah kelihatan Wildan baru keluar dari kereta. Mungkin dia baru sampai dari Miri. Wajah Wildan yang keletihan cuba diusir jauh. Saat itu.

***

Oh, siapakah lelaki yang cuba menambat hati Jiba? Biarlah rahsia!

Kakak penulis kata, kena tunggu cerita penuh dalam ‘Diari Tengku Anis’.


(Tamat) 

Karya ini versi asal diedit oleh penulis setelah terpilih untuk diterbitkan dalam Antologi Cerpen Adiwarna: Kerana Dia, Ratu Sehari pada tahun 2013.


1 comment:

MaY_LiN said...

Kira bubarla kelab single
President dah letak jawatan
��