Friday, April 24, 2020

[9] Gelap

Karya pendek

Gelap
Oleh Rnysa

9

Malam.
#MCODay37 #PKPharike-37
#stayathome #staystronger #staywithfamily

Di luar makin gelap.
Hanya kerlipan cahaya lampu lentera LED yang setia menemani sepanjang malam.

Lip lap, lip lap...

Lima beranak ralit memerhati lentera yang baru dipasang oleh si ayah tanpa suara di balkoni. Bersama-sama menikmati hening malam sambil mencicip Kopi Dalgona yang dihidangkan oleh si ibu yang mahu mencuba kopi viral sepanjang PKP berlangsung.

--
#throwback

1 Ramadhan

Cahaya lentera ditatap. Cantik.
Mata Aisyah tidak berkerdip memandang.

"Aisyah..." Arham tarik tangan adiknya yang sudah berhenti melangkah. "Aisyah ni...kalau dapat tengok cahaya lampu pun boleh terpesona." Usik Arham.

"Lentera..."
"Apa?" Arham sudah kerut muka. Macam-macam. Aisyah rajin baca kamus. Jadi kosa kata dia kadangkala pelik daripada orang lain.

Petang tadi ayah pasang lentera di keliling rumah. Abang Arham pun tolong sama. Alhamdulillah, setelah lama merantau akhirnya tahun ini mereka sekeluarga dapat menyambut Ramadhan bersama. Di Malaysia!

Syoknya Ramadhan!

"Aisyah, Arham...kita dah nak gerak ni." Suara ayah pula memanggil dari dalam kereta. Ibu dan Akram sudah bersedia mahu ke destinasi mereka sekeluarga sebentar lagi. Solat tarawih di masjid.

***

"Jom kita baca niat puasa sama-sama sebelum tidur. Esok nak mula puasa."

Adam terus membaca lafaz niat dalam Bahasa Arab dan Bahasa Melayu.
Arham, Aisyah dan Akram membaca kemudian.

"Ramadhan kareem, anak-anak ayah!" Kepala mereka diusap lembut.
"Allahu akram!" Sahut tiga beradik itu hampir serentak.

Marhaban ya Ramadhan. Aisyah senyum pada lentera di luar rumah.

---

Sepi.
Sesepi Sya'aban.

Hening.
Sehening Ramadan.

Pabila sepinya Sya'aban jika tiada peringatan.
Pabila heningnya Ramadan jika tiada perubahan.

"Insya-Allah, jom kita baca niat puasa sama-sama sebelum tidur. Esok nak mula puasa..." Tiba-tiba Kaduk bersuara. Baki kopi Dalgona dihirup. Gelas yang sudah kosong diletakkan di atas meja empat segi kayu.

"Ya Allah, cepatnya nak puasa balik..." Aisyah a.k.a Syah Junior menyahut, siap buat gaya mendepang tangan luas-luas. Macam nak peluk bulan Ramadan yang sudah tiba.

Semua tersenyum melihat gelagatnya.

"Tahun ni cuba puasa penuh, ya." Kata Syah 'Senior' pada satu-satunya anak perempuannya itu.

"Dan Arham pun kali ini boleh khatam Quran dengan ayah. Alhamdulillah, Allah makbulkan doa Arham." Pipi anak lelakinya dikecup. Bertahun-tahun anaknya itu mengharap, akhirnya Allah memperkenankan permintaan Arham.

"Dan... Akram pun boleh puasa juga." Yang si kecil tidak dilupakan.

"Dan..." Mata Syah hinggap pada mata Kaduk yang memerhatikannya. ".... Alhamdulillah, kami semua dapat bersama-sama dengan abang. Insya-Allah, buat pertama kalinya sebulan penuh Ramadan kali ini kita berpeluang sahur, puasa, buka puasa, solat tarawih, tadarus Quran dan semuanya dengan abang." Syah sedikit sebak. Nak masuk 12 tahun kahwin, baru ada kesempatan sebegini dengan Kaduk. Terima kasih, ya Allah.

Kaduk senyum. Telefon bimbit dicapai. Ucapan ringkas ditulis dan kemudian butang 'hantar' ditekan melalui laman sosial dan aplikasi WhatsApp.

Ramadan kareem 1441H
Semoga segala ibadah dan amalan kita diterima.
Semoga Allah memelihara kita semua.

Daripada 
Carl Duke Adam & keluarga.

(bersambung...)

#RADHA

Petikan #throwback di atas daripada versi asal online entri RADHA Junior/Teen yang ditulis pada 17 Julai 2013.



No comments: