Friday, February 26, 2021

[50] Gelap

Karya pendek

Gelap
Oleh Rnysa

50

Jumaat malam Sabtu 
#MCODay346 #PKP2.0
#stayathome #darimataturunkehati

Di luar makin gelap.
Dan malam hari akhirnya melabuh tirai penutup.


#throwback

Seratas Taiping, 1999
Malam menjelang SPM

CK. Clark Kent.
Sesiapa yang Syah suka akan digelar begitu. Kod khas. Bukan untuk si Carl Duke @ Kaduk itu. Dia bukan CK Syah. Kaduk itu kawan. Kawan lelaki yang sangat baik, tak pernah termimpi untuk dimiliki.

Namun kadangkala Kaduk akan bertukar menjadi penguatkuasa di sekolah. Dia kan headboy. Ketua Pelajar.

Tiba-tiba ada roll call khas buat pelajar Tingkatan 5, di tengah malam yang indah permai.

Di celah keriuhan segala haiwan di Zoo Taiping di hadapan sekolah mereka bersahut-sahutan. Oh, kalau nak tahu... ada juga pelawat zoo yang tersalah masuk pintu sekolah mereka yang difikirnya zoo tertua di Malaysia itu.

Siapakah gerangan yang menimbulkan onar? Sehinggakan si rambut perang yang sedang sibuk buat latihan SPM di saat-saat terakhir terpaksa menangguhkan sesi ulangkaji setelah dipanggil oleh warden yang bertugas pada malam ini.

Amboi, Akasyah serba-serbi tahu sahaja apa yang Kaduk buat ya! Memanglah sebab nampak Kaduk berlalu bersama-sama 'CK'nya tadi. Dengan Ammar. 

Entah-entah ada esok orang besar nak datang. Sultan Perak, misalnya? Dan tuanku mahu bertemu dengan semua pelajar Tingkatan 5 yang akan menduduki SPM tahun ini kerana ingin memberikan kata-kata semangat?

Oh, sejak bila Akasyah pandai buat spekulasi tidak berasas? Syah tersengih sendiri.

Angin dingin dari Bukit Larut yang bertiup di waktu malamnya sedang menyapa lembut pipi Syah saat ini.

"Aduh Kaduk! Cuba bercakap cepat sikit boleh tak?" Omel Syah seorang diri. Dia sudah tersenguk banyak kali menanti pelajar putera yang masih tak turun dari 'singgahsana' asrama di seberang sana.

Kaduk tebar pandang ke barisan pelajar puteri. Dalam ramai-ramai, wajah Syah yang sedang menguap beberapa kali ditatapnya. Comel! Kaduk tersenyum seorang diri.

"Bos, warden tengah panggil kau. Dah-dahlah tenung budak koir tu..." Pinto perasan mata Kaduk merayap pergi mana, terus disikunya kawannya itu.

Ammar hanya geleng kepala. Perasan juga pandangan Kaduk asyik terarah pada siapa. 

Ed yang berdiri di belakang Kaduk turut tersenyum panjang.

Kaduk pandang kawan-kawan ahli majlis pelajarnya. Pinto di sebelah kiri, Ammar di sebelah kanan dan Ed di belakangnya.

"Bila masa aku tenung dia?"

Pinto terlepas gelak besar. "Dahlah, bos. Tak apa, aku faham. Kami faham." Dia tepuk-tepuk bahu Kaduk.

Ammar dan Ed ikut sama gelak berjemaah.

***

Kota London, 2006

Pemilik kasut but warna coklat menapak ke post box merah di tepi jalan. Sekeping poskad dikeluarkan dari beg sandang lalu dimasukkan ke dalam post box tersebut.

Ahmad berhenti melangkah. Dia berpaling ke belakang.

"Untuk siapa tu?"
"Kawan."

Ahmad angkat kening.

"Kawan yang sama, yang selalu kau hantar poskad, kan? Zaman sekarang orang guna emel, Adam. Jimat."

"Dia suka poskad." Kaduk senyum penuh makna.

"Dia suka? Melayan sangat namanya. Ni mesti buah hati kau, kan? Kawan sama sekolah yang belajar dekat Tokyo, kan?" Ahmad sengih.

"Dialah. Mana ada orang lain lagi." Wajah manis Syah terbayang di mata.

"Kalau hati dah suka, pergilah cepat-cepat hantar rombongan meminang."

"Insya-Allah, tahun depan."

Kaduk pandang langit senja memayungi Kota London. Yang pasti di Tokyo sekarang sudah masuk hari baharu tapi masih pagi-pagi buta lagi.

"Serius? Jangan lupa jemput aku."
"Tapi, tak tahulah aku masih relevan di hati dia atau tak?"

"Pernah kau tanya dia?"
"Dah..."

"Jawapan dia?"
"Dia tak jawab sampai sekarang."

Kaduk lepaskan nafas panjang.
"Dahlah. Jom. Hari dah makin senja."

Dua sahabat kembali menghayun langkah. Meninggalkan post box merah di belakang. 

Kaduk tala pandangan pada warna langit Kota London yang makin bertukar ke warna jingga. Hari sudah makin gelap.

Poskad.
Hati.

Berbalas poskad.
Berbalas hati.

Nurul Akasyah binti Othman,
Relevankah aku di hatimu?

Menyebut sebaris nama itu, hati yang gelap terasa kian terang.

***

Dalam rumah, 2021
Salah satu kawasan PKP di Malaysia

Buk!

Bucu pintu kabinet dapur terlanggar... kepala suami sendiri!

"Ya Allah, sayang..." Syah tak sempat nak buat apa dah.

"Kenapa sayang berdiri dalam kawasan blind spot Syah? Maaf, tak perasan sayang ikut dari belakang." Biasanya Syah akan perasan bau minyak wangi suaminya. Tapi sejak siang tadi tak tahu kenapa hidungnya asyik tersumbat sahaja.

"Blind spot?" Kaduk gosok-gosok dahinya yang terasa pedih. Mujur tak luka apa.

"Isteri abang ni kan jenis kelam-kabut. Maaf, tak perasan." Kata Syah sekali lagi. Dicapainya tin susu tepung dan diletaknya sebelah barisan koleh yang elok beratur.

"Pergilah duduk depan dengan anak-anak." Katanya lagi, sambil usap lembut dahi Kaduk yang sudah selamat berbekas merah. Habis benjol dahi Kaduk dibuatnya.

"Hmmm?" Kaduk sudah rasa macam nak pening lalat. "Nak minta air masak segelas..."

"Yalah, dah lama bercerita mestilah rasa haus." Syah ambil sebiji koleh dan isi dengan air mineral dari mesin penapis air.

Walaupun bukan malam minggu, tiba-tiba sahaja Kaduk tukar acara berceritanya ke malam ini pula. Tapi cerita novel orang dewasa pula dibawanya. Itu yang cepat sangat anak-anak mengantuk. Tadi Syah pandang wajah Arham, Aisyah dan Akram. Mata masing-masing pun sudah kuyu, separuh tertutup. Jadi, dia terus bangkit nak bancuh susu suam seperti biasa, nak beri mereka minum dulu sebelum tidur.

Koleh berisi air masak beralih tangan.

"Terima kasih, sayang." Kaduk kembali semula ke ruang tamu dengan koleh di tangan kanan. Sebelah tangan lagi asyik menggosok dahi yang sedikit benjol.

Syah segera bancuh susu dan beri pada anak-anak. Lepas itu dia ke dapur semula ambil ais dan tuala kecil, nak tuam dahi suaminya. Kembali duduk di ruang tamu, sambil tuam dia baca selawat syifa sikit.

Kaduk senyum panjang. Matanya pandang mata Syah yang dok ralit tengok dahinya.

"Telaga di bawah gunung."

"Telaga apa pula, sayang? Rindu kerja offshore onshore ke? Telaga minyak?"

"Peribahasa Melayu." Kaduk senyum lagi.

Syah sudah berkerut dahi. "Malam-malam dah nak berperibahasa pula. Kuat sangat kot kena hentak." Syah tergelak sendiri kemudiannya.

"Sayang."
"Hmm?"

"Relevankah aku di hatimu?"
"Dah tahu jawapannya, kan?"

Kaduk geleng kepala.
Syah diam lama.

"Awak. Relevan. Di. Hati. Saya."

(Alhamdulillah, tamat versi online.)

#RADHA #RelevankahAkuDihatimu?

Petikan #throwback zaman sekolah di atas daripada versi asal online RADHA Sweet 17 yang ditulis pada 2 Mei 2013 kecuali edit sana sini dan beberapa penambahan perenggan akhir bab Kaduk tenung Syah dan reaksi kawan-kawan mereka. 

Gelap versi online. Tamat.
8 April 2020 - 26 Februari 2021.
Alhamdulillah, terima kasih kepada semua 🙏☺️

📷: Pinterest

3 comments:

MaY_LiN said...

Smp bila2 relevan
Carl duke adam ❤️ Nurul Akasyah
Syg sgt ngan 2 watak ni
Sedihnya dah abis
Rs cam ada yg kite kabur lg
Kisah ayah syah..mama kaduk..si cilik..new baby..kisah syah masa tau sakit dia masa kt jepun
Nnt boleh buat special n3?
��

Unknown said...

Best nya buku ni

Shaf said...

Radha sweet 17 tu takde versi novel fizikal ke ...?