Saturday, September 04, 2021

[1] Luna Budak Power

Luna Budak Power
Oleh Rnysa

Tahun 1
Episod 1.1 - Luna & Minggu Orentasi

"Nampak langit... lari!" Jerit seorang OC atau orientation committee yang bertugas. Tak padan suara dia dengan badannya yang kecil molek. Macam pakai loud speaker saja.

"Gila punya arahan! Asyik suruh orang berlari. Ingat ini kem tentera ke... nak lari macam tak cukup tanah!" Luna menggumam perlahan, tak puas hati. Sekejap-sekejap suruh orang lari, sekejap-sekejap nak lompat bintang. Lepas makan pun kena lari, mahu terburai isi perut. Nasib baik tak termuntah tengah berlari itu.

Aku tersilap daftar masuk universiti ke ni? Luna bertanya pada dirinya sendiri dalam hati. Dia memandang langit. Kenapa waktu malam tak nampak langit pun kena lari juga? Kenapa?

Panas terik tengahari itu tanpa kasihan membakar kulit Luna. Sudahlah kulitnya jenis cepat gelap. Lepas ini nak cerahkan balik bukan senang. Luna bukannya puteri lilin yang tak boleh kena panas matahari. Tapi aktiviti lari-lari tengah panas ni memang saja nak mendera oranglah!

Bau badan jangan cakaplah. Masing-masing dah berpeluh macam air paip saja. Mandi pun mandi kerbau. Semedang nak cepat kejar masa. Aktiviti pun habis tengah malam. Takkan nak mandi malam pula, nanti orang kata kena sejuk paru-paru.

"Cepat!!!" Jerit kakak OC yang tadi.

Luna menjeling ke arah kakak OC yang suka menjerit itu. Siapa nama dia? OC Niza... OC Fiza? Yang Luna ingat masa waktu para OC perkenalkan diri,  OC Niza/Fiza cakap dia pegang bahagian disiplin. Ini mesti set yang masuk JPA-wataniah. Menjerit saja kerjanya.

Tapi Luna tabik spring lah pada OC Fiza/Niza ni. Waktu turun subuh memang dialah OC yang paling awal. Pagi-pagi lagi dah bersemangat nak mendera orang. Mana dia dapat semangat waja macam tu... setiap pagi? Ayam tak bangun, tapi dia dah bangun dulu. Siap ketuk pintu setiap bilik freshie dan jerit suruh bangun tidur. Pergh! Luna rasa budak dekat asrama lelaki pun boleh dengar suara 'loud speaker' dia tu.

"Yang lelaki tu... apasal tak lari? Terhengeh-hengeh macam lenggang mak limah!" Mata OC Niza/Fiza sudah terbeliak. Budak lelaki yang dikatakan berlenggang tadi terus berlari macam lipas kudung.

Luna menggeleng. Rasa kasihan pada Mak Limah. Tak pasal nama dia pula naik. Padahal Mak Limah langsung tak bersalah dalam hal ini. Ish, ish...

Berlari dari kafe ke dewan besar ikut jalan highway. Oh, jalan highway merupakan istilah untuk jalan belakang kampus yang jauh dan berbukit sikit. Padahal boleh saja ikut jalan depan kampus. Tapi untuk 'menguji stamina' kami semua, jalan jauh itu juga yang dipilih. Tak ubah seperti tengah berlari untuk acara merentas desa waktu zaman sekolah dulu.

Baru dua hari dekat universiti ini, tapi masing-masing dah buat muka macam kangkung goreng belacan. Dah lemah dan layu semacam. Mungkin jantung masing-masing terkejut bak terkena kejutan elektrik setelah berlari sepanjang masa. Mengalahkan semangat atlit nak berlatih masuk sukan olimpik. Agaknya waktu inilah pihak universiti nak tengok potensi wakil universiti masuk Kejohanan Olahraga MASUM (Majlis Sukan Universiti Malaysia) di kalangan budak freshie. Mana tahu, kan?

Waktu siang minggu orentasi penuh dengan sesi ceramah. Orang Hal Ehwal Mahasiswa nak beri ceramah, orang Finance pun nak ceramah. Wakil pihak polis pun nak bercakap. Malam-malam seronok sikit sebab banyak buat aktiviti latihan dalam kumpulan. Dapat pula kakak dan abang OC jenis meriah memang satu kelebihan. Boleh beri semangat dekat anak  buah dalam kumpulan supaya jadi meriah juga. Paling enjoy main Explorace. Kadangkala sakit hati juga dikenakan dek OC-OC, tapi tak adalah nak bawa sampai ke hati. Orang kata, bergurau senda membawa bahagia.

Luna dah mengira kipas yang terletak di sisi dewan. Hatinya terus berbicara: Aku tak tahu aku akan bahagia ke tak dekat sini? Aku main pilih saja kos yang ada, yang sesuai dengan keputusan matrik aku yang cukup-cukup makan tu. Aku tak pernah terfikir nak jadi engineer pun, apalagi nak belajar kos yang berkaitan engineering ni. Masa cikgu nak isi kad 001 zaman sekolah dulu, cita-cita aku adalah:

1. Doktor haiwan / Pakar Bedah
2. Pensyarah
3. Akauntan

Perkataan 'jurutera' pun dia tak pernah dengar rasanya. Entah macam mana boleh tercampak terhumban dekat kampus kejuruteraan sekarang ini. Nak patah balik dah tak boleh dah. Mak ayah dah keluar duit nak masuk sini.

Luna masih terkebil-kebil biji mata, mendengar taklimat pihak pemberi pinjaman pelajaran di depan sana. Bila biji mata nak terpejam, ada sajalah OC Disiplin perempuan itu lalu. Siap jeling-jeling pada Luna. Memang alergiklah tengok penguasa disiplin yang terlebih semangat itu. Asyik ronda keliling dewan saja kerjanya.

Tak tahu penat ke? Cubalah bawa-bawa duduk kejap, Luna mengata dalam hati. Astaghfirullah hal azim... orang buat kerja dia dengan cemerlang, Luna pula nak sibuk mengumpat. Tak baik tau!

"Pergi tandas cuci muka..." OC Niza mencuit Luna yang sudah tersengguk.

Luna buka mata lambat-lambat. Aisey, kantoi! Macam mana boleh tiba-tiba ada semula tepi aku ni? Menggerunkan betullah...

"Apa dia?" Luna buat-buat mamai. Baru nak lena sekejap...
"Pergi basuh muka," ulang OC Disiplin tanpa senyum segaris.

Luna telan air liur. Nak tak nak terpaksa juga dia pergi ke tandas di belakang dewan. Dan entah macam mana dia terlena pula dalam tandas. Elok saja dia tertidur di atas tandas duduk sehinggalah OC Disiplin datang mengetuk pintu. Taklimat sudah lama habis dan mereka akan bergerak ke surau untuk solat Asar.

Mata OC Disiplin sudah bagai nak terkeluar dari soketnya. Luna sudah terkulat-kulat dengan muka mamainya. Alamak, kantoi lagi!

Aku macam tak suka saja belajar dekat sini, Luna mengeluh dalam hati. Dia berkira-kira apa jenis denda yang bakal dia terima nanti.

Macam inilah rupanya minggu orentasi yang Luna terpaksa hadapi. Anda pula macam mana? Kongsilah pengalaman anda dengan Luna, okey!

1 comment:

MaY_LiN said...

Gitula gaya ragging zaman 20an