Saturday, July 24, 2021

[2] Masquerade

Masquerade
Oleh Rnysa


2

"(Sebenarnya apa yang engkau sampaikan kepada mereka bukanlah syair atau sihir), bahkan ialah Al-Quran yang tinggi kemuliaannya. (Lagi yang terpelihara dengan sebaik-baiknya) pada Luh Mahfuz.". (Al-Burujj, 21-22)

***

Sejak penciptaan dan kewujudan manusia, tidak pernah terpisah satu persoalan.
Tujuan kehidupan.

Dia pemuda yang hatinya jernih. Otaknya cerdas. Badannya cergas. Terkenal dengan budi pekerti mulia. Bukan lakonan dan tidak juga memakai topeng. Dirinya adalah dirinya.

Petang itu dia berehat bersama keluarga. Menikmati minum petang. Kopi dan biskut dari kekacang. Dicicipnya berhati-hati. Perbualan petang itu berkisar tentang kisah dari istana. Tukang sihir diraja yang sudah dimamah usia mahu mencari anak murid.

"Ciri-ciri yang dicari menepati dirimu, wahai anakku." Cerita si ayah dalam berharap. Mungkin kelebihan anaknya dapat mengubah nasib keluarga. Selama ini dia hanya mampu menjadi pegawai rendah di istana sahaja. Dia selalu bermimpikan memiliki sebuah rumah besar berserta kolam renang peribadi di luar laman. Enak sekali dapat berlibur bersama keluarga dalam suasana sebegitu.

"Semoga kau menjadi pemuda mereka cari itu, wahai anakku!" Ujar si ibu yang sedikit teruja.

Si anak hanya senyum. Dari jauh kelihatan istana raja yang tersergam indah. Persiapan menjelang malam masquerade sedang giat berlangsung. Tiada aral melintang dia juga turut pergi bersama-sama teman seusianya. Kerana seluruh pemuda dan pemudi kota negara ini dijemput hadir. Mana mungkin dia melepaskan peluang sebaik itu. Hiburan kelas diraja, makanan yang enak dan kehadiran gadis cantik lagi menawan.

***

Di rumah ibadat lama, seseorang asyik bertafakur.

Cinta harus memiliki.
Paling tidak... cinta Allah dan Rasul sentiasa terbuka untuk dimiliki.
Dan hati akan merasa sakit jika cinta itu tidak berjaya dimiliki.

Cinta harus meyakini!

No comments: