Tuesday, May 18, 2021

[Special Entry 3] Gelap

Karya pendek

Gelap
Oleh Rnysa

Special Entry 3
Edisi Istimewa Raya 1442H

#MCO3 #syawal1442H
#stayathome #selamathariraya #rayapkplagi

Di dalam mencari maknanya terang.
Berbekalkan kesabaran menghadapi ujian hidup yang sentiasa menduga tenang.


"Sayang, Along, Cho..." Suara Syah bergema di pagi Syawal yang indah permai. Sambil kacau dan hangatkan rendang tok di dapur, dia melaung suami dan anak-anak teruna yang tak turun-turun lagi. "Pukul berapa nak makannya?"

Aisyah yang tengah susun lemang dalam piring tersenyum sendiri. Entah apa yang kaum lelaki buat, tak habis bersiap.

Che Putih, kucing kesayangan Aisyah datang menggesel di hujung kaki tuannya sambil mengeow manja.

"Che Putih nak makan?"

Che Putih pun menyahut, "Meow."

"Yalah, Che Putih pun dah lapar juga." Aisyah cepat-cepat hantar lemang ke meja makan. Dia kembali semula ke dapur, ambil makanan untuk Che Putih pula.

"Che Putih makan dulu, okey? Makan kenyang-kenyang."  Kepala Che Putih diusapnya lembut. 

"Meow." Che Putih berbunyi lagi sambil pandang muka 'Kak' Aisyahnya.

Syah berpaling pada anak perempuannya. "Angah, tolong pergi tengok ayah dekat atas. Senyap tak menyahut pun." Katanya kemudian.

"Baik, ibu." Aisyah berhenti usap kepala Che Putih. Segera dia pergi ambil air minum untuk anak kucing parsinya sebelum berlari-lari anak ke tingkat atas.

Rendang tok yang tadinya dingin beku sudah lembut, sesuai untuk dihidang. Syah menutup api dan menguak masuk ke dalam mangkuk. Terus dia berjalan ke meja makan dan duduk diam di situ sementara menanti ahli keluarga yang lain.

Menu juadah pagi raya edisi 1 Syawal:
- Bihun goreng dan telur hancur (scramble eggs)
- Nasi impit, lontong dan kuah kacang
- Ketupat palas, lemang, rendang tok dan rendang ayam
- Biskut raya, air teh tarik dan air oren

Ada yang masak sendiri, yang beli, yang mama dan kak long Kaduk hantar semalam dengan khidmat rider. Kek brownies daripada Adik pun akan sampai sebelah petang nanti, tumpang sekali dengan mama nak kirim laksa johor pula untuk mereka sekeluarga.

Syukur, raya tahun ini Kaduk dan Syah dapat beraya di rumah mereka sendiri di Cyberjaya. Yang Adik dan Ed pula beraya dengan mama dan papa di Bangsar sahaja dan tak balik Ipoh. Sementara itu, Kak Long dan Kak Ngah Kaduk sekeluarga menyambut lebaran di Putrajaya seperti tahun lepas.

Yang ayah dan tujuh adik-beradik Syah pula semuanya beraya di Perak tapi ada yang terpisah daerah. Masing-masing tak boleh nak merentas, apatah lagi nak berkumpul dan berziarah raya. Yang lagi dua adik Syah masing-masing beraya perantauan di Kuala Lumpur, mereka pun Syah tak dapat jumpa.

Disebabkan oleh kes Covid-19 yang makin tinggi dan ada varian baharu yang lagi cepat merebak, raya PKP lagi tahun ini untuk seluruh rakyat Malaysia.

Syah lihat jam dinding sekali imbas. Insya-Allah, lepas solat sunat Aidilfitri nanti baru nak buat video call dengan semua ahli keluarganya yang lain.

***

Di bilik anak-anak teruna...

Kaduk sedang mengenakan kancing baju melayu anak bongsunya, Cho Akram. Yang si Along Arham sedang membetulkan letak sampingnya.

Aisyah ketuk pintu dua kali dan tercegat di muka pintu. "Ayah, ibu panggil turun makan." Tegurnya.

"Sekejap..." Kaduk capai dan letak songkok di atas kepala Along dan Cho. Lepas itu minyak wangi kegemarannya disembur buat kali terakhir pada diri sendiri, sekali dengan anak-anak lelakinya juga. 

"Uish, wanginya!" Aisyah tersenyum sewaktu berselisih dengan ayah yang pergi simpan semula minyak wanginya di dalam kamar utama.

"Dah siap. Jom!" Kaduk paut tangan Aisyah. Yang Arham dan Akram mengikutnya dari belakang.

***

"Nak beraya pun tak rasa macam raya sangat." Kata Kaduk dengan suara perlahan. Dalam masa yang sama dia tunjuk apa yang sedang trending atau tular di Twitter pada Syah. Di sebalik wabak pandemik Covid-19 yang melanda dunia, kemelut Israel-Palestin yang tak pernah padam kembali mengisi timeline ruang arus perdana hingga trending dalam kesemua platform media sosial yang ada.

"Hmmm, ujian kehidupan. Dalam Quran pun dah sebut yang setiap orang diuji mengikut kemampuan masing-masing." Syah pandang anak-anaknya yang tenang bermain Lego sesama sendiri, yang situasinya berbeza dengan anak-anak yang berada dalam keadaan negara yang sedang bergolak.

Lantas Kaduk membuka salah satu pautan yang menyeru kempen bantuan kemanusiaan untuk Palestin. Dia segera beri sumbangan apa yang patut dari segi kewangan.

Selain konflik Israel-Palestin yang tidak berkesudahan, banyak sahaja isu lain dari dalam dan luar negara yang berlegar-legar dalam media sosial. Sama ada hendak ambil tahu atau tidak terpulang kepada individu. Nak cerita dan highlight satu per satu memang banyak sangat dan takkan pernah habis. Belum sempat habis dan selesai satu isu, sudah timbul isu yang lain pula. Kadangkala Kaduk sendiri sampai tak terkejar hendak kemaskini diri sendiri dan keluarganya tentang apa yang sedang berlaku di luar sana.

"Insya-Allah, semoga apa sahaja yang sedang berlaku ada jalan penyelesaiannya dan dipermudahkan oleh Allah." Ucap Kaduk secara umum sambil matanya sambung baca segala macam jenis isu terkini dalam media sosial.

Lalu, Syah dan anak-anaknya terus mengaminkan doa itu serentak.

Bebas. Merdeka.
Jasad, fikiran, jiwa dan raga.

Kembali kepada fitrah.
Kembali kepada Tuhan.

(Alhamdulillah, Edisi Istimewa Raya tamat di sini.)

#RADHA

📷: Pinterest

1 comment:

MaY_LiN said...

Aminnn

Kaduk ni jenis jaga penampilan