Wednesday, January 13, 2021

[#throwback52] Gelap

Karya pendek

Gelap
Oleh Rnysa

#throwback52
#mimpi

Kerja menjahit bukanlah sesuatu tugas yang sulit sebenarnya. Hanya berbekalkan sedikit kerajinan dan minat yang mendalam semuanya akan pasti berhasil. Malangnya aku tidak memiliki kedua-duanya hingga menyebabkan kemahiran itu dibiarkan begitu sahaja.

Aku 'dipaksa' belajar menjahit oleh mak sementara menanti keputusan SPM keluar suatu masa dahulu. Kadangkala aku merasakan jadi seorang perempuan itu adalah sukar. Kita perlu mahir serba-serbi termasuklah asas kerja menjahit. Sebagai persediaan menghadapi sebuah perkahwinan, lantas kita perlu jadi seorang yang serba-serbi tahu dalam hal mengatur rumahtangga.

Manalah tahu baju atau seluar suami terkoyak nanti, tak perlu sampai kena hantar ke kedai atau dihumban ke dalam tong sampah. Aku boleh jadi seorang isteri mithali, membaiki pakaian suami. Atau si suami boleh jadi lebih mithali lagi dengan menampal pakaian koyaknya sendiri, seperti yang dilakukan oleh nabi junjungan kita.

Tiba-tiba aku terasa hendak buka kelas menjahit khas buat suamiku pula, yang akan diberi nama: Kursus jahitan intensif buat Encik Kaduk. Tapi rasanya dia sendiri pandai menukang pakaiannya sendiri. Duduk di luar negara pasti buat dia lebih pandai berdikari.

Hmmm, yalah sangat...

"Syah, tolong..." Kaduk buat muka comel sambil menyuakan kemejanya yang tercabut butang.

Aku singgah di kedai menjual barang jahitan untuk membeli segala keperluan yang berkaitan dalam perjalanan pulang dari tempat kerja. Benang yang sepadan warna kain baju kurung mama, butang baju dan brown paper untuk membuat dasar baju. Aku juga beli dua, tiga jarum mesin jahit yang baru untuk menggantikan jarum telah patah dulu dan bakal patah nanti (sebagai persediaan kalau mesin jahit buat hal).

Nyonya kedai melakukan tugasan dengan baik sekali. Suakan saja kain, dia pandai carikan apa yang sepadan seperti yang diminta. Aku cepat-cepat membayar kerana hari sudah semakin gelap. Lagipun langit sudah kian gelap menunjukkan tanda-tanda hujan lebat akan turun. Bunyi guruh mula mengisi halwa telinga.

Dalam kadar segera, aku membuka langkah ke kereta tika hujan renyai-renyai mulai jatuh membasahi bumi. Bosannya memandu seorang diri ke tempat kerja setiap hari begini. Hendak menggunakan pengangkutan awan ke Pusat Angkasa Negara perlu bertukar-tukar pelbagai jenis pengangkutan awan apa semua pula.

Kaduk sudah bercadang kami patut pindah dari Kuala Lumpur dan tinggal di bandar yang berdekatan supaya mudah aku berulang-alik.

Alternatif kedua: aku perlu cari kerja kosong di sekitar Kuala Lumpur sahaja. Namun, cadangan itu yang aku rasakan kurang sesuai memandangkan major aku di universiti dahulu lebih kepada bidang sains angkasa lepas berbanding dengan industri lain.

Lagipun aku sudah cukup seronok dan selesa dengan kerja sekarang: menjadi jurutera sistem kawalan. Tugas utamaku adalah memantau dan menyelia dua buah sistem antena yang digunakan di Pusat Angkasa Negara iaitu receiving antena dan trakking, telemetry & command antena. Bertugas di Pusat Misi Kawalan sungguh mengujakan.

Pada mereka yang belum tahu, Pusat Kawalan Misi itu berfungsi untuk menampung aktiviti-aktiviti pengoperasian satelit dan pusat ini dilengkapi dengan peralatan komunikasi yang berupaya membuat hubungan dengan satelit-satelit yang dilancarkan ke orbit rendah dan orbit sederhana (LEO & MEO).

Peranan utama Pusat Kawalan Misi (MOC) adalah untuk Penjejakan, Telemateri dan Pengawalan (TT&C) satelit. MOC terdiri daripada Stesen Kawalan Misi (MSC) dan Stesen Penerimaan dan Pengprosesan Imej (IRPS). MOC bertanggungjawab untuk: pengeluaran satelit orbit-pendalaman, pengeoperasian satelit orbit-pendalaman negara, menyokong keperluan komunikasi bumi-ke-angkasa dan angkasa- ke-bumi and menyokong kerjasama antarabangsa dalam komunikasi angkasa.

Aku boleh cakap berjam-jam tentang kerja dan minat aku yang satu ini. Tidak semua orang punya impian untuk menerokai angkasa lepas. Sejak seorang angkasawan negara menjejakkan kaki di ISS, makin ramai anak muda di luar sana berminat dengan bidang ini. Bukan mudah hendak menarik minat orang terhadap sesuatu yang baru, namun aku percaya sesetengah orang mampu melakukan di atas kelebihan yang diberikan Tuhan.

Dan aku pula? Berkerja di Pusat Angkasa Negara adalah impianku. Hari ini bos besar memberitahu, aku mendapat tawaran berhijrah ke Remote Sensing Malaysia Headquarters di Jalan Tun Ismail, Kuala Lumpur. Ianya masih lagi dalam pertimbangan. Memang tempat kerjanya di sekitar Kuala Lumpur saja, tetapi...

Telefon bimbit berbunyi. Panggilan dari Kaduk.
"Syah dah sampai mana tu?" Suara Kaduk bernada risau menerjah telinga.

"Dah masuk KL ni."

"Lambatnya. Tadi ada singgah di mana-mana?"

"Kan Syah dah cakap nak pergi beli barang jahit. Lupa ya? Lagipun hujan lebat sangat ni, takut nak bawa laju-laju." Beritahu aku.

"Okey, hati-hati. Abang tengah tunggu di rumah. Malam ni abang masak untuk Syah, okey?"

"Terima kasih..." Aku jadi terharu dan sedih. Sudah dua minggu berturut-turut dia masakkan makan malam kami kerana aku pulang agak lewat ekoran cuaca yang tidak menentu sejak akhir-akhir ini.

"Syah, nanti kita cari rumah dekat-dekat tempat kerja Syah. Kita survey di Bandar Baru Salak Tinggi atau Bandar Baru Bangi, ya?"

"Sungguhkah nak pindah?"

"Abang kasihan dan risau tengok Syah pandu kereta jauh... dan balik lewat malam macam ni. Kalau abang tak apalah, sebab abang lelaki..."

"Ikutlah mana yang terbaik." Aku menurut sahaja.

Fungsi hands-free dimatikan. Aku memandang langit yang penuh dengan awan hitam. Gelap. Matahari juga kian beransur-ansur menyembunyikan sinarnya.

Tangan segera membuka siaran radio tempatan dan DJ sedang berbual dengan pemanggil tentang mimpi.

"Saya dapat melihat masa depan melalui mimpi..." cerita pemanggil.

Eh, boleh lihat masa depan melalui mimpi? Dah macam pelik sangat bunyinya. Dah macam cerita dalam tv.

"Hmm... kalau mimpi dapat jumpa nabi syoklah juga. Ni mimpi entah apa-apa, merapu-rapu. Macam tak logik saja!" Aku membebel seorang diri. Walaupun agak 'nakal-nakal' dan tidak sealim orang lain, namun aku tetap mengimpikan pertemuan dengan Rasulullah s.a.w. Bertuahnya orang dapat jumpa baginda... dalam mimpi!

Hmmm... Lagi seronok kalau dapat jumpa baginda... secara live. Mesti seronok jadi sahabat baginda... waktu itu, zaman itu. Ya, untung-untung dapat jadi macam Saidina Umar. Entah kenapa dalam ramai-ramai sahabat baginda, aku paling suka Saidina Umar. Sifat Umar mungkin ada kena sipi-sipi dengan aku yang agak 'brutal' ni.

Kaduk pula suka Saidina Abu Bakar. Ya, Kaduk memang sahabat yang baik. Seorang sahabat dalam diri seorang suami.

Dan untuk... Carl Duke Junior pula...
Ya, anak ibu yang comel a.k.a Carl Duke Junior pula.... perlu contohi sifat Saidina Ali, okey!

Wah, seronoknya jadi macam ni! Ada tiga sahabat - Abu Bakar, Umar dan Ali! Ermm.. macam pelik pula... kenapa ketiga-tiganya lelaki...?

Okey, mungkin aku boleh tukar jadi perempuan sekejap... Khadijah... atau Aisyah... atau Fatimah?

+Tapi bukankah aku memang seorang perempuan sejak dari azali lagi?
- Tapi Umar sangat best!
+ Tapi.... yang sibuk berangan-angan ni...

Betulkah sudah ada...anak ibu? Soalku dalam hati, di saat tangan mengusap perut yang masih kempis.

Carl Duke Junior a.k.a Kaduk Junior?
Mungkinkah?

Jauhnya aku berangan-angan seorang diri. Astaghfirullah hal 'azim. Terus tukar siaran dengar ikim dot fm.

(bersambung...)

#RADHA #KadukJunior

Petikan #throwback di atas daripada versi asal online e-novel RADHA 3: Dari Pagar Ruyung Ke Den Haag yang ditulis pada 13 November 2008 dengan sedikit edit di sana sini.

1 comment:

MaY_LiN said...

Happy bila bekerja dengan apa yg kita minat