Monday, May 10, 2021

[6] Cinta Sofea

Karya Pendek

Cinta Sofea
Oleh Rnysa

6


Ke gunung emas pasir baiduri
Ke padang zamrud habis diedari

Heisei 16 @ 2004


Rumah nombor 58.

Jam lapan malam. Usai kuliah maghrib, Adi yang ditemani oleh Kak Fida terus bersiap-siap menuju ke rumah khas AJK program, di mana tempat berlangsungnya pertemuan yang dijanjikan. Mungkin ia akan menjadi titik tolak pencetus suatu dimensi baru dalam hidup Adi.

Mukhriz telah lama menanti, duduk bersila mengadap meja kotatsu. Segak dengan sweater turtleneck rona hitam. Kupiah putih berjalur halus bertenggek di atas kepala.

Adi pula baru sahaja tiba, duduk bersimpuh di sudut yang bertentangan. Manis mengenakan baju kurung warna merah darah yang dipadankan dengan tudung merah samar. Kot labuh hitam menutup dari luar.

Mata bertentang mata sesaat.

Darah gemuruh menyerbu. Dalam hati Adi membaca apa-apa saja surah hafazan supaya dapat mengusir barang sedikit resah yang bertamu.

Dengan memilih suami yang soleh, seseorang dijamin akan dapat memperoleh kehidupan yang bahagia di dunia ini, khususnya dalam berumahtangga. Sekarang Adi sedang berdepan dengan salah satu pilihan yang dia ada.

"Macam kita nak mulakan ni? Saya tak biasa." Ujar Mukhriz agak malu-malu.

Ah sudah... orang yang biasanya petah berbicara tiba-tiba pula mati kata, balas Adi dalam hatinya seperti selalu. Takkan Mukhriz harapkan Adi yang pastinya lebih suka mendengar daripada membuka mulut. Jadi mereka berdua diam sambil menanti Kak Fida dan suaminya menjadi perantaranya. Ala-ala moderator. Eh, macam forum pula? Adi simpam senyum dalam hatinya.

Ya, forum pembinaan rumahtangga menurut perspektif Islam. Menarik. Boleh dijadikan tajuk pengisian akan datang. Adi tersenyum sendiri dalam hatinya sekali lagi.

"Begini Adi, Mukhriz... Kak Fida dan suami straight to the point sajalah. Tak perlu nak berkias, berbunga-bunga. Masing-masing dah faham tujuan kita berkumpul." Kak Fida tarik nafas beberapa saat, dihembusnya perlahan.

"Di pihak Mukhriz tak ada masalah sangat sebab dia yang memulakan. Tapi Adi... mungkin banyak lagi yang masih tak jelas." Kak Fida menarik dan melepas nafas panjang sebelum menyambung lagi. "Jadi, insya-Allah malam ni... kita akan guna sedikit masa yang ada ni dengar penjelasan Mukhriz sekejap lagi. Harapan Kak Fida moga-moga pertemuan ini dapat sedikit sebanyak membantu dalam proses mengenal hati budi masing-masing dan mumgkin boleh menjalinkan hubungan antara kamu berdua... seperti yang Mukhriz impikan."

Riak wajah Adi sedikit berubah. Seperti yang Mukhriz impikan? Apa guna ayat romantik sangat, Kak Fida? Adi rasa ingin ketawa pula. Lebih-lebih lagi apabila melihat Mukhriz sudah tertunduk dan malu-malu kucing.

Mungkin Kak Fida menangkap kelainan pada raut wajah Adi, maka cepat-cepat Kak Fida membetulkan ayatnya tadi. "Eh, bukanlah bermakna sekarang ni nak dijalinkan terus. Buat masa ini cubalah saling kenal antara satu sama lain dulu. Tahu apa yang tersirat di hati yang seorang lagi. Mungkin boleh mulakan sekarang. Kak Fida serahkan kepada Mukhriz..."

Memang terasa dalam forum, Adi komen dalam hatinya.

Mukhriz menanggalkan kupiah, diletakkannya di atas meja. Tangannya mengelus rambutnya yang sedikit ikal mayang.

"Saya tak nak pertemuan kita ini jadi formal sangat. Kita buat santai-santai saja." Ujar Mukhriz.

Adi senyum.

Mukhriz memulakan dengan selawat dan salam ke atas junjungan Nabi SAW, keluarga dan para sahabat baginda. Kemudian dia membacakan sepotong ayat dari surah ar-Ruum. Ayat ke-21.

Sekarang Adi rasa Mukhriz macam nak berceramah pula. Kata tadi mahu santai? Rasanya Adi akan 'enjoy' pertemuan ini. Mana tidaknya, setiap percakapannya akan mendapat 'ulasan selari' dari hati Adi. Hati yang kadangkala suka berkata-kata dan berbisik-bisik nakal begitu.

"Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmat-Nya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu yakni wahai kaum lelaki, isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikan-Nya di antara kamu yakni suami isteri perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan yang menimbulkan kesedaran bagi orang-orang yang berfikir."

Mukhriz diam seketika sebelum menyambung semula.

"Ayat tadi menerangkan bahawa dengan pernikahan, akan tercipta kehidupan sakinah, mawaddah dan rahmah. Kehidupan yang tenang, tenteram, bersatu, rukun, saling mempercayai, ramah-tamah dan bisa mengendalikan emosi, terjamin, sehingga tercipta suasana saling menyenangkan dan keinginan untuk selalu berkumpul di lingkungan keluarga, iaitu suami, dan anak-anak. Dengan kehidupan seperti ini, akan tercipta kasih sayang yang mendalam di antara pasangan tersebut." Ujarnya panjang lebar sambil-sambil membelek sekeping nota kecil.

Apa agaknya Itu? Catatan ringkas? Point penting? Wah, sungguh terancangnya dia. Adi masih tersenyum di dalam hatinya.

Mukhriz merenung wajah Adi yang nampak serius. 

"Janji tak nak formal tadi, kan. Gomen..." Mukhriz memohon maaf dalam Bahasa Jepun. Dia mengusap leher sambil tunduk tersenyum sendiri. Kemudian, dia menarik nafas lagi dan melepaskannya perlahan-lahan.

"Sebenarnya saya tak sangka Khadijah setuju jumpa saya malam ni. Ingatkan akan tolak atau tak bersedia lagi." Dia menarik nafas dalam-dalam. "Alhamdulillah, Allah permudahkan urusan kita ni. Saya di sini, Khadijah pun di sini."

Kemudian lama Mukhriz diam. Entah apa yang difikirkannya sendiri, Adi tidak pasti.

"Mengapa didamba teman seistimewa Khadijah jika diri tak sesempurna Muhammad..." Bisik Mukhriz perlahan, namun masih dapat didengari oleh telinga semua orang.

Kak Fida dan suaminya saling berpandangan, menyimpan senyum.

"Astaghfirullah hal azim..." Kata Mukhriz sambil menggeleng beberapa kali. Sekejap dia senyum, sekejap wajahnya kembali serius. Senyum lagi.

Adi kehairanan. Apa yang tak kena?

"Dah macam berceramah pula saya di sini. Maaf, saya pun sedap sangat bercakap sampai keluar segala macam." Akhirnya Mukhriz ketawa kecil sendiri.

Suami Kak Fida tergelak sama. Kak Fida dan Adi pun tumpang sekaki, tergelak kecil.

"Aduh, Abang Zafari dok tahan perut dari tadi. Mukhriz yang gelabah sangat. Dah berapa kali Kak Fida cuba hantar 'signal' suruh berhenti, tapi Mukhriz yang tak nampak." Kata suami Kak Fida yang merupakan pelajar sarjana, satu universiti dengan Mukhriz dan isterinya.

Adi dapat merasakan kemesraan yang wujud di antara mereka bertiga. Tak ubah macam adik-beradik. Dah namanya satu universiti, memanglah rapat. Lagipun Mukhriz memang sudah menganggap Kak Fida seperti kakak kandungnya sendiri. Kebetulan Mukhriz pun tidak mempunyai adik-beradik perempuan. Hanya dua abang, Syed Ahmad Mukhsin dan Syed Ahmad Mukhzani. Abang sulungnya, Mukhsin bertugas sebagai seorang doktor gigi. Manakala Mukhzani pula pernah mengikuti jurusan undang-undang di UK dan mungkin dia sudah menyertai firma guaman milik ayah mereka sendiri.

"Kasihan Adi, patutlah dia asyik perhati jam tadi. Dan riak nuka pun asyik berkerut. Mesti dalam hati tanya, bilalah nak habis ni? Lama lagi ke 'pengisian' ni?" Usik Kak Fida pula dalam nada bersahaja.

Adi menjungkit senyum sambil memandang Mukhriz sekali imbas. Tapi lelaki itu langsung tak melihat Adi, merendahkan pandangan sungguh-sungguh sambil... mengira jalur pada kupiahnya?

Adi nampak lelaki itu mengeluarkan sesuatu dari belakangnya. Lalu menyorongkannya kepada suami Kak Fida. Abang Zafari pun sorong kepada isterinya sebelum tiba di hadapan Adi.

"Hadiah daripada saya untuk Khadijah. Sebagai tanda kenang-kenangan." Kata Mukhriz.

"Terima kasih." Itu sahaja yang mampu dilafaz oleh Adi sambil menjenguk ke dalam beg kertas warna merah jambu di hadapannya.

"Dan... yang ini pula untuk Kak Fida. Terima kasih sebab banyak tolong saya selama ini." Kata Mukhriz, disorongnya pula sebuah kotak kecil.

Kak Fida segera membuka hadiahnya. "Cantiknya kerongsang ni, Mukhriz. Buat apalah susah-susah..." Mata Kak Fida tidak berkelip memandang keronsang mutiara di tangannya.

"Apa sangatlah kalau nak dibandingkan dengan budi Kak Fida." Mata lelaki itu berlabuh pada beg kertas di hadapan Adi.

"Budi menjagakan Khadijah, ya?" Sahut Kak Fida dengan pantas. Lalu Kak Fida pun bercerita panjang sebenarnya kehadiran Adi dalam persatuan ini atas permintaan Mukhriz. Dia yang minta Kak Fida ajak Adi ikuti usrah dan segala aktiviti yang dianjurkan.

"Tapi kadang-kadang Mukhriz rasa bersalah. Tindakan dia itu telah menjarakkan Adi daripada kawan-kawan rapat Adi. Adi terpaksa berkorban masa untuk bersama-sama kami di sini sedangkan teman rapat Adi yang lain berada di luar sana. Mukhriz tahu betapa susahnya bila terpaksa buat sesuatu di luar kebiasaan Adi.

Macam Kak Fida, Ryn dan yang lain-lain... kebanyakannya kami datang dari sekolah agama, pernah jadi AJK BADAR dan sebagainya. Dah terasuh dalam biah solehah. Apabila kami join persatuan macam ni dah suatu perkara biasa.

Tapi Adi lain. Datang dari sekolah yang suasananya mungkin berbeza. Jadi, mesti akan berperang dengan perasaan sendiri. Kami faham apa yang Adi lalui. Perasaan serba salah.

Mungkin masa cuti panjang saja Adi dapat luangkan masa dengan kawan-kawan Adi. Tapi waktu lain Adi terpaksa tolak pelawaan mereka. Mereka ajak ke sana ke mari tapi Adi tak boleh ikut sama sebab kita ada buat program. Kadang-kadang mungkin terdetik dalam hati Adi ingin bersama-sama mereka. Betul kan?" Tutur Kak Fida dengan panjang lebar dalam nada paling lembut.

Adi terkedu. Ya, memang Adi selalu rasa begitu. Rindu mahu bersama teman-teman. Adi melepaskan nafas berat. Tapi Adi tak salahkan sesiapa, mungkin sebenarnya dia yang tidak bijak mengatur masa. Lalu teman-temannya makin dipinggirkan sebab mereka juga tidak minat mengikuti program sebegini.

"Awal-awal dulu Adi cuba lari-lari dari semua ni, kan? Mukhriz yang minta Kak Fida 'pegang' Adi betul-betul, jangan bagi lepas." Kata Kak Fida lagi sambil melirik ke arah Mukhriz yang tampak merah muka pula tak semena-mena.

Adi mengetap bibir. Rasa panas menyimbah muka. Patutlah Kak Fida selalu menelefon bertanya khabar. Rupa-rupanya... 

Ya-Allah, malunya apabila tahu ada seseorang ambil berat sampai begini sekali. Mesti banyak yang mereka bualkan tentang Adi. Hati pun berdetik rasa terharu dan malu juga serentak.

"Sejak dari di pusat persediaan lagi Kak Fida dan Mukhriz dah nampak kecenderungan Adi nak menuntut ilmu agama. Sebab biasanya kalau ada program keagamaan, Adi selalu ada sama." Tambah Kak Fida lagi.

"Ditambah pula saya pernah terdengar cerita dari mama Khadijah. Katanya, masa Khadijah umur empat tahun dah hafal satu juzuk amma. Juzuk tiga puluh. Kalau jumpa kawan Uncle Khuwalid yang kerja dekat bank, dia selalu minta Khadijah bacakan mana-mana surah. Sebut saja surah apa, awak boleh baca dengan lancar. Masya-Allah, saya yang mendengar rasa kagum. Rasa cemburu pun ada." Celah Mukhriz.

Eh, macam mana Mukhriz boleh korek rahsia zaman kanak-kanak Adi? Memang mama selalu bercerita tentang itu. Adi sedikit pun tak ingat. Cuma beberapa lama selepas itu baru Adi perasan dan percaya. Sebab setiap kali mendengar mana-mana surah juzuk amma yang papa selalu pasang semasa memandu, kadang-kadang Adi boleh ikut baca sama walaupun tak berapa lancar. Sayangnya tiada siapa yang jaga hafalan Adi lagi. Papa dan mama semakin sibuk dengan adik-adik yang saban tahun bertambah bilangannya. Adi pula mula menjejakkan kaki ke alam persekolahan, semakin sibuk dengan hal akademik dan peperiksaan. Semua hafalannya hilang begitu sahaja.

Hanya semasa berada di pusat persediaan baru Adi tergerak hati untuk menghafal semula. Itupun kerana terdorong dengan cerita mama. Surah al-Baqarah jadi pilihan, walaupun sepatutnya Adi mulakan dengan juzuk amma. Alhamdulillah, Adi tak hadapi banyak masalah sebab papa selalu baca semasa mereka sekeluarga solat berjemaah. Namun baru seratus ayat pertama Adi berhenti atas kesibukan sebagai seorang pelajar.

"Dari apa yang Kak Fida beritahu saya, Khadijah makin ke hadapan dalam hafazan sekarang." Puji Mukhriz lagi.

Adi tersenyum. Mungkin Allah hendak membantu dalam merealisasikan cita-cita hafizah-tak-jadi Adi itu. Tahun lepas timbul semula semangat baharu selepas Adi mengikuti beberapa sesi usrah. Hafalan lama diperbarui semula dan kemudian ditambah dengan surah-surah yang lain sedikit demi sedikit. Syukur.

"Jadi berdasarkan latar belakang yang begitu, Mukhriz pun terfikir bagaimana kalau Kak Fida cuba bawa Adi ke dalam medan dakwah ni. Alhamdulillah, atas izin Allah ianya membuahkan hasil. Kita berjaya hasilkan sebutir lagi mutiara untuk menyampaikan risalah Islam. Mungkin kena polish lebih sikit supaya lebih bersinar-sinar." Ujar Kak Fida pula.

Adi tertunduk. Ya-Allah, besarnya harapan mereka kepada dirinya yang kerdil ini.

"Mengapa didamba teman seistimewa Khadijah jika diri tak sesempurna Muhammad..." Bisik Mukhriz sekali lagi.

Adi terdiam sekali lagi mendengar kata-kata itu.

"Secara peribadi, Mukhriz sangat gembira atas perkembangan diri Adi selama ini. Sanggup menongkah rasa, bermujadah dalam usaha mengikuti manhaj tarbiah dan dakwah persatuan kita. Manhaj yang berawal dari penyampaian fikrah, diikuti dengan pembentukan mereka yang menyambut, seterusnya diikuti oleh persediaan dan penglibatan secara langsung dalam medan amal. Kini Adi semakin manis dengan jubah dan tudung labuh. Allhamdulillah, ternyata Adi sebaik-baik pilihan." Kak Fida menggenggam jari-jemari Adi seeratnya.

Adi sedikit tergamam. Matanya dihalakan kepada Mukhriz. Sesuatu yang aneh menyelinap ke dalam hati. Perasaan yang tak bisa diungkapkan dengan kata-kata.

"Saidatina Khadijah binti Khuwailid. Dialah ibu orang-orang mukmin, isteri yang setia, sentiasa berbuat baik kepada suaminya, serta membantunya ketika baginda menyepi sebelum diangkat menjadi Rasul. Dia selalu memberikan motivasi dan meneguhkan semangat Rasulullah dengan membenarkan ajaran yang dibawa oleh suaminya.

Nur Khadijah binti Khuwailid. Tidaklah saya dambakan yang bukan-bukan daripada Khadijah sedangkan diri saya ini pun tidak sesempurna mana. Saya sekadar impikan seseorang yang selalu bersama dengan saya dan saling memberikan motivasi hingga ke akhir hayat. Dia juga sudi berkongsi semangat yang saya miliki ini." Kata Mukhriz akhirnya, memecah sunyi.

Adi terdiam. Dalam masa yang sama, sedikit rasa berdebar menantikan kata-kata Mukhriz yang seterusnya.

"Dengan nama Allah dan Rasul, saya ingin melamar Khadijah menjadi suri hidup saya."

Akhirnya, terluah jua sudah segala rasa di hati. Yang lama terpendam dan menanti saat dapat memiliki.

(bersambung...)

#CintaSofea



1 comment:

MaY_LiN said...

Gabra sgt mukhriz ni
Tambah malu adi ��

Rs mcm selit kisah rnysa
Jd further studi bahasa arab?

Simpam~simpan