Sunday, December 05, 2021

[Special Entry 10] Gelap

Karya pendek

Gelap
Oleh Rnysa

Special Entry 10
Edisi Sebuah Cerita

Malam
#MCODayX #honeymoon
#stayathome #staysafe #staysweet

Honeymoon.

1. Pulau Pinang
Kali pertama pergi berbulan madu. Tak boleh lupakan riak muka Syah saat dia minta nak rasa sikit roti jala.

2. Nara dan kawasan selatan Jepun
Pergi bercuti nak tengok musim luruh. Ajak sekali Ammar dan Wawa berkonvoi. Dan waktu inilah, dia tak sedar ada satu ketika yang Syah tak boleh berjalan.

Dia tahu pun sebab terbaca diari Syah.
Sampai sekarang dia masih tak faham kenapa Syah nak sorok penyakitnya daripada suami sendiri?

X. Morocco
Honeymoon lagi. Entah buat kali ke berapa kalau tak campur staycation hujung minggu. Tapi dia memang suka nak bawa Syah jalan-jalan. Dulu bercuti dengan kawan-kawan, sekarang bertemankan kawan baik zaman sekolah dulu.

"Dah kenapa asyik senyum saja dari tadi?" Si kawan baik yang sudah bertukar status jadi isteri itu berhenti membelek pinggan mangkuk di sebuah kedai dalam pasar atau medina di bandar Marrakesh ini. "Tolonglah pilihkan sekali..."

Kaduk sambung senyum lagi. Hati tengah berbunga bahagia.

"Sayang? Dah penat ke?" Si dia petik-petik jari depan muka Kaduk.

"Tak adalah. Okey, nak beli untuk apa?" Okeylah, dia beri kerjasama. Barulah nak tenung isteri lebih sikit kena buat kerja.

"Hadiah dan nak pakai sendiri. Cantik kan?" Sebiji periuk tajin dengan corak motif geometri tempatan disua kepadanya.

"Cantik..." Masih senyum sambil pandang muka Syah, bukan tengok periuk belanga.

"Yang mana satu lebih cantik? Yang ini atau..." Syah angkat lagi sebiji periuk corak lain. "Yang ini."

"Allahu akbar, nak kena pilih satu saja?" Pada kaca mata Kaduk, periuk is periuk. Fungsinya sama saja. Nak bandingkan mana yang lebih cantik? "Orang yang sedang pegang periuk."

Terus Syah letak balik periuk atas rak. "Jawablah elok-elok. Abang ni kan..."

***

Kaduk selak album gambar lama. Syah yang duduk di sebelah tumpang sekaki. Anak-anak semua sudah masuk tidur.

Mereka berdua tersenyum pada beberapa keping foto. Waktu atas kawasan bangunan hotel yang terbuka. Hari terakhir di Morocco. Esoknya mereka berdua sudah nak kembali semula ke London. Malam itu aktiviti santai sahaja. Lagipun sejak tiba di Morocco, Syah tak berapa nak sihat. Asalnya Kaduk bawa Syah berjalan-jalan sebab nak menggembirakan hati isterinya itu. Tapi itulah, dia faham dan sedia maklum dengan keadaan dan tahap kesihatan Syah. Nak berjalan terlebih sangat, nanti lututnya akan sakit balik. Nak berdiri terlalu lama sangat, nanti pinggangnya pun akan sakit balik. Jadi, jadual dan aktiviti percutian mereka pun disesuaikan mengikut tahap kesihatan Syah itu.

Hingga saatnya terluka.
Hingga saatnya berduka.

"Jom kita pergi honeymoon lagi." 
"Anak-anak?"
"Kita angkutlah sekali. Macam biasa." 

Syah diam lama. Kaduk ni biar betul...

"Ataupun... jom kita migrate?"
"Nekad?"

Kaduk tak pantas menjawab. "Sebenarnya abang lagi suka kita duduk Malaysia macam sekarang, lebih dekat dengan keluarga. Kalau apa-apa jadi sekurang-kurangnya ada ahli keluarga kita boleh tolong tengokkan Syah dan anak-anak."

"Tapi?"

"Tapi..." Kaduk pandang mata Syah. "There's part of you tak happy balik sini. Anak-anak pun dah mula perasan dan tanya abang, 'Kenapa ibu asyik sakit? Kenapa ibu asyik pergi hospital? Kenapa ibu dah makin kurus?' Abang tak boleh nak jawab. Sepatutnya Syah gembira, but deep down inside you're not. Itu yang buat semua orang bimbang dan risau."

Syah membiarkan Kaduk bercakap, tak menyampuk walaupun sepatah.

"Jadi, abang rasa seeloknya kita duduk di mana Syah rasa selesa. Lupakan fasal berapa abang dah habis untuk rumah ni. Kita fokus pada diri Syah. Selepas Syah bersalin, abang uruskan segala hal untuk kita migrate." Kaduk buka buku plannernya. "I've made all the plans. Tinggal nak execute bila aja."

Syah pandang masterplan si mastermind.
Tertulis di situ... 

MIGRATE TO ________

Siap ada timeline, long list apa nak buat dan macam-macam lagi. Sama caranya masa mereka putuskan nak balik ke Malaysia dahulu.

"Sayang pilih saja kita nak pergi mana. Abang dan anak-anak ikut saja pilihan sayang. You choose..." Kaduk buka peta dunia dalam telefon bimbitnya dan diletakkannya pada telapak tangan Syah.

"Kita... migrate lagi?"
Syah tarik nafas panjang-panjang.

Hingga saatnya derita.
Hingga saatnya bahagia.

Semuanya hanyalah perjalanan sebuah cerita.


(Alhamdulillah, tamat edisi istimewa kali ini.)

#RADHA #untiljannah #migrate

📷: Pinterest

1 comment:

MaY_LiN said...

Kaduk sgt memahami syah