Saturday, February 13, 2021

[46] Gelap

Karya pendek

Gelap
Oleh Rnysa

46

Pagi yang sepi
#MCODayTBD #PKPB
#tohserinaradiraja #peraknegeriku

Di luar tidak gelap.
Hanya sinaran cahaya mentari yang lembut menyimbah pusara 'malaikat kecil' tanpa sayap.


Sebelum PKP2.0...

Sebaik sahaja kerajaan memberi kebenaran untuk merentas negeri, Kaduk sekeluarga ambil peluang itu untuk pulang ke kampung Syah di Perak. Kaduk mahu bawa Syah yang ingin melawat pusara maknya.

Dalam perjalanan, mereka singgah sebentar di pusara anak-anak mereka yang pernah keguguran, meninggal dalam kandungan sebelum ini. 

Kaduk pegang tiga batu nisan kecil yang padanya tertera tiga nama.

"Ini kubur siapa, ayah?"
"Cuba Cho baca tulisan dekat batu nisan."

"Carl Duke Abdullah bin Carl Duke Adam."
"Ini abang Cho yang sulung. Sebelum Along Arham. Tapi tak sempat lahir, Allah sayang dia lagi."

Akram baca batu nisan kedua pula.

"Carl Duke Ahmad." 
"Yang ini adik bawah Cho. Allah sayang dia juga."

"Ada yang seorang lagi dekat Jepun kan, ayah?" Celah Aisyah.
"Betul, Angah. Yang itu Nurul Alisyah. Kuburnya yang betul di sana, cuma ayah letak batu tandanya di sini."

"Nurul Alisyah." Ulang Akram sekali lagi.

"Kubur kecil yang kita lawat sebelum balik Malaysia dulu. Cho ingat tak?" Celah Arham.

Akram mengangguk perlahan. Dia pandang ibu yang senyap sahaja dari tadi. Terus dia pegang tangan ibu, beri semangat dekat ibu. Dan ibu balas dengan senyuman manis kepada Akram seperti selalu.

"Dah, jom kita sedekahkan yaasin. Lepas ini nak balik Perak pula." Kaduk hulur buku bacaan tahlil seorang sebuah.

Lamanya ibu tak melawat anak-anak ibu, kata Syah dalam hatinya sambil usap batu nisan yang diukir dari batu sungai itu satu demi satu.

***

Pertama:
Carl Duke Abdullah bin Carl Duke Adam.

Anak yang sulung sebelum Arham. Yang keguguran waktu Syah tergelincir dalam bilik air. Kesan jatuh tergelincir waktu itu masih ada sampai sekarang. Ada kalanya Syah sakit dekat bahagian pinggangnya. Sudah banyak kali pergi berurut pun masih tak sembuh sepenuhnya.

Kedua:
Carl Duke Ahmad bin Carl Duke Adam.

Anak yang ini pula Syah mengandungkannya selepas Akram. Masa nak melahirkan Akram, Syah banyak tumpah darah dan mengalami sedikit komplikasi. Selepas itu, Syah selalu tidak berapa sihat dan mudah jatuh sakit. Anak dalam kandungan gugur jua akhirnya. 

Ketiga:
Nurul Alisyah binti Carl Duke Adam. 

Anak yang ini pula Syah mengandung sekali lagi selepas keguguran Ahmad. Unplanned pregnancy, tak sangka pula rezeki datang. Cuma, masa mengandungkan Alisyah pun Syah banyak kali tak sihat. Gugur lagi. (Terima kasih kepada Adeilah yang sanggup datang ke Jepun, tolong teman dan jaga waktu Syah dalam pantang.) Sebenarnya anak mereka seorang ini dikebumikan di Jepun. Kaduk buatkan batu tanda, bersebelahan dengan yang dua orang anak mereka lagi.

***

Usai bacaan tahlil ringkas, mereka sekeluarga bergerak menuju ke Perak pula. Syah melepaskan pandangan ke tanah perkuburan dengan perasaan sayu.

Abdullah, Ahmad dan Alisyah... nanti tunggu ibu ayah dan adik-beradik lain di syurga, ya? Bisik hati Syah lagi.

Selepas mak pergi dan kemudian Abdullah pula meninggal sebab keguguran, Syah sebenarnya sudah tak kuat sangat. Ditambah lagi dengan mama Kaduk yang sukar nak terima penyakit yang Syah hadapi dan juga ada suara tak menyenangkan dari saudara-mara sebelah Kaduk.

Apabila dapat rezeki tawaran sambung PhD, terus Kaduk terima dan bawa Syah sekali ke London. Waktu dia temankan Kaduk, mereka dapat Arham. Arham dilahirkan beberapa bulan sebelum Kaduk tamat belajar.

"Double joy, double happiness." Kata Kaduk, penuh rasa gembira. "Dapat PhD dan dapat anak. Syukur alhamdulillah."

Waktu itu memang nampak Kaduk ceria dan gembira sungguh, terutamanya masa majlis graduasi. Waktu semua ahli keluarga Kaduk yang lain, Freddy dan Nana ada bersama, Kaduk senyum tak henti.

Paling Syah bersyukur anak-anak tak ada simptom mana-mana penyakit yang dia ada. Itu yang paling dia risaukan selama ini. Dia tak nak ada antara anak-anak yang dapat masalah kesihatan yang dia alami. Sebab itu dia sedaya upaya jaga elok-elok zuriatnya sejak dari dalam kandungan lagi. Memang Syah selalu berdoa sungguh-sungguh pada Allah supaya dijauhkan apa-apa yang tidak elok.

Tapi Kaduk selalu nasihatkan dia, "Kalau dapat anak yang sakit pun kita akan jaga macam biasa. Kita sayang sama rata semuanya. Abang tak nak Syah rasa bersalah sebab penyakit Syah."

Waktu lepas Kaduk lamar Syah di Jepun dulu, Syah sudah ceritakan semuanya. Syah tak nak sorok-sorok dengan Kaduk. Syah mahu hubungan mereka bermula dengan kejujuran. Waktu cerita dengan Kaduk, dia redha sahaja sekiranya Kaduk bertukar fikiran dan pilih orang lain.

"Kenapa perlu beritahu semua ni?"
"Aku tak nak kau tersilap pilih. Kau kawan aku, Kaduk."

Diam lama.

"Sebab itu kau payah nak terima lamaran aku? Sebab itu kau ambil masa nak fikir apa yang aku cakap? Sebenarnya selama ini kau risau fasal masa depan aku?"

"Ya. Kau kawan aku, Kaduk. Aku nak tengok kau bahagia. Kalau kau kahwin dengan aku, aku dah ada penyakit. Ada certain pre-condition."

"Andai kata, kau tak ada semua penyakit itu. Tapi kau dapat lepas kahwin dengan aku, kau rasa aku akan tinggalkan kau? Aku nak yang elok-elok saja untuk diri aku? Macam itu?"

"Kau tanyalah dulu dekat keluarga kau. Okey ke tak, boleh?"

"Aku yang nak kahwin dengan kau, Syah. Aku yang nak hidup dengan kau nanti, Syah."

"Kaduk, tolonglah. Tanya dulu sama ada keluarga kau boleh terima orang macam aku atau tak."

"Kalau kau sakit sebelum atau selepas kita kahwin, aku terima saja. Sebab aku..."

Aku sayang dekat kau, Syah. Aku dah tak boleh fikir fasal perempuan lain selain kau, Syah. Aku nak kau ada dalam hidup aku, Syah.

Namun, kata-kata itu tidak terluah daripada mulut Kaduk.

Diam lagi.

"Esok kita jumpa, boleh?"
"Kita dah janji tak keluar berdua..."
"Aku ajak Ammar sekali. Boleh?"

Tapi waktu jumpa Kaduk di sebuah kafe berdekatan tempat tinggal Syah, Ammar tak dapat datang sebab ada hal lain di saat-saat akhir. Hanya mereka berdua sahaja.

Sepi mengisi ruang di antara mereka.
Bunyi cawan dan sudu bertingkah kedengaran di sana sini.

"Insya-Allah, aku boleh jaga kau, Syah. Jangan risau, okey? Aku ada Mama, Kak Ngah dan Grandma. Mama dan Kak Ngah... mereka itu doktor. Grandma pula pakar psikologi sebelum ini. Insya-Allah, Papa, Kak Long dan Adik pun boleh faham keadaan kau. Kau pun tahu keluarga aku macam mana, kan? Adik pun sangat suka dan sayang pada kau, Syah. Kau pun tahu, kan? Kita kahwin, ya?"

Syah tunduk bawah, tak pandang langsung muka Kaduk.

Dia sanggup jaga kau, Syah. Dia sanggup terima diri kau seadanya, Syah. Kalau kau tolak Kaduk sekarang, kau rasa ada sesiapa lagi boleh terima kau macam dia selepas ini? Rezeki yang baik tak datang selalu, Syah.

Kaduk hulur tisu yang diambilnya dari atas meja apabila nampak air mata Syah menitis.

"Syah, kita kahwin ya? Lepas ini... aku jaga kau, kau jaga aku. *Kita jaga kita."

*Kita jaga kita. Dia nak jaga kau, Syah. Dan kau pun sama juga, kan?

"Aku dah hantar rombongan merisik ke rumah kau seperti yang kau minta. Sekarang aku hanya tunggu jawapan kau. Semalam pun aku dah terus tanya kepada grandma dan papa lepas kau telefon aku beritahu semua itu. Alhamdulillah, mereka tak kisah keadaan kau. Mereka boleh terima kau, Syah."

"Mama kau?"
"Insya-Allah, yang lain-lain kita boleh beritahu apabila tiba masanya."

"Kita kahwin, okey?"
Syah, tolonglah cakap "Ya, saya setuju."

Syah pandang ke luar. Hujan turun dengan lebatnya, selebat hujan di hatinya sekarang.

"Hmmm, jomlah kita balik. Hujan dah nak makin lebat nanti. Sekarang dah nak masuk aki." Kata Syah tatkala lihat langit yang makin gelap dan hujan yang kian lebat.

Aki. Musim luruh.
Sudah nampak daun mulai gugur.

Kaduk hirup habis kopi hazelnut latte di hadapannya. Ikut saja rentak Syah hari itu. Dia tak nak memaksa.

"Jom."

Waktu mereka berdua berdiri di anjung kafe, baru Syah teringat yang dia terlupa bawa payung.

"Nah..." Kaduk kembangkan payung untuk buah hatinya.

"Kau punya?"

"Ada ni..." Kaduk bawa keluar sekaki payung lagi dari beg sandangnya. Memang dia bersedia bawa dua. Dia sudah dapat agak mungkin Syah terlupa. 

"Mujur bawa payung." Kaduk senyum.

"Kalau tak bawa?" 
"Tak ada pilihan lain. Kita redah hujan bersama-sama."

Syah dan Kaduk tersenyum serentak. Kemudian masing-masing tunduk atau cuba tengok tempat lain sebab sudah malu.

"Dah, jom gerak." Ajak Kaduk.

Kaduk mula buka langkah, Syah mengikut dari belakang. Setiap langkah yang Kaduk pijak, lepas itu Syah pun pijak bekas setiap jejak langkah Kaduk. Kaduk berpaling ke belakang dan perasan apa yang Syah buat. Dia pun berhenti tiba-tiba sampai Syah hampir terlanggar dia.

"Buat apa ni?" Kaduk tanya tentang sesuatu yang sudah terang lagikan perlu bersuluh.

Syah geleng kepala laju-laju.
Diam, tertunduk malu.

"Kalau cakap saja 'ya' dah boleh jalan bawah satu payung? Kita ajak nikah cepat-cepat tak nak pula."  Usik Kaduk, pura-pura merajuk.

"Ish, mengarut saja. Dah sampai eki. Pergilah balik."

"Amboi, tadi dah teman dia menangis. Tapi sekarang dia halau kita pula."

"Tak elok, tak manis." 
"Yalah. Jaga diri tau. Kalau ada apa-apa, boleh telefon saja. Jangan pendam seorang diri."

Syah rasa sebak balik.

Cepat-cepat Kaduk hulur sapu tangan dari dalam beg sandangnya pada Syah. Tadi masa nak keluarkan payung baru perasan ada bawa sapu tangan, yang kadangkala dijadikan alas sejadah tempat sujud kalau terpaksa berhenti solat di mana-mana.

Kaduk sudah pergi, hilang ke dalam stesen kereta api. Namun, Syah masih berdiri di tengah hujan lebat.

Cincin dan surat.
Sapu tangan dan payung.

Bolehkah Kaduk jadi payung, tempat dia tumpang berteduh?

Payung waktu panas.
Payung waktu hujan.
Payung waktu bila-bila perlu.

***

Carian Google membawa Carl Duke Akbar ke laman web rasmi Pejabat D.Y.M.M Paduka Seri Sultan Perak. Untuk acara Istiadat Pertabalan Sultan Perak, antaranya ada tertulis di situ:

Setelah memberi hormat, dulang berisi PEDANG CURA SI MANJA KINI dibawa naik oleh RAJA CHIK MUDA PAWANG DIRAJA ke Singgahsana hingga ke tingkat dua, bertelut memohon ampun DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI SULTAN dan menyembahkan PEDANG CURA SI MANJA KINI ke bawah DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI SULTAN.

Baginda menerima pedang tersebut, menghunus mata pedang lalu mengucup. Selepas RAJA CHIK MUDA PAWANG DIRAJA mengundur diri dari Singgahsana, TOH SERI NARA DIRAJA berjalan masuk ke Balairong Seri dan terus naik ke Singgahsana hingga ke tingkat dua dan mempersembahkan MASTIKA EMBUN dan menyunting CAP HALILINTAR ke telinga kanan DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI SULTAN sambil membisikkan "RAHSIA NISAB SULTAN I".

TOH SERI NARA DIRAJA.
Yang ini jawatan Ketua Bentara Istana milik warisan turun-temurun untuk keturunan keluarga isteri Adam.

Cuma, jawatan itu sudah diambil alih daripada keturunan Muntah Lembu cabang Lambor ke keturunan Muntah Lembu cabang Senggang. 

Orang yang terakhir dari leluhur keturunan itu yang memegang jawatan tersebut adalah Toh Seri Nara Diraja Dayan, adik kepada Toh Kesumba Long Sharifah binti Toh Seri Nara Diraja Pandak Manan. Beliau telah dibuang negeri bersama dengan Sultan Ismail dan beberapa pembesar lain ke negeri Johor dan akhirnya meninggal dunia di sana.

Tadi sebelum bertolak pulang ke kampung halaman Akasyah, Adam sekeluarga singgah untuk makan tengah hari. Sempatlah Akbar bertanya satu, dua perkara kepada Akasyah. 

Akbar terus mencari maklumat. Seperti arwah bapanya, dia juga meminati bidang sejarah. Sejarah keturunan Akasyah di Internet itu sangat menarik perhatiannya.

Sejarah. 
Yang tinggal.

Maruah.
Yang hilang.

Pabila hilang sejarah dari muka bumi.
Pabila tinggal maruah dek muka sendiri.

***

R&R Tapah.
Lebuh Raya Utara-Selatan.

"Along, Angah, Cho. Bangun."

"Kita dah sampai ke, ayah?"
"Belum lagi, Along. Kita baru sampai Tapah."

"Dah sampai kampung, ayah?"
"Belum, Angah. Kalau nak pergi bilik air, ikut ibu. Along dan Cho ikut ayah."

"Cho nak ikut ibu."
"Cho kan lelaki. Dah besar panjang pun. Kena ikut ayah, okey?"
"Okey."

Masing-masing keluar dari kereta dan menuju ke bilik air. Kemudian, singgah makan mee rebus dan pekena teh tarik di Pak Tam Cafe. Sebelum naik kereta, sempat juga beli buah-buahan dan Kuah Rojak Kacang Mak Bee yang popular itu untuk buah tangan keluarga di kampung nanti.

"Ibu, Angah nak waffles. Yang peanut butter." Kata Aisyah sambil tarik lengan baju Syah apabila lalu depan kedai jual makanan tersebut.

"Yang lain nak tak?" Syah pandang anak-anak yang lain.

"Cho nak yang coklat." Laju Akram angkat tangan.

"Along?"

"Tak apa, dah kenyang." Jawab Arham yang memang jenis tak makan banyak sangat dan tak campur makan macam-macam sejak dari dulu lagi.

"Dik, saya nak beli yang peanut butter dua dan coklat satu." Syah pun nak makan sama. Kalau tak habis, macam biasa boleh beri kepada Kaduk.

"Tambah lagi satu jagung dalam cawan, dik." Kaduk mencelah. Bau jagung manis tambah majerin dan susu pekat itu menggoda pula.

"Dualah, ayah. Along pun nak juga." Arham suka jagung manis. Ayah beli, dia pun nak tumpang sekaki juga.

"Maaf, dik. Tolong buatkan dua cawan."

Adik penjual mengangguk dan pantas tekan pesanan di mesin kira. Kaduk keluar dompet dan membayar harga kesemuanya.

Perjalanan diteruskan. Meriah sungguh mereka sekeluarga makan dalam kereta.

Semakin lama memandu, semakin hampir mereka tiba ke destinasi. Dari bangunan tinggi dan gunung-ganang yang menghijau, kini petak sawah padi pula menjamu pandangan mata.

Mak, Syah dah balik.

(bersambung...)

#RADHA #sejarahkeluarga

*Kredit: #kitajagakita is an effort initiated by Hanna Alkaf, an award-winning Malaysian author and #KitaJagaKita team member to assist groups that are badly affected by MCO @ Covid-19.

📷: Majlis Perbandaran Kuala Kangsar

1 comment:

MaY_LiN said...

Aaa sedih kisah syah
Ni yg buat sayang kt kaduk
Eh..
Semoga syah tabah