Friday, August 21, 2020

[28] Gelap

Karya pendek

Gelap
Oleh Rnysa

28

Tengah hari
#MCODay131 #PKPP
#stayathome #SundayDate

Di luar kian terang.
Dengan sorotan cahaya yang menyinar dek nyalaan lampu minyak tanah.

"Kasihan, walid nak sambut dapat baby baharu dekat luar tapi tiba-tiba walid kena masak pula di rumah. Dah keluar nanti kena sayang walid ya." Pesan Wawa pada anak yang masih dalam kandungan. Dia pandang muka suaminya sedang tenang memasak, sambil usap perutnya berkali-kali. Harap anak mereka yang kali ini dapat membesar dan dilahirkan dengan selamat. Amin!

Tadi mereka cadang nak keluar, tapi tak jadi sebab tak semena-mena dia muntah-muntah. Terus Ammar cadang duduk dan makan tengah hari di rumah sahaja. Dan Ammar pilih nak masak sendiri, masak untuk Nurnya.

Sekarang dok berbunyi keletang-kelutung dekat dapur. Minggu depan orang dah nak sambut raya haji dalam norma baharu ini. Mereka pun tak beli sangat barang basah sebab sudah nak balik beraya. Kali ini rasanya nak beraya di Shah Alam sahaja dengan umi dan walid. Sejak pandemik Covid-19 ini melanda seluruh dunia, semua orang sangat berhati-hati nak ke mana-mana. Wawa tanya juga sama ada Ammar nak pulang beraya di kampungnya atau tidak.

"Kita beraya dekat sini saja, boleh? Ayang kan baru mengandung. Rasa tak sesuai nak bergerak merentas negeri dalam suasana yang tak menentu ni. Tak tahu siapa yang pembawa Covid-19 tapi tak tunjuk simptom. Elok kita berjaga-jaga." Cadang Ammar tadi. Dan Wawa ikut saja mana yang elok.

Wawa menyapu minyak angin pada pangkal dahinya. Dia mengalami morning sickness buat sekian laginya. Nak dapat menimang cahaya mata, beginilah dugaan yang perlu dilalui pula.

Dan hidup manusia tak pernah sunyi dengan ujian, kan. Satu demi satu. Adakala datang serentak, bertubi-tubi banyaknya. Ujian pun banyak tahapnya. Ada yang mudah, ada yang sukar.

Bak Syah kata minggu lepas waktu memerhatikan suami dan rakan sekolah mereka yang main PS game. Tahap kesukaran makin bertambah apabila naik ke tahap seterusnya.

"Dan ada ketikanya kita rasa terlalu lelah dengan ujian yang datang tanpa henti. Dan rasa putus asa pun hadir."

"Syah pernah rasa macam tu tak?"

"Ada. Wawa?"

Wawa menghela nafas panjang. "Mestilah ada. Ujian terbesar dalam sepanjang hidup Wawa hal anak inilah. Sampai satu ketika rasa malas nak balik kampung waktu raya. Nak pergi majlis kenduri apa-apa pun tak semangat. Kalau balik kampung atau pergi kenduri pun, cepat-cepat nak balik. Pergi lambat, balik cepat. Orang yang mengalaminya saja yang faham." Luah Wawa. Dia dapat rasakan Syah menggenggam erat jari-jemarinya.

Wawa pandang Ammar sekali lagi yang senyap memasak. Kadang-kadang dia harap juga Ammar jenis suka berbual dengannya. Tak adalah rasa sunyi sangat. Wawa rasa dia sudah kehilangan topik berbual selepas 13 tahun berkahwin.

Melihat Adam dan Syah yang sentiasa ceria dan berbual mesra bersama kadangkala menimbulkan rasa cemburu di hati Wawa. Bertuahnya Syah yang menjadi pilihan hati kenalannya sejak dari kecil itu.

*Entah mengapa mataku ini
Halaman orang nampak berseri
Laman sendiri berwarna warni
Tak bererti

Wawa mengusap perutnya sekali lagi. Hmm, insya-Allah selepas ini pun dia akan jadi macam Syah. Semoga kehidupan dia dan Ammar lengkap dengan anak. Dapat seorang pun tak apa. Wawa sudah cukup bersyukur.

Ammar nampak gembira selepas berita kehamilan kali ini. Cuma dia kata, dia tak nak terlalu gembira. Apa saja kemungkinan boleh terjadi. Mungkin setelah sudah banyak kali mengalami 'kegagalan' yang lalu buat dia rasa begitu. Suaminya itu juga minta Wawa merahsiakan kehamilan kali ini daripada keluarga masing-masing.

Kasihan Ammar! Banyak duit yang dibelanjakan untuk segala macam rawatan kehamilan termasuklah rawatan IVF. Bukannya baru sekali dua, sudah banyak kali juga mereka mencuba selepas 5, 6 tahun tiada anak lagi. Hmmm, sepatutnya Wawa tak komen pasal suaminya yang pendiam itu dan membandingkan pula dengan Adam. Ammar sudah terlalu banyak berkorban untuknya.

*Terlalu asyik memandang bintang
Merenung bulan tinggi di awan
Bumi dipijak
Rumput yang hijau kulupakan

Ammar pandang Nur yang sedang duduk berehat di ruang tamu. Tak ada apa yang lebih membahagiakan selain melihat isterinya sedang tersenyum gembira. Alhamdulillah!

***

#throwback

Zulhijjah 2010
Makkah Al-Mukarramah

Dia khusyuk mendengar bacaan suaminya yang sedang mengalun surah Al-Kahfi. Rutin pagi Jumaat itu dimulakan qiamulail di sepertiga malam. Seperti hari-hari sebelumnya, mereka sempat melaksanakan solat tahajud bersama. Cuma kali ini lokasinya bukan di bumi Malaysia tanahair tercinta. Sekarang mereka berada di tempat kelahiran seorang manusia agung. Nabi Muhammad SAW.

Ayat terakhir dilafaz sebelum si suami mengecup kitab suci itu. Wajah tenang isteri ditatap penuh rasa kasih. “Insya-Allah, kita tangguh setakat ini dulu. Jom bersiap-siap ke masjid.” Katanya sambil tersenyum.

Nun di luar sana, hamparan langit Masjidil Haram masih gelap. Jam tiga pagi waktu tempatan. Namun jemaah dari pelbagai negera tanpa mengira latar bangsa dan warna kulit sudah mula membanjiri perkarangan masjid yang menjadi tempat bersatunya kiblat umat Islam. Limpahan jemaah ini merupakan pemandangan biasa di Mekah. Mungkin sangat luar biasa dengan tempat sendiri, melainkan solat sunat hari raya. Syah dan suaminya turut menyertai kumpulan manusia yang ramai itu.

Tanah Haram. 
Tanah suci.

Adam dan Hawa.
Adam dan Akasyah.

Talbiah.
Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu, ya Allah.

Setiap langkah yang diatur seiring dengan bacaan tasbih di dalam hati. Diri mereka pada hari ini bermula dari sebuah perjalanan yang panjang. Langkah pertama mencari makna diri dan kehidupan. Dalam mendekatkan diri pada Yang Maha Esa. Bagi Syah, langkah kecilnya bermula beberapa tahun ke belakang.

***

Dan dia masih terus gigih melangkah beberapa tahun ke hadapan. Cuma ada kala langkahnya juga terhenti. Pernah tersadung dan jatuh.

"Ya Allah..."

Lantai bilik air licin. Dia terjatuh. Tak lama lepas itu darah pekat mengalir. Dia pegang bahagian perutnya. Anak?

"Abang!!!"

Tergopah-gapah Kaduk menerjah masuk dalam bilik air. "Ya Allah, sayang..." Terpaku dia seketika melihat bahagian kaki Syah yang berlumuran darah.

Wawa, Syah faham. Syah pun pernah merasai kehilangan anak dalam kandungan. Dan bukannya sekali dua. Cuma hanya dia suami isteri dan keluarga terdekat sahaja yang tahu.

"Kita patut banyak bersyukur dengan apa yang kita ada, Wawa. Ramai lagi lelaki dan perempuan yang seusia kita di luar sana masih lagi sendirian tanpa suami atau isteri. Masih ramai lagi menanti rezeki jodoh mereka. Entah apa perasaan mereka apabila tengok orang lain dah ada pasangan dan keluarga sendiri?" kata Syah petang Sabtu itu lagi sambil memerhatikan Khalid Ahmad yang ralit memetik piano dengan Akram di atas pangkuan ribanya.

*Entah mengapa sering terlupa
Rahmat yang tiba berbeza-beza
Untuk semua kurniaan-Nya tak terhingga

(bersambung...)

#RADHA #rezeki #jodoh #anak

Petikan #throwback di atas daripada versi asal prolog RADHA Sweet 17 versi cetak yang pernah dihantar kepada JS Adiwarna pada 1 Februari 2011.

*Kredit lirik lagu:
Merenung Bulan - Aishah

https://youtu.be/6HVmvVhKD94

1 comment:

MaY_LiN said...

Moga diberikan kelapangan, takdir yg baik & rezeki lagi ke sana

Seronok kite dpt baca sambungan kisah kaduk & syah