Wednesday, May 19, 2021

[7] Cinta Sofea

Karya Pendek

Cinta Sofea
Oleh Rnysa

7


Senyuman manis
Yang bisa mencairkan segalanya

Heisei 16 @ 2004


Kayu pole diletakkan ke tepi. Dengan kudrat yang masih bersisa, Adi cuba mengangkat keluar kaki yang disarung boot warna perak yang agak berat. Berusaha meleraikannya dari cengkaman binding yang terlekat pada snowblade. Dahinya berkerut menahan sakit. Bahagian sekitar buku lali kaki kiri ini makin kuat denyutnya. Dari semalam lagi sudah sengal seluruh badan. Hari ini ditambah pula dengan jatuh dalam pelbagai gaya bebas. Langsung makin teruklah jadinya.

"Ya Allah, manalah si Jaja ni?"

Goggle ditanggalkan. Mata Adi liar mencari kelibat Cik Jaja yang comel itu. Takkan dia pergi cari skuad paramedik ala-ala Rescue 911 pula. Kaki Adi ini mungkin terseliuh sedikit. Harap tak ada tulang yang retak atau patah. Walaupun penuh dramatik juga gayanya jatuh tersungkur berguling-guling tadi.

Orang baru belajar main ski. Jatuh bangun dan tergolek berguling-guling itu perkara biasa. Entah berapa kali Adi gagal mengimbang badannya dengan baik. Tidak berjaya menghasilkan momentum ketika sedang meluncur.

Ya, momentum. Undouryou.
p=mv

Pekerja resort berbangsa Jepun yang menjadi sensei ski mereka yang terangkan begitu semalam dengan penuh bahasa teknikal sekali. Tiba-tiba saja ingatan Adi dibawa belayar ke zaman kelas fizik di sekolah menengah dahulu. Lama betul Adi tinggalkan dunia fizik yang penuh misteri sebelum Adi akhirnya memilih bidang ekonomi untuk peringkat pengajiannya seterusnya di bumi sakura ini.

Mata Adi meliar lagi. Cuba mencari wajah yang dikenali. Tadi Adi cuba juga bangun sendiri. Gagal. Sakitnya bukan kepalang. Siapalah yang ingin datang menolong Adi yang tersadai di sini. Adi pun mengesot ke tepi sedikit supaya tidak dilanggar orang yang tidak putus-putus turun dari laluan yang agak curam ini.

"Ermm, awak tak apa-apa ke, Khadijah? Hello?"

Adi tersentak dengar suara itu. Fikirannya kembali ke alam nyata.

"Haiqal?" Adi sedikit terkejut melihat lelaki itu berdiri tegak di sebelah kanan Adi dengan tangan kirinya memegang papan snowboard. Lalu Adi cuba cepat-cepat bangun. Sudah berapa lama dia melihat Adi baring terlentang tadi?

"Jaja kata awak accident. Kemalangan. Betul ke?" Kata Haiqal. Dari jauh tadi, Haiqal nampak juga Khadijah mengesot perlahan-lahan, cuba nak ke tepi dan mengelak pemain skii dan snowboard meluncur turun.

"Kemalangan?" Adi ulang semula dengan suara perlahan, seperti berbisik dengan dirinya sendiri. Aduhai, dramatik sungguh kosa kata adik yang seorang itu!

"Jajanya mana?" Adi jadi tipikal perempuan yang menjawab persoalan dengan pertanyaan yang lain. Matanya ligat melilau mencari kelibat adik comel yang bertanggungjawab 'mengutuskan' Haiqal ke mari. Boleh pula dalam ramai-ramai manusia lelaki ini juga yang dijumpainya.

"Dia akan datang sekejap lagi. Sakit lagi kaki awak?" Tanya Haiqal, sedikit kaku. Tak tahu nak tolong buat apa. Entah kenapa dia terus bersetuju tanpa berfikir panjang apabila Jaja meminta bantuannya tadi.

"Dah ok sikit." Balas Adi pendek sambil mengesat muka dengan belakang tangan. 

Banyaknya salji yang jatuh dari langit saat ini bertapuk di atas mukanya. Dingin. Sedingin hati dan reaksi Haiqal sepanjang empat hari di pinggir laut dan dua hari di atas puncak gunung ini.

"Dah ok ya? Cubalah bangun." Ujar Haiqal pula.

Adi tergelak kecil. Dia lihat Haiqal juga turut tersenyum. Senyuman yang biasa dilemparkan kepada Adi. Sama seperti waktu dulu. Kedinginan lelaki itu selama empat hari di pinggir laut dan dua hari di atas puncak gunung ini telah pun mencair.

"Gomen Kak Adi. Mesti dah lama tunggu. Nasib baik tak beku." Si budak comel datang mencelah entah dari mana. "Jaja jumpa Abang Haiqal aja. Tak nampak orang lain. Tak apa, kan?" Sambungnya lagi.

"Tak apa. Arigatou ne..." Walaupun sedikit musykil dengan intonasi 'innocent' Jaja itu dan terfikir ada udang di sebalik batu kerana gadis itu memang suka mengusiknya sedari dulu, namun Adi tetap berterima kasih.

"Jaja papah Kak Adi. Abang Haiqal bawakan snowblade dengan pole." Haiqal memberi cadangan. Tanpa membuang masa, dia terus mengutip kayu ski milik Adi.

***

"Dudukkan di atas bangku panjang yang itu." Arah Haiqal sebaik sahaja mereka masuk ke dalam kafe resort.

"Jaja carikan Kak Fida atau Kak Zue. Abang Haiqal tolong tengokkan Kak Adi, ok?" Kata Jaja sebelum berlalu pantas meninggalkan Adi.

Haiqal meminta izin pergi ke kaunter. Mahu beli minuman sebelum dia kembali dengan satu mug besar.

"Cafe Latte untuk awak..."

Adi terkejut. Hanya satu cawan. Dan ianya untuk Adi, bukan untuk diri Haiqak sendiri?

"Arigatou..." Kata Adi sangat perlahan, antara dengar atau tidak. Dengan lafaz bismillah, dia meneguk minuman panas. Sedap. Adi senyum sendiri. Dia minum seteguk lagi. Dalam masa yang sama dia terasa dirinya sedang diperhatikan oleh Haiqal.

"Totemo ureshikatta yo (Gembira sangat)..." Kata Haiqal dengan wajah yang ceria, berbeza sungguh dengan waktu bertemu di stesen keretapi dulu.

"Nande? (Kenapa)" Tanya Adi.

"Anata ga warai kaketeta (Awak ketawa). Subete wo tokasu hohoemi de (Dengan senyuman yang bisa mencairkan segalanya)..." Kata Haiqal dalam nada bersahaja. Dia ulang ayat guna lirik lagu anime Fruit Basket yang pernah ditontonnya.

"Termasuk kemarahan awak?" Adi menduga.

"Saya tak pernah marahkan awak, Khadijah. Saya marah pada diri saya sendiri." Balas Haiqal. Jujur dia mengakuinya.

Adi tidak mahu memanjangkan lagi perbualan mereka dalam Bahasa Jepun. Sebaliknya dia membiarkan kesepian mengisi ruang, menemani masa yang berlalu. Sesekali dia melemparkan pandangan ke luar, menembusi dinding kaca kafe yang tinggi lebar ini. Walaupun salji turun makin lebat, semua masih leka dengan aktiviti masing-masing. Kelihatan kanak-kanak Jepun sedang menggelungsur dalam sled di sana sini. Gaya macam Adi dan adik-adiknya bermain tarik daun upih semasa menziarahi opah di kampung pun ada.

Namun, seluruh jasad Adi terasa kaku sebaik sahaja matanya menyapa susuk Mukhriz yang berdiri tidak jauh daripada kumpulan anak kecil tadi. Entah mengapa hatinya dipalu debar tidak bertepi. Dan ada suatu perasaan lain itu datang lagi.

(bersambung...)

#CintaSofea

📷: Pinterest




1 comment:

MaY_LiN said...

Hurm
Haiqal lagi