Saturday, May 01, 2021

[Special Entry 2] Gelap #Bday3

Karya Pendek

Gelap
Oleh Rnysa

Special Entry 2
Edisi Istimewa #bornday
Bahagian Tiga

8 April 2021
#MCODay372 #born8April2020
#stayathome #staysafe #staywithyourloveone

#1stAnniversary #365hariberGelap
#takdiryangtertulis #qadaqadar

Di luar hanyalah gelap.
Dengan tirai langit malam hitam pekat berlabuh, membawa mimpi dan impian dalam harap.


Tok! Tok! Tok! 

"Ibu. Ibu, Cho ni. Ibu..." Teragak-agak Akram ketuk pintu kamar utama. Dan tak lama kemudian, pintu pun terbuka dan wajah ayahnya yang menyapa ruang matanya.

"Kenapa, Cho? Ibu tengah tidur, Cho." Wajah bersahaja anak bongsunya itu dipandang.

"Ibu... tak sihat ke, ayah?" Lambat-lambat Akram bertanya.

Waktu makan malam tadi Akram perasan ibu makan sedikit sahaja dan kurang berbual seperti selalu; tidak bertanya itu dan ini tentang hari persekolahan mereka. Kemudian, ibu kata yang dia letih dan nak masuk tidur dulu. Ibu juga tak ikut serta solat isyak berjemaah dengan ayah dan mereka semua.

"Ibu penat sikit hari ini." Kaduk ulang balik skrip isterinya.

"Oh..." Kepala Akram terjenguk-jenguk ke dalam kamar ibu ayahnya. Susuk ibu yang sedang berselimut menyapa matanya.

"Ibu penat sebab apa? Sebab adik dalam perut ibu?" Akram yang sudah tahu tentang kewujudan bakal adik baharu menyoal lagi.

"Macam-macam..." Jawab Kaduk, ringkas.

Selepas hantar power bank untuk Syah tadi, Kaduk pergi ambil anak-anak dari sekolah pula.

"Abang baliklah uruskan hal anak-anak. Tak apa, Syah boleh uruskan hal kereta semua." Kata Syah sebelum memanjangkan leher, mata merenung ke dalam balai semula.

Usai urusan di balai polis, isterinya menuju ke bengkel panel yang disyorkan oleh syarikat insurans, yang letaknya berdekatan rumah mereka dengan menaiki Grab sahaja.

Tadi hujan lebat sangat dan Kaduk tak sempat hendak kosongkan bonet Bumblebee Rebel sebelum ditinggalkan di bengkel, sementara menunggu untuk dibaiki. Dia berkejar ke sekolah anak-anak kerana waktu persekolahan hampir tamat. Lepas ambil tiga beradik itu dari sekolah, terus anak-anak bersiap mandi apa semua seperti biasa sebaik sahaja tiba di rumah. 

Sementara itu, lauk-pauk untuk makan malam itu Kaduk yang masakkan juga. Masak pun main campak-campak apa yang ada di dalam peti sejuk sahaja. Syukur, anak-anak mereka jenis tak memilih dan berselera sahaja apa yang mereka masak. Syah sudah latih supaya anak-anak sentiasa bersyukur atas segala rezeki yang Allah kurniakan, tidak kira sama ada kecil ataupun besar. Jadi, Kaduk pilih masak menu mudah lagi ringkas. Sambal cili telur rebus, ayam goreng kunyit dan sayur bayam rebus cicah sambal belacan.

Arham sudah boleh diharap tolong tanak nasi. Aisyah pun sudah pandai bancuh air. Akram yang kecil pun ringan tulang susun pinggan dan cawan di atas meja makan. Sejak dari kecil lagi mereka diasuh membantu dalam menguruskan kerja rumah termasuklah diri mereka sendiri.

Sebentar tadi, Syah pulang sendiri dari bengkel kereta ke rumah mereka dengan menaiki Grab sahaja. Setibanya di rumah, waktu sudah hampir menginjak ke senja. Alhamdulillah, semuanya sudah tersedia sebaik sahaja Syah sampai di rumah. Tak perlu risau nak uruskan hal Kaduk dan anak-anak lagi. Usai makan dan solat maghrib berjemaah bersama, cepat-cepat Syah minta izin nak masuk bilik untuk berehat. Tatkala azan isyak berkumandang, Kaduk pergi jenguk Syah di dalam bilik.

"Sayang, dah masuk waktu ni..." Ulang Kaduk sebanyak tiga kali.

Sudah cuba dikejutkan tapi Syah tak bangun-bangun. Tapi, tak sampai hati pula nak kejutkan banyak kali sangat sebab nampak wajah polos isterinya yang terlena dek kepenatan.

Dan kini anak bongsunya pula datang menjenguk sebab waktu makan malam tadi tak dapat bersembang banyak dengan ibunya seperti selalu.

"Ayah, Cho nak masuk tengok ibu. Boleh tak?" Akram bertanya pada ayahnya yang senyap sahaja dari tadi.

Kaduk gosok lembut kepala Akram, jawab dengan anggukan sahaja.

Penuh tertib Akram masuk dalam bilik ayah ibunya. Ibu sudah pesan perlu minta izin dulu. Dia menuju ke katil, memanggung dagunya dekat dengan ibu. Wajah lembut ibu ditatapnya. Rambut ibu yang cantik hitam lebat diusapnya. Pipi ibu yang berbau harum dikecupnya lembut.

"Ibu..." Seru Akram. Dia sudah bercita-cita mahu menjadi doktor apabila besar nanti. Nak jadi barisan hadapan atau frontliner. Maka, tugas menjaga ibu adalah keutamaannya.

Syah membuka matanya perlahan-lahan apabila terdengar suara anaknya itu memanggil-manggil.

Kaduk duduk di tepi birai katil sambil memerhatikan sahaja interaksi si ibu dan anaknya. Dia capai semula buku yang dibacanya tadi. "Hiduplah Untuk Hari Ini" buku terjemahan dalam Bahasa Melayu karya Syeikh Muhammad Al-Ghazali, terbitan Iman Publication. Daripada buku ini jugalah Dr. Aidh al-Qarni mendapat inspirasi menulis bukunya yang terkenal iaitu "La Tahzan" atau "Jangan Bersedih".

Kaduk pandang Akram sekali lagi. Kepala Akram yang sedang menopang dagu sambil bercerita dengan Syah diusapnya penuh lembut dan rasa kasih. Anak lelakinya itu memang sangat menyayangi ibunya. Dan si ibu penuh tekun mendengar setiap bait kata daripada si anak. Sudah menjadi ibu ayah, kadangkala rasa penat terpaksa tolak ke tepi. Hal anak-anak menjadi prioriti dan ibu ayah perlu memainkan peranan masing-masing. Amanah dan tanggungjawab dipikul bersama.

"Cho, dah lewat malam ni. Esok dah nak pergi sekolah." Tegur Kaduk sambil tunjuk jam di atas meja sisi katil.

"Cho tidur dulu, sayang. Terima kasih sebab jenguk ibu. Cho memang anak yang baik. Mari sini sayang ibu dulu." Syah tarik Akram ke pelukan. Kecupan hinggap di pipi kiri dan kanan anaknya itu.

"Jom Cho..." Kaduk pimpin tangan Akram, jalan beriringan masuk ke kamar anak-anak lelaki.

Syah membelek buku yang Kaduk tinggalkan di tepi katil. Blurb belakang buku dibacanya.

Sedih, risau, kecewa, gelisah.

Mungkin ada di antara kita yang dibelenggu kesilapan lalu sehingga menyalahkan diri sendiri, ataupun resah memikirkan hari esok yang belum pasti.

Hakikatnya, kita tidak boleh mengelak daripada melalui episod kegelisahan dalam hidup kita. Masa lalu tidak boleh diubah, masa hadapan pula tidak boleh diramal. Namun, kita masih memiliki hari ini untuk ditempuhi dengan lebih baik dan meraih ketenangan dalam hidup kita...

Syah senyum. Sudah khatam sangat cara Kaduk mahu mendidik dirinya. Kaduk memang sengaja meletakkan bukunya di situ supaya Syah membacanya juga.

Cinta dan kecintaan.
Hanya hujan kasih sayang mengundang terapi.

(Alhamdulillah, tamat versi istimewa kali ini.)

#RADHA

Special entry sempena sambut setahun Gelap. Terima kasih kepada semua yang sudi baca.

📷: Pinterest / Twitter

3 comments:

AQILAHRAMLI. said...

Nampaknya ada semangat yang menyeru utk baca buku HUHI 🤭

Alyati said...

Ahhhh.. love

MaY_LiN said...

Bagus kaduk & syah didik anak2