Friday, December 24, 2021

[Special Entry 12] Gelap

Karya pendek

Gelap
Oleh Rnysa

Special Entry 12
Edisi Yang Berkhidmat

Penghujung Disember 2021
#MCODayX #DaruratBanjir
#stayathome #staysafe

Syah teragak-agak nak mengangkat telefon. Nombor tersebut sudah lama tidak muncul. Lama dia termenung di hadapan jendela kamar utama. Nak angkat atau tidak. Namun, akhirnya dia mengalah jua.

"Doktor Akasyah?"
"Ya, saya?"

"Maaf kerana terpaksa mengganggu, but... your country needs you. We need you."

"Baik, saya faham." Dalam sekelip mata lokasi sudah bertukar ke bilik mesyuarat ala war room. Syah meneliti setiap wajah yang sedang bersidang dalam meja bulat. Matanya berhenti pada orang yang duduk paling tengah, sedang mempengerusikan mesyuarat tergempar tersebut.

"Pinto? Ketua Pengarah NADMA?" Sejak bila pula Syah bekerja satu bidang dengan rakan sekolahnya itu? Syah kehairanan. Selepas itu muncul pula susuk suaminya yang berbisik kepada Pinto dengan wajah serius.

"Eh, Kaduk pun ada?" Bagaimana pula dua jurutera bidang oil and gas boleh terlibat sama dalam NADMA atau Agensi Pengurusan Bencana Negara?

Yang Kaduk pula pegang jawatan...

"Pengerusi MKN Selangor?" Bagai nak dah terkeluar biji mata Syah. Biar betul Kaduk memegang tampuk kepimpinan Majlis Keselamatan Negara.

Bunyi dentuman guruh yang kuat di luar dan disertai cahaya kilat yang terang membuatkan Syah terus terkejut dan tersentak.

"Astaghfirullah hal azim, mimpi rupa-rupanya." Syah buka mata. Wajahnya diraup berkali-kali sambil memandang suami yang nyenyak tidur.

Bahana mendengar perbualan Kaduk dan rakan-rakannya yang bermesyuarat secara maya untuk mengatur koordinasi bantuan banjir sebelum masuk tidur malam tadi. Ditambah dengan membaca segala kemaskini dalam media sosial. Boleh pula isu banjir terjah masuk ke alam mimpi.

Pada 18 Disember yang lalu, seluruh negara dikejutkan dengan banjir besar yang melanda beberapa buah negeri. Ada kawasan air naik tinggi sampai hapus bumbung rumah dua tingkat. Ada juga mangsa banjir yang sampai terpaksa bermalam di atas bumbung sementara menanti diselamatkan dan dibawa ke Pusat Pemindahan sementara (PPS). Orang awam, badan bukan kerajaan (NGO), sukarekawan, agensi kerajaan dan pihak anggota keselamatan masing-masing cuba memainkan peranan dan menjalankan tanggungjawab sebaik yang mungkin dalam membantu misi pasca banjir.

"Allahu akbar." Syah mengurut dada tatkala mendengar bunyi guruh sekali lagi. Terkejut sangat. 

Segera dia bangkit dari katil, menjenguk ke luar jendela. Hujan lebat sedang turun mencurah-curah ke bumi, disertai angin yang kuat. Walaupun rumahnya terletak dalam kawasan yang agak tinggi, namun rasa bimbang itu tetap ada.

Syah berkalih mukanya ke belakang sebaik sahaja mendengar rengekan Azlan. Pantas dia pergi ke katil anak kembarnya itu, menepuk-nepuk Azlan yang sudah terjaga.

"Tidur ya nak. Ibu ada ni. Tidurlah, sayang." Lembut sahaja dia menutur, mendodoi sehingga si kecil terlena semula. Mujur yang seorang lagi tak terbangun.

Kesempatan yang ada dimanfaat sebaiknya. Syah melangkah ke bilik air, mengambil wuduk. Telekung disarung, sejadah dihampar.

"Allahu akbar."

Di bawah langit yang sama
Menadah kurnia Yang Maha Tinggi

Di atas bumi yang sama
Mencari rezeki Yang Maha Luas

Dalam sujud terakhir Syah menangis teresak-esak. Rasa kurang sangat apa yang dia mampu buat. Apabila teringat balik mimpinya tadi, rasa Tuhan sedang cuba memberitahunya tentang sesuatu. Kemusnahan besar kali ini mungkin boleh dikurangkan kesan impaknya dengan kelebihan ilmu dan kepakaran yang dimilikinya. Namun, dia yang memilih berhenti di tengah jalan untuk berbakti kepada suami dan keluarga, sedangkan dia merupakan antara penerima biasiswa yang sepatutnya berkhidmat sepenuhnya untuk negara.

"Ya Allah, ampunilah segala dosa-dosaku."

Di antara langit dan bumi yang masih sama
Merenung makna Yang Maha Mengetahui

(Alhamdulillah, tamat edisi istimewa kali ini.)

#RADHA

***

Yang mungkin wonder Syah kerja apa dan latar belakang akademiknya, boleh baca entry sebelum ini:


1 comment:

MaY_LiN said...

Terbawa2 dlm mimpi syah