Thursday, February 18, 2021

[48] Gelap

Karya pendek

Gelap
Oleh Rnysa

48

Pagi
#MCODayTBC #PKP2.0
#stayathome #staygrateful  #stayloyal

Di luar sudah terang.
Juga meriah dengan suara tangisan yang dinanti penuh girang.


23 Januari 2021

"Tahniah, encik. Tahniah, puan." Ucapan tahniah diterima bertalu-talu dari kiri dan kanan.

"Terima kasih, doktor. Terima kasih, misi. Terima kasih semuanya."

Mata Ammar tumpah pada Wawa yang tidak putus mengukir senyuman manis. Walaupun nampak keletihan selepas bersalin secara normal, namun riak wajah isterinya terpancar sinar kebahagiaan.

"Puan, ini anak-anak puan." Salah seorang jururawat yang bertugas meletakkan anak yang baharu lahir satu demi satu ke dalam pangkuan tangan Wawa.

"Alhamdulillah. Syukur atas kurniaan-Mu ini, ya Allah." Wawa sudah berlinangan air mata. 

Kembar empat. Dua pasang. 
Dua orang lelaki, dua orang perempuan. 

"Tahniah, puan." Sang jururawat yang lain turut merasa hiba.

"Terima kasih. Lama saya tunggu..." Dahi setiap seorang anaknya dikecup penuh rasa kasih dan sayang.

Bisikan azan dan iqamah silih berganti. Bilik wad gamat dengan suara tangisan bayi. Ammar tak dapat menahan rasa sebak. Air mata lelakinya tumpah juga.

***

"Tahniah, Ammar dan Wawa." Ucap Kaduk dan Syah penuh ceria di hujung talian.

"Tahniah, Umi Wawa dan Pakcik Ammar." Ucap Arham, Aisyah dan Akram serentak.
 
"Omedetou gozaimasu." Sambung Akram lagi dalam Bahasa Jepun, melafaz ucapan tahniah.

"Pakcik Ammar, kami nak tengok muka mereka boleh tak?" Pinta Aisyah yang sangat teruja.

Ammar halakan kamera telefon pada anak-anak yang sedang tidur lena dalam bakul masing-masing. 

"Wah, ada empatlah. Aisyah masih macam tak percaya waktu ibu beritahu tadi yang Umi Wawa dapat empat orang anak. Semuanya comel-comel." Ujar Aisyah.

"Cho kawaii," kata Arham dalam Bahasa Jepun. Maksudnya, sangat comel.

"Insya-Allah, nanti dah habis PKP kami semua datang ziarah." Kaduk pun tak sabar nak tengok anak-anak kembar sahabatnya itu.

*Ammar menyelak album menyimpan segala gambar lama. Sejak zaman belajar di SERATAS, UK dan juga Jepun. Dalam banyak-banyak gambar, terselit juga kad walimatul urus Kaduk dan Syah. Dia tersenyum sendiri.

Kahwin juga mereka berdua, bisiknya dalam hati.

Macam Wawa selalu kata, Adam dan Syah 'sweet' sangat!

Ammar ambil album gambar yang baharu. Dia letakkan lima keping gambar. Satu gambar keluarga dan empat lagi gambar anak kembarnya seorang sekeping.

Muhammad Amiruddin bin Mohd Ammar.
Muhammad Aminuddin bin Mohd Ammar.
Nur Jannatul Firdaus binti Mohd Ammar.
Nur Jannatul Naim binti Mohd Ammar.

Penantian 14 tahun yang bermakna.

Cahaya mata.
Yang dinanti.

Cahaya kasih.
Yang dicari.

Ammar keluar ke dapur sekejap dan nampak kakak kembar Nurnya yang sedang membakar tungku di atas dapur. Ain pulang ke Malaysia semata-mata mahu membantu urusan Wawa - sebelum dan selepas bersalin dan waktu dalam pantang di rumah umi dan walid mereka di Shah Alam ini. Dapat empat orang cahaya mata sekaligus, memang tak menang tangan Wawa dan Ammar dibuatnya. Lagipun ini merupakan pengalaman pertama buat mereka berdua, jadi banyak perkara baharu yang perlu dipelajari.

"Terima kasih, Ain. Sebab banyak tolong kami berdua." Ucap Ammar waktu berselisih nak ambil air masak.

"Ini saja Ain boleh buat untuk adik Ain. Waktu Ain sedang dalam pantang dulu pun dia banyak tolong Ain."

Ain masih ingat lagi waktu itu. Di mana dalam masa yang sama Ain sedang bermasalah dengan suaminya juga. Rumah tangga mereka dilanda badai dan akhirnya karam di tengah lautan.

Seperti biasa, penuh tertib Ammar memberitahu dia nak ke bilik Wawa dan dia semula.

Melihat Ammar yang setia, Ain rasa Wawa sangat bertuah memiliki suami yang sanggup bersamanya di saat perkahwinan mereka diuji. Kini, Allah memberi ganjaran yang berlipat kali ganda dengan kehadiran dua pasangan anak kembar.

Lelaki yang setia pada yang satu, bisik Ain dalam hatinya.

Ain ada juga terdengar panggilan video daripada Adam sekeluarga masa di hospital tempoh hari.

Keluarga yang sangat bahagia. 

Pasangan itu juga dianugerahkan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi. Setakat yang Ain lihat sehingga ke hari ini, tiada yang dapat menggugat kebahagiaan mereka. Kasih sayang Adam sangat teguh terhadap Akasyahnya.

Kini Ain sudah beberapa minggu berada di Malaysia.

Seperti biasa, Ain masih diburu persoalan yang sama: Bila Ain nak kahwin lagi?

Juga seperti biasa, Hanif cuba menghubunginya lagi. Ajak rujuk dan jadi isterinya semula.

Ain melepaskan keluhan berat. Sampai bila baru Hanif akan berhenti mengejarnya?

Dan yang dicari tanpa diminta.
Dan yang dinanti tanpa dipinta.

Lama kemudian, azan zohor sayup-sayup berkumandang dari corong menara Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah. Bandar Shah Alam terasa sepi buat Ain... saat ini.

***

Di rumah Kaduk sekeluarga waktu itu...

"Ibu, Aisyah nak adik baharu boleh tak?" tanya Aisyah tiba-tiba.

Syah ketawa saja tanpa jawapan.

"Ayah, boleh tak?" Aisyah menyoal pada ayahnya pula.

"Kena tanya ibu dulu. Ayah okey saja." Kaduk senyum.

"Cho kan ada. Dah ada adik dah ni." Akram mencelah, tak puas hati.

"Cho tu dah besar panjang dah. Angah suka tengok bayi comel macam yang Umi Wawa punya."

Arham hanya geleng kepala tengok kerenah adik-adiknya.

"Ibu, Angah nak adik lagi. Boleh?" Aisyah cuba sekali lagi.

Diam lama. 

"Tanya dekat ayah." Syah senyum malu dekat Kaduk.

Aisyah terus tepuk dahi. "**Komatta na..."

(bersambung...)

#RADHA #staywiththeone #staywithGod

*Petikan pendek di atas daripada versi asal online Facebook Posting yang ditulis pada 28 November 2015.

**Komatta na : This is an expression that you can use when you are in a deep trouble and want to make fun of yourself or the situation you are in.


📷: Pinterest



2 comments:

MaY_LiN said...

Alaaa..silap nama lak..
Bukan ashraf tp hanif ��
Tahniah wawa & ammar
Bestnya ada baby..
Pandai aisyah pujuk ibu ayah nk adik baru..Yippie!!
Kesian cho..tergugat sebagai anak bongsu

Deeba said...

Hahahahahah.... alhamdulillah...kesabaran ammar & wawa sangat manis ganjarannya