Friday, February 12, 2021

[45] Gelap

Karya pendek

Gelap
Oleh Rnysa

45

Malam yang indah
#MCODaybyDay #PKPbacktoback
#stayathome #stayromantika

Di luar nampaknya gelap.
Hanya curahan air hujan yang kedengaran dari ruang jendela yang malap.

Ternyata benar telahan Syah. Akhirnya pihak kerajaan telah mengumumkan pelaksaan PKP balik semula. Makanya, hidup mereka pun kembali ke rutin lebih kurang sama macam masa PKP1.0 dulu.

Kaduk masih bekerja dari rumah seperti sebelumnya.

Cuma, Syah sudah minta cuti tanpa gaji sebab mahu menguruskan dan memantau sesi PdPR anak-anak. Nak betul-betul berhenti kerja dia masih tidak yakin lagi. Dengan ekonomi yang tidak menentu dan bidang industri kerja Kaduk yang banyak orang diberhentikan kerja, dia tidak mahu buat keputusan terburu-buru. Memanglah rezeki itu di tangan Allah, tapi kena sentiasa beringat dan ada perancangan juga.

"Along dah nak masuk Tahun Empat. Angah pula nak naik Tahun Dua. Cho pun akan mula masuk pra-sekolah umur lima tahun. Syah dapat rasa macam sesi persekolahan bersemuka nanti mungkin dibatalkan. Semuanya belajar di rumah macam tahun ini juga. Jadi, Syah fikir biarlah Syah yang beralah." Kata Syah pada Kaduk waktu malam sambutan hari lahirnya di bilik hotel penginapan mereka.

"Betul? Sebenarnya abang nak Syah berehat sebab faktor kesihatan, bukan sebab asyik nak memikirkan kebajikan anak-anak sahaja."

"Anak kita baru nak membesar. Takkanlah Syah nak biarkan abang uruskan semuanya seorang. Abang pun kerja juga, kan? Tak apa, Syah okey."

"Sayang..." Jari-jemari Syah diraih.

"Dah kurang satu tanggungjawab di luar rumah. Insya-Allah, sayang okey. Boleh tumpu perhatian untuk abang dan anak-anak." Syah senyum seikhlas hati.

Dalam hati dia tahu, kalau mak masih ada tentu mak takkan beri dia 'berhenti kerja' macam ini. Mungkin ada banyak hikmahnya atas apa yang berlaku itu.
 
Kembali ingatan ke saat ini. Syah baca sekali lalu sesuatu pada dinding contengan.

"Ishh, tangan siapa yang berani main conteng-conteng ni?" Syah sudah berkerut-kerut dahi tengok dinding rumahnya. Hmm, vandalism sungguh.

KadukxLondon + SyahxJepun = ...

"Hmm, dahlah tak tepat. Kurungan tak ada apa semua... tapi ada hati nak tulis juga." Syah mengomel seorang diri. Tapi laju dia cuba membetulkan soalan yang nampak macam soalan Matematik itu sebab... terasa macam menarik pula. Eh?

"Ibu buat apa? Kerja kira-kira ibu?" Kali ini si Arham pula menegur. "Macam pelik sahaja..."

"Eh, bukan kerja kira-kira ibu tapi ibu nak cuba selesaikan. Memang pelik tapi menarik." Cepat-cepat Syah memintas sebelum anaknya itu fikir yang bukan-bukan pula. Takkanlah dia nak buat persamaan matematik begitu.

"Oklah, ibu. Along masuk bilik dulu. Nak buat ulang kaji."

"Ok, sayang. Kalau tak faham, boleh ketuk pintu dan tanya pada ayah atau ibu."

"Baiklah, ibu."

Syah senyum pada anaknya yang terlebih sopan santun itu. Memang murah rezeki dia dapat anak-anak yang baik.

Syukur alhamdulillah, Arham banyak tunjuk contoh teladan yang baik untuk adik-adiknya. Sebab itu, Aisyah dan Akram selalu tak boleh nak nakal-nakal sangat.

Akram selalu mengomel, "Along ni baik macam malaikatlah, ibu."

Syah tahan gelak setiap kali Akram cakap begitu.

Kasihan, selalu sahaja si kenit itu terbantut nak keluar perangai pelik-pelik sebab Along Arhamnya sudah menjeling dulu. Tak payah Syah nak jegil mata, marah atau jerit.

Syah bersyukur sedikit sebanyak perangai baik Arham sangat membantunya dalam membentuk keperibadian anak-anak yang lain, termasuk dirinya sendiri.

Alhamdulillah. Memang rezeki dapat anak-anak yang baik-baik, ulang Syah sekali lagi dalam hati.

"Buat apa lagi tu, Doktor Akasyah?" Kaduk datang rapat.

"Eh, ini kerja Pinto masa dia datang hari itu. Lupa pula nak padam."

"Oh, ini... hal ASPURA lagi?" Teka Syah.

"Tak. Ini masalah dia seorang. Dah... tak payah nak layan sangat." Kaduk gelak kecil. Tangannya laju mencapai pemadam.

"Eh, janganlah. Nak cuba buat..." Syah cuba nak tahan. Kaduk ni...

"Sayang, otak tu kena bagi rehat sikit." Kaduk gelak lagi sebelum terus padam persamaan Matematik 'merapu' itu. Pinto, Pinto...

Dahlah dapat isteri jenis suka berfikir. Nanti dengan dia sekali tidur lambat. Esok awal pagi Kaduk sudah ada mesyuarat bulanan.

"Ala..." Syah sudah pandai tarik muncung panjang serupa macam adik Kaduk.

"Dah. Pergi masuk rehat, sayang. Headboy suruh rehat. Pergilah rehat, okey?"

"Headboy? Dah EX-headboy la."

Kalau dah namanya budak debat, tak banyak bercakap memang tak sah, kan? Lepas itu, tak move on daripada jawatan zaman sekolah.

"Oklah, isteri EX-headboy nak berehat. Tolong jenguk anak EX-headboy dekat dalam bilik, tengah buat ulang kaji. Okey? Bye, sayang!" Kata Syah berlalu sambil jalan macam tengah buat catwalk masuk ke dalam bilik.

"Amboi, bukan main lagi ya." Kaduk tersengih tengok gelagat Syah. Lantas dia pergi jenguk Arham di dalam bilik pula.

Syah tutup dan bersandar pada pintu. 

Entah macam mana EX-headboy itu boleh kahwin dengan dia. Dia pun tak sangka Kaduk boleh jatuh suka pada dia. Padahal masa Kaduk belajar bertahun-tahun dekat London dulu mesti jumpa ramai pelajar Malaysia yang cantik dan sepadan dengan dia.

Tengoklah, waktu mereka berdua kahwin ramai kawan satu sekolah yang macam tak percaya yang Kaduk akhirnya berkahwin dengan dia.

"Bila masa kau orang bercinta?" tanya semua orang.

"Tak bercinta sangat pun. Kebetulan Kaduk dapat kerja dekat Jepun, dia tiba-tiba ajak kahwin."

"Yalah, dulu pun ada gosip fasal kau orang berdua."

Eh, ada orang nak 'membawang' fasal dia dan Kaduk juga... lagi?

"Gosip? Kenapa nak gosip pula? Bukannya kita belajar dengan Kaduk seorang. Ada Pijan, Tok Wan, Ammar, Izzy..." Syah cuba senaraikan semua nama yang pernah jadi 'cikgu' dia. Memang dia jenis yang suka belajar subjek matematik, sains dan teknikal apa semua daripada yang dapat markah elok. Yang jadi top scorernya pun kebanyakannya di kalangan pelajar putera.

Belajar saja, bukannya bercinta... dengan ramai pelajar putera.

"Yang pelajar putera dok nak mengorat tu... bukan kitalah," terang Syah lagi. 

Bukannya Syah tak tahu kenapa ramai yang rapat dengan dia dan suka kacau siapa sebenarnya. Kawan rapat dia juga. Yang tak tahu hujung pangkal, orang selalu salah faham.

Boleh Dira nak buat muka kerek dengan dia pula masa kenduri kahwin Kaduk dan dia. Tak faham. Sabar sajalah. Mujur ada Pinto tolong back up dia.

"Tentu ada sebab Kaduk suka dekat Syah. Sebab itu mereka kahwin, yang." Pinto berkata kepada isterinya, Dira yang tengah berbadan dua.

Di luar hujan makin lebat.

Syah termenung, merewang ingatannya jauh sampai ke masa silam.

***

London
Beberapa tahun yang lalu...

"La ilaha illallah...." Syah alun zikir berulang kali sambil tepuk Arham yang asyik pandang muka Syah. Sambil itu anaknya keluar bunyi macam orang nak bersembang.

"Anak ibu nak sembang apa ni? Masya-Allah, pandainya dia..." Syah pun berbual dengan anaknya yang masih kecil walaupun tak faham apa bahasa yang Arham guna.

"Anak ibu pun tunggu ayah, ya?"

Arham menyahut entah apa butir bicaranya tapi Syah rasa gembira sangat. Dia agah balik anaknya itu.

Rambut nipis warna perang anaknya itu diusap lembut. Hmm, rambut sama warna dengan ayah. Lalu dikecupnya rambut Arham yang wangi berbau syampu bayi.

"Sekejap lagi ayah balik. Sabar, sayang. " Kata Syah.

Melihat hujan yang sedang turun renyai-renyai di luar tingkap bilik sewa mereka, lagu yang Syah nyanyi pun turut bertukar.

"Tunggu sekejap, wahai kasih. Kerana hujan masih renyai..." Terus Syah sambung dengan menyanyikan lagu P.Ramlee itu.

Kota London mendung lagi hari ini. Hmm, cuaca di sini tak sama macam di Jepun. Jangan makin lebat sudahlah! Kata Syah dalam hatinya.

"Tunggu sekejap, wahai kasih. Tunggulah sampai hujan teduh..." Syah sambung nyanyi lagi. Keluar sudah suara lenggok zaman koir sekolah dia.

Arham pun senyum saja pandang wajah Syah. Lantas kepala anak sulungnya diusap lagi berkali-kali. Rambut macam Kaduk, rupa pun macam Kaduk juga.

"Mujurlah ibu ada seorang penonton untuk 'Konsert Tunggu Hujan Teduh Bersama Ibu' pada hari ini." Syah tergelak dengan Arham sebelum kalih tengok pintu rumah semula.

Bilalah Kaduk nak pulang? Soal Syah dalam hati.

Tengok hujan yang makin lebat, terus Syah sambung balik berzikir. Selepas itu, bukan sahaja Arham tapi dengan dia sekali terlelap sama.

***

Kaduk pergi selak langsir apabila terdengar bunyi angin kuat di luar. Lebatnya hujan, siap ada bunyi angin bertiup macam apa saja.

Dia alih pandang arah Arham semula yang nampaknya sudah menguap beberapa kali.

"Sambung esok, Along. Mengantuk sangat dah tu."

Arham gosok matanya berkali-kali sebelum tutup buku ulang kaji Bahasa Melayu. Dalam banyak-banyak subjek, hanya Bahasa Melayu dia kurang mahir sedikit. Jadi sejak dari tahun lepas dia cuba buat banyak latihan sendiri, selain cuba banyak bertutur dalam Bahasa Melayu dengan adik-adiknya.

Sambil tunggu Arham nak bersiap masuk tidur, Kaduk berpeluk tubuh dan jenguk ke luar jendela sekali. Hujan yang turun mengimbau kembali memori lama suatu masa dahulu.

Nun dari luar bangunan kampusnya, Kaduk pandang langit yang semakin gelap. Hujan gerimis turun membasahi bumi. Segera dia menghayun langkah, mahu pulang segera ke rumah. 

Sebaik sahaja tiba di rumah, wajah Syah dan Arham yang terlena di atas hamparan tilam nipis mengisi ruang matanya. Syah sudah tertidur sambil tunggu dia balik. Rasanya mesti Syah belum makan lagi.

"Sayang..." Kaduk cuba kejut beberapa kali tapi Syah tak bangun.

Yalah, hujan lebat di luar campur dengan cuaca dingin sejuk memang kombinasi terbaik; boleh buat sesiapa sahaja sedap terlena.

Perlahan dia pergi ke dapur untuk hangatkan semula segala lauk pauk dan nasi yang Syah sudah sediakan. Kemudian dia ambil dan isi semuanya masuk ke dalam pinggan. Dia duduk makan bersila di sebelah Syah dan Arham yang sedang nyenyak tidur.

Sesudah selesai makan, dia kembali duduk di sebelah dua wajah insan suci yang sedang tersenyum manis. Kaduk usap ubun-ubun Syah sebelum dikecupnya lembut.

Dia keluarkan planner warna hitam ring merah dan sebatang pen hitam dari beg sandang. Muka surat tarikh hari ini dibuka lalu ditulisnya... 

Dia.
Telaga di bawah gunung.

Kaduk, London

Dia letak pen dan planner ke tepi. Lalu baring bertentang menatap seraut wajah isterinya yang sedang memeluk erat anak mereka.


"Ayah." Seru Arham berkali-kali tapi ayahnya tak menyahut. Entah apa yang ayah fikir agaknya. Lalu Arham pejamkan mata dan perlahan-lahan dia hanyut dibuai lena.

Kaduk tersentak sebaik sahaja terdengar bunyi angin yang kuat sekali lagi. Segera dia berpaling pada Arham, yang sudah nyenyak tidur rupa-rupanya tanpa dia sedari.

"Dah besar dah anak ayah." Kaduk senyum.

(bersambung...)

#RADHA #hujanrenyai

Telaga di bawah gunung.
Maksudnya: Perempuan yang membawa untung dan bahagia kepada suaminya.

Sumber:
Kamus Istimewa Peribahasa Melayu

Pautan:
https://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=telaga&d=82736

📷: Pinterest




2 comments:

MaY_LiN said...

Bestnya buat math!
Kalau dah jodoh x kemana
Mesti arham copy paste rupa & watak kaduk

Shaf said...

I need Radha 2, life of Syah and Kaduk after they just get married.t