Thursday, August 26, 2021

[Special Entry 8] Gelap

Karya pendek

Gelap
Oleh Rnysa

Special Entry 8
Edisi Bahtera Nabi Nuh

Petang.
#MCODayX #bahterapenyelamat
#stayathome #staysafe #staytogether

Di luar semakin gelap.
Dengan mendung awan hitam pekat menutupi sinaran cahaya yang sedia malap.


"Ramai yang mengaitkan pandemik Covid-19 ini dengan kisah banjir besar yang pernah melanda kaum Nabi Nuh pada suatu ketika dahulu. Jadi..." Syah berhenti sekejap, saja nak beri rasa teruja kepada anak-anak.

Arham, Aisyah dan Akram memberi tumpuan seratus peratus kepada ibu mereka.

"Jadi..." Syah ulang sekali lagi.

"Jadi?" Ucap tiga beradik serentak, sudah tidak sabar lagi.

"Jadi, ibu akan..."

"Jadi, ibu akan apa?" Yang bongsu sudah tidak mampu menahan debar. Lantas Akram terus duduk dalam pangkuan riba ibunya. Dah nak jadi abang tak lama lagi pun masih manja bukan main dengan ibu. Kalau boleh dia selalu nak dekat dengan ibu. Mak Adik selalu usik yang Cho macam anak kanggaru.

Syah berdehem beberapa kali. Selepas ambil dos suntikan vaksin ini dia cepat rasa dahaga dan kering tekak daripada biasa. Nak kena banyak dan selalu rajin minum air masak. Memang dia jenis minum air masak pun sebelum ini. Alhamdulillah, tak ada side effect lain yang teruk. Oh, ibu mengandung sudah boleh mendapat suntikan vaksin Covid-19. Apapun, sebaiknya rujuk doktor terlebih dahulu sebelum mendapatkan suntikan. Setiap orang hanya mampu berikhtiar, selebihnya berserah dan tawakkal kepada Allah Taala.

"Jadi, ibu akan menganjurkan pertandingan bercerita. Hadiahnya ditaja oleh..." Syah pandang muka Kaduk. "... ayah. Sila berikan tepukan paling gemuruh kepada penaja kita." Syah pun tepuk tangan, anak-anak pun ikut sekali.

Kaduk senyum dan angguk sahaja. Anak-anak pun nampak gembira semacam sebab hadiah pun turut disediakan.

Segera Syah paparkan poster pertandingan pada skrin TV. Bersemangat malam tadi dia godek-godek aplikasi Canva untuk buat poster, beri nampak sikit aura pertandingan itu. Selama anak-anak belajar dari rumah, pelbagai aktiviti pembelajaran dan permainan yang menarik mereka suami isteri cuba lakukan untuk tiga beradik itu supaya seimbang ilmu dunia dan akhirat.

"Yang Nabi Nuh ni berdakwah beratus-ratus tahun, kan?" tanya Akram untuk kepastian.

"Betul, lepas itu Allah perintahkan baginda bina kapal sebelum Allah datangkan banjir dan taufan," jawab Kaduk.

"Nabi Nuh... salah seorang Rasul Ulul Azmi juga," tambah Arham. Dia suka dengar ibu bercerita tentang kisah kehidupan para nabi dan rasul utusan Allah.

"Di dalam al-Quran, Allah SWT menyatakan bahawa Nabi Nuh AS menyeru kaumnya kepada Allah SWT selama 950 tahun. Berdasarkan firman Allah SWT:

وَلَقَدْ أَرْسَلْنَا نُوحًا إِلَى قَوْمِهِ فَلَبِثَ فِيهِمْ أَلْفَ سَنَةٍ إِلَّا خَمْسِينَ عَامًا فَأَخَذَهُمُ الطُّوفَانُ وَهُمْ ظَالِمُونَ

Maksudnya: “Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Nabi Nuh kepada kaumnya, maka tinggallah dia dalam kalangan mereka selama sembilan ratus lima puluh tahun; akhirnya mereka dibinasakan oleh taufan sedang mereka berkeadaan zalim (dengan kufur derhaka)”. Arham yang sudah hampir tamat menghafaz Quran dengan lancarnya membacakan petikan daripada surah al-‘Ankabut ayat 14 itu termasuk makna ayatnya sekali.

Syah pun gosok kepala anak sulungnya itu sambil memuji: "Bagus Along. Masya-Allah." Dan anaknya itu membalas dengan senyuman.

"Rasul Ulul Azmi itu apa, ayah?" Akram menyoal lagi.

"Ulul azmi adalah gelaran yang diberikan kepada para rasul yang memiliki kedudukan yang tinggi disebabkan ketabahan dan kesabaran mereka yang luar biasa dalam menyebarkan agama kepada kaumnya." Kaduk usap kepala Akram.

"Nabi Nuh AS, Nabi Ibrahim AS, Nabi Musa AS, Nabi Isa AS dan Nabi Muhammad SAW. Ada lima orang nabi yang digelar Rasul Ulul Azmi," celah Aisyah.

"Pandai Angah. Masya-Allah, bagusnya anak ibu." Puji Syah lagi. Seperti Arham, Aisyah pun balas dengan senyuman juga.

"Insya-Allah, kita boleh mencontohi kesabaran dan ketabahan para rasul dan nabi dalam kehidupan kita seharian." Kaduk senyum kepada semua anak-anaknya dan isteri.

Syah setuju. Ya, seperti tabahnya seorang Nabi Nuh AS berdakwah kepada kaumnya selama 950 tahun tanpa jemu dan lelah. Dalam Al-Quran pun ada bercerita tentang kisah Nabi Nuh ini dalam Surah Nuh, surah ke-71 dalam Al-Quran.

Di situ juga ada doa Nabi Nuh waktu cuba berdakwah dengan kaumnya:

"Sehingga aku berkata (kepada mereka): Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Ia Maha Pengampun. (Sekiranya kamu berbuat demikian), Ia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu; Dan Ia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan Ia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya)."

Daripada ayat 10 hingga 12 dalam Surah Nuh itu, Nabi Nuh AS menasihati kaumnya bahawa dalam hidup ini kena memperbanyakkan istighfar atau memohon keampunan daripada Allah SWT. Dengan itu, semoga Allah mengurniakan rezeki dan nikmat yang melimpah ruah lagi bermanfaat. 

Cerita bab istighfar ini ayah Syah pernah pesan kepada Syah waktu dia mengadu yang kadangkala susah tidur malam, atau tiba-tiba terjaga balik waktu tengah malam atau awal pagi buta. Ayah pesan boleh baca istighfar waktu terjaga. Alhamdulillah, sejak dari itu Syah memang cuba mengamalkannya. Dia memanjangkan pesanan itu kepada suami dan anak-anaknya juga.

Syah pun berharap semoga mereka sekeluarga mampu memilik ketabahan dan kesabaran seperti mana para Rasul Ulul Azmi dalam menempuhi segala ujian kehidupannya. Nak memerdekakan hati dan menyelamatkan diri daripada segala godaan dunia bukannya mudah. Dalam Surah Nuh juga menyebut yang kaum Nabi Nuh telah menurut atau mengikut orang yang banyak harta bendanya, dan anak-pinaknya tidak menambahinya melainkan kerugian di akhirat kelak.

Syah pandang wajah suaminya yang meriah bercerita tentang Nabi Nuh kepada anak-anaknya yang sedang khusyuk mendengar. Alhamdulillah, rezeki dapat seorang suami yang tolong sama dalam mendidik anak-anak.

Tiada yang lain Syah pinta dalam hatinya, semoga Allah sentiasa mengurniakan taufik dan hidayah buat mereka sekeluarga, serta seluruh umat manusia di dunia ini.

Yang Maha Pemurah.
Lagi Maha Mengasihani.

Tunjukilah kami jalan yang lurus.

Iaitu jalan orang-orang yang telah Engkau kurniakan nikmat kepada mereka, 
bukan (jalan) orang-orang yang Engkau murkai,
dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat.


(Alhamdulillah, tamat edisi istimewa kali ini.)

#RADHA #bahteramerdeka

Segala kisah Nabi Nuh di atas dipetik daripada:
https://muftiwp.gov.my/en/artikel/irsyad-al-hadith/1120-irsyad-al-hadith-siri-ke-71-umur-nabi-nuh-as-dan-jarak-masa-antara-nabi-adam-as-dan-nuh-as

📷: Pinterest

1 comment:

MaY_LiN said...

Seronok dengar anak2 bercerita