Sunday, November 15, 2020

[34] Gelap

Karya pendek

Gelap
Oleh Rnysa

34

Petang yang tenang
#MCODay221 #PKPB
#stayathome #stayundermyumbrellayumbrella

Di dalam mungkin gelap. 
Hidup tumpang berteduh sebentar cuma di bawah bumbung rumahnya yang tidak telap.

Satu dapur dan rumah berbau kek cawan. Petang Sabtu yang tenang. Usai solat fardu asar tadi cepat-cepat Syah sambung membakar dulang yang terakhir. Dia menerima tempahan kek cawan daripada kawannya, Doktor Vanessa. Vanessa merupakan salah seorang rakan senegara yang pernah menuntut di Universiti Tokyo dengan biasiswa tajaan kerajaan Jepun  Monbukagakusho (MEXT).

Lama sungguh dia tak jumpa Vanessa sejak universiti ditutup bermula pelaksanaan PKP pada 18 Mac yang lalu. Minggu lepas Vanessa menelefon, katanya mahu memesan kek cawan dan puding roti bersos kastard. Dia ingin meraikan kejayaan buah hatinya yang telah mendapat gelaran Ir. baru-baru ini.

Papa Kaduk juga kebetulan datang singgah sekejap di rumah mereka sekarang. Katanya, ada urusan dengan kawan perniagaannya berdekatan kawasan ini. Lalu dia mengambil kesempatan menjenguk mereka sekeluarga. Rajin betul papa Kaduk datang, sedangkan ayah Syah sendiri tidak pernah ziarah mereka sekalipun.

"Sekejap ya, papa," kata Syah sambil memicit beg piping yang berisi buttercream salted caramel.

Papa membalas senyuman dari ruang tamu sebelum bangkit menyertai dia di ruang dapur. Anak lelakinya sedang baca Al-Mathurat dengan cucu-cucunya waktu papa tiba sebentar tadi.

"Hmmm, sedap baunya." Mata papa jatuh pada puding roti yang terletak elok di atas meja kaunter yang memisahkan antara ruang tamu dan dapur. Agaknya dia sudah tidak senang duduk dengan segala bau yang menggoda deria hidung. Sudah macam duduk dalam kedai bakeri pula.

Agaknya kalau berhenti kerja, Syah sudah cadang nak ambil tempahan pemanis mulut. Tak adalah dia duduk menjaga anak-anak di rumah sahaja. Sedikit sebanyak dapat juga dia menyimpan untuk masa depan. Dia perlu sentiasa beringat yang langit tidak selalunya cerah. Dia perlu bersedia memiliki sejumlah wang dalam bank sekiranya sesuatu yang tidak diingini menimpa hidupnya. Ujian daripada Allah itu tidak datang mengira masa, tanpa boleh dijangka. Mengikut pengalamannya setakat hari ini, begitulah yang terjadi dalam kehidupannya. Mungkin tidaklah sesukar orang lain, tetapi tidak semudah yang orang lain sangka. Orang lain mungkin beranggapan bahawa dia seorang yang tabah, walaupun sebenarnya dia sudah koyak rabak. Cuma selama ini dia tak pernah tunjuk secara terang-terangan di hadapan semua orang.

Ting! Ding!
Dan, ketuhar dan juga pintu rumah berbunyi serentak.

"Boleh papa tolong?" Papa menawarkan diri sebaik sahaja melihat anak menantunya sibuk tidak menang tangan. Dia segera mencapai sepasang oven mitts yang tergantung berdekatan dengan ruang kabinet ketuhar.

"Terima kasih, papa." Syah segera basuh tangan dan bergegas melangkah ke pintu depan. Vanessa sudah sampai!

***

"Yang itu suami you?" Vanessa melirik pada lelaki yang sedang menatang dulang berisi cawan untuk Vanessa yang baru tiba.

"Eh, bukanlah." Syah tergelak. "Itu papa suami I."

Tidak lama kemudian, Kaduk datang ke ruang tamu dengan anak-anak.

"Haa, yang ini baru betul suami I."

"Adam." Kaduk letak tangan kanan ke dada.

"Oh, inilah agaknya prince charming yang you berjaya jumpa untuk payungkan you," bisik Vanessa perlahan.

"Payung?"

"Do you still remember our conversation years ago?"

Syah angkat kening.

***

Tokyo, Jepun
Sekitar tahun 2006...

Syah mendongak, melihat ke dada langit yang kian gelap. Dari jauh nampak awan hitam mendung mula berarak datang memenuhi ruang angkasa sebelum menurunkan hujan lebat yang mencurah-curah dari langit. Dia sekadar berpeluk tubuh buat seketika.

Ah, redah sajalah!

"Akasyah!" 

Syah pantas berpaling ke belakang. 

"Akasyah, I know it was you."  Suara lembut Vanessa menyapa telinganya dari belakang.

"Kenapa berjalan dalam hujan? Tak bawa payung?" Vanessa pindahkan sebahagian payungnya pada Syah supaya tidak kena air hujan.

"Tertinggal dalam lab. I tak cukup rajin nak patah balik dari library tadi." Dia ketawa. 

"Akasyah, Akasyah..." Vanessa pun turut sama ketawa sambil menggelengkan kepalanya.

"Terima kasih." Syah terharu gadis berketurunan Cina dari Puchong itu sudi payungkan dia. Dah duduk di luar negara begini, yang berlainan bangsa atau agama pun terasa bagai adik-beradik. Susah dan senang dikongsi bersama-sama.

"Sama-sama kasih." 

"You sibuk sekarang? Lama tak nampak muka you..." tanya Vanessa.
"Macam biasalah. You?"
"Tak pernah tak sibuk sejak mula semester," balas Vanessa.

Ketawa pecah. 
Masing-masing faham dengan tahap kesibukan diri sendiri dan tanggungjawab menjadi pelajar peringkat sarjana.

"Memang selalu hujan lebat macam ini?" tanya Vanessa.
"Ya, dari natsu nak masuk aki. Pertukaran dari musim panas ke musim luruh," jawab Syah.

"Oh begitu?" 

"Tak apa, Vanessa. Nanti you dah lama duduk sini mesti you boleh jadi pakar kaji cuaca. Hari-hari you tengok weather forecast."

"Itu bukan you ke? Cik Nurul Akasyah pakar kaji cuaca," usik Vanessa.

"Taklah, I cuma kaji teknologi untuk weather satellite sahaja. Yang pakar kaji cuaca bidang orang lain."

"Macam mana pakar kaji weather satellite boleh lupa bawa payung bila hujan? Oklah, I doakan you jumpa seorang prince charming yang boleh tolong payungkan you waktu hujan. Boleh teman dan jalan sama you lorrr..."

"Aminnnnnnn... Semoga berkat doa you dalam hujan ini. Terima kasih ya tolong doa untuk I, Vanessa. Oklah, I pun doakan untuk you dan boyfriend you juga lorrr..."

Ketawa pecah lagi.

Langit. 
Kian gelap. 

Hujan. 
Kian lebat.

***

#throwback

April 1999

Aku mendongak ke langit. Aku lihat kepulan awan-awan hitam mula melitupi ruang angkasa padang bola jaring bumi SERATAS yang tercinta. Ah. mungkinkah akan...

"Satu, dua, tiga..."

Sebaik sahaja kiraan tiga aku tamat, hujan gerimis dengan malu-malunya turun dari langit. Setitik demi setitik... dan akhirnya ribuan mungkin jutaan titik-titik hujan yang keluar dari perut awan-awan yang sarat mengandungkan wap-wap air.

Aku tersengih. Kebetulan ler pulak. Entah mengapa sejak dua menjak ini aku rasa aku telah menjadi peramal kaji cuaca tidak bertauliah yang berjaya. Berkat pemerhatian yang berterusan ke atas perubahan dan bentuk-bentuk awan, angin dan sebagainya, ramalan aku hampir benar belaka. Tidak sia-sia ilmu geografi dan sains yang dipelajari sewaktu di sekolah menengah rendah dulu.

Aku menebarkan pandangan ke padang bola jaring ini. Ternyata hujan yang kian menggila tidak melunturkan semangat penyokong kedua-dua belah pasukan untuk terus setia menyaksikan perlawanan pada separuh masa kedua pula. Ada di antara mereka berteduh di bawah khemah yang disediakan dan ada juga yang berpayung. Kain-kain rentang masih terpacak walaupun telah basah kuyup ditimpa hujan.

Tiba-tiba aku rasa fikiran ini begitu serabut macam kabel elektrik yang berselirat. Mungkin kerana terlalu memikirkan prestasi pasukan aku pada separuh masa pertama tadi yang agak kurang memberangsangkan.

Lontaran bola tidak begitu kemas dan lancar hinggakan senang saja dipintas oleh pihak lawan. Wani, goal shooter (GS) juga tidak memberikan persembahan seperti yang diharapkan. Jaringan `sipi-sipi nak masuk` dan `golek-golek atas jaring` si Wani itu membuatkan hati aku berbulu. Ishh budak ni. Kalo iya pun, aim lah betul-betul! Alahai Wani...

"Akasyah, are you ok girl?" sapa satu suara dari belakangku.

Aku tidak menjawab. Bukan kerana Bahasa Inggeris aku lemah. Cuma aku malas melayan pertanyaan dari sesiapa waktu ini. Sebagai pemain tengah atau lebih dikenali sebagai `center`, aku perlu bijak memainkan peranan aku selepas ini. Strategi... Strategi... Come on, Akasyah! Think!

Bagaimana pasukan lawan boleh bermain begitu lincah dan bertenaga pada petang ini? Setahu aku, mereka tidaklah sehebat mana. Selama ini pasukan itu boleh disiflikasikan sebagai pasukan `biasa-biasa aja` atau lebih tepat lagi pasukan belasahan. Ops! Bukan maksudku hendak memperkecilkan kemampuan pihak lawan. Mungkin mereka telah berjaya menemui formula luar biasa yang membuatkan aku sendiri tercungap-cungap menjaga pemain tengah mereka. Tak padan dengan kecil tapi macam lipas kudung. Ligat betul. Atau aku sendiri sudah pancit!

Aku bangun untuk membetulkan urat-urat yang mula terasa sengal. Aik! Orang itu masih ada rupanya. Dia memerhatikan gerak-geriku. Kenapa ya? Ah, biarkanlah luncai terjun dengan labu-labunya. Biarlah orang itu meng`usya` aku. Tidak luak sedikit pun. Kepala yang tidak gatal digaru berkali-kali.

Eh! Mengapa pula pandangan aku berpinar-pinar? Aku tidak dapat melihat wajah orang menyapa aku tadi dengan jelas. Mungkin mata aku juga perlukan rehat. Lalu aku pejamkan mata sebentar sambil itu tangan kananku memicit lembut dahi yang terasa berat.

Aku mengimbas kembali perlawanan yang kami tempuhi sebentar tadi. Macam pernah aku lihat corak permainan pasukan itu. Tapi di mana dan bila?

***

15 November
Di sebuah kampung di tepi Sungai Perak

Firman Allah SWT:

اعْلَمُوا أَنَّمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا لَعِبٌ وَلَهْوٌ وَزِينَةٌ وَتَفَاخُرٌ بَيْنَكُمْ وَتَكَاثُرٌ فِي الْأَمْوَالِ وَالْأَوْلَادِ ۖ كَمَثَلِ غَيْثٍ أَعْجَبَ الْكُفَّارَ نَبَاتُهُ ثُمَّ يَهِيجُ فَتَرَاهُ مُصْفَرًّا ثُمَّ يَكُونُ حُطَامًا ۖ وَفِي الْآخِرَةِ عَذَابٌ شَدِيدٌ وَمَغْفِرَةٌ مِّنَ اللَّـهِ وَرِضْوَانٌ ۚ وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلَّا مَتَاعُ الْغُرُورِ

Maksudnya: Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan, dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak; (semuanya itu terhad waktunya) samalah seperti hujan yang (menumbuhkan tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar (ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; akhirnya ia menjadi hancur bersepai; dan (hendaklah diketahui lagi, bahawa) di akhirat ada azab yang berat (di sediakan bagi golongan yang hanya mengutamakan kehidupan dunia itu), dan (ada pula) keampunan besar serta keredaan dari Allah (disediakan bagi orang-orang yang mengutamakan akhirat). Dan (ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya. - Surah al-Hadid (20)

Yang berlaku hari ini bukannya suatu permainan ataupun gurau senda. Yang diratapi adalah sebuah kematian, penghijrahan dari alam dunia ke alam kubur sementara menanti alam akhirat. Yang terjadi sudah tertulis di Loh Mahfuz, tak pernah lambat walaupun sedetik.

Syah menebarkan pandangannya ke arah Sungai Perak di hadapannya. Air sungai bak warna teh tarik itu mengalir lesu. Syah meraup wajahnya berkali-kali. Segala-galanya berlaku terlalu pantas. Terlalu cepat. Tak sempat dia menatap mak buat kali terakhir semasa hayatnya masih ada. Hanya semalam sempat melihat mak yang sudah dalam keadaan brain death di atas katil pesakit di dalam wad ICU.

"Ya, brain death," kata doktor.

Puncanya ialah raptured aneurysm, impak dari kemalangan jalan raya yang dialami oleh mak pada akhir Disember lalu. Mak tiba-tiba terlelap sewaktu memandu pulang dari melawat kenduri arwah di Langkap. Kereta yang dipandunya telah memasuki lorong arah bertentangan dan berlanggar dengan kereta yang datang. Mak cedera ringan sahaja tapi selepas itu sebelah mata mak dalamnya berdarah. Selepas pemeriksaan lanjut barulah dapat tahu ada beberapa aneurysm dalam otak mak. Atas faktor usia, mak hanya berkesempatan buat sekali pembedahan tapi bukan untuk semua aneurysm yamg ada. Doktor kata, otak mak macam bom jangka. Dan itulah yang terjadi pada pagi 14 November semalam. 'Bom jangka' itu 'meletup' dalam otak mak.

Raptured aneurysm.
Internal bleeding.
Brain death.

Kaduk dan dia baru balik dari bercuti di Pulau Jeju, Korea Selatan pada minggu sebelumnya. Sabtu itu Kaduk kena kerja, jadi Syah tak jadi nak balik Perak.

"Tak apalah, minggu depan kita balik. Tak sempat nak lama kalau balik Perak lepas abang kerja." Syah berkira-kira. Dan tak sangka dalam pada dia berkira-kira itulah Allah pun tarik nyawa mak. Panggilan telefon adik lelakinya memberitahu mak macam kena stroke ataupun serangan jantung.

Tadi waktu memandikan jenazah mak, masih ada sisa darah merah keluar dari telinganya. Syah rasa maknya dapat husnul khaatimah seperti yang ustaz ustazah selalu cerita dalam ceramah agama. Kerana wajah mak tersenyum manis macam sedang tidur sahaja dan ada peluh kecil menitik pada sebahagian wajahnya waktu nak dipakaikan kain kapan. Alhamdulillah, harap itu rezeki mak. Husnul khatimah.

Mak, Syah minta maaf sebab balik lambat. Kata Syah dalam hatinya waktu memandikan mak buat kali pertama dan terakhir. Syah tak sempat nak jaga mak pun waktu mak tua. Mak dah tak ada... 

Dan mak pun tak sempat cuba mask dari Korea yang dibeli. Dua bulan lepas mak tanya apa yang Syah pakai sampai boleh dihilangkan bekas jerawat pada dahinya. Namun, hari ini Syah hanya mampu sapukan kapur barus pada wajah mak. Segala macam jenis mask yang Syah beli untuk mak masih kemas tersimpan dalam beg luggage. Mak dah tak ada... 

Tidurlah mak, rehatlah mak. Mak dah penat jaga kami adik-beradik. Kata hati Syah lagi sambil usap pipi dan cium dahi mak sebelum Makcik Anum tutup wajah mak yang nak dibawa naik ke atas surau untuk disembahyangkan. Mak dah tak ada...

Patutnya dia boleh sahaja balik dengan kereta api Sabtu minggu lepas. Bukannya susah pun. Sekurang-kurangnya sempatlah dia menatap wajah mak buat kali yang terakhir semasa hidupnya. Itupun kau nak berkira-kira dan bertangguh-tangguh, Syah! Syah marah pada dirinya sendiri. Dan kini kesempatan itu sudah tiada lagi. Mak sudah pergi buat selama-lamanya di dunia ini. Mak dah tak ada...

"Sayang, hari petang dah nak hujan. Jom kita balik," ajak Kaduk. Genggaman Kaduk pada jari-jemari Syah makin erat.

"Tak apalah. Abang pergilah balik dulu."

Entah bila masa suaminya datang menurut di tepi sungai ini pun dia tak perasan. Janganlah risau, dia masih waras lagi. Tak adalah tiba-tiba sedih sampai nak terjun sungai atau apa. Syah sekadar ingin mencari sedikit ketenangan setelah selesai urusan pengkebumian sebentar tadi.

Tanpa berpaling, dia dengar derap tapak kaki Kaduk melangkah meninggalkan dirinya.

Sepanjang urusan pengendalian jenazah mak, Syah tak sempat pun nak mengalirkan air mata sebab nampak abang dan adik-beradiknya yang lain menangis sampai merah mata. Tambah pula Makcik Anum, saudara sebelah mak dan ayah yang tolong membantu urusan jenazah asyik bertanya itu dan ini. Syah kan anak perempuan yang sulung. Jadi, tanggungjawab menguruskan hal mak jatuh ke atas bahunya.

Macam-macam dia kena uruskan sejak pagi tadi membawa jenazah mak dari Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh. Hanya sempat rasa sebak semasa menemani mak dalam van jenazah, sementara adik perempuannya di kerusi hadapan sebelah pemandu untuk menunjukkan jalan arah pulang ke kampung mereka. Mak dah berpesan, apabila dia meninggal nanti tanam jenazahnya di kampung mereka dan dekat dengan tempat persemadian mak ayahnya. 

Syah mendongak ke atas kepalanya. Hujan dah berhenti? Eh, ada payung kertas opah yang dibeli di pasar sari? Payung kertas fesyen ini biasanya orang dah tak pakai lagi untuk kegunaan seharian dalam zaman moden ini. Selalunya orang tinggalkan ia di atas kubur di tanah perkuburan sahaja. 

"Hujan. Abang pergi ambil payung," jelas Kaduk tanpa dipinta. Ini saja yang sempat Kaduk nampak dan terus main capai dekat tangga rumah opah.

Syah sedang mengandung anak sulung mereka waktu ini, jadi Kaduk pun sedikit bimbang. Isterinya itu jamah makanan pun sedikit sangat tadi. Tak ada selera katanya.

"Tak apa, abang makanlah." Syah tolak pinggan nasi yang masih banyak bersisa pada Kaduk.

Mengikut cerita adik lelakinya, sebelum mak pergi awal pagi tadi, mak singgah makan di kedai tepi jalan di Changkat Tin dalam perjalanan balik ke kampung. Lauk terakhir mak - nasi putih, ikan kembung goreng dan sayur kubis tumis air. Mak sempat juga minta abang dan adik lelaki tanam pokok pisang di kebunnya yang berdekatan dengan rumah opah (mak kepada ayah). Saat-saat akhir kematian mak, dia masih sempat bercucuk tanam untuk anak-anak dan cucu-cucunya.

Sebelum menghembuskan nafas terakhir, mak sempat lagi mengamalkan sunnah Rasulullah SAW (yang menjelaskan kepentingan pertanian di dalam sabdanya) yang bermaksud:

إِنْ قامَتِ السَّاعَةُ وَفِي يَدِ أَحَدِكُمْ فَسِيلَةٌ، فَإِنِ اسْتَطَاعَ أَنْ لَا تَقُومَ حَتَّى يَغْرِسَهَا فَلْيَغْرِسْهَا

Maksudnya: “Jika terjadi hari kiamat sementara di tangan salah seorang dari kamu ada sebiji benih tanaman, maka jika dia mampu sebelum terjadi hari kiamat untuk menanamnya maka tanamlah.”

Yang termaktub dalam Riwayat Ahmad (3/183), al-Tayalisi dalam Musnadnya (2068) dan al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad (479)

Semoga mak sedang sibuk menuai hasil amal kebaikan dan tanaman yang dilakukannya selama hidup di dunia ini. 

Dalam hati Syah melafaz doa untuk mak:

 اغْفِرْلِيْ ذُنُوْبِيْ وَلِوَالِدِيَّ وَارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِيْ صِغِيْرًا

Yang maksudnya: “Ya Allah! ampunilah dosaku dan dosa kedua orang tuaku dan kasihilah mereka sebagaimana mereka mengasihiku sejak kecil.”

Dalam dingin petang dan hujan renyai-renyai, Syah pandang wajah Kaduk yang setia di sisi, yang sedang memaut erat pinggangnya.

Mungkin mak tahu yang hidupnya sudah tak lama, maka sebab itu mak nampak sedih waktu pesan pada Kaduk usai majlis akad nikah.

"Adam, mulai saat ni mak serahkan Syah pada Adam. Jagalah dia elok-elok..."

*Payung dipegang.
Ibu sudah terlambat.
Hujan musim luruh.

Mak dah tak ada... bisik hati Syah lagi.

Suram.
Sesuram masa pulang.

Lenyap.
Selenyap masa hilang.

Pabila pulangnya di sana yang tiada halang.
Pabila hilangnya di sini yang tiada galang.

***

Di luar sana hujan gemiris turun membasahi bumi. Syah pandang wajah papa. Dia menghela nafas dalam-dalam.

Yang tinggal rapat dengan dia, hanyalah Kaduk, anak-anak, keluarga sebelah suaminya dan juga adik-beradik Syah sahaja. Mak dah tak ada, ayah pula dah bawa diri... 

Sebelum Vanessa pulang, sempat Syah berbisik pada telinga gadis berkaca mata itu.

"I rasa I dah jumpa prince charming I."
"I knew you did. He will be the man who will hold the umbrella and stand with you in sunny and rainy days... for the rest of your life."

Vanessa dan Syah pandang wajah Kaduk sejenak sebelum dua kawan lama itu saling berpelukan erat agak lama.

"Hey Vanessa, cepat-cepat ajak boyfriend you kahwin."
"Hey Akasyah, banyak-banyak you perlu doakan untuk I."

"Of course, my darling!"

Dan ketawa kecil pecah lagi.

(bersambung...)

#RADHA #mendungtakberetihujan

Thank you to my dear colleague, Vanessa for your kind prayer and also holding the umbrella in the rain ☺️😉
 
Petikan #throwback di atas daripada versi asal online e-novel Relevankah Aku di Hatimu? yang ditulis pada 24 Oktober 2003. Sebenarnya ini tarikh entry pertama RADHA = birthday RADHA. Yang 23 Oktober 2003 itu birthday blog rnysa.blogdrive.com. Tak apalah, selang sehari sahaja. Sambut satu tarikh sajalah, senang nak ingat.

*Terjemahan haiku Bahasa Jepun yang dipetik dari laman ini

Rujukan ayat Al-Quran & Hadith


🥀🥀🥀

Al-Fatihah buat mak 🥀
23 Jan 1953 - 15 Nov 2018




No comments: