Tuesday, February 09, 2021

[44] Gelap

Karya pendek

Gelap
Oleh Rnysa

44

Siang
#MCODayTBC #PKP2.0
#stayathome #staysafe #staystudy #stayeducated
#batchstudent2020 #batchstudent2021

Di luar nyata cerah.
Dengan sorotan cahaya mentari yang menyimbah pada wajah anak-anak yang tak nampak gundah.


"Yey, kita dah berjaya!"

Terdengar jeritan riang Akram sampai ke tingkat atas. Kaduk segera menjengukkan kepala ke ruang lapang berumput di tengah rumahnya. Yang direka mempunyai taman mini berfungsi sebagai ruang santai untuk menikmati warna kehijauan alam semulajadi tanpa perlu pergi ke luar halaman rumah. Dan kalau nak merasa mandi kolam macam sekarang, agak terlindung dan terjaga aurat mereka anak-beranak atau sesiapa sahaja yang berkunjung datang ke rumah.

"Ayah!" Jerit Akram. 

Penuh ceria si kecil melambai-lambai ke arah Kaduk sebelum sambung main air dalam kolam air plastik yang dipamkan anginnya tadi.

Nak merasa bina kolam renang dalam halaman rumah tak cukup ongkosnya lagi. Ini sahaja yang mampu Kaduk hadiahkan buat Syah dan anak-anak. Sudah hampir dua, tiga bulan juga mereka sekeluarga sudah berpindah ke rumah sendiri ini.

"Pakcik 'landlord'!" Akram melambai pada Pinto pula.

"Main air tu biar elok-elok, Cho." Balas Pinto. Anak Kaduk yang bongsu itu ada semangat orang Perak sikit. Nama panggilan pun nak ikut yang belah Perak juga.

Akram tunjuk tanda bagus pada Pinto sebelum terjun masuk ke dalam kolam.

Pinto kembali meneliti contengan pada dinding rumah Kaduk.

"Wow, ini high level punya matematik. Siapa tulis? Syah?" Pinto meraut janggut di dagunya, sambil itu berkerut dahi cuba membaca tulisan ala doktor di atas dinding putih.

"Dialah. Siapa lagi?"

Semalam waktu tengah nak pakai sheet mask untuk rutin penjagaan kecantikan ala Korea, Syah tiba-tiba bangun dan pergi menuju ke dinding conteng tempat anak-anak melukis. Kaduk sudah terbiasa dengan aksi isterinya itu apabila mendapat sesuatu idea; Syah akan segera mencatat dalam buku atau atas apa saja yang berdekatan. Dia tak nak ideanya hilang begitu sahaja.

"Sayang..." Kaduk baru nak bertanya. 

Tapi Syah sudah beri hand gesture 'tunggu sekejap' tanpa bersuara, lalu tolak pintu dan keluar dari bilik tidur utama.

Lalu Kaduk pun pasrah, diam tak terkata.

Syah ambil white board marker warna hitam dan mula menulis.

"Ibu buat apa?" Tegur Aisyah yang keluar dari biliknya untuk ambil air masak. Dia berhenti seketika tengok apa ibunya sedang lakukan dengan penuh tekun sekali.

"Soalan matematik..."

"Untuk kerja ibu?"

"Ya." Syah toleh belakang. "Oh, Aisyah nak pergi mana? Nak isi air dalam botol?" Mata Syah nampak botol air yang sudah kosong di tangan anak perempuannya itu.

Aisyah mengangguk perlahan.

"Nak ibu teman?" Tanya Syah lagi.

"Tak apa. Aisyah boleh ambil sendiri." Lagipun ayah sudah pasang lampu yang siap ada sensor. Apabila ada orang, lampu akan terpasang dengan sendirinya. Smart home atau rumah pintar, kata ayah.

"Ok. Elok-elok, sayang."

Setelah menanti beberapa lama akhirnya Kaduk pergi keluar, mahu menjenguk apa yang Syah buat sampai tak masuk-masuk bilik lagi. Rupa-rupanya Syah sedang menerangkan kerjanya kepada Aisyah.

"Hai, cik adik berdua buat apa lagi ni? Dah malam. Jom kita tidur."

Aisyah yang memang sudah mengantuk cepat-cepat bangun dari silanya, lalu bersalaman dengan ibu dan ayah sebelum masuk ke kamarnya.

"Sayang, tunggu sekejap. Beri masa tiga minit lagi." Kata Syah lalu menconteng apa entah lagi.

Kaduk pula ambil alih tempat Aisyah bersila tadi. Sambil tunggu Syah habis meluahkan segalanya dalam kepalanya itu berpindah ke dinding contengan.

"Ok, siap!" Syah tersenyum puas hati.

Waktu dia berpusing ke belakang nak pergi ambil telefon, tapi Kaduk sudah terlebih dahulu menghulurkannya.

"Terima kasih." Telefon bimbit beralih tangan. Syah ambil gambar screenshot kerjanya untuk simpanan sebelum duduk bersila di sebelah suaminya.

"Tak nak terangkan dekat abang?" Kaduk pandang mata Syah yang sudah kuyu.

"Tak apalah. Otak dah penat. Nak tidur." Syah berkata seraya kepalanya sudah terlentok elok di bahu Kaduk.

***

Sebenarnya Pinto datang untuk berbincang dengan Kaduk tentang apa yang batch mereka boleh sumbang balik sebagai alumni sekolah. Yang boleh beri semangat kepada adik-adik yang bakal menduduki peperiksaan dalam suasana norma baharu tengah waktu Covid-19 ini.

Pinto ambil white board marker dan conteng sesuatu pada sudut yang kosong.

"Weh, Pinto! Kau tulis apa tu?" Kaduk gelak besar.

"Cuba kau selesaikan soalan Matematik Tambahan ini." Pinto baling white board marker dekat Kaduk.

"Soalan Matematik Tambahan jenis apa ni?"

Muka Kaduk sudah naik merah padam sebab segan dengan Ed yang turut ada juga sama di situ. Selain Pinto, kebetulan Khalid dan Adeilah pun datang berziarah juga.

KadukxLondon + SyahxJepun = ...

Ishh, tak tergamak Kaduk nak habis baca apa Pinto tulis. Terus Kaduk capai bantal dari atas sofa malas dan baling dekat Pinto.

"Ini mesti sebab kau tak puas hati dengan aku, kan? Berapa kali aku nak cakap, yang Syah dan aku memang tak ada apa-apa sebelum ini. Tapi kau orang semua yang tak nak percaya." Kaduk segera ambil tempat sebelah Ed yang sudah jadi adik iparnya itu. 

Pinto gelak besar sambil tangkap bantal yang Kaduk lempar dekat dia.

"Yalah. Jauh bebenor kau cari jodoh, Kaduk. Dari London sampai ke Tokyo!" Ujarnya dalam loghat Kuala Kangsar yang pekat.

"Dah hati berkenan dekat yang seorang itu." Balas Kaduk, pendek.

Ed tersenyum simpul sambil lempar pandangan pada Adeilah yang asyik melayan anak saudaranya di bawah sana.

"Hati kawan kita seorang ini pun berkenan tersangkut, terpaut pada yang satu itu." Ujar Pinto yang perasan si pengantin baharu tengah tenung isterinya.

"Dah jodoh." Balas Ed. Senyum.

Punyalah lama mencari dan menunggu, rupa-rupanya jodoh Ed tersangkut dekat adik kawan sekolah sendiri.

Waktu lepas kahwin tempoh hari, Adeilah tunjuk gambar Ed pernah datang bertandang raya. Masa itu Syah dan Liana pun ada bersama. Tapi waktu itu Adeilah berumur 11 tahun, manalah dia nak cam sangat pun. Budak kecil lagi.

"Macam Syah dan aku juga. Dah jodoh. Tak kisahlah jauh atau dekat. Walaupun aku dekat London, tapi dia dekat Tokyo. Kalau dah namanya jodoh, itu yang datang rapat." Tenang Kaduk menjawab sambil tersenyum bahagia.

"Mengaku sajalah yang kau dah lama syok dekat dia sejak zaman sekolah lagi." Pinto campak balik bantal dakap dekat Kaduk tapi sedikit tersasar dan terkena pada Ed.

"Oii, kenapa aku yang jadi mangsa keadaan ni?" Jerit Ed sebelum ketawa berderai.

Lalu ketiga-tiga bekas pelajar batch SPM tahun 1999 itu pecah tawa lagi serentak.

(bersambung...)

#RADHA #matematik #matematiktambahan
#batchspm1999

📷: Pinterest



2 comments:

AQILAHRAMLI. said...

Terima kasih sebab adakan sekuel RADHA. It makes me miss JS soo much :'). Waiting for the next entry ! <3

Anonymous said...

Hahahah comel je