Tuesday, December 01, 2020

[#throwback45] Gelap

Karya pendek

Gelap
oleh Rnysa

#throwback45
#MakeBelieve #MakeADream

Aku tidak suka cuti. Aku tidak senang duduk di rumah tanpa berbuat apa-apa. Dengan cuti dua minggu yang diberikan oleh pihak hospital dan arahan dari suamiku, aku jadi mati akal. Setelah bertahun-tahun menghabiskan masa belajar dan waktu cuti semester pun diisi dengan pelbagai aktiviti, aku sudah tidak tegar lagi membiarkan waktu rehat berlalu tanpa berbuat apa-apa.

Tanpa kehadiran anak-anak, bagaimana orang perempuan boleh tegar duduk di rumah menjadi surirumah? Baru dua, tiga hari aku sudah rasa sunyi sungguh.

Usai solat Asar dan membaca Al-Mathurat tadi, aku kembali menghabiskan bacaan novel Nyanyian Tanjung Sepi (NTS) buat sekian kalinya. Tentu sekali aku hanyut dengan gaya romantis heronya. Noor Suraya a.k.a Kak Su sangatlah bijak mencairkan jiwa wanitaku. Setiap orang hero novelnya pasti berjaya mendapat tempat di hatiku. Dan aku sering percaya watak-watak itu wujud di alam nyata ini!

Aku tiba-tiba bersemangat menulis cerita aku sendiri. Tapi... tentang apa ya? Sejak balik dari umrah, aku rasa sudah jadi orang yang berbeza. Aku banyak berfikir tentang makna kehidupan. Aku seperti dalam larian yang panjang. Dalam usaha mencari Tuhan. Setiap kali memandang kaabah, pasti aku akan mendongak ke langit.

Tulislah sesuatu yang dekat di hati! Saran hati kecil ini.

"Apa kata kita tulis fasal kisah cinta ibu dan ayah?" Ucapku sambil mengusap kandungan yang kian membesar. Fikiran masih terpengaruh dengan novel cinta Noor Suraya.

Dari atas katil, aku terus bangkit membuka laptop. Dengan semangat yang separuh berkobar-kobar, aku mula menaip. Sebaris demi sebaris, lalu jadi seperenggan panjang dan melarat menjadi satu bab pendek pengenalan cerita.

Entah kenapa mataku tertancap pada buku UNTAIAN KISAH PARA WALI ALLAH karya Allamah Alyafi'iy, yang kemudiannya disusun dan ditulis semula oleh Syed Ahmad Semait. Sebelum aku memulakan novel NTS, aku baru ditamatkan pembacaan buku tersebut. Perasaan bersalah datang kerana teringat akan salah satu madah yang berbunyi:

Setiap yang menulis pasti menerima bala
Apa yang ditulis akan kekal setiap masa
Jangan berani menulis perkara yang sia-sia
Melainkan apa yang di hari kiamat mendapat pahala

Memikirkan tentang dosa pahala, aku tidak jadi bercerita tentang kisah cinta diri sendiri yang tidak seadanya itu. Buat malu saja jurutera tulis cerita cinta biasa!

Aku melentikkan jari, menilik cincin perkahwinan yang tersarung di jari. Lantas aku teringat pada seorang teman graduan dari Jepun yang berkerja di Pulau Perhentian: menjaga sistem janakuasa solar-kincir angin-diesel di pulau peranginan yang terkenal. Aimi Mastura namanya. Dekat-dekat nama Amy Mastura, penyanyi genit yang berasal dari Ipoh itu.

Ya, bercerita tentang kehidupan Aimi Mastura menarik juga! Belum campur lagi kisahnya bercinta dengan junior seuniversiti yang dua tahun muda daripadanya. Bagus, bagus.

🚀🛰️🔭📡

1 PHASE, 3 PHASE
Oleh Nurul Akasyah

"Adalah dimaklumkan bahawa Suruhanjaya Tenaga (ST) telah bersetuju untuk menetapkan pemakaian standard MS IEC 60038:2006 – IEC standard voltages sebagai voltan nominal bagi sistem bekalan voltan rendah yang baru di Malaysia iaitu 230/400V dengan julat +10% dan -6% pada frekuensi 50 Hz dengan julat ± 1%, menggantikan voltan bekalan sediada iaitu 240/415V dengan julat +5% dan -10% pada frekuensi yang sama.

Pemakaian standard MS IEC 60038:2006 – IEC standard voltages ini berkuatkuasa mulai 01 Januari 2008."

Demikian bunyinya surat pekeliling yang baru diterima daripada HQ di Bangsar. Lampiran yang dikepilkan sekali dalam emel itu segera dihebahkan kepada kerani kejuruteraan dan juruteknik di bawah seliaannya, melalui emel juga. Aimi Mastura beralih kepada emel daripada Pengurus Kawasan pula. Masuk hari ini sudah beberapa kali beliau mengingat pada semua jurutera dan eksekutif supaya memastikan anak buah masing-masing mengisi timesheet setiap hari.

Masih ada lagi pekerja yang tidak menghantar dan melengkapkan timesheet. Rancangan jadual kerja harian itu wajib diisi tanpa kompromi dan mesti diserahkan kepada ketua unit masing-masing sebelum diberi kepada jurutera atau ketua setiap bahagian. Selepas itu diserahkan pula kepada kerani rekod bahagian pentadbiran dan akhirnya sampai ke tangan Pengurus Kawasan (PK). Dalam Bahagian Perancang dan Pembinaan masih ada dua, tiga orang juruteknik yang buat peraturan sendiri, menghantar timesheet seminggu sekali. Sudah banyak kali Aimi Mastura menegur pun masih berdegil, tidak mahu mendengar kata.

Rasanya Aimi Mastura perlu minta tolong daripada juruteknik kanan Perancang, Mr. Wong. Hanya orang lama macam Mr. Leong sahaja boleh membantunya menasihati juruteknik-juruteknik yang sudah berkerja berpuluh-puluh tahun itu. Alasan mereka tiada lain: menulis timesheet itu kerja leceh. Padahal orang lain biasanya ambil masa dalam sepuluh minit sahaja. Masa sepuluh minit pun tak boleh diperuntukkan untuk tanggungjawab sekecil itu. Tetapi kalau bab isi borang claim, borong overtime... yang itu laju pula. Tak payah disuruh-suruh sudah sampai ke meja Aimi Mastura. Mana dia tidak geram!

Aimi Mastura memeriksa timesheet yang selamat tiba di atas mejanya. Waktu sudah menunjukkan jam sepuluh pagi, namun timesheet itu masih tidak cukup bilangannya. Dan masih juga orang yang sama belum menghantarnya. Aimi Mastura bangkit dari kerusinya, keluar dari biliknya. Berharap orang-orang yang berkenaan masih berada di meja mereka. Malangnya seorang pun tak ada.

"Encik Ghani pergi mana, Mister Leong?" Tanya Aimi Mastura kepada juruteknik kanannya yang juga merangkap ketua unit perancang itu.

"Dia pergi estimate."
"Dekat mana?"
"Projek bekalan baru Taman Perpaduan. Kenapa Cik Mastura?"
"Nanti ingatkan dia fasal timesheet. Wajib hantar setiap hari, bukannya seminggu sekali. Saya dah forwardkan emel dari PK pagi ini pada semua fasal timesheet ini."

Mr. Leong melurutkan kaca matanya. "Saya pun dah cakap dengan mereka. Tapi biasalah... masing-masing sudah tua. Cakap pun tak dengar."

"Yang lama kena bagi contoh pada yang baru..." tekan Aimi Mastura sambil mengerling kepada Megat Mohd Israq yang sedang bermain-main dengan pen berwarna-warni dan combination template warna hijau. Juruteknik lepasan Diploma Kejuruteraan Elektrik dari UiTM itu sedang tekun melakar semula pelan. Begitulah tugas mereka sesudah balik dari kerja 'estimate' atau menganggar di tapak projek.

Bahagian Perancang merupakan antara proses pertama yang mesti dilalui bagi sesuatu projek yang ingin dijalankan. Projek yang dipohon oleh pengguna mengikut prosedur yang telah ditetapkan dan pihak perancang akan memproses projek terbabit samaada diluluskan atau tidak.

Bagi projek yang telah diluluskan, bahagian perancang akan membuat lawatan dan proses penilaian atau jangkaan (estimate). Estimate amat penting dan mesti dijalankan kerana membabitkan penilaian kos-kos bagi sesuatu projek. Penilaian ini termasuklah membabitkan kos yang ditanggung oleh TNB dan juga pihak pengguna atau pemaju. Projek yang dimaksudkan di sini ialah projek bagi permohonan bekalan elektrik yang baru dan projek bagi permohonan dari pengguna untuk meningkatkan bekalan sedia ada.

Kalau cinta itu sekadar dengan memilih dengan mata, sudah lama nama Megat Mohd Israq termasuk dalam senarai lelaki yang menarik pada pandangan mata seorang Aimi Mastura. Penampilan luarannya memikat, tetapi pengisian dalaman tak pasti pula. Tapi dengar-dengar kata juruteknik lain, Megat itu seorang lelaki yang menjaga solatnya. Entah kenapa hari itu Jalal tercakap kuat-kuat di depan semua orang. Mungkin dia perasaan mata Aimi Mastura yang selalu 'terpandang' si Megat. Atau dia mungkin juga perasan Aimi Mastura jarang sekali kelihatan bercakap-cakap dengan juruteknik muda itu berbanding dengan orang lain.

"Walaupun muda, tapi alim betul si Megat ni..." cerita Jalal entah kepada siapa. Tetapi yang pastinya masa dia bercakap tentang Megat, matanya mengenyit pada Aimi Mastura. Waktu itu Aimi Mastura sekadar membalas dengan senyuman sebelum menyambung perbualan dengan Ridzuwan, eksekutif unit pembinaan, yang sedang memantau kerja kontraktor untuk projek Kem Sentosa Chenderiang.

Pencawang elektrik 11/415 KV kem PLKN itu baru sahaja siap dibina. Sudah siap sedia untuk dilengkapi dengan pengasing, pemutus litar, alatubah, papan agihan fius voltan rendah, pekakas pelantik dan sistem pembumian. Selain itu, loose items seperti carta CPR, caution plate, danger plate, safety signage, alat pemadam api (portable fire extinguisher), alas getah akan disediakan oleh TNB.

Megat pun memang jarang bercakap dengan perempuan. Memandangkan Aimi Mastura merupakan satu-satunya wakil kaum hawa yang tercampak ke tingkat dua ini. Tingkat ini kepada dua bahagian iaitu Perancangan dan Pembinaan (P&P) dan Kendalian dan Senggaraan (K&S). Jadi memang selalu sangat dia jadi mangsa usikan dan calon suai-kenal-padan oleh semua populasi kaum adam.
.
.
🚀🛰️🔭📡

"Memang cinta tak bisa memilih dengan mata. Biar saja ku nikmati perasaan ini..." Entah kenapa bibirku ikut mengalun bait lagu 'Kamu dan Kamu' nyanyian Agnes Monica. Eh, macam mana lagu nasyid boleh berganti dengan lagu dari seberang ini? Aku segera melihat senarai mp3 yang dimainkan. Astagrifullah hal azim, tengah mengandung masih nak dengar lagi lagu-lagu rancak dendangan Agnes Monica. Apa nak jadi dengan aku?

Aku menanggalkan earphone, memandang jam pada laptop. 7:10 PM. Sudah hampir waktu Maghrib. Lekanya aku. Mujur sudah baca Al-Mathurat tadi.

"Bukan main lagi. Menyanyi-nyanyi waktu macam ni..." Tegur suara lelaki dari belakang. Aku segera berpaling-paling.

"Eh, abang dah balik?" Aku terkejut melihat Kaduk sudah pulang. "Awalnya balik hari ni. Selalu pukul lapan lebih baru sampai rumah..." Belum sempat aku bangun dari kerusi, dia sudah terlebih menghampiriku dan menghadiahkan kucupan di dahi.

"Risau tinggalkan isteri seorang-seorang di rumah. Suami mithali!" katanya kemudian lalu ketawa.

"Amboi, masuk lif tekan sendiri nampaknya. Mujur Malaysia tak ada anugerah suami mithali. Setakat tokoh Maal Hijrah, tokoh guru saja..." Usikku pula.

"Buat apa? Sibuk betul menaip sampai tak sedar abang masuk. Siapkan kertas kerja apa-apa ke?" Tangannya sudah memicit-micit bahuku. Matanya terfokus pada monitor komputer riba.

"Eh, bukan!" Aku segera menutup monitor yang masih terpasang. "Err... tulis cerita..." Malunya kalau Kaduk baca.

"Cerita apa? Kisah Sang Kancil dan Buaya?" Ejeknya pula. Aku mencebik bibir. Mulalah nak usik orang, gerutuku dalam hati.

"Bukan. Cerpen nak hantar Berita Harian." Ucapku spontan, tanpa niat.
"Wah, hebat betul bunyinya. Bagi sini abang baca. Mesti cerita fasal angkasa lepas ni.." Nampak bersemangat pula suamiku. Dia menaikkan semula monitor.

Aku ketawa. Agaknya sanggupkah editor Berita Harian menyiarkan cerpen dari 'budak baru belajar' seperti aku? Jangan-jangan belum apa-apa sudah masuk dalam recycle bin!

"1 Phase, 3 Phase? Eh, ni benda electrical engineering ni. Aerospace engineering cerita tentang satelit lah..." Saran si jurutera minyak sebaik sahaja melihat tajuk cerpen.

"Siapa pula nak cerita tentang aerospace engineering? Nanti 'tertulis' kisah hidup sendiri. Tak mahulah!"

"Okey, cerita pasal bidang oil & gas boleh?"
"Eh, tulislah sendiri..."
"Nak letak tajuk apa? Suamiku... Carl Duke Adam?"
"Uweekkk!!!" Aku buat gaya nak muntah pada si jurutera yang perasan. "Adakah patut tajuk cerita guna nama sendiri?"

(bersambung...)

#RADHA #kibou

Petikan #throwback di atas daripada versi asal online e-novel RADHA: 1 Phase 3 Phase (kecuali perenggan akhir) yang ditulis pada 16 Julai 2009.

No comments: