Tuesday, February 16, 2021

[47] Gelap

Karya pendek

Gelap
Oleh Rnysa

47

Petang
#MCODayTBC #PKP2.0
#stayathome #stayhealthy #stayfit

Di luar semakin terang.
Seterang kisah silam yang pernah cuba dipendam, yang telah lama hilang.

Alhamdulillah, lepas dapat melawat pusara dan balik kampung hari itu Syah rasa yang dia sudah okey sedikit. Dapat lepaskan rasa rindu kepada mereka yang sudah pergi dan juga keluarga di kampung.

Menjelang hari-hari terakhir bekerja, sejak awal pagi Syah sudah tiba di Institut Perubahan Iklim (IPI) Bangunan Pusat Pencerapan Bumi, Universiti Kebangsaan Malaysia. Datang menguruskan apa yang patut sebelum bermulanya cuti tanpa gaji selepas cuti perayaan Tahun Baharu Cina.

Sebelum mahu memulakan perjalanan pulang ke rumah, terserempak pula dengan rakan sekerja yang juga merupakan salah felo penyelidik sepertinya juga, Dr. Siti Hazneza Abdul Hamid.

"Dah hari terakhir dah, Syah?"
"Belum lagi, Neza. Sebelum cuti raya cina nanti." Kata Syah sambil letak barang yang diangkutnya ke dalam bonet kereta.

"Awak dah cuba buat yang terbaik, Syah. La hawla wa la quwwata illa billah. Dah beri cinta, masa dan perhatian. Khalas. Selebihnya serah pada Allah." 

Syah mengangguk faham. Mujur dapat rakan sekerja yang baik dan memahami macam Neza.

"Kita tak boleh asyik analytical dan critical thinking banyak sangat.  Kena design thinking. Kena cari penyelesaian." Kata Neza panjang lebar.

"Saya ni pula... husband thinking." Syah gelak. "Maksudnya, ikut nasihat dan solusi daripada encik suami. Tak nak dia dan keluarga risau." Seperti biasa, Syah buat teorinya sendiri.

Apabila Kaduk sudah banyak kali cakap, jadi lambat-laun dia kena ikut juga kalau itu pilihan yang lebih baik. Sudah kahwin banyak tahun, faham juga cara suami sendiri. Dan apabila permintaan atau nasihat Kaduk dipenuhi, selalunya dengan senang hati Kaduk menuruti permintaan Syah juga. Kadangkala tak minta pun dia beri lebih. 

Kata Kaduk, "Isteri yang taat itu lebih dikasihi oleh suaminya, daripada yang suka melawan dan merungut."

Ya Allah, terus tak jadi nak melawan kata-kata suami kan. Pandailah Kaduk main pengaruh minda bawah sedar @ subconscious mind dengan dia.

Rasanya pun dia sudah jadi terlebih sopan santun sejak lepas kahwin dengan Kaduk. Ewah, sempat lagi Syah nak perasan seorang diri. Tapi, siapa lagi nak beri motivasi dekat diri sendiri melainkan diri orang itu juga.

"Baguslah kalau macam tu. Kirim salam dekat Encik Kaduk awak dan juga anak-anak. Tak sempat nak datang berziarah dan tengok rumah baharu." Neza senyum-senyum.

Neza pernah ternampak Encik Kaduk si Syah waktu awal-awal Syah kerja dulu. Dapatlah nampak sipi-sipi sahaja sebab suaminya pakai cermin mata hitam sambil menunggu Syah dalam kereta. Ramai yang pernah tengok kata suami Syah ini orangnya boleh tahan segak juga. Sejak tahu hal itu, dia pun teringin nak tengok juga bagaimana rupa segak orang kacukan Banjar-Belanda. Naklah juga tengok rumah dan tuan rumahnya sekali!

"Maaflah, cadangnya memang nak buat makan-makan sikit. Tapi dah PKP balik, tak boleh buat apa."

"Tak apa. Ada rezeki dan kelapangan nanti, insya-Allah saya datang bawa Encik Anuar dan anak-anak saya sekali. Apapun, syok na naik rumah baharu, Syah." Kata Neza lagi.

"Alhamdulillah, dapat tumpang rezeki suami. Sekarang ini suami beli kolam renang yang hat jenis plastik tu, anak-anak dok syok dapat main air setiap hari." Tiba-tiba Syah pun tukar cakap slang utara sebab ikut Neza yang memang asalnya orang Penang.

Neza tergelak. "Seronok la anak-anak dapat main air lagu tu."

"Tu pun kena pesan tak boleh mandi kolam selalu. Jenuh bil air naik tinggi nanti. Ibu dah tak kerja dah. Kasihan dekat ayah." Syah ketawa teringat Akram yang hari-hari cuba pujuk ayahnya tolong isi angin untuk kolam renang. Mujurlah Kaduk jenis tegas sedikit, jadi Akram tak berani nak melawan kata. 

Cuma waktu Akram buat-buat merajuk sambil tekun termenung tengok National Geographic yang tunjuk ikan paus dan ikan lumba-lumba sedang melompat gaya bebas apa semua, akhirnya Kaduk rasa kasihan dan beri muka juga. Gembira sakan Akram boleh buat aksi sukan terjun papan ajal, kuak renang kupu-kupu dan lain-lain.

Rasanya waktu mengandungkan Akram, Syah banyak menonton dokumentari National Geographic dan... mungkin juga sukan Olimpik untuk acara akuatik? Terkenan dapat dekat anak jadinya.

"Air kolam boleh buat siram pokok bunga."
"Ya, betul. Kitar semula buat air siraman."

Mujur rumput karpet yang dipasang di kawasan rumah, Syah tak perlu siram sendiri. Walaupun luasnya cuma orang kata sekangkang kera sahaja, Kaduk sudah siap pasang sistem penyiraman automatik. Kaduk tahu isterinya kadangkala jenis pelupa; lagi-lagi melibatkan hal dekat luar rumah nak kena pakai tudung sebelum keluar. Rugilah ada yang mati kering tak berjaga.

"Oklah, minta maaf kalau ada salah silap sepanjang perkenalan. Kalau rindu dekat saya, boleh mesej dan telefon saja." Kata Syah.

"Samalah. Awak pun jaga kesihatan juga." Pesan Neza pada rakan seusianya itu juga. Masing-masing sentiasa memperingatkan antara sama yang lain.

***

Akram main selak langsir berkali-kali, tapi dia tak nampak kelibat kereta ibunya lagi.

"Bila ibu nak sampai rumah?" Akram pandang ke luar dengan wajah yang sedih. Seharian dia menunggu ibu tanpa jemu.

"Angah, ibu cakap tadi ibu balik pukul berapa?" Tanya Akram kepada kakaknya yang sedang duduk-duduk dengan Che Putih, kucing parsi putih hadiah hari lahirnya tahun lepas.

Aisyah tengok jam dinding. "Pukul lima," jawabnya sambil usap kepala Che Putih. Lalu Che Putih pun mengeliat manja.

Akram pun ikut lihat jam.

Pukul lima.

Jarum pendek tunjuk angka lima, jarum panjang angka dua belas. Lagi sepuluh minit, kira Akram dalam hatinya.

"Jom makan dulu, Cho. Sekejap lagi ibu balik." Kaduk letak cucur ikan bilis yang baru digorengnya di atas meja makan.

Tengah hari tadi Akram makan sedikit sangat sebab ibunya tak ada. Pagi tadi dia tertidur dan sedar-sedar ibunya sudah pergi ke UKM. Sepanjang pagi juga dia menangis dan meragam. Dia ingat dia kena tinggal dengan ibunya.

"Kan ibu dah cakap semalam, ibu masuk pejabat hari ini." Lembut suara Syah menutur di hujung talian.

"Nak ikut ibu." Akram sudah bergenang air mata.

"Ibu pergi kerja, sayang."

Kaduk pandang Akram yang berdiri di sebalik langsir. Entah berapa kali Akram minta telefon Syah hari ini. Kalau Kaduk yang masuk pejabat, tak pula Akram begitu.

"Ibu tengah kerja, Cho. Tak boleh kacau ibu, nak asyik telefon selalu." Kaduk cuba memujuk. Dahlah dia tengah nak bekerja, Akram pula asyik minta telefon dia.

"Arham, tolong ajak adik-adik makan." Kaduk pandang anak sulungnya itu.

Penuh berhati-hati Arham meletakkan dulang yang berisi teko air teh dan cawan.

"Ibu!" Terdengar jeritan si kecil.

Gembira betul Akram nampak ibunya balik. Lagi teruja dia sebab ibu main hon pula.

Pin, pin!

"Ayah, tolong buka pintu cepat. Ibu dah balik..." Akram buat suara macam nak menangis. Lebih kepada gaya macam menangis mengada-ada, dibuat-buat sebenarnya. "Ibu..."

Syah keluar dari kereta dan berjalan menuju ke pintu rumah.

"Ya, sayang. Tunggu ibu, ya? Cuba ke tepi sikit ayah nak buka pintu gril."

Si anak beria-ia merengek lagi. "Ibu..."

"Macam mana ayah nak buka pintu kalau Cho berdiri depan ni?" Kaduk hanya mampu menggelengkan kepala tengok keletah anak bongsunya itu.

"Ibu..." Akram buat gaya hentak-hentak kaki pula, sudah tak sabar nak dakap ibu.

"Akram, Akram..."

Allahu akbar, Akram buat gaya begitu macamlah ibu pergi dihantar mengikuti misi ke bulan sampai lama tak balik-balik ke bumi.

***

Beberapa hari kemudian.
Petang hujung minggu yang indah.

"Encik ni yang datang hospital hari tu, kan?" Tegur Doktor Ashraf.

"Ya, saya. Doktor duduk sinikah?" Kaduk berhenti berjogging di taman berhampiran dengan rumahnya. 

"Ya. Anak?" Mata Doktor Ashraf jatuh pada anak kecil yang wajahnya mirip seperti lelaki di hadapannya itu.

"Haah, anak saya yang sulung. Arham namanya. Ada lagi dua orang dekat rumah dengan ibunya."

Doktor Ashraf dan Arham saling berbalas senyuman.

"Oh, kebetulan kita jumpa. Sebenarnya saya dah lama bertanya tentang isteri encik. Dia asal orang mana? Sebab muka kakak saudara saya seiras betul dengan dia."

"Isteri saya orang Perak. Kakak saudara doktor pula orang mana?"
"Mak ayah dia asal orang Perak juga."

"Nama dia?"
"Tun Aminah Tun Abdullah Ismail."

Kaduk tergelak. "Mungkin saudara mara isteri saya. Isteri saya pun sebenarnya ada darah keturunan Tun juga."

"Oh, patutlah..."

"Bila-bila lapang, jemputlah datang ke rumah. Nak singgah sekejap hari ini pun boleh juga."

Terus Ashraf bersetuju pergi singgah sekejap di rumah kenalan baharunya itu. Syah malu-malu juga doktor yang pernah merawatnya datang ke rumah tiba-tiba. Mujur ada masak bubur jagung sebab Arham nak makan buat minum petang. Ada juga benda nak dijamu buat tetamu yang datang. Sudah adat orang Melayunya begitu.

"Jemputlah minum, doktor." Pelawa Kaduk sambil tuang air teh ke dalam cawan.

Selepas itu Kaduk tunjuk album gambar mereka berdua sekeluarga juga kepada Doktor Ashraf. Sampai gambar Kaduk dan Syah dekat Hotel Royale Chulan Penang, Doktor Ashraf merenung lama sambil tengok wajah mereka berdua. Dahinya berkerut seperti cuba mengingati sesuatu.

"Saya rasa macam kenal gambar ini. Sayalah yang tolong tangkapkan gambarnya." Doktor Ashraf senyum.

"Patutlah rasa kenal dengan encik. Kita memang pernah berjumpa sebelum ini." Doktor Ashraf tunjuk gambar lama mereka berdua di hadapan bangunan Hotel Royale Chulan.

"Oh, gambar lama ni. Masa pertama kali bawa isteri pergi jalan ke Penang." Gambar waktu lepas mak Syah meninggal dan ayahnya baru kahwin lagi.

Selepas itu, banyak kali juga Kaduk bawa Syah dan anak-anak bercuti ke Penang dan menginap di hotel tersebut, kalau mereka sekeluarga berkesempatan pulang ke Malaysia. Syah sangat suka suasana hotel yang masih mengekalkan senibina asal dari zaman kolonial British itu. Apa sahaja yang Syah suka dia akan cuba tunaikan.

Penang.
Kenangan. 

Perak.
Rinduan.

Bila rinduan jadi kenangan.

Kenangan menelurusi Pengkalan Weld sambil menikmati pemandangan bangunan ala-ala berada di negara Eropah, bermain-main di mata Syah. Rasa macam berasa di set pengambaran filem Titanic waktu Rose tiba di pelabuhan.

Alangkah bagusnya kalau lebih banyak drama televisyen dan filem yang mengangkat nilai budaya dan sejarah Malaysia. Namun nilai komersial juga tidak dilupakan.

Dalam satu webinar yang Syah sertai yang menampilkan seorang pelukis terkenal tempatan, Yusof Gajah ada menyatakan sekiranya nak bawa sesuatu karya ke luar negara lebih mudah bawa sesuatu yang ada unsur nilai tempatan.

Agaknya sebab itu dalam beberapa tahun kebelakangan ini negara seperti  Korea lebih maju ke hadapan dalam membawa dan memasarkan produk muzik, drama dan filem mereka.

Sampaikan makanan mereka pun menjadi trend kegemaran bagi sesetengah warga Malaysia. Dan, salah seorang peminat tegar kimchi, si Adeilah. Mujurlah tak pilih oppa dari Korea juga. Tapi waktu majlis kahwin hari itu disuruhnya Ed potong rambut style korea dan warnakan rambutnya yang agak beruban.

"Dah macam penyanyi k-pop aku tengok kau ni, Ed." Usik Pinto.

Adeilah yang turut mendengar tersenyum panjang. "Betul. Macam penyanyi BTS, Bae." Pujinya pada suami yang baru dinikahinya itu.

Syah tergelak. "Bertabahlah kau lepas ni, Ed."

Ed sudah buat muka pasrah sambil mengelus rambutnya. Kaduk pula hanya mampu tepuk bahu adik iparnya berkali-kali, memberi semangat.

"Oh, yang ini pun saya kenal juga." Kata Doktor Ashraf tiba-tiba. "Doktor Nur Jannatul Adnain..." 

(bersambung...)

#RADHA #penang #perak

Untuk hukum mewarnakan rambut, boleh rujuk di sini:
https://www.muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/2405-al-kafi-742-hukum-mewarnakan-rambut-dengan-warna-hitam

Kredit dialog Dr. Siti Hazneza Abdul Hamid daripada beliau sendiri (Doctor-to-be, insya-Allah). Terima kasih untuk kata-kata yang menarik, Cikgu Neza.


1 comment:

MaY_LiN said...

Mesti segak arham kalau serupa kaduk
Syah nk benti kerja dah ke?
Oh ooo..rasanya dr ashraf tu ex ain kan?
Berkenalan lak ngan famili kaduk