Wednesday, August 11, 2021

[Special Entry 7] Gelap

Karya pendek

Gelap
Oleh Rnysa

Special Entry 7
Edisi Like Tanda Suka

22 Julai 2021
#MCODayX #kalaurasagembira
#stayathome #stayeducated #stayhappy

Di dalam masih gelap.
Sedang menanti sedikit cahaya untuk menyuluh terang.


Eh, dia... like? Seriously?

Syah tak berkelip mata sebaik sahaja menerima mesej notifikasi dari aplikasi Twitter di telefon bimbitnya. Niatnya saja nak berkongsi buku-buku yang telah dibeli tapi masih belum sempat dibaca.

"Kenapa ibu senyum-senyum?" Tegur Cho yang sedang mewarna. Pelik tiba-tiba nampak ibunya tersenyum seorang diri sedang menatap skrin telefonnya.

"Oh, ibu rasa gembira." Jawab Syah, sejujurnya. "Kalau rasa gembira..."

"... tepuk tangan." Dengan pantas Cho pintas, sambung lirik lagu ibunya ikut nada melodi lagu kanak-kanak.

"Eh?" Syah ketawa. Laa, ada seorang anaknya yang menurun ikut perangai dia! Lantas Syah usap lembut rambut anak bongsunya itu.

Kalau rasa gembira, tepuk tangan
Kalau rasa gembira, tepuk tangan
Kalau rasa gembira, beginilah caranya
Kalau rasa gembira, tepuk tangan

Bersungguh-sungguh pula Cho menyanyi. Tak sampai hati pula Syah nak melarang.

"Kalau rasa gembira, hentak kaki." Syah pun terus melayan, turut menyanyi bersama.

Kalau rasa gembira, hentak kaki
Kalau rasa gembira, hentak kaki
Kalau rasa gembira, beginilah caranya
Kalau rasa gembira, hentak kaki


Maka, makin bersungguh-sungguhlah Cho menyanyi untuk menghiburkan hati ibunya. Bukan Along dan Angah saja pandai ambil hati ibu, Cho pun sama. Cho harap ibu suka dan makin bertambah gembira.

Sebab semalam tanpa sengaja Cho ternampak ibu menangis teresak-esak waktu ayah tiada di rumah. Ibu menangis sebab apa? Ibu rindu ayahkah? Atau... ibu sakitkah? Perlukah Cho minta pendapat Alongnya? Saat ini wajah ibu yang tersenyum ceria Cho tenung dalam-dalam.

***

Dalam masa yang sama, Syah sibuk menyemak balik jumlah pengikut Twitter milik pegawai tadbir diplomat tersebut.

Yang aku pergi tag dia dan penerbit buku dia tu dah kenapa? Ikhtilat tak jaga, Puan Nurul Akasyah. Ingat sikit kau tu isteri orang!

Seperti selalu, inner voice yang baik menegur di kala dia terlupa. Maka, marilah bermuhasabah diri. Tapi... kalau masih single, Syah

Eh, susah juga kalau penulis artikel yang kita selalu baca tiba-tiba like status Twitter kita. Sama kes waktu Norman KRU accept LinkedIn request suatu hari itu. Punyalah excited dan terus buat screenshot bagai.

Syah berkira-kira dalam hatinya. Harap Kaduk tak kisahlah... 

Carl Duke Adam
@CDAdam liked: Saya suka baca artikel penulis...

Atau mungkin tak...

 + Assalamualaikum, sayang tengah main Twitter ke tu?

Mesej DM Kaduk pun masuk. Laju... 
Allahu akbar, 'ketua pelajar' dah datang buat spot-check pula. 

Otak yang satu lagi pantas buat kerja.

Retreat. Retreat.
Berundur. Berundur.

Okey, mungkin waktu bermain Twitter sudah tamat.
Marilah insafkan diri dan kembali ke alam nyata, wahai Puan Akasyah.

"Cho dah siap warnakan lukisan tadi?" Dalam pada itu sempat lagi Syah nak tengok lukisan Akram, kerja sekolah tadika yang cikgu beri semalam. Perempuan memang terkenal dengan multi-tasking, kan!

Bunyi notifikasi Twitter masuk lagi. Syah jeling pada skrin telefon.

+ Wah, ada orang tu like? Mesti gembiralah, kan? Dia tu antara penulis kesukaan sayang, kan?

Ya Allah, Kaduk ni hantar DM lagi? Tak tahu patut rasa apa sekarang. Tak tahu patut balas apa sekarang. Silap jawab mungkin boleh mencetuskan salah faham antara suami dan isterikah?

- Ahaha, biasa-biasa aja. Abang tengah kerja? Tak sibuk hari ni?
+ Sibuklah juga. Tapi...

Tapi...? Tapi apa? Hmm, Kaduk ni buat ayat tergantung pula. Syah komen dalam hati.

Tentunya, Kaduk berhenti buat kerja sekejap sejurus sahaja dapat notifikasi dari akaun Twitter isterinya. Dia memang follow Syah dan Syah follow dia balik. Dia pun tolong like jugalah apa-apa Syah post. Nak beri motivasi kepada isteri supaya berkongsi pendapat atau buah fikiran. Tapi, sejak bila isterinya pandai tag orang sebegitu? Amboi...

+ Akaun sayang kena hacked ke?

Ala, Kaduk ni... 

- Isteri abang ni siapa sampai orang nak godam akaun pun. Orang tak kenal pun. Bukannya level influencer.

Syah pun tambah emoji sedih di hujung ayat.

+ Manalah tahu orang dapat korek Syah pernah kerja dekat JAXA, kenal orang dalam NASA.
- Tak adalah. Lagipun mana boleh cakap fasal kerja dalam media sosial. Rahsia. Confidential, tahu kan?

Pegang jawatan apa pun tak boleh sebut, apa lagi mahu berkongsi mana-mana info sesedap rasa hati. Ada sesetengah hal itu tahap top secret. Untuk memudahkan diri sendiri, Syah selalu cakap dia kerja buat kira-kira, melibatkan hal kiraan Matematik sahaja. Tak macam bidang kerja Kaduk, Syah nampak macam boleh sahaja berkongsi dalam LinkedIn. Mungkin polisi sesebuah syarikat atau organisasi itu berbeza.

+ Okey tak ni?

Syah gigit bibir. Alamak, mesti Kaduk tahu. Mesti Kaduk dapat agak. Setiap kali Syah out of normal pattern, Kaduk tahu yang ada sesuatu telah berlaku ke atas diri Syah.

+ Sayang?

Kaduk tenung skrin telefon, menunggu balasan. Makin lama hidup bersama, semakin kenal sangat perangai Syah.

Something is wrong... somewhere.
Out of norm. Detected.

Grandma pernah pesan, Syah ni suka hantar isyarat atau signal kalau dirinya tak okey. Semacam dia akan cuba beritahu orang lain, mengikut cara dia yang tersendiri. Lama-kelamaan Kaduk boleh tangkap pattern Syah itu. Lagipun Syah memang selalu suka buat sesuatu perkara yang sama berulang-ulang.

+ Sayang ada dekat situ lagi?

Kaduk mula rasa tak sedap hati apabila Syah senyap sahaja. Dan, Syah tahu yang Kaduk sudah tahu dirinya tak okey. Sebab itu Syah diam secara tiba-tiba.

+ Syah? Nurul Akasyah binti Othman?

Syah teragak-agak mahu membalas. Segera dia tulis sesuatu dalam T-Planner. Catat tarikh dan waktunya setiap kali dia out of pattern.

Isyarat yang telah dihantar ke langit.
Daripada orang berada di bumi.
Dan, Dia telah terima dan hantar semula ke bumi.
Misi berjaya!

Tanpa menunggu lama, Kaduk segera menekan speed dail dan tunggu panggilan telefon dijawab. 

"Syah?"

* * *

20 Julai 2007

"Kaduk tu sebenarnya orang apa? Maksud ayah... orang mana?" Tanya Haji Othman sebaik sahaja anak perempuannya yang berada di Jepun mengangkat telefon.

"Orang Johor, ayah. Orang Malaysia." Jawab Syah tanpa berfikir panjang.

"Ayah dia pun?"
"Oh, ayah dia bukan. Tu memang orang putih. Orang dari Den Haag, Belanda."

"Hmmm, keluarga dia datang singgah rumah kita. Ayah, mak dan adik-beradik dia. Ayah bukanlah nak memilih, Syah. Tapi..."

"Tapi?"

Haji Othman pandang wajah isteri yang duduk di sebelahnya. "Adik-beradik dia yang perempuan semuanya tak pakai tudung. Kamu tahu tak?" 

"Ermmm..." Lama Syah diam, tak menjawab. Dia tak pernah selidik lebih-lebih tentang adik-beradik Kaduk macam mana.

"Syah, kita nak kahwin ni untuk hidup bahagia di dunia dan akhirat. Kamu tak ada kawan-kawan yang lain selain Kaduk ni?" soal Haji Othman baik-baik. Dia mahu anak-anaknya berkahwin dengan keluarga yang mengamalkan ajaran Islam sebaik mungkin.

"Kawan yang macam mana, ayah?" Syah tanya balik.

"Yang boleh dibuat suami."

"Oh, tak ada." Macamlah dia punya banyak pilihan.

"Mak kamu kata, kamu ada kawan yang namanya Ammar. Yang Ammar tu dah kahwin ke belum?" 

"Dah kahwin dah, ayah. Baru aja jadi suami orang."

Lama Haji Othman diam.

"Kamu memang nak kahwin dengan Kaduk ni? Dah buat solat istikharah? Buatlah solat istikharah. Minta petunjuk daripada Allah," nasihat ayah.

Tapi kalau Syah analisa suara ayah, macam... ayah tak berapa nak berkenan. Seboleh-bolehnya Syah naklah ayah suka Kaduk juga. "Kalau ayah rasa tak sesuai..." 

"Ayah dia orang Islam?"
"Islam. Sebab dah kahwin dengan mama dia. Mana boleh perempuan Islam berkahwin dengan lelaki bukan Islam, ayah."

"Ayah dia pandai cakap melayu macam orang Indonesia," ulas Haji Othman.

"Betul. Sebab masa papa Kaduk belajar dulu dia suka backpacking. Backpacking ni yang ayah tengok orang melancong bawa beg sandang belakang yang besar. Papa Kaduk tu pernah pergi Bali, Jakarta dan banyak tempat lagi." Syah berhenti seketika. "Lepas tu, pembantu rumah keluarga dia dulu pun orang Indonesia, ayah." Tak tahulah ada kaitan atau tak tapi Syah main sebut sahaja.

"Mana kamu tahu fasal pembantu rumah dia? Kamu pernah pergi ke rumah dia?" Haji Othman mula rasa tak senang duduk.

"Adalah pergi bertandang raya. Sekali dua mama dia ajak datang rumah dulu. Rumah keluarga dia dekat Bangsar, ayah. Dekat dengan UM saja. Kak Ngah pernah beritahu mak masa Kak Ngah pergi waktu dulu." Terang Syah dengan panjang lebar. Syah selalu telefon maknya, tapi dengan ayah jarang Syah berbual sangat.

Sejujurnya, Syah tak kisah pun sama ada dia berkahwin atau tidak. Jodoh itu rezeki Tuhan nak beri. Kalau ada, dia bersyukur. Kalau tak ada, dia reda. Dapat seorang kawan yang baik macam Kaduk pun dia sudah cukup rasa gembira. Sejak ada pelbagai masalah kesihatan, dia sedar yang mungkin ada orang tak boleh terima keadaan dirinya.

"Kalau kamu setuju, bertunanglah dulu. Jumlah duit belanja hantarannya nanti ayah fikir nak letak..." Haji Othman pun sebut nilainya.

"Mahalnya, ayah." Syah terkejut dengan nilai 'duit belanja' yang ayah sebut. Sebenarnya ayah ni nak tolak pinangan keluarga Kaduk?

"Kalau betul dia nakkan kamu mestilah dia sanggup. Ayah pun nak tengok juga kesungguhan dia."
"Ayah, anak ni biasa-biasa aja." Ayah ni...

"Kamu pun nakkan dia juga?" Ayah tanya berulang kali.
"Biarlah Kak Ngah buat solat istikharah dulu." Syah tak jawab soalan.

"Kamu sukakan dia ke tak sebenarnya?"
"Dia orang baik, ayah."

"Ayah tanya soalan... sama ada kamu suka atau tak?"

Nada suara ayah jadi semakin tegas dan sedikit kuat. Cepat-cepat Syah menjarakkan telefon bimbit dari telinganya.

Suka Kaduk atau tak?

Syah buang pandangan ke luar tingkap. Tak tahu nak jawab bagaimana sebab tak sangka secepat ini keluarga Kaduk datang merisik. Lututnya yang terasa sakit digosok perlahan, sebelum beberapa hari kemudiannya Syah tak dapat berjalan. Kakinya macam lumpuh, paralyzed tiba-tiba.

Reaksi ayah malam itu juga menjadi salah satu sebab mengapa lama juga Syah berdiam diri, membiarkan Kaduk tertunggu jawapan sebelum menerima pinangan.

***

Dari Acheh ke Den Haag.
Dari Perak ke Johor.

Dari mata turun ke hati.
Dari berkawan baik terus ke jinjang.
 
Orang selalu nasihat, cerita semalam usahlah dikenang lagi. Mungkin macam judul buku yang Kaduk beri dia baca - Hiduplah untuk hari ini.

Dari gembira ke sedih. 
Dari bahagia ke sengsara.

Dari berkahwin memilih berpisah.
Dari berdua memilih bersendirian.

Hidup ini penuh dengan perkara yang tidak diduga. Sekelip mata sesuatu boleh berubah. Namun, hidup ini perlu diteruskan. Membaca coretan orang di media sosial, bermacam-macam kisah hidup suka duka yang dikongsi. Syah selalunya memilih hanya berkongsi apa disukai sahaja, apa yang baik dan boleh dijadikan teladan sahaja.

Syah tengok status Twitternya sekali lagi. Senyum.

Baru penulis kegemaran like boleh buat rasa gembira. Bagaimana sekiranya... Allah like kita?

Allah beri ujian, tanda Dia suka.
Allah beri dugaan, tanda Dia kasih.
Allah beri cabaran, tanda Dia sayang.

Syah termenung pandang langit malam melalui jendelanya. Masih tak tidur, sambung lagu petang tadi tapi versi lain di dalam hatinya.

Kalau rasa sedih, menangis.
Kalau rasa sedih, berehat seketika.
Kalau rasa sedih, serahkan kembali kepada Dia.

"Sayang, kenapa tak tidur lagi?" Suara Kaduk memecah kesunyian malam.

Hampir terlupa Syah yang Kaduk masih berada di hujung talian. Siang tadi suaminya dah telefon, malam ini pun menelefon lagi.

"Terima kasih, abang."
"Untuk?"
"Tak pernah putus asa."
"Abang dah janji nak jaga Syah, kan?"

Syah tersenyum lebar.

Semuanya... jadi terang.
Dengan kehadiran 'sang mentari' yang sentiasa sudi dan setia menerangi. Dan, kalau kita berniat nak jadi baik, Allah akan hantar sesuatu perkara atau seseorang yang baik untuk menemani kita.

"Nak surah al-Mulk, boleh?" Secara automatik Syah tukar buat gaya suara manja, seperti biasa setiap kali nak minta sesuatu daripada suaminya.

"Hmmm? Atau... nak al-Kahfi?"
"Nak dua-dua, boleh?"

Kaduk senyum. Dah bidadari syurga bersuara sampai hati lelakinya boleh cair, masakan mampu nak menolak. "Boleh. Bismillah..."

Di luar memang gelap.
Di dalam pun masih gelap.
Semuanya... gelap.

Kerana waktu malam... sememangnya Tuhan menjadikannya gelap.

(Alhamdulillah, tamat edisi istimewa kali ini.)

#RADHA #kalaurasasedih #isyaratdarilangit

***

Hari gembira mestilah diabadikan.
Sekian, terima kasih ☺️

📷: Pinterest

1 comment:

MaY_LiN said...

Syah selalu berahsia