Friday, April 17, 2020

[5] Gelap

Karya pendek

Gelap
Oleh Rnysa

5

Subuh.
#MCODay28 #PKPharike-28
#stayathome #staytogether

Di luar nampaknya gelap.
Hanya curahan cahaya dari lampu jalan dilihatnya dari ruang jendela.

Segera mata beralih pada skrin telefon. Senyum. Gambar lock screen yang mengimbau kenangan lalu.

Damai.
Sedamai pohon sakura yang rendang di kaki gunung.

---
#throwback

April 2008

Aku menyisir rambut yang panjang melepasi bahu. Dari tadi aku menanti kehadiran dia, namun masih belum muncul lagi. Sebelum masuk ke dalam bilik tadi, aku lihat dia begitu rancak bersembang dengan ayah. Entah apa yang mereka bualkan. Aku hanya mengerling padanya. Tidak semena-mena pandangan kami bersatu. Aku tunduk malu dan segera mengalihkan pandangan ke arah lain. Debar di hati usah ditanya. Bagaikan tiada henti. Aku jadi tidak keruan. Terus sahaja aku meminta diri masuk ke kamarku.

Kamar raja sehari ini dihias begitu indah. Tampak romantik dengan gabungan warna putih dan biru laut. Putih adalah warna kesukaan dia, lambang cintanya yang suci murni. Biru pula lambang cintaku yang damai dan tenang. Haruman mawar memenuhi ruang atmosfera bilik ini. Sememangnya sengaja aku letakkan jambangan mawar merah dan putih kesukaan suamiku di suatu sudut. Cahaya malap dari lampu sisi meja katil pengantin menambahkan lagi suasana yang lebih romantik. Sesuai benar dengan mood pengantin baru aku saat ini.

Jantungku berhenti berdegup apabila terdengar daun pintu bilik dikuak. Aku segera menoleh. Dia berdiri di muka pintu. Senyuman memekar di bibirnya yang merah. Pintu ditutup semula dan dikunci. Debaran hati kian memuncak kerana hanya kami berdua sahaja waktu ini dan saat ini. Seharian kami sibuk melayan tetamu yang hadir. Mana sempat hendak berbual mesra dengan lelaki yang baru kunikahi itu.

"Assalamualaikum." Sapa dia sambil tersenyum manis.

Salamnya kujawab dalam hati. Rasanya hendak kusorokkan muka ini di bawah meja atau di mana sahaja. Segannya bukan kepalang.

"Dah ambil wuduk?" Soalnya lembut.

Aku mengangguk. Cuba berlagak tenang walhal bagai hendak luruh jantungku apabila dia melunakkan suaranya begitu.

"Kita solat dulu." Katanya sebelum menghilangkan diri ke dalam bilik air.

--

Dan wajah Kaduk yang baru keluar dari bilik air saat ini menariknya kembali ke tahun 2020. Ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-12 akan tiba tidak lama lagi.

Zaman beralih, musim bertukar.
Adakah hati kita tetap sama?

"Sayang, kita solat dulu..." panggil Kaduk tatkala menghamparkan tikar sejadah.

Sayang...

Bibir Syah pantas mengukir senyuman. Telefon bimbit segera diletakkan di atas meja sisi di tepi katil.

Sayang...

Bila beralihnya musim bunga jika tiadanya musim dingin.

(bersambung...)

#RADHA

Petikan #throwback di atas daripada versi asal online e-novel Relevankah Aku di Hatimu? yang  ditulis pada 31 Ogos 2004.


No comments: