Thursday, July 29, 2021

[Anekdot] Bila Abah Kahwin Lagi?

Bila Abah Kahwin Lagi?
Oleh Rnysa


Yang pergi, takkan kembali.
Yang hilang, mungkin berganti.
Abah pernah kecewa dengan Nyah.

Antaranya, kerana Nyah menolak tawaran temuduga biasiswa Petronas untuk belajar di UTP, sebaliknya memilih temuduga JPA untuk belajar di luar negara. Kedua-dua tarikh temuduga jatuh pada tarikh dan waktu yang sama. Nyah telah menelefon kedua-dua pihak penaja untuk menganjakkan temuduga ke tarikh atau waktu yang berbeza supaya dia dapat ke Tronoh dan Ipoh. Malangnya kedua-duanya tidak mahu menukarkan waktu sesi temuduga yang telah ditetapkan.

"Kalau abah nak belajar dekat sini, abah belajarlah." 

Itulah sebaris kata-kata kurang adab yang keluar dari mulut Nyah, yang buat hati abah terluka tentunya. Ayat itu keluar kerana Nyah ingin merasa pengalaman belajar di luar negara. Yalah, kalau ada peluang baik takkan nak dilepaskan pula. Mungkin abah ingat senang nak disenarai pendek untuk panggilan temuduga sebegitu.

Dengan memperolehi keputusan peperiksaan SPM yang baik waktu itu sebanyak 7 agregat, tentunya sedikit mudah untuk memohon mana-mana tawaran biasiswa. Sesuatu yang tak dijangka sebenarnya. Mana pernah dalam peperiksaan biasa atau percubaan SPM dapat keputusan sebagus itu. Rezeki jatuh dari langit namanya. Rezeki yang Allah nak beri.

Walaupun hati terluka, abah masih menurut kata-kata Nyah. Abah masih sudi menghantar Nyah untuk menghadiri sesi temuduga JPA, yang akhirnya melayakkan Nyah untuk mengikuti kursus persediaan ke luar negara. Abah dan opah masih sudi menghantar Nyah untuk mendaftarkan diri di sebuah universiti tempatan. Malah abah masih membenarkan Nyah mengikuti kursus persediaan selama dua tahun itu dan sudi menghantar duit belanja sewaktu biasiswanya masih belum masuk.

Namun, langit tidak selalunya cerah.

Nyah gagal menamatkan pengajian di luar negara dan biasiswanya telah ditamatkan. Atas apa yang telah terjadi, abah masih sudi membayar yuran pengajian dan memberi belanja sara diri bulanan supaya Nyah dapat menyambung semula pengajian di sebuah universiti swasta tempatan. Abah tidak menggalakkan Nyah memohon mana-mana bantuan pinjaman pelajaran lagi. Abah bimbang sekiranya anaknya itu gagal maka bertambahlah lagi hutang bayaran balik nanti.

#edisisebelumedit
#TugasanBKHLegasi_Abah
#UnIKH #BKHLegasi_Abah #tugasan2 #LA7

Nota: Tugasan 2 ini tiada dalam karya yang akan terbit pada April'21. Hanya taip untuk tugasan sahaja. Harap maklum. Alhamdulillah, dapat maklum balas yang baik dan minta ditulis versi penuh. Insya-Allah, boleh dipertimbangkan selepas Cinta Sofea siap ditulis.

***

Tugasan 2:

Taip tentang kecewa yang pernah abah hadapi. Kecewa itu mungkin kerana kita gagal dalam peperiksaan. Mungkin juga tentang pekerjaannya yang bermasalah. Boleh juga kecewa kerana hal keluarga.
.- Berikan solusi yang abah ambil. Tindakan abah. Jalan keluar yang abah pilih.
.- Taip lima perenggan sahaja.
.- Satu perengan mestilah lima ayat.
.-Boleh masukkan dialog.


Nota: Ilustrasi kaver ini untuk tujuan promosi sahaja.

1 comment:

MaY_LiN said...

Pandainya dpt agregat 7